You are on page 1of 8

3.2.1.

   Mengenalpasti masalah integriti di Malaysia

“Integriti sudahpun terhakis di peringkat yang memimpin dan disambut pula dengan terhakisnya
integriti di peringkat yang lain. Maka saling sambut menyambut antara satu sama lain sehingga
integriti makin terhakis dan luput dari amalan kita..”

Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor Di Majlis
Perasmian Forum Integriti Bersama Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Di Hotel Sofitel Pada
7 Ogos 2008. Pada alaf yang pesat dengan pelbagai kemajuan sains dan teknologi, kita sebagai rakyat
Malaysia boleh mendabik dada kerana negara kita sudah pun maju setapak lagi ke hadapan dan mampu
"berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan negara-negara maju yang lain. Namun begitu, antara
musuh terbesar negara, iaitu masalah integriti masih belum menemui titik penyelesaiannya. Gejala ini
merupakan masalah kronik kerana pegawai-pegawai yang terlibat itu kebanyakannya terdiri daripada
pegawai kerajaan. Masalah ini boleh membantutkan pembangunan negara.

Integriti adalah berhubungkait dengan kejujuran, sifat amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab. Ini
adalah ringkasan yang apa yang difahami tentang perkataan integriti. Integriti ditakrifkan sebagai
keikhlasan, ketulusan, kejujuran dan sikap positif lain yang wujud secara keseluruhan pada individu,
keluarga, komuniti dan sesebuah organisasi.

Antara contoh masalah integriti di Malaysia adalah seperti isu rasuah, penyelewengan, pecah amanah,
dan lain-lain lagi.

Rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Secara literal, rasuah merupakan sesuatu yang
dapat membantu seseorang individu untuk mencapai tujuan atau matlamatnya. Seksyen 3, 4 (a) dan 4
(b) Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Disemak 1971) mendefinisikan rasuah sebagai ‘dengan niat salah,
menerima daripada seseorang atau member kepada seseorang apa-apa suapan sebagai dorongan atau
upah untuk melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengn urusan rasmi atau urusan principal
berkenaan.

Manakala penyelewengan pula merujuk kepada tindakan seseorang atau sesuatu pihak
menyalahgunakan harta dengan curang atau menggunakan harta orang lain atau pihak lain yang telah
diamanahkan hak penjagaan kepadanya demi kepentingan sendiri.

Seterusnya, bagi pecah amanah pula merujuk kepada tanggungjawab yang diberi kepada seseorang
yang mempunyai kuasa dan hak untuk mengelak daripada melakukan perbuatan curang. Pecah amanah
berlaku apabila seseorang yang diberi tanggungjawab atau amanah mengutamakan kepentingan
peribadi dan kepentingan peribadi dan kepentingan lain melebihi kepentingan amanah yang telah
diberikan.
3.2.2.   Mengenalpasti punca masalah integriti di Malaysia

" Kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang " , demikianlah pepatah Melayu yang menunjukkan
bahawa setiap perkara mempunyai sebab dan akibatnya.

Faktor-faktor kemerosotan integriti ialah individu, budaya, kurangnya penghayatan nilai-nilai murni,
persekitaran dan sebagainya. Berdasarkan kajian ahli kriminologi dan kajian Badan Pencegah Rasuah
(BPR), punca utama seseorang individu terbabit dengan masalah integriti adalah kerana kelemahan
kawalan dalaman diri. Faktor yang mempengaruhi sifat dan sikap negatif ini ialah kemerosotan
penghayatan nilai-nilai murni, perasaan tamak untuk membuat harta supaya cepat kaya dan sikap ingin
hidup mewah melebihi punca pendapatan. Individu yang lemah didikan agama dan penghayatan nilai-
nilai murni, tiada disiplin diri, bersikap tamak serta mementingkan diri akan menyebabkan merosotnya
integriti. Tekanan hidup yang pelbagai juga menyebabkan individu terjerumus dalam kancah rasuah,
penyelewengan atau terlibat dalam gejala tidak bermoral. Selain itu, keadaan persekitaran juga mudah
mempengaruhi individu dari segi pembentukan nilai dan tingkah lakunya. Budaya yang menjunjung
tinggi dapat memberi persekitaran yang kondusif kepada individu untuk tidak menyimpang dalam
tingkah lakunya. Manakala budaya yang sebaliknya hanya akan mendorong individu menjadi tidak
bertanggungjawab dan mengamalkan sikap endah tidak endah. Faktor-faktor yang dinyatakan di atas
menyumbang kepada kemerosotan integriti. Namun, antara faktor perdana kemerosotan integriti ialah
disebabkan kepentingan diri, kelemahan kawalan atau pengurusan dalaman dan kelemahan nilai-nilai
murni.

Kekurangan keimanan dan ketaqwaan menyebabkan sesetengah individu tidak mengamalkan nilai-nilai
murni dalam segala tindak-tanduk mereka. Misalnya, sikap tidak amanah, sikap tamak dan boros serta
keinginan untuk hidup mewah akan mendorong seseorang individu untuk mencari jalan singkat bagi
mendapatkan keuntungan berjuta-juta ringgit dalam jangka masa yang singkat tanpa perlu
mencurahkan usaha yang lebih.

Seterusnya, apa yang menjadi punca masalah integriti di Malaysia adalah kelemahan kawalan atau
pengurusan dalaman. Kelemahan kawalan pengurusan dalaman mungkin disebabkan kualiti kepimpinan
dan penyeliaan yang lemah daripada pihak atasan. Penguatkuasaan peraturan dan sistem yang longgar
telah member kesempatan kepada pihak-pihak tertentu untuk melakukan masalah integriti. Selain itu,
kegagalan pelaksanaan system tindakan disiplin yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan
menyebabkan pekerja yang disyaki melakukan masalah integriti tidak dihukum ekoran ketiadaan bukti
yang mencukupi atau ketiadaan saksi-saksi yang bersedia untuk memberi keterangan. Kesannya,
pekerja terbabit akan menjadi semakin berani dalam meneruskan aktivitinya, malah pekerja terbabit
mungkin akan mempengaruhi pekerja lain untuk mengikut jejaknya. Di samping itu, sistem pengurusan
kurang telus menyebabkan perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab ini sukar dikesan.
Pengurangan kuasa atau pengagihan kerja yang tidak dikawal dan pengenalan system upah dan
ganjaran yang kurang adil boleh menyebabkan pekerja tidak berpuas hati. Pekerja yang tidak berpuas
hati cenderung melibatkan diri dalam masalah integriti dalam usaha mencapai matlamat peribadinya.
Misalnya, seorang pekerja yang tidak berpuas hati kerana gajinya tidak dinaikkan akan berusaha untuk
membalas dendam dengan menggelapkan wang syarikat sebagai pampas an terhadap kehilangan
pendapatannya.

Seterusnya, bagi factok kelemahan nilai-nilai murni pula, kesukaran hidup dan pengaruh sekeliling akan
mendorong seseorang terbabit dalam masalah integriti. Pengalaman hidup yang pahit semasa kecil akan
menguatkan azam individu untuk berusaha keras bagi menikmati kehidupan yang lebih selesa pada
masa hadapan. Jika pendapatan daripada kerja yang halal kurang memuaskan kehendak individu
terbabit, individu tersebut akan mencari jalan lain untuk memperoleh pendapatan tambahan. Selain
itu, pengaruh daripada rakan yang hidup mewah dan gemar berbelanja boros menyebabkan individu
terbabit berusaha mencari jalan untuk memperoleh kekayaan dalam usaha mendapat pengiktirafan
daripada rakan-rakan yang lain. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak akan terjadi jika dalam setiap
diri individu itu tidak lemah dengan penghayatan nilai-nilai murni.
3.2.3.   Mengenalpasti langkah-langkah mengatasi masalah integriti di Malaysia.

Langkah- langkah yang efektif harus diambil dengan segera agar masalah integriti dalam kalangan
masyarakat dapat ditangani secara sistematik dan menyeluruh. "Melentur buluh biarlah dari
rebungnya". Pepatah ini boleh dijadikan pedoman untuk melahirkan generasi muda yang berpegang
teguh pada integriti. Anak-anak diibaratkan sebagai sekeping kertas putih, manakala pendidik
merupakan pencorak yang mencorakkannya mengikut matlamat dan idea masing-masing. Masa depan
generasi muda bergantung pada ilmu dan didikan yang diberi di samping dipengaruhi oleh budaya yang
baik dan juga membesar di persekitaran yang elok. Ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas anak-anak
haruslah sentiasa menjadi teladan yang baik kepada anak. Anak-anak yang mencontohi ibu bapa
mereka akan melakukan kesalahan yang sama jika ibu bapa tidak menjadi teladan yang baik bak kata
pepatah " bapa borek anak rintik". Dari aspek jenayah rasuah, apabila anak yang dibesarkan dalam
keluarga yang mementingkan kebendaan ini mula memegang jawatan dan mempunyai kuasa, mereka
akan lebih cenderung mengetepikan undang-undang dan peraturan semata-mata untuk mengaut
keuntungan diri. Ibu bapa juga haruslah memberi kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak.
Pada zaman yang penuh dengan saingan ini, ibu bapa berlumba-lumba untuk mencari rezeki. Senario ini
menyebabkan masa ibu bapa bersama-sama dengan anak ataupun “masa berkualiti” amatlah sedikit
sehinggakan ada yang tergamak mengabaikan anak-anak. Ibu bapa sepatutnya meluangkan masa
bersama anak dan memberi pendidikan yang secukupnya untuk membina modal insan yang ihsan. Ibu
bapa juga harus faham tentang jenis pendidikan yang diberi kepada anak dan impaknya sama ada
menjadi orang yang berguna kepada masyarakat ataupun menjadi sampah mesyarakat. Pada era ini, ibu
bapa yang semakin sibuk dengan kerjaya masing-masing sering mengabaikan aspek pendidikan
kerohanian, termasuk nilai agama dan etika dalam proses mendidik anak-anak. Itulah hakikatnya yang
perlu ditelan dek mengejar kemajuan duniawi.

Di samping itu, kempen, ceramah dan kursus meningkatkan integriti juga harus dipergiatkan. Kempen
pendidikan pencegahan rasuah harus dilakukan secara berperingkat. Kerajaan boleh bermula dari
peringkat sekolah. Sebagai contoh, satu kempen peningkatan integriti dan pencegahan rasuah telah
dilakukan menerusi Bengkel Penerapan Elemen Antirasuah Dalam Pendidikan Sekolah pada tahun 2004.
Selain itu, ceramah-ceramah juga patut diperbanyakkan untuk meningkatkan integriti masyarakat.
Pendidik-pendidik negara juga digalakkan agar mengikuti kursus khas untuk mendidik generasi muda
tentang kepentingan integrity menerusi kurikulum, sahsiah dan kepimpinan supaya mereka sedar
bahawa integriti amatlah penting kepada diri sendiri dan seterusnya menyumbang kepada
pembangunan negara sebagai pewaris negara pada masa hadapan. Salah satu buktinya ialah
bermulanya tahun 2002, seramai 969 guru kaunseling sekolah menengah dari seluruh negara dipilih
mengikuti Seminar Peranan Kaunselor Dalam Pendidikan Integriti dan Pencegahan Rasuah di peringkat
sekolah. Selain guru kaunselor, pentadbir sekolah turut mengikuti seminar berkenaan. Mereka yang
mengikuti seminar tersebut hendaklah memahami dan mengamalkan konsep pengurusan integriti dalam
organisasi dan memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda tentang kepentingan
integriti menerusi pelbagai kurikulum dan kokurikulum agar mereka mengetahui seterusnya
mengamalkan integriti. Moga-moga kempen, ceramah dan kursus yang pelbagai dapat memberi
kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya integriti.

Bukan setakat itu sahaja, peningkatan integriti boleh dilaksanakan melalui pelaksanaan agenda integriti
untuk institusi politik. Tanah air kita adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi
dengan memilih pemerintah atau kerajaan melalui proses pilihan raya. Sistem pentadbiran ini
merupakan sistem Raja berperlembagaan dengan sistem pemerintahan berparti di peringkat pusat dan
negeri dengan memilih wakil rakyat. Semenjak kemerdekaan, sistem ini berjalan dengan lancar dan
berjaya membawa kestabilan, keharmonian dan pembangunan kepada rakyat berbilang kaum. Oleh
sebab sistem pentadbiran memberi kesan ke atas kemajuan masyarakat dan negara, maka integriti
kesemua institusi ternyata penting. Parti yang memegang kuasa mempunyai tugas yang penting, iaitu
memantapkan integriti dan menangani jangkaan rakyat yang kian meningkat. Rakyat kini sedar akan
hak mereka. Mereka tidak lagi bersikap teragak-agak untuk mengemukakan tuntutan bagi hak mereka
itu. Justeru, rakyat berhasrat mendapat pemimpin yang berkhidmat untuk pembangunan negara betul-
betul mempunyai sikap yang amanah, bertanggungjawab, bertoleransi, telus dan mementingkan rakyat.
Pada masa ini, terdapat persepsi dalam kalangan sebahagian masyarakat yang mencurigai integriti ahli
politik. Rakyat berasa kurang yakin dengan ahli politik dan menganggap politik sebagai “kotor’’.
Pelbagai usaha harus dilakukan untuk meningkatkan citra parti politik, memastikan integriti parti dan
ahli politik, meningkatkan ketelusan, mengatasi penyelewengan dan salah guna kuasa. Pelaksanaan
strategi dan pelan tindakan dalam kalangan pentadbir akan meningkatkan daya tahan gerakan
pemantapan etika dan integriti. Semua ini dapat menyumbang kepada pembangunan yang lestari,
kestabilan politik dan kesejahteraan hidup pelbagai kaum.

Selain itu, institusi sosiobudaya yang merangkumi pendidikan, kesihatan, rekreasi, sukan, dan media
massa memainkan peranan yang penting dalam pembinaan insan yang berintegriti dan beretika.
Matlamat pengukuhan integriti dalam aspek sosiobudaya ialah pembinaan insan yang berintegriti dalam
persekitaran sosiobudaya yang berintegriti. Selain aspek akademik, komponen kesihatan, rekreasi dan
sukan juga menyumbang kepada pembinaan kesihatan badan, kecergasan mental, keceriaan dan
produktiviti individu. Untuk meningkatkan taraf kesihatan badan dan kecergasan mental, penerapan,
penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam bidang sukan dititikberatkan. Selain itu,
pengurusan badan-badan sukan juga amatlah penting kerana badan-badan ini dianggap dapat menolong
meningkatkan etika dan integriti. Penulisan cerpen, artikel, dan buku yang bertemakan integriti
digalakkan untuk menanam amalan etika dalam bidang penulisan yang berbeza Bukan setakat itu
sahaja, pihak tertentu juga boleh menganjurkan pertandingan lagu, poster, esei, iklan, laman web,
pidato, perbahasan dan sebagainya mengenai integriti. Sebagai contohnya, usaha

Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Kelantan menganjurkan Pertandingan Pidato Prauniversiti BPR di
Tumpat, Kelantan sebagaimana tersiar dalam beberapa akhbar perdana amatlah disokong. Penganjuran
seperti itu berharap dapat memesrakan hubungan masyarakat, khususnya pelajar-pelajar dengan
pegawai agensi BPR. Selain Itu, pemberian anugerah dan pengiktirafan dalam bentuk-bentuk karya yang
lain akan menonjolkan lagi nilai etika dan integriti. Justeru, komponen-komponen ini perlu
digemblengkan dalam usaha pemantapan integriti.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa agama adalah benteng diri yang cukup berkesan. Seseorang yang
mempunyai pegangan agama, menghayati serta mengamalkan ajaran agama akan sentiasa diberkati
Tuhan dalam hidupnya. Setiap agama di dunia ini mahukan penganutnya hidup berpaksikan nilai murni
seperti jujur, amanah, bekerjasama, benar, telus, adil dan saksama. Dunia ini akan menjadi lebih
selamat dan hidup manusia juga akan menjadi aman damai dan bebas daripada segala bentuk jenayah
jika manusia mematuhi ajaran dan tuntutan agama. Walaupun rakyat Malaysia mempunyai pelbagai
agama, tetapi ini tidak akan menjadi masalah jika semua perkara ditangani dengan baik. Sikap hormat-
menghormati dan saling memahami antara penganut patut ditingkatkan. Jelas sekali, ibu bapa yang
menjadi pendidik utama bertanggungjawab memastikan anak-anak dihantar untuk mendapatkan
pendidikan agama. Institusi yang memainkan peranan penting dalam membina integriti individu,
masyarakat dan negara menyemai nilai-nilai moral ke dalam diri individu berlandaskan ajaran agama
masing- masing. Sebagai contoh, dalam konteks Islam, rasuah dianggap sebagai suatu perbuatan yang
keji. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: " Allah melaknat orang yang memberi rasuah,
menerima rasuah dan orang yang menjadi perantara kedua-duanya." (Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan
Ibnu Hibban).

Sebagai akhirulkalamnya, semua pihak haruslah berganding bahu bagai “aur dengan tebing’’ untuk
meningkatkan integriti individu, masyarakat dan negara. Lagipun, pepatah Melayu ada menyebut,
“ranting sekerat masakan bisa menyokong berat’’. Dengan kata lain, janganlah kita menyerah bulat-
bulat kepada pihak kerajaan. Begitu juga dengan masalah integriti di negara kita, kita patut membantu
pihak kerajaan. Jadi, kita patut mengukuhkan integriti diri yang merupakan resipi penting bagi
menghapuskan masalah integriti. Ayuh, rakyat Malaysia marilah kita bersama-sama YAB Perdana
Menteri membawa negara ke mercu kegemilangan tanpa masalah integriti, dan “Katakan TIDAK
Kepada Masalah Integriti”, dan pasti akan menjadi modal insan yang cemerlang, gemilang dan
terbilang.

You might also like