You are on page 1of 17

Perdagangan manusia

Perdagangan manusia kini sudah menjadi satu jenis jenayah yang samik berleluasa. Pada pendapat anda, mengapakah jenayah
perdagangan manusia ini berlaku dan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya?

PENDAHULUAN:
 merupakan antara jenayah tertua
 dianggap sebagai suatu industri universal

 tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi

 Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan, kegiatan perdagangan
manusia di negara itu melibatkan keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion (RM3. 5 bilion hingga RM10.5
bilion) setahun.

 Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia dengan sekitar
14,500 hingga 17, 500 daripadanya diperdagangkan di AS setahun

 Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggap
perdagangan manusia sebagai industri jenayah yang menjana keuntungan sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion
(RM17.5 bilion hingga RM31.5 bilion) setahun

 Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam kebanyakan negara termasuk Malaysia

 Perangkaan rasmi memperlihatkan kira-kira 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dengan 80 peratus
daripadanya membabitkan wanita dan kanak-kanak yang diperalatkan bagi tujuan tertentu termasuk pelacuran dan
sebagainya.

PUNCA:

1. Kemiskinan/ kesempitan hidup

2. Terpengaruh tawaran kerja

3. Kurang didikan moral/agama

4. Materialistik

5. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah

6. Taraf pendidikan mangsa

LANGKAH:

1. memperketat pelbagai aspek termasuk dari segi kemasukan pelancong asing serta mengawal semua 262 pintu masuk ke
sempadan negara yang dipercayai juga boleh menyumbang kepada jenayah perdagangan manusia - kementerian berkenaan
mengadakan kerjasama dengan badan antarabangsa seperti melatih anggota keselamatan untuk menangani pelbagai kemungkinan
kemasukan warga asing bagi tujuan tertentu
melatih penguat kuasa, pendakwa raya, hakim dan majistret mengenai pelbagai perkara termasuk Akta Antipemerdagangan
Orang 2007 supaya mereka bersiap sedia berdepan isu terbabit - menyelaraskan sistem data maklumat kemasukan
mengemaskinikan rekod keluar masuk di pintu sempadan terutama di lapangan terbang, pelabuhan, dan pintu sempadan antara
sangat diperlukan bagi menggembleng usaha membasmi jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.

2. menjalinkan kerjasama dengan negara jiran- Malaysia dan Australia baru-baru ini juga telah bersepakat untuk meningkatkan
kerjasama bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia melalui kaedah diplomatik dan operasi yang lebih berkesan-
negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan lain-lain juga wajar mewujudkan kerjasama serantau, perkongsian
bijak terutamanya kekuatan teknologi, komunikasi dan jaringan keselamatan - kerjasama menerusi pertukaran maklumat dalam
usaha menangani isu ini terutama dari aspek bentuk serta kaedah penyeludupan dan negara mana yang dijadikan tempat transit
utama penyeludupan manusia - Kerjasama di peringkat sempadan perairan negara - menjalankan operasi rondaan secara berjadual
dan intensif oleh pasukan keselamatan Malaysia dengan negara-negara jiran – berkongsi maklumat tentang taktik, lokasi, dan
negara pembekal – berusaha mengenal pasti ‘lubang-lubang tikus’

3. Kempen kesedaran untuk membasmi jenayah perdagangan manusia di kalangan masyarakat juga dipergiatkan

4. Membanteras gejala rasuah yang masih menghantui badan-badan penguat kuasa setiap negara – jabatan-jabatan yang masih
menjadi kambing hitam seperti imigresen, kastam, polis marin, RELA dan organisasi yang sama di negara-negara jiran – amalan
rasuah merupakan tindakan duri dalam daging terhadap keselamatan sesebuah negara.

PENUTUP:

Ditelan mati emak, diluah mati bapa, demikianlah suasana kehidupan berjiran. Sebarang masalah yang dihadapi yang berkaitan
dengan hubungan jiran memerlukan tindakan yang teliti dan bijaksana. Biarlah segala tindakan bersama menatijahkan situasi
menang-menang bagi kedua-dua pihak. Lebih-lebih lagi dalam isu pemerdagangan manusia ini, pihak negara berjiran terpaksa
berurusan pula dengan pihak ketiga iaitu negara pembekal dan negara penerima. Oleh itu, kerjasama serantau amatlah diperlukan
agar segala penyelesaian dapat diambil secara bijaksana.

Globalisasi dikatakan membawa kesan yang mendalam terhadap rakyat sesebuah


negara. Pada pendapat anda apakah kesan globalisasi kepada Malaysia.

Menurut Kamus Dewan, globalisasi membawa maksud " fenomena yang


menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia
disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat." Imam Ghazali
ketika berhadapan dengan cabaran falsafah Yunani pada zamannya, tidak terlalu
cepat mengeluarkan hukuman terhadap falsafah tersebut. Bahkan, beliau mengkaji
baik dan buruknya perkara tersebut sehingga mampu mengeluarkan perkara positif
daripada banyak perkara negatif yang terdapat dalam falsafah Yunani. Justeru,
globalisasi juga perlu dikaji baik dan buruknya sehingga kita dapat menggunakan
aspek positif yang ada untuk menentang keburukan globalisasi.

Kesan baik yang utama ialah rakyat Malaysia perlu mengalami anjakan
paradigma, iaitu mereka perlu menggunakan teknologi terkini berbanding dengan
cara tradisional dalam pelbagai lapangan hidup mereka. Sebagai contoh, negara kita
menuju ke arah E-Kerajaan, dan E-Dagang. Sehubungan dengan ini, rakyat mahu
tidak mahu terpaksa menguasai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Kita akan
ketinggalan dalam arus perdana sekiranya kita tidak menguasai ICT. Dalam era
globalisasi, perniagaan dan perdagangan tidak mengenali batasan atau sempadan.
Seorang usahawan batik contohnya, boleh menjual hasil batiknya ke seluruh dunia
dengan hanya mengiklankan dalam internet dan boleh menjalankan perniagaannya
dari rumah. Justeru, beliau dapat menjimatkan kosnya kerana tidak perlu menyewa
bangunan, membayar bil api dan air, serta tidak perlu mengupah pembantu.
Tegasnya, peluang pasaran terbuka di seluruh dunia.

Kesan baik yang seterusnya ialah rakyat Malaysia amnya dan usahawan
khusunya perlu meningkatkan mutu produk mereka dalam era globalisasi. Hal ini
demikian kerana ahli perniagaan kita bukan sahaja berhadapan dengan saingan dari
dalam negara, malah terpaksa bersaing dengan produk dari seantero dunia. Oleh itu,
mahu tidak mahu, rakyat Malaysia perlu berkreatif dan inovatif dalam menampilkan
produk mereka agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Hal ini menuntut
rakyat Malaysia untuk menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) ke atas
barangan tempatan agar negara kita boleh duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan negara-negara maju. Justeru, imej negara kita dapat ditingkatkan di
persada dunia.

Seterusnya, globalisasi juga membolehkan negara kita menerima teknologi


terkini. Hal ini disebabkan kemajuan dalam bidang ICT membolehkan kita
berhubungan dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia. Hasil penemuan yang terbaru
disiarkan dalam internet. Hal ini membolehkan pakar-pakar tempatan dalam bidang
perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat, perindustrian, pertanian dan
sebagainya memanfaatkan penemuan-penemuan terbaru oleh rakan mereka dari
seluruh dunia dan dalam masa yang singkat rakyat Malaysia juga dapat menikmati
hasilnya. Sebagai contoh, pakar neurologi dari Malaysia boleh mengadakan
telesidang dengan pakar-pakar neurologi dari seluruh dunia untuk mengubati
penyakit berkaitan dengan neurologi. Jelaslah bahawa globalisasi memang
menguntungkan rakyat Malaysia.

Juga, globalisasi mendatangkan kesan buruk kepada rakyat Malaysia.


Globalisasi bersinonim dengan pengamerikaan dunia. Ia merupakan proses untuk
menjadikan budaya Amerika diikuti oleh semua penduduk dunia. Maklumlah
globalisasi dikatakan “Semua Untuk Satu”. Proses ini akhirnya akan merosakkan
budaya lain selain budaya Amerika. Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya
budaya Amerika ialah budaya yang baik, bertepatan dengan fitrah kejadian manusia
dan budaya timur serta agma Islam. Sebaliknya budaya Amerika merupakan budaya
yang kebanyakannya bertentangan dengan akhlak dan norma hidup masyarakat
timur amnya dan Malaysia khususnya.Budaya seks bebas dan gay merupakan contoh
yang jelas. Saban hari kita dapat menatap di dada akhbar dan dapat mendengar
berita di radio dan televisyen tentang kebobrokan yang dialami oleh remaja kita
seperti melepak, seks bebas, buang bayi, memakai pakaian yang bukan sahaja tidak
menutup aurat malah berunsur seksi. Tegasnya globalisasi merosakkan budaya dan
norma hidup masyarakat kita yang dipandang mulia seperti kata peribahasa biar mati
anak, jangan mati adat.

Tambahan pula, globalisasi juga telah mempengaruhi gaya hidup masyarakat


Malaysia. Sebagai contoh, kita dapat lihat betapa ramai yang mengunjungi Kentucky
Fried Chicken, Mc Donald, Pizza Hut, Kenny Rogers dan sebagainya. Golongan remaja
tidak suka makan makanan ulam dan mereka berpendapat bahawa ulam ialah
makanan golongan tua yang sudah ketinggalan zaman. Mereka sebenarnya tidak
menyedari bahawa makanan segera dan ringan memudaratkan kesihatan mereka.
Satu kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru
ini menunjukkan bahawa hampir 40% daripada remaja kita mengalami obesiti. Hal ini
bersangkut-paut dengan penyakit seperti penyakit serangan jantung, kencing manis,
tekanan darah tinggi, kerosakan buah pinggang dan sebagainya. Hal ini demikian
kerana makanan ringan dan segera ini mengandungi bahan kimia seperti
Monosodium Glutamate (MSG) dan bahan pengawet yang menjejaskan kesihatan
dalam jangka panjang. Slogan KFC ialah, “Sedap sehingga menjilat jari”. Ini
bertentangan dengan budaya masyarakat timur amnya dan Malaysia khususnya
kerana kita tidak dibenarkan menjilat jari selepas makan. Selain itu, menjilat jari
bermakna mengajak umat mengutamakan rasa sedap. Walhal, kita sepatutnya
bersyukur dengan makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita walaupun sederhana
kerana berjuta-juta manusia di seluruh dunia menghadapi kebuluran. Jelaslah
bahawa globalisasi mengajar rakyat kita untuk tidak bersyukur dengan apa yang ada
dan menyebabkan rakyat kita menjadi tenaga kerja yang berpenyakit dan tidak
produktif. Akhirnya hal ini akan membantut usaha kita untuk menjadikan negara kita
sebagai negara maju mengikut acuan kita sendiri sebagaiman yang digariskan dalam
Wawasan 2020.

Globalisasi juga menyebabkan jurang perbezaan antara negara-negara kaya


dengan negara-negara miskin bertambah luas. Menurut Dr.Yusuf al-Qaradawi,
“Sesungguhnya globalisasi hanyalah untuk kebaikan golongan yang kuat terhadap
yang lemah, untuk menguntungkan yang kaya dan untuk memanfaatkan blok utara
yang kaya terhadap blok selatan yang miskin”. Dalam sistem globalisasi, negara yang
kaya akan bertambah kaya , manakala yang miskin akan terus miskin. Pertubuhan-
pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia berperanan dalam mewujudkan jurang
yang besar antara negara blok utara dan blok selatan. Negara-negara dunia ketiga
yang berada dalam blok selatan, ketika berhutang dengan Bank Dunia, akan
dikenakan faedah dan syarat-syarat tertentu yang rata-ratanya akan mendatangkan
kesan negatif kepada peminjam. Dalam era globalisasi, negara blok selatan yang
masih merangkak tidak mampu mengejar, apatah lagi menyaingi negara-negara maju
di blok utara. Oleh itu, jelaslah bahawa globalisasi merupakan satu bentuk
penjajahan negara maju ke atas negara miskin dan sedang membangun seperti
Malaysia.

Kesimpulannya, globalisasi harus ditangani dengan berhati-hati. Kerajaan kita


harus mengambil langkah-langkah yang proaktif agar rakyat kita amnya dan remaja
khususnya tidak terjerumus dalam lembah kehinaan yang sememangnya dirancang
oleh negara maju untuk memusnahkan golongan muda agar negara-negara miskin
dan membangun senantiasa melutut kepada mereka dan menagih simpati dan
pertolongan yang akhirnya membelenggu kita dari segala aspek kehidupan kita.
Jelaslah bahawa globalisasi boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk penjajahan –
penjajahan mental, ekonomi, budaya, sosial dan politik. Oleh itu, kita perlu berhati-
hati menghadapi era globalisasi ini kerana jangan sudah terhantuk baru tengadah.

Posted by Subramaniam Rengasamy at 1:29 PM 0 comments

Rabu, 17 November 2010

Peranan pelbagai pihak dalam melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif.

Sememangnya Wawasan 2020, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), dan NKRA bertujuan untuk
melahirkan rakyat yang kompeten, berkreatif dan inovatif. Hal ini kerana kita tidak seharusnya menjadi
pengguna teknologi sebaliknya hendaklah menjadi penyumbang teknologi. Sehubungan dengan hal ini,
pelbagai pihak memainkan peranan. Kita perlu senantiasa ingat akan kebenaran peribahasa bulat air
kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Faktor utama yang memainkan peranan untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif ialah
sistem pendidikan negara kita. Sebagai menyahut seruan kerajaan ini, kurikulum sekolah telah
mengalami perubahan mengikut peredaran zaman. Matlamat pendidikan adalah untuk melatih pelajar
berfikir dan mencapai tahap kemahiran yang telah ditetapkan. Mata pelajaran Kemahiran Hidup, Reka
Cipta, Teknologi Maklumat, Mata pelajaran Vokasional seperti landskap, perabot, katering dan
sebagainya menggalakkan pelajar untuk mengembangkan kreativiti dan inovasi mereka. Selain itu,
Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) telah merentasi kurikulum. Guru-guru digalakkan
melatih pelajar untuk berfikir. Di samping itu, kerajaan telah menubuhkan pelbagai institusi kemahiran
seperti Institut Kemahiran Belia Negeri (IKBN), Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Giat
MARA, dan sebagainya untuk melatih para belia menguasai kemahiran dan menjadi pekerja mahir yang
berkreatif dan inovatif. Jelaslah institusi pelajaran ialah institusi yang paling sesuai untuk melatih dan
melahirkan insan yang berkreatif dan inovatif.
Tugas ini seterusnya perlu dipikul oleh ibu bapa. Semasa anak-anak mereka masih kecil, ibu bapa perlu
membeli alat-alat mainan yang boleh mengembangkan kemahiran kreatif dan inovatif anak mereka.
Permainan seperti Lego amat sesuai untuk kanak-kanak. Dengan menggunakan bongkah-bongkah plastik
ini, kanak-kanak boleh menghasilkan pelbagai bentuk termasuk bangunan, robot, dan sebagainya. Kata
peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan unsur kreativiti
dan inovasi dalam diri anak mereka sejak mereka kanak-kanak lagi.

Seterusnya, kerajaan memainkan peranan yang penting. Dalam hal ini, Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan Karnival Malaysia Inovatif 2010 di seluruh negara yang
bertemakan “Meraikan Kreativiti”. Karnival ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai
kepentingan pemikiran yang kreatif dan memupuk budaya inovasi dalam kalangan rakyat di negara ini.
Kumpulan sasaran meliputi semua lapisan masyarakat iaitu golongan OKU, wanita, belia, pelajar-pelajar
sekolah, komuniti, penduduk bandar dan luar bandar, penyelidik, badan bukan kerajaan dan pihak
swasta. Tindakan MOSTI ini amat dialau-alukan oleh semua pihak. Walau bagaimanapun, adalah
harapan semoga usaha seumpama ini dapat dijalankan secara berterusan dan jangan bersifat hangat-
hangat tahi ayam.

Pihak swasta khususnya sektor perindustrian juga perlu berganding bahu dengan kerajaan untuk
melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif. Usaha untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan
inovatif menuntut rakyat kita supaya terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Oleh itu,
sektor swasta harus menggiatkan penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan kaki tangan mereka.
Sejumlah wang sepatutnya diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan. Sebagai contoh,
durian tidak dapat dieksport ke Singapura kerana faktor pencemaran. MARDI telah menjalankan
penyelidikan dan pembangunan ke atas durian dan akhirnya para penyelidik berjaya menghasilkan
serbuk durian yang boleh dibungkus dan dieksport bukan sahaja ke Singapura malah ke luar negara.
Pengguna hanya perlu mencampurkan serbuk durian dengan air dan mereka dapat menikmati durian.
Serbuk ini pula boleh tahan dalam tempoh masa yang lama. Oleh itu, pihak swasta perlu mencontohi
MARDI dalam menghasilkan barangan yang berkreatif dan inovatif. Kata peribahasa hendak seribu daya,
tak hendak seribu dalih.

Akhir sekali, kita tidak boleh menidakkan peranan para pendidik dalam melahirkan masyarakat yang
kreatif dan inovatif. Sehubungan dengan hal ini, para pendidik di seluruh negara sama ada di peringkat
sekolah rendah, sekolah menengah atau Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mahupun Institusi
Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), termasuk kolej dan institusi kemahiran harus menghadapi pelbagai
cabaran. Cabaran pertama ialah mempertingkat profesionalisme. Para pendidik harus sedar tentang
tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara.
Seterusnya, suatu anjakan paradigma dapat dilakukan oleh para pendidik. Cabaran kedua ialah
kemahiran dalam penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Pembestarian sekolah dan
Schoolnet hendaklah dihargai dengan menggunakan segala kemudahan semaksimum mungkin untuk
melahirkan insan yang kreatif dan inovatif. Cabaran ketiga ialah budaya fikir dan berakhlak. Pendidik
yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan ilmu serta
dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian berkaitan kekeluargaan,
komuniti, ekonomi dan sebagainya untuk mencari penyelesaian. Oleh itu, pendidik yang
berpengetahuan dapat melahirkan generasi anak didik yang cemerlang yang boleh berfikir secara kritis
dan berinovasi dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Intihanya, semua pihak hendaklah bekerjasama dalam usaha melahirkan masyarakat yang kritis, kreatif
dan inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran baru serta peka kepada kepedulian sosial, keadilan
sejagat dan solidariti antarabangsa. Kata peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Kita perlu
ingat bahawa generasi muda hari ini perlu mempunyai daya saing untuk berhadapan dengan globalisasi
dan seterusnya negara kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara
maju.

Posted by Subramaniam Rengasamy at 9:21 AM 0 comments

Selasa, 16 November 2010

Kes Buang Bayi

Masalah buang bayi dalam kalangan remaja semakin meningkat. Pada pendapat anda apakah
punca berlakunya masalah ini dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani
masalah ini.

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kes pembuangan bayi di negara ini didapati semakin serius
apabila ia meningkat lebih 154 peratus sejak Januari 2010 sehingga Ogos 2010 berbanding
tempoh lapan bulan pertama tahun lalu. Statistik terbaru dikeluarkan oleh Bukit Aman
menunjukkan terdapat 65 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara sejak Januari
sehingga hari ini. Jumlah tersebut didapati meningkat lebih 154 peratus berbanding hanya 42
kes dicatatkan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun lalu.

Berita seumpama ini menghiasi dada akhbar tempatan sepanjang tahun. Kes buang
bayi semakin menular dalam kalangan remaja negara kita seperti cendawan tumbuh selepas
hujan. Fenomena ini harus dikekang dari awal lagi. Jika tidak, kebobrokan dalam kalangan
remaja akan semakin meningkat dan akan menggagalkan visi kudsi negara kita, iaitu Wawasan
2020.

Faktor utama berlakunya masalah buang bayi ialah kurangnya didikan agama. Maklumlah
orang yang kurang pegangan agama umpama sebuah bahtera yang belayar di tengah
samudera tanpa jurumudi. Nescaya, bahtera berkenaan akan tersasar dari destinasi yang
ditujui atau akan tenggelam dipukul ribut. Begitu jugalah halnya dengan remaja kita yang tidak
menghayati ajaran agama. Sehubungan dengan ini, ibu bapa memainkan peranan yang
penting. Hal ini demikian kerana kanak-kanak umpama kain putih. Ibu bapalah yang akan
mencorak kain putih itu menjadi warna pelangi atau hitam. Kata peribahasa melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai moral dan agama dalam
kalangan anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Seterusnya, ibu bapa juga menjadi satu faktor. Kini, kedua-dua ibu bapa bekerja. Mereka sibuk
dengan kerjaya masing-masing dan terlalu bersifat materialistik dan mata duitan. Sebilangan
kecil ibu bapa ini tidak meluangkan masa bersama-sama anak mereka untuk membincangkan
masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Mereka juga tiada masa untuk mengawasi gerak-
geri anak-anak mereka. Justeru, remaja diberi kebebasan yang kerterlaluan. Hal ini
menyebabkan mereka terjebak dalam gejala zina dan seterusnya terlibat dalam kes buang
bayi. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam untuk mencari wang perlu sedar bahawa wang
bukan segala-gala dalam hidup kita kerana anak itu satu amanah. Imam Al-Ghazali berkata:
"Anak-anak ialah amanah atas ibu bapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan
membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Jika dibesarkan dalam suasana yang tidak
baik, maka menderitalah dia dan binasa." Jelaslah bahawa ibu bapa perlu menjalankan
tanggungjawab mereka dalam mendidik anak menjadi insan yang berguna kepada nusa dan
bangsa.

Faktor lain yang menyumbang kepada masalah buang bayi ialah pengaruh rakan sebaya.
Dalam era mengejar kebendaan, ibu bapa tiada kawalan ke atas anak-anak mereka. Oleh itu,
remaja yang berkawan dengan mereka yang sudah mengalami keruntuhan akhlak, mudah
terpengaruh dengan nilai-nilai negatif. Kata peribahasa Cina, apabila kanak-kanak, dia berkata
ayahnya betul dan kawannya salah; apabila sudah remaja, dia berkata kawannya betul dan
ayahnya salah; apabila sudah dewasa, baru menyedari bahawa ayahnya betul, kawannya
salah. Peribahasa Cina ini jelas menggambarkan kepada kita betapa kuat pengaruhnya rakan
sebaya ke atas seseorang remaja. Sehubungan dengan ini, ibu bapa perlu memerhatikan
tingkah laku anak-anak mereka. Mereka perlu mengetahui latar belakang kawan-kawannya.
Sebagai ibu bapa bimbinglah anak-anak ke arah jalan yang baik yang diredahi-Nya dan
menghindari kemungkaran. Maklumlah mencegah lebih baik daripada mengubati.

Kes buang bayi juga berpunca daripada pengaruh media massa khususnya media elektronik.
Hampir setiap remaja mempunyai telefon bimbit. Walaupun telefon bimbit membawa kebaikan
tetapi apabila disalahgunakan, ia tetap membawa kesan buruk. Remaja dengan mudah boleh
memuat turun gambar dan video lucah. Begitu juga dengan penggunaan internet. Dalam dunia
tanpa sempadan dan dasar langit terbuka membolehkan remaja kita mengakses bahan
pornografi dengan mudah. Selain itu, VCD lucah begitu berleluasa dan boleh dibeli dengan
begitu mudah di kedai-kedai jualan video dan pasar malam. Hal ini meracuni minda remaja
kita. Disebabkan naluri ingin tahu, mereka tergamak melakukan perkara terlarang dan sebagai
jalan penyelesaian, mereka terpaksa membuang bayi. Sehubungan dengan hal ini, kerajaan
harus bertindak tegas dengan mengambil tindakan ke atas mereka yang mengedar VCD lucah.
Kementerian Komunikasi dan Multi Media harus mengawasi laman web yang menawarkan
bahan lucah dan mereka yang terbabit harus dibawa ke muka pengadilan. Tindakan segera
dapat menyelamatkan anak kita supaya tidak menjadi seperti kata peribahasa sudah terhantuk
baru nak tengadah. Oleh itu, jelaslah bahawa kerajaan harus bertindak untuk menangani
masalah ini.

Seterusnya, kita perlu menyalahkan masyarakat dalam hal ini. Ini disebabkan golongan
dewasa harus menjadi contoh dan ikutan golongan remaja tetapi saban hari ada saja kes-kes
zina, sumbang mahram, perceraian, simbah asid ke atas suami, isteri ditetak dengan parang
dan sebagainya yang melibatkan orang dewasa. Kata peribahasa bagaimana acuan begitulah
kuihnya, dan bapa borek anak rintik. Segala perlakuan negatif orang dewasa akan menjadi
ikutan anak-anak remaja yang memang setahun jagung dan masih naif dan tidak dapat
membezakan antara baik dengan buruk, syurga dengan neraka, kaca dengan intan.Bagi yang
muda, kegagalan orang tua untuk menjadi contoh dan model terbaik untuk diikuti menyumbang
ke arah kebobrokan yang dialami oleh generasi muda. Justeru, ahli masyarakat perlu lebih
prihatin dan menjadi contoh kepada remaja pada masa akan datang. Janganlah menjadi
seperti ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul. Oleh itu, setiap ahli masyarakat,
khususnya yang sudah dewasa perlu menunjukkan budi pekerti yang baik agar menjadi ikutan
remaja.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani
masalah pembuangan bayi yang sudah menjadi duri dalam daging. Jika tidak, segala impian
kita untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 akan tetap menjadi impian dan
tidak dapat direalisasikan. Maklumlah tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Apabila semua
pihak bekerjasama, masalah pembuangan bayi pasti dapat dikurangkan.

Posted by Subramaniam Rengasamy at 10:08 PM 0 comments

Jumaat, 12 November 2010


Punca-punca berlakunya penderaan kanak-kanak

Anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan
suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga.
Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan
yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga
dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang
secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai kes
penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana
yang telah disiarkan dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini
boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera
itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa. Kata peribahasa haruan makan anak.

Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-


kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi
tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke
rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak
berdosa. Kata peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Tabiat anak-anak
yang masih kecil memang suka merengek kerana mereka perlukan perhatian
daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka
kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu
tindakan yang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin
akan memukul, menerajang, mencucuk puntung rokok,dan sebagainya. Apakah dosa
mereka sehingga diperlakukan sebegitu?

Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana


masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan
yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas
terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah
semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini
amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada
usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah
kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan
fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongan
daripada Allah supaya hati kita lebih tenang. Maklumlah di mana ada kemahuan di
situ ada jalan.

Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis
rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin
disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan
mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru.
Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya
menjadi mangsa pergaduhan.

Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan kanak-


kanak ini ialah kurangnya pendidikan agama dalam kalangan ibu bapa. Ilmu agama
amat penting dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik
dalam menguruskan keluarga. Orang yang kurang pegangan agama umpama sebuah
kapal yang belayar di tengah samudera tanpa jurumudi. Nescaya kapal ini tidak akan
sampai ke destinasi malah kemungkinan besar akan tersasar atau akan tenggelam
dipukul ribut. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika
berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang
baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi
terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan
kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya
dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.

Tambahan pula, ahli psikologi berpendapat bahawa penderaan kanak-


kanak juga berpunca daripada pengalaman pahit yang dilalui oleh ibu bapa mereka
semasa mereka masih kecil lagi. Ibu bapa yang menjadi pendera, sebenarnya didera
oleh ibu bapa atau orang lain semasa zaman kanak-kanak mereka. Pengalaman pahit
ini terbuku di hati dan minda bawah sedar mereka. Apabila sudah dewasa dan
mendirikan rumah tangga, dan seterusnya memperoleh anak, pengalaman pahit
yang terpahat di alam bawah sedar muncul tanpa disedari dan mereka tergamak
mendera anak mereka sendiri sebagai balasan atau unsur mendendam.

Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang


dilarang keras oleh agama. Hal ini demikian kerana perbuatan sebegitu seolah-olah
bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan
memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah
yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk
membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu
diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan
menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Kata peribahasa bapa borek anak
rintik. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia
tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat
nanti.

Posted by Subramaniam Rengasamy at 10:34 PM 0 comments

Belilah barangan buatan tempatan

Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak


menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri.
Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya. Misalnya
kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan
kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar
negara.Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin
dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri
pasaran.Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian,
pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi
produk luar negara.

Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti


dan sikap orang kita sendiri untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi
sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagung-agungkan
barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk
tempatan negara ini.Rakyat Malaysai perlu mengutamakan barangan buatan
Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Kata
peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, negri
sendiri lebih baik. Dengan mengutamakan barangan tempatan, ia membawa
manfaat serampang dua mata kepada pelbagai pihak. Pertama, ia akan
mengelak aliran keluar wang negara ini. Kedua, ia menggalakkan
pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk
lebih berkualiti dan berdaya saing.

Rakyat dan pengguna tempatan tidak diberikan maklumat lengkap


serta tidak tahu mana satu barangan buatan tempatan atau diimport bagi
memudahkan mereka membuat pilihan. Berikutan itu, FOMCA dengan
kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu
mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. Senarai itu
boleh diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pemasaran
pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat-syarikat terbabit yang
mengeluarkan barangan berkenaan. Maklumlah bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana bermuafakat. Jika rakyat Malaysia mengutamakan
barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapat menjimatkan
RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu.Berikutan itu, pengguna
dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia
dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit
sekarang. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan
menggalakkan rakyat membeli barangan buatan tempatan, serta kurang
bergantung kepada produk import.

Seterusnya ialah peranan Media. Pihak media boleh memberi sokongan


kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan
buatan Malaysia. Pihak media perlu bersedia membantu kerajaan dalam
usaha membangunkan semangat pembelian barangan buatan Malaysia dari
segi mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan
buatan Malaysia. Ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh
kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan. Maklumlah
tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Usaha mengadakan Kempen Belilah
Barangan Buatan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan
dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan
sebagai usaha untuk membantu merangsang ekonomi negara. Kempen ini
harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang
buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk
memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru, semua agensi, sektor
swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing. Kempen yang
bakal diadakan oleh media janganlah bersifat hangat-hanagat tahi ayam.

Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan


pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu
memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan bukan sekadar bekerja
melepaskan batuk di tangga. Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem
pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barangan tempatan. Di
kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapat
barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan tetapi penduduk di
luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga
yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang
kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi
perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani
masalah ini. Maklumlah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Semua pihak iaitu agensi kerajaan dan pihak swasta perlu memberikan
keutamaan dan mengiktiraf pencipta tempatan yang menghasilkan produk
berteknologi tinggi, sekali gus membuang rasa sangsi terhadap keupayaan
mereka. Rakyat perlu memberi peluang dan galakan kepada anak-anak
tempatan dengan cara membeli serta menggunakan produk ciptaan mereka
yang setanding dengan produk import. Institusi kerajaan, swasta dan rakyat
perlu mengutamakan produk berteknologi tinggi rekaan anak tempatan bagi
membolehkan reka cipta tersebut berkembang maju dan lebih berkualiti.
Kata peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni.

Kesimpulannya, tabiat rakyat dan pemimpin perlu diubah. Adalah


malang bagi kita jika kita mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan
barangan tersebut ada di negara kita. Diharapkan kempen belilah barangan
buatan Malaysia ini dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah
menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah lupa dan perlu pula digerakkan
melalui kempen. Jika bukan kita rakyat Malaysia yang mengutamakan dan
memilih barangan buatan tempatan, siapa lagi?

Posted by Subramaniam Rengasamy at 10:00 PM 0 comments

Kesan-kesan kemasukan pendatang asing tanpa izin kepada negara ini.

Ekonomi Malaysia kebelakangan ini berkembang dengan pesat. Projek


pembangunan raksasa berjalan dengan lancar. Sebagai hasilnya, wujudlah peluang
pekerjaan yang meluas dan timbul masalah kekurangan tenaga kerja. Jadi, Malaysia
kini menjadi tumpuan pendatang asing yang ingin mencari rezeki lumayan.
Maklumlah di mana ada gula di situ ada semut. Namun kemasukan pendatang asing
tanpa izin yang banyak telah menimbulkan pelbagai masalah.
Masalah utama ialah kesulitan yang dihadapi oleh kerajaan untuk membanteras
kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Pihak polis, tentera, dan Jabatan
Imigresen terpaksa bekerja keras seperti aur dengan tebing untuk memberkas
mereka. Mereka ditahan dan ditempatkan di kem tahanan sementara. Kedutaan
asing pula kurang bekerjasama. Kedutaan asing enggan mengeluarkan dokumen
perjalanan sementara kepada rakyatnya supaya mereka dapat dihantar balik.
Kedutaan asing juga enggan membiayai kos penghantaran pulang. Hal ini
menyebabkan banyak tenaga, wang, dan masa kerajaan terbazir dalam usaha
mencegah kemasukan pendatang tanpa izin.
Keselamatan sosial kita juga terancam. Ada antara pendatang asing tanpa izin ini
merupakan penjenayah yang dikehendaki oleh pihak berkuasa di negara asal mereka.
Mereka melarikan diri ke Malaysia supaya terlepas daripada serbuan pihak berkuasa
negara asal mereka. Malangnya, mereka terus melakukan jenayah di sini. Kes-kes
rompakan, pembunuhan, dan rogol sering berlaku. Mangsa akan menanggung
trauma sepanjang masa. Kata peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu
yang memikul. Malahan sesetengah taman perumahan dimasuki pencuri setiap
malam buat satu tempoh yang panjang. Hal ini menyebabkan penduduk tempatan
hidup dalam ketakutan. Kes-kes penjenayah warga Indonesia ditembak mati dalam
serbuan polis bukanlah kes yang luar biasa lagi. Malah, tentera kita terpaksa dikerah
ke Semporna, Sabah, untuk menghadapi lanun Filipina yang menggunakan senjata
canggih untuk melakukan rompakan pada siang hari.
Penyakit-penyakit berbahaya juga akan merebak dengan meluas. Buruh asing
yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan. Sebaliknya, pendatang asing tanpa
izin tidak berbuat demikian. Banyak antara mereka berasal dari kawasan mundur di
negara asal mereka. Kesihatan mereka kurang terjamin. Ada antara mereka
menghidap AIDS, tibi, penyakit kelamin, dan sebagainya. Akibatnya, rakyat kita
menjadi mangsa. Statistik telah menunjukkan bilangan rakyat yang menghidap
penyakit tibi meningkat semula. Banyak pendatang asing tanpa izin juga disahkan
sebagai pembawa kuman HIV dan hepatitis. Hubungan mereka secara seksual
dengan pelacur tempatan akan mempercepat jangkitan AIDS. Oleh itu, mencegah
lebih baik daripada mengubati.
Kedatangan pendatang asing, khususnya yang tanpa izin, juga mendatangkan
masalah perumahan. Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram.
Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai
kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan
kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Oleh itu,
pencemaran alam sekitar akan berlaku. Selain itu, pembangunan negara pada mas a
akan datang juga terbantut kerana kemunculan setinggan ini. Imej negara kita juga
terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta
pengagihan ekonomi yang tidak seimbang. Kata peribahasa kerana nila ssetitik, rosak
susu sebelanga.
Hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas. Pihak majikan lebih suka mengupah
pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu
rumah kerana gaji mereka jauh lebih rendah. Hal ini pasti menjejaskan peluang
pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang
pekerjaan ini. Selain itu, banyak antara mereka melibatkan diri dalam perniagaan,
misalnya membuka gerai makanan, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan
sebagainya. Malah ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa
membayar cukai pendapatan. Pada ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya,
peluang pekerjaan rakyat semakin sempit. Hal ini memang tidak adil kepada rakyat
kita. Tindakan ini umpama kera di hutan disusui, anak di pangkuan mati kelaparan.
Kita memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara. Namun kehadiran
mereka, terutamanya golongan tanpa izin, juga menimbulkan masalah. Kerajaan
perlu menangani masalah ini dengan serius supaya rakyat kita tidak menjadi minoriti
di tanah airnya sendiri. Tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, dan tiada masalah
yang tidak dapat diselesaikan.

Posted by Subramaniam Rengasamy at 9:38 PM 2 comments

Khamis, 4 November 2010

Lihat gambar di atas dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha meningkatkan mutu
pengangkutan awam di Malaysia. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

PENGANGKUTAN AWAM DI MALAYSIA

Dalam usaha menuju negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia telah berusaha menyediakan
prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan berjalan lancar. Sistem
pengangkutan yang cuba dibangunkan ini meliputi laluan darat seperti jalan raya dan jalan kereta api,
laluan udara dan laut. Fokus utama pembangunan sistem pengangkutan ini bagi memudahkan orang
ramai berhubung dengan masyarakat tempatan dan masyarakat di dunia luar.
Teksi digunakan sebagai alat pengangkutan mudah untuk pergi ke sesuatu destinasi. Kenderaan tersebut
sebagai keperluan wajib untuk masyarakat ke destanasi yang diinginkan seperti ke sekolah, ke pejabat,
ke surau dan ke pasar raya. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, kerajaan telah mewartakan
semua teksi bandar menggunakan sistem bermeter dan radio teksi.Kerajaan juga telah menggunakan
warna yang berbeza untuk teksi bandar dan luar bandar.Bagi pengangkutan ke destinasi lapangan
terbang, kerajaan telah memperkenalkan teksi limosen. Melalui keadah ini, mutu prkhidmatan dapat
ditingkatkan dan diselaraskan serta memudahkam pengguna. Selain itu, penggunaan teksi bermeter
dapat mengelakkan pemandu teksi melakukan penyelewengan dan menguntungkan pengguna.

Pengangkutan awam yang paling murah dan popular dalam kalangan pengguna ialah bas. Bas biasa
digunakan oleh orang ramai untuk pergi bekerja atau ke pasar raya. Untuk meningkatkan mutu
perkhidmatan ini, kerajaan telah menggalakkan pengusaha bas yang berskala kecil membentuk
konsortium bagi meningkatkan aliran modal. Antara syarikat konsortium yang beroperasi ialah Transit
Link, Couseway Link dan Pak May. Melalui keadah ini, syarikat pengangkutan akan dapat menawarkan
perkhidmatan yang lebih baik dengan cara menggantikan kenderaan yang telah lama dengan kenderaan
yang baru serta selesa. Keadah ini akan menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ini.

Sementara itu, mereka yang ingin ke seberang laut, ramai yang memilih perkhidmatan kapal terbang
dan kapal laut. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS)
dan Air Asia telah menambah destinasi penerbangan baru dan membeli pesawat-peswat yang baru.
Selain itu, syarikat penerbangan ini juga telah menawarkan pekej tambang murah khasnya yang telah
dilakukan oleh Air Asia.Dengan cara ini, ramai pengguna akan mampu menggunakan perkhidmatan ini.

Sesungguhnya, sistem pengangkutan awam di Malaysia boleh dikatakan setanding dengan negara-
negara maju. Oleh itu, menjadi tanggungjawab syarikat yang mengendalikan perkhidmatkan ini terus
mengekalkan dan meningkatkan mutu perkhidmatan agar manarik minat pengguna menggunakannya.

You might also like