You are on page 1of 2

Kemelesetan disiplin dan keruntuhan moral pelajar di sekolah, merupakan satu lagi perkara yang mencabar dan

membebani semua pihak terutamanya ibu bapa masa kini. Bagi mengatasi masalah ini, ia memerlukan pembabitan
pengaruh sekitar untuk menanganinya bersama. Gejala tersebut kian parah berleluasa sehingga terdapat di kalangan
pelajar yang sanggup membakar sekolah kerana marahkan guru atau membalas dendam. Kenyataan ini juga turut diakui
oleh Kementerian Pendidikan yang menyifatkan salah laku disiplin di kalangan pelajar kian meruncing dengan sekian
ramai pelajar menghadapi masalah personaliti dan keluarga. Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan?
Adakah sistem pendidikan di negara kita masih belum mampu mencari formula bagi menangani gejala ini? Atau adakah
KBSM masih belum berkesan untuk membentuk keperibadian dan moral pelajar-pelajar? Atau adakah sekolah tidak
berperanan untuk mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni kepada pelajar-pelajar? Atau adakah ibu bapa sendiri tidak
memainkan tanggungjawab yang sewajarnya dalam mendidik anak-anak.

Kalau dirujuk kepada Falsafah Pendidikan Negara, kita dapat merumuskan bahawa kerajaan berhasrat untuk melihat
pendidikan di Malaysia sebagai alat untuk memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Begitu juga dengan KBSM,
prinsip-prinsip yang digubal jelas menampakkan usaha ke arah kesepaduan ilmu berasaskan konsep JERI dan
penekanan nilai-nilai murni. Namun persoalannya, kenapa timbul juga isu keruntuhan moral dan salah laku disiplin di
kalangan pelajar? Sebenarnya perkara ini tidaklah menghairankan kita. Seberapa ramai manusia boleh menulis ribuan
falsafah dan prinsip-prinsipnya, namun setakat manakah pelaksanaannya dapat direalisasikan secara ikhlas dan
bersungguh-sungguh. Kita tidak menafikan usaha Kementerian Pendidikan menampakkan keikhlasannya seperti
memberikan lebih kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan pelajar dan sebagainya tetapi memadaikah hanya
Kementerian Pendidikan sahaja yang terlibat di dalam menangani kes ini. Dalam senario hari ini, kita dapat melihat
bahawa tidak ada kesepakatan dan kesepaduan tindakan di antara kementerian-kementerian kerajaan untuk
membendung masalah disiplin di kalangan pelajar. Contoh yang dapat dilihat dengan jelas ialah Kementerian Dalam
Negeri (KDN) dan Kementerian Penerangan.

KDN tidak sepatutnya bersikap lepas tangan kerana dengan bersikap demikian, gejala tersebut akan menjadi bertambah
parah dan boleh menjejaskan imej pendidikan di negara ini. Sebagai contoh, KDN bersikap acuh tak acuh dengan
kebanjiran ratusan buku, majalah dan komik berunsur tahyul, seks dan seram yang dikhuatiri boleh meracun minda dan
pemikiran pelajar-pelajar yang membanjiri gerai majalah dl sekitar ibu kota. Begitu juga dengan kebanjiran pita video dan
cakera padat video (VCD) lucah dan ganas yang terlalu mudah diperolehi oleh pelajar di pasaran-pasaran tempatan.
Kemudahan tersebut menyebabkan remaja mudah terdedah dengan gejala-gejala sosial yang boleh memberi kesan
negatif kepada kelakuan mereka. Jadi, apakah tindakan KDN selama ini?

Peranan Kementerian Penerangan juga dipersoalkan di dalam menangani masalah disiplin pelajar ini. Apakah peranan
Kementerian Penerangan terhadap pengaruh siaran media-media elektronik? Apakah selama ini mereka menyajikan
saluran yang terbaik untuk tontonan remaja atau sebaliknya? Menurut kajian, media elektronik memainkan peranan
penting mendedahkan gejala-gejala negatif yang menjadi ikutan remaja hari ini. Mengapa remaja kini bersikap liar,
berpakaian punk dan rock kerana mereka terpengaruh dengan rancangan TV yang menayangkan konsert, video klip
kumpulan rock yang berkelakuan dan berpakaian tidak senonoh yang bertentangan dengan budaya kita. Media kita
sungguh berani mempamerkan adegan-adegan yang tidak sopan dan aksi-aksi wanita separuh bogel. Sekiranya beginilah
sikap Kementerian Penerangan, maka apakah lagi yang dapat diharapkan dari kementerian tersebut untuk membentuk
disiplin pelajar.

Terdapat juga pandangan masyarakat yang menganggap sekolah dan guru kurang profesional di dalam mendidik para
pelajar. Sejauh manakah kenyataan ini tepat? Berdasarkan kajian sosiologi pendidikan, perubahan persepsi masyarakat
masa kini terhadap sekolah disebabkan kerana hakisan pewarisan 'budaya autokratik' sekolah. Budaya autokratik yang
menjadi asas utama institusi sekolah mulai hilang. Kerana itulah peranan sekolah sebagai sebuah institusi, penitipan
budaya, nilai dan ilmu mula dipersoalkan oleh masyarakat terutamanya oleh ibu bapa. Rata-rata hari ini para pendidik
lebih suka menangani masalah disiplin pelajar melalui pendekatan psikologi. Persoalannya, sejauh manakah kaedah ini
dapat membendung salah laku pelajar? Pada pandangan penulis, cara ini bukan tidak baik tetapi ada kalanya kita patut
juga berkeras dengan pelajar. Semuanya mengambil kira kesesuaian dan tingkahlaku pelajar itu sendiri.

Para pendidik juga disarankan supaya menjalin hubungan yang positif dengan para pelajar, di samping memperluaskan
rangkaian hubungan dengan ibu bapa dan masyarakat agar sikap prejudis dan saling tuduh menuduh di antara satu sama
lain dapat dielakkan. Hubungan tersebut dapat diwujudkan melalui PIBG ataupun Majlis Pemuafakatan PIBG Nasional, di
mana fungsinya amat penting dalam menangani gejala sosial pelajar yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Akhir
sekali, peranan ibu bapa amat penting di dalam membentuk sahsiah dan perilaku anak-anak. Ini kerana disiplin pelajar
masih di bawah tanggungjawab ibu bapa, manakala guru hanya bertindak sebagai pembantu dalam memberikan ilmu
pengetahuan dan disiplin dalaman. Ibu bapa perlu membekalkan anak-anak dengan asas-asas ilmu agama dan
membentuk mereka supaya mempunyai “jati diri” serta mempunyai “kawalan diri”. Semuanya berada di tangan ibu bapa,
mereka bebas untuk mencorakkan kehidupan dan masa depan anak-anak mengikut resepi masing-masing. Namun
halangannya tetap ada kerana pengaruh persekitaran di mana anak-anak berada lebih kuat mempengaruhi gaya hidup
mereka. Maka di sinilah terletaknya peranan dan kebijaksanaan ibu bapa.

You might also like