You are on page 1of 25

Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Pengenalan

Satu perkara yang boleh dibanggakan tentang Malaysia ialah kepelbagaian rakyatnya

yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama dan budaya. Citra penduduk

Malaysia ini terbentuk kesan daripada penjajahan British suatu ketika dahulu. Setelah tamatnya

penjajahan British di Tanah Melayu, Bangsa Melayu telah bertolak-ansur dengan membenarkan

bangsa Cina dan India yang ketika itu dibawa masuk oleh pihak British atas urusan ekonomi dan

kerahan tenaga kerja untuk terus tinggal di Tanah Melayu dan diiktiraf kerakyatannya. Inilah

yang disebut-sebut sebagai kontrak sosial. Kontrak sosial merujuk kepada perjanjian antara kaum

Melayu dan kaum Cina dan India untuk membentuk satu Negara yang berbilang kaum.

Terdapat empat elemen penting dalam kontrak sosial yang kemudiannya termaktub

kemas di dalam perlembagaan Malaysia. Pertama, kedudukan Raja-raja Melayu. Kedua, agama

Islam sebagai agama persekutuan,. Ketiga, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan

bahasa rasmi. Keempat dan yang terakhir ialah hak istimewa Melayu dan Bumiputera. Keempat-

empat elemen ini berfungsi untuk memelihara kedudukan bangsa Melayu sebagai penduduk asal

Tanah Melayu dan ini telah diterima dan dipersetujui oleh bangsa-bangsa lain yang terlibat

dalam kontrak sosial itu.

Empat elemen ini kemudiannya telah dijelmakan dalam bentuk dasar-dasar Negara iaitu

Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK), Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan Dasar Kebudayan

Kebangsaan (DKK).Malangnya, kebelakangan ini, ketiga-tiga dasar ini telah dipersoal oleh

kaum-kaum lain atas alasan ketidak-relevannya pada masa kini. Pertukaran bahasa Melayu

1
kepada bahasa Malaysia, cubaan penghapusan DEB, isu biasiswa dan pelbagai lagi telah

mewarnai realiti semasa rakyat Malaysia. Tindakan-tindakan ini telah mencabar ketuanan

Melayu Islam yang merupakan penduduk asal Negara ini. Bibit-bibit perpecahan kaum mula

kelihatan. Demi menjamin perpaduan Negara ini terus utuh, Dasar Kebudayaan Kebangsaan

(DKK) harus diperkasakan perlaksanaannya. DKK telah diputuskan pada tahun 1971 dalam satu

Kongres Kebudayaan Kebangsaan.

Latarbelakang

Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting

dalam proses pembangunan negara di Malaysia di mana keperibadian Malaysia harus

dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi

dan politik. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua

lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.

Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia,

proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya

dapat melahirkan cara hidup yang bersifat keMalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini

harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan

ketahanannegara.

2
Rasional

Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara

membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini

nanti akan dapat menjadi Garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan

identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.

Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta

perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta

pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai

sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan

penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai

unsur-unsur kebudayaan dunia.

Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, penwujudan Kebudayaan

Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan

oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:

(i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini Rantau ini yang

merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan

Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga

Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu.

Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu

sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu

yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa

perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh


3
persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu -

Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-

nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti

dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu

rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam

pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada

Kebudayaan Kebangsaan.

(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan

sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan

penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang

kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab,

Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam

pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah

bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip

Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada

amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan,

Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan

negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam

memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi

kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam

pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi

negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia
4
didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini. Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah

melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Objektif

Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah

penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatupadu. Dengan yang

demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan

untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:

(i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;

(ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan

Kebangsaan; dan

(iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan

kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.

Strategi dan Pelaksanaan Objektif Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:


5
(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunankebudayaan ke arah menguatkan asas-asas

Kebudayaan Kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan,

pengembangan dan perhubungan budaya;

(ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing

dan melatih peminat, mendokong dan menggerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera

pembangunan yang berkesan;

(iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan kearah kesedaran kebangsaan, kenegaraan

dan nasionalisme Malaysia;

(iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan

(v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.

Di samping Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, penglibatan pihak lain

juga adalah penting dalam pelaksanaan dasar ini. Mereka termasuklah Kementerian-

kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, badan-badan

berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan kebudayaan.Peranan Kementerian

Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan dalam pelaksanaan matlamat dan strategi dasar ini

adalah penting. Antara lain Kementerian ini menguruskan penyelidikan, pembangunan

dan penggalakan, pendidikan dan pengembangan kesenian dan perhubungan ke arah

kemajuan kebudayaan kebangsaan. Usaha-usaha itu dicapai melalui aktiviti-aktiviti

6
pembangunan, persembahan seni oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan

urusetia perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri, khidmat nasihat

bagi mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan

antarabangsa.

Peranan Kementerian/Jabatan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun

yang lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini di dalam pengurusan

harian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan

kebudayaan kian diperlukan di mana badan-badan ini boleh memainkan peranan

menjalankan usaha pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masing-

masing dan seterusnya membiayai penajaan program atau projek-projek kebudayaan.

7
Pencapaian dan Masalah dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Berbagai usaha telah dijalankan bagi mencapai matlamat dasar ini. Secara umumnya

pencapaian matlamat dan objektif dasar telah menunjukkan kejayaan yang boleh dibanggakan.

Perlu diingat bahawa di dalam pembentukan dan pewujudan satu Kebudayaan Kebangsaan,

proses penyerapan dan penerimaannya menambil masa yang lama, melangkaui satu generasi

ke satu generasi yang lain. Penggubalan dan pelaksanaan dasar ini, meskipun masih lagi baru

usianya (iaitu sejak penerimaan prinsip asas gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada

tahun 1971) namun pembentukan identiti nasional dan perpaduan kaum dan nilai murni

Islam telahpun dilaksanakan.

Adalah didapati bahawa pencapaian ke arah ini telahpun jelas kelihatan sejak

kebelakangan ini. Identiti kewarganegaraan dan seni budaya Malaysia juga didapati di

dalam perayaan-perayaan antarabangsa dan juga di dalam kegiatan seni sukan dan perayaan

sama ada di peringkat rasmi atau tidak rasmi. Secara ringkas bolehlah dikatakan identiti

negara Malaysia telah dapat diwujudkan secara beransur-ansur.

Walau bagaimanapun, ada kalangan yang mempersoalkan sejauh mana unsur-unsur

kebudayaan lain telah diterapkan dalam proses penwujudan Kebudayaan Kebangsaan itu.

Sebenarnya persoalan ini tidak harus ditimbulkan. Misalnya, Kerajaan Malaysia menyediakan

pendidikan asas percuma selama 6 tahun yang melibatkan sekolah-sekolah, guru-guru dan

buku-buku dalam bahasa Tionghua dan Tamil. Di peringkat menengah pula, Kerajaan

dikehendaki oleh undang-undang untuk menyediakan guru bahasa Cina atau Tamil sekiranya

ibu-bapa kepada 15 atau lebih orang pelajar Cina dan India meminta kelas-kelas bahasa

ibunda. Di peringkat pengajian tinggi pula kerajaan telah lama menubuhkan jabatan-jabatan

8
pengajian Cina dan Tamil di Universiti Malaya. Program-program dalam bahasa Cina dan

Tamil kerap disiarkan oleh Radio dan Televisyen Malaysia. Tidak ketinggalan juga Tahun Baru

Cina, Deepavali, hari Wesak dan Krismas telah diisytiharkan sebagai hari kelepasan am.

Namun demikian ukuran secara terperinci terhadap pencapaian dan kekesanan pelaksanaan

dasar ini adalah sukar dibuat memandangkan bahawa pembentukan sesuatu budaya negara

bukanlah dapat diusahakan dalam satu atau dua dekad. Antara kelemahan-kelemahan

pencapaian dan masalah yang wujud kebelakangan ini adalah berpunca daripada

perkembangan sosioekonomi yang pesat di dalam suasana perhubungan luar secara terbuka

dan tidak terhad. Perkara ini jelas kelihatan di dalam pencemaran bahasa yang tidak

terkawal, penamaan dan perancangan taman-taman perumahan, perbandaran, seni bina yang

tidak sepenuhnya mencerminkan identiti Malaysia, kemasukan unsur-unsur seni dan muzik luar

yang tidak ada kaitan langsung dengan seni budaya asal rantau ini. Kejayaan pelaksanaan

Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini adalah bergantung kepada peruntukan kewangan,

kepakaran dan kecekapan pengurusan yang mengendali dan melaksanakan dasar ini.

Sokongan secara langsung atau tidak langsung oleh semua adalah penting bagi kejayaan

program dan aktiviti-aktiviti dasar ini.

9
Permasalahan Dan Isu-Isu Kebudayaan Kebangsaan

Perbincangan mengenai isu kebudayaan kebangsaan kini telah mencapai usia hampir

setengah abad. Kali pertama isu kebudayaan kebangsaan dibahaskan ialah pada Kongres

Kebudayaan Melayu pertama, yang diadakan di Melaka, pada 30 Disember 1957 hingga 2

Januari 1958. Dalam kongres itu telah dibuat beberapa rumusan yang pada dasarnya

memutuskan bahawa teras kebudayaan kebangsaan di Persekutuan Tanah Melayu seharusnyalah

kebudayaan Melayu. Ketika kongres diadakan pemuka dan peserta kongres adalah rata-ratanya

terdiri daripada orang Melayu; hal ini dapat difahami jika kita mengingat bahawa pada ketika itu

semangat kebangsaan Melayu berada pada zaman pasangnya. Lagi pula, pada zaman itu, seingat

saya, masyarakat bukan Melayu tidak berminat membicarakan isu-isu pembinaan nasional yang

baru dilahirkan.

Tanah Melayu waktu itu baru saja merdeka, dan beberapa bulan sebelum kongres

diadakan para pemimpin pertubuhan-pertubuhan Melayu dari negeri Melaka, Selangor, Negeri

Sembilan, Kedah dan Singapura telah pun bermuafakat untuk “menyiasat” soal kebudayaan

Melayu dan “mencari teras kebudayaan Kebangsaan”. Tetapi seperti yang diungkapkan oleh

Drs.Li Chuan Siu, “selepas kongres itu tidak pernah ada khabar ceritanya”. (Lihat Drs. Li Chuan

Siu, (1967). Ikhtisar Sejarah Pergerakan dan Kesusasteraan Melayu Moden, Kuala Lumpur:

Penerbitan Pustaka Antara, hal. 251-252.) Sekalipun dalam tahun 1960 Perdana Menteri, Tunku

Abdul Rahman, pernah menyatakan di Dewan Rakyat tentang betapa tepatnya kebudayaan

Melayu dijadikan teras kebudayaan kebangsaan, konsep yang lebih jelas dan usaha yang lebih

tersusun belum lagi kelihatan. Hanyalah setelah meledaknya peristiwa 13 Mei 1969 baru

persoalan kebudayaan kebangsaan dibahaskan semula dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan

10
yang diadakan di Universiti Malaya pada 16 – 20 Ogos 1971; seterusnya, selepas itu, terguballah

Dasar Kebudayaan Negara.

Kini tempoh sekitar tiga puluh lima tahun telah berlalu sejak dasar itu dihebahkan.

Seminar demi seminar, wacana demi wacana telah dijadikan forum untuk membahaskan

persoalan kebudayaan kebangsaan, namun isu ini masih elusif dan setiap perbincangan

mengenainya mendatangkan dampak politik yang negatif dari segi hubungan ras, khasnya

hubungan Melayu-Cina. Sepuluh tahun selepas dasar itu diumumkan, Menteri Kebudayaan

Sukan dan Belia waktu itu, Datuk Mokhtar Hashim, menyatakan bahawa usaha dan langkah-

langkah pelaksanaannya akan ditinjau kembali bagi mendapatkan feedback dari semua pihak.

Respons parti-parti politik Cina amatlah jelas. Yang paling lantang menyuarakan bangkangan

terhadap usaha menjadikan kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan kebangsaan ialah

MCA. Parti itu menuntut agar sebarang garis panduan rasmi yang diambil kerajaan bagi

pembangunan kebudayaan “hendaklah berupa hasil rundingan dan perbincangan umum di

kalangan pelbagai kaum.”3 MCA juga menegaskan agar multiculturalism dan interculturalism

diberi keutamaan. Parti Gerakan Malaysia yang juga mendukung multiculturalism sebagai cirri

kebudayaan Malaysia juga menyanggah upaya menjadikan kebudayaan Melayu sebagai asas

kebudayaan kebangsaan. Selain itu, Kua Kia Soong, seorang aktivis yang mempunyai kaitan

akrab dengan pergerakan Dong Jiao Zhong yang gigih memperjuangkan bentuk masyarakat

Malaysia yang bersendikan multilingualism dan multiculturalism, juga menyatakan:

A policy as important as the ‘National Culture’ needs to be deliberately formulated only after

due democratic consultations with all the ethnic communities that make up Malaysia…

11
Pada umumnya orang Cina menganggap pelaksanaan tiga prinsip asas bagi pembentukan

Kebudayaan Kebangsaan lebih mencerminkan “Malay-centrism” atau nasionalisme Melayu.

Pandangan ini, jika dilihat dari sudut sejarah, jelas merupakan pandangan dasar komuniti Cina

amnya di negara ini yang secara konsisten menafikan kedudukan orang Melayu sebagai bangsa

peribumi yang hakiki di negara ini. Memang sejak dasawarsa terakhir sebelum Jepun menduduki

negara ini persaingan dan rasa cemburu antara orang Cina dan Melayu telah pun muncul dan ini

berlanjutan sampai tempoh selepas tamatnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan

pergaduhan Melayu-Cina di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia sebaik sahaja Jepun

menyerah kalah. Tahun-tahun lima puluhan pula telah menajamkan lagi persaingan ini.

Kelemahan dari segi penghayatan suatu sejarah yang dapat dikongsi bersama pada period itu

walau bagaimanapun telah menimbulkan usaha sama yang pragmatis untuk mendapatkan

kemerdekaan Tanah Melayu. Dan sememangnya menjadi syarat Inggeris kepada pemimpin

politik orang Melayu bahawa tanpa wujudnya kerjasama antara kaum (yang bererti bahawa jika

orang Melayu tidak mahu menerima hak-hak politik orang bukan Melayu), tidak mungkin

kemerdekaan dapat diserahkan. Faktor ini jugalah yang mendorong Dato’ Onn bin Jaafar dalam

tahun 1951 untuk mengajak orang Melayu supaya membenarkan penduduk bukan Melayu

menganggotai UMNO. Apabila gagal memujuk orang Melayu, pada tahun yang sama Dato’

Onn, yang seolah-olah yakin dengan prinsip menjadikan Malaya negara yang mengamalkan

politik berbilang kaum, telah mendirikan Independence of Malaya Party, yang membawa

semangat berbilang kaum, tetapi tetap hendak menjadikan “orang Melayu sebagai teras kepada

pohon kayu negara Malaya dan bukan kulitnya”. Pendirian yang sama juga diambil oleh Tunku

Abdul Rahman sebagai pengganti Dato’ Onn untuk memimpin UMNO, iaitu menjalin kerjasama

12
dengan MCA untuk menubuhkan gabungan UMNO-MCA bagi menghadapi pilihanraya majlis

perbandaran Kuala Lumpur dalam bulan Februari 1952 sekalipun Tunku menekankan bahawa

Persekutuan Tanah Melayu adalah negeri orang Melayu. Tetapi setelah bergerak di dalam IMP

ternyata Dato’ Onn kecewa terhadap usaha-usaha orang Cina untuk memperalatkan

kedudukannya sebagai Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri di dalam Majlis Perundangan Persekutuan

bagi mendapatkan hak-hak kerakyatan yang lebih longgar, melobi agar undang-undang

imigresen (pelarangan) 1952 dikendurkan untuk membolehkan orang asing masuk ke Tanah

Melayu dengan lebih mudah; dan menghapuskan rang undang-undang pendaftaran perniagaan

yang mewajibkan sebarang perniagaan didaftarkan. Semua ini menunjukkan betapa sulitnya

orang Melayu mempercayai orang Cina pada zaman itu. Sesungguhnya, dari segi upaya

pembinaan nasion, sejarah semasa Malaysia menampakkan persaingan, yang kemudiannya

menjadi pertandingan (contestation) antara Melayu dengan Cina dalam berbagai bidang,

terutamanya, politik, bahasa dan kebudayaan dan ekonomi.

Tulisan-tulisan mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969 amat kurang memberikan perhatian

kepada faktor bahasa dan budaya sebagai salah satu punca pencetusnya, sekalipun ia tidak sedikit

menyumbang kepada rasa tidak puas hati masyarakat Melayu dewasa itu selain faktor-faktor

ekonomi dan politik. Kendatipun demikian, apabila kerajaan memutuskan untuk menjadikan isu

bahasa kebangsaan, kedudukan raja-raja dan kerakyatan sebagai tabu untuk diungkit oleh mana-

mana pihak, kelihatan sedikit perubahan dari segi pelaksanaan menjadikan bahasa Melayu

sebagai bahasa kebangsaan yang sebelum itu tidak didukung atau disokong oleh semua kaum di

negara ini. Tetapi sayangnya dalam ketaksuban untuk mendaulatkan kedudukan bahasa

kebangsaan itu orang Melayu lupa tentang peri pentingnya mengimbangi hasrat luhur mereka

13
dengan aspek pragmatis dalam menguasai bahasa Inggeris untuk kepentingan jangka panjang.

Kealpaan ini walau bagaimanapun telah dikejutkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada

saat-saat penghujung Dasar Ekonomi Baru apabila secara melulu bahasa Inggeris diangkat

martabatnya dan dibiarkan menggeser, bahkan meminggirkan, bahasa kebangsaan yang baru

kira-kira dua dasawarsa sahaja diberi nyawa yang segar.

Padahnya ialah penghormatan terhadap bahasa Melayu pun menurun. Golongan elit

Melayu sendiri yang seperti burung bayan pun hilang pedoman. Penampilan bahasa Melayu

sebagai bahasa kebangsaan tidak begitu dihiraukan lagi bukan sahaja oleh sebilangan besar

rakyat bukan Melayu tetapi juga oleh elit Melayu sendiri. Mesyuarat-mesyuarat yang

dikendalikan oleh golongan birokrat kerajaan, orang-orang politik (termasuk yang dari parti

pemerintah), golongan korporat dan juga orang akademik merasa janggal untuk menggunakan

bahasa Melayu dengan baik. Memang orang bukan Melayu secara umumnya menyokong

penggunaan bahasa Melayu tetapi hanya sebagai bahasa pasar dan bukan bahasa intelektual atau

bahasa utama yang dapat mengungkapkan idea yang bernas dan komunikasi yang berkesan.

Pada masa sekarang inipun, ada juga ibu bapa Melayu dari kalangan kelas menengah

yang cuba bertutur sepatah-sepatah dalam bahasa Inggeris kepada anaknya yang masih berusia

satu atau dua tahun. Kononnya nak membolehkan anaknya terbiasa dengan bahasa Inggeris. Di

universiti, sesiapa yang biasa membimbing pelajar dalam penulisan latihan ilmiah atau tesis

ataupun seseorang pensyarah yang menjadi pemeriksa luar untuk sesebuah tesis atau menjadi

pembaca luar untuk sebuah karya yang hendak diterbitkan akan, pada keseluruhannya, menemui

penggunaan bahasa Melayu yang jelek yang tidak mencerminkan kemampuan penggunanya

14
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan. Mengapakah kualiti bahasa

Melayu dewasa ini penting dibicarakan? Tidak lain kerana bahasa Melayu itulah yang boleh

menjadi bahasa pengungkapan kebudayaan kebangsaan seandainya rakyat Malaysia masih

merasakan kebudayaan kebangsaan itu perlu. Kini wajar ditanyakan: apakah kebudayaan

kebangsaan itu relevan dalam sebuah masyarakat berbilang kaum?

Berdasarkan pandangan-pandangan orang bukan-Melayu (khasnya Cina) di Malaysia

yang dapat diikuti, mereka jelas menolak tiga prinsip asas pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Sebagai alternatifnya, mereka secara halus menyokong pemakaian bahasa Inggeris dan

menggalakkan pembelajaran bahasa Mandarin . Ciri-ciri multilingualism ini pada akhirnya akan

membentuk kebudayaan yang bersifat multiculturalism. Istilah ini dianggap akan merangkul

jaminan kedudukan kebudayaan dan bahasa serta pendidikan Cina yang integral di dalam

‘identiti kebangsaan Malaysia’. Seperti yang dirumuskan oleh Lim Kit Siang, “ politik orang

Cina zaman pasca-merdeka Malaysia adalah terutamanya politik identiti kebangsaan dalam

proses pembinaan nasion Malaysia, hak kewarganegaraan mereka dari segi politik, ekonomi dan

pendidikan dan pengiktirafan dan penghormatan terhadap bahasa, pendidikan bahasa ibunda,

kebudayaan dan agama mereka”. Di pihak orang Melayu pula mereka pun sedar bahawa tanpa

bahasa Inggeris tidak mungkin mereka dapat memacu kemajuan. Bahkan, keperluan mengatasi

masalah tertentu juga mendorong setengah-setengah orang Melayu untuk menghantar anak-anak

mereka belajar di sekolah Cina. Benar atau tidak, ada anggapan bahawa mutu pendidikan di

sekolah Cina lebih baik daripada sekolah kebangsaan. Dan penguasaan bahasa Mandarin juga

dianggap dapat membantu seseorang di bidang pekerjaan. Hal-hal yang sedang berlaku dalam

masyarakat Malaysia kini terutama kedudukan bahasa kebangsaan yang tidak bermaya tentunya

15
membuat kita berfikir apakah tidak mungkin suatu masa yang terdekat nanti akan lahir sebuah

kebudayaan Malaysia yang lebih bersifat multicultural? Penggubalan Dasar Kebudayaan

Kebangsaan lebih daripada tiga puluh tahun dahulu tidak pernah menyangka fenomena dunia

yang bernama globalisasi akan mencirikan millennium ini. Kini globalisasi, sesuatu yang tidak

diundang dan tidak difahami muslihat yang terkandung di dalamnya sudah menjadi kenyataan.

Dalam konteks globalisasi satu aspek kebudayaan yang menonjol ialah tersebarnya

budaya popular yang sebenarnya merupakan ciptaan yang dihasilkan sebagai cultural objects

yang ditujukan untuk pasaran. Kebudayaan popular atau popular culture yang disebarkan melalui

media elektronik khasnya televisyen, menampilkan sifatnya sebagai sebuah industri dan industri

bersifat teknologi yang memproduksi hiburan yang bersifat komersial untuk khalayak ramai.

Sesuai dengan ciri-ciri globalisasi itu sendiri sebagai manifestasi daripada kapitalisme dan

imperialisme baru, maka budaya popular kini menjadi ancaman kepada budaya yang menjadi

warisan rakyat. Dalam konteks kebudayaan kebangsaan tentulah globalisasi amat memberi kesan

negatif terhadap pertumbuhan kebudayaan kebangsaan yang menekankan identiti kebangsaan

sesuatu nasion. Bagi Malaysia amat jelas perbincangan mengenai kebudayaan kebangsaan

menjadi sukar apabila kita menghadapi realiti yang wujud. Apabila misalnya sesebuah saluran tv

cuba menyalurkan acara-acara kebudayaan yang dianggap warisan kepada masyarakat negara

ini, saingan yang diberikan oleh budaya popular, dalam bentuk filem-filem Hollywood atau

filem-filem asing bersiri seperti soap opera dari Korea, Jepun, Taiwan dan Filipina, yang mudah

menarik minat rakyat jelata tentunya sangat mencabar bagi kebudayaan warisan Malaysia dan

nilai-nilai yang terkandung di dalamnya. Oleh yang demikian wajar dipertanyakan: sejauh

manakah upaya melestarikan sebuah kebudayaan kebangsaan itu dapat bertahan? Apakah tidak

16
mungkin nilai-nilai baru yang bersumber dari luar itu akan membentuk satu kebudayaan baru

yang global sifatnya? Tetapi kita mungkin juga boleh bertanya: apakah akan jadi kepada

masyarakat kita seandainya multiculturalism dijadikan wadah pembentukan idetiti kebangsaan

kita? Dilemma yang dialami oleh banyak negara apabila berlaku pertembungan antara budaya

menunjukkan sekarang ini di setengah-setengah negara Eropah multiculturalism bukan lagi

dilihat sebagai pilihan yang bijak. Kerajaan dan masyarakat Belanda misalnya tidak segan silu

lagi menolak multiculturalism apabila mereka dihadapi dengan kenyataan bahawa mereka harus

berkongsi Negara dan dengan masyarakat Turki dan Arab yang beragama Islam yang

mempunyai sistem nilai yang berbeda. Laungan agar Nederland kembali kepada identity

kebangsaan Belanda yang menghendaki agar kebudayaan kebangsaannya diteguhkan demi

mewujudkan kohesi sosial semakin mendapat dukungan orang Belanda dari pelbagai lapisan

sejak tahun-tahun 1990an. Sekarang ini pemimpin-pemimpin negara sering melaungkan

Malaysia sebagai negara pelbagai budaya yang aman. Tetapi yang nyata ialah setelah hampir

lima puluh tahun negara ini merdeka dari penjajahan, bangsa-bangsa yang berada di Malaysia

yang kononnya membentuk satu nasion masih sukar untuk bersatu. Sebagai sebuah nasion, kita

masih mengamalkan sekolah-sekolah yang berasaskan pemisahan kaum. Di kampus-kampus

universiti, sekalipun para pelajar digalakkan tinggal di asrama yang berbilang kaum tetapi dalam

pergaulan mereka sehari-hari kecenderungan untuk bergaul dengan kaum masing-masing sangat

ketara. Polarisasi kaum juga sangat jelas terungkap melalui internet.

Usaha-usaha yang dijalankan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada

masa ini untuk memulihara dan melestarikan warisan dan kesenian anak negeri adalah suatu cara

menuju ke arah penciptaan identiti budaya negara. Tetapi kebudayaan kebangsaan harus

17
menjangkau lebih daripada mempamerkan budaya warisan dan seni material. Apa yang cuba

diketengahkan dalam kertas ini ialah argumen bahawa kebudayaan kebangsaan seperti yang

dihasratkan, iaitu berlandaskan kebudayaan Melayu tidak mungkin dapat direalisasaikan jika

peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berwibawa tidak dapat diperkasakan.

Tetapi pemerkasaan kedudukan bahasa Melayu tidak bererti bahasa Inggeris tidak dipentingkan

langsung. Berkaitan dengan isu ini juga ialah soal kemerosotan kualiti pendidikan di semua

peringkat. Dalam upaya menyelesaikan masalah ini barangkali wajar difikirkan dengan serius

sama ada perlu atau tidaknya sistem dan dasar pendidikan kebangsaan disemak semula.

Permasalahan kebudayaan kebangsaan juga tidak akan terselesai jika faktor-faktor politik,

ekonomi dan prasangka antara ras tidak diambil kira dan diberikan perhatian. Persoalan

membentuk kebudayaan kebangsaan juga memerlukan penyertaan dan sumbangan dari

masyarakat Melayu dan bukan Melayu, khasnya dari kalangan elitnya. Sikap menanam tebu di

bibir oleh golongan elit Melayu dan bukan Melayu terhadap dasar bahasa kebangsaan tidak akan

memungkinkan sebuah identiti kebangsaan dilahirkan.

18
Isu-isu bahasa dalam pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Bahasa Melayu adalah satu daripada tiga unsur yang dijadikan asas Dasar Kebudayaan

Kebangsaan. Apalah ada pada bahasa? Banyak. Dan bahasa itu adalah paling menentukan

keperibadian bangsa.

a. Tuntutan Bukan Melayu

Dengan tentangan dan tuntutan yang tidak putus-putus daripada kaum-kaum lain sebagai warga

Malaysia, isu Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini bukan hanya sekadar dapatkah bahasa Melayu,

dan kebudayaan Melayu Islam menjadi asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Isu ini lebih besar

daripada sekadar agama, bahasa, dan bangsa yang dicabar. Apa yang jelas adalah, masyarakat

Melayu mesti sepakat dan menerima hakikat yang kita perlu bergerak dan meneruskan

kelangsungan Melayu dalam satu sistem yang adaptif supaya dapat berinteraksi dengan

persekitarannya bagi mempastikan survival kita.

b. Bahaya dari Pemikir Melayu Liberal

Yang lebih membahayakan kita adalah keliberalan berfikir yang menerima demokrasi itu sebagai

kebebasan tanpa sempadan, hatta mengingkari ‘kontrak sosial’ yang menjadi asas pembentukan

Perlembagaan yang kita jadikan kerangka membina Malaysia. Musnahkan ‘kontrak sosial’ ini,

musnahlah Perlembagaan, dan musnahlah Malaysia. Oleh sebab fitrah manusia begitu, mudah

sangat percaya pada apa yang ada daya tarikan intelektual. Atas asas berfikir secara intelektual

sejagat, sudah ada pula Melayu yang mula termakan dengan tunutan-tuntutan ini. Nampaknya

memang tiada apa salahnya kita berkata “menerima sastera dalam bahasa lain sebagai sebahagian

daripada Sastera Malaysia.” Apabila diwarwarkan pula melalui media awam, apa yang kita
19
ungkapkan sebagai “main-main” pun akan menjadi sumber kebenaran dan kekuatan bagi yang

mencari alasan lagi bagi membuat tuntutan bagi memusnahkan ‘kontrak sosial’ bersama.

c. Himpunan Memori Bangsa

Bahasa Melayu yang kita gunakan sama ada sebagai bahasa harian mahupun sebagai bahasa

pendidikan, adalah wahana bagi membina ‘himpunan memori’ kita sebagai orang Melayu

Malaysia. Himpunan memori itu adalah seluruh konsep-konsep, nilai-nilai, norma-norma, nama-

nama, proses-proses, pengalaman-pengalaman, yang membentuk jati diri kita sebagai satu

bangsa. Apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain sebagai bahasa pengucapan kita, maka

himpunan memori bangsa itu tidak dapat dikomunikasi kepada generasi kemudian. Bahasa asing

itu tidak dapat menyalurkan sepenuhnya memori bangsa itu, dan akhirnya identiti kita juga akan

berubah. Kita tidak lagi akan menjadi orang Melayu Malaysia.

Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengucapan harian

mereka di rumah, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini

dengan acuan Inggeris. Tidak dengan acuan Melayu lagi. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi

pula, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung dalam bahasa Inggeris,

bukan idea-idea induk yang terkandung dalam bahasa Melayu lagi.

Oleh kerana bahasa Melayu sudah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana

bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris

menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang

“menjawab” ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif.

Konsep-konsep seperti “derhaka” dan “syurga itu di bawah tapak kaki ibu” hanya terkandung

20
dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti Bahasa Melayu.

Sebaliknya penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-

konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai

bahasa ibundanya.

Oleh kerana itu, nilai-nilai yang terkandung dalam cerita kanak-kanak Melayu seperti

dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah

juga tidak ada kesempatan memasuki benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita

seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan

lain-lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King

Arthur And The Knights Of The Round Table.

Maka itulah sebabnya kita mempertahan bahasa Melayu sebagai asas Dasar Kebudayaan

Kebangsaan. Membenarkan bahasa lain diterima sebagai wahana Kebudayaan Kebangsaan akan

memusnahkan himpunan memori kita, memusnahkan jati diri kita yang dipertahankan dalam

Perlembagaan.

d. Pentingnya Membina Sistem Pemanglian dari Masa ke Masa

Apabila membuat tuntutan hak asasi bagi orang Melayu, di buminya sendiri, sebagai

yang sudah dipersetujui dalam kontrak sosial antara kaum, kita dilabel sebagai Malay-centered,

kita dicap sebagai Malay chauvinist, kita dipanggil kaum yang tidak peka pada kepentingan

kaum lain, kita dituduh mendeskriminasi puak lain. Malah kita dituduh menjadi samseng. Sudah

sampai masanya kita tidak emosi dengan label-label ini. Sudah sampai masanya kita tidak gentar

dengan taktik menakut-nakutkan ini. Sudah tiba masanya kita membuat strategi bagi

21
melaksanakan apa yang kita selidik dan fikirkan, dan mendapatinya betul. Oleh sebab itu kita

perlu mengingatkan semula orang Melayu tentang siapa dirinya, dan apa haknya. Inilah yang

dikatakan pemanglian semula. Bina selalu sistem penangkisan yang diperlukan. Agar

cendekiawan Melayu tidak mudah termakan dengan alasan liberal yang digunakan oleh kaum

lain bagi mengatakan hak asasi mereka tercabar. Di samping itu kita mengajar generasi baru

akan hak asasi mereka, dan perjuangan menegakkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

22
Penutup

Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi

negara Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum

yang mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam

membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti

negara di kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian pelaksanaannya adalah rumit dan

tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat.

Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan

cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan keinsafan itu sahaja Kebudayaan Kebangsaan

akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum. Kebudayaan

yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku

kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah

negara yang merdeka dan bermaruah.

23
Rujukan

1. Yusof Ismail. Dasar-dasar Utama Kerajaan Malaysia. A.S. NOORDEEN. 2006

2. A. Aziz Deraman. Dasar Kebudayaan Kebangsaan : Terabai dan Tersadai. Dewan

Budaya. Disember 2006.

3. Mohamad Daud Mohamad. Budaya Melayu dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Dewan Budaya. Disember 2006.

4. Noor Azam. Perspektif 1969-1979 Edisi Kedua. Dewan Bahasa Dan Pustaka. 2009

5. http://www.scribd.com/doc/Dasar-kebudayaan-kebangsaan

24
LAMPIRAN

25

You might also like