You are on page 1of 3

PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN ALAM

SEKITAR MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


Posted by syafiqe on October 19, 2008
Oleh:
Mohamad Syafiqe bin Abdul Rahim
Jabatan Syariah & Undang-Undang
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Perkataan “alam sekitar” atau dalam bahasa Inggeris disebut “invironment” membawa maksud
keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh itu, sekirannya berdasarkan kepada terjemahan literal,
maka perkataan “alam sekitar” adalah menuju kepada apa sahaja yang melingkungi manusia.
Bagaimanapun, secara khusus perkataan alam sekitar merujuk kepada fenomena fizikal sama ada
biotik atau abiotik yang melingkungi suatu organisma. Fenomena fizikal ini termasuk juga
fenomena yang berkait dengan iklim dan cuaca. (Mohd Zuhdi Marsuku, 2002)
Terdapat satu lagi definsi alam sekitar. Namun ia lebih kepada kefahaman “environmentalisme“.
Dijelaskan bahawa ia merupakan satu istilah geografi tentang doktrin falsafah yang memberikan
penekanan terhadap aspek fizikal alam sekitar seperti keadaan iklim dunia yang berkait dengan
aktiviti manusia. (A. Bullock & O.Stallybrass, 1997)
Kesemua definisi yang dikemukakan di atas secara umumnya menjelaskan alam sekitar adalah
keseluruhan fenomena sekeliling yang boleh mempengaruhi kehidupan sesuatu organisma. Definisi
ini adalah definisi yang diterima dalam pengajian Sains Alam Sekitar yang hanya terbatas kepada
fenomena fizikal sesuai dengan pandangan semesta moden yang berteraskan kepada metode
emperikal. (Mohd Nur Hakimi Razana, 2004)
Dalam menguruskan alam sekitar, Barat memperlihatkan bahawa etika alam sekitar dalam diri
manusia adalah penting bagi menjamin kualiti alam sekitar. Prinsip-prinsip tentang alam sekitar
yang dibahaskan oleh Barat tidak harus bersifat teori sahaja sebaliknya mestilah berupaya
dipraktikkan.
Pengurusan alam sekitar di Barat bermula pada akhir kurun ke 19 kesan daripada Revolusi Industri.
Perkembangan itu bermula dengan tercetusnya kebimbangan ke atas kesan yang timbul daripada
proses pembangunan ke atas alam sekitar. Oleh itu, mereka berusaha dengan pelbagai kaedah bagi
mengawal kualiti alam sekitar daripada terjejas.
Namun, walauapapun kaedah atau langkah yang diambil, mereka masih lagi gagal untuk
menguruskan alam sekitar dengan berkesan. Apa yang pasti, ini disebabkan gejala “pemencilan
pengaruh keagamaan” sebagai salah satu faktor penyumbang kegagalan tersebut.
KONSEP ALAM SEKITAR MENURUT ISLAM
Menurut Islam, “invironmentalisme” berasaskan kepada ajaran tauhid atau kefahaman kesatuan
yang menggabungkan manusia, alam dan tuhan. Agama Islam menjadikan akhlak sebagai teras
hubungan antara manusia, alam dan tuhan. Menurut sebuah hadis Rasullulah, misi kerasulannya
ialah menyempurnakan akhlak yang mulia. (Zaini Ujang, 1993)
Berasaskan dasar itu, sebenarnya sebarang masalah atau pencemaran alam sekitar berpunca
daripada kesempurnaan akhlak manusia terhadap dirinya, alam dan tuhan. Konsep manusia sebagai
khalifah menunjukkan bahawa alam sekitar ini merupakan hak Allah dan ciptaan-Nya maka
manusialah perlu melaksanakan misi dan amanah itu. Di samping itu, alam ini merupakan tanda
yang tersirat atau simbol tentang kebesaran dan kekuasaan Allah.
HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALAM SEKITAR MENURUT ISLAM
Manusia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan alam sekitar kerana manusia dijadikan
daripada unsur-unsur alam dan akhirnya akan kembali seperti asal kejadiannya. Unsur alam lain
seperti air juga mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan manusia kerana ia membina
pertumbuhan dan kesihatan daripada manusia. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang
bermaksud: “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai Bahawa
Sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda Yang satu), lalu
Kami pisahkan antara keduanya? dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda Yang hidup? maka
mengapa mereka tidak mahu beriman?” (al-Anbiya’, 30)
Bahan makanan manusia juga dijadikan daripada unsur air termasuk juga semua jenis haiwan. Ini
telah dijelaskan oleh Allah di dalam firmannya yang bermaksud: “Dan Allah menciptakan tiap-tiap
haiwan Yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan
sebahagian di antaranya berjalan Dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan Dengan empat
kaki. Allah menciptakan apa sahaja Yang ia kehendaki (selain dari Yang tersebut), kerana
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (an-Nur, 45)
Menerusi penjelasan dan penerangan berdasarkan dalil-dalil tentang hubungan manusia dengan
unsur-unsur tadi, dapat dilihat bahawa hubungan manusia dengan alam sekitar adalah sangat erat
saling berkait rapat antara satu sama lain. Malah ada ulama’ yang mengatakan bahawa jasad
manusia dijadikan daripada unsur yang telah bercampur melalui bahan makanan yang didapati
daripada tumbuh-tumbuhan (Muhammad al-Mubarak, 1973). Dengan ini jelaslah kepada kita
betapa jelas dan kompleksnya kejadian manusia dihubungkan terus dengan unsur-unsur bumi.
PENGURUSAN ALAM SEKITAR MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Dalam konteks mengurus alam sekitar, Islam menegaskan supaya manusia tidak melakukan
kerosakan kepada alam sekitar sebagaimana yang telah kita lihat kini, kerosakan alam sekitar yang
dilakukan oleh tangan manusia seperti pembalakan, penarahan bukit dan sebagainya. Dalam hal ini
Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan
di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian)
kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang
mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (al-Rum, 41)
Sesungguhnya alam sekitar dan segala kekayaan adalah milik mutlak Allah sebagaimana firman
Allah yang bermaksud: “Allah jualah Yang Menguasai alam langit dan bumi serta Segala Yang ada
padanya; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (al-Maidah, 120). Jelas, tiada
siapa yang berhak melarang orang lain menceroboh haknya sendiri untuk mencari sara hidup di
alam ini. Tetapi perlulah diingat bahawa dalam mengejar kekayaan, alam sekitar tidak patut dicemar
atau dimusnahkan. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: “Dan
janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela
melakukan kerosakan di bumi” (al-Syu’ara, 183)
Dalam konsep Islam terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai satu pengurusan
alam sekitar yang dikehendaki oleh Islam, maka Islam meletakkan 5 konsep penting yang perlu
diterapkan ke dalam diri manusia supaya wujudnya proses pemeliharaan dan pemuliharaan alam
sekitar.(Mohd Nur Hakim Razana, 2004)
1. Konsep Tauhid
Dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, aspek penting yang paling ditekankan ialah
konsep tauhid. Ini kerana ia merupakan keperluan asas dalam Islam. Dalam pandangan tauhid,
manusia hanya takut pada satu kuasa dan dipertanggungjawabkan dihadapan seorang hakim sahaja,
mengadap pada satu kiblat dan menumpukan harapan dan kehendak pada satu sumber sahaja.
(Mohd Zuhdi Marzuki & Amer Saifude Ghazali, 2002)
1. Konsep Syariah
Syariah adalah teras perundangan hidup Islam. Ia merupakan bidang ilmu pengetahuan yang
menyediakan peradaban Islam dengan peraturan yang tetap. Segala teori Syariah merangkumi
semua aspek kehidupan manusia dan meliputi kehidupan peribadi, sosial, politik dan intelektual.
Secara praktiknya, ia memberi makna dan isi kepada perbuatan orang Islam dalam kegiatan mereka
di dunia. (Ziaudin Sardar, 1990)
1. Konsep Ilmu
Sebagai langkah ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, ilmu pengetahuan
merupakan perkar penting yang mesti ditekankan. Ini kerana orang yang berilmu dan
mengamalkannya tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan diri, masyarakat
dan juga alam sekitar. (Nurhibah Hasan Zawawi, 1999)
1. Konsep Khalifah
Dalam konsep mengurus alam sekitar, konsep ini amat penting untuk manusia menjaga alam sekitar.
Apabila mereka sedar diri mereka sebagai seorang khalifah, maka mereka tidak akan melakukan
kerosakan kepada lam sekitar malah akan menjaga dengan sebaik mungkin.
1. Konsep Akhlak
Akhlak adalah amat penting terutama sekali kearah pengurusan ala sekitar. Akhlak yang mulia
adalah akhlak yang mengarahkan ke arah kebaikan dan keharmonian. Dalam konsep penjagaan
alam sekitar, sifat-sifat mulia seperti kasih sayang, sifat suka menjaga kebersihan,
bertanggungjawab dan sikap murni yang lain amat penting dalam menjaga alam sekitar dengan
sebaiknya.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa semakin pantas dunia berkembang seiring dengan
teknologi terkini, maka begitu juga semakin bertambahnya masalah-masalah yang melibatkan alam
sekitar.Iklim duni ayang semakin panas akibat pemanasan global merupakan salah satu contoh
mudah bagaimana kegagalan manusia dalam memelihara alam sekitar. Sememangnya Islam
menggalkan umatnya agar sentiasa memajukan diri dengan pelbagai nikmat yang dikurniakan di
alam ini. Namun perlu diingat ianya juga tidaklah boleh sehingga melampaui batas yang telah
ditetapkan oleh syariat.
Sepertimana yang telah diperjelaskan penulis sebelum ini, konsep alam sekitar menurut Barat
ternyata hanya menumpukan usaha pemeliharaan alam sekitar berdasarkan konteks falsafah hidup
mereka sahaja tanpa disulami dengan nilai-nilai agama. Mereka beranggapan agama tiada kaitan
dengan alam sekitar. Namun ini ternyata berlainan dengan Islam dimana Islam menekankan
kehidupan ini secara keseluruhan iaitu berdasarkan hubungan manusia yang bukan sahaja terhad
kepada Allah dan manusia tetapi juga meliputi hubungan manusia dengan alam sekitar. Ini jelas
membuktikan setiap makhluk ciptaan Allah itu berhubungan di antara satu sama lain dan saling kait
mengait bagi meneruskan kelangsungan hidup yang harmoni di dunia. Maka dalam hal ini, Islam
menekankan konsep-konsep asas dalam mengurus alam sekitar agar sistem yang telah ditetapkan
Allah itu tidak terganggu. Ini sepertimana yang telah dibicarakan penulis iaitu dengan berdasarkan
konsep tauhid, syariah, ilmu, khalifah dan akhlak. Maka andai kata semua konsep ini berjaya
diasimilasikan dengan sempurna oleh setiap manusia dalam kehidupan mereka maka akan
terjaminlah alam sekitar ini daripada kerakusan manusia itu sendiri. Soalnya kini, mampukah ia
dihayati sepenuhnya ?

You might also like