You are on page 1of 7

PERANAN SEKOLAH DALAM MEREALISASIKAN FALSAFAH

PENDIDIKAN KEBANGSAAN.

Peranan sekolah begitu besar dalam melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan


(FPK). Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh
ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid
untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu
yang sedia ada.

Untuk merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti


ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan
secara menyeluruh.

Aspek Kepemimpinan
Aspek pertama yang perlu diambil perhatian ialah kepemimpinan. Pemimpin sekolah
iaitu guru besar merupakan orang penting dalam memajukan institusi pelajaran di
Malaysia. Mereka perlu berfikiran kreatif dalam pengurusan dan berhubungan dengan
guru dan juga murid. Mereka bertanggungjawab menetapkan falsafah sekolah,
membentuk wawasan sekolah, membentuk visi dan misi sekolah yang berlandaskan
FPK.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu memastikan aspek-aspek seperti budaya sekolah,
aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan juga disiplin murid diberi penekanan dan
perhatian yang sewajarnya supaya hasrat FPK dapat direalisasikan.

Perkembangan semasa memperlihatkan peningkatan peranan guru besar sebagai


peneraju utama di sekolah-sekolah. Penyelidikan oleh Morrisson (2005) mendapati
bahawa perubahan peranan pentadbir sekolah perlu berlaku dalam aspek-aspek
tertentu seperti kepemimpinan, tuntutan kerja, orientasi perniagaan, tanggungjawab,
pengurusan sumber manusia, membuat keputusan, komunikasi, kuasa, dan
perancangan. Peranan guru besar merupakan antara faktor utama yang akan
menentukan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru besar yang berkesan
mampu mengubah keadaan sesebuah sekolah menjadi cemerlang.

Dalam melaksanakan amanah menyediakan sumber manusia menjelang tahun 2020,


fungsi kepemimpinan, pengurusan, dan pentadbiran sekolah menjadi semakin
mencabar. Peranan kepemimpinan di peringkat sekolah mestilah dalam bentuk
instructional leader yang memainkan peranan tertentu pada tahap serta kedudukan
masing-masing untuk melaksanakan sesuatu progam pendidikan. Kepemimpinan
pendidikan juga haruslah berperanan sebagai transformational leader iaitu sebagai agen
transformasi perubahan.

Pemimpin sekolah yang proaktif akan sentiasa membuat jangkaan-jangkaan tentang


perubahan yang sedang dan bakal berlaku agar sentiasa berada dalam keadaan
bersedia. Pemimpin sekolah mestilah juga mampu dan berupaya membimbing guru-
guru di bawah pengawasannya untuk menjadi lebih berkesan.
Sekolah yang berkesan dapat dilihat berdasarkan stail kepemimpinan yang bukan
sekadar mampu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan tetapi juga harus mampu membawa perubahan. Justeru itu, di mana-mana
sekolah, guru besar merupakan individu yang paling berpengaruh dan
bertanggungjawab terhadap sesuatu perubahan.

Menurut kata Wilson dan Corcoran (1988), segala kejayaan dan kegagalan murid
terletak kepada pihak sekolah, iaitu guru besar dan guru. Kepemimpinan guru besar
pula dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali, yang mempengaruhi
kualiti dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial
(iklim), atau budaya sekolah juga merupakan pemboleh ubah yang mempengaruhi dan
menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik murid (Rutter et al,1979).

Aspek Budaya Sekolah


Aspek kedua yang perlu diberi penekanan ialah budaya sekolah. Budaya sekolah,
kadang kala dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek yang penting
dalam merealisasikan FPK. Iklim sekolah yang terbuka menggalakkan murid bebas
berinteraksi di antara murid dengan murid, murid dengan guru serta bebas melibatkan
diri dalam pelbagai aktiviti sekolah. Guru pula boleh bekerja dalam keadaan yang
mesra, berasa tenteram serta melaksanakan tugas dengan adil, dedikasi, gembira dan
sempurna.

Iklim sekolah yang terbuka seperti ini merupakan iklim sekolah yang demokratik dan
iklim ini akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya seperti membentuk
murid lebih berdedikasi, lebih berinisiatif, lebih rela bekerjasama, lebih ramah dan
mesra, lebih spontan dan berkreativiti serta lebih tinggi motivasinya.

Budaya sekolah atau iklim sekolah ini mengandungi empat aspek utama iaitu aspek
fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.
Aspek fizikal merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah,
keselamatan anggota-anggota sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang lengkap,
keselesaan yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga keindahan
sekolah.

Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan


keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati
dan mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan
keadilan.

Seterusnya aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti


semangat mahu belajar sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah.
Sebagai contoh, sekolah memainkan peranannya melalui penganjuran program-
program akademik seperti Program NILAM dengan tujuan membudayakan aktiviti
membaca dalam diri murid-muridnya. Program ini secara tidak langsung dapat
mengembangkan daya pemikiran murid sama ada kritis atau kreatif. Menurut Ee
(1994), tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang
mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu ialah melalui amalan
tabiat membaca yang berterusan.

Aspek yang terakhir ialah penggunaan bahasa. Aspek ini meliputi penggunaan bahasa
secara betul dan jitu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Untuk
meningkatkan prestasi dalam aspek penggunaan bahasa, aktiviti pertandingan,
perbahasan, syarahan dan pidato boleh dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai galakan
penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa kedua – Bahasa Inggeris juga perlu diberi
perhatian sejajar dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan modal insan yang
mampu berdaya saing di peringkat global.
Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan meransang pembelajaran diwujudkan
bertujuan menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan
menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Aspek Ko-kurikulum
Aspek ketiga pula ialah ko-kurikulum. Untuk merealisasikan FPK, sekolah juga perlu
memainkan peranan yang berkesan dalam melaksanakan gerak kerja ko-kurikulum.
Gerak kerja ko-kurikulum merupakan gerak kerja bercorak pendidikan yang dijalankan
di dalam dan di luar waktu sekolah. Gerak kerja merupakan aktiviti-aktiviti kumpulan
secara informal. Gerak kerja ko-kurikulum berasaskan pembelajaran di bilik darjah
adalah kesinambungan kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Walaupun aktiviti-
aktiviti ko-kurikulum lebih bercorak informal, tetapi gerak kerja yang dijalankan adalah
terancang.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah diharapkan akan menyemai sifat-


sifat kepemimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan
murid. Aktiviti ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai
perseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani
dan rohani. Pelaksanaan ko-kurikulum cuba melihat minat dan bakat murid-murid.
Melalui kegiatan kumpulan, semua murid boleh dididik dan mendidik diri sendiri.

Sekolah ialah institusi yang bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan dalam
mendidik murid-murid untuk mengembangkan minat dan bakat. Begitu juga
masyarakat yang bertanggungjawab boleh memainkan peranan mereka dalam mendidik
murid-murid. Ini disebabkan alam masyarakat di luar sekolah sebenarnya amat kaya
dengan ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan oleh murid-murid. Aktiviti-aktiviti
yang boleh dilaksanakan dalam gerak kerja ko-kurikulum ialah pasukan unit
beruniform, persatuan/kelab dan juga sukan. Pihak sekoalh perlu memastikan semua
murid melibatkan diri dalam ko-kurikulum ini kerana gerak kerja ini dianggap sebagai
sebahagian daripada kurikulum sekolah dan sebagai satu bidang pendidikan.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah mempunyai beberapa matlamat


penting yang merangkumi aspek pendidikan, aspek pembelajaran, dan aspek sosialisasi.

Dari aspek pendidikan, pelaksanaan gerak kerja ko-kurikulum di sekolah diharap akan
dapat membina dan menyuburkan sahsiah yang seimbang di kalangan murid;
memupuk nilai-nilai ahklak dan pendidikan yang diingini; memajukan kemahiran,
minat dan bakat murid; meningkatkan disiplin dan kepemimpinan diri; mengukuhkan
dan memperkayakan lagi pengetahuan dan kemahiran; menjadi asas kerjaya pada masa
akan datang dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan menyeronokkan.

Dari aspek pembelajaran pula, kegiatan ko-kurikulum bertujuan untuk mewujudkan


dan mempertingkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan
murid-murid. Selain itu, perhubungan antara guru dengan murid juga dapat
diwujudkan.

Dari aspek sosialisasi, gerak kerja ko-kurikulum ini dilihat mampu melahir dan
membentuk murid-murid yang mempunyai semangat kekitaan dan kewarganegaraan
serta mempunyai rasa dan tanggungjawab berkhidmat untuk masyarakat.
Secara keseluruhannya, pihak sekolah perlu mempertingkatkan kualiti pengurusan ko-
kurikulum dan sukan dengan usaha memperkembangkan lagi potensi individu,
membentuk sahsiah, membantu pertumbuhan jiwa bermasyarakat, meningkatkan mutu
disiplin para murid bagi memperkukuhkan integrasi di kalangan mereka. Selain itu,
pihak sekolah juga harus memberi peluang secukupnya kepada murid-murid untuk
menyertai pelbagai aktiviti terancang bagi memperkembangkan minat, bakat serta
kemahiran masing-masing.

Aspek Guru
Aspek yang seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting dalam merealisasikan
FPK. Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh
dan bersepadu yakni insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dengan pengenalan KBSR dan KBSM di negara kita, peranan guru di sekolah juga
bertambah lebih kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar,
pengurus, fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator,
iaitu orang yang mendatangkan pembaharuan.

Seseorang guru menjalankan seperti menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi


murid-murid. Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya
ditimbulkan terlebih dahulu terhadap topik yang akan disampaikan. Proses
pembelajaran berlaku dengan lebih cepat sekiranya murid-murid mempunyai minat
terhadap pelajaran itu.

Oleh itu, adalah penting bagi guru menggerakkan muridnya dengan berbagai-bagai cara
seperti menggunakan pelbagai jenis alat bantu mengajar, mengadakan main peranan
(role playing), mengadakan simulasi dan sebagainya.

Selain itu, guru juga mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam sesebuah
bilik darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama, langkah kedua,
langkah ketiga dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran haruslah diatur supaya
murid-murid mendapat faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran. Gurulah yang
menjalankan tugas mengatur setiap langkah pembelajaran. Dalam mengatur langkah-
langkah pembelajaran, guru akan merancang terlebih dahulu. Apabila membuat sesuatu
rancangan, keperluan-keperluan murid, objektif-objektif pelajaran, bahan-bahan dan
alat-alat mengajar seharusnya dipertimbangkan. Pengajaran yang dirancangkan dengan
baik akan membawa faedah yang besar kepada murid-murid.

Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar.
Guru seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman murid
untuk membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah lagi.
Perkataan-perkataan yang digunakan oleh guru sepatutnya mudah difahami dan
penerangannya padat serta jelas. Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta,
gambar, perbandingan dan graf dapat menjelaskan lagi sesuatu konsep yang
disampaikan. Guru juga menolong murid-murid mengatur fakta-fakta supaya menjadi
konsep yang konkrit dan bermakna. Idea yang abstrak boleh dijadikan konkrit dengan
menggunakan carta dan alat bantu mengajar lain.

Guru perlu juga menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti


sehingga pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya
dengan menjalankan berbagai-bagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesani sejauh
manakah objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai.

Ringkasnya, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan berilmu
dan bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat kenegaraan yang
akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa hadapan.

Aspek disiplin.
Aspek yang terakhir ialah disiplin. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama
bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi.
Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang
perkembangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan FPK.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah cuba


mentakrifkan disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu untuk menghormati dan
mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan
kerelaan sendiri; juga kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan
cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, mengamalkan tingkah laku
hormat-menghormati di antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-
menolong dan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta
sanggup berkhidmat untuk masyarakat. Disiplin juga ada kaitannya dengan tatatertib,
tatasusila, kesopanan dan ahklak.
Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam
membentuk disiplin murid-murid. Masalah disiplin murid akan menjejaskan tumpuan
mereka terhadap pelajaran. Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama
warga sekolah iaitu guru besar, guru disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat
sekitar sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting bagi memastikan kelancaran proses
pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah
jawatan kuasa menangani gejala disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik
beberapa ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan
sekolah bagi memantau disiplin murid. Pihak sekolah juga hendaklah memantau
kawasan sekolah yang terdapat masalah disiplin.

Apa yang lebih penting, murid lemah dan berdisiplin memerlukan perhatian khas
daripada pihak sekolah. Semua ini perlu dilakukan dengan bijak supaya tidak berlaku
pengasingan dan perbezaan di antara mereka dengan murid lain di sekolah.

Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina
semula sahsiah dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru
bimbingan dan kaunseling ialah menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan murid-
murid yang mempunyai masalah disiplin dengan tujuan mewujudkan tingkah laku yang
diingini. Selain itu, guru bimbingan dan kaunseling juga berfungsi untuk membina
perhubungan dengan ibu bapa/ penjaga murid-murid yang mempunyai masalah
disiplin, pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis.

Disiplin yang baik membawa beberapa faedah kepada guru dan murid. Faedah-faedah
tersebut adalah seperti berikut:

Pengajaran dapat dijalankan dengan licin dan teratur.


Pembelajaran dapat dilaksanakan dalam suasana yang tenang serta teratur.
Keberkesanan pengajaran-pembelajaran akan dapat ditingkatkan lagi.
Murid-murid menjadi lebih produktif jika mereka berdisiplin.
Keselamatan murid-murid dapat dijamin kerana setiap murid dapat mematuhi
peraturan-peraturan sekolah.
Kemalangan yang berlaku di makmal atau bilik darjah dapat dikurangkan.
Segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya persekitaran


sekolah yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan
diri murid ke arah kecemerlangan dan kegemilangan, selaras dengan hasrat negara yang
menekankan usaha pembentukan modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, berdasarkan kepada semua huraian diatas, maka ternyatalah bahawa
kejayaan sesebuah sekolah dalam merealisasikan FPK adalah bergantung kepada aspek-
aspek kepemimpinan, budaya sekolah, ko-kurikulum, guru dan juga disiplin. Semua
aspek ini akan menentukan modal insan yang bakal dihasilkan sama ada memenuhi
hasrat FPK atau tidak. Kejayaan sekolah dalam merealisasikan FPK juga secara tidak
langsung mampu menjana dan membina modal insan yang berkualiti. Merujuk kepada
PIPP (2006), negara kita berhasrat untuk menghasilkan “modal insan yang mempunyai
jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia, berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi… perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif,
berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru,
mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran
dunia global yang sering berubah-ubah”. Sekali lagi dinyatakan bahawa, peranan
sekolah amat penting dalam menyahut cabaran yang terkandung di dalam FPK untuk
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak
mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

You might also like