You are on page 1of 9

Remaja

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Remaja pada umumnya merujuk kepada golongan manusia yang berumur 12-21 tahun.
Dari sudut perkembangan manusia, remaja merujuk kepada satu peringkat perkembangan
manusia, iaitu peringkat transisi antara peringkat kanak-kanak dan peringkat dewasa.

Semasa seseorang itu mengalami zaman remaja dia akan mengalami pelbagai perubahan
yang drastik, termasuklah perubahan jasmani, sosial, emosi, dan bahasa. Akibat daripada
itu, orang remaja merupakan orang yang emosinya tidak stabil, dan sentiasa
"bermasalah".

Ciri-ciri Manusia Remaja


• Suka bergaulan dengan rakan sebaya daripada ibu bapa
Pada peringkat ini, manusia remaja akan mula belajar bergaulan dengan orang
lain selain daripada ahli anggota keluarga mereka. Ini bermaksud bahawa
peringkat remaja merupakan peringkat perkembangan sosial seseorang.
Sehubungan itu, orang remaja adalah suka berkawan dan senang tersinggung oleh
masalah sosial.
• Suka berangan-angan
Remaja yang normal mempunyai angan-angan sihat mengenai masa depan
mereka. Mereka sentiasa memikirkan apa yang akan mereka buat pada masa
hadapan.
• Senang Terpengaruh oleh Emosi
Orang remaja merupakan orang yang senang terpengaruh oleh emosi. Ini adalah
kerana rasional mereka masih berkembang dan belum sampai ke satu tahap yang
mantap..
TAJUK : Huraikan Masalah Sosial Yang Di Kesan Di Kalangan Pelajar

1.0 Pengenalan
Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah
melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang
dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan
pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah yang hangat
diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media
massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang
masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada
masalah sosial dan perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar
membimbangkan kita.
Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat
pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para
remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah
merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak
semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang
mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah
laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada
alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim, 1950).
Mereka bukan sekadar nakal dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau
berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari
dari rumah , seks bebas serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini
sudah berani melakukan perbuatan jenayah berat seperti menganggotai kumpulan
samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api mahupun
dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme penyalahgunaan dadah , minum
minuman keras, terbabit video lucah dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja
berlaku disekolah bandar dan di pinggiran bandar, malah disekolah luar bandar. Pelajar
yang sering melanggar disiplin atau salah laku sekolah digelar pelajar devian.

2.0 Teori Punca Salah Laku Dan Masalah Sosial Pelajar


Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme
menganggap devian sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan
devian merupakan tindakan golongan tertindas terhadap pihak minoriti yang menindas.
Teori subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat devian berpunca daripada
budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi selalu
berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan emosi. Remaja terutamanya
daripada latar belakang kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik
mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu bertindak melakukan devian.
Teori interaksionisme melihat devian sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan
suatu proses sosial. Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut kemahuan
mereka yang sesuai dengan cara mereka menginterpretasi sesuatu . Kajian Tattum
(1986) mendapati bahawa pelajar sengaja melakukan devian sebagai teknik neutralisasi
dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938) terdapat empat jenis devian iaitu
inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang salah), ritual (tindakan
mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi berminat dengan matlamatnya
lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan ) dan menentang (menolak matlamat
persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain).

3.0 Masalah-Masalah Sosial Pelajar


3.0.1 Seks Bebas Dan Jenayah Seksual
Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan
membimbangkan kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota . Apa yang
menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika
mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah
sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan
dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut
Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi
petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.
Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau
pernah membuat tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan
merasa sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk
minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan terdapat
seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam pengedaran pil ecstasy. Pelajat
terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar itu
adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah
seksual di kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat
sejak kebelakangan ini. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti mencabul
kehormatan , merogol dan juga pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan
sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual, beliau
mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah dan pelacuran
dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur berjaya
diselamatkan daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan
sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat berjaya
diselamatkan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh
empat orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guru-
guru, didapati bahawa seorang daripada murid itu mengulangi apa yang yang
dilihatnya dalam sebuah filem lucah , bersama-sama ibu bapanya pada malam
sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab sifat ingin tahu, dia meminta rakan-rakannya
untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik darjah.
Namun apa yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup
mendedahkan anaknya kearah gejala sosial dengan menonton video lucah bersama-
samanya. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini ? Apakah
faktor yang menyebabkan berlakunya semua ini ? Adakah anak yang perlu
dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang perlu dipersalahkan ? Ibu bapa
hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-anak kerana
pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat dan lambakan bahan-bahan lucah
seperti majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak
dan para pelajar.
Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus
wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan
kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih
terbuka dan bebas. Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah
penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja.
Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan,
penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di
kalangan remaja. Justeru itu, satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian
terbuka yang sesuai dengan minat dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka
dapat mempertingkatkan potensi diri mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih
positif.

3.0.2 Samseng Dan Gengsterisme


Gejala samseng atau gengsterime di sekolah menengah di seluruh negara juga semakin
membimbangkan .Mereka ternyata semakin berani mencabar undang-undang dan tidak
takut melakukan kesalahan jenayah termasuk menggunakan senjata merbahaya.. Berita
Harian , 12 Julai 2001 lalu melaporkan dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga 1998
kadar jenayah membabitkan remaja lelaki dan pelajar meningkat sebanyak 35 peratus
dan 25 peratus bagi remaja perempuan. Kemeterian Pendidikan dengan kerjasama polis
telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah menengah di seluruh negara terdedah
kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan sedikit dan menunjukkan gejala ini ini
berada pada tahap membimbangkan .
Kalau kita menyorot kembali gejala ini, kita akan diperlihatkan kepada pembabitan
pelajar dalam kes jenayah berat seperti membunuh, merogol, menyamun, mengugut dan
kes pukul. Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan dadah, mabuk, memiliki senjata
api menceroboh , judi dan membuli.
Peristiwa terbaru ialah kejadian membakar sekolah dan rumah guru yang dilakukan
oleh pelajar sekolah. Seawal belasan tahun pelajar sudah terjebak dengan jenayah
ekstrem seperti membunuh , merogol dan menyamun. Mereka yang sudah menjinakkan
diri dengan kes seperti mencuri motosikal, pecah rumah dan memukul orang , tidak
mustahil akan terbabit dengan jenayah berat seperti membunuh, sindiket senjata api ,
pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api. Mengikut laporan Menteri Pendidikan
semasa persidangan di Parlimen, statistik kesalahan membunuh, merompak, merogol
dan dadah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh mengikut
negeri-negeri dari tahun 1999 hingga tahun 2000 dan pertengahan tahun 2001 ialah 12
kes bunuh, 123 kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut seperti
faktor rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri pelajar itu sendiri .
Ramai pelajar dan remaja mudah terpengaruh dengan media yang memberikan ganjaran
keseronokan dan mula tersesat dengan meniru apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan
media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang
kebanyakannya merosakkan pemikiran mereka. Selain itu rumah tangga yang porak
peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang kearah kelakuan tidak baik
di kalangan remaja .Sekiranya ini berlaku pelajar atau remaja akan mengambil jalan
singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai jalan keluar kepada
permasalahan mereka.

3.0.3 Ponteng Sekolah


Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial yang baru di kalangan
pelajar sekolah di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pendidikan menunjukkan pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan iaitu
32092 orang pada tahun 1993, 154305 (1995) dan 80937 pada 1997. Pelajar sekolah
menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti sebagai
kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng. Daripada keseluruhan pelajar
yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari
kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah pelajar perempuan.
Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan , Datuk Mahadzir Mohd Khir ,
masalah ponteng lebih ketara berlaku di kalangan pelajar peringkat menengah iaitu
tingkatan dua dan tiga terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah
di pinggir bandar.
Di antara faktor-faktor yang menyumbang kearah berlakunya gejala ponteng di
kalangan pelajar sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada
kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan , pengaruh persekitaran seperti melepak
di pusat hiburan, pusat membeli belah, melayari internet di kafe siber dan terikut-ikut
atau terpengaruh dengan rakan sebaya.
Sesungguhnya gejala ponteng sekolah adalah masalah serius yang perlu diberi
perhatian.dengan mengambil pendekatan bersepadu dengan mengesan punca pelajar
terbabit dengan gejala itu dan kaedah yang berkesan untuk menanganinya..

3.0.4 Black Metal


Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial kian meningkat. Yang
lebih menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang menjangkiti
remaja melayu babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang
terakhir dan masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Pink
Metal. Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi
baru kerana kelekaan sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan
masalah masyarakat yang telah membelakangkan adab dan budayanya
sendiri sehingga wujud satu kekosongan atau vacum yang kaku dan bisu.
Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang mempunyai unsur pemujaan dan
penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka yang sudah meminum darah kambing
sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka.. Hasil daripada siasatan, polis mendapati
10 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Parit Buntar mula terbabit dengan kumpulan
Black Metal sejak 1999. Ada diantara pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara
membakar ayat Al Quran dan mengikuti upacara yang diketuai `tok guru` yang
berselubung hitam.
Akibat dari ketandusan aqidah , pelajar Islam mula terpengaruh dengan agenda Yahudi
dengan menafikan tauhid Uluhiyyah. Adalah menjadi perkara yang sangat
menyedihkan dan mengecewakan apabila terdapat golongan pelajar Islam di negara ini
yang terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat ini. Ilmu dan pengajaran daripada
simpulan bahasa dan perumpamaan melayu misalnya, tidak langsung mendapat tempat
sebagai pegangan hidup kita.
Membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak dari
seluruh anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan kerjasama yang padu
di kalangan anggota masyarakat. Dengan komitmen, kesungguhan dan
keikhlasan semua pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya,
tanpa kita membebankan mana-mana pihak.

3.0.5 Dadah, Merokok dan Lari Dari Rumah


Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam kes merokok, dadah, lari dari rumah
dan judi bukanlah perkara yang baru. Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah yang
dilakukan oleh pelajar sekolah bagi tahun 1999 ialah sebanyak 328 kes manakala bagi
tahun 2000 ialah sebanyak 448 kes. Diantara jenis-jenis dadah yang dikesan dikalangan
pelajar ialah ganja, heroin, pil ectasy, menghidu gam, meminum ubat batuk dan lain-lain
bahan yang mempunyai kesan-kesan dadah. Akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh
25.08.2000 melaporkan bahawa 10 orang pelajar ditahan dalam serbuan polis yang
disyaki ponteng dan menghidu gam.
Masalah merokok di kalangan pelajar pula semakin bertambah bilangannya dari sehari
ke sehari. Akhbar Berita Harian bertarikh 30.03 1998 melaporkan terdapat lebih 7000
murid tahun 4 telah merokok diseluruh negeri. Terdapat beberapa sebab pelajar merokok
seperti ingin menonjolkan emej yang hebat dan kedewasaan, ingin mencuba, dan
mengikut tingkah laku ibu bapa , pengaruh rakan sebaya dan iklan serta mudah
diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi kesalahan yang selalu melibatkan para remaja
ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik untuk tahun-tahun kebelakangan ini
menunjukkan remaja yang lari atau menghilangkan dari rumah semakin
membimbangkan Masalah ini mungkin akan menyebabkan wujudnya masalah yang lebih
besar apabila mereka menghadapi kesulitan hidup setelah dari dari rumah seperti
terlibat dalam pelacuran, pelayan di kelab malam atau disco dan sebagainya.

4.0 Penutup
Melihat kepada permasalahan dan gejala sosial yang melanda para pelajar dan remaja
kita pada hari ini amatlah mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah sampai ke
tahap yang dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan generasi
Malaysia. Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai
sikap dan tingkahlaku pelajar dan remaja tetapi kajiannya lebih bersifat tujuan akademik
dan tertumpu kepada punca masalah dan biasanya bersifat umum sahaja. Di sebabkan
terlalu banyak punca yang diramalkan , tindakan untuk membendung masalah tidak lagi
berfokus.
Meskipun ada cadangan mengenai cara mana mengatasi masalah, namun ia hanya
berakhir di meja perbincangan, forum atau seminar. Memang ada program yang
dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi ianya hanya memberi manfaat kepada
segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial.. Ibu bapa, guru-guru, dan
masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul tanggungjawab
mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai masyarakat mikro, sekolah sepatutnya
mempunyai ciri-ciri yang ada dalam masyarakat makro. Oleh itu adalah wajar supaya
pelajar didedahkan akan kesan buruk dalam masyarakat malalui interaksi mereka di
sekolah. Kerajaan juga perlu melancarkan satu kempen yang menyeluruh untuk
menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan diri dalam apa jua bentuk
gejala buruk yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga mereka. Golongan ini
juga perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang agar mereka gementar
dengan hukuman.
Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan
negara.. Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting
dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah
akhlak di kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga
manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu segala
masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan di atasi supaya ia
tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset yang tidak ternilai ini.

Rujukan

Amir Hasan Dawi, 2001 . Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan. Tanjong Malim :
Quantum Books.

Alex Inkeles, 1982 . What is Sociology? : An Introduction to the Discipline and


Profession. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahadi Osman, 1996 . Masyarakat melayu dan gejala sosial. Kuala Lumpur:
Institut Perkembangan Minda.

Utusan Malaysia, 20 Sept.2000 . Seks Bebas.

Berita Harian, 1 Julai 2000 . Punca Masalah Disiplin Pelajar.

Utusan Malaysia, 17 Oktober 2000 . Jenayah Pelajar.

Berita Harian, 31 Mei 2000 . Tangani Masalah Remaja Lebih Serius.


Oleh Rasid Rahaman
KETIKA memandu seorang diri, tiba-tiba saya teringat beberapa kejadian menyedihkan
ketika bertugas sebagai wartawan di Harian Metro sekitar awal 1990-an.

Ketika itu perkataan bohsia dan bohjan masih asing lagi. Begitu juga mat rempit, tetapi
penyakit sosial membabitkan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun sudah parah. Apa
tidaknya ketika membuat tinjauan masalah sosial di kalangan remaja ketika itu, pelbagai
maklumat saya peroleh. Antaranya membabitkan tiga gadis remaja tinggal sebilik dengan
dua remaja lelaki. Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mengandung anak luar
nikah, tetapi berjaya menyorokkan daripada diketahui sesiapa walaupun kandungan
sudah berusia lapan bulan.

Di dalam beg tangan kebanyakan remaja perempuan, tersimpan pil perancang, kondom
dan pelbagai lagi khazanah untuk diri sebagai perlindungan ketika melakukan seks bebas.

Kejadian itu berlaku 15 tahun lalu dan kini saya tidak tahu ke mana perginya remaja
terbabit yang mungkin sudah berusia antara 28 hingga 30 tahun. Mungkin mereka insaf
atau terus bergelombang dengan dosa sama ada sebagai pelayan perhubungan pelanggan
(GRO) atau pelacur.

Pengalaman itu menyedarkan saya bahawa kita sebagai ibu bapa selama ini gagal
melaksanakan tanggungjawab kepada anak menyebabkan mereka terlalu lemah
menghadapi pelbagai dugaan hidup. Oleh itu, tidak hairanlah ramai daripada anak kita
terjerumus dalam masalah sosial dan kegiatan maksiat.

Anak ialah pertaruhan yang Allah amanahkan kepada kita supaya menjaga dan
memelihara mereka. Sebagai ibu bapa kita mesti berusaha bersungguh-sungguh
melaksanakan didikan agama. Tugas mendidik anak beragama itu adalah wajib
hukumnya, bukan setakat pendidikan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),
Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa terhadap anak amat berat. Jika kita salah mendidik
atau mengabaikannya, anak kita mungkin menjadi tidak keruan hidupnya.

Sungguh malang, sudahlah kita tidak memberi didikan agama kepada mereka, kita sendiri
tidak berpengetahuan agama dan paling dahsyat lagi, kita asyik mengumpul dan
terpengaruh dengan pujukan dunia.

Oleh kerana hendakkan kemewahan berlipat ganda, kita abaikan tugas sebagai bapa dan
suami. Anak maharajalela dan isteri pula tidak mendengar kata, malah ada yang berlaku
curang.
Sedarkah kita ada di kalangan anak tidak tahu membaca al-Quran. Tidak tahu
sembahyang bahkan al-Fatihah pun tidak boleh baca, jauh sekali daripada menghafalnya.
Ada juga yang tidak tahu menyebut syahadah walaupun sudah baligh.

Akibatnya kebanyakan anak hari ini terdiri daripada mereka yang hanya pandai berfoya-
foya, pandai menyakitkan hati dan meracuni jiwa serta menderhakai orang tua mereka.

Apa yang dikesalkan, kita tidak mahu menyalahkan diri sendiri tetapi menyalahkan anak
dan paling teruk menyalahkan orang lain. Sebenarnya semua ini berpunca daripada kita
yang tidak mengambil berat mengenai didikan agama.

Puncanya kerana perasaan kasih sayang sudah luput daripada kita. Kebanyakan kita
sudah tidak menyayangi anak lagi. Buktinya kita tidak ambil pusing hal keagamaan anak
kita.

Ingatlah antara tiga bekalan di akhirat kelak ialah amal jariah, ilmu yang diperturunkan
kepada orang lain dan doa anak salih. Jika anak hendak membaca al-Fatihah pun tidak
tahu, macam mana dia hendak mendoakan kita kelak.

Sebenarnya kita tahu, tetapi sengaja tidak mengambil tahu bahawa anak yang beribadat,
bersembahyang dan mendoakan kita, pahalanya juga akan sampai kepada kita lantaran
didikan dan asuhan kita dulu. Ibarat pokok yang kering apabila disiram air akan segar
semula. Begitulah mustajab anak yang salih mendoakan ibu bapanya.

You might also like