You are on page 1of 20

PENGENALAN

Dalam pembentukan sejarah manusia, tamadun merupakan asas pelahiran dan


perjalanan sebuah bangsa dalam mencorak dunia ini. Wujudnya tamadun adalah
disebabkan pencapaian sesuatu bangsa itu atas nilai-nilai kehidupan dan moraliti
mereka. Ini kemudiannya diselangi dengan peningkatan kehidupan dan kemajuan
yang dicapai dalam tempoh tertentu dan dengan itu sesebuah tamadun itu telah
mencapai zaman kegemilangannya.

Sesebuah tamadun itu wujud atas beberapa faktor. Disebabkan faktor-faktor


ini juga tamadun itu terus berkembang maju dan meningkat. Antara faktor yang
membolehkan tamadun itu wujud, berkembang dan meningkat adalah lokasi. Lokasi
memainkan peranan yang penting dalam pembinaan sesebuah tamadun di mana
dari lokasi itu kemudiannya lahirlah satu kegiatan, baik ekonomi atau pembangunan,
yang kemudiannya membolehkan tamadun itu terus wujud dan kekal wujud.

Dalam tugasan kali ini, kita akan mengkaji tentang lokasi kemunculan
tamadun awal manusia, difokuskan di bawah tajuk sungai. Kita akan mengkaji
apakah itu sungai, mengapakan sungai menjadi pilihan kewujudan tamadun awal
manusia, bagaimanakah sungai memberi impak kepada perkembangan dan
peningkatan sesebuah tamadun, kenapakah sungai boleh menjadi penghalang
kepada pembangunan dan kekuatan sesebuah tamadun dan implikasi kewujudan
tamadun di sekitar sungai. Setiap satu persoalan di atas akan dikupas dengan
menyeluruh dan mendalam bagi mendapatkan pemahaman yang baik tentang
pembelajaran kursus Tamadun Islam Tamadun Asia ini. Segala hasil kupasan akan
dibentang dalam kertas kerja untuk kerja kursus ini.

1
1.0 TAMADUN
1.1 Pengertian tamadun

Pada dasarnya, perkataan tamadun ini berasal daripada perkataan dalam


bahasa Arab iaitu daripada perkataan ‘mudun’ dan ‘madain’. Selain dari dua
perkataan ini, terdapat satu lagi perkataan, yang turut daripada bahasa Arab,
iaitu ‘madana’. Semua perkataan ini membawa satu maksud yang sama iaitu
bererti “tinggi budi bahasa” dan “pembukaan bandar”, menjurus kepada
tamadun.

Di dalam bahasa Inggeris pula, ia dipanggil civilization yang mana akar


perkataan ini berasal daripada bahasa Greek iaitu ‘civitas’, bermaksud
bandar.

Dalam memahami apa itu tamadun, kebiasaan yang boleh kita gunakan ialah
peradaban, yang membawa maksud sama dengan tamadun. Definisi
tamadun pada keseluruhannya (gabungan daripada semua pandangan
sarjana) ialah:

1. Bagi masyarakat barat, tamadun bermaksud pembangunan lahiriah,


terutamanya dalam hal-hal kebudayaan. Pernyataan ini disokong oleh
beberapa cendikiawan barat dalam bidang sejarah seperti Darcy Riberio
(The Civilization Process), Clive Bell (Civilization and Old Finds), Redfield
(Introduction to the Civilization of India: Changing Dimensions of India and
Culture), Karl Witfogel (The Approaches to Asian Civilisation) dan Arnold
Toynbee (The Study of History) dan lain-lain lagi. Menurut Darcy Riberio
dan R. A. Buchanan, mereka berpandangan menolak unsur rohaniah dan
menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses
perkembangan tamadun.
2. Pada pandangan Islam pula, tamadun merangkumi pembangunan lahiriah
dan rohaniah. Justeru itu, Islam menekankan kedua-duanya dalam proses
perkembangan tamadun. Definisi ini disokong oleh Syed Naquib al-Attas,
Abu Nasir al-Farabi (as-Siyasah al-Madaniah), Jurji Zaidan (Tarikh at-
Tamaddun al-Islami) dan Muhammad Rashid Redha berdasarkan
penjelasan definisi daripada sejarawan Islam yang terulung iaitu Ibnu
Khaldun (al-Muqaddimah). Terdapat juga segelintir cendikiawan barat

2
yang menyokong pandangan Islam ini seperti Richard Sullivan, dengan
mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep
ketamadunan.

Secara umumnya, konsep tamadun mementingkan pencapaian lahiriah


seperti kesenian dan pembinaan kota serta pencapaian dalam aspek
rohaniah, tatasusila dan moral.

1.2 Ciri-ciri tamadun

Antara ciri-ciri tamadun ialah:

1. Kewujudan petempatan kekal: manusia hidup secara menetap dan tempat


yang dipilih penting untuk menjamin bekalan makanan yang kekal.
Kemajuan dalam pertanian berlaku iaitu dari segi penanaman dan
penyimpanan makanan serta penternakan binatang. Peralatan baru
dicipta seperti cangkul dan penggunaan teknologi seperti sistem
pengairan yang baik. Pengeluaran meningkat dan membawa kepada
lebihan pengeluaran. Ini dapat menampung pertambahan jumlah
penduduk.
2. Kehidupan berorganisasi: kehidupan secara berorganisasi mampu
mengatur cara hidup manusia bagi memastikan kestabilan dan
kemakmuran kehidupan mereka. Pada mulanya, organisasi sosial yang
wujud ialah sistem keluarga. Proses pembahagian kerja masyarakat
menjadi lebih kompleks. Sistem sosial tamadun awal berbentuk piramid
dan bersusun lapis. Lapisan teratas ialah golongan bangsawan yang
menerajui pemerintahan yang diketuai oleh raja. Lapisan kedua ialah
golongan pembesar (golongan yang menguasai upacara dan hal-ehwal
agama, individu yang dihormati masyarakat serta kumpulan yang
mempunyai kepakaran dalam kesenian). Ini diikuti oleh golongan rakyat
biasa (jumlahnya paling ramai).
3. Sistem pemerintahan: sistem pemerintahan dibentuk untuk menjalankan
pentadbiran. Pemimpin atau raja menggunakan unsur magis dan
mendakwa dirinya sebagai wakil tuhan bagi mendapatkan pengiktirafan

3
sebagai ketua pemerintah. Sistem perundangan diwujudkan untuk
menjaga keamanan dan kemakmuran.
4. Pengkhususan pekerjaan: barangan dihasilkan oleh kumpulan tertentu
melalui pengkhususan. Pertukaran barangan (sistem barter) bermula dan
ini membawa kepada perdagangan. Kesannya ialah pertukaran ilmu
pengetahuan, teknologi dan kebudayaan.
5. Agama dan kepercayaan: agama dan kepercayaan berkait rapat dengan
pengiktirafan terhadap golongan pemerintah, pembahagian sosial
masyarakat, perkembangan ilmu pengetahuan, kesenian dan pembinaan
dalam proses pembentukan tamadun awal. Manusia menyesuaikan
kehidupannya dengan alam sekeliling. Alam sekitar dipercayai mempunyai
semangat dan dan mesti dihormati bagi menjaga keamanan dan
kemakmuran hidup. Manusia percaya bahawa terdapat kuasa ghaib yang
menguasai alam sekeliling (kepercayaan animisme). Kepercayaan ini
kemudian bertukar kepada agama. Agama tamadun awal dikenal sebagai
politeisme iaitu penyembahan terhadap banyak tuhan.
6. Bahasa dan sistem tulisan: sistem tulisan awal ialah cuneiform, hieroglif
dan ideogram. Peranan bahasa dan tulisan ialah penyebaran ilmu
pengetahuan dan perhubungan. Sistem tulisan penting untuk tujuan
pentadbiran seperti penyimpanan rekod, penulisan undang-undang dan
hal-hal keagamaan. Sistem ini juga merupakan instrumen untuk
menyampaikan, memperkembangkan serta mencatatkan idea dan
pemikiran manusia.

1.3 Proses pembentukan tamadun

Proses bermula apabila wujud hubungan iaitu penyesuaian antara manusia


dan alam sekelilingnya. Manusia memilih lembah sungai sebagai lokasi
petempatan kekal kerana kesuburan tanah untuk tujuan pertanian. Lokasi
tersebut dipilih kerana adanya kemudahan untuk mendapatkan bekalan air,
makanan serta kemudahan pengangkutan dan perhubungan. Akibatnya,
tamadun awal manusia terbentuk di kawasan lembah sungai. Contohnya
tamadun Mesopotamia di lembah Sungai Furat (Euphrates) dan Sungai

4
Tigris, tamadun Mesir Purba di lembah Sungai Nil, tamadun Indus di lembah
Sungai Indus dan tamadun Hwang Ho di lembah Sungai Hwang Ho.

5
2.0 TAMADUN AWAL DUNIA
2.1 Tamadun Mesopotamia

Tamadun Mesopotamia atau Sumeria merupakan tamadun terawal. Sumeria


merujuk pada wilayah di selatan Iraq iaitu Sumer. Kawasan ini diduduki oleh
tiga kumpulan etnik iaitu orang Sumeria, orang Semitik dan orang yang tidak
diketahui asal usul keturunannya. Tamadun Mesopotamia muncul di sekitar
Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Perkataan Mesopotamia itu sendiri
bererti ‘tanah di antara dua sungai’. Mesopotamia berkembang menjadi pusat
tamadun awal pada sekitar tahun 3500 S.M. Kerajaan yang terawal ialah
kerajaan Sumeria dan kerajaan yang terakhir ialah Chaldea. Tamadun
Mesopotamia boleh dibahagikan kepada tujuh zaman pemerintahan, iaitu
seperti pada jadual di bawah ini:

Zaman Tempoh masa


Kerajaan Sumeria 3500 – 2340 S.M
Kerajaan Akkad 2371 – 2006 S.M
Kerajaan Ur 2113 – 2006 S.M
Kerajaan Babilon Awal 2000 – 1530 S.M
atau Lama
Kerajaan Kassites 1530 – 1100 S.M
Kerajaan Assyria 1100 – 626 S.M
Kerajaan Chaldea 626 – 539 S.M

Apabila kerajaan Chaldea jatuh, Parsi menguasai kawasan Mesopotamia dan


ini menbawa kepada keruntuhannya. Kerajaan-kerajaan yang menjadi
penyumbang penting kepada Tamadun Mesopotamia ialah Sumeria, Akkad,
Ur, Babilon Lama dan Assyria.

2.2 Tamadun Mesir Purba

Tamadun Mesir purba bermula di lembah Sungai Nil. Sungai Nil berpunca
daripada dua anak sungai iaitu Sungai Nil Biru yang bermula dari tanah tinggi
di Ethiopia dan Sungai Nil Putih yang bermula dari Tasik Victoria di Uganda.
Lembah Sungai Nil merupakan sebuah kawasan yang subur untuk pertanian
dan petempatan manusia. Tamadun ini berkembang daripada petempatan

6
awal pada zaman Neolitik. Tamadun Mesir Purba dibahagikan kepada empat
zaman iaitu seperti dalam jadual berikut:

Zaman Tempoh masa


Awal 3100 – 2200 S.M
Pertengahan 2040 – 1785 S.M
Empayar 1570 – 1085 S.M
Keruntuhan 1085 – 322 S.M

Pada zaman Empayar, tamadun Mesir Purba mencapai zaman


kegemilangannya. Selepas zaman Empayar,ia mengalami zaman
kejatuhannya apabila pemerintahannya dikuasai oleh orang asing. Antara
orang asing yang telah menguasai Mesir ialah Libya, Kush, Assyria, Parsi,
Yunani dan akhirnya Rom pada tahun 30 S.M.

2.3 Tamadun Indus

Tamadun Indus di lembah Sungai Indus merupakan tamadun terawal di India.


Tamadun Indus juga dikenal sebagai tamadun Harappa. Tamadun ini muncul
pada sekitar tahun 2500 S.M dan mula merosot pada tahun 800 S.M. Sebab
kehancuran tamadun Indus masih belum dikenal pasti. Salah satu pendapat
ialah serangan orang Aryan serta bencana alam seperti banjir, kemarau dan
gempa bumi.

2.4 Tamadun Hwang Ho

Tamadun Hwang Ho bermula di lembah Hwang Ho atau Sungai Kuning


(sungai yang kedua terpanjang di China). Kemunculan tamadun Hwang Ho
dapat dikesan daripada penemuan tengkorak homosapien yang dikenali
sebagai Peking Man. Penemuan ini membuktikan bahawa wujudnya
kehidupan pada zaman Paleolitik. Kegiatan pertanian dan penternakan telah
muncul pada zaman Neolitik. Dinasti beraja pertama di China telah diasaskan
oleh Dinasti Hsia (2205 – 1766 S.M). Tetapi tidak wujud bukti sejarah yang
dapat mengesahkan kewujudan Dinasti Hsia. Terdapat bukti sejarah seperti

7
jumpaan arkeologi yang membuktikan kewujudan Dinasti Shang (1766 – 1050
S.M). Kezaliman pemerintahan Raja Shang telah membawa kepada
kebangkitan hamba. Suku Chou telah menggulingkan dan menggantikan
pemerintahan Shang. Seterusnya Dinasti Chou telah memerintah China
(1050 – 256 S.M).

8
3.0 SUNGAI DALAM PEMBENTUKAN TAMADUN AWAL
3.1 Sungai

Sungai merupakan sebuah model alam semula jadi yang mempunyai


pelbagai fungsi kepada sekalian makhluk yang telah Allah ciptakan. Sungai
adalah satu kawasan di mana mengalirnya sumber air bersih yang dapat
diminum dan digunakan untuk tujuan domestik lain, habitat pada hidupan
marin dan sebuah kawasan yang boleh mendatangkan pembangunan dan
kemajuan ekonomi. Sungai terdapat di mana sahaja tidak bergantung pada
keadaan geografi sesuatu tempat.

Dalam pembentukan tamadun awal, sungai merupakan lokasi yang amat


strategik dan sesuai untuk memulakan satu kehidupan berdasarkan
kepentingan sungai itu sendiri. Malah, sebelum wujudnya tamadun awal
dunia, sungai juga telah pun menjadi petempatan bagi zaman prasejarah.
Sebagai contoh, Lembah Bujang di Kedah yang merupakan tapak
petempatan manusia prasejarah zaman Neolitik. Maka tidak hairanlah sungai
berterusan digunakan untuk menjadi petempatan tamadun awal.

3.2 Peranan sungai dalam tamadun awal

Sungai memainkan beberapa peranan penting terhadap pembinaan tamadun


awal manusia. Peranan ini kemudiannya terus berkembang dan
membolehkan sesebuah tamadun itu mencapai kemajuan dan
kegemilangannya.

Antara peranan sungai dalam pembinaan tamadun awal manusia ialah:

1. Alat perhubungan: pada zaman dahulu, semasa tamadun awal baru


terbentuk, sungai merupakan satu alat perhubungan yang amat penting
dan paling meluas. Sungai merupakan satu jalan perhubungan yang boleh
dikatakan cepat dan mudah untuk ke sesuatu tempat memandangkan
jalan darat yang banyak rintangannya. Ini menjadi faktor utama dalam
menempatkan sesebuah tamadun itu.

9
2. Sumber ekonomi: selain perhubungan, sungai juga merupakan sumber
ekonomi. Sungai merupakan antara penyumbang ekonomi sesebuah
tamadun yang terpenting, terutamanya dalam sektor perikanan dan
perdagangan melalui laut.
3. Kesuburan tanah: kawasan lembah di setiap sungai mempunyai tahap
kesuburan tanah yang tinggi dan amat sesuai untuk menjalankan aktiviti
pertanian untuk meningkatkan ekonomi dan sumber makanan yang
berterusan kepada sesuatu tamadun. Ini menjadikan banyak kewujudan
tamadun awal manusia di sekitar sungai, terutama di lembah sungai. Ini
merupakan peranan paling penting dan merupakan asas dalam
pembentukan sesebuah tamadun, menjurus kepada sumber makanan.
4. Sumber air: bayangkan jika sesebuah petempatan itu dibina di kawasan
yang tiada sumber air atau sekurang-kurangnya menghadapi masalah
sumber air tidak bersih atau berada di persisiran pantai. Mampukah ia
terus berkekalan? Jadi, di sini sumber air yang bersih juga mempunyai
peranan yang penting dalam pembinaan sesebuah tamadun itu.

Itulah diantara peranan sungai dalam pembinaan tamadun awal manusia.


Peranan ini semua amat penting dalam memastikan tamadun itu wujud dan
kukuh dan berwarisan sehingga sekarang.

3.3 Impak pemilihan sungai sebagai lokasi tamadun awal

Tamadun Mesopotamia:

Perkembangan Tamadun Mesopotamia bermula di wilayah selatan iaitu


Sumer. Orang Sumeria datang mendirikan petempatan dan menjalankan
pertanian. Pertanian dapat dijalankan dengan pembinaan sistem pengairan.
Makanan yang berlebihan dihasilkan untuk menampung keperluan penduduk
yang kian meningkat. Kampung-kampung kecil berkembang menjadi bandar
dan kemudian menjadi negara kota seperti Ur, Uruk, Kish dan Mari. Semua
negara kota tersebut terletak di sepanjang sungai dan terusan.

10
Tamadun Mesir:

Sejak tahun 5000 S.M manusia yang mendiami Lembah Nil telah mencapai
tahap kebudayaan gangsa pada zaman Logam. Penggunaan alat logam
membolehkan orang Mesir membina sistem perparitan dan pengairan untuk
pertanian.mereka dapat membina sistem peralatan kawalan air dan terusan
untuk meningkatkan lagi nilai kesuburan tanah. Petempatan tetap di
sepanjang Lembah Nil kemudiannya berkembang menjadi perkampungan.
Kampung-kampung bergabung menjadi bandar dan bandar-bandar telah
bergabung untuk membentuk satu nome atau daerah. Semua nome telah
disatukan dengan salah sebuah bandarnya menjadi pusat pentadbiran.
Contoh pusat pentadbiran tersebut ialah Memphis, Thebes dan Thinis.

Tamadun Indus:

Di bahagian barat laut India sudah wujud penduduk yang mengamalkan


kehidupan secara nomad iaitu kehidupan secara berpindah-randah dan
menyara diri dengan memburu dan mengutip makanan. Penduduk tersebut
mendirikan petempatan kekal di sepanjang Sungai Indus. Petempatan kekal
didirikan di sekitar lembah Sungai Indus kerana sungai menyediakan sumber
air untuk pertanian penternakan dan kegunaan harian dan Sungai Indus telah
menyuburkan tanah. Hasil pertanian telah meningkat dan dapat menampung
bilangan penduduk yang kian bertambah. Perkampungan telah berkembang
menjadi bandar, contoh bandar ialah Harappa dan Mohenjo-Daro.

Tamadun Hwang Ho:

Hwang Ho menjadi nadi utama dalam pembentukan Tamadun Hwang Ho


kerana ia menyuburkan kawasan sekitarnya. Tanah yang subur menarik
penduduk nomad untuk mendirikan petempatan yang kekal di kawasan
tersebut. Petempatan awal penduduk Hwang Ho ialah tapak Banpo (dekat
bandar Xian moden). Aktiviti utama ialah pertanian, penternakan binatang,
memungut hasil hutan dan memburu. Beberapa buah bandar telah muncul di
Lembah Hwang Ho. Anyang dipilih menjadi pusat kerajaan Dinasti Shang.
Semasa Dinasti Shang, usaha perluasan wilayah dan penyebaran budaya ke

11
kawasan sekitar Hwang Ho berlaku. Semasa Dinasti Chou, Tamadun Hwang
Ho tersebar hingga ke bahagian selatan Sungai Yangtze.

3.4 Sungai sebagai halangan dalam perkembangan tamadun

Selain sebagai satu kepentingan dalam pembinaan sesebuah tamadun,


sungai juga merupakan sebuah penghalang yang nyata dalam perkembangan
tamadun. Halangan ini datang dari dua aspek utama iaitu datang dari
kejadian alam semula jadi dan datang dari manusia.

Antara halangan yang disebabkan oleh kejadian alam semula jadi ialah:

1. Banjir: banjir merupakan bencana alam yang umum kita ketahui. Banjir
berlaku disebabkan limpahan air dari satu kawasan seperti sungai atau
kawasan tadahan akibat kelebihan pada paras isipadu air. Dalam
pembentukan tamadun awal, banjir merupakan perkara yang ditakuti
kerana kesan daripada banjir itu memusnahkan, terutama pada tanaman
dan ternakan. Apabila berlakunya banjir, maka seluruh tanaman akan
rosak dan ladang akan musnah, membawa kepada berlaku kerencatan
produksi makanan. Selain daripada tanaman, pembangunan juga akan
terganggu disebabkan penangguhan pembinaan.
2. Perubahan cuaca: lokasi sungai merupakan antara kawasan yang paling
terkesan akibat perubahan cuaca. Ini jelas dilihat pada kawasan delta
sungai, di mana jika berlaku ribut atau taufan, kawasan ini akan
dimusnahkan dengan dahsyat sekali. Perubahan cuaca ini memberi kesan
dalam pembangunan serta ekonomi dalam pembinaan tamadun awal
manusia. Pada musim-musim tertentu atau bila berlakunya ribut dan
taufan, aktiviti perdagangan tidak dapat dijalankan dan akan berlaku
kesurupan dalam peningkatan ekonomi. Pembangunan juga akan
terganggu dengan pembinaan semula infrastruktur yang musnah yang
menelan belanja yang besar.

12
Halangan yang disebabkan tindakan manusia ialah:

1. Pembuangan sisa-sisa manusia dan bahan-bahan yang boleh


mencemarkan kebersihan sungai dan membawa kepada berlakunya
kekurangan sumber air bersih dan banjir.
2. Pembuangan mayat-mayat atau abu-abu mayat akibat proses upacara
pengebumian atau sebab berlaku peperangan.
3. Pembinaan dan pembangunan yang menganggu ekosistem dan
sebahagian sumber ekonomi berasaskan sungai.
4. Tebus guna tanah untuk pertanian yang mengurangkan kesuburan tanah
untuk pertanian.

Halangan-halangan yang datang dari dua aspek ini menghalang dan


merencatkan pembinaan tamadun awal. Disebabkan halangan-halangan ini,
proses perkembangan tamadun awal mengambil masa yang agak lama dan
ini yang membolehkan sesuatu tamadun itu kekal lama.

3.5 Implikasi sungai dalam pembentukan tamadun awal

Pemilihan sungai sebagai sebuah lokasi petempatan tamadun awal manusia


membolehkan manusia tamadun awal melakukan pelbagai aktiviti yang
membantu kepada perkembangan tamadun awal manusia. Kemajuan juga
dapat dicapai dengan peningkatan pada kegiatan ekonomi. Berikut adalah
apa yang dicapai oleh tamadun-tamadun awal manusia hasil daripada
pemilihan sungai sebagai lokasi petempatan awal tamadun:

Tamadun Mesopotamia:

Kod Undang-Undang Hammurabi digubal semasa zaman pemerintahan Raja


Hammurabi (1792 – 1750 S.M) di Babilon. Kod undang-undang Hammurabi
merupakan undang-undang yang berteraskan hak rakyat terhadap keadilan.
Hukuman dan denda mesti setimpal dengan kesalahan tetapi berbeza
mengikut susun lapis masyarakat. Undang-undang dipahat pada tembok
serta tiang besar supaya rakyat dapat membacanya. Menjadi dasar
perundangan dalam tamadun Mesopotamia.berjaya mengelakkan timbulnya

13
permasalahan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan dalam kalangan
susun lapis masyarakat itu sendiri. Berjaya mewujudkan perpaduan dan
memperkuatkan sistem organisasi. Dapat membantu peradaban
Mesopotamia bertahan untuk jangka masa yang panjang. Tamadun
Mesopotamia juga menyumbangkan sistem tulisan kepada manusia sejagat.
Daripada sistem tulisan ini, semua urusan dapat dilakukan dan juga
melahirkan sebuah karya kesusasteraan yang agung iaitu epik Gilgamesh.
Ilmu astronomi telah membolehkan orang Mesopotamia menggunakan jalan
laut dan mencipta kalendar yang berasaskan sistem solar yang mempunyai
12 bulan dalam setahun. Ilmu matematik juga berkembang kerana
pencerapan terhadap pergerakan bulan, bintang dan matahari. Ilmu
perubatan juga berkembang dan ini diberi perhatian yang besar semasa
pemerintahan kerajaan Assyria kerana kerajaan ini sangat mementingkan
kesihatan anggota tenteranya. Sebanyak 500 jenis ubat-ubatan termasuk
herba dan ramuan perubatan telah dikatalogkan dan disampelkan
penggunaannya. Cara mengubati penyakit turut dicatatkan untuk dijadikan
panduan oleh pengamal perubatan. Penciptaan roda oleh orang
Mesopotamia adalah satu kejayaan besar. Dengan terciptanya roda, ia dapat
digunakan untuk kereta kuda bagi peperangan dan juga untuk tujuan
kegiatan ekonomi. Selain itu, roda digunakan sebagai kincir air untuk
mengalirkan air ke kawasan tandus dan menambahkan hasil pertanian serta
mengawal banjir. Orang Mesopotamia juga menyumbang kepada penciptaan
kenderaan terawal dunia iaitu penciptaan kapal layar dan kereta kuda,
bermula sejak tahun 3000 S.M. Mereka juga menyumbang kepada
pembuatan batu bata daripada tanah liat dan membolehkan mereka membuat
pelbagai seni bina yang antaranya ialah zigurat (tempat beribadat tamadun
Mesopotamia).

14
Tamadun Mesir:

Tamadun Mesir mencapai perkembangan dengan cepat kerana


kegemilangan zaman Logam tamadun itu. Tamadun ini telah dapat membuat
seni bina yang agung iaitu, piramid. Pembinaan piramid telah diilhamkan oleh
Imhotep, seorang saintis, arkitek, ahli fizik dan penasihat kepada firaun
Djoser. Beliau telah memperkenalkan teknik pembinaan bangunan dengan
batu bata dan selain itu, beliau juga merupakan seorang pengamal ilmu
perubatan dan pengarang buku sains dan sastera. Jasa beliau yang terbesar
ialah pembinaan piramid Sakkara. Kemajuan pendidikan serta penggunaan
kertas juga merupakan pencapaian penting. Orang Mesir purba telah berjaya
mencipta kertas daripada pokok papyrus. Penciptaan kertas telah
memudahkan segala urusan penting dan juga telah menyumbang kepada
penciptaan sistem tulisan iaitu sistem tulisan hieroglif. Tulisan hieroglif
merupakan tulisan awal Mesir dan merupakan tulisan bergambar. Tulisan ini
kemudian berkembang menjadi tulisan hieratik iaitu tulisan berangkai dan
kemudian ke tulisan demotik. Sistem pendidikan wujud, untuk kanak-kanak
dari keluarga golongan atasan dan pendidikan ini khas hanya untuk golongan
atasan kerana mereka adalah golongan pemerintahdan pendidikan yang
diberikan adalah untuk melahirkan pemerintah. Tamadun ini juga mencapai
kemajuan dalam ilmu perubatan dan antara kemajuan yang mereka capai
ialah proses memumiakan mayat yang memunyai kaitan dengan kepercayaan
orang Mesir Purba. Selain ilmu perubatan, mereka juga mempunyai kemajuan
dalam ilmu kimia, fizik dan perubatan. Pengawalan aliran air Sungai Nil
sangat penting bagi kemajuan Mesir Purba. Ilmu matematik seperti algebra,
geometri dan astronomi digunakan sepenuhnya dalam usaha untuk
mengawal banjir Sungai Nil. Sistem pengairan telah berjaya menukarkan
kawasan padang pasir menjadi kawasan tanah pertanian. Contohnya, firaun
Senuusret II telah membina sebuah tembok pengairan sepanjang 123
kilometer bagi menebus guna tanah kawasan padang pasir dan membina
terusan untuk mengairkan tanah seluas 10000 hektar. Orang Mesir juga telah
mencipta kalendar 365 hari berdasarkan 12 bulan setahun.

15
Tamadun Indus:

Masyarakat indus mempunyai keupayaan dan kebolehan mengeksploitasi


kelebihan yang mereka miliki untuk memudahkan kehidupan mereka. Mereka
berjaya mengeksploitasi Sungai Indus untuk memajukan kehidupan harian.
Tamadun Indus terkenal dengan perancangan bandar-bandarnya. Contoh
bandar-bandar yang terancang ialah Harappa dan Mohenjo-
daro.perancangan bandar memerlukan pemahaman tentang ilmu geometri,
matematik dan kesenian. Bandar-bandar menjadi tersusun kerana
pemahaman geometri hasil daripada pertembungan Tamadun Indus dengan
Tamadun Mesopotamia dan Tamadun Mesir. Bandar disusun berasakan
bentuk segi empat yang diikuti oleh jalan raya yang lurus. Hubungan dengan
Tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba membawa faedah seperti
pertukaran ilmu teknologi dan sebagainya. Kematangan tamadun ini terbukti
melalui pencapaian yang cemerlang dalam berbagai-bagai bidang,
termasuklah perancangan bandar, aktiviti ekonomi, aspek kerohanian dan
kepercayaan.

Tamadun Hwang Ho:

Dengan wujudnya sistem organisasi masyarakat yang terancang daripada


pengkhususan pekerjaan dan petempatan tamadun, Tamadun Hwang Ho
telah mempengaruhi sistem pemerintahan China kuno iaitu dengan
kewujudan sistem pemerintahan monarki yang berterusan sehingga Dinasti
Ching. Konsep anak syurga, mandat dari syurga yang dikaitkan dengan raja
dan amalan putaran dinasti diteruskan oleh dinasti-dinasti di China sehingga
abad ke-20. Dari aspek ekonomi, berlakunya pembinaan sistem pengairan.
Pembangunan pertanian diberikan tumpuan yang besar. Terusan dibina untuk
mengairi kawasan pertanian serta mengelakkan berlakunya banjir. Sistem
pengairan ini diteruskan pada zaman Ching oleh Shih Huang Ti ke kawasan
barat daya China (sebuah terusan telah dibina di Szechwan). Terdapat
kemajuan dalam teknologi pembajakan serta penciptaan cangkul dan sabit.
Petani sudah mula menggunakan batas untuk tujuan penanaman.

16
4.0 PENUTUP

Setelah melakukan kajian dan pembacaan terhadap peranan sungai sebagai lokasi
terawal kelahiran tamadun-tamadun dunia, dapatlah dirumuskan bahawa sungai itu
memainkan peranan yang penting sebagai salah satu faktor dalam membentuk
sesebuah tamadun. Dengan segala kelebihan yang ada pada sungai iaitu sumber
yang dihasilkannya dan juga bentuk muka bumi yang ada di sekeliling kawasan
sungai itu menjadikan sesebuah tamadun itu berkembang dan maju dan mencapai
kegemilangannya. Namun sungai juga mampu memberi halangan terhadap
pembangunan, perkembangan dan kemajuan sesebuah tamadun. Ini tidak dinafikan
apabila kita melihat semula sejarah sesebuah tamadun itu.

Pemilihan sungai sebagai lokasi awal pembentukan tamadun-tamadun dunia juga


mendatang implikasi kepada sesebuah tamadun. Sebagai contoh, dengan pemilihan
Sungai Nil sebagai petempatan awal Tamadun Mesir Purba, setelah berjaya
mengeksploitasi sungai tersebut, mereka berjaya mencapai pelbagai kejayaan
dalam pelbagai bidang terutama sekali dalam bidang pertanian dan mereka mampu
mencapai kemajuan. Ini adalah salah satu contoh implikasi yang didapati hasil
pemilihan sungai sebagai petempatan awal tamadun. Kebanyakan implikasi yang
didapati ini semua merupakan implikasi positif yang menjamin kewujudan sesebuah
tamadun itu.

Jadi sudah jelaslah di sini faktor pemilihan lokasi bagi petempatan sesebuah
tamadun itu adalah amat penting untuk melahirkan sebuah tamadun yang gemilang
dan kekal wujud terutama warisannya. Lokasi sungai merupakan lokasi yang amat
strategik memandangkan ia mempunyai pelbagai kelebihan berbanding kekurangan.

17
REFLEKSI

Tajuk kerja kursus yang saya terima ialah Tamadun Islam Tamadun Asia: Peranan
Sungai sebagai Lokasi Terawal Pembentukan Tamadun-Tamadun Dunia, iaitu
berkait rapat tentang pemilihan sungai sebagai lokasi petempatan awal tamadun
dunia. Semasa menjalankan tugasan ini, saya telah memperolehi beberapa faedah
yang amat berguna kepada saya disamping beberapa masalah yang menjadi
pembantut kepada usaha untuk menyiapkannya.

Antara faedah daripada menjalankan tugasan ini yang saya perolehi ialah
saya dapat menjalankan kerja secara sistematik dan langkah demi langkah.
Sebelum menjalankan tugasan ini, saya dapati adalah amat sukar untuk melakukan
tugas secara teratur kerana saya bukanlah seorang yang tersusun cara kerjanya,
tambahan berkaitan dengan cara untuk mendapatkan maklumat dan
memprosesnya. Namun, dengan menjalankan tugasan secara teratur, dapatlah saya
mencari maklumat dengan baik dan memprosesnya mengikut kehendak tugasan.
Inilah apa yang diperlukan untuk saya melengkapkan diri menjadi bakal pendidik
anak bangsa.

Selain itu, saya juga dapat menimba faedah yang lain iaitu saya dapat
mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara sesama rakan kelas, lebih-lebih
lagi rakan sekerja yang bersama-sama melakukan tugasan ini. Ini merupakan salah
satu faedah yang berharga juga kepada saya di mana sebagai seorang guru, kita
mesti mempunyai sikap saling bekerjasama dalam membentuk dan melahirkan
generasi bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan adanya sikap
seperti ini dalam diri saya, maka segala urusan lain yang akan dilakukan dengan
rakan sekelas akan mudah dilaksanakan dan dapat mewujudkan hubungan
kekeluargaan di dalam kelas seterusnya menceriakan suasana kelas.

Itulah di antara faedah yang saya perolehi melalui tugasan ini. Saya dapat
memperbetulkan diri saya melalui faedah yang saya terima dan saya harap dapat

18
melakukan yang terbaik pada masa akan datang dan berterusan melakukan yang
terbaik untuk sesuatu agar hasilnya memuaskan saya dan mendatangkan kebaikan
kepada saya. Tugasan ini telah banyak memberi pendedahan kepada saya dan
membentuk sahsiah diri saya sebagai seorang guru. Semoga apa yang saya
perolehi dan yang telah mengubah saya ini berterusan.

............................................

(MOHAMMAD IQRAM AKEEF BIN MOHD AMIN)

PISMP 1.14

19
BIBLIOGRAFI

Internet:

TITAS. Diambil pada Februari 11, 2011, dari


http://www.rujuknota.blogspot.com/TITAS.html

Buku:

Wai, Y.C. (2008). Nexus Xpress SPM Tingkatan 4 & 5 Sejarah. Selangor Darul
Ehsan: Sasbadi Sdn. Bhd.

20

You might also like