You are on page 1of 2

REFLEKSI BIG: SEMINAR ETIKET SOSIAL DAN PROTOKOL

Pada 17 Febuari 2011, saya telah terlibat dengan Program Bina Insan Guru(BIG)
iaitu Seminar Etiket Sosial dan Protokol. Seminar ini diadakan di Hotel Emperor,
Melaka. Seminar ini bertujuan untuk melatih para guru pelatih dalam soal etika sama
ada cara berpakaian mahupun tatatertib semasa makan. Selain itu, seminar ini juga
mendedahkan kepada guru pelatih mengenai adab semasa duduk, makanan yang
sesuai dihidangkan semasa makan seperti pencuci mulut dan sebagainya.

Seminar ini telah memberikan saya impak positif yang besar dalam diri saya
sebagai seorang bakal guru dalam etika sosial dan protokol yang merangkumi banyak
aspek, contohnya tatacara semasa makan. Antara kekuatan yang saya dapat ialah
saya mula mengetahui dengan lebih mendalam lagi berkenaan dengan etiket sosial dan
protokol, seperti cara menggunakan sudu dengan betul semasa makan, cara makan
yang betul iaitu perlu mendahulukan jenis makanan yang bagaimana, cara berpakaian
yang sesuai dalam majlis-majlis tertentu serta cara-cara duduk yang betul. Selain itu,
saya mula sedar akan kepentingan etiket sosial dan protokol dalam kehidupan saya
sebagai seorang bakal pendidik, di mana seorang pendidik perlu melibatkan diri dalam
suatu majlis ataupun suasana yang begitu berprotokol. Misalnya perlu menghadiri
makan malam di hotel dan sebagainya.

Malahan, saya dapati bahawa, tempat seminar yang disediakan juga begitu
selesa dan kondusif, serta layanan para pekerja di hotel tersebut juga amat baik dan
peramah. Cara pengambilan makan iaitu dalam meja bulat juga amat sesuai kerana
ianya akan menjimatkan masa dan saya tidak perlu berebut untuk mengambil makanan.
Tambahan pula, seminar etiket sosial dan protokol yang disampaikan oleh En. Rafi dan
juga En. Anuar amat menarik dan memberi kesan kepada saya untuk saya mengubah
etika saya kepada yang lebih baik. Isi yang disampaikan juga amat baik dan jelas.

Apabila adanya kekuatan sudah pasti ada juga kelemahan. Antara kelemahan
yang saya dapati ialah, saya kurang pengetahuan tentang cara-cara makan yang
beretika berbanding yang lain-lain. Saya juga tidak dapat melihat “slide” yang
ditunjukkan dihadapan dengan jelas kerana ada tiang yang menghalang pandangan
saya. Ini juga telah menghilangkan fokus saya terhadap apa yang disampaikan oleh
pensyarah yang terlibat. Tetapi kelemahan ini dapat di atasi sekiranya susunan meja
dapat diletakkan di bahagian yang strategik dan sesuai.

Melalui seminar ini, saya telah berpeluang mempraktikkan sendiri cara-cara


semasa makan selepas tamat “slide” yang dibentangkan oleh pensyarah yang terlibat.
Selain itu, saya berpeluang makan bersama-sama rakan yang lain dalam satu suasana
yang begitu mewah dan kondusif. Saya juga berpeluang merapatkan lagi hubungan
saya dan rakan-rakan yang lain sama ada dalam unit sendiri mahupun dengan unit-unit
yang lain. Malahan, saya juga berpeluang untuk dinilai dari segi etika semasa makan
oleh pensyarah-pensyarah yang terlibat supaya saya dan rakan-rakan yang lain tahu
tentang kesilapan yang kami lakukan.

Ancaman yang saya dapati semasa seminar ini ialah, saya hampir-hampir
terjatuh disebabkan oleh para guru pelatih yang berebut untuk mengambil tempat
duduk di dalam bas. Hal ini kerana, bas yang disediakan tidak dapat memuatkan semua
pelajar untuk duduk dengan lebih selesa, sehingga terpaksa berhimpit dan berdiri
sepanjang perjalanan sama ada ke hotel ataupun semasa pulang ke kampus.

You might also like