You are on page 1of 2

PENYAKIT BAWAAN AIR

Air adalah komponen penting dalam kehidupan manusia dan menyokong kepada sistem
kehidupan global. Walaupun mengetahui akan kepentingan air dalam kehidupan, manusia
nampaknya masih lagi begitu mudah mengabaikan dan mencemarkan air. Pada suatu masa
dahulu punca-punca air bersih boleh diperolehi dari sungai dan tasik. Selain diperolehi dari dua
punca utama ini,air juga boleh diperolehi dari air mata air atau lebih dikenali sebagai air bumi.
Tapi malang sekali punca air bersih pada masa sekarang amat sukar diperolehi kerana
berlakunya pencemaran. Faktor-faktor berlakunya pencemaran air ini diantaranya adalah
pembuangan sampah-sarap serta sisa-sisa pepejal ke dalam sungai. Pencemaran air ini banyak
memberi impak kepada kesihatan manusia sendiri. Akibat daripada perbuatan manusia itu
sendiri, penyakit bawaan air ini telah menyebabkan implikasi kesihatan yang berbahaya kepada
manusia dan spesies lain. Penyakit bawaan air ini adalah pengancam utama kepada kesihatan ke
atas penduduk di kebanyakan negara.
Manusia mudah terdedah dengan ancaman pelbagai penyakit bawaan air kerana terdapat
air minum yang mengandungi klorin dan juga kesan karat yang memudaratkan kesihatan
manusia. Klorin dan kesan karat ini boleh melemahkan daya tahan tubuh terhadap serangan
penyakit. Selain itu, bahan kimia yang sangat merbahaya seperti herbicides, pesticides, sisa-sisa
buangan industri, dan bahan kimia tidak organik akan merosakkan organ dalaman manusia. Taun
atau kolera adalah penyakit yang sangat merbahaya yang disebabkan oleh bakteria Vibrio
cholerae dan daripada jenisnya yang lain iaitu El tor vibrio. Penyakit ini boleh dijangkiti akibat
penggunaan air yang telah tercemar dengan bahan najis manusia dan haiwan. Penyakit taun
biasanya terjadi semasa dan selepas kejadian banjir.
Air yang terdedah dengan kuman seperti kencing tikus yang disebabkan oleh bakteria
spirochete adalah penyakit berjangkit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia. Penyakit
ini adalah wabak penyakit jenis zoonosis. Infeksi ini berlaku apabila seseorang itu terdedah
kepada kencing haiwan seperti tikus, khinzir, anjing, lembu, kambing, dan sebagainya yang telah
dicemari dengan kuman Leptospira. Selain itu, penyakit taun yang disebabkan oleh bakteria
vibrio cholera yang disebabkan oleh air yang tercemar dan juga makanan yang kotor.
Penyakit seterusnya ialah demam kepialu. Demam kepialu adalah disebabkan oleh kuman
Salmonella typhi yang terdapat dalam air kencing dan najis pesakit kepialu dan pembawanya
yang akan mencemarkan bekalan air atau makanan. Pesakit akan mengalami sakit kepala yang
amat sangat, perut meragam dan sakit, sembelit yangdiikuti cirit-birit, demam denggi dan
berterusan tiga atau empat minggu, badan ditumbuhi ruam, mengantuk dan mungkin pesakit
tidak sedarkan diri. Mereke boleh mengalami pendarahan dan bahagian yang dijangkiti dalam
usu boleh pecah. Ia akan mengambil masa berminggu-minggu untuk sembuh dan biasanya akan
tidak akan pulih seperti sediakala.
Seterusnya adalah penyakit dairrhoel iaitu diantara penyebab utama kematian kanak-
kanak di negara berpendapatan rendah. Penyakit dairrhoel ini boleh disebabkan sama ada virus
atau bakteria patogen. Walaupun terdapat kemajuan dalam rawatan diarroheal seperti terapi oral
re-hydration, namun jumlah kematian disebabkan penyakit ini terus meningkat terutamana di
negara sedang membangun. Semasa kejadian banjir penyakit diarrhoel biasanya akan meningkat
kerana masalah kebersihan seperti kemudahan tempat membuang air, kebersihan diri dan
kebersihan makanan.
Kebiasaannya, apabila banjir, air banjir mengalir ke kawasan yang lebih rendah dan
menenggelami kandang-kandang haiwan, tandas, dan tangki najis. Selain itu, air banjir ini akan
membawa bersama sisa sampah dan juga najis haiwan yang terdapat pelbagai jenis kuman.
Kuman-kuman ini merupakan pembawa penyakit yang berbahaya kepada manusia. Penyakit-
penyakit ini dapat dikesan sekiranya seseorang itu mengalami keracunan makanan, taun, demam
kepialu, dan hepatitis A. kuman-kuman ini biasanya akan menyerang sisitem penghadam
manusia. Selain itu, manusia juga boleh dijangkiti penyakit apabila seseorang itu bersentuhan
terus dengan air banjir yang tercemar. Hal ini kerana, sentuhan terus kepada air banjir akan
menyebabkan berlakunya jangkitan ke atas kulit, luka, telinga, hidung, dan tekak.
Gejala-gejala yang menunjukkan seseorang itu dijangkiti oleh penyakit bawaan air adalah
seperti demam, sakit badan, sakit kepala, sakit perut, muntah, cirit-birit, atau jaundice. Dalam kes
yang lebih serius lagi, penyakit bawaan air yang menjangkiti manusia boleh membawa maut
apabila seseorang itu mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, kegagalan fungsi hati,
pendarahan di bahagian paru-paru, atau infeksi di bahagian otak, dan kegagalan fungsi organ-
organ dalaman yang lain. Hal ini menyebabkan kadar mortaliti atau maut meningkat ke tahap
yang berbahaya sehingga mencecah ke 50 atau 60 peratus.
Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah seperti membasuh tangan dengan
sabun dan air yang telah dirawat dan bersih. Perkara ini perlu dilakukan sebelum menyediakan
makanan dan sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan, dan
selepas menyentuh barangan yang dicemari oleh air banjir atau air kumbahan. Selain itu, air
minuman harian perlulah bersih dan selamat untuk diminum dengan memasak air sehingga 2
hingga 3 minit dan merawat air dengan klorin. Seseorang juga perlu mandi dan menggosok gigi
dengan menggunakan air yang bersih dan terawat.
Perkara yang paling utama adalah kesedaran manusia itu sendiri mengenai penyakit
bawaan air ini. Setiap orang perlu peka akan simptom-simptom penyakit tersebut sebelum
menjadi lebih teruk agar mendapat rawatan awal dan mengelak daripada penyebaran kuman.
Tambahan pula, setiap orang juga perlu memahami dan mengetahui punca penyakit bawaan air
tersebut agar memudahkan mereka lebih berhati-hati kelak.
Kesimpulannya, masyarakat perlu menghindarkan diri daripada penyakit bawaan air ini,
aspek kebersihan perlu dititikberatkan dalam setiap tindakan harian terutamanya pada musim
banjir. Hal ini demikian kerana kejadian banjir ini mengundang pelbagai jenis penyakit
berjangkit bawaan air yang merbahaya kepada kesihatan manusia malah boleh membawa maut.
Oleh hal yang demikian, langkah berjaga-jaga dan persediaan awal mestilah dilakukan semasa
menghadapi banjir. Bak kata pepatah, ‘Mencegah Adalah Lebih Baik Daripada Merawat’.

You might also like