You are on page 1of 4

Masyarakat Perlu Jelas Tentang Konsep Halal dan Haram

Kita selaku umat Islam yang tinggal di sebuah Negara Islam dan
mempunyai pemikiran yang maju selaras dengan konsep Islam Hadhari
seharusnya tidak boleh mengabaikan konsep halal-haram pemakanan.
Meskipun kita mungkin melihat agak remeh untuk memikirkan tentang isu
ini, namun apa yang membimbangkan ialah kesan serta natijahnya kepada
diri dan kerukunan bangsa kita pada masa akan datang. Memang diketahui
umum bahawa iman merupakan teras pembentukan jiwa dan peribadi diri
yang suci lagi murni. Oleh itu, adalah amat penting pemakanan halal yang
mampu menjana pembikinan muslim yang hakiki dan sempurna dari semua
segi keperibadian manusia,
UMAT manusia secara am dan umat Islam secara khusus diperintah
supaya memakan hanya yang halal. Firman Allah (Surah Al-Baqarah ayat 168)
bermaksud: “Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di
muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut
jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata.” Jelas,
kepentingan makanan yang halal telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran
lebih 1400 tahun yang lampau menunjukkan betapa pentingnya konsep
pemakanan halal yang sempurna. Malah mengikut ayat 88 surah al-Maidah,
Allah menegaskan bahawa makan dan minum adalah tanda keimanan
seseorang. Ini bermaksud cara pemilihan makanan dan minuman itu
membuktikan nilai iman seseorang.
Namun, kita sebagai masyarakat Islam yang berkongsi sebuah negara
dengan masyarakat bukan Islam yang lain perlu lebih prihatin dan mampu
memilih makanan yang halal mengikut syarak. Masyarakat bukan Islam di
Malaysia perlu dijelaskan dengan lebih mendalam tentang konsep halal-
haram makanan mengikut perspektif Islam yang sebenarnya. Kita perlu
mengubah tanggapan mereka bahawa makanan yang halal bukan makanan
daripada babi sahaja tetapi juga meliputi pelbagai konsep lain yang perlu
dijelaskan dengan lebih mendalam. Antara konsep yang perlu diambil
perhatian adalah:
1. Punca makanan tersebut iaitu seperti daging yang digunakan.
Kebanyakan masyarakat bukan Islam menganggap hanya khinzir
makanan yang haram dalam Islam tetapi mereka perlu dijelaskan
tentang konsep binatang yang haram dimakan dalam Islam seperti
binatang yang bertaring serta binatang yang hidup dua alam dan
binatang yang jijik seperti cicak dan sebagainya.
2. Seterusnya ialah kaedah penyembelihan haiwan. Masyarakat bukan
Islam tidak tahu konsep penyembelihan haiwan dalam Islam. Lebih
menakutkan adalah sekiranya mereka sendiri yang menyembelih
haiwan tersebut dan menjual di pasaran terbuka. Sedangkan antara
syarat penyembelihan dalam Islam adalah penyembelih mestilah
orang Islam. Selain itu, peniaga makanan bukan Islam juga perlu
memastikan haiwan yang mereka beli di pasaran dibeli daripada
peniaga Islam atau dari syarikat penyembelihan yang mendapat
pengiktirafan halal oleh JAKIM.
3. Mereka juga perlu dijelaskan tentang cara pengurusan makanan dan
pemprosesan sesuatu bahan makanan. Adakah tempat untuk mereka
proses terhindar dari sebarang najis. Adakah tempat penyimpanan
makanan tersebut bercampur dengan bahan-bahan yang haram disisi
Islam. Begitu juga dari segi pengangkutan. Adakah barang makanan
tersebut dibawa dengan pengangkutan yang juga memuatkan bahan
makanan yang haram disisi Islam seperti daging khinzir yang dicampur
dengan ayam dalam sebuah lori.
4. Aspek seterusnya yang perlu diberi perhatian adalah dari segi ramuan
dalam bahan makanan. Sebagai contoh bahan makanan yang
dicampur dengan alkohol ,minyak dari lemak khinzir dan sebagainya.
Malah kedapatan restoran yang memaparkan lambang halal tetapi
bahan makanannya dicampur dengan ramuan seperti alkohol dan
sebagainya.Ini sering berlaku dikebanyakan restoran-restoran dan
hotel yang menggunakan khidmat chef dari luar negara.
5. Seterusnya dari segi peralatan yang digunakan untuk memasak dan
memproses sesuatu bahan makanan. Pihak berkenaan perlu
memastikan bahawa peralatan seperti kuali, periuk, pisau dan
sebagainya tidak pernah digunakan untuk memasak bahan makanan
yang haram mengikut syariat Islam. Kita tidak mahu kuali yang pernah
digunakan untuk memasak daging khinzir digunakan pula untuk
memasak makanan bagi orang Islam pula.
6. Perkara terakhir yang perlu diberi perhatian adalah dari segi penjagaan
kebersihan makanan dari benda-benda yang dianggap mengotorkan
dalam Islam dan tidak suci. Mungkin pelanggan tidak menyangka
restoran yang memaparkan logo halal dan mempunyai persekitaran
yang bersih di luar tetapi di bahagian dapur berada dalam keadaan
yang sangat kotor dan tidak memenuhi ciri-ciri konsep halal dalam
Islam.

Jika semua konsep asas ini dapat dijelaskan dengan sempurna kepada
masyarakat bukan Islam, nescaya tidak akan berlakunya masalah dan kes
sosej yang diproses dengan usus khinzir dan kes-kes yang lain. Atas dasar ini,
beberapa langkah efektif perlu diambil perhatian oleh pihak berkenaan untuk
memastikan masyarakat bukan Islam memahami dengan jelas apa
sebenarnya konsep halal-haram pemakanan dalam Islam. Risalah-risalah
perlu diedarkan kepada peniaga bukan Islam untuk memberi kefahaman
sepernuhnya kepada mereka agar menyedarkan mereka tentang konsep
pemakanan halal dalam Islam. Begitu juga, seminar tentang konsep halal-
haram pemakanan menurut Islam perlu dijalankan kepada wakil setiap
peniaga restoran dan syarikat pemprosesan makanan di setiap negeri.
Selain itu, pemantaun yang lebih bagi memastikan logo halal yang
digunakan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Cadangan logo halal berkonsepkan hologram perlu dipraktikkan dengan
serius.Ini kerana dengan cara ini peniaga yang ingin mengaut keuntungan
lebih tidak dapat meniru logo halal keluaran JAKIM.
Peniaga yang mendapat kelulusan halal bagi restoran atau bahan
makanan keluaran mereka perlu diberi kad kelulusan bercip bagi
memudahkan pihak JAKIM melakukan pemeriksaan pada masa akan datang.
Kad bercip itu akan mengandungi segala maklumat seperti bahan makanan
serta ramuan yang disediakan oleh syarikat atau peniaga tersebut begitu
juga dengan kaedah pemprosesan bahan makanan keluaran mereka.
Secara ringkasnya, kita inginkan sebuah Negara Islam Malaysia yang
bukan sahaja maju dari segi pembangunan negara tetapi juga maju dari segi
nilai moral dan etika insan yang berusaha untuk memajukannya.Ini
bertepatan dengan konsep Islam Hadhari yang sering dikatakan oleh
kerajaan iaitu maju dari segi pembangunan seiring dengan kemajuan sahsiah
diri masyarakatnya. Perlu diingat bahawa usaha menyedarkan konsep halal
perlu diperluaskan lagi skopnya bukan sahaja kepada orang Islam tetapi kita
selaku masyarakat Islam perlu memperjelaskan isu halal ini kepada
masyarakat bukan Islam.
Masyarakat yang maju adalah yang maju dari semua segi bukan sahaja
dari segi pembangunan material sahaja tetapi dari segi kemajuan insani yang
jitu dan mapan. Atas dasar itulah pemakanan yang sempurna dan halal
mengikut kehendak syarak membawa kepada keutuhan iman dan
kegemilangan sesebuah bangsa itu.

You might also like