You are on page 1of 1

PUNCA-PUNCA KES PEMBUANGAN BAYI

Marcapada ini, negara kita telah berkembang pesat sama ada dari segi ekonomi, sosial ataupun
politik dalam menongkah arus modenisasi dan globalisasi. Kini, nama Malaysia begitu tersohor di pentas
dunia. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah berbangga dengan kejayaan yang telah ditempa oleh rakyat
Malaysia di peringkat dunia. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih
dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan masyarakat kita, iaitu masalah
pembuangan bayi. Persoalannya, apakah faktor pencetus utama masalah ini kerana ada asap ada apinya?
Mengapakah hal ini boleh berlaku?

Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan bahawa kekurangan didikan agama merupakan antara sebab
utama kes pembuangan bayi berlaku. Biasanya golongan remaja yang merupakan golongan yang terlibat
dalam kes pembuangan bayi. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup
menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan lalu terlibat dalam gejala negatif, antaranya ialah
pergaulan bebas. Remaja yang terlibat dalam pergaulan bebas akan menjalinkan hubungan di luar tabii.
Hal ini menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum berkahwin. Dalam situasi tersebut,
remaja yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak
yang baru dilahirkan di tempat- tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan
sebagainya.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi berlaku. Hal ini
dikatakan demikian kerana pada usia muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka.
Hal ini bertambah teruk apabila mereka hergaul dengan rakan sebaya yang negatif. Rakan-rakan yang
negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma
maysarakat, tamsilnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan
pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut akan melakukan seks
rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam
keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka

Sehubungan dengan itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan
masalah sosial ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah
pastinya masyarakat setempat menghina dan memandang ringan padanya. Secara tidak langsung,
remaja perempuan itu juga akan dianggap menjatuhkan maruah keluarganya. Demi menjaga imej sendiri
dan juga keluarga, remaja tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya
daripada dipandang jijik oleh masyarakat.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku. Masalah ini
seharusnya diketengahkan dan diselesaikan dengan menjalankan langkah-langah yang efektif sebelum
keadaannya menjadi lebih teruk lalu menggugat masa depan negara. Dalam hal ini, semua pihak
haruslah bekerjasama dan menggembleng tenaga untuk menyelesaikan masalah ini kerana bak kata
peribahasa Melayu, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

You might also like