You are on page 1of 2

SOALAN 2 : Sempena sambutan Hari Kemerdekaan, pertandingan cerpen telah diadakan.

Tema yang telah ditetapkan ialah perpaduan kaum. Tulis cerpen itu selengkapnya.

Swee Lan, seorang ibu kepada anak tunggal yang bernama Jason. Perangai Jason
yang tidak gemar bercampur dan bergaul dengan orang lain, sangat tidak disukai oleh Swee
Lan. Jason suka memerap di rumah dan menolak untuk keluar rumah dan bersosial dengan
anak-anak jiran yang lain. Hal ini merunsingkan ibunya. Manakan tidak, Jason sanggup
memerap di rumah sehari suntuk daripada keluar dan bertegur sapa dengan jiran di
kawasan persekitaran itu.

“Jason, mengapa kamu asyik terperap di rumah sahaja? Ibu risaulah dengan keadaan
kamu ini.” tanya Swee Lan. Pertanyaan ibunya pada suatu pagi itu tidak dijawab oleh Jason.
Dia hanya berdiam diri tanpa sebarang kata. Dia seolah-olah tidak peduli dengan apa yang
diperkatakan oleh ibunya. Melihat keadaan Jason, Swee Lan berlalu pergi. Dia tahu bahawa
Jason tetap enggan bercampur dengan anak-anak jirannya yang berbangsa Melayu
walaupun pelbagai nasihat telah diberikan kepadanya. Nasihat yang diberikan itu bagaikan
mencurah air ke daun keladi, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Keesokan harinya, Swee Lan cuba untuk memujuk Jason supaya bersosial dengan
jirannya. Dia menyuruh Jason agar tidak bersikap seperti katak di bawah tempurung. Hal ini
akan menyukarkan masyarakat untuk saling mengenali antara satu sama lain. Namun
begitu, Jason memberikan bermacam-macam alasan untuk tidak bergaul dengan jirannya.
Dia mengatakan bahawa jiran-jirannya hanya suka menjaga tepi kain orang. Swee Lan
menggeleng-geleng dengan jawapan yang diberikan oleh Jason itu.

Anak jiran Swee Lan, Rahman menghantar bubur pisang yang dibuat oleh ibunya ke
rumah Swee Lan pada suatu petang. Pada waktu itu, Jason kebetulan berada di luar rumah.
Lalu, Rahman menyapa Jason dan bertanya akan khabarnya. Jason hanya menganggukkan
kepalanya tanpa menjawab pertanyaan tersebut. Tanpa putus asa, Rahman tetap
mengajukan beberapa soalan kepada Jason namun dia hanya menjawab soalan tersebut
secara endak tak endah sambil menunjukkan perasaan dingin. Selepas menyampaikan
bubur tersebut kepada Jason, Rahman berlalu pergi dari rumah Jason dengan perasaan
yang kecewa.

Di sekolah pada waktu mata pelajaran Sejarah, guru Sejarah telah meminta para
pelajar untuk menyiapkan tugasan Sejarah secara berkumpulan. Jason ditempatkan dalam
kumpulan yang sama dengan Rahman. Sepanjang perbincangan berlangsung, sikap Jason
tetap tidak berubah dan dia hanya mendiamkan diri umpama kera sumbang. Rahman
berusaha untuk membuat Jason bercakap, namun usahanya itu tetap tidak berhasil.
Namun begitu, dengan takdir Tuhan, rumah Jason terbakar pada suatu hari.
Kebakaran tersebut berpunca daripada gangguan litar pintas yang berlaku di bahagian atas
rumah Jason. Seluruh kampung gempar dengan kejadian tersebut lalu tergesa-gesa pergi
ke tempat kejadian. Mereka bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memadamkan api.
Swee Lan yang berada di luar rumah teringat akan Jason yang sedang tidur di ruang tamu.
Dia menjerit meminta bantuan orang kampung untuk menyelamatkan permata hatinya itu.
Apabila mendengar jeritan tersebut, Rahman segera meluru ke dalam rumah Jason untuk
menyelamatkannya. Dia langsung tidak peduli akan api yang menjulang tinggi di dalam
rumah tersebut.

Akhirnya, Jason dapat diselamatkan walaupun terdapat sedikit kecederaan ringan di


bahagian kakinya. Dia terus dikejarkan ke hospital. Di hospital, Jason terbaring lesu. Dia
merenung wajah ibunya yang berada di sisi katil itu. “Jason, syukurlah awak selamat,” bisik
ibunya perlahan. Seketika kemudian, pintu kamar pesakit dibuka perlahan. Kelihatan Pak
Ahmad , Mak Jah, dan Rahman berjalan perlahan menuju ke katil Jason. Swee Lan
tersenyum dan menjemput mereka duduk. Tiba-tiba Jason bersuara, “Rahman, saya minta
maaf. Saya menyesal. Sekarang baru saya mengerti erti jiran dan persahabatan.” Jason
menghulurkan tangannya kepada Rahman. Rahman menyambutnya. Swee Lan
memandang wajah Pak Ahmad dan Mak Jah. Swee Lan tersenyum luas.

You might also like