You are on page 1of 11

Konsep dan Objektif Pendidikan Seks

Menurut Perspektif al Quran *

Oleh

Dr. Muhamad Zahiri Awang Mat


Institut Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Rahimi Md. Saad


Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Abstrak

Pendidikan seks menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan oleh
semua lapisan masyarakat melibatkan masyarakat awam, kerajaan, ahli
akademik dan lain-lain. Topik berkaitan konsep dan objektif pendidikan seks
merupakan aspek penting untuk dibincangkan kerana ia perlu difahami
secara jelas dan mendalam sebelum program tersebut dilaksanakan.
Pemahanan tentang konsep dan objektif pendidikan seks amat penting
kerana ia merupakan asas di dalam menentukan kerangka dan hala tuju
pelaksanaan program pendidikan tersebut. Kertas kerja ini bertujuan untuk
mengkaji konsep dan objektif pendidikan seks menurut perspektif al-Quran.
Perbincangan-perbincangan al-Quran berkaitan topik tersebut akan
menjadi teras di dalam kajian ini di samping hadith-hadith yang menjadi
penerang kepada konsep-konsep yang terkandung di dalam al-Quran.
Pandangan para ilmuan Islam juga turut dibincangkan dalam memahami
apa yang telah diperkatakan oleh al-Quran dan al-Hadith tersebut. Kajian
analitikal berdasarkan sumber al-Quran dan al-Hadith mampu memberikan
satu pemahaman yang jelas berkaitan dengan konsep dan objektif
pendidikan seks menurut perspektif Islam. Rumusan daripada kertas ini
dapat memberikan input yang berguna kepada pihak yang terlibat di dalam
menggubal dan menentukan corak perlaksanaan program pendidikan seks
di negara ini agar ia menjadi lebih berkesan dan tidak tersasar dari
landasan agama.

* Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Seksual Kebangsaan 2005 yang
dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keluarga Universiti Malaya pada 30 Julai 2005

Diedar semula sempena Siri Diskusi Khas (SDK) Ke 3


Anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
pada 22 Julai 2006 Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
www.muafakat.net.my

Konsep dan Objektif Pendidikian Seks


Muka 1 dari 11
Menurut Perspektif al Quran

Oleh

Dr. Muhamad Zahiri Awang Mat


Institut Pendidikan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Rahimi Md. Saad


Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan
Universiti Malaya

Perkembangan pesat dalam bidang ekonomi dan teknologi telah meninggalkan


impak yang mendalam terhadap sosio-budaya informasi serta gaya hidup
masyarakat. Isu moral dan sosial yang banyak diperkatakan kini sebahagian
besarnya adalah hasil daripada perkembangan tersebut. Statistik berkaitan
pelbagai gejala keruntuhan moral seperti penagihan dadah, rogol, pelacuran,
persetubuhan luar nikah dan lain-lain lagi di kalangan remaja telah mendorong
pihak berkuasa untuk mencari alternatif terbaik bagi menghindari mereka
daripada terus terjebak di dalam aktiviti keruntuhan moral tersebut. Untuk
menangani gejala yang berkait aspek seksual, maklumat dan pengetahuan
yang tepat berkaitan dengan seksualiti dan reproduksi perlulah didedahkan
kepada golongan remaja agar mereka memperolehi maklumat yang mampu
menjadi benteng pertahanan diri dari perkara yang boleh merosakkan diri dan
masa depan mereka. Sebagai langkah positif, untuk membendung perkara ini,
Kementerian Pendidikan (kini Pelajaran) telah mengambil inisiatif
memperkenalkan beberapa subjek berkaitan seksualiti dan reproduktif seperti
Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Islam dan Moral,
Biologi dan Sains. Kurikulum subjek-subjek tersebut menyentuh pelbagai topik
yang berkaitan dengan kesihatan fizikal, seksualiti, reproduksi, dan aspek moral
dan hubungan antara jantina.

Semenjak diperkenalkan, pelbagai bentuk penilaian dan perubahan terhadap


kurikulum tersebut telah dilakukan untuk memenuhi keperluan dan
perkembangan semasa. Kini, usaha untuk memberikan pendidikan seksual
yang formal bukan sahaja ditangani oleh Kementerian Pelajaran tetapi juga
melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta
Kementerian Kesihatan. Semua pihak yang terlibat telah telah berusaha untuk
merangka dan melaksanakan satu program kesedaran dan pendidikan seksual
yang berkesan untuk kepentingan masyarakat. Pendapat dan pandangan
daripada pelbagai pihak diambilkira untuk menghasilkan pengisian yang terbaik
untuk program tersebut. Pandangan dan perspektif agama merupakan aspek
yang penting untuk diberi perhatian agar agenda program tersebut dapat
membuahkan hasil yang terbaik.

Sebagai sebuah negara Islam, pandangan serta perspektif Islam perlu


diberikan keutamaan kerana nilai dan konsep yang diutarakan Islam seringkali
bersifat universal untuk pelaksanaannya. Kertas kerja ini cuba menjawab

Muka 2 dari 11
beberapa persoalan yang berkaitan dengan pendidikan seks menurut perspektif
Islam. Secara lebih khusus, ia akan menyentuh definisi, konsep dan objektif
serta kedudukan pendidikan seks. Ia juga membincangkan pendidikan seks
dalam konteks holistik dan objektif jangka pendek serta jangka panjang
pendidikan seks menurut perspektif al-Quran.

Pendidikan Seks
Menurut Kamus Dewan (1994), perkataan ‘seks’ bermaksud sifat-sifat yang
membezakan laki-laki dan perempuan (jantina) atau keinginan syahwat. Secara
umumnya, perkataan seks memberikan gambaran tentang suatu keadaan di
mana wujudnya hubungan di antara berlainan jantina iaitu lelaki dan
perempuan. Bagi sesetengah masyarakat, perbincangan tentang topik seks
dianggap sebagai taboo atau tidak wajar dibicarakan kerana ia adalah perkara
yang terlalu peribadi atau dianggap sebagai persoalan ‘dalam selimut’. Namun,
apabila perkataan seks dikaitkan dengan pendidikan, ia akan memberi satu
maksud yang amat berbeza. Pendidikan seks secara umumnya merupakan
satu proses mendidik yang bersifat maklumat (cognitive), pemahaman dalaman
(internal cosnsiousness/spiritual/ morality) dan juga jasmani (physical) kepada
golongan sasaran tertentu seperti pelajar sekolah dan juga orang awam tentang
amalan kehidupan yang berkaitan dengan hubungan di antara dua jantina
tersebut. Ia boleh dilaksanakan samada secara formal atau pun tidak formal.

Di dalam Islam, isu yang berkaitan dengan seks bukanlah perkara asing. Ia
telah dibincangkan dengan begitu meluas oleh para ilmuan dan agamawan
Islam. Perbincangan tersebut bukanlah berdasarkan kepada pandangan
mereka semata-mata tetapi adalah bertunjangkan kepada apa yang telah
dinyatakan oleh Allah s.w.t melalui kitab al-Quran dan juga penjelasan oleh
RasulNya melalui al-Sunnah. Pemerhatian yang mendalam terhadap
kandungan al-Quran dan al-Hadith akan mendapati bahawa perbincangan
tentang seks sentiasa dikaitkan dengan persoalan akidah, akhlak, tingkah laku
mulia, menjauhi kemungkaran dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada
orang lain. Sebagai contoh, al-Quran telah menggambarkan institusi
perkahwinan sebagai sebuah institusi suci yang mampu memberi ketenangan
dan merealisasikan erti kasih sayang yang sebenar melalui firmanNya yang
bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan
untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa
tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi
kaum yang berfikir." (Al-Rum: 21)

Apabila membicarakan perkara yang berkaitan dengan penyelewengan seks


(sexual deviance) seperti zina, Allah s.w.t menegaskan ia sebagai perbuatan
mungkar yang terkutuk. Ini dapat difahami melalui firman-Nya yang
bermaksud:"Dan Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu
adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk." (Al-Isra':
32)

Apabila menyentuh persoalan hubungan seks songsang (homosexsuality)


seperti yang dikisahkan melalui kaum Nabi Luth, Allah s.w.t telah mengecam
Muka 3 dari 11
perbuatan mereka dengan menyatakah bahawa mereka telah melakukan
perbuatan fahisyah iaitu perbuatan yang dikutuk. Firman-Nya bermaksud: “Dan
(Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatakala ia
berkata kepada kaumnya: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan fahisyah
(homosexuality) itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia
ini) sebelummu?" (Al-A'raf: 80)

Daripada perspektif agama, orang yang mampu mengelakkan diri mereka


daripada terjebak dalam salahlaku seks menunjukkan bahawa mereka
mempunyai kekuatan dalaman (spiritual) dan daya tahan diri yang kuat. Dalam
sebuah hadith, Nabi s.a.w. telah menjelaskan bahawa seorang yang
mempunyai iman yang sempurna tidak akan melakukan hubungan seks di luar
nikah. Baginda menyatakan: “Tidak akan berzina seseorang penzina itu dalam
keadaan dia beriman… …” ( Riwayat Bukhari)

Islam juga memandang serius kepada perbuatan atau perlakuan awal


(preaction) yang boleh membawa kepada berlakunya zina seperti berkhalwat.
Rasulullah menyatakan: “Tidak berada di tempat sunyi antara seorang lelaki
dan seorang wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan”. Hadith ini
menunjukkan bahawa perbuatan bersunyian (khalwat) antara seorang wanita
dan lelaki (yang tiada hubungan mahram) boleh mendorong kepada
penyelewengan seksual kerana mereka akan dipengaruhi oleh syaitan yang
sentiasa mendorong manusia ke arah kejahatan.

Larangan ini lebih jelas dapat dilihat di dalam al-Quran melalui larangan
perbuatan zina. Allah berfirman (maksudnya): “Janganlah kamu mendekati zina
kerana sesungguhnya ia adalah perbuatan fahisyah (terkutuk) dan buruk
padahnya.” (al-Isra’:32). Jelas melalui ayat tersebut bahawa Allah bukan sahaja
melarang perbuatan zina bahkan mendekati zina juga turut dilarang kerana
sebagai Pencipta, Allah mengetahui bahawa di antara kedua-dua jantina ini
akan sentiada ada daya tarikan untuk mewujudkan yang lebih intim dari aspek
seksual.

Pandangan Islam terhadap Pendidikan Seks


Abdulah Nasih 'Ulwan (1985) telah menghuraikan pendidikan seks sebagai satu
proses untuk ;
"mengajar, menjelaskan dan meberi peringatan kepada remaja
tentang isu yang berkaitan dengan seks, naluri, nafsu (syahwat), dan
hubungannya dengan perkahwinan…sehingga mereka membesar
dalam keadaan memahami erti kehidupan. Remaja mengetahui apa
yang dibenarkan dan apa yang ditegah dan mereka menjadikan
sikap dan tingkahlaku Islam sebagai praktik dalam kehidupan."1(hal.
499)

Al-Tawil (1992) pula menanggap pendidikan seksualiti sebagai satu proses


yang bertujuan untuk;
"mengajar, memberi peringatan dan berterus terang kepada kanak-
kanak (remaja) semenjak baligh lagi dengan isu yang berkaitan
dengan seksualiti, naluri dan perkahwinan. Apabila mereka
Muka 4 dari 11
meningkat dewasa, mereka akan memahami perkara yang berkaitan
dengan kehidupan dan mengetahui apa yang halal dan apa yang
haram Cara hidup Islam akan menjadi akhlak mereka maka mereka
akan menjauhi segala perlakuan yang keji."2(hal: 8)

Analisis terhadap beberapa ayat al-Quran dan al-Hadith jelas menunjukkan


bahawa Islam amat menggalakkan umatnya untuk mempelajari ilmu dan
pengetahuan yang berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan seksualiti
dan reproduktif. Islam amat mementingkan umatnya menjalani kehidupan
seksual yang sempurna dan baik selaras dengan tuntutan Allah s.w.t. Segala
perintah dan peraturan agama berkaitan seksual yang ditetapkan oleh Islam
adalah bermatlamatkan kepada kesejahteraan hidup manusia. Di antara firman
Allah yang berkaitan ialah:"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-
pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah." (Al-Zariyat: 49)

"Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: "Haidh itu adalah


kotoran". Oleh itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh;
dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka
telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah
kepadamu." (Al-Baqarah: 222)

"Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri


mereka atau (hamba) yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka tidak
(termasuk dalam kelompok orang yang) tercela dalam hal ini. Barangsiapa
yang mencari di sebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui
batas." (Al-Mukminun: 5-7)

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan


pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih
suci bagi mereka… Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah
mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah
mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak
daripadanya…" (Al-Nur: 30-31)

Nabi s.a.w. sendiri semasa hayatnya telah mengajar para sahabat baginda
secara jelas pelbagai perkara yang berkaitan dengan persoalan seks. Segala
permasalahan yang timbul di kalangan mereka akan terus dirujuk kepada Nabi
s.a.w. untuk mendapat penjelasan. Kandungan sebuah hadith telah
menunjukkan keprihatinan baginda dalam hal ini kerana telah memperuntukkan
satu sesi khusus untuk wanita di kota Madinah mengemukakan masalah yang
berkaitan dengan diri mereka (wanita) tanpa kehadiran kaum lelaki. Ini
menggambarkan bahawa baginda amat mengggalakkan aktiviti perbincangan
yang bermatlamatkan untuk menambah ilmu pengetahuan untuk kepentingan
hidup seharian. Baginda menyatakan: “Kerahmatan bersama wanita Ansar
(penduduk Madinah). Perasaan malu tidak menghalang mereka untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan agama.3 Saidina Ali r.a juga menyatakan tidak
sepatutnya ada perasaan malu dalam perkara berkaitan agama.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada 'Abdullah r.a. katanya: "Di
zaman Rasulullah s.a.w., kami adalah pemuda-pemuda yang tidak memiliki
Muka 5 dari 11
apa-apa. Rasulullah s.a.w. berkata kepada kami (yang bermaksud): "Wahai
para pemuda, siapa yang mampu berumahtangga, kahwinlah. Sesungguhnya
perkahwinan itu melindungi pandangan mata dan memelihara kehormatan.
Tetapi siapa yang tidak mampu berkahwin, maka berpuasalah, kerana puasa
itu merupakan pendindingnya".4

Jika dilihat pada perspektif agama, perbincangan tentang seks adalah


digalakkan selagi ia bermatlamatkan kepada keinginan untuk mencari
kebenaran dan sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Perbincanganan tersebut mestilah berlandaskan kepada pentafsiran ayat-ayat
al-Quran, al-Sunnah dan juga pandangan ilmuan Islam yang berautoriti sama
ada di kalangan ilmuan lampau atau semasa. Hasil daripada perbincangan
tersebut sepatutnya mampu menghasilkan satu garis panduan yang jelas untuk
menggubal dasar etika dan adab berkaitan dengan kekeluargaan, seksualiti
dan reproduktif yang bercirikan Islam.

Apabila membicarakan tentang seksualiti, isu-isu berkaitan yang perlu diberi


perhatian tidak sepatutnya terhad kepada perbezaan, perkembangan dan
perubahan fizikal jantina sahaja tetapi ia mestilah turut sama memberi perhatian
kepada isu interaksi di antara lelaki dan perempuan serta peranan institusi
keluarga kerana pemahaman yang betul terhadap perkara tersebut akan dapat
mewujudkan kehidupan seksual yang harmoni di kalangan manusia. Jika diteliti,
kita dapati bahawa perbincangan yang terkandung di dalam agama yang
berkaitan dengan seksual amat menumpukan kepada perkara ini kerana ia
adalah asas kepada kehidupan seksual yang sempurna. Pemahaman terhadap
larangan dan peranan yang perlu dipatuhi akan membolehkan bentuk interaksi
yang berlaku adalah harmoni dan menghindari penyelewengan atau interaksi
songsang.

Untuk mendapatkan gambaran yang jelas mengenai isu seksual berdasarkan


perspektif al-Quran, kajian perlu ditumpukan kepada perincian dan pemahaman
kandungan serta tafsiran berautoriti terhadap ayat-ayat al-Quran yang berkait
dengan isu-isu seksualiti, reproduktif, kesihatan fizikal dan kekeluargaan.
Berdasarkan analisa terperinci terhadap kandungan al-Quran, ayat-ayat yang
berkait dengan dengan isu-isu tersebut dapat dirumuskan seperti jadual berikut
:

Isu/Topik Jumlah Ayat


Maruah diri, perkahwinan dan institusi kekeluargaan 87
Penyelewengan seks dan seks luar nikah 92
Hadath 4
Batas serta adab hubungan antara lelaki dan perempuan 44
Hubungan kedua ibubapa dan anak-anak 33

Muka 6 dari 11
Matlamat Pendidikan Seks dari Perspektif al-Quran
Di antara matlamat utama dalam mendidik masyarakat memahami kehidupan
seksual yang selaras dengan tuntutan agama adalah untuk mematuhi perintah
dan tuntutan Allah terhadap manusia atau dengan ertikata lain sebagai satu
ibadah. Allah telah menyatakan melalui firmanNya (bermaksud): “Tidak Aku
ciptakan jin dan manusia melain untuk beribadah.” (al-Zariyat: 56).
Tanggungjawab beribadah bermakna menjalankan kehidupan sebagaimana
yang diperintahkan oleh Allah. Allah telah menyediakan garis panduan
kehidupan manusia melalui al-Quran dan menyediakan konsep-konsep untuk
difahami dan ia telah diperincikan oleh Rasulullah s.a.w melalui al-Sunnah yang
seterusnya dibincangkan oleh para ulama dan ilmuwan.

Sebagai hamba, manusia bertanggungjawab untuk mematuhi perintah Allah


sebagai yang difirmankanNya (bermaksud): “Dan tidaklah harus bagi orang-
orang yang beriman lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya
menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan
sendiri mengenai urusan mereka, dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum
Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan
yang nyata.” (al-Ahzab: 36).

Menjadi tanggungjawab kepada masyarakat untuk mendidik anggotanya


memahami corak kehidupan dalam apa jua aspek sama ada ekonomi, sosial,
moral dan sebagainya agar mereka dapat menjalani kehidupan yang sentiasa
diredhai Allah. Dalam hal ini, kehidupan seksual juga tidak terlepas dari
tanggungjawab masyarakat untuk menyampaikannya terutama kepada
generasi muda kerana kecelaruan yang timbul akan menimbulkan masalah
yang perlu ditanggung oleh semua anggota masyarakat. Mereka perlu
difahamkan dengan gaya hidup seksual yang selaras dengan nilai dan garis
hidup yang ditetapkan oleh Islam. Kandungan pengisian program pendidikan
seksual mestilah mampu menjurus orang yang dididik ke arah memahami diri
sendiri yang seterusnya membawa mereka kepada mengenali dan patuh
kepada Allah sebagai tuhan mereka.

Pendidikan seks juga perlu diberi perhatian kerana ia merupakan satu


mekanisme untuk setiap individu memahami dan seterusnya memelihara
maruah diri mereka. Perkara ini dapat difahami melalui perintah Allah s.w.t agar
para wanita menjaga aurat mereka melalui ayat 59 surah al-Ahzab. Allah
selitkan di dalam ayat tersebut kenyataan “..yang demikian itu supaya mereka
lebih mudah dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu...”. Kandungan ayat ini
telah menunjukkan bahawa Allah mewajibkan perkara tersebut kerana ia adalah
satu cara untuk memastikan kehormatan diri dan maruah wanita akan kekal
terpelihara.

Penjagaan maruah bukan perkara kecil kerana ia merupakan salah satu


daripada tujuan atau matlamat umum (maqasid) kepada penurunan syariat
Allah ke atas manusia. Islam amat mementingkan penjagaan kehormatan diri
kerana Allah sendiri memuliakan manusia. Firman Allah (bermaksud): “Dan
sesungguhnya kami muliakan anak-anak Adam dan kami memelihara darjat
mereka di daratan dan lautan. Kami berikan rezeki dari yang baik-baik dan

Muka 7 dari 11
kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna daripada sekelian
makhluk yang telah kami cipta (iaitu akal” (al-Isra’: 70)

Kaitan Pendidikan Seks dengan Aqidah


Pendidikan seks juga mempunyai perkaitan amat rapat dengan aqidah.
Pendidikan seks yang berkonsepkan Islam mestilah berteraskan kepada
kepercayaan kita kepada Allah dan seluruh rukun iman yang lain. Apabila kita
percaya kepada Allah sebagai Tuhan yang Maha Bekuasa, maka menjadi
tanggungjawab kita untuk patuh kepadaNya. Orang yang patuh kepada
perintah Allah adalah orang yang percaya kepada kekuasaanNya serta
mempercayai balasan baik dan buruk di kehidupan akhirat.

Dalam perintah menjaga a’urat, Allah memulakan ayat (bermaksud) :


“Katakanlah kepada orang-orang perempuan yang beriman…” (al-Nur: 31).
Dapat difahami daripada ayat ini bahawa wanita yang mematuhi perintah
tersebut telah diakui oleh Allah sebagai orang yang beriman iaitu percaya
kepada kebesaran Allah dan percaya bahawa balasan yang buruk akan
menimpa orang-orang yang ingkar.

Kaitan Pendidikan Seks dengan Kesejahteraan Manusia


Masyarakat yang dapat mendidik anggotanya menjalani kahidupan seksual
yang harmoni akan dapat mewujudkan sebuah kehidupan yang sejahtera. Allah
telah menjanjikan bahawa umat yang patuh kepada perintah Allah akan
sentiasa dirahmatiNya. Janji ini dinyatakan melalui firmanNya (bermaskud): “
Jika penduduk sesuatu negeri itu beriman dan bertaqwa (patuh) kepada Allah,
Kami akan bukakan untuk mereka keberkatan daripada langit dan bumi…” (al-
A’raf: 96).

Apabila kehidupan seksual berjalan mengikut garispanduan agama, sebuah


masyarakat yang damai dan sejahtera. Pembentukan sesebuah masyarakat
akan menjadi harmoni kerana ia dibentuk oleh sebuah keluarga yang dipenuhi
dengan kasih saying. Allah telah memerintahkan supaya manusia berkahwin
kerana ia membawa kesan yang begitu penting terhadap kesejahteraan hidup
mereka jika mengikut lunas yang ditetapkan. Firman Allah (bermaksud): “ Dan
Allah telah menjadikan untuk kamu daripada diri kamu berpasangan dan
mengurniakan untukmu daripada mereka anak-anak dan cucu-cucu serta
mengurniakan untuk kamu semua rezeki-rezeki yang baik.” (al-Nahl: 16). Allah
juga menyatakan (bermaksud): “ Dan di antara tanda-tanda kekuasanNya Dia
menciptakan daripada diri kamu pasangan untuk kamu memperolehi
ketenangan daripadanya dan menjadikan di antara kamu kasih saying.
Sesungguhnya yang demikian itu mempunyai isyarat untuk kaum yang berfikir”.
(al-Rum: 30)

Pelaksanaan Pendidikan Seks


Jika diperhatikan kepada apa yang disarankan oleh al-Quran dan al-Sunnah,
pendidikan seks mestilah berjalan sebagai satu proses yang berterusan.

Muka 8 dari 11
Pelaksanaan yang bersifat sementara atau sekadar untuk menyelesaikan
masalah sosial semasa adalah langkah yang tidak praktikal.

Islam menekankan bahawa pendidikan harus dimulakan daripada peringkat


bawah supaya kanak-kanak dapat memahami perbezaan jantina yang wujud di
antara mereka. Pada peringkat usia 10 tahun lagi, ibu-bapa diarahkan untuk
mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan. Arahan ini secara tidak
langsung (indirect) adalah satu bentuk didikan agar anak-anak ini dapat
memahami bahawa perbezaan jantina yang wujud antara mereka tidak
membolehkan mereka untuk berhubungan terlalu rapat walaupun mereka
mempunyai pertalian darah. Apabila meningkat dewasa, kefahaman itu akan
menjadi lebih jelas apabila mereka diwajibkan menutup aurat serta membatasi
pergaulan dengan jantina yang berbeza.

Hal yang sama juga dapat dilihat melalui pendekatan yang digunakan oleh
syariat Islam untuk menerapkan garis kehidupan seksual umatnya. Penekanan
diberikan kepada langkah pencegahan awal seperti mewajibkan penutupan
aurat, melarang pergaulan bebas antara jantina berbeza serta menetapkan
mekanisme penyaluran keperluan seksual yang sah melalui institusi
perkahwinan yang amat digalakkan di dalam Islam. Nabi s.a.w sendiri telah
menyatakan bahawa mereka yang berkahwin itu telah menyempurnakan
separuh daripada kesempurnaan agamanya bahkan mereka yang
mengelakkan daripada berkahwin dalam keadaan mereka mampu berbuat
demikian dianggap tidak termasuk dalam kelompok umatnya.

Pendekatan tersebut perlu diberikan penekanan kerana kandungan ayat-ayat


al-Quran dan al-Sunnah lebih menekankan kepada perkara tersebut
berbanding hukuman. Namun jika manusia masih gagal untuk mengikuti
pendekatan ‘lembut’ yang nyatakan, maka hukuman yang keras akan menanti
mereka yang menyonsang perintah Allah dan fitrah kehidupan manusia. Syariat
Islam telah menjanjikan sebatan seratus rotan untuk penzina bujang dan rejam
sampai mati untuk penzina yang telah berkahwin. Hukuman ‘keras’ ini
disediakan untuk mereka yang degil dan gagal untuk memahami tuntutan
Tuhan yang manfaatnya adalah untuk kesejahteraan diri mereka sendiri.

Kandungan pendidikan seks juga mesti sentiasa dikaitkan dengan nilai-nilai


murni mereka yang dididik dapat memahami manfaat dan akibat daripada sikap
mereka untuk akur atau menyanggahi apa yang telah disampaikan kepada
mereka.

Objektif Am Pendidikan Seks


Jika diteliti penulisan dan pemikiran para cendekiawan dan tokoh pendidikan
Islam seperti Al-Ghazali, Nasih 'Ulwan, Othman al-Tawil dan Malik Badri5,
objektif am pendidikan seks dan reproduktif berpaksikan Islam dapat digariskan
sepereti berikut:
1) Untuk mempastikan pelajar dapat menghayati kesyumulan ajaran Islam
dalam menangani segala permasalahan manusia.
2) Untuk menambahkan lagi keyakinan dan keimanan pelajar terhadap
kebesaran dan keagungan Tuhan. Seterusnya melahirkan manusia yang
Muka 9 dari 11
taat kepada perintah Allah s.w.t (beribadat kepada Allah) tanpa berbelah
bahagi.
3) Untuk memberi maklumat yang betul dan jelas mengenai perkara yang
berkaitan dengan seksualiti kepada remaja. Ini dengan menyediakan
kurikulum pendidikan seksualiti yang standard berkaitan dengan
kebaikan dan keburukan serta halal dan haram bertepatan dengan
ajaran Islam.
4) Untuk membentuk akhlak, sikap dan tingkah laku yang mulia di kalangan
pelajar berhubung dengan seksualiti dan reproduktif.
5) Untuk membuka minda pelajar berkaitan dengan kesihatan dan etika
seksualiti serta kepentingan institusi keluarga.

Daripada objektif di atas, kesyumulan Islam adalah perkara yang amat


ditekankan dalam kurikulum seksualiti. Kesyumulan bermaksud Islam tidak
meninggalkan sesuatu isu kecuali untuk diperbincangkan sebagai panduan
kepada umatnya dan keseluruhan manusia amnya. Garis panduan yang
bersifat pengetahuan (ilmu) ini mempunyai kaitan dengan sifat suci dan spiritual
sesuatu ilmu. Setiap ilmu terdapat rahsia ketauhidannya yang tersendiri.6
Secara umum, kesemua objektif tersebut menyentuh domain kognitif, spiritual,
efektif dan psikomotor.

Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, konsep pendidikan seks daripada perspektif
Islam perlu;
• dilihat secara menyeluruh (holistic) kerana pelaksanaannya adalah
bermatlamatkan kepada sebuah sistem kehidupan insan yang harmoni
dan sejahtera
• mengelakkan daripada salahfaham yang boleh membawa kepada
gangguan dan kekacauan akibat daripada salahguna maklumat yang
diperolehi
• menjadikan keselamatan dan kesejahteraan umat sebagai agenda
utama dalam pelaksanaan pendidikan seks
• berpandukan kepada rangka matlamat syariat (maqasid syariah) –
menjaga agama, maruah, keturunan dll. - agar pelaksanaannya dapat
mencapai objektif yang diharapkan

Muka 10 dari 11
1
NOTA HUJUNG

Abdullah Nasih 'Ulwan (1985), Tarbiat al-Awlad fi al-Islam, jil. 2. Kaherah: Dar al-Salam, hal: 499

2 Othman al-Tawil (1992): Al-Tarbiyyah al-Jinsiyyah fi al-Islam li al-Fatayat wa al-Fityan. Amman: Dar al- Furqan, hal: 8

3 Abu Zakaria al-Nawawi. Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, Kitab al-Haid, Bab Istihbab Isticmal al-Maghtasalah min al-Haid, vol. 4.

(Damascus: Dar al-Khair, 1994): 13, lihat juga Muhammad ibn Ismail al-Bukhari. Sahih al-Bukhari bi Hashiah al-Sindi, Kitab al-Ictisam bi al-
Kitab wa al-Sunnah, Bab Taclim al-Nabi Ummatahu, vol. 2, bhg. 4. (Cairo: Matbaah Dar Ihya’ al-Kutub al-cRabiah, t.t.) 263.

(Riwayat Bukhari). Lihat Sahih Bukhari (2002), terjemahan H. Zainuddin Hamidy dan lain-lain, jil. iv, bab al-Nikah. Singapura: Darel Fajr
Publishing House, hal: 7-8.

Lihat Al-GHazali (…), Ihya' Ulum al-Din, op cit, hal: 25-33; Abdullah Nasih 'Ulwan (1985), Tarbiat al-Awlad fi al-Islam, op cit, hal: 499-604 ;
Othman al-Tawil (1992), Al-Tarbiyyah al-Jinsiyyah fi al-Islam li al-Fatayat wa al-Fityan. Op cit, hal: 13; Malik Badri (2000), The Aids Crisis: A
Natural Product of Modernity's Sexual Revolution, op cit, hal: 320-328.

Untuk keterangan lanjut mengenai kesucian ilmu (pengislaman ilmu) lihat tulisan S. M. Naquib al- Attas (1993), Islam and Secularism,
Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), hal: 133-160; S. M. Naquib al- Attas (1999), The Concept
of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education, hal: 38-45 dan Wan Mohd Nor Wan Daud (1997), Penjelasan
Budya Ilmu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal: 87-101.

You might also like