You are on page 1of 26

SENI BINA RUMAH TRADISIONAL MELAYU BRUNEI : GAMBARAN SISTEM


ADAPTASI DENGAN ALAM DAN BUDAYA TEMPATAN.

Oleh

Dato Paduka Hj. Matussin bin Omar

Abstrak

Seni bina rumah tradisional Melayu Brunei mempunyai ciri-ciri distinktif dari segi bentuk
rumah yang difokuskan kepada bentuk bubungnya, susun atur ruangnya dan unsur
astetiknya yang digambarkan oleh jenis hiasan dan dekorasi yang digunakan.

Rekabentuk rumah Melayu Brunei adalah merupakan respon terhadap akibat-akibat yang
ditimpakan oleh fenomena-fenomena alam yang ekstrim. Dengan memahami tabiat alam
dan iklim tempatan yang panas dan hujan serta udaranya yang lembab sepanjang tahun,
masyarakat Melayu tempatan telah berusaha mengawal dan mengatasinya melalui sistem
adaptasi yang yang begitu berkesan seperti merekabentuk jenis-jenis bubung (atap) dan
tingkap, menggunakan bahan-bahan binaan yang kurang menyerap hawa panas serta
menyediakan beberapa jenis sistem ventilasi yang natural demi mendapatkan keselesaan
dalam rumah dan juga tubuh badan. Selain daripada itu rekabentuk rumah tradisional
Melayu, khususnya bahagian dalam, adalah untuk menyesuaikan dengan kehendak atau
tuntutan sosio-budaya dan agama.

Unsur-unsur seni bina tradisional Melayu ternyata berkesan dalam menghadapi, mengawal
dan mengatasi fenomena-fenomena alam serta dalam menzahirkan suasana keindahan.
Dari itu ia masih tetap relevan dalam setiap keadaan dan masa, hinggakan sebahagian
daripada ciri-ciri seni bina Melayu itu masih diterapkan dalam rumaah-rumah dan
bangunan-bangunan kontemporari atau moden, terutama sekali masjid dan istana.
Setentunya yang memainkan peranan penting dalam usaha-usaha penerapan ini ialah Raja-
Raja Brunei.

PENGENALAN

Antara aspek budaya tempatan yang masih kurang mendapat perhatian dari kalangan
penyelidik ialah material culture yang mana rumah serta aspek seni binanya adalah salah
satu elemen yang terkandung di dalamnya. Natijahnya, begitu sedikit sumber-sumber dan
bahan-bahan mengenai seni bina tempatan, khususnya yang berkaitan dengan seni bina
tradisional, yang dapat digunakan sebagai rujukan oleh sesiapa juga yang berminat. Ada

 

beberapa kemungkinan yang menyebabkan seni bina tradisional tempatan ini seolah-olah
tidak mendapat perhatian yang memuaskan dari kalangan penyelidik masa kini. Antaranya
ialah kurangnya, bahkan tidak adanya lagi kesan-kesan seni bina tradisional yang
representatif dan cukup signifikan ketika ini untuk dijadikan data rujukan dan
penyelidikan. Hal ini terjadi akibat dari cepat dan pesatnya pembangunan fizikal dan
proses perbandaran yang menyebabkan banyak rumah tradisional telah dirobohkan bagi
memberi ruang atau laluan kepada pembinaan rumah-rumah dan gedung-gedung moden,
penyediaan sistem infrastruktur awam dan proses perkembangan serta perluasan kawasan
bandar dan kawasan-kawasan yang bersempadan dengannya. Misalnya antara tahun-tahun
1960an dengan 1970an cuma tinggal beberapa buah rumah berunsur tradisional yang
masih boleh dilihat di kawasan-kawasan tertentu di negara ini, namun semuanya sudah
tidak ada lagi pada masa ini. Selain daripada itu kerana tidak adanya lagi tukang pembuat
rumah tradisional yang masih hidup ketika ini untuk dijadikan narasumber yang autoritatif,
menyebabkan kerja penyelidikan dalam bidang berkenaan begitu sulit dan terhad.
Maklumat yang diperoleh daripada tukang-tukang mengenai seni bina tradisional
merupakan sumber primary yang amat tinggi nilanya.

Dalam keadaan kekurangan data ini, penulis lebih banyak bergantung kepada sumber-
sumber secondary daripada tulisan-tulisan yang telah dihasilkan oleh beberapa orang
penyelidik atau penulis sebelum ini1 bagi menyediakan kertas ini.

SUMBER-SUMBER AWAL BERKAITAN SENI BINA BRUNEI

Walaupun beberapa sumber awal ada menyentuh tentang rumah-rumah yang terdapat di
ibu negeri Brunei silam, namun ianya hanyalah berupa gambaran-gambaran ringkas dan
umum sahaja, yakni tidak menceritakan secara jelas, terperinci dan spesifik tentang aspek
seni bina tempatan. Contohnya, Antionio Pigafetta menceritakan tentang istana raja yang
disaksikannya sewaktu membuat lawatan ke Brunei dalam tahun 1521 dengan kata-kata
berikut:

“ Then we went to the king’s palace…..We went up a staircase accompanied by the


governor and other chiefs, and entered a large hall full of many nobles…..At the end of the
great hall is another hall higher but somewhat smaller. It was all adorned with silk
hangings, and two windows, through which light entered the hall, and hung with two
brocade curtains opened from it….At the end of the small hall was a large window from
which a brocade curtain was drawn aside, so that we could see within it the king seated at
a table with one of his young sons chewing betel….” (Nicholl 1990 : 9-10)

1. Contohnya lihat Pg.Ismail (1989); Alimin (1989); Awg.Hj.Metussin (1993) dan Pg.
Adanan (2000)

 

Petikan di atas menceritakan susunan ruang yang ada pada sebahagian kawasan dalam
istana. Langsung tidak disentuh tentang bentuk dan ciri-ciri distinktif seni bina istana
tersebut termasuk ukiran-ukiran yang terdapat pada tiang, dinding, pintu, tingkap dan balai
penghadapannya yang menggambarkan keindahan, kehalusan dan ketinggian seni bina
Brunei ketika itu.

Seterusnya Pigafetta juga menceritakan secara umum dan ringkas tentang keadaan rumah-
rumah penduduk Brunei yang ada dalam Bandar Brunei seperti berikut :

“The city is entirely built in salt water, except the houses of the king and certain
chiefs….the houses are all constructed of wood and built upon from the ground on tall
pillars….There is a large brick wall in front of the king’s house with towers like fort, in
which were mounted fifty six pieces of bronze cannons and six of iron…”( Nicholl
1990:11)

Francisco de Sande, bangsa Sepanyol yang mengetuai penyerangan ke atas Brunei pada
tahun 1578 Masehi mencatatkan dengan agak jelas sedikit tentang Bandar Brunei dan
keadaan rumah-rumah dan istana-istana yang ada di dalamnya:

“The city was very large and rich, and was built over a very broad and deep river and had
the appearance of another Venice. The buildings were of wood, but the houses were
excellently constructed, many of them being constructed of a stone work and gilded,
especially the king’s palaces, which were of huge size. That city contained a very
sumptuous mosque, a very large and interesting building, quite covered with half relief and
gilded”(Nicholl 1990:61)

Meskipun aspek seni bina hanya disentuh secara ringkas, catatan di atas sekurang-
kurangnya menjelaskan tentang jenis-jenis bahan binaan yang digunakan untuk rumah-
rumah penduduk, istana-istana raja dan masjid, style ukiran yang ada pada masjid dan
salutan warna emas yang digunakan pada binaan-binaan tersebut.

Sumber Sepanyol yang lain yang tidak menyebutkan nama penulisnya tetapi diterjemahkan
oleh John S. Carroll ada menceritakan bahawa masjid Brunei yang telah ranap dibakar
pada malam Isnin 23 Jun 1578 atas perintah Francisco de Sande adalah diperbuat daripada
kayu berwarna hitam seperti bulian dan mempunyai lima tingkat (Nicholl 1986:44)

Catatan yang menjelasakan tentang struktur binaan bagi sebahagian rumah yang terdapat di
sepanjang Sungai Brunei adalah yang dibuat oleh Thomas Forrest pada tahun 1779. Beliau
menulis :

“the houses are built in each side of the river upon posts….Some houses on the right side
of the water, are two stories high, which I never saw it in any other Malay country….”
(Forrest 1779:380

 

Contoh-contoh catatan awal seperti yang disebutkan di atas, meskipun menyebutkan


tentang bentuk rumah, bahan-bahan binaan yang digunakan dan ukiran-ukiran yang
terdapat pada bahagian-bahagian binaan di Brunei, namun semuanya belum dapat
memberikan gambaran yang sangat jelas tentang seni bina Melayu Brunei pada abad-abad
awal sebelum abad ke 19 Masehi. Mahu tidak mahu kita harus bergantung sepenuhnya
kepada sumber-sumber lukisan dan foto sejak abad ke 18 Masehi yang memperlihatkan
rumah dan binaan tradisional tempatan dan kepada foto-foto rumah dan binaan tradisional
tempatan yang masih sempat dilihat atau direkod dalam tahun-tahun 1970an. Bahan-bahan
rujukan ini ada tersimpan di arkib-arkib, perpustakaan-perpustakaan dan muzium-muzium
tempatan dan luar negeri. Di samping itu sumber-sumber lisan dari warga “tua” yang
masih mengetahui serba sedikit selok belok seni bina tradisional Melayu amat berfaedah
dalam menambah pemahaman tentang aspek-aspek seni bina tempatan.

CIRI-CIRI DISTINKTIF DALAM SENI BINA TRADISIONAL MELAYU BRUNEI

Rumah, sebagai struktur ciptaan manusia yang mempunyai bentuk dan ciri tertentu,
merupakan elemen asas atau utama dalam seni bina. Rumah dapat menggambarkan sistem
nilai, pandangan hidup dan sistem adaptasi sesuatu masyarakat, kerana dari keseluruhan
elemen yang terbentuk dalam struktur rumah atau binaan terkandung idea, falsafah,
karakter, sistem kepercayaan dan konsep seni atau keindahan masyarakat yang
menciptakannya. Justeru itu tinjauan ke atas seni bina rumah tradisional Melayu Brunei
adalah perlu bagi memahami makna dan ciri-ciri yang terpancar serta tersirat dalam ciptaan
atau karya yang mereka hasilkan.

Antara ciri-ciri distinktif yang dapat dilihat dalam seni bina rumah tradisional tempatan
adalah dari segi bentuk rumah (houseform) atau bentuk bubung2 (roof shape), rekabentuk
(design) dan susun atur ruang (layout) serta hiasan (embellishment) dan ukiran (craving)
yang digunakan.

1. Bentuk Rumah

Seperti juga di semenanjung Tanah Melayu3, pemberian nama atau jenis rumah (house
type) tradisional Melayu di Brunei adalah berdasarkan kepada bentuk bubung (roof shape).

2. Di Semenanjung Tanah Melayu perkataan ‘bumbung’ digunakan untuk perkataan


‘bubung’
3. Lihat lim Jee Yuan (1987) dan Abd. Halim (1982a; 1982b; 1984a; 1984b)

 

Namun bagitu ada lagi penjenisan yang berdasarkan kepada sistem tambahan (addition
system) ke atas struktur indung rumah (rumah ibu). Daripada lukisan-lukisan dan foto-foto
rumah di Kampong Ayer yang dihasilkan dan diambil sejak abad ke 19 Masehi serta
berdasarkan rumah-rumah berunsur tradisional yang pernah dilihat dalam tahun-tahun
1960an dan 1970an, jelas kelihatan sebahagian daripada ciri-ciri distinktif yang disebutkan
di atas.

Bentuk Bubung

Berdasarkan kategori bentuk bubung, terdapat tiga jenis bentuk rumah tradisional Melayu
di Brunei, iaitu rumah belah bubung4, rumah tungkup dan rumah potong limas.

a. Rumah Belah Bubung

Bentuk bubung rumah ini ialah persegi empat tepat (rectangular) jika dipandang dari atas.
Di bahagian tengah atas bubung atau atap diletakkan tulang bubungan dalam keadaan
mendatar (horizontal) yang berfungsi sebagai pembahagi atap sebelah kanan dan sebelah
kiri yang curam ke bawah sehingga terbentuk rangka bubung yang menyerupai ‘V’ terbalik
jika dilihat dari kedua sudut tepi rumah. Di bahagian bawah kedua hujung bubung terdapat
dinding penutup berbentuk tiga segi yang dipanggil titi belayar5. Dalam berberapa contoh,
terdapat sebuah tingkap kecil yang bertongkat pada bahagian tengah curaman atap yang
mungkin berfungsi sebagai sistem ventilasi bagi udara masuk dan keluar dan juga menjadi
sistem pencahayaan. Tingkap ini akan ditutup apabila hari hendak hujan dari sebelah
dalam rumah. Begitu juga pada bahagian titi belayar terdapat sebuah tingkap kecil yang
fungsinya juga sama seperti tingkap kecil di atas bubung.

Rumah belah bubung lebih banyak didapati berbanding rumah-rumah jenis lain mungkin
kerana kerja penyediaan bubungnya relatif lebih mudah daripada bubung-bubung jenis atau
bentuk lain.

Pada awalnya bahan yang digunakan untuk atap rumah jenis ini ialah daun nipah atau
apung (Nipa fruticams) yang dianyam (dituhur) menjadi kepingan. Kepingan-kepingan
atap ini kemudiannya dipasang secara bertindih-tindih (berlimpa-limpa) agar air hujan
mudah dan cepat mengalir ke bawah. Dinding rumah juga menggunakan daun pucuk nipah
yang dianyam menjadi kajang. Lantai rumah pula menggunakan batang nibung yang
dibelah-belah.

4. Di Semenanjung dikenali dengan rumah bumbung panjang.


5. Di Semenanjung, struktur ini dipanggil tebar layar.

 

Apabila bahan-bahan binaan yang lebih baik mutunya didapati dalam pasaran dan
kedudukan ekonomi penduduk mengizinkan, maka bahan-bahan untuk atap, dinding dan
lantai turut bertukar sesuai dengan edaran masa.

Reka bentuk rumah belah bubung yang begitu fleksibal memudahkan sistem tambahan
dilakukan pada bahagian hadapan rumah atau pada mana-mana bahagian.

b. Rumah Tungkup

Bentuk atap rumah ini adalah persegi empat sama (square) dari pandangan sebelah atas,
dan bentuk ini selari atau selaras dengan bentuk rumah (indung rumah). Disebabkan
bentuk dan ketinggiannya, bubung rumah jenis ini kelihatan menungkup (menutupi
keseluruhan bahagian atas indung rumah) melalui tulang bubung yang agak pendek dan
empat penyirung rumah yang curam kebawah sehingga menjadikan bentuk bubung ini
kelihatan seperti piramid.

Rumah tungkup kurang kelihatan di negeri ini pada masa lalu dibandingkan dengan rumah
belah bubung mungkin kerana ianya lazim dimiliki oleh orang-orang berada atau bergelar
yang mempunyai status sosial dan ekonomi yang tinggi dan baik. Tingkat kesulitan untuk
membuat bubung jenis ini yang memerlukan kemahiran dalam ketepatan ukur mengukur
mungkin juga penyebab mengapa jenis rumah ini kurang menjadi pilihan.

c. Rumah Potong Limas

Dalam konteks Brunei, rumah potong limas atau bubung berbentuk limas (piramid)
mempunyai dua variasi.

Variasi pertama ialah di mana bubung paling atas yang berbentuk belah bubung menurun
ke bawah dengan begitu curam seperti piramid dan disambung dengan bubung di bahagian
bawahya yang agak menjengkang (tidak begitu curam). Atap jenis ini di kenali sebagai
bumbung perak di Semenanjung (Lim Jee Yuan 1987 dan Abd.Halim 1982a; 1982b;
1984a; 1984b). Menurut Lim Jee Yuan (1987 : 24-26) rumah bumbung perak dan rumah
bumbung limas bukanlah yang berunsur asli tempatan (indigenous) tetapi yang menerima
pengaruh daripada bentuk rumah Belanda dan Inggeris.

Sebagai pengamatan, atap rumah potong limas variasi pertama ini mempunyai dua bentuk
bubung, iaitu atap belah bubung pada bahagian paling atas, dan atap tungkup pada
bahagian bawah dengan penyirung diletakkan pada empat penjuru atap atau rumah.

Variasi kedua ialah jenis bubung yang lazim di gunakan pada bangunan masjid di mana
bubung jenis tungkup yang berbentuk limas (piramid) berada di bahagian paling atas,

 

sementara bubung pada bahagian bawahnya juga berbentuk tungkup, menjadikan


keseluruhan bubung atau atap kelihatan bertingkat (tiered) dua6.

Atap rumah potong limas biasanya diperbuat daripada kepingan kayu bulian
(Eusideroxylon sp.) yang di potong-potong nipis dan berbentuk empat persegi tepat.
Memandangkan bubung jenis ini bagitu berat, maka kayu yang digunakan untuk tiang
indung rumah adalah dari jenis keras dan kuat, biasanya bulian.

Seni bina rumah potong limas adalah memperlihatkan kombinasi seni bina tempatan
dengan seni bina moden (luar).

Bentuk Berdesarkan Sistem Tambahan

Berdasarkan kepada sistem tambahan yang di lakukan ke atas struktur dalam atau luar
indung rumah, maka timbullah jenis rumah loteng7 dan rumah belanggar. Rumah loteng
mendapatkan namanya daripada ruang loteng yang ditambah atau dibina di bahagian atas
indung rumah, sementara panggilan rumah belanggar adalah berasal daripada ruang
tambahan yang di letakkan atau didirikan melintang di bahagian hadapan indung rumah
yang kelihatannya seolah-olah “melanggar” bahagian tersebut.

a. Rumah Loteng

Rumah ini dipanggil rumah loteng disebabkan ianya mempunyai angkap atau ruang
berlantai di bahagian atas indung rumah yang biasa disebut loteng.

Loteng digunakkan untuk tempat tidur anak perempuan atau ruang bagi menjalankan
aktiviti menenun kain atau kraftangan yang lain. Tetapi ada juga yang menggunakannya
sebagai ruang menyimpan alat-alat pertukangan tangan, hasil-hasil kraftangan dan alat-alat
keperluan yang jarang-jarang digunakan setiap hari. Untuk naik ke atas loteng desediakan
tangga di bahagian dalam indung rumah.

6. Bangunan Masjid Besar Brunei yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan
Muhammad Jamalul Alam (1906-1924) mempunyai bentuk bubung dua tingkat. Lihat
Awg Hj. Metussim (1993:15) dab Awg Hj. Abd Karim (1991:26). Bubung bertingkat dua
ini menjadi ciri seni bina bagi masjid-masjid kampung di seluruh daerah negara ini yang
dibina sejak tahun 1920an hingga sekarang. Untuk maklumat lanjut lihat Awg Hj.
Metussin (1993).

7. Perkataan loteng berasal dari dialek Cina Hokkien Lau Teng yang bererti bilik atas (Pg.
Ismail 1989;35)

 

Disebabkan bubung rumah ini agak tinggi, maka ia memberikan ruang yang cukup luas di
bahagian loteng. Tingkap dan lubang tebukan yang ada di dinding loteng serta ruang
terbuka di bahagian kepala tangga (tempat menaiki tangga) membantu mendinginkan
ruang loteng ini.

Bagi menanai atau mendukung tingkat bahagian atas, tiang rumah ini biasanya
menggunakan jenis kayu yang keras dan kuat terutamanya bulian. Bahan atap juga
menggunakan kepingan kayu bulian yang tahan sehingga berpuluh-puluh tahun yang juga
menandakan status sosial dan status ekonomi yang tinggi bagi orang yang menghuni
rumah tersebut.

Bentuk atap untuk rumah jenis ini adalah dari jenis tungkup atau jenis belah bubung.

b. Rumah Belanggar

Rumah jenis ini mempunyai bentuk atap belah bubung atau atap potong limas bagi indung
rumahnya. Ruang tambahan yang dipanggil langgar8 yang dibina melintangi atau
‘melanggar’ bahagian hadapan indung rumah juga biasanya mempunyai bentuk bubung
yang sama dengan bubung idung rumah. Ruang tambahan (langgar) ini adalah digunakan
untuk menerima dan melayan tetamu, untuk menjalankan kegiatan keagamaan seperti
sembahyang berjemaah, mengaji al-Quran, berdikir, kenduri dan lain.

Rumah belanggar menggambarkan perubahan dalam seni bina rumah tradisional Melayu
Brunei pada tahun-tahun 1950an kerana rumah bentuk ini adalah yang dianggap moden
ketika itu yang mulai menggunakan bahan-bahan binaan terkini seperti atap zing dan kayu
papan yang berketam halus menggunakan mesin.

2. Rekabentuk Dan Susun Atur Ruang

Secara umumnya rekabentuk dan susun atur ruang dalam rumah Melayu Brunei dapat
dibahagikan kepada bahagian hadapan, iaitu indung rumah dan bahagian belakang, iaitu
dapur. Pembahagian ini adalah secara arbitrary sahaja kerana terdapat juga sedikit variasi
demi untuk menyesuaikan dengan keperluan dan selera pemilik rumah atau mengikut
keadaan kawasan dimana rumah itu dibina.

Seseorang yang hendak memasuki sebuah rumah Melayu, dia harus lalu dari bahagian
hadapan rumah, iaitu mula-mula sekali melalui pantaran (anjung) yang menganjur keluar
rumah.

8. Langgar adalah bersamaan dengan serambi gantung bagi rumah di Semenanjung. 

 

Pantaran biasanya tidak beratap atau berdinding. Ia merupakan kawasan untuk masuk dan
keluar rumah. Ada juga pantaran yang dipasang pagar dan tempat duduk untuk tempat
berehat-rehat atau berbual-bual. Di bahagian hadapan pantaran ini diletakkan tangga untuk
kegunaan turun dan naik. Lantai pantaran biasanya diperbuat daripada belahan nibung atau
buluh dan kedudukan paras lantainya lebih rendah sedikit daripada paras lantai indung
rumah.

Dari pantaran, seseorang memasuki pula ruang langgar yang merupakan bahagian
tambahan kepada indung rumah. Paras lantai ruang ini biasanya sama dengan paras lantai
indung rumah. Tetapi ada juga paras lantai ruang ini lebih rendah sedikit daripada lantai
indung rumah. Dalam ruang langgar inilah para tetamu dilayan. Di ruang ini terdapat
dinding penyapar atau dinding pemisah (partition) yang memisahkan kawasan yang
dianggap public (langgar) dengan kawasan yang dianggap peribadi (indung rumah). Tetapi
terdapat juga keadaan di mana di ruang langgar ini tidak mempunyai dinding penyapar
khusus atau kekal, memadai diletakkan dinding angin, malahan ada juga ruang ini di
biarkan terbuka sahaja dari mana seseorang dapat melihat bahagian dalam indung rumah
yang dijadikan ruang-ruang berdinding (bilik) atau yang dipasang tabir sahaja.

Dari langgar seseorang memasuki pula bahagian utama indung rumah yang berukuran
besar. Kebanyakan aktiviti perbadi dilakukan di ruang ini seperti tidur, menjahit,
membaca, belajar, sembahyang dan lain-lain.

Dari ruang utama indung rumah seseorang memasuki bahagian belakang rumah, iaitu
dapur yang mempunyai paras lantai yang lebih rendah sedikit dari paras lantai indung
rumah, atau ada juga yang mempunyai paras lantai yang sama. Di ruang dapur inilah
kegiatan masak-memasak, makan dan menyuci dilakukan. Terletak berhampiran dengan
ruang dapur ialah ruang pantaran yang digunakan untuk menyuci dan menjemur pakaian,
mandi, buang air dan lain-lain. Ruang ini berdinding tetapi tidak beratap. Bagi ruang untuk
mandi (pemandian) dan ruang untuk buang air (jamban) dipasang dinding yang
ketinggiannya sekira-kira orang berdiri. Di bahagian belakang pantaran ini terdapat lagi
satu tangga untuk keperluan turun dan naik.

Rumah di Kampung Ayer lazimnya mempunyai jambatan (titian) penghubung yang dibina
di bahagian pantaran hadapan rumah yang menghubungkan antara sebuah rumah dengan
yang lain. Di samping itu terdapat juga jambatan tambahan dibina di bahagian belakang
rumah yang mempunyai fungsi yang sama dengan jambatan di bahagian hadapan.
10 
 

3. Ciri Aestetik

Bagi rumah tradisional Melayu, unsur aestetik merupakan pertimbangan kecil dan
bergantung kepada kemampuan ekonomi dan kesesuaian reka bentuk rumah atau ruang
(Lim Jee Yuan 1987:40). Tujuan utama dan pertama membina rumah bagi orang Melayu
ialah untuk menyediakan tempat bagi berlindung daripada panas dan hujan, untuk
mendapatkan keselesaan dan keselamatan hidup dan untuk menyediakan ruang bagi
memenuhi fungsi atau tuntutan sosial dan agama.

a. Hiasan Dan Ukiran

Untuk tujuan aestetik, hiasan dan ukiran dalam rumah Melayu adalah lebih disesuaikan
dan ditentukan oleh reka bentuk dan susun atur ruang sesebuah rumah itu. Bagitu juga
jenis hiasan atau ukiran yang digunakan adalah mengikut di mana atau pada bahagian
mana ianya diletakkan. Misalnya ada jenis hiasan atau ukiran tertentu yang lazimnya hanya
dibuat atau diletakakan pada bahagian pepilis (cucuran atap) rumah. Nama ukiran yang
lazim digunakan pada bahagian ini ialah rawai lidah. Bagitu juga ada jenis-jenis ukiran
atau hiasan yang lazim atau khusus digunakan untuk menghiasi daun tingkap, daun pintu,
jerjak atau kekisi (grille) tingkap dan tebukan pada titi belayar. Ukiran-ukiran yang indah
dan halus itu adalah menggunakan motif-motif berbentuk floral kerana Islam melarang
penggunaan imej haiwan dalam bentuk seni (artform). Motif floral yang biasa digunakan
adalah daripada jenis-jenis tanaman yang ada dan biasa dilihat di sekeliling masyarakat
tempatan. Bahagian-bahagian dari pokok atau tanaman yang selalu dijadikan motif ukiran
ialah daun, seperti daun lukut dan daun air mulih (daun menjalar), bunga, seperti bunga
kemunting dan bunga jambangan, tempuk buah, seperti tampuk pidada dan tampuk
manggis, dan pucuk seperti pucuk rebung. Bentuk-bentuk geometri juga tidak jarang
digunakan dalam ukiran-ukiran tempatan seperti madu kasirat dan arap gagati (berbentuk
empat segi bujur). Mutiara (berbentuk bulat) dan tapak catur (berbentuk empat segi sama).

Teknik-teknik yang digunakan bagi membuat ukiran-ukiran itu ialah secara timbul (relief),
turisan (incision), tebukan (perforation) dan goresan yang menimbulkan pandangan
menarik. Selain berfungsi untuk mendapatkan keindahan, sebahagian daripada ukiran-
ukiran itu juga membekalkan sistem ventilasi dan pengawalan silauan (glare) pada
bahagian-bahagian tertentu dalam rumah.

Pada bahagian atas dinding pemisah bilik dalam sesetengah rumah Melayu terdapat lagi
hiasan yang terbentuk dari susunan batang-batang kayu yang sederhana tebal sehingga
tercipta barisan lubang-lubang yang berbentuk empat segi bujur (diamond) yang dipanggil
madu kasirat atau arap gagati dan berbentuk tiga segi atau piramid yang dinamakan gigi
iyu (yu).
11 
 

Cara penyusunan papan-papan untuk dinding juga boleh menimbulkan pandangan visual
yang menarik. Umpamanya papan-papan dinding yang disusun dalam keadan menegak
(vertical) dan bukan mendatar (horizontal) seperti lazimanya, dapat memberikan gambaran
yang menarik dan unik.

Jenis hiasan dan ukiran yang ada dalam rumah tradisional Melayu dapat mencerminkan
status sosial atau kekayaan dan kekuasaan si pemilik rumah dalam masyarakatnya.
Misalnya, walaupun ada istana-istana pada masa lalu yang menyerupai bentuk rumah-
rumah penduduk biasa, tetapi penanda yang jelas sebagai istana adalah dari saiznya yang
besar, kekayaan ukiran-ukiran dan hiasan-hiasannya serta bahan-bahan binaan yang
digunakan. Hiasan yang lebih terperinci (elaborate) biasanya terdapat dalam rumah orang-
orang berada dan tinggi kedudukan sosial mereka di dalam sesebuah masyarakat, namun
rumah-rumah itu kurang tingkat kesulitannya dalam membinanya di bandingkan dengan
istana.

b. Warna

Warna memainkan peranan dalam menimbulkan atau menambahkan unsur keindahan,


namun cat berwarna jarang digunakan bagi tujuan dekoratif. Umumnya dinding-dinding
rumah dibiarkan dalam warnanya yang natural atau asal, walaupun ada yang menggunakan
warna pada dinding rumah sebelah luar, bahan warna yang digunakan adalah bernis
berwarna coklat kehitaman yang biasanya digunakan untuk menghalau serengga-serengga
perosak seperti anai-anai. Di Brunei ada beberapa buah rumah kayu sahaja yang pernah
menggunakan ‘cat berwarna’ ini sebelum tahun-tahun 1950an. Penggunaan cat-cat
berwarna bagi rumah-rumah hanya dapat dilihat setelah bahan tersebut mulai banyak
terdapat dalam pasaran. Penggunaan cat berwarna adalah untuk keseluruhan rumah atau
pun pada bahagian-bahagian yang terpilih sahaja.

c. Proposi Dan Skala

Aspek yang turut penting dalam menimbulkan atau menciptakan unsur keindahan bagi
rumah Melayu ialah konsep proporsi dan skala dalam pengukuran sesuatu bahagian atau
ruang rumah. Tidak dapat dinafikan bahawa ukuran dan skala yang tepat boleh
menimbulkan unsur keseimbangan dan keindahan; begitulah juga sebaliknya. Dalam
konteks seni bina hubungan keseluruhan elemen-elemen yang terkandung dalam sesebuah
rumah atau binaan hendaklah proporsi dari segi skala dan ukuran bagi menimbulkan
kesatuan keindahan.
12 
 

Sebaliknya jika sistem proporsi dan skala yang betul, tepat, seimbang dan standard tidak
dipenuhi, maka timbullah istilah-istilah seperti biut9, singit10, timpang11, dan singkat12
untuk menyatakan kecacatan, kekurangan dan ketidaktepatan dari segi pengukuran. Salah
satu atau beberapa daripada unsur-unsur kekurangan (kecacatan) itu sudah pasti
merosakkan konsep keindahan sesebuah rumah.

Dalam kerja ukur mengukur ini orang Melayu menggunakan sistem yang bersandarkan
kepada dimensi tubuh manusia. Contohnya untuk mengukur sesuatu yang mendatar
digunakan hasta (ukuran panjang dari hujung siku sampai ke hujung jari hantu), jengkal
(ukuran panjang huluran hujung ibu jari dengan hujung jari yang lain), depa (ukuran
panjang dua huluran tangan), langkah (ukuran panjang huluran kedua belah kaki), dan
tapak (ukuran panjang dari hujung tumit hingga ke hujung ibu jari kaki). Untuk mengukur
besar bulatan digunakan pula ukuran pemeluk (sebesar lengkungan tangan memeluk) dan
pegelangan (ukuran lingkaran antara kedua hujung ibu jari tangan dengan hujung jari
kedua belah tangan). Kesemua ukuran yang menggunakan dimensi tubuh manusia itu
digunakan dalam seni bina Melayu bagi mendapatkan unsur keindahan dan keseimbangan
serta ketepatan dalam proporsi dan skala.

SISTEM ADAPTASI DALAM SENI BINA MELAYU TRADISIONAL

Brunei mempunyai iklim tropikal dengan suhu, kelembapan udara dan curahan hujan yang
tinggi sepanjang tahun. Penduduk tempatan menyedari kesan-kesan yang ditimbulkan oleh
panahan cahaya matahari, tiupan angin dan curahan hujan yang mereka alami selama hidup
mereka. Mereka juga mengetahui fenomena-fenomena alam yang ekstrim seperti kemarau,
banjir dan angin kencang yang mendatangkan kesan kepada kehidupan dan harta benda
mereka.

Hidup dalam negeri yang mempunya hutan yang kurang terganggu, penduduk tempatan
begitu mengenali tumbuhan-tumbuhan yang ada di sekeliling mereka. Mereka mengenali
jenis, sifat dan kegunaan tumbuhan-tumbuhanan itu. Mereka mengetahui mana-mana jenis
tumbuhan yang keras, kuat dan tahan menghadapi iklim ekstrim.

9. Bererti serong, tidak tepat atau lurus

10. Bererti tidak tegak betul atau berat sebelah

11. Tidak sama atau rata tingginya, berat sebelah

12. Tidak panjang, lebar atau luas


13 
 

Mereka juga dapat membezakan mana-mana tumbuhan yang cantik dan sesuai dari segi
bentuk untuk dijadikan contoh-contoh hiasan, ukiran dan dekorasi. Jadi alam, fenomena
alam dan alam di sekeliling mereka seolah-olah menjadi guru mereka untuk survive, hidup
selesa, tenang, harmoni dan untuk menimbulkan daya keratif dalam berfikir dan
menghasilkan karya serta ciptaan. Begitu juga dengan mengenali, memahami dan belajar
dari fenomena-fenomena alam tadi serta membuat penyesuaian dalam mengawal dan
mengatasinya, maka penduduk tempatan dapat mementukan jenis dan bentuk rumah yang
akan dibina, jenis bahan binaan yang akan digunakan dan ditapak atau kawasan mana akan
didirikan rumah. Semua persediaan, tindakan dan penyesuaian terhadap unsur-unsur dan
fenomena-fenomena alam ini dinamakan proses dan sistem adaptasi. Sistem adaptasi
dengan alam ini kemudiannya berkembang kepada sistem adaptasi hiasan, ukiran dan
dekorasi dengan keadaan rumah serta adaptasi saiz, rekabentuk dan susun atur ruang
dengan keperluan dan tuntutan sosial, budaya dan agama.

a. Adaptasi Dengan Iklim

Bentuk rumah, kedudukan rumah, fasiliti rumah dan bahan binaan yang digunakan untuk
mendirikan rumah adalah gambaran tentang bagaimana orang Melayu menyesuaikan diri
dengan alam, alam sekelilimg, iklim dan fenomena alam. Iklim tempatan yang panas,
kelembapan udara dan curahan hujan yang tinggi di sepanjang tahun mudah merangsang
proses pengkaratan (rusting), pereputan (rotting) dan pertumbuhan algi dan kulat yang
mendatangkan kesan kepada bahan-bahan yang digunakan untuk membangun rumah.

Iklim tropikal juga membantu pertumbuhan flora begitu cepat dan kadang-kadang susah
dikawal. Pada satu segi, pertumbuhan hutan menimbulkan keadaan iklim yang baik kerana
ketebalan pohon-pohon dapat mengurangi radiasi suhu panas dan kepanasan kepada
permukaan bumi, sementara pada segi yang lain ketebalan pohon-pohon yang berfungsi
sebagai pelindung dapat juga meningkatkan kelembapan udara.

Keadaan tinggi atau rendahnya permukaan sesuatu tanah boleh menentukan tentang aliran
udara jika menurut hukum kesan-kesan pergeseran (frictional effects). Sehubungan itu had
kelajuan angin meningkat dengan meningkatnya ketinggian tanah, dan had kelajuan angin
menjadi rendah di bahagian tanah yang rendah di mana terdapat banyak halangan
(obstruction). Bagitu juga permukaan yang tidak rata seperti di kawasan semak dan hutan
tebal boleh mengurangkan had kelajuan angin.

Lokasi yang berhampiran dengan laut menerima tiupan angin daratan (land breeze) dan
angin laut (sea breeze) secara beterusan di sepanjang siang dan malam. Tapi pendedahan
kepada laut dan langit terbuka juga boleh menimbulkan masalah kesilauan (glare).
Pantulan pancaran cahaya surya yang relatif tinggi dari laut, langit dan pantai membuat
silauan dalam rumah perlu dikawal. Menyedari akan tabiat alam tadi dan kesan-kesan yang
14 
 

ditimpakannya, maka semuanya perlu dikawal dan diatasi bagi mempastikan rumah yang
akan dibina akan lebih tahan lasak dan memberikan keselesaan serta kenyamanan. Sudah
tentu untuk mengawal dan mengatasi kesan-kesan panahan cahaya matahari, curahan hujan
dan tiupan angin yang berlebihan, memerlukan sistem adaptasi dari segi lokasi dan
orientasi rumah, rekabentuk rumah dan bahan binaan yang digunakan.

Antara bentuk-bentuk adaptasi yang biasa dilakukan bagi pengawalan cuaca yang optima
dapat disebutkan di bawah ini :

i. Penyediaan sistem ventilasi yang mencukupi untuk tujuan pendinginan dan pengurangan
kelembapan. Dalam rumah-rumah Melayu Brunei, selain daripada mempunyai tingkap
yang mencukupi, terdapat lagi tingkap-tingkap berukuran kecil di atas atap atau bubung
dan di bahagian titi belayar. Di sesetengah rumah dipasang juga sejenis adang (blind) di
bahagian luar tingkap yang dipanggil pidaian13 yang berfungsi bagi mengawal dan
mengatasi sinaran matahari yang berlebihan dan juga untuk menghalang kemasukan
tempias hujan.

ii. Atap daun yang disusun menghampar dan meninggi di atas bubung memberikan
tangkupan atap yang memanjang atau menurun jauh ke bawah membuatkan kawasan
terdedah yang menegak (vertical) iaitu bahagian dinding dan tingkap menjadi rendah.
Keadaan ini memberikan perlindungan yang baik dari siraman hujan, peneduhan yang
berkesan serta membolehkan tingkap-tingkap dibuka sepanjang hari untuk ventilasi.

iii. Silauan dalam rumah Melayu yang berpunca dari langit terbuka adalah dikawal oleh
atap yang menjuntai luas dan tingkap-tingkap yang rendah yang menghalang langit terbuka
dari pandangan mata.

iv. Kelajuan angin meningkat mengikut ketinggian. Dari itu rumah-rumah di Kampong
Ayer dibina tinggi di atas tiang. Selain untuk menghindari air dari mencecahi lantai rumah
ketika air pasang tinggi, tiang-tiang tinggi itu juga memberikan ruang bagi laluan angin
yang dapat membantu menyejukkan hawa dalam rumah. Penjelasan serupa adalah juga
untuk rumah yang dibina di atas tanah kering yang terdapat pokok-pokok yang boleh
menghalangi pergerakan udara.

13. Adang yang diperbuat daripada bilah-bilah buluh yang dianyam rapat menyerupai belat
menangkap ikan. Di muka sebelah dalam ditutup dengan kain bewarna gelap sebagai
pelapis. Adang boleh digulung ke atas dan diurak ke bawah.
15 
 

v. Keadaan ruang yang relatif lapang dalam rumah Melayu tempatan melalui pengurangan
dinding-dinding pemisah memberikan laluan kepada edaran udara dan percahayaan yang
mencukupi. Keadaan ini dibantu lagi dengan adanya tingkap-tingkap yang berukuran
panjang ke bawah pada paras ketinggian badan manusia yang boleh dibuka seluasnya.
Edaran udara dari luar adalah melalui tingkap-tingkap yang ada.

vi. Sistem pengedaran udara bagi bahagian bubung adalah melalui penyambungan-
penyambungan yang ada pada bahagian bubung, seperti lubang-lubang pada sambungan
atau penemuan atap atas dan atap bawah. Udara dari luar masuk dan keluar melalui
lubang-lubang ini.

vii. Penggunaan bahan-bahan binaan yang ringan yang mempunyai daya penyerapan hawa
panas yang rendah (low thermal capacity) seperti daun dan kayu, dapat menahan (holding)
sedikit hawa panas dan memberikan rasa sejuk dalam rumah pada waktu malam. Atap
daun merupakan penebat (pembendung) panas yang terbaik.

viii. Sistem susun atur kedudukan rumah dapat mempengaruhi edaran udara pada sesuatu
kawasan yang setentunya memberi kesan kepada hawa di dalam rumah. Susun atur rumah-
rumah secara sembarangan (random) seperti yang terlihat di Kampong Ayer menimbulkan
banyak lorong untuk laluan angin. Keadaan ini mempastikan rumah-rumah yang terletak
di bahagian kawasan belakang tidak begitu terhalang daripada menerima tiupan angin yang
mencukupi.

ix. Orientasi rumah Melayu tempatan yang lazimnya menghadap kiblat (hala Timur –
Barat) boleh mengurangkan kawasan dalam rumah dari terdedah kepada radiasi matahari.

x. Bagi rumah di atas daratan pengawalan hawa panas atau cahaya matahari dan tiupan
angin juga dilakukan dengan cara menanam pohon-pohon yang tinggi seperti pokok kelapa
dan pinang di sekitar berdekatan. Pohon-pohon yang tinggi bukan sahaja memberikan
penteduhan yang baik, bahkan juga tidak menghalang lorong bagi tiupan angin pada paras
ketinggian rumah.

Semua langkah-langkah pencegahan (precautionary measures) yang dilakukan oleh


tukang-tukang Melayu bagi menghadapi kejadian dan fenomena-fenomena alam melalui
sistem adaptasi, memperlihatkan kepintaran mereka dalam menghadapi, mengawal dan
mengatasi fenomena-fenomena tadi dalam bentuk seni bina yang unik dan kreatif.

b. Adaptasi Dengan Unsur-Unsur Sosial, Budaya Dan Agama

Sistem adaptasi dengan keperluan sosial, budaya dan agama lebih ditentukan oleh unsur
dalaman rumah seperti rekabentuk dan susun aturnya. Ruang dalam rumah Melaya pada
umumnya tidak ditentukan atau dinamakan menurut penggunaan ruang atau kawasan,
16 
 

tetapi oleh bentuk (rekabentuk) rumah itu sendiri. Dari itu ruang-ruang hanya dipanggil
dengan nama langgar (serambi), indung rumah dan loteng (bilik atas). Selain daripada
dapur dan jamban (tandas), tidak ada ruang atau kawasan dalam rumah Melayu yang
secara spesifik dinamakan bilik tamu, bilik tidur, bilik makan atau bilik belajar seperti
konsep rumah moden dan Barat. Ini menggambarkan bahawa penggunaan ruang dalam
rumah Melayu adalah berasaskan serba guna (multi-functional) dan bukan khusus (non-
specialised). Semuanya ini adalah berkaitan dengan konsep hidup masyarakat Melayu
tradisional yang simple. Sesuatu ruang yang sama digunakan juga untuk berbagai kegiatan
yang berlainan dalam masa-masa yang berbeza. Misalnya langgar yang digunakan untuk
menerima tamu boleh digunakan untuk tidur pada waktu malam oleh anak-anak lelaki.
Ruangan yang sama juga boleh digunakan sebagai tempat duduk berihat, sembahyang
berjemaah, mengaji al-Quran, berdikir, kenduri, pernikahan, menguruskan jenazah dan
sebagainya yang memerlukan kehadiran ramai orang. Dari itu saiz ruang ini lazimnya
relatif besar daripada ruang-ruang yang lain.

Bagi menyesuaikan dengan nilai-nilai sosial, budaya dan agama yang melarang pergaulan
bebas antara lelaki dan perempuan, rumah tradisional Melayu menyediakan ruang-ruang
yang berasingan bagi dua jenis kelamin ini. Untuk lelaki remaja tidaklah begitu sukar
untuk memenuhi tuntutan ini kerana sekiranya dia tidak mempunyai ruang yang khas, dia
boleh menggunakan ruang langgar untuk berihat pada waktu siang dan menggunakannya
sebagai ruang tidur pada waktu malam. Bagi gadis remaja pula, ada ruang yang dikhaskan
untuknya dalam indung rumah; dan bagi keluarga yang berada, lazimnya ruang khas di
bahagian atas rumah yang di panggil loteng adalah untuk menempatkan anak-anak gadis.

Dalam masyarakat Melayu Brunei, selain daripada keluarga asas, anak yang telah
berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri ada yang masih tinggal bersama orang tuanya
samada untuk sementara mahupun untuk selamanya. Apabila bilangan ahli keluarga
semakin bertambah sehingga terbentuknya keluarga besar, maka diperlukan pula ruang
tambahan pada indung rumah. Ini dilakukan samada dengan membuat dinding-dinding
penyapar (partition walls) sahaja, atau pun dengan membuat tambahan baru pada indung
rumah.

Masyarakat Melayu Brunei juga sangat berpegang kepada konsep kemesraan


bermasyarakat daripada mementingkan fahaman hidup privacy. Kemesraan bermasyarakat
ini digambarkan dalam rumah yang mereka bina yang tidak mempunyai tanda-tanda
kawasan (territorial markings) dan penghalang-penghalang fizikal. Unsur privacy jarang
diberikan keutamaan, tetapi lebih mengutamakan kebersamaan. Dari itu ruang dalam
indung rumah terdapat hanya batasan-batasan yang minimal atau yang hanya
menggunakan tabir sebagai elemen pemisah. Cara hidup bermegah-megah tidak
digambarkan dalam bentuk asas dan fungsional rumah tradisional Melayu termasuk juga
alat-alat kelengkapannya.
17 
 

Secara tradisional, orang Melayu tidak mempunyai perabot seperti kerusi, bangku (bench)
dan meja. Di dalam rumah, kegiatan tidur, duduk, berihat dan membaca semuanya
dilakukan di lantai. Dari itu pelawat dan penghuni rumah dikehendaki membuka kasut
apabila memasuki rumah agar sentiasa bersih. Pengunjung akan didudukan di atas tikar
pandan atau lampit14 yang diurak di lantai.

Berkenaan dengan kelengkapan perabot ini, katil atau gata kadang-kadang digunakan di
ruang indung rumah oleh pengantin yang baharu berkahwin. Penggunaan perabot yang
minimal di dalam rumah Melayu juga membantu meciptakan ruang dalam yang lebih
fleksibal. Penggunaan perabot yang besar-besar bukan sahaja menyempitkan ruang dalam
tetapi juga menentukan sesuatu ruang itu hanya untuk kegunaan tertentu sahaja, yakni
bukan lagi fleksibel. Daripada keterangan di atas, nyata rumah Melayu itu merupakan
contoh penggunaan ruang yang ekonomikal, fleksibal dan optimal. Keterbukaan
(openness) dan kekosongan (emptiness) adalah inti bagi ruang dalam rumah tradisional
Melayu. Ciri-ciri ini juga memberikan kemudahan ventilasi, pencahayaan dan
pemandangan yang baik di dalam rumah.

UNSUR-UNSUR SENI BINA TRADISIONAL DALAM SENI BINA


KONTEMPORARI

Unsur-unsur seni bina tradisional Melayu masih kelihatan dalam bangunan-bangunan


kontemporari tempatan yang secara asasnya berunsurkan seni bina moden. Unsur
tradisional dan unsur kontemporari (moden) ini berkombinasi untuk menciptakan atau
memperlihatkan unsur-unsur keindahan, fungsional dan adaptasi yang berkesan. Walaupun
unsur-unsur tradisional itu tidak keseluruhannya diadopsi, tetapi dengan dibuat ubah suai,
namun fungsi utamanya masih tetap sama atau kekal. Contohnya dari aspek aestetik;
walaupun ada beberapa bangunan kontemporari yang mengadopsi seni bina moden atau
Barat dari segi konsep, rekabentuk dan fungsi, namun masih kelihatan pada bangunan-
bangunan itu penerapan hiasan-hiasan dan ukiran-ukiran tradisional Melayu yang
berdasarkan motif-motif non-figuratif termasuk yang menggunakan bentuk imej artifek
Melayu tempatan yang diolah secara kreatif.

Dari aspek rekabentuk, terdapat bangunan-bangunan kontemporari yang masih


menggunakan bentuk atau jenis bubung tradisional, sama ada secara keseluruhan atau
sebahagian sahaja bagi menyesuaikannya dengan keadaan iklim tempatan. Rekabentuk
yang sedemikian bukan sahaja menciptakan unsur keindahan, tetapi juga menemuhi fungsi
yang lebih penting.

14. Sejenis tikar atau hamparan yang diperbuat daripada belahan-belahan batang rotan
yang dianyam rapat dan kemas.
18 
 

Begitu juga dari aspek fungsional, konsep keterbukaan ruang dalam rumah Melayu terus
diadopsi dalam seni bina kontemporari. Contohnya, terdapat ruang-ruang luas dalam
bangunan kontemporari yang dibiarkan lapang atau terbuka untuk digunakan sebagai ruang
serbaguna. Malahan adalah menjadi trend dan kemestian masakini bagi bangunan-
bangunan besar sekarang menyediakan ruang-ruang bersaiz besar dan luas untuk
digunakan berbagai tujuan. Begitu juga ruang-ruang kerja dalam bangunan-bangunan
kontemporari lebih banyak dibiarkan terbuka untuk tujuan menjimatkan ruang, tidak
seperti masa-masa sebelumnya yang lazim membuat bilik-bilik tertutup dan kekal atau
memasang hadangan-hadangan separuh kekal bagi menempatkan kakitangan menengah
bawah.

Jika diamati beberapa buah bangunan kontemporari di negeri ini, kita masih dapat
menyaksikan penerapan beberapa unsur atau ciri seni bina tradisional Melayu.

Untuk tujuan analisa atau perbandingan, dua jenis binaan kontemporari yang
memperlihatkan penerapan unsur-unsur seni bina tradisional akan difokus sebagai contoh,
iaitu masjid dan istana. Beberapa bangunan lain juga turut disentuh tetapi secara sepintas
lalu sahaja.

a. Masjid

Masjid memancarkan bentuk seni bina yang dominan dalam mewarnai lanskap seni bina
tempatan. Ia menonjolkan seni bina berunusr Islam yang indah, unik serta mengkagumkan
masyarakat tempatan mahu pun luar sejak zaman-zaman awal Islam masuk dan
berkembang di Brunei hinggalah ke zaman sekarang.

Walaupun sumber-sumber awal tempatan dan asing tidak banyak menggambarkan atau
menceritakan secara teperinci mengenai bentuk atau ciri-ciri seni bina Islam yang terdapat
dalam masjid-masjid tempatan pada masa itu, namun bentuk bubung masjid-masjid awal
dikatakan jenis tungkup atau limas yang bertingkat-tingkat (lihat Nicholl, 1986 dan Awg.
Hj. Abd. Karim, 1991). Ciri seni bina tersebut membuktikan tentang kemahiran tukang-
tukang tempatan dalam mendirikan binaan yang memperlihatkan seni bina yang kompleks,
unik, malahan mungkin dianggap canggih pada zamanya. Bukti kepada penggunaan
bentuk bubung tungkap atau limas yang bertingkat-tingkat ini pada pertengahan pertama
abad ke 20 Masehi, dapat disaksikan pada bangunan Masjid Pekan Brunei15.

15. Masjid Pekan Brunei dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul
Alam II (1924-1950). Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Pak Tunggal dan telah
menjadi mangsa bom dalam Perang Dunia Kedua.
19 
 

Bentuk bubung tungkup atau limas bertingkat ini masih digunakan pada masjid-masjid
dalam tahun-tahun berikutnya16. Malahan bentuk bubung dua tingkat ini menjadi ciri seni
bina yang standard bagi masjid-masjid kampung di seluruh daerah (Awg. Hj. Metussin,
1993: XXXVI – XLIII). Bentuk bubung yang bertingkat-tingkat ini menciptakan ruang
yang tinggi pada bahagian dalam masjid agar udara panas dari bahagian bawah naik ke
bahagian atas menjadikan hawa dalam masjid sentiasa nyaman dan selesa walaupun
dipenuhi oleh jemaah.

Rekabentuk masjid berunsur seni bina tradisional yang terdapat di negeri ini mula
mengalami perubahan secara berperingkat-peringkat. Contohnya penggunaan kubah
(dome) dalam Masjid Brunei mula-mula dilakukan pada Masjid Pekan Seria yang siap
dibina pada tahun 1954, diikuti oleh Masjid Omar Ali Saifuddien pada tahun 1958 dan
kemudiannya oleh masjid-masjid utama di tiap-tiap daerah (Awg. Hj. Metussin 1993:
XXXVI – XXXVII). Perubahan rekabentuk pada masjid-masjid di Brunei amat pesat
dilakukan pada zaman pemerinatahan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (1950-1967) dan
zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah (1967 hingga sekarang). Baginda telah
melanjutkan usaha-usaha ayahanda Baginda, iaitu mana-mana masjid yang kelihatan uzur
dan tidak dapat menampung keramaian jemaah telah diganti dengan bangunan yang baru
dan cukup teratur dengan menggunakan bahan-bahan binaan yang canggih.

Walaupun rekabentuk masjid-masjid kontemporari telah mengalami perubahan, iaitu


bertambah canggih dan moden, namun untuk menambahkan lagi unsur aestetiknya,
masjid-masjid itu masih tetap menggunakan hiasan-hiasan dan ukiran-ukiran yang
berunsur tempatan dan Islam, seperti menggunakan kaligrafi Islam yang diolah dalam
bentuk kreatif, bentuk-bentuk geometri yang indah dan kompleks dan motif-motif
tumbuhan tempatan dalam bentuk daun, bunga dan lingkaran. Unsur-unsur keindahan yang
disebutkan itu banyak terpancar dalam Masjid Omar Ali Saifuddien yang terkenal dengan
keindahannya di rantau ini. Meskipun bahagian luar masjid ini banyak menggunakan
rekabentuk seni bina luar seperti India, namun di bahagian dalamnya kaya dengan hiasan
dan dekorasi yang diambil dari rekabentuk-rekabentuk dan corak-corak tempatan dan
Islam (Pg. Adanan 1996:43).

16. Contohnya, Masjid Kampong Sengkurong (1929); Masjid Kampong Tanjung Maya
yang keempat (1936); Masjid Kuala Belait yang kedua (1938); Masjid Mohammad Salleh
yang ketiga , Pekan Bangar (1950); Masjid Kampong Danau yang ketiga, Masjid Pekan
Tutong yang keempat (1950); Masjid Kampong Kiudang (1953); Masjid Kampong Kilanas
yang pertama (1955); Masjid Kampong Pudak (lama) dan Masjid Kampong Panchor Murai
lama (1957).
20 
 

Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah yang mempamerkan seni bina yang sangat
mengkagumkan pada bahagian luar dan dalam, sarat dengan hiasan dan dekorasi
berunsurkan Islam dan Melayu. Di bahagian luar masjid, terutama pada dinding menara-
menaranya penuh dihiasi dengan motif-motif tradisional tempatan seperti lingkaran bunga
air mulih, bunga bertabur dan arap gagati. Pada bahagian dalam pula terdapat dekorasi
bercorak Islam yang tediri daripada ayat-ayat al-Quran yang ditulis menggunakan jenis-
jenis khat yang berlainan.

Di Brunei, masjid dibina oleh Raja selaku ketua tertinggi pemerintahan sejak abad ke 15
masehi lagi, Sultan Sharif Ali (1425-1432), Sultan ke 317, Sultan Saiful Rijal (1533-1581),
Sultan ke 718, Sultan Omar Ali Saifuddien II (1828-1852), Sultan ke 23, Sultan Abdul
Momin (1852-1855), Sultan ke 24 dan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamuddin (1885-
1906), Sultan ke 25 masing-masing telah membina sebuah masjid pada zaman-zaman
pemerintahan mereka, kecuali Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamuddin yang telah
membina dua buah masjid.

Dalam pertengahan pertama abad ke 20, Sultan Muhammad Jamalul Alam II (1906-1924),
Sultan ke 26, telah membina Masjid Pekan Brunei (juga dikenali sebagai Masjid Pak
Tunggal) yang mempunyai bubung dua tingkat. Sultan Ahmad Tajuddin (1924-1950),
Sultan ke 27, juga telah membina Masjid Kajang yang bubungnya berbentuk potong limas.

Bahagian kedua abad ke 20 merupakan babak waktu yang sangat penting bagi
perkembangan masjid di Brunei. Sultan Omar Ali Saifuddien III (1950-1967), Sultan ke 28
yang naik takhta pada tahun 1950 telah membina masjid-masjid kampung dan masjid-
masjid utama di seluruh negara. Dalam zaman pemerintahan Bagindalah pembinaan
masjid-masjid dimasukkan dalam Rancangan Kemajuan Negara. Masjid Omar Ali
Saifuddien yang dibina pada tahun 1954 dan siap pembinaannya pada tahun 1958 adalah
mengikut rekabentuk yang dilakar sendiri oleh Baginda. Baginda juga turut terlibat dalam
perancangan awal dan pembinaan masjid tersebut, termasuk dalam penciptaan motif-motif
untuk hiasan yang menggunakan tumbuhan-tumbuhan tempatan (Pg. Adanan 1996:43).
Langkah Baginda dalam membina masjid telah diikuti oleh anakanda Baginda, Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin
Waddaulah (1967 hingga sekarang), Sultan ke 29, dengan lebih gigih lagi, terutamanya
dalam pembinaan masjid-masjid baru yang lebih moden dan canggih.

17. Baginda dikatakan telah membina masjid pertama di Brunei. Sila lihat teks Batu
Tarsilah Brunei (P.M Sharifuddien dan Abd. Latif Hj. Ibrahim (1974) dan Amin Sweeney
(1968).

18. Masjid yang ada dalam zaman pemerintahan Baginda dikatakan mempunyai bubung
yang bertingkat lima. Sila lihat Nicholl (1986).
21 
 

b. Istana

Seperti halnya dengan masjid, rekabentuk istana-istana kontemporari di negara ini


memperlihatkan kombinasi seni bina moden dengan seni bina tradisional Melayu,
terutamanya dalam penggunaan bubung yang berbentuk belah bubung dan tungkup.

Dari aspek dalaman, hiasan dan kelengkapan istana adalah lebih elaborate. Unsur ruang
yang luas pada bahagian-bahagian tertentu dalam istana adalah bagi memenuhi kehendak-
kehendak pentadbiran negara, sosial, adat istiadat (budaya) dan agama.

Jika diamati rekabentuk Istana Majalis yang dibina dalam zaman pemerintahan Sultan
Mohammad Jamalul Alam II, jelas kelihatan ciri-ciri seni bina Melayu yang amat menarik,
iaitu mempunya tujuh buah bubung yang berbentuk tungkup dan berloteng.

Istana Mahkota dan Istana Sugara (Istana Kaca) yang dibina dalam zaman pemerintahan
Sultan Ahmad Tajuddin memperlihatkan unsur-unsur seni bina Melayu dan seni bina luar.
Istana Mahkota mempunyi bentuk bubung potong limas serta terdapat serambi dan anjung
pada bahagian hadapan. Barisan gerbang yang berbentuk lengkung terdapat di kanan dan
di kiri hadapan istana. Istana ini juga mempunyai dua menara yang berbentuk kubah.

Istana Sugara mempunyai rekabentuk yang mudah. Atap pada bahagian tengah istana
(indung rumah) berbentuk belah bubung, dan dua ruang tambahan (langgar) di bahagian
kanan dan kiri juga mempunyai atap yang berbentuk belah bubung. Terdapat pidaian pada
bahagian hadapan tingkap kedua-dua langgar itu. Balkoni pada bahagian tengah istana
mempunya dinding yang separuh tinggi serta mengandungi tebukan-tebukan berbentuk
geometri.

Semasa Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien masih lagi menjadi
Pengiran Bendahara, Baginda telah membina Istana Bandung di Kampong Tumasik dan
Istana Darussalam di Kampong Sumbiling Lama. Istana Darussalam mempunyai
rekabentuk yang sederhana tetapi menarik. Atapnya berbentuk potong limas. Kawasan
tambahan pada bahagian hadapan istana yang berfungsi sebagai garaj mempunyai atap
belah bubung. Istana ini mempunyai tangga dari tingkat atas yang menganjur panjang ke
bawah hingga ke kawasan garaj. Pepilis istana ini berbentuk rawai lidah.

Apabila telah menaiki takhta Kerajaan Brunei, Sultan Haji Omar Ali Saifuddien telah
bersemayam di sebuah istana baru bernama Istana Darul Hana. Keseluruhan bangunan
istana ini diperbuat daripada bahan konkrit. Rekabentuk istana ini berunsurkan seni bina
moden (berbubung rata) dan mempunyai barisan gerbang berbentuk lengkung (berunsur
asing) pada bahagian hadapannya. Di samping itu Baginda juga telah membina sebuah
istana untuk kediaman rasmi pembesar-pembesar negara asing yang membuat lawatan ke
Brunei yang dikenali sebagai Istana Edinburgh (Istana Tetamu). Istana ini mempunyai
rekabentuk moden. Baginda telah membina lagi dua buah istana di dua buah daerah untuk
22 
 

digunakan sewaktu Baginda berangkat melakukan lawatan kerja ke dua-dua buah daerah
tersebut, iaitu Istana Mengalila (di Daerah Belait) dan Istana Pantai (di Daerah Tutong).
Istana Mengalila mempunyai rekabentuk yang menggambarkan seni bina asing dan seni
bina Melayu. Contohnya, bahagian tingkat atas mempunyai bubung rata, dan pada
bahagian paling tinggi (seperti menara) berbentuk segi empat mempunyai rekabentuk yang
menyerupai castle (istana kota) di bahagian tepi dindingnya. Pada bahagian tingkat bawah,
bentuk atapnya adalah jenis belah bubung. Sebahagian daripada tingkap-tingkap istana ini
berbentuk gerbang lengkung dan sebahagiannya lagi berbentuk segi empat tepat.
Keseluruhan istana ini diperbuat daripada konkrit. Istana Pantai menggambarkan
rekabentuk yang sangat sederhana, iaitu berbentuk rumah Melayu yang mempunyai atap
belah bubung dan potong limas.

Dalam zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Baginda telah membina istana yang sangat
moden dan indah dikenali sebagai Istana Nurul Iman. Rekabentuk istana ini
mempamerkan seni bina yang sangat hebat dan megah berunsurkan Melayu, Islam dan
moden. Bubungnya yang kuning keemasan berbentuk belah bubung serta melengkung ke
atas pada bahagian ujungnya menzahirkan rekabentuk yang impresif. Terdapat dua buah
kubah yang berbeza ukurannya pada bangunan istana ini, sebuah yang berukuran kecil dari
yang lainnya, terletak pada tingkat yang lebih tinggi, sementara sebuah lagi yang
berukuran lebih besar terletak pada tingkat yang lebih rendah. Di ruang dalam istana
dihiasi dengan dekorasi-dekorasi yang berunsurkan kesenian Islam dan Melayu Brunei.
Setelah itu Baginda membina sebuah lagi istana yang dinamakan Istana Nurul Izzah di
Jerudong. Rekabentuk istana ini memperlihatkan seni bina moden.

c. Bangunan-Bangunan Lain Yang Berunsurkan Seni Bina Melayu

Ada beberapa buah bangunan kotemporari di Bandar Seri Begawan yang mempamerkan
unsur seni bina tradisional Melayu. Atas alasan ruang, cuma beberapa contoh sahaja yang
akan disentuh di sini, iaitu Bangunan Alat Kebangsaan Diraja, Bangunan Yayasan Sultan
Haji Hassanal Bolkiah, Bangunan Pusat Persidangan Antarabangsa dan Pusat Latihan
Kesenian Dan Pertukangan Tangan Brunei.

Bangunan Alat Kebesaran Diraja mempunyai rekabentuk yang berunsurkan seni bina
Melayu dan Islam pada bahagian-bahagian tertentu. Kubahnya yang besar dan menonjol
menjadi ciri dominan pada bangunan ini. Unsur seni bina Islam ini berpadu dengan
harmoninya dengan unsur kesenian tempatan seperti yang kelihatan pada taburan motif
bunga beputar19 yang dilingkungi oleh garis-garis berbentuk madu kasirat atau arap
gagati pada keseluruhan permukaan kubah.

19. Motif ini dipercayai ciptaan Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien III.
23 
 

Mengelilingi keseluruhan bahagian bawah kubah ialah dekorasi yang dipanggil rawai
lidah berwarna merah.

Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan kompleks yang terdiri
daripada dua buah bangunan utama yang berpisah. Rekabentuk bangunan-bangunan ini
bercorak moden tetapi mengandungi unsur-unsur seni bina Melayu yang menonjol
terutama yang terpancar dari bentuk bubung-bubungnya yang bercorak potong limas.
Pepilisnya menggunakan rawai yang disesuaikan dengan ukiran-ukiran tempatan yang
berbentuk floral yang diolah secara kreatif. Tiang-tiang bulat pada bahagian luar
mengandungi ukiran-ukiran floral dari jenis air mulih atau daun menjalar. Pada tiang-tiang
di sebelah dalam bangunan pula dan pada siling-siling ruangan tertentu terdapat motif-
motif berbentuk geometri seperti bentuk segi tiga yang dipanggil gigi iyu (gigi yu).

Bangunan Pusat Persidangan Antarabangsa juga mempunyai rekabentuk yang


berunsurkan seni bina Melayu, iaitu beratap jenis belah bubung yang berlapis atau
bertingkat.

Bahagian dalam bangunan, terutama dewan-dewannya dihiasi dengan ukiran-ukiran


berunsur floral dan geometri setempat.

Bangunan Pusat Latihan Kesenian Dan Pertukangan Tangan Brunei, selaras dengan nama
dan fungsinya, mempunyai rekabentuk yang mencerminkan seni bina Melayu tempatan.
Hujung-hujung bendul yang menganjur keluar dibentuk mengikut hujung pedang
bercabang dua, iaitu sejenis Alat Kebesaran Diraja yang dipanggil Kampilan. Pada
bahagian luar, terdapat jalur (panel) yang mengandungi motif air mulih. Jalur ini
mengelilingi keseluruhan bangunan. Atap bangunan yang berbentuk potong limas
menambah keindahan kepada bangunan ini.

KESIMPULAN

Daripada apa yang dipaparkan dalam kertas ini, dapatlah dilihat tentang kebijakan,
kreativiti dan sifat innovatif masyarakat Melayu dalam menghadapi, mengawal dan
mengatasi unsur-unsur dan fenomena-fenomena alam yang ekstrim. Dengan mengenal dan
memahami tabiat-tabiat alam ini mereka dapat menyesuaikan diri melalui ciri-ciri seni bina
yang fungsional dan praktikal yang mereka hasilkan atau ciptakan dengan tujuan
mendapatkan keselesaan dan keadaan kondusif dalam kehidupan. Ternyata seni bina yang
berunsurkan adaptatif ini berkesan dalam menghadapi, mengawal dan mengatasi kesan-
kesan atau akibat-akibat fenomena alam dalam suasana ilkim tropikal yang kadangkalanya
sangat ekstrim dan kurang bersahabat. Ciri-ciri inilah yang membuat seni bina tradisional
Melayu masih tetap dan terus relevan, praktikal dan fungsional dalam kewujudannya
bersama seni bina kontemporari atau moden. Selain daripada untuk mengawal dan
24 
 

mengatasi kesan-kesan atau akibat-akibat unsur dan fenomena alam yang ekstrim, seni
bina Melayu juga menciptakan unsur seni dan keindahan. Dengan itu seni bina Melayu
memenuhi dua tujuan atau fungsi, iaitu aspek fungsional dan aspek aestetik. Ciri-ciri inilah
yang membuatkan seni bina Melayu masih mendapat tempat dalam masyarakat sekarang.
Keyakinan masyarakat terhadapnya, terutama dalam memenuhi dua fungsi tadi dapat
disaksikan melalui rekabentuk rumah-rumah kediaman, bangunan-bangunan Kerajaan dan
swasta, istana dan masjid, sama ada dengan menggunakan ciri-ciri seni bina itu secara
keseluruhan ataupun dengan mengkombinasikannya dengan unsur-unsur seni bina moden
atau asing. Atas dasar inilah seni bina Melayu terus dinamik, kreatif atau adaptatif dengan
keadaan dan perubahaan waktu, tanpa mengorbankan ciri-ciri asasnya.

Seni bina Melayu tidak harus berada pada takuk yang sama secara berterusan. Ahli-ahli
seni bina Melayu perlu lebih dinamik, kreatif, inovatif dan canggih untuk menghasilkan
karya-karya yang lebih besar, berkelas tinggi dan agung, khususnya yang bercirikan
Melayu, Islam dan moden untuk dijadikan mercutanda dunia dan tumpuan wisatawan, di
samping mempamerkan ciri-ciri seni bina dan kesenian Melayu dan Islam yang dominan,
yang menggambarkan identiti bangsa dan budaya Melayu.

Bangsa Melayu masa kini masih menunggu lahirnya karya seni bina yang besar, yang
benar-benar hebat, agung dan mengkagumkan seperti yang pernah dihasilkan oleh
tamadun-tamadun besar masa lalu yang masih dapat disaksikan dan dibanggakan hingga ke
hari ini. Pakar-pakar seni bina Melayu dan ahli-ahli profesi lain yang berkaitan perlu
bekerjasama, berusaha dan mencari idea untuk menghasilkan karya seni bina besar dan
menakjubkan agar tamadun Melayu dapat menambah bilangan senarai ‘Keajaiban Dunia’
(Wonders of the World) yang telah sedia ada, yang akan menggambarkan identiti bangsa
dan tamadun Melayu untuk kebanggaan sepanjang zaman. Hal ini bukanlah suatu yang
mustahil, tetapi sudah tentu memerlukan tingkat keilmuan dan daya kreativiti yang tinggi
dan canggih dalam berbagai disiplin terutamanya yang berdasarakan sains dan teknologi.
25 
 

RUJUKAN

Abd. Halim Nasir


1982(a) Struktur Bangunan Rumah Melayu, cipta, Oktober, Utusan Melayu,
Kuala Lumpur
1982(b) Perkembangan Rumah Melayu Dari Masa Ke Semasa, Cipta,
September, Utusan Melayu, Kuala Lumpur.
1984(a) Pengenalan Seni Bina Rumah Tradisionaal Melayu Semenanjung Malaysia,
Bahagian Pertama, Dewan Budaya, Julai, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur.
1984(b) Pengenalan Seni Bina Rumah Tradisionaal Melayu Semenanjung Malaysia,
Bahagian Kedua, Dewan Budaya, Ogus, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur

Awg. Hj Abd Karim Hj. Abd. Rahman


1991 Masjid Brunei Abad Ke XVI Masehi, Pusaka, Bilangan 4; 24-33.

Awg. Hj. Metussin Bin Hj. Baki


1993 Catatan Sejarah Masjid-Masjid Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal
Ehwal Syara’iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Bandar Seri Begawan.

Amin Sweeney
1968 Silsilah Raja-Raja Brunei, JMBRAS, XLI. 2; 1-82

Alimin Hj. Abd. Hamid


1989 Tradisi Membangun Rumah-Khususnya Rumah Tradisional Di Kampong
Ayer, Beriga, Oktober-Disember : 3-11.

Forrest,T
1779 Voyage to New Guinea And The Moluccas From Balambangan: Including An
Account Of Magindano, Sooloo, And Other Islands, Dubiln.

Lim Jee Yuan


1987 The Malay House, Rediscovering Malaysia’s Indigenous Shelter System,
Institut Masyarakat, Malaysia.
26 
 

Nicholl,R
1986 A Note On The Brunei Mosque Of 1578, Brunei Museum Journal, 44-46
1990 European Sources For The History Of The Sultanate Of Brunei In The
Sixteenth Century, Penerbitan Khas Muzium Brunei.

Pg. Adanan Bin Pg. Badarudin


1996 The Brunei Mosques: History And Development, Seni Bina Brunei, Vol.2,
Issue I (Jan. – Mac):38-43
2000 The Architecture Of Brunei Darussalam, Asean Publication.

Pg. Hj. Ismail Bin Pg. Ibrahim


1989 Seni Bina Melayu Brunei: Satu Tinjauan Ringkas, Berita Muzium Jilid 11,
Bil.2:24-53

P.M Shariffudin Dan Abd. Latif Hj. Ibrahim


1974 The Genealogical Tablet (Batu Tarsilah) Of The Sultans Of Brunei,
Brunei Museum Journal, 253-264

You might also like