You are on page 1of 10

KE ARAH MEMBENTUK GENERASI PENCINTA WARISAN SATU MALAYSIA

Biar mati anak, jangan mati adat, itulah slogan yang dicanang-canangkan dalam

kalangan rakyat Malaysia saban hari. Belakangan ini, masyarakat di Malaysia semakin

alpa tentang betapa pentingnya peranan warisan di Malaysia. Kehidupan mereka tanpa

adat resam seperti sebuah kapal yang terumbang-ambing di tengah-tengah lautan. Senario

tersebut telah menjadi tajuk ‘hangat’ yang menghiasi dada-dada akhbar tempatan. Isu ini

telah menjadi buah mulut rakyat tempatan. Perkara ini juga telah menjadi polemik dalam

kehidupan masyarakat Malaysia. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini?

Senario ini bertambah parah apabila sesetengah golongan masyarakat tidak tahu

pengertian warisan. Acap kali kedengaran dakwaan-dakwaan sumbang segelintir

masyarakat yang mempersoalkan kepentingan warisan dalam kehidupan mereka pada era

pemodenan ini. Ada juga sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menunding jari

kepada pihak kerajaan kerana tidak mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi

masalah ini. Pemikiran masyarakat yang masih berada di takuk lama ini menyebabkan

kita akan dilabel sebagai masyarakat yang mempunyai mentaliti Negara Dunia Ketiga.

Seharusnya, semua pihak berganding bahu dan tidak berpeluk tubuh bagi membendung

kemelut ini daripada terus merencatkan pembangunan negara. Bibit-bibit kealpaan

tentang budaya dan warisan negara yang berputik dalam sanubari masyarakat perlu

dibentengi secara drastik, progresif dan efektif. Sudah tiba masanya, kita menerima sinar

hidayah dengan mengakui kebenaran peribahasa yang berbunyi, bermuafakat membawa

berkat dalam usaha kita meladeni punca-punca berlakunya kealpaan dalam kalangan

masyarakat terhadap warisan dan seterusnya mendiskusikan langkah-langkah yang

proaktif dan strategik bagi membendung kemelut yang kian bermaharaja lela ini.

1
Sebelum mengorak langkah kepada perbincangan yang lebih mendalam, marilah

kita bersama-sama mengenali pengertian warisan. Menurut Kamus Dewan, edisi

keempat, warisan bermaksud harta peninggalan dan harta pusaka. Seperti yang kita sedia

maklum, warisan merupakan aset perdana yang menjadi tunjang dalam pemodenan

negara kita. Malaysia, kaya dengan adat resam dan kebudayaan yang rencam seperti adat

resam kaum Melayu, Cina, India dan Iban. Kemustahakan warisan dalam kehidupan

masyarakat tidak dapat dinafikan lagi.Adat yang merangkumi aspek bermula daripada

kelahiran, perkahwinan, sehinggalah kematian terdapat dalam hidup masyarakat di

Malaysia. Variasi warisan di Malaysia boleh dibahagikan kepada adat resam, kesenian,

pakaian dan perhiasan, peralatan tradisional,permainan tradisonal, perubatan tradisional,

sastera rakyat, rumah tradisional, seni halus dan senjata tradisional. Hal ini jelas

membuktikan bahawa warisan telah menjadi harta yang paling berharga dalam kalangan

masyarakat pada zaman dahulu. Hal ini demikian kerana warisan berperanan untuk

mendisiplinkan masyarakat dahulu sama ada dalam arena siasah, kemasyarakatan dan

ekonomi.

Namun, dewasa ini, masyarakat moden di Malaysia telah tenggelam dan hanyut

dalam arus transformasi negara ke arah dunia yang lebih canggih dan berteknologi. Sikap

bena tak bena yang wujud dalam pemikiran masyarakat telah menimbulkan keraguan

terhadap keutuhan pemeliharaan warisan di Malaysia. Seharusnya, kita sebagai rakyat

Malaysia yang berwibawa harus bangga dengan warisan negara kita. Jika kita ke bandar-

bandar utama seperti bandar raya Kuala Lumpur, berapa ramaikah wanita Melayu yang

mengenakan pakaian baju kurung, wanita India yang mengenakan pakaian sari dan

wanita Cina memakai pakaian cheongsam? Jumlah tersebut sudah pastinya hanya boleh

2
dibilang dengan jari sahaja. Banyak orang lebih gemar memakai pakaian-pakaian ala

barat kerana mereka menganggap budaya kebaratan merupakan identiti mereka. Pengaruh

barat yang semakin menular dalam kalangan masyarakat kita telah menjadi ‘racun’ yang

amat berbisa. Hal ini demikian kerana pengaruh budaya barat bertentangan dengan

budaya ketimuran. Natijahnya, budaya ketimuran semakin terhakis daripada sanubari

masyarakat kita. Golongan masyarakat khususnya golongan belia juga didapati tidak

ingin mewarisi pekerjaan-pekerjaan tradisional kerana mereka menganggap pekerjaan

tersebut telah ketinggalan zaman. Kalau bukan kita yang melakukan pekerjaan seperti

menoreh getah dan menanam padi, siapa lagi? Hal ini demikian kerana arena

pekerjaan-pekerjaan tradisional banyak menyumbangkan hasil kepada kesejahteraan dan

kemakmuran rakyat sejagat. Cuba kita bayangkan , apakah impaknya jikalau di Malaysia

tidak ada orang yang ingin mengusahakan tanaman padi? Semestinya negara kita perlu

mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi menampung keperluan makanan ruji bagi

penduduk di Malaysia.Kealpaan masyarakat boleh dikaitkan dengan peribahasa, kalau tak

ada angin masakan pokok bergoyang? Oleh hal yang demikian marilah kita

bersama-sama meladeni fakor-faktor yang mendorong berlakunya kealpaan dalam diri

masyarakat.

Segala-galanya bermula dari rumah. Institusi keluarga pada zaman moden ini

semakin lama semakin goyah. Ibu bapa dikatakan telah kecundang dalam memikul

peranan keibubapaan bagi mendidik anak-anak mengenali warisan negara.Ibu bapa

dikatakan terlalu sibuk dan rakus dalam mengejar nilai-nilai materialistik semata-mata

untuk meraih pendapatan yang lumayan. Sikap mereka yang mengetepikan anak-anak

boleh dikaitkan dengan peribahasa yang berbunyi, bagai enau dalam belukar, melepaskan

3
pucuk masing-masing. Mereka bersikap acuh tak acuh dalam mendidik anak-anak

tentang warisan negara. Bagi sesetengah ibu bapa, mereka beranggapan bahawa adat

resam dan budaya tradisi, tidak penting dan tidak mempunyai kaitan dengan kehidupan

anak-anak. Sesetengah ibu bapa juga telah gagal menjadi suri teladan bagi anak-anak

mereka. Sebagai contoh, ibu bapa di era pemodenan ini, lebih suka berpakaian ala barat

dan meminggirkan cara berpakaian ala timur. Natijahnya, anak-anak yang baru ‘setahun

jagung’ dalam mengenali dunia yang fana ini, hanya akan mengikuti cara berpakaian

yang ditonjolkan oleh ibu bapa mereka. Tindakan anak-anak mengikuti jejak langkah ibu

bapa mereka yang salah boleh dikaitkan dengan peribahasa yang berbunyi, bagaimana

pohon tiada akan tumbang dipanah halilintar, sebab baluhan kulit ada di batangnya.

Jikalau seorang bapa memakai pakaian yang kurang sopan, maka anaknya juga akan

mengikutinya kerana, bapa borek, anak rintik. Ibu bapa juga tidak memberi galakan

kepada anak-anak untuk bermain permainan tradisional seperti congkak, ‘batu seremban’

dan tingting. Sejak kecil anak-anak hanya disogokkan dengan permainan di zaman siber

seperti permainan video dan permainan komputer. Maka, bagaimana acuan begitulah

kuihnya, kerana anak-anak tidak mendapat didikan yang tulus dan telus daripada ibu bapa

mereka.

Laungan slogan, ‘Sekolahku Syurgaku’ tampaknya menjadi omong-omong

kosong sahaja. Ramai anak-anak remaja tidak tertarik untuk mengetahui warisan negara

menerusi wahana di sekolah. Hal ini disebabkan oleh sikap guru-guru, bagai melepaskan

batuk di tangga, dalam memperkenalkan warisan-warisan seperti permainan tradisional,

muzik-muzik tradisional dan pakaian tradisional yang terdapat di Malaysia kepada para

pelajar. Selain itu, tidak ada langkah inisiatif yang diambil oleh pihak Jabatan Pelajaran

4
Negeri bagi mengisi sukatan pelajaran para pelajar dengan bahan-bahan yang dapat

memanifestasikan nilai-nilai murni dalam diri para pelajar supaya sentiasa berusaha

untuk memelihara, mengingati dan menghargai warisan yang telah menjadi tradisi

keturunan mereka. Di samping itu, pihak sekolah kurang menganjurkan program-

program yang bergiat secara aktif untuk memastikan para pelajar istiqamah dalam

memelihara dan menghargai warisan yang tidak ternilai. Cuba kita lihat berapa banyak

sekolahkah yang menganjurkan kelab seni silat gayung, kelab silambam, dan kelab

wusyu? Kebanyakan sekolah lebih berfokus kepada kecemerlangan akademik semata-

mata. Oleh hal yang demikian, para pelajar yakni bakal-bakal pemegang tampuk

kepimpinan negara pada masa hadapan tidak mendapat penghayatan yang menyeluruh

tentang kepentingan warisan dalam kehidupan mereka.

Wlliam Mc Kelle, seorang ahli pemikir barat pernah berkata, “Seseorang akan

belajar daripada keadaan sekelilingnya”. Maka seseorang individu yang wujud bersama-

sama dengan masyarakat di sekelilingnya turut menerima impak . Masyarakat kini telah

kecundang daripada landasan hidayah budaya warisan dan adat istiadat. Fokusnya kepada

aspek kesopanan dan kesusilaan masyarakat. Pakaian masyarakat pada zaman dahulu

lebih sopan dan menutup aurat seperti baju melayu yang lengkap bersamping, baju

kurung yang lengkap bertudung, sari yang lengkap berselendang dan cheongsam. Kini,

pada era globalisasi, jarang-jarang kelihatan pakaian-pakaian tradisional tersebut dipakai

oleh orang ramai. Mereka lebih suka berpakaian yang mendedahkan aurat dan kurang

sopan. Hal ini bukan sahaja boleh mempengaruhi sikap seseorang individu, malah dapat

menjatuhkan imej negara di mata-mata para pelancong asing yang berkunjung ke negara

ini. Masyarakat beranggapan bahawa mereka akan dipandang rendah sekiranya

5
berpakaian seperti orang zaman dahulu. Pemikiran yang tandus dan dangkal tersebut

telah menyesatkan masyarakat kita. Akibatnya, individu yang melihat masyarakat di

sekeliling mereka memakai pakaian seperti ‘jeans’ dan baju-baju ketat, akan mudah

terpengaruh dengan budaya-budaya hedonisme. Semakin lama senario ini dibiarkan

berlanjutan, maka ,bibit-bibit kealpaan terhadap warisan akan mula bercambah dalam

benak mereka.

Malaysia sedang berkembang pesat dalam transformasi ke arah yang lebih jitu

dan bermutu. Melalui Dasar Langit Terbuka, dipancarkan pelbagai rancangan dari serata

dunia ke ruang tamu kita saban hari. Sudah terang lagi bersuluh, membuktikan bahawa

media massa merupakan ‘api dalam sekam’ yang menyebabkan kemelut kealpaan

masyarakat terhadap warisan bertambah parah. Pihak media massa yang bersikap bagai

menangguk di air yang keruh, telah mengambil kesempatan atas kemajuan zaman

teknologi. Pihak media massa lebih gemar menyebarkan ideologi kebaratan yang dapat

mengancam budaya ketimuran menerusi wadah seperti rancangan-rancangan di kaca

televisyen serta laman-laman web di internet. Tambahan pula, melayari laman-laman web

di internet pada hari ini sememangnya mudah, seperti kata yang sering diagung-agungkan

dalam kalangan masyarakat, “Dunia terletak di hujung jari, sekali klik, semua tahu”.

Golongan masyarakat di Malaysia juga mudah dibuai mimpi indah oleh laman-laman

web berunsur kebaratan dan pornografi yang disajikan oleh pihak media massa, iaitu

pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh hal yang demikian tidak hairanlah jika

masyarakat lupa dan alpa tentang adat, tatacara dan peraturan yang diwarisi sejak

berabad-abad yang lalu kerana kurang rancangan-rancangan mengenai warisan dan

6
tradisi di Malaysia kurang diiklankan menerusi wahana media cetak mahupun media

elektronik.

Woodrow Wilson, yakni seorang ahli politik Inggeris pernah berkata, “Hidup

bukanlah berfikir semata-mata, tetapi bertindak’. Oleh hal yang demikian, marilah kita

mengkaji usaha-usaha strategik yang perlu dilakukan bagi membendung masalah ini

daripada terus menghantui kehidupan masyarakat di Malaysia.

Ibu bapa sewajarnya mempraktikkan kemahiran keibubapaan dengan menjadi

suri teladan kepada anak-anak kerana ‘anak-anak bagaikan kain putih, ibu bapalah yang

mencorakkannya’. Sebagai contoh, ibu bapa memperkenalkan pakaian-pakaian tradisonal

kepada anak-anak dengan memperagakan pakaian tersebut di hadapan anak-anak. Anak-

anak yang melihat ibu bapa mereka berpakaian tradisional akan tertarik untuk meniru

perlakuan ibu bapa mereka.Hal ini dapat melahirkan keinsafan dan semangat menghargai

warisan dalam diri anak-anak. Ibu bapa juga digalakkan membawa anak-anak ke tempat-

tempat bersejarah yang menyimpan pelbagai warisan dan peristiwa bermakna seperti

Kota A Famosa , Bangunan Stadhuys dan Tugu Negara. Ibu bapa perlu menerangkan

kepada anak-anak tentang warisan yang diperoleh daripada peristiwa yang berlaku di

setiap tempat bersejarah dengan menggunakan pendekatan yang efektif dan mantap.

Sebagai contoh, ibu bapa menceritakan kepada anak-anak tentang kemerdekaan Malaysia

yang diwarisi oleh generasi pada hari ini. Hal ini dapat melahirkan semangat patriotik

dalam diri anak-anak.

Pihak sekolah pula harus mengadakan lawatan ke muzium-muzium yang

menyimpan khazanah warisan. Tindakan ini dapat memberi pendedahan kepada para

pelajar supaya tahu akan sejarah dan asal-usul diri mereka sekali gus membenarkan

7
peribahasa ‘Sejarah mengajar kita supaya lebih dewasa’. Pihak Jabatan Pelajaran Negeri

juga memainkan peranan dengan mengadakan pertandingan esei tentang warisan. Hal ini

dapat meningkatkan semangat para pelajar untuk mengenali warisan di samping

meningkatkan penguasaan kemahiran bahasa oleh pelajar. Pihak sekolah juga digalakkan

menganjurkan ‘Hari Warisan Satu Malaysia’. Pada hari tersebut para pelajar diwajibkan

mengenakan pakaian tradisional mengikut bangsa masing-masing. Tindakan ini perlu

bagi memberi pemahaman kepada para pelajar tentang budaya kaum-kaum lain serta

menggalakkan mereka menghormati kebudayaan kaum-kaum lain. Hal ini sekali gus

dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan para pelajar sejajar dengan gagasan

kudsi Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia iaitu “Satu

Malaysia; Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan”. Dengan itu kita dapat

menghindarkan masalah polarisasi kaum daripada terus mengancam kehidupan

masyarakat di Malaysia. Menyingkap kembali peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kita harus

sedar betapa pentingnya perpaduan dalam menjana serta membangunkan sesebuah

kerajaan. Sesungguhnya, peristiwa tersebut wajar dijadikan pengajaran dan iktibar bagi

semua pihak. Dengan adanya langkah yang proaktif diambil oleh pihak sekolah, maka

tidak hairanlah jika kita mampu membentuk insan-insan yang kamil sekali gus

melahirkan bakal-bakal pemegang tampuk kepimpinan negara kerana sesungguhnya,

pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Peranan pihak berwajib turut memberi dampak dalam usaha membantu

mengurangkan kealpaan masyarakat terhadap warisan Malaysia. Pihak kerajaan memikul

obligasi yang sangat dominan dengan mengadakan program dan kempen yang bergiat

secara efektif. Sebagai contoh, ‘Kempen Cintalah Warisan Kita’. Kempen ini harus

8
mendapat sokongan pihak media massa bagi menyebarkan semangat mencintai warisan

Malaysia ke seluruh pelosok Malaysia. Selain itu,program-program seperti ‘Kempen

Jalur Gemilang’ yang telah diadakan di Stadium Kangar, Perlis pada 1 Ogos 2010 yang

lalu perlulah diadakan secara berterusan pada setiap tahun. Buktinya, Kempen Jalur

Gemilang anjuran pihak kerajaan negeri tersebut telah dihadiri oleh 20 ribu orang rakyat

Malaysia. Langkah ini boleh dianggap sebagai usaha strategik yang telah dilaksanakan

oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. Sememangnya,

kerjasama bersama-sama dengan pihak Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) amat

diperlukan bagi memberi sumbangan dan bantuan untuk menyemai nilai-nilai cinta akan

warisan dalam diri setiap individu dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Hubungan

erat antara pihak kerajaan dengan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) amat mustahak

dalam menjayakan program-program dan kempen-kempen yang dianjurkan oleh pihak

kerajaan. Dengan adanya kesatuan tenaga antara pihak kerajaan dan Organisasi Bukan

Kerajaan (NGO), nescaya kita akan dapat membendung krisis kealpaan masyarakat

terhadap warisan negara dengan lebih efektif sekali gus dapat membentuk masyarakat

yang madani.

‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’,

merupakan kata-kata yang berkait rapat dengan warisan tokoh-tokoh bersejarah di

Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman yakni Bapa Kemerdekaan Malaysia. Nama-nama

tokoh yang banyak berjasa kepada negara harus dijadikan nama bagi bangunan-bangunan

utama dan jalan-jalan raya yang menjadi laluan orang ramai agar masyarakat dapat

mengenang dan sentiasa menghargai jasa-jasa tokoh tersebut. Hal ini sekali gus dapat

membendung masalah kealpaan masyarakat terhadap warisan Malaysia. Sebagai contoh,

9
Bangunan Sultan Abdul Samad dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Sesungguhnya,’tak

kenal maka tak cinta’.

Intihanya, terdapat pelbagai punca yang mendorong berlakunya kealpaan dalam

kalangan masyarakat terhadap warisan. Oleh itu, semua pihak harus menggembleng

tenaga ‘raksasa’ bagi membina semangat cinta akan warisan negara dalam sanubari

masyarakat di Malaysia agar Warisan Satu Malaysia, ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang

dek panas’. Sebelum ‘nasi sudah menjadi bubur’, marilah kita bersama-sama bersinergi

bagi mengorak langkah yang proaktif, bersepadu, rasioanal, dan strategik agar kita dapat

melahirkan bangsa Warisan Satu Malaysia. Dengan lahirnya anak watan yang berpegang

teguh kepada warisan, nescaya kita dapat menjamin pembangunan negara yang lebih

efisien sekali gus membolehkan Malaysia ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’

dengan negara-negara lain. Hal ini demikian kerana dalam kesibukan kita mengejar

kemajuan dunia, janganlah kita alpa tentang warisan negara.

10

You might also like