You are on page 1of 12

Isu Pembuangan Bayi

Sedih, pilu, ngeri, tak berperasaan dan banyak lagi perkataan-perkataan yang seumpama
dengan berikut dapat di gambarkan tentang kes pembuangan bayi sekarang ni yang
berlakunya di Malaysia. Hampir setiap hari kita mendengar kes pembuangan bayi yang
berlaku di media cetak mahupun elektronik. Statistik kes ini menunjukkan peningkatan yang
ketara dari tahun ke tahun dan bukan lah sesuatu yang boleh di banggakan bagi Malaysia
sebagai sebuah negara Islam.

Kehidupan generasi muda masa kini yang bertunjangkan keseronokan duniawi telah
mengheret mereka ke kancah pergaulan bebas tanpa mengira batas-batas agama. Akibat
terlalu ghairah mengejar kenikmatan dunia, ada di kalangan masyarakat di luar sana yang
alpa sehingga terjebak dengan perbuatan zina sehingga mengandungkan anak luar nikah.
Agak menyedihkan apabila berlakunya kes-kes sebegini, bangsa melayu yang majoritinya
melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Apabila tiada pegangan agama, inilah akibatnya
apabila pasangan tersebut menghalalkan perbuatan haram dengan melakukan penzinaan.
Akibat perbuatan haram pasangan tersebut, bayi yang tak berdosa menjadi mangsa
kezaliman dunia.

Anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai harganya dan menjadi
satu amanah untuk menjaganya. Ada pasangan yang berkahwin bertahun-tahun yang
teringinkan cahaya mata tapi tak dikurniakan lagi, tapi bagi pasangan-pasangan ini
mengambil jalan mudah sama ada membuang bayi yang dilahirkan, menjual bayi atau
menggugurkan kandungan mereka. Ingatlah kita bersama bahawa zina dan tindakan
membuang bayi adalah jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya disisi
Islam. Firman Allah S.W.T didalam surah an-nisa’ ayat 93:

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah
neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya
serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”.
Dalam hal ini selain daripada kesedaran diri sendiri dan bimbingan dari ibu bapa, kerajaan
juga perlulah mengambil langkah tegas untuk membendung perbuatan ni supaya isu seks
bebas tidak dianggap sebagai budaya negara kita seperti negara-negara barat supaya tidak di
jadikan contoh untuk generasi akan datang. Negara kita dah lebih sedekat merdeka
tapi segelintir masyarakyat, fikiran mereka masih lagi dijajah dengan pengaruh budaya
barat. Baru-baru ni ada terbaca yang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat menyokong dan memberi bantuan kepada ibu yang telah melahirkan bayi luar
nikah. Mungkinkahperkahwinan di usia muda dapat membantu membanteras gejala
pembuangan bayi. Apa pandangan anda?
Isu pembuangan bayi

Punca
KUCHING 23 Julai - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, isu
pembuangan bayi yang semakin menular dalam masyarakat ketika ini perlu dikaji secara mendalam dengan
mencari punca utama kenapa kes tersebut berlaku.  Beliau berkata, dengan hanya menyediakan tempat
untuk bayi-bayi terbuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tidak akan menyelesaikan masalah
tersebut sebaliknya lebih banyak usaha perlu dilakukan melalui pendekatan agama dan pengukuhan
institusi keluarga.   "Seperti masalah gatal pada kulit, ia tidak mencukupi hanya dengan menyapu minyak
pada bahagian yang gatal, sebaliknya kita mesti tahu kenapa kita menghadapi masalah tersebut sama ada
melalui pemakanan dan begitu juga masalah bayi ini kenapa ia berlaku,” katanya ketika menyampaikan
ucaptama pada program sesi bersama pemimpin, perpaduan 1Malaysia di sini hari ini.   

Katanya kes pembuangan bayi semakin serius sejak akhir-akhir ini dan ia merupakan antara masalah
utama dalam masyarakat ketika ini selain masalah penceraian rumah tangga.   Menurutnya peranan institusi
keluarga yang menjadi asas utama dalam membentuk sebuah mesyarakat yang lebih maju dan bertamadun
perlukan perhatian khasnya yang melibatkan pendidikan awal akhlak anak-anak.   Mashitah berkata, gaya
hidup dalam sesebuah keluarga banyak mempengaruhi cara pemikiran anak-anak hari ini kerana mereka
akan lebih mudah meniru apa yang dilakukan oleh orang tua mereka sendiri sama ada ia perbuatan yang
baik mahupun sebaliknya. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia  23/07/10

Punca kepada Masaalah buang bayi adalah kerana Syariat Islam Tidak Diterapkan

Tidak sukar untuk memahami permasalahan isu pembuangan bayi ini; Kebanyakan bayi yang dibuang
adalah anak zina. Anak zina lahir dari aktiviti perzinaan yang berlaku di antara lelaki dan perempuan.
Perbuatan zina itu berlaku apabila lelaki dan perempuan yang bukan mahram terjebak dengan pergaulan
bebas. Pergaulan bebas ini berlaku apabila individu yang terlibat memegang prinsip idea kebebasan dalam
kehidupan sehingga mereka menganggap bercampur-gaul lelaki dan perempuan dibolehkan dengan
pelbagai alasan berlandaskan akal semata-mata. Faktanya, pergaulan dan percampuran bebas ini
dibenarkan oleh undang-undang negara. Jadi, kerana itulah negara yang sebenarnya merupakan punca
utama idea kebebasan ini berkembang dengan suburnya.

Maka daripada rantaian di atas, kita dapat melihat bahawa kunci permasalahan adalah berpunca daripada
negara. Namun, setiap kali isu sosial  muncul di dalam kehidupan masyarakat terutama yang melanda umat
Islam pada hari ini maka yang hanya dipersalahkan adalah individu dan institusi keluarga. Negara dan
perlembagaannya seolah-olah suci, bersih dan putih seperti kapas dan tidak boleh dipertikaikan apalagi
hendak dipersalahkan. Para ulama dan cendekiawan langsung tidak pernah mengaitkan masaalah sosial
dengan negara dan perlembagaannya, mengapa? Adakah mereka juga bersubahat di dalam
mempertahankan sistem kehidupan hari ini yang menjadi punca kepada segala permasaalahan umat?
Apabila negara pada hari ini menolak Islam sebagai suatu sistem yang mengatur kehidupan individu,
masyarakat dan negara maka sudah pasti kita akan menghadapi 1001 macam masalah seperti mana yang
berlaku pada hari ini. Apakah Mashitah tidak faham dengan firman-firman Allah SWT ini; 

”Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan
mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari
antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam
azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu
lakukan”. [TMQ Al- Baqarah (2) : 85]. 

”Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya
kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".  [TMQ Taha
(20) : 124]. 
”Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan
membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.
Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa
yang mereka telah usahakan”. [TMQ Al-A’raaf (7) : 96]. 

”Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah
dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka
sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali
(insaf dan bertaubat)”. [TMQ Ar-Ruum (30) : 41].  

Allah SWT telah memberi jaminan bahawa apabila Islam diterapkan, sudah pasti ia akan memberi rahmat
kepada sekalian alam. FirmanNya lagi;

”Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi
sekalian alam”.[TMQ Al-Anbiyaa’ (21) : 107].

"PEMBUANGAN BAYI ADALAH SUATU JENAYAH"


 Isu ini telah lama diketengahkan oleh banyak pihak. Ada yang menangis
mengenangkan nasib ciptaan Allah ini yang tidak dipandang dan dicampak merata-rata
seolah-olah ianya sesuatu yang Allah ciptakan tanpa nyawa. Padahal ianya adalah ciptaan
Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan daripada dosa insan yang bernafsukan
syaitan.

Inilah yang telah berlaku pada masyarakat kita pada masakini. Maksiat dan aktiviti
seksual yang bebas berlaku dimana-mana. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja
Melayu yang beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala. Malah ada diantara
mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan belajar di IPT-IPT yang
memberikan pendidikan yang baik. Semua yang dilakukan hanya untuk memuaskan diri
sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa. Dari
perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir bukan dari kehendak mereka
tetapi dari nafsu serakah mereka yang mementingkan diri sendiri.
    
    Hampir setiap minggu kita mendengar dari televisyen, akhbar dan majalah tentang kes
pembuangan bayi dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang
menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong
sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan
tandas awam dan sebagainya menjadi tempat dimana bayi-bayi malang ini ditemui.
    
    Apakah kita ini ingin digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak
berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi di zaman jahiliyah sebelum kedatangan
Islam. Kanak-kanak terutamanya perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup untuk
menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga. Tetapi lihatlah apa
yang telah terjadi pada zaman sekarang. Kanak-kanak juga dilayan sebegitu tanpa rasa
belas kasihan dan dibuang merata-rata demi untuk menutup malu dan menjaga maruah
orang yang melakukannya. 
    Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha
kerajaan untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertunjukan, denda seperti penjara 20
tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan,
namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga
tidak dapat di bendung lagi
    
    Islam dan agama utama di Malaysia yang lain sangat mengharamkan dan menegah
pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan masyarakat. Ianya boleh dianggap satu
dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang telah disebut dalam
Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:

Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka
jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta
menyediakan baginya azab seksa yang besar".
    
    Namun apakah faktor yang menyebabkan berlakunya gejala seperti ini? Ada yang
berpendapat ianya bermula dari rumah lagi. Mungkinkah didikan agama dari ibu bapa
yang kurang terhadap anak-anak mereka atau terlebih didikan? Tetapi ibu bapa tidak
boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini. Ini kerana ada diantara ibu bapa yang
memberi didikan agama yang sempurna kepada anak mereka tetapi apabila meningkat
dewasa dan anak-anak membawa haluan mereka sendiri, segala ajaran ibu bapa akan
dilupakan sedikit demi sedikit. Maka anak-anak mula bertindak liar tanpa pengawasan ibu
bapa. 
    
    Mungkin juga ianya berpunca dari kemajuan teknologi dan media cetak dan elektronik
pada zaman sekarang yang banyak memberi pendedahan seks dan bahan yang tidak
berfaedah kepada remaja. Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik,
penyebaran VCD dan gambar lucah didalam internet juga menjadi punca yang turut
mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada lahirnya anak
luar nikah disamping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam
masyarakat. Namun semuanya datang dari diri remaja itu sendiri samada mereka ingin
memilih jalan yang betul atau tidak. Ini kerana diri sendiri sahaja yang mampu megubah
segalanya.
    
    Oleh itu, sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada penghujungnya sekiranya tiada
kesedaran di kalangan masyarakat untuk mengubah sikap mereka. Ini kerana gejala
pembuangan bayi ini  adalah satu kesalahan yang amat kejam dan lebih kejam lagi dari
perbuatan haiwan. Sedangkan haiwan juga mempunyai perasaan kasih sayang terhadap
anak-anaknya sehingga sanggup mati demi anak. Sepertimana firman Allah dalam surah
Al-A'araf ayat 179:

Maksudnya:
"Sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakkannya daripada jin dan
manusia,mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-
ayat allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti
keesaan allah) dan mereka mempunyai telinga(tetapi) tidak dipergunakannya untuk
mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan,bahkan mereka
lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai".

Oleh itu, renung-renungkanlah..........................

01-07-2010 
 Kes Pembuangan Bayi dan Langkah-
langkah mengatasi.
Pembuangan bayi semakin mendapat perhatian serius daripada masyarakat. Dalam sesi
parlimen baru-baru ini (29 Jun 2010), YB Dato’ Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Bintulu
mengemukakan soalan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, Dan Masyarakat
mengenai isu ini dan mendapat jawapan bertulis daripada pihak kementerian. Antara soalan-
soalan yang dikemukakan adalah: 

(a) Berapakah kes pembuangan bayi daripada tahun 2005 – 2009 dan tindakan pihak
Kementerian ke atas ibu bapa yang dikenal pasti terlibat dalam pembangunan bayi dan

(b) apakah tindakan lanjut yang diambil oleh pihak Kementerian terhadap bayi-bayi yang
terlibat dalam kes-kes pembuangan bayi. 

Untuk soalan pertama, mengikut statistic Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes
pembuangan bayi mengikut negeri dari tahun 2005 hingga 2009 adalah sebanyak 407 kes.
Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 105 kes diikuti oleh Johor
dengan 83 kes dan Sabah dengan 65 kes manakala Perlis mencatatkan jumlah kes terendah
dengan 1 kes diikuti oleh Kuala Lumpur dan Melaka dengan 2 dan 3 kes masing-masing. 

Di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 317, ibu bapa yang terlibat melakukan pembuangan bayi
boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 7 tahun
atau dengan denda atau dengan kedua-dua dan Seksyen 318 Kanun yang sama juga
memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dengan denda atau dengan
keduanya sekali bagi kesalahan membuang bayi yang telah mati. 

Dalam soalan kedua, pihak kementerian menyatakan pihaknya melalui Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) berperanan untuk menyelamat dan member perlindungan kepada bayi
dibuang yang didapati masih hidup termasuklah melalui penyediaan tempat-tempat
perlindungan kepada bayi-bayi tersebut. Kementerian mempunyai 55 buah institusi kebajikan,
104 buah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan 55 buah Klinik Nur Sejahtera yang
bersedia menerima bayi-bayi tersebut yang memerlukan perlindungan. Selain itu, tindakan
lanjut yang diambil oleh JKM terhadap bayi-bayi yang terlibat dalam kes-kes pembuangan bayi
adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 melalui Program Anak
Pelihara. 

Megikut kementerian, bayi yang tidak dituntut oleh ibu bapa akan ditawarkan untuk dijadikan
anak pelihara kepada pemohon yang memohon anak pelihara. Tawaran akan dibuat bagi
mereka yang benar-benar layak dan dapat member penjagaan dan perlindungan yang terbaik
kepada kanak-kanak serta berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh JKM. Akta
Kanak-kanak 2001 menetapkan ibu bapa pelihara perlu memelihara kanak-kanak bagi tempoh
dua tahun sebelum bayi dijadikan anak angkat sekiranya pemohon ingin berbuat demikian.
Status anak pelihara akan kekal sekiranya ibu bapa pelihara enggan menjadikan kanak-kanak
tersebut sebagai anak angkat. Proses permohonan dan kelulusan untuk menjadikan kanak-
kanak sebagai anak angkat adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara. 
Selain itu, kerjasama dengan NGO juga diwujudkan untuk menempatkan kanak-kanak yang
berusia 2 hingga 12 tahun melalui Program Anak Pelihara. Pemantauan sentiasa dijalankan
oleh JKM sama ada urusan penyerahan kanak-kanak tersebut dilaksanakan oleh JKM sendiri
mahupun NGO untuk memastikan kanak-kanak diberi penjagaan dan perlindungan selaras
dengan ketetapan Konvensyen Bagi Hak Kanak-kanak. 

Isu Pembuangan dan Pembunuhan Bayi Perlu Pendekatan Holistik


February 17, 2010 — nhh

Kenyataan Media Jamaah Islah Malaysia (JIM)


 
12 Februari 2010
 
ISU PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI PERLU PENDEKATAN HOLISTIK!
 
 
JIM ingin menarik perhatian kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga
2006 yang melaporkan sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti (532 – 92%) adalah
bayi baru lahir, sementara 48 (8%) adalah janin ( Sumber PDRM). Sementara menurut
laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, terdapat
peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1).
 
Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi
 
Tahun                         2006    2007        2008     2009 (sehingga Mei)
Jumlah kes                  53          76            102                 33

 
Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, dilaporkan menurut satu kajian di
Lembah Klang, seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Apa yang lebih membimbangkan,
fenomena ini tidak lagi hanya berlaku di bandar-bandar besar, malahan semakin kerap
dilaporkan di kawasan desa dan luar bandar. Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di
dalam tandas sekolah dan premis menara gading institusi pengajian tinggi.
 
Namun, secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa
kesal, mengecam tindakan zalim tersebut, menuding jari menyalahkan remaja belia yang
dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi-bayi malang tersebut
dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan dikehendaki (unplanned and
unwanted) oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudiannya dibiarkan
atau dibuang untuk menutup aib dan malu , maka kematian mereka tidak harus dibela?
 
JIM ingin menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan
perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan
sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang
sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa. Setiap bayi baru lahir
yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat
minggu) yang secara tidak langsung menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan
tahap kesihatan yang rendah. Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang
wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang
dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu
dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan
(avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan sebagaimana lazimnya.
 
JIM berpandangan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu segera diambil dalam
menangani isu pembuangan bayi ini. Ianya tidak boleh hanya dilihat dari sudut pandang
gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan tersebut mestilah holistik dan menjurus
kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekankan kedua – dua aspek
pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak.
 
JIM menuntut  semua pihak  memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam usaha
mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini.
 
Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan
dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek
seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan  kedudukan mesti
mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan
keinginan nafsu syahwatnya.
 
Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat  kembali membangunkan
sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkahlaku ahli-ahlinya, selari dengan
bertambahnya cabaran  yang menghakis nilai murni dalam komuniti.
 
Pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan  yang membuka peluang
luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa
batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks.
 
Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang
menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan menjadi keutamaan di setiap
peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata
.
 
JIM akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok ahli
masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi.
Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali mengakibatkan kehamilan yang
tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi,
pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/AIDS dan keganasan seksual. Dalam
konteks ini, pendekatan rawatan ( prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas :
 
a.  Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan mestilah diberikan peluang
dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW, di mana seorang wanita
Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke
atasnya. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang
bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya. Jelas betapa Islam
mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan
intipati ajarannya sebagai ` rahmatalil `alamin’ ( rahmat untuk sekelian alam). Langkah
praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam
masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan
membunuh bayi yang baru lahir.
 
b.  Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, mesti
mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan yang berhampiran secara berkala untuk
memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang
menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy) seringkali berhadapan dengan risiko
komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran
pramatang atau kematian semasa melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap
kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui
kehamilan dan kelahiran sendirian.
 
c.   Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan mesti
dipertanggungjawabkan. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik
hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal usul keturunan manusia dibuat. Satu
mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh
secara sewenang-wenangnya berlepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya.
 
d.   Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan mesti mengambil langkah
menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil di luar nikah 
menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik,
kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui
saluran yang formal dapat dibuat sekiranya siibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang
lain. Walaubagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit
( one-stop centre) yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di
luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi sahaja!
Semoga cadangan pendekatan rawatan (prescriptive) dapat memberi ruang dan peluang
kedua kepada mereka yang telah terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuat yang
sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan
kerahmatan Islam. 
 
JIM mendesak agar langkah-langkah yang disarankan segera diambil tindakan bagi menangani
isu pembuangan bayi hingga ke akar umbi. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah
masyarakat jahiliyyah moden yang tiada peri kemanusiaan lagi!
 
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
0123243134

Possibly related posts: (automatically generated)

 Seminar Kepimpinan Wanita JIM

 Perjumpaan GIGS Belia

 Rundingan Umum Laporan SUHAKAM 2007 & 2008

Posted in Media. 1 Comment »

Like
Be the first to like this post.
One Response to “Isu Pembuangan dan Pembunuhan Bayi Perlu
Pendekatan Holistik”

1. ummi Says:
January 16, 2011 at 5:04 pm

salam…..

Saya pernah menolong gadis yang mempuyai masalah iaitu hamil tampa nikah. Ada antara
keluarga mereka dah tahu @ keluarga sememangnya tidak tahu bahawa anak gadis mereka
sedang hamil.
sebenarnya mereka tidak ada sebarang pendedahan ke mana mereka harus pergi jika mereka
punya masalah sebegini.
saya pernah menolong beberapa gadis yang mempunyai masalah sebegini. semua pengurusan
dilakukan oleh saya semua termasuk termasuk makanan, ubat-ubatan dan bayaran bil.
Meraka datang ke rumah saya atas kerelaan mereka sendiri. Mereka tiada tempat untuk
bersalin, tempat dimana mereka pernah bertanya semua mahukan baby mereka selepas
dilahirkan untuk dijadikan anak angkat dan mereka tidak dibenarkan ambil baby mereka
sebab bby itu akan dijadikan anak angkat orang lain.
sepanjang mereka tinggal dengan saya, saya akan pergi bersama ke klinik kerajaan untuk
dapatkan kad mengandung untuk memudahkan mereka bersalin nanti di hospital kerajaan
nanti. jika saya ingin buka “rumah berteduh wanita bermasalah” bagaimana caranya untuk
membuka rumah berteduh wanita bermasalah ini? saya sangat menolong yang mempunyai
masalah ini. Dimana harus saya mula? Sya begitu berharap pihak tuan boleh
menpertimbangkan semua ini, ini emaii saya……….ummi_umairrah@yahoo.com.my…

http://www.khairilafzal.com/isu-semasa/isu-pembuangan-bayi-semakin-berleluasa
http://www.scribd.com/doc/19744558/pembuangan-bayi

http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=741&Itemid=1

http://www.bnbbc.com.my/bm/news.php?act=view&berita_id=147

http://wjimpahang.wordpress.com/2010/02/17/isu-pembuangan-dan-pembunuhan-bayi-perlu-
pendekatan-holistik/

http://www.slideshare.net/HafiziGhazali/isi-isi-penting-masalah-pembuangan-bayi

You might also like