You are on page 1of 3

CIRI – CIRI PIDATO YANG BAIK

Pidato yang berkesan ialah apabila pemidato bersedia untuk menyesuaikan diri
dengan hadirin dan sentiasa berwaspada terhadap paras kefahaman hadirin tentang
mesej atau ucapan yang disampaikannya. Pemidato juga perlu berucap dengan
menggunakan paras sikap yang sama dengan pendengar yang bertujuan supaya
hadirin dapat memahami isi kandungan pidatonya dengan mudah. Walau dalam apa
keadaan apa pun, sesuatu pidato yang baik itu hendaklah mempunyai perkara –
perkara seperti berikut :

a) Bahasa yang mudah difahami


Bahasa yang digunakan oleh pemidato hendaklah yang mudah difahami
oleh hadirin yang mendengar atau kumpulan sasaran. Bahasa yang
mudah bermaksud bahasa yang tidak berbunga – bunga, banyak kiasan,
mengandungi makna – makna yang tersirat dan istilah – istilah yang
khusus. Bahasa yang sedemikian akan menyukarkan pendengar dan
menyebabkan pendengar menjadi keliru tentang isi yang ingin
disampaikan oleh pemidato. Sebaliknya bahasa yang digunakan haruslah
berkesan, padat, tegas dan menyakinkan. Bahasa juga hendaklah sesuai
dengan taraf hadirin dan mesj ucapan. Pemilihan kata, struktur ayat, laras
bahasa dan sebagainya harus tepat dan sesuai.
b) Isi yang bermakna
Isi yang bermakna hendaklah sesuai dengan tajuk pidato dan disesuaikan
dengan juga dengan tahap keupayaan dan penerimaan pendengar.
Faktor taraf pendidikan pendengar juga perlu diberikan pertimbangan
dalam menyediakan dan menyampaikan isi kandungan ucapan.
c) Struktur pidato
Pidato yang baik hendaklah disampaikan dengan mengikut struktur pidato
yang ditetapkan. Setiap pidato perlu didahului oleh kata alu – aluan bagi
menghargai hadirin yang hadir. Kemudian, diikuti isi kandungan ucapan
dengan mendahului isi yang penting daripada isi yang kurang penting.
Pada waktu – waktu tertentu, pemidato perlulah menyebut rujukan
terhadap para hadirin bagi menarik tumpuan mereka. Antara ayat yang
biasanya disebut oleh pemidato ialah ‘saudara – saudara sekalian’, ‘Tuan
– tuan dan puan – puan yang dihormati sekalian’, ‘Rakan – rakan
seperjuangan saya sekalian’. Pidato diakhiri dengan kata – kata penutup
dan ucapan terima kasih. Pidato yang tidak berstruktur akan
menyebabkan pendengar tidak dapat mengikuti isu pidato pemidato
secara berkesan.
d) Suara yang jelas
Individu yang menyampaikan pidato hendaklah menyampaikan pidatonya
dengan suara yang jelas dan dapat didengari oleh pendengar. Suara yang
jelas dan terang merupakan unsur utama yang mempengaruhi
keberkesanan ucapan dan dapat menarik perhatian pendengar untuk
mengekalkan tumpuan mereka. Pemidato harus mengelakkan
penggunaan nada suara yang mendatar sepanjang pidatonya. Suara yang
sedemikian akan menyebabkan penonton mudah bosan dan tidak
memberikan perhatian sepenuhnya. Sebaliknya, pemidato perlu
menggunakan nada suara yang berbeza – beza dalam keadaan tertentu.
Misalnya, nada suara perlu ditinggikan apabila pemidato hendak
memberikan penegasan terhadap perkara – perkara tertentu dan nada
suara yang ceria pula jika menyebut sesuatu yang menggembirakan.
e) Cara persembahan
Cara persembahan merujuk kepada cara pemidato menyampaikan
pidatonya secara keseluruhan. Cara persembahan sesuatu pidato itu
hendaklah memperlihatkan kesungguhan dan keyakinan pemidato itu
sendiri. Cara persembahan yang baik dapat melindungi kekurangan –
kekurangan yang tidak disengajakan oleh pemidato. Sekiranya isi
kandungan pidato bersesuaian dan berkualiti, tetapi cara persembahan
tidak diolah dengan sebaik – baiknya, maka keseluruhan pidato itu
menjadi tidak berkesan.
f) Keyakinan diri
Pidato juga perlu disampaikan dengan penuh keyakinan diri dan tanpa
teragak – agak atau gugup. Pemidato perlu bertenang semasa
memulakan pidatonya dan seterusnya mengekalkan kestabilan emosinya
sepanjang sesi pidatonya itu. Keadaan bertenang itu penting bagi
membantu pemidato menyampaikan pidatonya dengan baik dan hadirin
pula akan lebih selesa mendengar jika pemidato berpidato dengan
tenang. Di samping itu, pemidato perlu mengelakkan diri daripada
menampilkan suara yang menunjukkan keyakinan diri yang rendah atau
nada ragu – ragu terhadap perkara yang diucapkannya.
g) Gaya penyampaian
Gaya penyampaian meliputi pergerakan anggota seperti badan, tangan,
kepala, mimik muka, pandangan mata dan senyuman. Gaya penyampaian
hendaklah berkesinambungan dengan isi pidato, misalnya pemidato
hanya mengangkat tangan dalam keadaan tertentu dan bukannya
sepanjang masa. Demikian juga pemidato tidak perlu melemparkan
senyuman kepada hadirin sepanjang pidatonya berlangsung. Pada
umumnya, pergerakan tangan, mimik muka dan pandangan mata
mempunyai makna – makna tertentu dan dapat berfungsi bagi membantu
pemidato mengukuhkan dan menegaskan perkara – perkara tertentu
dalam pidatonya. Sebaliknya, gaya penyampaian yang keterlaluan dan
pergerakan anggota yang berlebihan tidak perlu dalam sesuatu pidato.

You might also like