You are on page 1of 10

HUTAN DAN KEGUNAANNYA

NORAIDA SAARY

ISI KANDUNGAN

1. PENGENALAN
2. HUTAN DAN KEGUNAANNYA :

a. Membekalkan gas oksigen ke atmosfera


b. Habitat semula jadi hidupan liar
c. Menyeimbangkan mikro iklim sesuatu tempat
d. Kawasan tadahan air hujan dan mencegah hakisan
e. Sumber makanan
f. Sumber kayu-kayan, buluh dan rotan
g. Sumber tumbuhan ubat-ubatan
h. Tempat rekreasi dan pelancongan
i. Kawasan penyelidikan saintifik

1. KESIMPULAN
2. FAKTA PENTING MENGENAI HUTAN
3. RUJUKAN
4. LAMPIRAN

PENGENALAN

HUTAN dalam pengertian yang luas merangkumi kawasan yang ditumbuhi


oleh pokok-pokok liar yang terbiar, rimba yang menjadi habitat semula jadi
flora dan fauna. Hutan merupakan aset negara yang tidak ternilai dan ia
diwarisi sejak turun-temurun lagi. Hari ini, isu hutan menjadi isu global yang
sering diperkatakan.

Secara umumnya, hutan meliputi 3625 juta hektar atau 27.7% daripada
kawasan muka bumi yang tidak diliputi ais. Hutan tropika meliputi 53.4%
daripada jumlah kawasan hutan ini, manakala 25.4% adalah hutan boreal
dan 21.2% pula terdiri daripada hutan temperat. Selain itu, terdapat 650 juta
hektar lagi hutan yang terdiri daripada belukar, tumbuhan renek dan
sebagainya.

Seperti yang kita ketahui, hutan merupakan khazanah alam dan warisan
semula jadi yang mempunyai banyak kepentingan dan kegunaannya kepada
manusia dan makhluk –makhluk lain. Contohnya, hutan berperanan penting
dalam kehidupan manusia dengan membekalkan sumber bahan mentah
seperti kayu-kayan, rotan, buluh, buah-buahan, kayu api, damar, gam, sayur-
sayuran, minyak pati, dan tumbuhan ubat-ubatan. Hasil hutan ini merupakan
punca bahan makanan, perlindungan, bahan api, dan perubatan asas.
Sumber tersebut telah membantu manusia membina tamadun yang tingggi
seperti masa kini. Di samping itu, hutan juga turut berperanan dalam
menyeimbangkan ekologi persekitaran.

Memandangkan hutan merupakan penyumbang utama kepada sosioekonomi


dan kestabilan ekologi persekitaran, maka hutan adalah satu khazanah yang
amat berharga yang perlu dijaga dengan baik dan bersistematik.

HUTAN DAN KEGUNAANNYA :

A. MEMBEKALKAN GAS OKSIGEN KE ATMOSFERA

Salah satu kepentingan hutan yang paling utama ialah membekalkan


gas

oksigen ke atmosfera yang diperlukan oleh manusia dan juga haiwan. Ia


juga turut mengimbangi kandungan gas di udara.

Semasa proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan mengggunakan gas


karbon dioksida untuk membuat makanan dan membebaskan gas
oksigen sebagai bahan buangan. Manakala, manusia dan haiwan pula
membebaskan gas karbon dioksida dan menggunakan gas oksigen
semasa proses respirasi. Proses respirasi dan fotosintesis menunjukkan
saling kebergantungan di antara manusia dan haiwan dengan tumbuh-
tumbuhan untuk terus hidup. Proses ini berlaku secara berulang-ulang,
menyebabkan bekalan oksigen dalam udara sentiasa mencukupi untuk
kegunaan kehidupan seperti proses pernafasan dan membantu
pembakaran. Jika hutan tiada, sudah pasti gas karbon dioksida akan
menjadi berlebihan dalam udara yang menyebabkan berlakunya
peningkatan suhu udara dan membawa kesan buruk kepada manusia
dan hidupan liar.

B. HABITAT SEMULA JADI HIDUPAN LIAR

Pelbagai jenis hidupan liar hidup di kawasan hutan kerana hutan

menyediakan sumber makanan yang diperlukan oleh haiwan. Hutan


juga merupakan tempat perlindungan dan pembiakan bagi hidupan liar.
Hidupan liar pada amnya didefinisikan sebagai merangkumi kesemua
haiwan liar daripada kumpulan mamalia, reptilia, amfibia, burung, ikan,
invertebrata, termasuk juga tumbuh-tumbuhan liar.

Hutan membekalkan makanan kepada haiwan yang memakan daun,


buah-buahan, putik bunga, bijian, pucuk, dan pelbagai bahagian lain
pokok. Manakala haiwan jenis karnivor dapat hidup kerana tumbuhan
semula jadi membantu pembiakan haiwan herbivor. Kewujudan
rantaian makanan sememangnya menjadi satu lumrah kehidupan bagi
hidupan mansa dan pemangsa.

Contohnya, menurut satu kajian yang telah dijalankan oleh pihak


berkuasa mendapati hutan di Malaysia menjadi habitat 3000 spesies
tumbuhan berbunga, dan 2500 daripadanya adalah dari jenis berpokok
kerana di hutan tumbuhan dapat hidup disebabkan kesuburan
tanahnya. Tumbuhan ini adalah unik kerana ia tidak ditemui di mana-
mana pelusuk dunia kecuali di Malaysia. Bagi melengkapkan ekosistem,
haiwan telah menjadi penghuni setia hutan belantara ini. Terdapat
sejumlah 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular, 30
spesies katak, dan 80 spesies cicak. Serangga pula merupakan komuniti
haiwan yang terbesar di mana sesetengah kumpulan mengandungi lebih
daripada 1000 spesies.

C. MENYEIMBANGKAN MIKRO IKLIM SESUATU TEMPAT

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tumbuh-tumbuhan semula jadi di


hutan mempunyai pengaruh ke atas keadaan cuaca dan iklim sesuatu tempat
kerana pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan mampu mengubahsuaikan iklim
mikro sesuatu tempat.

Melalui proses transpirasi, air dari tanah melalui tumbuh-tumbuhan akan


terserap ke udara dan air di permukaan daun juga akan tersejat ke udara dan
ini menambahkan lagi kelembapan udara. Ini kerana pokok-pokok dan
tumbuh-tumbuhan mengawal sinaran matahari melalui proses serapan,
pemantulan dan pemindahan. Pada hari yang panas, sebatang pokok mungkin
menyerap beratus-ratus liter air dari tanah dan kebanyakannya akan tersejat
ke atmosfera. Ini sudah pasti akan memberikan kesan penyejukan kepada
kawasan sekitarnya. Secara bandingannnya, suhu di kawasan hutan adalah
lebih rendah kerana litupan tumbuh-tumbuhan yang banyak.

Di samping itu, pertambahan oksigen di atmosfera bumi yang berpunca


daripada prosese fotosintesis akan memastikan pengurangan karbon dioksida
secara tidak langsung. Ini kemudiannya dapat mengurangkan risiko
berlakunya fenomena "kesan rumah kaca" atau "kesan rumah hijau". Dengan
itu, peningkatan suhu bumi dapat dikawal.

Hal yang sama terjadi di bandar-bandar besar, di mana hutan sangat berguna
sebagai agen pembersih udara kerana daun-daun dan dahan-dahan pokok
bertindak sebagai penyaring udara kotor. Hal ini menunjukkan bahawa hutan
mampu mengimbangi iklim sesuatu kawasan di samping merendahkan suhu
dan menyamankan udara berbanding dengan kawasan yang hutannnya telah
ditebang. Biasanya suhu adalah lebih tinggi dan kawasan tersebut menjadi
lebih panas.
D) KAWASAN TADAHAN AIR HUJAN DAN MENCEGAH HAKISAN

Hutan juga berperanan sebagai kawasan tadahan air hujan dan mencegah
hakisan tanah. Hutan adalah pengawal aliran air yang berkesan kerana hutan
berfungsi seperti span besar yang menyerap air di hutan pada musim hujan
dan mengalirkannya perlahan-lahan ke dalam anak sungai. Seterusnya
bertindak sebagai penuras yang menapis air hujan bagi memastikan air bersih
dan jernih mengalir ke kawasan tadahan.

Fungsi yang penting ini tidak dapat diganti oleh oleh tanaman seperti getah
dan kelapa sawit. Kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa
pengaliran air di permukaan di kawasan getah dan kelapa sawit adalah lebih
deras berbanding di kawasan berhutan.

Contohnya, krisis kekurangan air yang berlaku di Melaka pada tahun 1992
adalah disebabkan 80% kawasan tadahan Empangan Durian Tunggal telah
ditanam dengan getah dan kelapa sawit. Kekurangan lapisan hutan telah
menyebabkan pengaliran

air yang tidak sekata ke Sungai Bakung dan Sungai Air Putih. Akibatnya,
sedikit sahaja air yang mengalir ke kawasan tadahan Durian Tunggal, Melaka.

Hutan juga dapat mencegah hakisan tanah kerana daun-daun dan dahan-
dahan pokok menyekat air hujan lalu melambatkan kadar kelajuan air hujan
yang jatuh ke permukaan bumi. Akar-akar pokok pula dapat menyerap air
hujan di samping mencengkam tanah dan memperkukuhkan tanah supaya
sukar dihakis.

E) SUMBER MAKANAN

Di hutan banyak terdapat buah-buahan liar yang boleh dimakan dan


selalunya dikumpulkan oleh masyarakat tempatan sebagai sumber makanan.
Di negeri Sabah misalnya, terdapat kira-kira 200 spesies tumbuhan hutan
yang boleh di makan buahnya.

Antara contoh buah-buahan hutan yang sedia popular di Malaysia amnya


pada masa kini tetapi masih belum ditanam secara meluas ialah kelubi
(Zalacca conferta), salak hutan (Z. affinis), petai (Pithecellobium jajanica dan P.
singularis), keredas (P. bubalinum), dan jering (P. jiringa). Untuk buah-buahan
ini, hutan masih menjadi sumber utama bagi mendapatkannya. Malah banyak
buah-buahan yang telah ditanam berasal daripada waris liar dari hutan
tropika, contohnya durian (Durio zibethinus), rambutan (Nephelium
lappaceum), langsat/duku (Lansium domesticum), dan mangggis (Garcinia
mangastana). Di Sabah, banyak buah-buahan yang terdapat di pasaran
berasal dari hutan dan belum ditanam secara meluas. Antaranya ialah terap
(Artocarpus odoratissimus), bambangan (Mangifera decandra), beluno (M.
caesia), liposu (Baccaurea angulata), dan kembang semangkuk (Scaphium
macropodum).

Selain buah-buahan, ulam juga menjadi bahan makanan yang penting sebagai
sumber vitamin dan juga sumber ubatan masyarakat tempatan. Contohnya
daun kadok (Piper sarmentosum), daun pegaga (Hydrocotyle asiatica), putat
(Barringtonia spp), selom (Oenanthe javanica), menkudu (Morinda elliptica),
cekur (Sauropus androgynus), ulam raja (Cosmos caudatus), kantan
(Phaeomaria speciosa), dan daun kesom (Polygonum minus) adalah antara
ulam yang paling popular. Di hutan di Malaysia terdapat lebih 50 jenis ulam
yang sesuai sebagai bahan makanan tetapi kurang popular.

F) SUMBER KAYU-KAYAN, ROTAN, DAN BULUH

Kawasan hutan mempunyai pelbagai sumber bahan mentah yang boleh


digunakan oleh manusia. Melalui hutan, manusia boleh memperolehi hasil-
hasil hutan seperti kayu balak, buluh, rotan dan sebagainya yang boleh
membantu kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana hasil-
hasil hutan tersebut mempunyai nilai komersial pada masa kini dan
permintaan terhadap hasil-hasil hutan tersebut begitu tinggi sama ada
pasaran tempatan mahupun luar negeri.

Kewujudan pelbagai spesies tumbuhan berpokok di hutan menunjukkan


hutan sememangnya kaya dengan kayu-kayannya. Misalnya, balak
merupakan hasil hutan yang terpenting dan berharga pada masa kini kerana
ia merupakan kegiatan ekonomi yang penting bagi setiap negara seperti
Thailand, Myanmar, Malaysia, Indonesia, India, dan Filipina. Antara jenis kayu
balak yang mendapat nilai kemersial adalah sperti jati, keruing, cengal,
merbau, penaga, keledang, dan balau. Kayu-kayu balak yang dihasilkan
terdiri daripada kayu keras dan lembut. Pengeluar kayu balak keras yang
terbesar di dunia ialah Malaysia dan Indonesia. Manakala bahagian Asia Utara
(Rusia) adalah pengeluar kayu balak lembut yang utama di dunia. Kegunaan
hasil balaknya adalah untuk membuat bangunan atau rumah, landasan kerta
api, alat-alat perabot, papan lapis, kertas dan lain-lain lagi.

Di samping itu, hutan juga merupakan sumber hasil-hasil hutan yang lain
seperti rotan, buluh, mengkuang, dan lain-lain lagi. Di Asia Tenggara
contohnya, kira-kira 20 spesies rotan dianggap sebagai spesies komersial yng
berharga. Kesemua spesies yang digunakan dalam industri adalah daripada
genus Calamus yang mempunyai kira-kira 60 spesies kesemuanya. Rotan
sangat bernilai terutamanya kepada industri perabot dan kraftangan. Negara-
negara di Asia Tenggara dianggarkan mengeksport rotan bernilai kira-kira
US$60 juta setahun, 90% daripadanya adalah oleh Indonesia. Ini tidak
termasuk jumlah hasil siap guna seperti perabot, yang dianggarkan bernilai
US$4 bilion setahun, menjadikan hasilan yang kedua penting selepas kayu-
kayn dan balak.

Selain rotan, terdapat hasil hutan lain yang sangat bernilai. Antaranya ialah
kayu gaharu atau karas yang digunakan sebagai bahan pewangi. Harga
sebatang kayu gaharu (gred 4) boleh mencapai $25 000 (pada kadar $2 per g).
Selain kayu gaharu terdapat beberapa spesies kayu hutan lain yang dapat
mengeluarkan minyak pewangi dan berpotensi sebagai bahan dagangan.

G) SUMBER TUMBUHAN UBAT-UBATAN

Hutan bukan sahaja menjadi sumber pembekal bahan makanan dan


pembinaan tetapi juga menjadi sumber tumbuhan ubat-ubatan yang berharga.
Penggunaan tumbuhan di dalam bidang perubatan tradisional telah lama
berkembang sejajar dengan kewujudan manusia itu sendiri dan diamalkan
sebagai rawatan utama atau pilihan oleh semua masyarakat dan kaum.
Contohnya, Pertubuhan Kesatuan Sedunia menganggarkan kira-kira 70-80%
dari penduduk dunia masih lagi bergantung kepada sistem perubatan
tradisional di dalam penjagaan kesihatan asas. Manakala di China sistem
tradisional telah digunakan sebagai rawatan asas dalam lebih 40% daripada
masalah kesihatan dan penjagaan kesihatan.

Negara China, India dan Indonesia telah lama mempelopori bidang perubatan
tradisional dan memajukan tumbuhan ubat-ubatan sebagai industri. Di China
misalnya, perubatan tradisional yang banyak menggunakan sumber
tumbuhan sudah mengakar lebih dari 5000 tahun. Di India dengan
Ayurvedanya, sejumlah 8000 herba sudah dikenal pasti berupaya memgubati
penyakit sejak berabad-abad lampau. Begitu juga di Malaysia, turut memiliki
tidak kurang dari 7000 spesies tumbuhan yang dikira dapat menghasilkan
unsur-unsur perubatan.

Hutan sememangnya merupakan gedung semula jadi yang memainkan perana


penting di dalam proses penemuan ubat-ubatan moden.Sebelum
perkembangan kimia sintesis di akhir abad yang lepas, penyediaan ubat-
ubatan moden dari tumbuhan hanyalah menerusi prosese pengekstrakan
bahan-bahan aktif dari tumbuhan tersebut. Setelah kimia sintesis
berkembang, bahan-bahan aktif dari tumbuhan telah disintesis secara separa
atau sepenuhnya dan analog baru yang lebih berkesan dan selamat juga telah
berjaya dikeluarkan. Tumbuhan ubat-ubatan sebagai sumber ubat-ubatan
moden menerima saingan yang kuat daripada ubat-ubatan sintetik dan pada
suatu masa seolah-olah kesemua ubat moden boleh didapati dari sumber
sintetik. Walau bagaimanapun tumbuhan ubatan tetap mempunyai peranan di
dalam pembangunan ubat-ubatan moden menerusi cara-cara berikut :

a. Sebagai sumber terus ubat-ubatan moden seperti murfina, strofantin,


atrofin, dan digitoksin.
b. Sebagai sumber bahan mula untuk sintesis ubat-ubatan yang lebih
berkesan dan lebih selamat.
c. Sebagai model bahan bioaktif untuk program sintesis ubat-ubatan
moden.

Oleh yang demikain timbuhan ubat-ubatan memainkan peranan yang penting


di dalam proses penemuan ubat-ubatan moden yang baru. Kebanyakan ubat-
ubatan moden yang telah disintesis berasal daripada bahan-bahan aktif
tumbuhan.

Kepentingan tumbuhan ubat-ubatan sebagai sumber ubat-ubatan moden


tidak boleh disangkal lagi. Pada masa ini, terdapat 121 jenis ubat moden yang
telah berjaya dihasilkan daripada 95 spesies tumbuhan dan sebahagian besar
daripadanya masih tidak dapat dihasilkan secara sintetik. Kini sebanyak 23
jenis ubatan moden daripada 45 ubat-ubatan moden yang dikaji daripada
Hutan Hujan Tropika telah diluluskan oleh Food and Drug Administration
(FDA) untuk penggunaan di Amerika Syarikat.

Di antara bahan terpenting yang digunakan oleh perubatan moden ialah


alkaloid - biokompaun yang dihasilkan oleh banyak kategori tumbuh-
tumbuhan. Biom hutan tropika contohnya mengandungi bilangan tumbuh-
tumbuhan beralkaloid terbanyak dan pada kepekatan tertinggi berbanding
man-mana biom lain. Alkaloid tumbuh-tumbuhan mempunyai aplikasi
perubatan, ini termasuklah dalam penghasilan kokain, kuinin, kafein, nikotin,
efedrin, dan reserpin. Alkaloid yang paling terkenal barangkali ialah vinkristin
dan vinblastin. Alkaloid ini adalah hasil derivatif sejenis bunga tropika , "rosy
periwinkle" atau dikenali sebagai kemunting Cina atau tapak dara yang
mempunyai 2 jenis iaitu satu berbunga merah jambu dan satu lagi berwarna
putih. Pohon ini berkerabat dengan pohon Madagaskar Periwnkle
(Catharantus roseus G Don). Ia memberi peluang sembuh 80% kepada kanak-
kanak yang menghidap sakit leukimia. Kedua-duanya juga digunakan secara
meluas di dalam rawatan kanser payudara, rahim, dan testikular. "Rosy
Periwinkle" diketahui dari bomoh-bumoh asli di Madagascar dan Jamaica.
Ubat yang dihasilkan dari tumbhan ini mencapai nilai US$90 bilion pada
tahun 1970 dan dianggarkan jumlah ini meningkat 15% setiap tahun.

Selain itu, kalanolida dan kastatolida dan terbitannya dari pokok bintagor
(Calophyllum lanigerum) yang mempunyai anti-AIDS dan "taxol" Daripada
Taxus brevifolia untuk mengubat barah. Sekurang-kurangnya 1400 spesies
tumbuhan tropika dipercayai berpotensi untuk rawatan kanser, 2000
berkesan sebagai kontraseptif dan lebih 600 spesies pula berpotensi untuk
pengguguran janin. Penemuan ubat-ubatan baru daripada tumbuhan telah
menimbulkan kesedaran baru kepada pelbagai pihak khasnya syarikat-
syarikat farmaseutikal daripada negara-negara barat untuk menjalankan
kajian penyaringan biologi terhadap tumbuhan ubat-ubatan secara besar-
besaran.

H) TEMPAT REKREASI DAN PELANCONGAN

Apabila taraf hidup penduduk di sesebuah negara meningkat maka sudah


pasti permintaan untuk rekreasi dan pelancongan juga turut meningkat.
Peranan hutan sebagai tempat rekreasi dan pelancongan perlulah diuruskan
dengan baik tetapi tidak semua kawasan hutan sesuai dijadikan kawasan
rekreasi. Banyak negara telah menetapkan kawasan yang tertentu untuk
tujuan rekreasi dan pelancongan. Biasanya, tempat yang menjadi tumpuan
pelancong ialah kawasan hutan yang mempunyai air terjun dan terletak di
kawasan pergunungan untuk berkelah, berkhemah, dan bersiar-siar.
Manakala kawasan hutan yang mempunyai jeram, sungai dan belukar sesuai
untuk memancing.

Malaysia misalnya mempunyai khazanah hutan yang tertua di dunia, maka


perkembangan ini tentunya menggalakkan industri pelancongan yang kini
menjadi sumber pendapatan negara. Para pelancong asing akan datang
melawat negara kita semata-mata untuk melihat keindahan hutan semula jadi
yang berpotensi sebagai pusat pelancongan yang boleh mendatangkan
keuntungan yang lumayan. Selain dapat menyelami Hutan Hujan Tropika,
para pelancong juga boleh menikmati keindahan hutan pantai dan hutan
gunung di Malaysia, seperti Pantai Desaru, Taman Negara Bako, Gunung
Kinabalu, dan Bukit Fraser. Manakala penduduk yang terdedah kepada
kesibukan dan kesesakan kota boleh menenangkan minda dan lari dari
bayangan kota dengan berkunjung ke tempat-tempat rekreasi yang menghijau
ini.

I) KAWASAN PENYELIDIKAN SAINTIFIK

Hutan juga boleh dijadikan kawasan penyelidikan semula jadi kerana terdapat
beribu-ribu spesies tumbuhan berubat dan haiwan di dalamnya. Memang
tidak dapat dinafikan bahawa hutan boleh dianggap sebagai sebuah makmal
penyelidikan ahli sains kerana keluasannya serta mengandugi pelbagai bahan
untuk penyelidikan. Jumlah sebenar hidupan yang mendiami sesuatu
kawasan hutan hanya boleh dianggarkan berdasarkan persampelan yang kecil
dengan tempoh kajian yang terhad .

Penemuan-penemuan baru tentang ubat-ubatan berasaskan sumber hutan


tentunya boleh meningkatkan imej sesebuah negara. Contohnya, penemuan
ubat anti-malaria di kawasan Hutan Hujan Tropika iaitu kuinin (Chincona
ledgeriana) yang terbukti mujarab. Hutan Belum yang baru ditemui di negeri
Perak merupakan salah satu
hutan yang telah dikenal pasti mempunyai banyak sumber ubat-ubatan
terutama dalam perubatan tradisional.

KESIMPULAN

Hutan sememangnya memberi kepentingan dan kegunaannya kepada manusia


dan juga makhluk-makhluk lain. Kepentingan-kepentingan inilah yang
menjadikan hidup manusia lebih teratur dan sempurna. Oleh itu, adalah
menjadi tanggunngjawab kita bersama untuk menjaga dan memelihara hutan
ini. Kita perlu merancang dengan teliti penggunaan hutan supaya kesan-kesan
buruk seperti kehabisan sumber hutan, kepupusan tumbuh-tumbuhan, dan
hidupan liar serta hakisan tanih tidak akan berlaku.

Tanpa hutan, sudah pasti kemakmuran negara akan terjejas. Kesedaran dan
keinsafan betapa pentingnya hutan sebagai warisan negara pasti akan
menyelamatkan hutan agar khazanah hutan dapat digunakan secara
mampan. Hal ini amat penting agar faedah dan keunikan hutan bukan sahaja
dapat dinikmati oleh generasi hari ini tetapi juga untuk generasi akan datang.
Hutan adalah warisan yang unggul yang tidak ternilai untuk generasi akan
datang.

FAKTA PENTING MENGENAI HUTAN :

 Hutan merupakan tempat tinggal kepada 300 juta orang penduduk di


seluruh dunia.
 Hampir 2 bilion manusia bergantung pada hutan untuk sumber kayu
api untuk tujuan memasak.
 Pada tahun 1989, hutan menghasilkan sejumlah 336 juta tan buah-
buahan.
 Lebih 25% bahan aktif dalam ubat-ubatan berasal dari hutan. Nilai
ekonomi bahan-bahan tersebut adalah US$43 bilion (RM109.2 bilion).
 Eksport kayu-kayan dari negara membangun pada tahun 1989
berjumlah US$13.4 bilion (RM34.0 bilion). Manakala nilai perniagaan
rotan di seluruh dunia adalah US$2 bilion (RM5.08 bilion) setahun.
 Terdapat hampir 10 juta spesies flora dan fauna di seluruh dunia. Lebih
50% daripadanya didapati di dalam hutan tropika. Di Malaysia sahaja
terdapat 14500 spesies tumbuhan berbunga dan 800 spesies tak
berbunga.

RUJUKAN

Murtedza Mohamed. 1991. Sumber Alam . Dewan Bahasa dan Pustaka

Dewan Kosmik April 1993


Dewan Kosmik Disember 1993

Dewan Kosmik November 1995

Dewan Kosmik Disember 1995

Dewan Kosmik April 1996

Dewan Kosmik Disember 1996

You might also like