You are on page 1of 5

Semasa Perang Dunia Kedua, negara-negara di Asia Tenggara terlibat secara langsung dalam

peperangan tersebut. Jepun berusaha untuk menguasai negara-negara di Asia Tenggara selain mengusir
penjajah Barat. Jepun yang menggunakan slogan ‘Asia Untuk Orang Asia’ telah menarik perhatian dan
sokongan masyakat Asia. Sepanjang pemerintahan Jepun dari tahun 1942-1945, Jepun telah
melaksanakan pelbagai dasar yang mendatangkan kesan yang besar terhadap kehidupan penduduk di Asia
Tenggara. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun kedatangan Jepun ke negara-negara Asia Tenggara
mendatangkan banyak kesan negatif ke atas sesebuah negara yg didudukinya, namun ia juga
mendatangkan kesan positif terhadap pergerakan kebangsaan. Pemberian kemerdekaan kepada negara-
negara Asia Tenggara merupakan salah satu sebab yang mencetuskan kesedaran kebangsaan dalam
kalangan nasionalis. Pemberian kemerdekaan ini bertujuan utk mengelak tentangan rakyat terhadap
pendudukan Jepun dan ini merupakan strategi bagi menawan hati rakyat. Thailand juga tidak terkecuali
menerima kesan daripada pendudukan Jepun di Asi Tenggara. Walaupun Jepun tidak menjajah Thailand,
namun dalam masa yang sama, Thailand turut merasa tempias dari pendudukan Jepun.
Hubungan antara Siam dan Jepun sudah wujud sejak abad ke-17 melalui pelarian Jepun yang
beragama Kristian. Hubungan ini menjadi lebih rancak semasa pemerintahan Rama V dan Maharaja
Meiji. Ketika ini para pemimpin dan bekas-bekas samurai Jepun telah dipengaruhi idea-idea menyokong
membebaskan Asia daripada belenggu penjajahan Barat. Namun begitu, hubungan awal ini mengalami
kemerosotan akibat sikap anti-Jepun yang telah ditunjukkan oleh orang Cina di Bangkok pada tahun
1915, 1920 dan 1928.1
Thailand telah mengamalkan dasar Pro-Jepun semasa berlakunya Perang Dunia Kedua. Dasar
pro-Jepun telah diamalkan oleh Perdana Menteri Thailand iaitu Luang Phibun Songkram. Tindakan
untuk menyebelahi pihak Jepun dilihat sebagai tindakan yang bijak diambil oleh Phibun. Beliau
percaya bahawa Jepun akan menang dalam perang tersebut. 2 Hal ini kerana, apabila mereka
menyokong Jepun, secara tidak langsung negara mereka tidak akan dijajah oleh Jepun. Tindakan
Thailand untuk menyokong Jepun dalam Perang Dunia Kedua telah memberi peluang kepada Jepun
untuk terus meluaskan kawasan penjajahannya ke atas Myanmar dan Tanah Melayu. Hal ini kerana,
pihak Jepun telah menjadikan Thailand sebagai jalan untuk mereka masuk ke Tanah Melayu dan
Myanmar.

1
Abu Talib Ahmad, 1991 Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Terengganu: Percetakan Yayasan Islam
Terengganu. hlm 163.
2
Abdullah Zakaria Ghazali, Azharudin Mohd. Dali, Azhar Hj. Mad Aros, Suffian Mansor, 2003 Sejarah Asia
Tenggara, Asia Selatan Dan Asia Timur 1800-1963. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. hlm 413.
1
Pihak kerajaan Thai juga bersetuju untuk menandatangani satu perikatan dengan Jepun pada
21 Disember 1941.3 Perjanjian ini melibatkan Perdana Menteri Phibun dan Duta Besar Jepun,
Tsubokami di Biara Arca Zamrud di Bangkok. Dalam perjanjian itu juga, Jepun membuat keputusan
untuk menyerahkan kembali Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Mong Pan dan Kengtung kepada
Siam pada 1943. Hal ini secara tidak langsung memberikan keuntungan kepada Thailand dan
sekaligus berjaya meluaskan kuasa dan wilayahnya kembali.
Selain daripada itu, perjanjian antara kedua-dua pihak ini sebenarnya telah mengubah dasar
Thailand secara tidak langsung. Sebelum ini Thailand mengamalkan dasar berkecuali sejak tahun
1890-an. Jadi, setelah membuat perjanjian dengan Jepun, secara tidak langsung dasar berkecuali yang
diamalkan Thailand telah berubah daripada terikat dengan mana-mana kuasa lain kepada pro-Jepun.
Walaupun begitu, dasar ini dilihat menguntungkan Thailand itu sendiri. Hal ini kerana, dengan
terikat kepada salah satu kuasa besar, mereka akan dapat mengukuhkan kedudukan mereka dari
pelbagai aspek seperti politik, ekonomi dan sosial. Selain daripada itu, dengan menandatangani
perjanjian ini, mereka secara tidak langsung dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa
penjajahan Jepun dan sekaligus dapat memastikan rakyat mereka tidak perlu menghadapi penderitaan
seperti yang dialami oleh penduduk di Tanah Melayu yang nyata terseksa dan menderita akibat
daripada penjajahan tentera Jepun.
Sesuai dengan hubungan antara Siam dengan Jepun yang rapat ini, bentuk kerajaan Thailand
adalah bersifat diktator dan Phibun bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan, kewujudan dan
kemakmuran negara Thailand.4 Jadi apabila mengamalakan pemerintahan secara diktator, maka tidak
mustahil untuknnya membuat segala bentuk perubahan dalam corak kehidupan masyarakat di
Thailand. Antara contoh perubahan yang dilakukan oleh Phibun termasuklah memakai pakaian Barat
lengkap dengan topi bagi lelaki dan sarung kaki bagi wanita ketika mereka keluar rumah dan
terutamanya ketika menjalankan urusan rasmi di pejabat kerajaan. Perubahan ini harus diikut
walaupun ada segelintir masyarakat yang tidak senang hati dan ingkar dengan perubahan ini. Namun
mereka harus mengikut perubahan ini untuk mengelakkan diri daripada dikenakan sebarang
hukuman.
Impak pendudukan Jepun di Thailand dari segi ekonomi pula secara umumnya tidak
memberi sebarang manfaat kepada Thailand. Sejak kehadiran Jepun, simpanan wang kerajaan Siam
di London dan New York telah dibekukan dan ini mengakibatkan kejatuhan nilai baht sebanyak 33%.
3
Ibid. hlm 413.
4
Abu Talib Ahmad, 1991 Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Terengganu: Percetakan Yayasan Islam
Terengganu. hlm 178.
2
Keadaan ini menyebabkan urusan import dan eksport negara Thailand terhenti, sementara padi hanya
dieksport ke negara Jepun, Tanah Melayu dan Singapura. 5 Saudagar Jepun telah mengambil alih
perusahaan yang dipegang oleh saudagar British sebelum ini. Usaha yang dilakukan Jepun sepanjang
memegang ekonomi Thailand pada masa ini ialah bertujuan untuk mendapatkan barangan lebihan
untuk dibawa ke Jepun. Hal ini sekaligus menyaksikan bahawa perjanjian antara pihak Thailand dan
Jepun telah memakan diri Thailand sendiri kerana ianya mendatangkan kerugian kepada Thailand itu
sendiri.
Selain daripada itu, inflasi berlaku dengan hebatnya dan ini dirumitkan lagi oleh percetakan
wang kertas yang berlebihan. Sejak tahun 1939 hingga 1940, harga satu kilogram gula telah
meningkat sebanyak 39 kali ganda, sementara harga kain pula, melambung sebanyak 423 kali ganda.
Malah kadar inflasi sejak tahun 1939 dikatakan meningkat sebanyak 409.09%. 6 Keadaan ini telah
menyebabkan kemelesetan ekonomi yang teruk dan berlakunya kegiatan pasar gelap yang
mengambil keuntungan yang berlebihan dan barang-barang keperluan disorokkan sehingga
membawa kepada rasuah yang berleluasa. Perkara ini telah menjadi satu amalan hidup rakyat
Thailand pada masa itu. Mereka sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan sesuatu
barang yang diperlukan. Penipuan pula menjadi satu amalan biasa dan menipu orang Jepun pula
disamakan dengan tanggungjawab mempertahankan ibu pertiwi.
Pendudukan Jepun di Thailand juga telah membawa kepada munculnya gerakan nasionalis
yang inginkan pembebasan negara daripada belenggu Jepun. Walaupun pada peringkat awal
penduduk Thailand bangga dengan kecemerlangan Jepun menewaskan British, namun selepas itu,
penduduk Thailand mula benci kepada tentera Jepunyang bersikap sombong dan ekoran wujudnya
beberapa masalah melibatkan ekonomi Thailand. Terdapat dua pergerakan anti-Jepun yang muncul
di Thailand iaitu sebelum dan selepas bulan Ogos 1944 7. Pada peringkat pertama, pergerakan ini
telah diwakili oleh tiga kumpulan yang berpusat di Washington, London dan Bangkok. MR Seni
Pramoj, bekas Duta Tahiland di Washington, merupakan pengasas kepada pergerakan ini di
Washington yang dinamakan Seri Thai (Free Thai) dan pertubuhan ini dianggotai oleh ramai pelajar
Thailand yang menuntut di beberapa buah universiti di Amerika. Pertubuhan ini bertujuan untuk
membebaskan Tahiland daripada pemerintahan Phibun dan mendapat kerjasama dari kerajaan
Amerika Syarikat untuk membawa masuk ejen-ejen mereka ke negara Thailand. 8 Seri Thai mendapat
bantuan kewangan dan juga latihan ketenteraan daripada kerajaan Amerika yang disalurkan melalui
5
Ibid. hlm 179.
6
Ibid
7
Ibid. hlm 181.
3
Perkhidmatan Sulit Seberang Laut (CIA). Seri Thai menentang Jepun dengan memberi bantuan
kepada tentera Amerika Syarikat dan menyertai Angkatan Tentera Amerika Syarikat di Timur Jauh
(USAFFEE).9
Di Bangkok, pergerakan anti-Jepun dipimpin oleh Pridi dan melibatkan juga rakan
kabinetnya seperti Direk Jayanam dan Thawee Bunyakit. 10 Antara tujuan pergerakan ini ialah
mengurangkan keberkesanan kerajaan Phibun, menjalankan kegiatan sabotaj terhadap tentera Jepun,
menyebarkan propaganda supaya rakyat tidak mempercayai kerajaan Phibun dan tentera Jepun, dan
mengadakan perhubungan dengan Pihak Berikat. Selepas tahun 1942 pergerakan anti-Jepun ini
mengalami perkembangan pesat dari segi organisasi dan selepas tahun 1943 pula, kerjasama di antara
ketiga-tiga kumpulan telah dimulakan. Pergerakan ini bertambah meluas sehingga meliputi setiap
jabatan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau daerah dengan anggotanya dianggarkan di antara
50 ribu hingga 90 ribu orang pada bulan Jun 1945. Mereka telah diberi latihan ketenteraan dan
bersedia menunggu arahan daripada Mountbatten untuk memulakan perang gerila. Rancangan ini
tidak berlaku dan sebaliknya mereka hanya mengambil bahagian dalam perbarisan kemenangan yang
diadakan di Bangkok pada bula Ogos 1945.
Satu lagi gerakan penentangan yang agak berlainan telah wujud di Pattani dan gerakan ini
dipimpin oleh Tengku Mahyuddin dan golongan elit tempatan. 11 Pergerakan ini mempunyai
hubungan yang rapat dengan tentera British di India dan ahli-ahlinya telah diberi latihan secara
ketenteraan yang dijalankan di New Delhi dan di Arab Saudi bagi meneruskan perjuangan
kemerdekaan Pattani selepas tamat perang. Tengku Mahyuddin juga telah dikaitkan dengan usaha-
usaha untuk merancang masa depan politik Tanah Melayu khususnya kemasukan Pattani ke dalam
Malayan Union. Cadangan ini mendapat sambutan dalam kalangan pemimpin-pemimpin Pattani
yang telah menolak dasar asimilasi Bangkok yang diperkenalkan sejak tahun 1939.
Akhirnya, Perdana Menteri Phibun telah mendapat tekanan dan terpaksa melepaskan
jawatannya pada Julai 1944. Jawatan beliau telah diambil oleh Khuang Aphaiwong. Walaupun
Thailand bertukar perdana menteri, Pridi memainkan watak yang penting dalam kerajaan.
Pelaksanaan sistem demokrasi berparlimen berjalan dengan giatnya walaupun parti-parti politik yang

8
Abdullah Zakaria Ghazali, Azharudin Mohd. Dali, Azhar Hj. Mad Aros, Suffian Mansor, 2003 Sejarah Asia
Tenggara, Asia Selatan Dan Asia Timur 1800-1963. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. hlm 413.
9
Ibid
10
Abu Talib Ahmad, 1991 Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Terengganu: Percetakan Yayasan Islam
Terengganu. hlm 181.
11
Ibid. hlm 182.
4
wujud pada ketika itu hanya peka kepada kepentingan golongan menengah yang terdapat di bandar.
Dalam bulan November 1947, kabinet awam yang diketuai oleh Pridi telah digulingkan dan perdana
menteri dalam tempoh perang itu ialah Field Marshal Phibum Songkhram merampas kuasa. 12
Kesimpulannya, pendudukan jepun ke atas Thailand banyak meninggalkan kesan ke atas
negara itu. Dengan berlakunya pendudukan Jepun di Thailand, perubahan demi perubahan telah
berlaku dalam negara Thailand sendiri sama ada perubahan itu membawa kesan negatif atau positif.
Walaupun banyak kesan negatif yang dapat dilihat, namun ada juga kesan positif yang diperolehi
daripada pendudukan Jepun di Thailand ini. Kesan postitif yang jelas dapat dilihat ialah dengan
wujudnya gerakan-gerakan nasionalis yang mana mereka berjuang untuk memastikan Jepun tidak
lagi menjadikan Thailand sebagai batu loncatan untuk kepentingan Jepun itu sendiri. Kemunculan
gerakan ini banyak memberi sumbangan kepada kemerdekaan Thailand. Selain itu, kesan
pendudukan Jepun di Thailand juga dapat menyaksikan bahawa negara itu bebas dari penjajahan
tentera Jepun. Hal ini menunjukkan kebijaksanaan pemerintah Thailand pada masa itu. Walaupun ia
di katakan banyak merugikan pihak Thailand, namun sekurangnya pemerintah pada waktu itu dapat
mengelakkan negaranya daripada terlibat dengan perang yang mana ia boleh membawa kepada kesan
yang lebih teruk ke atas Thailand.

12
John Bastin dan Harry J. Benda, 1997: Sejarah Asia Tenggara Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan
Pustaka Kementeria Pelajaran Malaysia. hlm 212.
5

You might also like