You are on page 1of 10

Contoh Teks Pengucapan Awam

” Terima kasih tuan/pengerusi majlis, Yang Mulia — Pengurus Program Kursus Induksi
Bil 5/2008, Yang Berbahagia —- Penghulu Program, barisan ahli jawatankuasa dan
rakan-rakan sekalian.
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Kini tiba giliran saya Zool— untuk
membentangkan pengucapan awam yang bertajuk ‘ Media Cetak Pemangkin Masalah
Sosial’.
Apa itu media cetak? Saya yakin anda semua mengetahui apa itu media cetak. Dan
sebagai seorang penjawat awam sudah semestinya anda sering membaca suratkhabar,
majalah-majalah, buku-buku, risalah dan sebagainya.
Disebabkan tempoh 5 minit sahaja saya akan menyampaikan isi seringkas yang boleh.
Dalam tajuk ini saya akan memfokus 2 isi penting bagi menyokong pernyataan di atas.
1. Media cetak banyak memaparkan bahan-bahan yang boleh dipertikaikan
kesahihannya. Cerita-cerita mengenai gosip artis, fitnah memfitnah menjadi agenda
utama dalam penghasilan artikel-artikel di paparan media. Kisah-kisah yang dijaja ini
memberi impak negatif terhadap masalah sosial di negara kita. Gejala fitnah memfitnah
menjadi ‘trend’ sehingga ia mampu meruntuhkan perpaduan antara satu sama lain.
Perselisihan yang kecil mampu menjadi lebih besar dan akan menimbulkan berbagai
konflik sesama kita.
2. Kita pergi ke isi yang kedua, media cetak menjadi alat mempromosi masalah sosial.
Kenapa saya berkata begitu? Cuba anda pergi ke kedai-kedai jual suratkhabar dan
majalah. Perhatikan betapa banyaknya majalah yang mengeksploitasi anatomu manusia
samada perempuan mahupun lelaki untuk keuntungan. Tidak terfikirkah mereka bahawa
cara itu sedikit sebanyak akan meruntuhkan akhlak masyarakat kita.
Kesimpulannya, media cetak menjadi pemangkin meningkatnya masalah sosial di negara
kita akibat sifat yang rakus dengan keuntungan semata-mata. Jika tidak dibendung ianya
mampu meruntuhkan negara sekaligus merosakkan perancangan ke arah negara maju.
Akhir kata :-
‘ Ada mata pandang,
Ada telinga dengar
Ada mulut bercakap
Ada otak… Lu pklah sendiri..
Assalamualaikum”
Pergh.. Amacam pengucapan ni?? Ok tak.. Sebenarnya pada hari berlangsungnya
pengucapan awam banyak kesilapan yang dilakukan ,.. Perkara yang dirancang tidak
menjadi.. Insyaallah saya akan berkongsi kesilapan tersebut agar menjadi panduan anda
semua..
Sambil tu anda juga boleh memberi pendapat tentang tajuk tersebut samada menyokong
atau tidak sambil memberikan pernyataan bagi menyokong pendapat anda…
PANTUN SEBAGAI PELENGKAP
WACANA PENGUCAPAN AWAM
Mohamad bin Musip
Munsyi Dewan dan Peminat Bahasa, Sastera, Budaya
mhm9070@yahoo.com

Kalau mencari tempat mandi,


Pertama teluk kedua pantai;
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.

Awal Bicara

Alangkah indah dan murninya pantun di atas apabila dilafazkan dalam majlis yang dihadiri
oleh orang kenamaan atau pemimpin. Pantun tersebut bermaksud untuk memuji dan
menghargai pemimpin yang sudi hadir dalam majlis. Pujian yang demikian, pada hemat
saya, suatu pujian yang jujur. Bahkan dari sudut komunikasi, pantun tersebut merupakan
suatu penghargaan, iaitu menghargai sifat “elok” (karisma) dan “pandai” (bijaksana) yang
sememangnya menjadi ciri khusus bagi pemimpin, dalam apa-apa jua peringkat
kepemimpinan. Demikianlah terpancarnya kebijaksanaan fikiran dan perasaan pencipta dan
pelafaz pantun dalam situasi yang mengizinkan pantun diketengahkan sebagai suatu wacana
pengucapan kepada khalayak. 

Batas dan Kewajaran Pembicaraan

Tentang hal tersebut, pandangan Prof. Muhammad Haji Salleh dalam pengenalan buku
Kurik Kundi Merah Saga (2005a) adalah cukup relevan dengan perbincangan ini. Menurut
beliau, pantun hadir dalam berbagai-bagai ruang hidup masyarakat di Malaysia, yang
menunjukkan bahawa bukan sahaja pantun itu penting, tetapi juga hakikat betapa
masyarakat Malaysia itu ialah manusia seniman, yang peka kepada seni sastera. Bertolak
daripada kenyataan ini, kertas kerja ini cuba membincangkan perihal pantun dalam wacana
pengucapan awam dengan mengambil kira penggunaan pantun-pantun baharu ciptaan
sendiri yang dianggap segar dan bukan klise. Perbincangan ini dirasakan amat wajar
memandangkan pantun sebagai suatu wacana jarang-jarang diperkatakan dalam mana-
mana buku pengucapan awam yang muktabar.

Para sarjana atau pengkaji telah memperkatakan perihal pantun dalam pelbagai sudut
pandangan. Bagi kertas kerja ini, yang saya pilih hanyalah pantun ciptaan saya sendiri di
bahagian pendahuluan dan penutup bagi dua bentuk teks pengucapan awam, iaitu ucapan
dan pengacaraan majlis. Pada hakikatnya, struktur sesuatu bentuk teks pengucapan awam
terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu pendahuluan, badan atau isi, dan penutup.
Pembicaraan saya ini demikian bentuknya atas kesedaran bahawa sebagai penulis serta
penggiat bahasa, sastera, dan budaya, saya bertanggungjawab menambah himpunan puisi
(khususnya pantun) untuk memperkaya khazanah kepustakaan berbahasa Melayu.
Maksudnya, saya memilih prinsip untuk tidak bergantung pada pantun-pantun klasik yang
sedia ada, yang memungkinkan terjadinya klise atau streotaip dalam pengucapan. Atas
kewajaran ini, saya terdorong untuk mencipta pantun (dan puisi-puisi lainnya) supaya dapat
dijadikan pelengkap kepada wacana pengucapan awam, terutamanya teks ucapan dan teks
pengacaraan majlis yang dirujuk kepada saya sebagai penanggungjawabnya. Mudah-
mudahan hasil ciptaan sendiri ini dapat dijadikan subjek kajian oleh peminat bahasa dan
sastera Melayu, barangkali setelah ketiadaan saya kelak.

Pengucapan Awam sebagai Suatu Cabang Seni

Akhir-akhir ini, dalam kesempatan saya terlibat dengan aktiviti latihan pidato, saya
berpeluang beberapa kali bersua muka dan mendengar kepetahan bicara jurulatih
profesional pidato, Dato’ Dr. Syed Ahmad Shamsuddin Al-Saggof. Yang terkini, pada 9 April
2010, ketika menyampaikan ulasan penghakiman pertandingan akhir Pidato Integriti di
Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur, beliau menegaskan bahawa pengucapan awam
ialah seni dalam meluahkan kata-kata dengan penuh kebijaksanaan untuk mempengaruhi
khalayak. Dalam kertas ceramah kejurulatihan pidato kendaliannya yang saya hadiri, beliau
menulis bahawa pidato sebenarnya seni meluahkan kebijaksanaan (ilmu dan seni berfikir)
yang menggunakan seni bahasa indah dan menarik untuk menambat, memukau, menarik,
dan memepengaruhi khalayak (Syed Ahmad Syed Shamsuddin Al-Saggof, 2009). Dalam
pengertian umum, pengucapan awam ialah suatu interaksi atau komunikasi penghantaran
mesej antara seorang pengucap dengan sekumpulan pendengar, sama ada melalui lisan,
bukan lisan, atau bahasa isyarat (Maimunah Osman, 2000; Zawiyah Mohammad Yusof,
2009). 

Secara verbal-linguistiknya, saya berpendapat bahawa konsep “Seni Pengucapan Awam”


boleh ditanggapi sebagai bentuk pengucapan yang mencakupi aspek pilihan kata dan frasa,
susunan klausa dan ayat, serta binaan perenggan dan wacana, yang disampaikan kepada
khalayak dengan menitikberatkan fungsi estetik bahasa. 

Yang dimaksudkan dengan “estetik” ialah nilai keindahan menerusi upaya memanipulasikan
bahasa untuk menampilkan kebijaksanaan pelafaz ucapan. Kamus dewanejapro (2007)
menakrifkan “estetik” sebagai keindahan atau penghargaan terhadap keindahan. Lebih
khusus, “estetik” ialah keindahan dalam puisi yang berhubung dengan penyataan perasaan,
pemikiran, dan gambaran melalui bahasa (Kamus Puisi, 2005b). Dalam konteks bicara ini,
nilai keindahan pantunlah yang ingin saya utarakan. 

Berkaitan keindahan dalam pantun, Rahman Shaari (2003) berpendapat bahawa pantun
yang mencapai tingkat puisi ialah pantun yang mempunyai citra yang kedengaran harmonis,
misalnya pembayangnya mengemukakan kenyataan yang logik, manakala maksudnya jelas
dapat difahami pendengar atau pembaca. 

Pantun sebagai Suatu Wacana Pengucapan Awam

Ahmad Badrul Sani Baharuddin menerusi buku Bijak Berbicara Mencuit Rasa (2006)
mengakui bahawa pantun sesuai digunakan dalam perencanaan pengenalan pengucapan
awam yang menarik. Menurutnya, pantun melambangkan suatu ciri budaya bahasa Melayu
yang berasaskan sopan santun dan tutur kata yang halus. Penggunaan pantun, menurutnya
lagi, adalah untuk membina kebersamaan dalam kalangan pengucap dengan khalayak
menerusi luahan kata-kata yang bersahaja sebelum sesuatu mesej disampaikan. Tujuannya
adalah untuk membuatkan khalayak berasa selesa dengan pengucap. 

Pandangan Ahmad Badrul dapat saya hubungkaitkan dengan kajian Harun Mat Piah, seperti
yang dipetik oleh Prof. Muhammad Haji Salleh (1991, dalam Kurik Kundi Merah Saga,
2005a), yang menyatakan bahawa 75% pantun Melayu ialah pantun cinta. Secara tersiratnya
dapat ditafsirkan bahawa kenyataan itu menunjukkan betapa pantun dapat mendekatkan
pengucap dengan khalayak, sebagaimana cinta sebagai suatu naluri insani dapat
mendekatkan sesama manusia. Kenyataan ini disokong oleh pengalaman peribadi saya
ketika hadir dalam pelbagai majlis rasmi. Saya dapat menyaksikan khalayak memberikan
reaksi spontan yang amat positif dengan bertepuk tangan sebaik-baik sahaja pengucap
selesai melafazkan pantun. Walau bagaimanapun, kesan positif tersebut bergantung juga
pada cara pantun dilafazkan. Oleh hal yang demikian, amat wajarlah jika pantun dikatakan
pelengkap kepada wacana pengucapan awam, sama ada dalam genre pidato, syarahan,
ucapan, debat, forum, pengacaraan majlis, atau pembentangan makalah. 

Pantun dalam Bahagian Pendahuluan Teks Ucapan 

Menurut Ahmad Badrul Sani Baharuddin (2006), sesuatu pengenalan harus dapat menarik
minat khalayak untuk terus mendengar bicara, antaranya menerusi pantun, petikan, kata-
kata hikmah, jenaka, dan soalan. Saya perturunkan serangkap pantun dalam beberapa teks
ucapan dan teks pengacaraan daripada peristiwa sebenar yang berlaku pada tarikh tertentu
di institut ini. 

1. Majlis meraikan guru-guru dari Thailand pada 27 Ogos 2007:

Asam kundang si asam pauh,


Dua pohon ditanam berselang;
Kalian bertandang darilah jauh,
Moga gembira bukan kepalang.

2. Majlis perasmian Seminar Penyelidikan Zon Selatan, 10 - 12 September 2007:

Cenderawasih terbang berkawan,


Hinggap lama di ranting berduri;
Terima kasih kepadamu tuan,
Sudi menerima undangan kami. 

3. Majlis perasmian Seminar Penyelidikan Zon Selatan, 10 -12 September 2007:

Pohon jelatang pohon berangan,


Pohon tinggi di tengah belantara;
Selamat datang tetamu undangan,
Kami di sini menyambut gembira.

4. Majlis perasmian Kursus Dalam Perkhidmatan 2 Minggu Media dalam Pendidikan


Islam bagi Guru-guru Tahiland:

Berkain batik berkain pelikat,


Baba Nyonya menyambut tamu; 
Kursus pendek menjadi singkat,
Tidak demikiannya dengan ilmu.

5. Majlis meraikan rombongan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari Universiti 


Antarabangsa Beijing, 26 Ogos 2007:

Pohon pauh di tepi permatang,


Pohon nangka di hujung batas;
Dari jauh tuan puan datang,
Orang Melaka menyambut ikhlas.

Pantun dalam Bahagian Pendahuluan Teks Pengacaraan

Seperti dalam teks ucapan, pantun dalam teks pengacaraan juga berfungsi untuk
menimbulkan tarikan kepada khalayak. Bahkan, pada hemat saya, keperluan menyelitkan
puisi tradisional khususnya pantun dalam teks pengacaraan lebih dirasakan perlu. Lima
contoh teks daripada majlis yang berlainan dipaparkan di sini.

6. Majlis penutupan rasmi Kem KIA 2M, 11 September 2008:

Itik angsa memakan nangka,


Makan sekali di tempat redup;
Hari Selasa majlis dibuka,
Hari ini majlis ditutup.

7-8. Majlis perasmian Kursus Kepimpinan Politik Bahagian Ledang, 13 Mei 2006:

Pokok kacang tidak berduri,


Berdaun lekuk si pokok peria;
Selamat datang pemimpin negeri,
Hadirnya Dato’ menambah ceria.

Ladang tebu di pinggir pekan,


Kebun durian di pinggir bendang; 
Sekalian tetamu sama meraikan,
Program latihan Bahagian Ledang.

9-10. Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penangguhan Sambutan Bulan Bahasa dan 
Sastera Negara peringkat IPPM, 29 September 2006: 

Pohon markisa di tanah tinggi,


Ditanam juga dengan akasia; 
Bulan Bahasa sempurna dirai,
Citra bangsa warga Malaysia.

Pohon rambutan ditanam sendiri,


Ditanam orang sentiasa dijaga;
Perhimpunan bulanan turut dirai,
Menyampai ucapan untuk warga.

11. Wacana Profesional Keguruan Anjuran Bersama Universiti Industri Selangor 


(UNISEL) dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), 25 November 2006:

Rumah gadang cantik jendela,


Pintu dikunci dengan engsel;
Selamat datang kepada semua,
Ke majlis ilmu anjuran UNISEL.

12. Majlis Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman Bil. 2/ 2008, 1 April 2008:

Burung tukang terbang ke hutan,


Burung serindit hinggap di titi,
Selamat datang hadirin sekalian,
Untuk mengaudit institut kami.

Pantun dalam Bahagian Penutup Teks Ucapan

Bahagian penutup sesuatu ucapan juga perlu dititikberatkan kerana bahagian ini sama
pentingnya dengan bahagian pembuka ucapan, iaitu harus meninggalkan kepuasan kepada
khalayak. Untuk itu, pengucap disarankan mengakhiri ucapan dengan kata-kata hikmah,
peribahasa, atau pantun (Zawiyah Mohammad Yusof, 2009). Pantun-pantun 13 – 19 ialah
contoh pantun yang berkaitan. 

13-14. Majlis sambutan Hari Guru peringkat IPGKPM, 18 Mei 2009:

Pohon ru di hujung pekan,


Tumbuh dekat pinggir paya; 
Hari Guru bersama raikan,
Dengan tekad penuh ceria.

Pokok tebu di hujung laman,


Laman berbunga nampak selesa; 
Buat tetamu dan hadirin budiman,
Mari bersama membina bangsa.

15. Majlis sambutan Malam Ambang Merdeka dan Pelancaran Bulan Bahasa dan 
Sastera Negara peringkat IPPM, 30 Ogos 2007:

Pokok nangka sudah terbilang,


Kuning warna isinya lembut; 
Ambang merdeka kini menjelang,
Marilah kita bersama menyambut.

16-17. Majlis penutupan rasmi Kursus Pemimpin Muda Tahap Dua Kadet Pandu Puteri
KDPM Zon Selatan 2004:

Pulau Pangkor pantainya indah,


Tempat mandi segenap lapisan;
Aktiviti gerko membina sahsiah,
Sahsiah terpuji membentuk insan.

Tempat mandi segenap lapisan,


Pengunjung ceria aneka bangsa;
Sahsiah terpuji membentuk insan,
Insan mulia pendidik perkasa. 

18. Majlis meraikan rombongan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari Universiti 
Antarabangsa Beijing, 26 Ogos 2007:

Pohon jering tanam di tanjung,


Sama tinggi si pohon kelapa;
Dari Beijing datang berkunjung,
Yang dicari sudahkah berjumpa?

19. Majlis perasmian pertandingan Debat Piala Munsyi Abdullah, 6 September 2007:

Beli pauh di pekan Kelian,


Mencari kuini sukar berjumpa;
Begitu jauh pulangnya kalian,
Kami di sini janganlah dilupa .

Pantun dalam Bahagian Penutup Teks Pengacaraan


20-21. Majlis perasmian pertandingan KAGUM Bahas Bahasa Melayu Zon Selatan, 24 – 
27 Julai 2006: 
Bunga kantan batik hiasan,
Bunga seroja penghias sarung;
Dua pasukan menguji kepetahan,
Di dalam dewan majlis bertarung.

Pohon langsat berbuah lebat ,


Ambil galah jolokkan hamba;
Begitu hangat orang berdebat,
Menang kalah adat berlumba.

22-23. Majlis Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman Bil. 2/ 2008, 1 April 2008:

Pokok pauh berbelas batang,


Di pinggir hutan di Tanjung Jara;
Dari jauh tuan/puan datang,
Kami raikan dengan gembira.

Pokok di taman tinggal ranting, 


Rantingnya lalu jatuh ke titi;
Audit Dalaman urusan penting,
Untuk memacu jaminan kualiti.

24. Majlis Pembukaan Rasmi Kursus Kepimpinan, 13 Mei 2006:

Pekan Kota di hujung negeri,


Pekan sejajar tempat bertemu;
Majlis kita cukup berseri,
Menteri Besar menjadi tetamu.

25. Majlis Mesyuarat Penutupan Audit Dalaman Bil. 2/2007, 4 September 2007:

Indah sekali pokok bonsai,


Rimbun sekata menambah seri;
Audit kualiti sudah selesai,
Tindakan kita memperbaiki diri.

26. Wacana Profesional Keguruan Anjuran Bersama Universiti Industri Selangor 


(UNISEL) dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), 25 November 2006:

Tanah Rata tempatnya indah,


Hijaunya pohon saujana mata;
Majlis kita berakhirlah sudah,
Kemaafan dimohon tersilap kata.

Rumusan dan Analisis Pantun Pengucapan Awam

Menerusi kertas kerja ini, telah saya paparkan 26 rangkap pantun empat kerat yang pernah
dilafazkan dalam dua bentuk pengucapan awam, iaitu ucapan dan pengacaraan majlis.
Pemikiran yang dapat saya utarakan daripada pembicaraan singkat ini, antaranya ialah:
(a) pantun yang dicipta mesti mengekalkan ciri penciptaan pantun yang lazim, iaitu dari segi
dua baris pembayang berlatarkan alam dan dua baris maksud pantun, pola rima tengah dan
rima hujungnya “a-b-a-b”, bilangan perkataannya empat atau lima, dan bilangan suku
katanya lapan hingga 12;

(b) pantun yang disisipkan dalam binaan teks pengucapan awam perlu mengambil kira
wujudnya elemen pertautan (kohesif) dan pertalian (koheren);

(c) pantun perlu diucapkan mengikut nada yang sesuai dengan situasi majlis untuk
memberikan kesan emotif kepada khalayak; dan

(d) teks ucapan dan teks pengacaraan (serta teks pengucapan awam lainnya) perlu
didokumentasikan secara rapi untuk tujuan rujukan dan penerusan atau penambahbaikan
tugas yang berkaitan. 

Hasil analisis (Jadual 1 dipadamkan atas sebab teknikal) menunjukkan bahawa secara
metakognitifnya, pantun-pantun telah dicipta dengan mematuhi struktur atau ciri-ciri
visualnya. Pada umumnya, pembayang yang dipilih merupakan objek alam semesta. Maksud
yang ingin disampaikan bergantung pada tujuan pengucapan, dengan berlatarkan situasi
setempat. Lazimnya, pantun-pantun yang disediakan adalah berkaitan dengan aktiviti yang
berlangsung di institut, seperti sambutan Hari Guru dan Mesyuarat Pembukaan dan
Penutupan Audit Dalaman. Barangkali yang agak mencabar minda pencipta pantun
mutakhir ini ialah kurangnya penekanan pada aspek perhubungan antara pembayang
dengan maksud. Hal ini, menurut Dr. Rosli Saludin (2006) masih merupakan polemik yang
timbul dalam kalangan pengkaji pantun. Bagi saya, pembayang dengan pola rima a-b-a-b
lebih berfungsi untuk menyerlahkan unsur pertentangan bunyi, yang apabila dilafazkan
dapat menimbulkan daya tarikan kepada pendengar. Demikian juga pada perimbangan
bilangan perkataan dan suku kata, apabila dilafazkan, menepati temponya. Hal ini
menjadikan bentuk dan ciri pantun kekal berzaman, seperti yang dinyatakan oleh Harun Mat
Piah (2006), bahawa pantun ialah citra bangsa yang relevan sepanjang zaman. Menurutnya
lagi, pantun Melayu dengan tema dan mesej yang cukup luas adalah sebahagian daripada
wadah yang menyerlahkan jati diri bangsa Melayu. Jelasnya, pantun-pantun (dan puisi-puisi
lain seperti gurindam, seloka, syair, dan perbilangan) yang ditampilkan dalam teks
pengucapan awam, sebenarnya berhasrat murni untuk mendekatkan khalayak kepada
budaya dan pandangan semesta (tasawur) bangsa Melayu.

Akhir Bicara

Kertas kerja ini sekadar membicarakan pantun secara kontekstual dalam ranah pengucapan
awam, khususnya ucapan dan pengacaraan. Berbatas pada dua cabang pengucapan awam
itu, saya telah memperlihatkan kesesuaian pantun untuk menarik minat khalayak kepada
pengucapan yang disampaikan. Hasil analisis menyarankan secara bijaksana kepada kita
supaya berfikir bahawa pencipta pantun perlu mendalami pengetahuan tentang struktur dan
mesej pantun agar pantun yang disisipkan dalam teks pengucapan awam tampak terserlah
dan memikat khalayak. Dengan yang demikian, wacana pengucapan awam akan dapat
bertahan dalam ingatan jangka panjang pendengar. 

Jika pantun pada awal bicara merujuk kepada kepimpinan, pantun penutup ini lebih jelas
menyampaikan mesej tentang akhir kepada kehidupan kita yang fana ini.

Halia ini tanam-tanaman,


Ke barat juga akan condongnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sudahnya.

Akhirul kalam, dititipkan pantun lapan kerat ini untuk renungan khalayak.

Kedai di pekan menjual gelama,


Menjual juga pelbagai ubat,
Ubat mujarab makan berulang,
Ketika makan berhati-hati; 
Saya bukan orang ternama,
Bukan juga tergolong hebat,
Salah silap bukan dirancang,
Maaf diberikan ilmu diberkati.

Bibliografi

Ahmad Badrul Sani Baharudin (2006). Bijak Berbicara Mencuit Rasa: Panduan Seni 
Berbicara Umum. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings.

Dewan Bahasa dan Pustaka (2005a). Kurik Kundi Merah Saga. Kuala Lumpur: 
Dewan Bahasa dan Pustaka.

________________________ (2005b). Kamus Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa 


dan Pustaka.

Harun Mat Piah (2006). “Pantun: Citra Bangsa Relevan Sepanjang Zaman”, kertas 
kerja Seminar Sejuta Pantun, 26 Januari 2006, anjuran bersama Institut Kajian 
Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan Dewan Bahasa dan Pustaka 
Wilayah Selatan (DBPWS).

Kamus dewanejapro edisi 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan 
The Name Technology Sdn. Bhd.

Maimunah Osman (2000). Pengucapan Awam yang Berkesan. Kuala Lumpur: 


Institut Tadbiran Awam Negara.

Rahman Shaari, Prof. (2003). Kertas Bengkel Menulis Puisi untuk Kursus Penulisan Puisi 
Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) dan pelajar-palajar MPPM, 15 Oktober 
2003.

Rosli Saludin, Datuk Dr. (2006). “Bahasa dalam Pantun dan Keistimewaannya”, kertas kerja 
Seminar Sejuta Pantun, 26 Januari 2006, anjuran bersama Institut Kajian 
Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan Dewan Bahasa dan Pustaka 
Wilayah Selatan (DBPWS).

Syed Ahmad Syed Shamsuddin Al-Saggof, Dato’ Dr. (2009). Kertas ceramah dalam Bengkel 
Kejurulatihan Pidato anjuran Jabatan Bahasa Melayu dengan kerjasama Kelab Seni 
Pengucapan Awam IPG Kampus Bahasa Melayu, 20 Ogos 2009.

Zawiyah Mohammad Yusof (2009). Kemahiran Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa 
dan Pustaka.

*Teks Ucapan dan Teks Pengacaraan: Folder Koleksi Peribadi Mohamad Musip.
* Dibentangkan dalam Seminar Puisi Melayu Tradisional anjuran IPG Kampus Perempuan 
Melayu dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, pada 13 – 14 
April 2010 di IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

http://fahmiesabri.blogspot.com/2010/07/pantun-sebagai-pelengkap-wacana.html

You might also like