You are on page 1of 5

Pidato alam sekitar

Disediakan oleh: Norzulaika Bt Sabtu

“Ayah….Ayah…. Di mana rumah kita? Ayah…. Ayah…. Di mana jiran kita? Ayah….
Ayah…. Di mana adik-adik saya? Ayah… Ayah… Di mana ayah?” Mungkin, inilah
luahan hati seekor anak ular tedung selar yang telah kehilangan habitat akibat
pembangunan.

Pembangunan adalah sebahagian daripada perkara yang berlaku di sekeliling kita pada
setiap hari. Atas nama pembangunan, saban waktu kita melihat keadaan semula jadi di
muka bumi ini terpaksa dikorbankan sedikit demi sedikit, demi apa? Demi mengejar
seribu impian yang terkandung dalam istilah pembangunan.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang arif lagi bijaksana barisan hakim yang
berpaksikan keadilan, semestinya, saudara penjaga masa Yang setia dengan
randiknya, seterusnya rakan seperjuangan yang saya segani serta hormati sekalian.
Assalamualaikum dan salam pertemuan. Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk
membuang masa hadirin, bukan pula membuat tarian salsa dan bukan juga
mengalunkan irama pop yeh yeh akan tetapi menyampaikan pidato saya iaitu
penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama. Di sini saya akan mengungkap
beberapa persoalan yang bersangkutpaut dengan pelestarian alam sekitar tanggung
jawab bersama.

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara, jika kita lihat tajuk pidato ini,
ianya merupakan satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan .
Tetapi jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita dapati satu
perkara yang perlu diambil kira adalah pada perkataan 'tanggungjawab bersama'. Saya
akan pecahkan tajuk saya ini kepada tiga kompenan utama. Yang pertama akan saya
kupaskan punca-punca kemusnahan alam sekitar, keduanya kesan-kesan kemusnahan
alam sekitar dan seterusnya mencari jalan alternatif dalam melestarikan alam sekitar.
Semuanya tidak lain dan tidak bukan bertunjangkan tema penjagaan alam sekitar
tanggungjawab bersama.

Sidang pendengar yang penuh santun,


Kompenan saya yang pertama adalah punca-punca kemusnahan alam sekitar.
Kemusnahan terhadap alam sekitar terjadi angkara perbuatan manusia yang tidak
mematuhi peraturan atau rang undang-undang mahupun kaedah yang selamat dalam
aktiviti kehidupan seharian. Tindakan tersebut itu dikaitkan dengan sikap ingin mengaut
keuntungan maksimum dan mengurangkan bebanan kos yang ditanggung. Peraturan
soal kebersihan dan menjaga alam sekitar ada dibincangkan dalam kitab-kitab feqah
yang menandakan amalan ini penting dalam ajaran islam. Pemimpin tersohor India,
Mahatma Gandhi pernah berpesan bahawa dunia hari ini hanya mencukupi untuk orang
biasa tetapi tidak kepada orang yang tamak dan haloba. Kata-kata yang terlalu besar
ertinya ini membuatkan saya cukup terpanggil mengajak saudara dan saudari sama-
sama memikirkan alam sekitar kita.

Terdapat segelintir individu bersikap tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan


yang merobek keindahan alam sekitar seperti membuang sampah, sisa toksik dan agen
pencemar alam secara tidak mematuhi piawaian yang ditetap pihak kerajaan sekaligus
menyebabkan keindahan alam sekitar tercabul. Tindakan buruk itu bukan sahaja
menyalahi undang-undang negara, bahkan satu perbuatan berdosa di sisi agama.
Ajaran Islam menegah umatnya melakukan perbuatan yang diketahui mendatangkan
kesan buruk, tidak kiralah kecil atau besar sesuatu kesalahan itu. Individu yang tidak
bertanggungjawab melakukan sesuatu berdasarkan mana yang lebih mudah dan
menguntungkan mereka. Soal keburukan dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh
pihak lain atau masyarakat tidak pula dikisahkan. Hal ini umpama jari-jari liar yang
rakus menerkam mangsanya. Batu dilontar ke depan, tangan disorok ke belakang.
Yang konon-kononnya terlalu sarat, terlalu berat untuk difikirkan bersama.
Menyesakkan nafas orang yang melihat. Manusia…oh, manusia….oh, manusia!

Sidang pendengar yang setia,


Kita terus meneroka dengan komponen kedua saya iaitu kesan-kesan kemusnahan
alam sekitar. Dipetik dari Malaysia Today, para akademik mendapati bahawa dua
pertiga daripada ekosistem yang seimbang yang dikaji, telah mengalami kerosakan di
tangan manusia sepanjang setengah abad yang lalu. Wilayah tanah kering di dunia,
yang mewakili 41 peratus permukaan tanah di bumi, telah begitu teruk dimusnahkan,
namun, di sini jugalah populasi manusia telah berkembang dengan begitu pesatnya
sejak tahun 1990-an. Sepanjang 50 tahun yang lalu, manusia telah mengubah
ekosistem dengan pantas dan meluas berbanding mana-mana waktu dalam sejarah
manusia, kebanyakannya bagi memenuhi permintaan yang meningkat untuk makanan,
air bersih, kayu balak serta keperluan yang lain. Seluruh akibatnya, hanya kini, kian
nampak jelas. Lebih kurang 15 dari 24 ekosistem yang utama bagi kehidupan atas bumi
telah mengalami kerosakan yang serius. Sebuah ekosistem ditakrifkan sebagai sebuah
kompleks yang dinamik mengandungi tumbuh-tumbuhan, binatang dan mikroorganisma
yang membentuk unit fungsi bersama persekitaran benda bukan hidup yang dapat
wujud bersama.
Sememangnya sektor pertanian menjana pendapatan negara dan merupakan sumber
pendapatan yang terpenting. Namun begitu, peningkatan nutrien buatan manusia dalam
persekitaran telah membawa kepada peningkatan alga. Ini akan mengurangkan
oksigen bagi hidupan akuatik dan juga menghasilkan bahan toksik yang
membahayakan air untuk diminum. Hal ini disebut eutrofikasi yang disebabkan cahaya
matahari tidak dapat menembusi dasar air akibat pengumpulan alga di atas permukaan
air. Maka, tumbuhan akuatik tidak dapat menjalankan proses fotosintesis untuk
menghasilkan oksigen sekaligus menyebabkan hidupan akuatik di ambang kepupusan.
Terumbu yang didominasi oleh batu karang kini dengan tiba-tiba berubah kepada
dipenuhi alga, yang telah bertambah disebabkan bertambahnya kadar nutrien yang
turun dari sumber-sumber dari darat. Banyak terumbu karang di Jamaica kini
didominasi oleh alga. Sekali lagi, hidupan akuatik diancam kepupusan akibat
kemusnahan habitat.

Sidang saksi yang bermisi,


Sudah banyak kesan buruk dapat dilihat dan dialami oleh seluruh masyarakat dunia
akibat masalah pencemaran. Isu pencemaran alam merupakan masalah peringkat
global yang turut melanda negara seluruh dunia. Mungkin sesebuah negara itu telah,
sedang dan akan mengalami krisis ini. Kegagalan sesbuah negara menangani alam
sekitar turut melepasi sempadan negara apabila kesannya turut dirasai di negara lain.
Maka, sudah tentulah isu alam sekitar sering menjadi duri dalam daging hubungan dua
negara yang berjiran. Sedekad lalu, masyarakat dunia heboh dengan masalah
penipisan lapisan ozon. Kejadian itu selalu menjadi igauan ngeri bagi generasi kini dan
akan datang. Generasi kini merupakan pencetus generasi akan datang. Lapisan ozon
yang melindungi bumi daripada sinaran ultra-lembayung (UV) disebabkan pelepasan
gas-gas berbahaya secara tidak terkawal. Melepaskan unsur pencemaran
sememangnya tidak dapat dielakkan. Aktiviti harian manusia sudah pasti tidak lepas
daripada menghasilkan bahan buangan. Kita makan dan menghasilkan najis, bekas
pembalut makanan menjadi sampah, menhidupkan enjin melepaskan asap dan
sebagainya.

Namun, apakah tindakan kita? Jangan biarkan diri anda diselubungi dengan misteri.
Kita teruskan dengan komponen ketiga saya iaitu kempen melestari alam sekitar.
Sebenarnya, kempen ini bukannya bertujuan menyusahkan, membebankan mahupun
melecehkan hadirin sekalian tetapi bertujuan mencari alternatif meminimumkan kesan
daripada aktiviti tersebut. Sebenarnya krisis alam sekitar bukannya suatu isu yang
boleh dianggap remeh. Di peringkat global, pelbagai perbincangan khusus yang
melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi negara seluruh dunia. Deklarasi demi
deklarasi telah dibuat mengenai tatacara dan usaha mengatasi masalah ini. Memang
tidak dinafikan, semua pihak sedar kepentingan menjaga alam sekitar.
Bagaimanapun, perkara yang agak menyedihkan apabila negara maju yang sedia kita
tahu yang sebenarnya lebih banyak menyebabkan masalah alam sekitar ini mengambil
jalan mudah menunding jari terhadap negara membangun sebagai punca berlakunya
masalah alam sekitar. Sebagai contoh, negara Amerika Syarikat merupakan penyebab
20% kesan rumah hijau dunia. Negara maju lebih gemar menyalahkan aktiviti
pembalakan dan pembukaan tanah sebagai punca masalah alam sekitar. Justeru,
negara maju cuba menghalang atau memulau hasil kayu seperti perabot yang
dihasilkan daripada negara membangun sebagai ugutan berlapik bagi menutup mulut
negara membangun. Memang sukar untuk negara membangun menegur dan
memperbetulkan sikap buruk negara maju. Maka, langkah yang mampu diambil ialah
tindakan yang dilakukan di dalam negara sendiri.

Ramai yang beranggapan bahawa pencemaran secara besar-besaran sahaja boleh


mencemarkan alam sekitar. Namun, hakikatnya memang berbeza seperti yang
difikirkan. Saya bawakan contoh membuang puntung rokok dan kertas pembalut gula-
gula juga perbuatan mencemarkan alam sekitar. Biarpun kecil, tetapi sekiranya
jumlahnya berlipat kali ganda tetap mencemarkan alam sekitar. Acapkali kita lihat
tempat-tempat seperti perhentian bas, tandas awam dan sebagainya kelihatan agak
kotor disebabkan benda-benda kecil ini. Sebenarnya, setiap antara kita mempunyai
peranan untuk melestarikan alam sekitar biarpun perkara itu dianggap remeh. Jangan
disebabkan benda remeh ini, kelak membawa binasa kepada seluruh komuniti
masyarakat.

Hadirin sekalin, sidang penonton penuh santun,

Harus dikejut mana yang lena


Harus ditegur mana yang alpa
Sebelum manusia ditimpa bencana
Sebelum alam mulai bicara

Jika dikaji antara flora dan fauna tidak boleh dipisahkan. Asimilasi ini bagai isi dengan
kuku, bagai irama dengan lagu, bak aur dengan tebing. Oleh itu, hutan ditebang, hutan
dimusnahkan, hutan diterokai untuk pembangunan sudah pastilah haiwan-haiwan akan
pupus. Tidak hairanlah hadirin sekalian, jika satu hari, monyet-monyet, harimau-
harimau mahupun gajah-gajah ingin berumah bersama kita. Bahkan jangan terkejut
sekiranya cucu cicit kita mengatakan beruang panda itu, pokok yg tumbuh melilit di tepi
pagar. Seterusnya, ledakan bom jangka ketiga ini umpama ledakan bom jangka pada
generasi mendatang.

Oleh itu, hadirin, bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan
paradigma dan menanamkan sikap mencintai alam sekitar. Ingat, alam gemilang, hidup
pasti cemerlang. Jadi, anda bayangkan andainya alam boleh berkata-kata mungkin
inilah luahan rasa sebatang pokok meranti ataupun rintihan seekor semut api merah.
Konklusinya, manusia yang mengancam Manusia sendirilah turut terancam.
Persoalannya, untuk mengejar sesuatu kemajuan. Haruskah alam menjadi taruhan?
Timbang-timbangkan agar bom jangka ini tidak terus-terusan meledak seperti ledakan
tsunami di Acheh, gempa bumi di Pakistan dan taufan Katrina dan Wilma di Amerika.
Tepuk dada tanyalah minda, tepuk dahi fikirlah sendiri. “Penjagaan Alam Sekitar
Tanggungjawab Bersama”, Wabillahitaufik wal hidayah. Wassalamualaikum
warahmatullahi wabarkatuh. Pemidato bestari, mohon permisi!

You might also like