You are on page 1of 8

PENGENALAN

Pendidikan merupakan satu keperluan yang amat penting untuk menjamin kehidupan
yang lebih baik pada masa akan datang. Menurut Jashir (1975), taraf pendidkan yang tinggi
sering dikaitkan dengan pekerjaan, pendapatan dan kedudukan sosial yang baik. Oleh itu,
pencapaian akademik yang baik sering menjadi matlamat utama pelajar, ibu bapa dan juga
pihak sekolah. Persoalannya, siapakah yang memainkan peranan penting yang membantu
kearah pencapaian matlamat tersebut. Salah satu institusi yang penting dalam pendidikan
selain sekolah ialah istitusi keluarga itu sendiri.

Keluarga didefinisikan sebagai suatu kumpulan gabungan pemghuni yang terdiri


daripada suami, isteri dan anak-anak yang menjalankan fungsi-fungsi asas seperti memenuhi
secara kolektif keperluan ekonomi ahli keluarga, memikul dan menunaikan tanggungjawab
menyediakan pendidikan kepada anak-anak serta menyediakan keperluan asas kepada ahli-ahli
keluarga.

Sejak dilahirkan pembentukan sahsiah, sikap serta persepsi seseorang individu terhadap
kehidupan akan datang banyak dipengaruhi oleh keluarganya. Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan yang suci (fitrah), ibu bapanyalah yang akan
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Latar belakang keluarga seperti status ekonomi, pegangan agama, budaya keluarga,
sikap ibu bapa terhadap nilai pendidikan akan menjadi asas pembentukan identiti individu
pelajar. Pendidikan pada peringkat awal yang diperolehi di rumah serta sokongan dan dorongan
keluarga akan menjadi asas kepada kejayaan pelajar pada peringkat persekolahan seterusnya.
Menurut Lumsden (1994):

“Children’s home environment shapes the initial constellation of attitudes they develop toward
learning. When parents nurture their children’s natural curiosity about the world by welcoming
their questions, encouraging exploration, and familiarizing them with resources that can enlarge
their world, they are giving their children the message that learning is worthwhile and
frequently fun and satisfying.”

1
PERANAN KELUARGA DALAM PENDIDIKAN

Penglibatan keluarga terutama ibu bapa memainkan peranan penting dalam pendidikan.
Penglibatan ibu bapa boleh didefinisikan sebagai penglibatan mereka dalam pendidikan atau
sekolah. Ibu bapa boleh menyokong pendidikan anak-anak mereka dengan menghadiri aktiviti
sekolah dan menyokong pendidikan anak mereka dengan menghadiri aktiviti sekolah dan
memberi kerjasama kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Mereka juga boleh terlibat
dengan membantu anak-anak dalam kerja rumah dengan cara memberikan bimbingan,
menyediakan jadual belajar serta menjadikan diri mereka sebagai model yang boleh dicontohi
oleh anak-anak mereka. Di luar kawasan sekolah pula ibu bapa boleh berperanan sebagai
penyokong untuk sesebuah sekolah, misalnya melalui sokongan serta bantuan yang diberikan
kepada aktiviti yang diadakan di sekolah atau di dalam kelas.

Jika dilihat dari segi pembentukan psikologi dan perkembangan sosial anak-anak,
penglibatan ibu bapa dilihat sebagai faktor paling dominan dalam menentukannya. Perkara ini
dilakukan melalui didikan serta suasana dalam sebuah keluarga. Persekitaran pembesaran yang
baik akan membantu dalam pembinaan nilai-nilai peribadi mulia dalam diri anak-anak mereka.
Hal ini dipelajari melalui pemerhatian terhadap keluarga dan ibu bapa mereka. Melalui
pemerhatian tersebut kanak-kanak akan belajar untuk memahami dan seterusnya akan
mengaplikasikannya. Pembelajaran secara tidak langsung ini akan mempengaruhi pembentukan
psikologi dan perkembangan sosial anak-anak.

Berdasarkan kepada definisi penglibatan ibu bapa yang merujuk kepada penglibatan
mereka dalam pedidikan atau persekolahan anak-anak menunjukkan bahawa ibu bapa
sememangnya merupakan pengaruh paling besar dalan menentukan tahap pencapaian anak-
anak mereka dalam akademik. Pendidikan anak-anak boleh dibahagikan kepada dua, iaitu
pendidikan secara formal dan pendidikan secara tidak formal. Pendidikan secara formal boleh
dirujuk sebagai pendidikan anak-anak di sekolah, iaitu pencapaian akademik mereka di sekolah,
manakala pendidikan tidak formal ialah penglibatan pendidikan yang dipelajari oleh kanak-
kanak di luar kawasan sekolah, seperti suasana persekitaran keluarga, dimana pembelajaran itu
diperolehi melalui pemerhatian mereka yang biasanya melibatkan pengaruh ibu bapa atau
dalam konteks yang lebih luas dalam lingkungan keluarga. Pendidikan tidak formal ini biasanya
akan mempengaruhi pembentukan psikologi dan perkembangan sosial. Perkembangan secara
formal pula akan mempengaruhi tahap pencapaian akademik anak-anak mereka.

2
Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan di luar negara mengenai penglibatan ibu
bapa dalam pendidikan anak-anak. Misalnya, kajian yang telah dilakukan oleh Keith dan Keith,
1993; Baker dan Soden, 1997;Hoover-Dempsey dan Sandler 1997; dan Miedel dan Reynolds,
1999 menunjukkan bahawa peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak adalah penting. Ibu
bapa merupakan pendorong berterusan dalam pendidikan anak-anak bermula ketika anak-anak
masih kecil sehinggalah dewasa.

Di samping itu, ibu bapa yang terlibat dalam aktiviti sekolah anak-anak mereka pula
akan menunjukkan kesan positif terhadap idea dan pengetahuan mereka dalam membantu
anak-anak mereka. Mereka merasakan bahawa perlu untuk mereka membantu anak-anak di
rumah. Ibu bapa juga akan lebih faham mengenai apa yang diajar kepada anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa perlu untuk turut serta dalam program yang berlaku di sekolah. Misalnya,
ibu bapa yang terlibat dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menunjukkan keyakinan
mereka dalam membentuk sesebuah keluarga. Ini membolehkan mereka juga akan turut
berpengatahuan serta menjadikan rumah sebagai satu tempat untuk belajar dan mendapatkan
ilmu. Pada masa yang sama ibu bapa akan menghargai sumbangan dan jasa guru yang terlibat
sepenuhnya dalam pendidikan anak-anak mereka.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memberikan dorongan dan
menggalakkan anak-anak untuk belajar. Dorongan dan galakan tersebut boleh terdiri daripada
pujian, dan hadiah sekiranya anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Bagi anak yang
tidak mendapat keputusan kurang baik pula ibu bapa perlulah memberikan sokongan dan
perhatian kepadanya. Ibu bapa juga turut menyediakan kemudahan-kemudahan pembelajaran
serta bahan bacaan tambahan untuk anak-anak mereka. Terdapat juga sesetengah keluarga
yang kurang berkemampuan terpaksa berkorban seperti menggadaikan harta pusaka demi
membolehkan anak mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya. Ini kerana mereka
menyedari bahawa pendidikan adalah punca moboliti sosial yang penting bagi anak-anak
mereka kelak.

3
BENTUK PENGLIBATAN KELUARGA YANG PERLU DALAM PENDIDIKAN

Mengambil Berat (caring)

Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak sama ada secara langsung atau tidak
langsung amat diperlukan. Hal ini kerana, penglibatan ibu bapa menentukan pencapaian
akademik dan keperibadian anak-anak mereka. Antara penglibatan yang dimaksudkan ialah
mengambil berat (caring) terhadap diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, ibu bapa perlu
melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak sejak awal lagi. Menurut Rozumah Baharudin dan
Sarimah Hashim penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak mereka bermula sejak awal lagi,
iaitu di peringkat Tadika, atau Tabika.

Menurut Hess dan Croft (1972), ibu bapa perlu untuk melibatkan diri dalam program
prasekolah kerana ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh dalam pendidikan awal
kanak-kanak. Situasi ini memperlihatkan sikap ambil berat ibu bapa. Salah satu daripada cara
yang dilakukan oleh ibu bapa ialah dengan menghantar dan menjemput anak-anak di
prasekolah. Melalui cara ini, ibu bapa dapat merapatkan diri dengan pihak prasekolah dan
mengetahui apa yang berlaku dalam institusi berkenaan.

Menurut Swick di dalam Early Childhood Education Journal, vol.35, perbuatan mengambil
berat ialah perlakuan tinggal dalam suasana yang dihubungkan dengan sayang-menyayangi
antara satu sama lain. Perbuatan ini menjadi faktor kekuatan dalam semua aspek kehidupan.
Ini bermakna semua orang perlu mengamalkan kasih-sayang dan menjadikan kasih-sayang
sebagai satu jalan untuk menjalani kehidupan. Ini akan menerbitkan perasaan mengambil berat
kepada ahli keluarga. Oleh yang demikian, seluruh ahli keluarga akan berkongsi segala-galanya
seperti berkongsi kegembiraan dan menyelesaikan masalah bersama-sama, dengan ini suasana
harmoni dapat diwujudkan.

Shore (1999) berkata bahawa “Saya melihat kuasa sebuah keluarga ditempat saya membesar
dalam mempengaruhi kehidupan seorang kanak-kanak. Saya selalu melihat ibu bapa saya
sebagai individu yang sangat mengambil berat dengan menolong sesiapa yang memerlukan.
Kesopanan dan sensitiviti mereka ada pada diri saya pada hari ini. Sifat ini adalah kerana saya
membesar dengan melihat kasih-sayang yang mereka berikan kepada saya dan orang lain.
Sesungguhnya, sikap mengambil berat yang dibentuk dalam keluarga akan mendidik kita untuk
mengaplikasikannya dalam masyarakat.

4
Kenyataan Shore ini menunjukkan bahawa didikan serta asuhan yang diterapkan dalam
diri anak-anak akan mempengaruhi kehidupan dan cara mereka berfikir. Anak-anak akan
belajar daripada ibu bapa sama ada secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu, dapat
disimpulkan bahawa didikan serta suasana keluarga yang baik akan memberi kesan positif
terhadap pembentukan peribadi anak-anak. Perasaan saling menyayangi akan menerbitkan
sikap mengambil berat antara satu sama lain.

Sokongan sosial (Social Support).


Sokongan sosial ialah kemampuan seseorang dalam mengambil berat terhadap orang lain, dan
membiarkan mereka tahu bahawa kita mengambil berat dan sayang akan mereka. Maxime
L.Clark dalam Education and Urban Society Journal/November 1991, menyatakan bahawa
sokongan keluarga merupakan sistem paling penting dalam mempengaruhi perkembangan
sosial, pembentukan psikologi serta akademik kanak-kanak. Greenbergh, Siegel dan Leith
(1983) mengatakan keluarga ialah perkara paling penting dalam menyokong atau membantu
pelajar dalam segala aspek. Kepuasan hidup dan keyakinan diri adalah berhubungan secara
positif untuk mencapai kualiti perhubungan yang baik dengan keluarga.

Melalui pernyataan di atas, dapat dilihat bahawa kualiti perhubungan yang baik dengan
keluarga dapat dibentuk melalui cara seperti pembahagian masa dalam kehidupan seharian
mereka. Biasanya seorang kanak-kanak yang berusia 7 tahun ke bawah lebih banyak
menghabiskan masa bersama ibu bapa mereka. Oleh itu, melalui masa yang terluang ini, dapat
digunakan oleh ibu bapa untuk mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak
mereka.
Melalui pernyataan ini, Clark menyokong bahawa penglibatan ibu bapa dalam
mempengaruhi pencapaian akademik adalah sangat penting. Ibu bapa sentiasa mahu anak-
anak mereka berjaya dalam pelajaran sama ada memasuki kolej, universiti atau menyambung
pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi. Dalam hal ini, pengurusan keluarga adalah faktor
penting dalam meningkatkan prestasi akedemik seorang kanak-kanak. Penglibatan ibu bapa
dalam mempengaruhi perkembangan mental anak-anak akan mempengaruhi pencapaian
mereka dalam akademik.

5
KESIMPULAN

Kesimpulannya, penglibatan ibu bapa amat mempengaruhi tahap pencapaian akademik,


perkembangan sosial dan pembentukan psikologi anak-anak. Penglibatan ibu bapa ini
merangkumi penglibatan mereka di rumah, dan penglibatan mereka di sekolah, iaitu dari segi
pembelajaran anak-anak. Di rumah, penglibatan ibu bapa lebih menjurus kepada pembentukan
psikologi anak-anak mereka yang dilakukan melalui didikan serta asuhan. Ibu bapa perlu
menjadi model kepada anak-anak kerana proses pembelajaran berlaku melalui pemerhatian dan
berkait rapat dengan persekitaran mereka. Pemerhatian pada peringkat awal, iaitu semasa
masih kecil akan mempengaruhi perkembangan mereka seterusnya. Oleh itu, ibu bapa perlu
membentuk suasana harmoni melalui perhatian, kasih-sayang kepada anak-anak mereka agar
perkembangan mereka tidak terganggu yang akan memberi kesan negatif kepada mereka.

Menurut Pena (2000) penglibatan ibu bapa di sekolah pula dilakukan dengan cara
mengambil berat akan pelajaran mereka, memberi galakan dan dorongan serta bekerjasama
dengan pihak sekolah. Penglibatan ibu bapa banyak memberi kesan positif kepada pelajar,
sekolah dan ibu bapa sendiri. Bagi pelajar, kesan paling utama ialah dapat meningkatkan
pencapaian akademik, manakala bagi pihak sekolah pula, penglibatan ibu bapa dapat
meningkatkan kualiti sekolah dan bagi ibu bapa sendiri, ia dapat memupuk sifat yang lebih baik
terhadap pendidikan.

Namun begitu terdapat juga kekangan yang menyebabkan ibu bapa mengabaikan dan
kurang melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak mereka, walhal penglibatan ibu bapa amat
penting terhadap pencapaian akademik dan pembentukan peribadi anak-anak mereka.
Terdapat ibu bapa yang tidak mampu melaksanakan tangunggjawab menyekolahkan anak-anak
mereka kerana kemiskinan menyebabkan Keperluan persekolahan anak-anak mereka tidak
terurus. Ini sekaligus menyebabkan berlakunya keciciran dalam kalangan pelajar sendiri.
Menurut Downey (2002), anak-anak akan menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah sekiranya
pembelajaran mereka tidak diganggu oleh masalah lain seperti kelaparan, penyakit fizikal dan
masalah kesihatan yang lain.

6
SUMBER RUJUKAN

Faridah Abu Hassan (Dr.), Naimah Ishak (Dr.), Hamidah Yusof (Dr.) dan Habibah Abdul Rahim
(Dr.), Disember 2005. Kemiskinan dan Pendidikan: Perubahan Minda Orang Melayu kearah
Kecemerlangan Pendidikan Akademik . Jurnal Penyelidikan Pendidikan, Jilid 7, 25 – 56.

Kamaruddin Hj. Kachar, 1989. Pendidikan & Masyarakat, Teks Publishing Sdn. Bhd & Penerbit
ASAS Sdn. Bhd : Kuala Lumpur.

Koh Boh Boon, April 1975. Sikap -sikap Ibu Bapa dan Pencapaian Rendah Murid-murid
Sekatbudaya. Bulletin on Current Issues in Education : Masalah Pendidikan, Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya, Bil. 5, 77-81.

Mok Soon Sang, 2001. Pendidikan di Malaysia : Untuk Diploma Perguruan Semester 2 (Edisi 8),
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd :Subang Jaya.

Siti Nor Yaakob, Ariffin Nopiah, Ahmad Hariza Hashim, Abdullah Al-Hadi Muhamed dan Anuar
Ahmad, 1990. Perkaitan beberapa Faktor Latar Belakang Keluarga dengan Pencapaian
Akademik Pelajar. Jurnal Pendidikan Guru, Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan
Malaysia, Bil. 6, 87 – 97.

T. Marimuthu, 1990. Pengenalan Sosiologi Pendidikan, Fajar Bakti: Petaling Jaya.

7
8

You might also like