You are on page 1of 11

Tajuk Kajian:

Penggunaan Kata sapaan ‘Kau’ antara dua budaya iaitu bagi Puak Melayu
Kedayan dan Puak Tutong di Negara Brunei Darussalam

PENDAHULUAN

Negara Brunei Darussalam mempunyai pelbagai penduduk yang majoriti penduduknya


adalah berbangsa Melayu. Bangsa Melayu di negara ini terdiri daripada tujuh puak rakyat jati
Brunei Darussalam. Ketujuh-tujuh puak tersebut ialah Melayu Brunei, Melayu Kedayan, Dusun,
Murut, Belait, Tutong dan Bisaya. Dua daripada tujuh puak tersebut, iaitu Puak Melayu Kedayan
dan Puak Tutong, adalah dua puak yang akan dijadikan tumpuan perbincangan oleh pengkaji
dalam kajiannya mengenai perbandingan fungsi dan penggunaan kata sapaan ‘kau’.

BAHASA DAN BUDAYA

Dalam komunikasi atau interaksi sosial, kita sering menemukan bahawa apa yang kita
ungkapkan atau kita sampaikan kepada lawan bicara kita itu kurang difahami dengan baik.
Kegagalan memahami pesan ini disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah perbezaan usia,
perbezaan pendidikan, perbezaan pengetahuan, dan lain-lain. Selain itu, faktor budaya juga
berhubungan dengan bahasa.

Contohnya, kata sapaan ‘kau’ diucapkan berbeza dalam konteks budaya yang berbeza.
Tidak ketinggalan juga dengan puak Melayu Kedayan atau masyarakat Kedayan yang
mempunyai kata sapaan ‘kau’ yang digunakan kepada sesiapa sahaja dengan tidak mengira usia,
kedudukan dan sebagainya. Kedayan menggunakan kata sapaan ‘kau’ dalam berinteraksi atau
berkomunikasi dengan sesiapa sahaja tanpa menghadkan penggunaannya.

Begitu juga dengan Puak Tutong. Mereka mempunyai kata sapaan ‘jiyu’ yang
mempunyai makna yang sama dengan kata sapaan ‘kau’ yang juga digunakan ketika mereka
berinteraksi dengan ahli keluarga dan teman rapat. Dapatlah ditegaskan di sini, penggunaan kata
sapaan ‘kau bagi setiap puak itu tidak jauh berbeza.

1
PUAK MELAYU KEDAYAN

Nur Syakimah dan Jaluddin Chuchu (2007: 79) menjelaskan bahasa puak Melayu
Kedayan adalah salah satu puak jati di negara Brunei Darussalam yang juga mampu dijadikan
sebagai alat untuk mencapai sesuatu tujuan dalam ilmu pengetahuan. Walaupun demikian, dialek
Melayu Kedayan dianggap sebagai salah satu dialek atau bahasa minoriti di negara ini. Salah
satu sebab mengapa Kedayan dianggap sebagai etnik atau puak minoriti adalah apabila puak
Melayu Kedayan bertembung dengan puak-puak yang lain di negara ini, mereka akan
menggunakan bahasa Melayu Brunei ketika berkomunikasi. Masyarakat Kedayan lebih dikenali
melalui cara percakapan mereka sama ada dari gaya percakapan dan juga intonasinya.

PUAK TUTONG

Abd. Karim (2002: 1) menyatakan bahawa puak Tutong adalah salah satu puak asli di
Brunei yang mendiami Daerah Tutong. Identiti puak ini dapat dilihat pada bahasanya sendiri
yang disebut bahasa Tutong dan beragama Islam. Sejarah dan latar belakang puak ini adalah
perkara yang menarik untuk dibincangkan kerana puak ini mempunyai sejarah dan sosiobudaya
yang unik. Keunikan puak ini ialah pada bahasanya yang dituturkan oleh orang-orang Tutong
yang mempunyai latar belakang keturunan yang berbeza.

KATA SAPAAN

Kata sapaan atau bentuk sapaan yang terdapat dalam sistem panggilan bahasa Melayu
seringkali dipanggil atau lebih dikenali sebagai kata panggilan. Kata sapaan ialah sebagai kata
yang digunakan bagi menyapa seseorang. Selain itu, kata sapaan ini juga digunakan ketika
berkomunikasi dan dijadikan sebagai salah satu cara bagi menghormati seseorang yang diajak
berbicara dan selain itu juga ia dianggap bagi mengeratkan tali kekeluargaan dan persahabatan di
antara mereka.

2
Menurut Amat Juhari Moain (1989: 10) bahawa kata sapaan dapat memanifestasikan
status atau taraf dan kedudukan seseorang individu dalam hierarki sosial masyarakat yang
dianggotainya. Beliau juga berpendapat bahawa masyarakat Melayu mempunyai suatu sistem
sapaan dan panggilan yang tertentu. Menurutnya lagi, istilah sapaan ini tidak boleh digunakan
sesuka hati ataupun sewenang-wenangnya, kerana kata sapaan itu digunakan mengikut urutan
yang tertentu, iaitu urutan dari segi hubungan kekeluargaan, usia, kedudukan, pangkat serta
gelaran yang selaras dengan kehidupan masyarakat Melayu. Ini dapat dilihat bahawa dengan
menggunakan istilah sapaan yang betul dan baik, seseorang itu akan dapat menunjukkan rasa
hormat dan dihormati sesama mereka, mempunyai budi pekerti yang baik dan beradab sopan di
samping mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama mereka.

FUNGSI KATA SAPAAN

Menurut Amat Juhari Moain (1989: 2) bahawa sistem sapaan atau panggilan adalah
selaras dengan keadaan masyarakat Melayu yang mempunyai beberapa ciri dan juga sifat yang
tersendiri dalam susun lapis masyarakat yang memberzakannya dengan masyarakat yang lain.
Berdasarkan sistem sapaan itulah, seseorang itu akan mengetahui untuk menentukan kata sapaan
yang sesuai mengikut kedudukan, usia, pangkat serta gelaran yang mencerminkan tentang
kehidupan mayarakat Melayu.

Ketika berkomunikasi ataupun berinteraksi, dalam setiap bahasa sememangnya telah


menentukan norma dan juga sistem atau aturan sosial mereka. Ini adalah bertujuan untuk menilai
kesopanan dan memelihara kesopanan ketika bertutur. Budaya dan adat Melayu Brunei mahupun
bangsa-bangsa Melayu lainnya masih lagi mengekalkan penggunan ‘sapaan’ atau ‘panggilan
ketika berkomunikasi. Penggunaan sistem sapaan ini merupakan salah satu cara bagi
menghormati seseorang di samping bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan dijadikan
sebagai contoh dan tauladan untuk generasi muda dan yang akan datang. Setiap puak yang
terdapat di Negara Brunei Darussalam mempunyai kata sapaan yang hampir sama
penggunaannya.

3
Ada yang mengatakan bahawa sistem panggilan mempunyai hubungan di antara
penggunaan bahasa Melayu dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Dari segi kebudayaan
masyarakat Melayu, penggunaan sistem sapaan ini mencerminkan kedudukan sosial seseorang
dengan orang yang disapa dan orang yang menyapa. Dalam setiap sub-golongan dalam
masyarakat Melayu terdapat suatu sistem sapaan yang tertentu. Penggunaan sistem sapaan
tersebut adalah bagi berhubung antara anggota dalam masyarakatnya seperti sesama keluarga,
kaum kerabat, rakan sejawat, ahli politik dan sebagainya.

Contohnya, kata sapaan ‘kau’ diucapkan berbeza dalam konteks budaya yang berbeza,
iaitu antara puak Melayu Kedayan dan puak Tutong. Sebutan ‘kau’ bagi puak Melayu Kedayan
adalah merujuk kepada seseorang yang diajak berbicara atau bertutur dan merujuk seseorang
yang lebih tua daripadanya, termasuklah kedua ibu bapa si penutur. Manakala, sebutan ‘jiyu’
yang bermaksud ‘kau’ bagi puak Tutong adalah merujuk kepada seseorang yang lebih muda
daripada si penutur sahaja. Jika hendak menyapa seseorang yang lebih tua darinya, masyarakat
puak Tutong ini akan menggunakan kata sapaan ‘kita’. Perbezaan yang wujud antara dua puak
Melayu Brunei ini akan dijelaskan kemudian dengan lebih rinci lagi.

KATA SAPAAN ‘KAU’ BAGI PUAK MELAYU KEDAYAN

Kata sapaan dianggap oleh puak Melayu Kedayan sebagai nilai kebudayaan yang harus
ada pada setiap penutur dan ia juga merupakan sebagai satu identiti bagi masyarakat Kedayan.
Bagi masyarakat Kedayan, penggunaan kata sapaan ‘kau’ pada seseorang adalah tidak
mendatangkan sebarang kesalahfahaman jika orang yang diajak berbicara itu mempunyai
kedudukan atau status yang lebih tinggi, dan lebih tua (ibu bapa, orang tua-tua, bapa saudara dan
sebagainya), hubungan antara penutur dan yang diajak bertutur. Mengikut adat mereka,
penggunaan kata sapaan ‘kau’ itu tidak memperlihatkan sikap yang negatif atau kurang sopan
kepada orang yang lebih tua daripada mereka.

4
Bagi masyarakat Melayu Kedayan, kata sapaan ‘kau’ itu hanyalah sebagai alat bagi
menegur seseorang. Ini tidak bermakna bahawa masyarakat Kedayan tidak mengetahui adat atau
adab sopan ketika berbicara dengan orang yang lebih tua dari mereka. Namun begitu, dalam
budaya masyarakat Melayu Kedayan, kata sapaan ‘kau’ itu dapat melihatkan hubungan yang
akrab di antara penutur dan yang diajak bertutur. Bagi mereka hubungan kekeluargaan ini tidak
terhad dan bukan hanya di rumah sahaja, tetapi juga di luar rumah dan di mana-mana sahaja
mereka berada. Oleh yang demikian, bagi melancarkan perbualan antara keduanya (orang yang
berbicara dan yang diajak berbicara), mereka lebih selesa menggunakan kata yang terdapat
dalam dialek Melayu Kedayan itu tanpa melihat latar belakang dan status orang yang dibawa
berbicara.

Penggunaan kata sapaan ‘kau’ dalam komunikasi seharian mereka adalah sebagai kata
yang digunakan sehari-hari dalam perbualan mereka. Penggunaan kata sapaan ‘kau’ itu tidak lagi
dilihat dari segi maknanya, malah masyarakat Melayu Kedayan melihat kata sapaan ‘kau’
sebagai keakraban antara yang berbicara dan yang diajak berbicara. Walaupun demikian, dalam
berkomunikasi masyarakat Melayu Kedayan juga menjaga intonasi (nada suara) ketika mereka
berbicara atau berbual.

Contoh perbualan masyarakat Melayu Kedayan menggunakan kata sapaan ‘kau’ adalah
seperti berikut:
a) “Pa kan ke mana kau?” kata anak kepada bapanya.
b) “Kau ni ma makan sudah?” si Anak bertanya kepada ibunya.

Contoh di atas melihatkan bahawa penggunaan kata sapaan ‘kau’ juga digunakan apabila si
anak berinteraksi dengan kedua ibu bapanya. Dalam penggunaan kata sapaan ‘kau’ ini kepada
oran yang diajak berbicara, sedikit sebanyak dapat melihatkan bahawa seseorang iu memberikan
kepercayaan ketika komunikasi itu berlaku.

5
KATA SAPAAN ‘KAU’ BAGI PUAK TUTONG

Kata sapaan ‘jiyu’ yang bermaksud ‘kau’ bagi puak Tutong adalah hanya ditujukan
kepada orang yang dibawa berbicara itu seusia dengannya dan lebih muda darinya serta hanya
digunakan sesama puak Tutong dengannya sahaja. Berbeza jika masyarakat puak Tutong ini
berbicara dengan orang yang bukan dalam puak Tutong, mereka akan menggunakan kata sapaan
‘kita’ sebagai tanda hormat dan beradab sopan. Namun begitu, bagi masyarakat puak Tutong
yang sudah berusia lanjut (terlalu tua), mereka akan tetap menggunakan kata sapaan ‘jiyu’ (kau)
tidak kira kepada yang lebih tua darinya, sama puak dengannya, mahupun dengan orang yang
bukan puak Tutong. Di samping itu, penggunaan kata ‘jiyu’ ini hanya dijadikan sebagai kata
yang merujuk kepada orang yang sebaya dengan orang yang menegur, kawan-kawan, adk-
beradik, orang yang lebih muda dan sebagainya.

Manakala, hanya segelintir masyarakat puak Tutong yang bergelar dewasa dan remaja,
menggunakan kata sapaan ‘jiyu’ ketika bertutur sesama puak dengannya. Ini kerana niat mereka
adalah hendak mempertahankan adat pertuturan mereka yang turun-temurun telah digunakan
dalam keluarga mereka. Namun, bagi mereka yang memiliki rasa hormat dan adab sopan kepada
orang yang lebih tua darinya, mereka akan lebih tertumpu kepada penggunaan kata sapaan ‘kita’,
kerana dengan menggunakan kata sapaan itu mereka berasa mereka telah dididik dengan penuh
adab kesopanan dan rasa hormat oleh kedua ibu bapa mereka. Di samping mereka
memanifestasikan adab Melayu yang berlandaskan Melayu Islam Beraja.

Selain itu, terdapat masyarakat puak Tutong menggunakan kata sapaan ‘kau’ berbanding
menggunakan ‘jiyu’ ketika orang yang dibawa berbicara itu adalah dalam kalangan kawan-
kawan dan orang yang lebih muda dengan si penutur. Jika ingin merujuk kepada orang yang
lebih tua, kata sapaan ‘biskita’, ‘kita’, ‘awda’, ‘anda’ dan sebagainya, juga digunakan oleh
masyarakat puak Tutong tetapi tidak setiap masa (jarang digunakan).

6
Contohnya, jika sekiranya seseorang yang menyapa (si A) itu baru mengenali seseorang
yang disapa (si B), pada mula perbicaraan itu kata sapaan yang seringkali digunakan oleh si A
ialah ‘biskita’ dan ‘kita’. Ini adalah bagi melihatkan rasa hormat si A kepada si B kerana belum
mengenali antara satu sama lain. Jika si A menggunakan kata sapaan ‘jiyu’ kepada si B, si A
melihatnya dari segi maknanya yang melihatkan ketidaksopanan dalam merujuk kepada orang
yang baru dikenali. Namun begitu, kadang-kadang orang yang mendengar atau orang yang diajak
berbicara itu akan berasa tersinggung kerana berasa bahawa orang yang berbicara itu tidak
menghormatinya dan sebagainya.Berbanding jika seseorang itu sudah lama mengenali antara
satu sama lain, barulah kata ‘jiyu’ bermakna ‘kau’ akan digunakan.

PERBINCANGAN BERDASARKAN PRINSIP BUDAYA DAN BANGSA

Berdasarkan kedua fenomena di atas, terlihat bahawa bahasa dan budaya itu memiliki
hubungan yang saling mengikat untuk suatu tujuan interaksi sosial sesama masyarakat.
Pemahaman mengenai bahasa dan budaya merupakan suatu tujuan untuk menghindari salah dari
segi ucapan dan tindakan. Pronomina kata sapaan ‘kita’ digunakan untuk sapaan kepada si
pendengar dengan hubungan sosial yang tidak intim. Sebaliknya, penggunaan pronomina kata
sapaan ‘kau’ lazim digunakan penutur bahasa jika lawan bicaranya itu adalah orang yang dekat
dengannya atau sahabatnya. Mengapa ini boleh terjadi?

Budaya kita mengajarkan kepada kita adat istiadat yang harus dipatuhi oleh masyarakat
pemakai bahasa. Kita tidak boleh mengatakan ‘kau’ kepada kedua orang tua kita, atau kepada
saudara-saudara kita yang lebih tua dari kita. Begitu juga dalam pergaulan sehari-hari, kita tidak
lazim menggunakan kata sapaan ‘kau’ untuk orang yang lebih tua dari kita.
Fenomena di atas menggambarkan kepada kita bahawa ada aturan permainan bagaimana kita
berkomunikasi dalam berkehidupan masyarakat yang harus kita patuhi bersama yang lazim kita
sebut dengan budaya.

7
Budaya secara tidak langsung mempengaruhi perilaku kita dalam berkomunikasi. Budaya
itu juga menjadi tolok ukur penggunaan bahasa dalam interaksi sosial.
Fenomena lain dapat digambarkan dalam sudut pandang sapaan dalam bahasa Inggeris. Si anak
dalam komuniti di negara-negara yang memiliki bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
mereka dalam pergaulan sehari-hari menyebutkan kata sapaan atau panggilan untuk ayahnya
dengan sebutan nama saja, misalnya John dan bukannya father atau Daddy. Namun, kita juga
sering menjumpai mereka lebih suka memanggil ayah atau bapa mereka dengan sebutan father
atau daddy.

Kedua contoh di atas menggambarkan betapa eratnya hubungan antara bahasa dan
budaya, serta bahasa mempengaruhi budaya, begitu juga sebaliknya bahwa budaya berpengaruh
pada bahasa. Dalam hipotesis Sapir-Whorf dinyatakan bahawa bahasa menentukan bukan hanya
budaya tetapi juga cara dan jalan fikiran manusia (Allen & Corder 1973: 101). Dengan perkataan
lain, suatu bangsa yang berbeza bahasanya dari bangsa lain akan mempunyai jalan fikiran yang
berbeza pula. Perbezaan dari segi budaya dan jalan fikiran manusia itu bermula dari perbezaan
bahasa. Tanpa adanya bahasa, manusia tidak mempunyai fikiran sama sekali. Hipotesis Sapir-
Whorp ini belum dapat dibuktikan sampai sekarang kerana ilmu pengetahuan menekankan
satunya jalan fikiran manusia. Dalam ilmu pengetahuan, bahasa digunakan sebagai alat
menyatakan fikiran. Suatu fikiran bila dinyatakan dalam satu bahasa tidak akan berbeza bila
dinyatakan dalam bahasa lain. Dengan demikian, bahasa itu tidak mempengaruhi jalan fikiran,
apatah lagi menentukan sebagaimana yang dinyatakan hipotesis Sapir-Whorf.

Perbezaan budaya ada kaitannya dengan perbezaan bahasa. Ini dapat dilihat jika kita
menterjemahkan kalimat bahasa ‘It rains cats and dogs’ ke dalam bahasa Melayu yang bererti
“hujan sangat lebat” dan bukan “hujan kucing dan anjing.” Budaya Inggeris memiliki suatu
realiti yang mendasari bahawa adat kebiasaan binatang seperti kucing dan anjing bila berjumpa
akan saling bermusuhan. Dengan demikian, pemberian makna cats and dogs adalah suatu
ungkapan yang menyatakan sesuatu yang terjadi secara terus menerus. Hal yang sama juga ada
dalam bahasa Melayu. Ungkapan ‘Saya sudah membanting tulang dari waktu pagi hingga waktu
malam’ tidak bermakna bahawa ‘saya “membanting tulang-tulang” yang ada dalam tubuh
saya’.

8
Namun, makna membanting tulang yang disepakati dan menjadi kebiasaan dalam
masyarakat pemakai bahasa Melayu bererti “bekerja keras.” Selain itu, kata meninggal dunia
dalam budaya Melayu Brunei dan budaya barat memiliki perbezaan yang jelas. Untuk
menyatakan orang itu sudah tidak bernyawa lagi, masyarakat Melayu Brunei memiliki beberapa
kata, seperti wafat, mangkat, meninggal dunia, pulang ke Rahmatullah, dan lain-lain. Dalam
konteks budaya, ungkapan meninggal dunia merupakan hal yang paling lumrah dalam sejarah
perjalanan kehidupan masyarakat Melayu Brunei.

Hal yang berbeza terjadi dalam bahasa Inggeris. Meskipun sejarah negara-negara barat
tidak luput dari pergolakan peperangan, penggunaan kata meninggal dunia diekspresikan dengan
dua kata saja, iaitu die dan pass away. Pemilihan kata-kata yang sesuai untuk kepentingan
interaksi sosial sangat tergantung pada budaya tempat bahasa itu digunakan. Ini sejalan dengan
apa yang dikemukan oleh Sumarjan & Partana (2002: 20) bahawa bahasa sering dianggap
sebagai hasil sosial atau hasil budaya, bahkan merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan
dari kebudayaan itu. Sebagai hasil sosial atau budaya tertentu, bahasa merupakan wadah aspirasi
sosial, kegiatan dan perilaku masyarakat, wadah penyingkapan budaya termasuk teknologi yang
diciptakan oleh masyarakat pemakai bahasa itu. Bahasa boleh dianggap sebagai cermin
zamannya. Ertinya, bahasa itu dalam suatu masa tertentu mewadahi apa yang terjadi dalam
masyarakat.

Bahasa sebagai hasil budaya mengandungi nilai-nilai masyarakat penuturnya. Dalam


bahasa Bali terdapat ungkapan berbunyi ‘Da ngaden awak bisa’ (jangan menganggap diri ini
mampu) mengandungi nilai ajaran agar orang jangan berasa boleh; yang kira-kira selaras dengan
ungkapan dalam bahasa Jawa ‘rumongso biso’, ‘nanginging ora biso rumongso’ (berasa mampu
tetapi tidak mampu berasakan apa yang dirasakan orang lain).

9
KESIMPULAN

Hubungan bahasa dan budaya dalam puak masyarakat sesebuah negara itu sangat erat.
Pada satu pendapat, bahasa merupakan alat untuk menyampaikan maksud antara apa yang
dimaksudkan oleh si penutur. Pendapat lain, bahasa itu merupakan hasil budaya pemakai bahasa.
Budaya selalu dilekatkan pada adat istiadat, sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan yang sukar
diubah. Budaya memiliki mandat dalam pembentukan bahasa yang digunakan oleh masyarakat
pemakai bahasa itu sendiri. Oleh yang demikian, perlulah diketahui bahawa di negara Brunei
Darussalam sejak dahulu lagi memang sentiasa mengamalkan dasar hormat-menghormati, ‘awar-
mengawari’, dan ‘galat-mengggalati’, kerana pekara ini telah teradat kepada orang Brunei. Oleh
kerana itu, penggunaan bahasa di dalam sesuatu pergaulan dalam masyarakat sentiasa diteliti dan
perkataan yang hendak digunakan itu dipilih daripada perkataan yang sehalus-halusnya dan cara
mengeluarkan perkataan itu pula bersopan santun, termasuklah menggunakan gaya yang
bertatatertib.

Oleh sebab itulah, timbul beberapa perkataan yang digunakan untuk menjadi pengganti
diri pertama, kedua dan diri ketiga yang mengandungi makna yang dalam dan merendah diri.
Walaupun zaman berubah dengan kemunculan pelbagaui budaya dan adat yang boleh
mempengaruhi adat yang mengandungi adab sesebuah masyarakat, namun adat yang penuh
dengan sopan santun yang dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat kita tetap utuh dan lebih-
lebih lagi dalam majlis yang penuh adat istiadat. Kesinambungan yang sedemikian ini
mencerminkan bentuk masyarakat kita yang sempurna, beradab dan berdisiplin seiring dengan
kehalusan perilaku dan keindahan orang Melayu Brunei yang diwarisi sejak zaman-berzaman
lagi.

10
BIBIOGRAFI

Abd. Karim bin Haji Abd. Rahman, Hj. (2002). Puak Tutong: Sejarah dan perkembangan awal
sosiobudaya. Bandar Seri Begawan: Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan
Belia dan Sukan.
Allen, J. P. B. Dan S. Pit Corder. Ed. (1973). Readings for applied linguistics. London: Oxford
University.
Amat Juhari Moain. (1989). Sistem panggilan dalam bahasa Melayu: Suatu analisis
sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jaludin bin Hj. Chuchu, Hj., Prof. Madya Dr. (pnys.). (2007). Penggunaan kata sapaan ‘Kau’
dulu dan sekarang dalam konteks puak Melayu Kedayan dalam Seminar tahunan
Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik II: Multibahasa pencerna dan pewahanaan ilmu
pengetahuan. Universiti Brunei Darussalam: Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik,
Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
Sumarsono dan Paina Partana. (2002). Sosiolingustik. Yogyakarta: Sabda.

11

You might also like