You are on page 1of 2

Teori kepimpinan McGregor

Konsep teori kepimpinan ini menggandungi dua teori iaitu teori X dan teori Y yang
diperkenalkan oleh Douglas McGregor dalam bukunya yang bertajuk “The Human Side of
Enterprise”. Teori ini menerangkan dua keadaan yang bertentangan dengan sifat manusia.
Berdasarkan teori X, pemimpin-pemimpin yang berkesan ialah mereka yang bersifat
autokratik. Mereka membuat keputusan tanpa melibatkan orang bawahan dan tiada proses
delegasi kuasa. Pendekatan ‘carrot and stick’ digunakan dalam teori ini yang bermaksud
pemimpin perlu menekankan kepada pemusatan terhadap tugas semata-mata dan tidak perlu
memberi tumpuan memberi kepada aspek-aspek kemanusiaan dalam organisasi. (A.B Aziz
Yusuf: 2004)

Teori X juga menerangkan gaya pengurusan yang bersifat autokratik yang


berdasarakan kepada andaian mengenai individu berhubung dengan kerjanya. Antara
andaiannya ialah manusia secara semulajadinya mempunyai sifat malas dan selalu cuba
mengelakkan dari membuat sebarang kerja. Jika diberi peluang, mereka akan mengelak
daripada bekerja. Oleh itu mereka mesti dipaksa, diarah dan dimotivasikan untuk
melaksanakan tugas itu. Matlamat semulajadi manusia juga bertentangan dengan matlamat
organisasi. Oleh itu dia terpaksa diugut, dipaksa atau dikawal oleh kuasa-kuasa luaran bagi
menentukan bahawa manusia itu bekerja untuk mencapai matlamat organisasi. Oleh kerana
perasaan yang tidak rasional, manusia tidak berkebolehan untuk mendisplinkan diri sendiri.
Kebanyakan daripada manusia lebih suka diarah, ingin mengelakkan diri daripada bebanan
tanggungjawab, tidak mempunyai cita-cita yang tinggi dan mengutamakan keselamatan diri
daripada perkara-perkara yang lain. (Jaafar: 1999)

Berlainan pula dengan teori Y, ia menyatakan kepimpinan yang berkesan


mengamalkan gaya kepimpinan demokratik yang melibatkan orang bawahan dalam proses
membuat keputusan tentang matlamat dan polisi organisasi. Faktor-faktor kemanusiaan diberi
keutamaan di mana pemimpin mestilah berorientasikan manusia dalam proses
kepimpinannya. Proses delegasi kuasa pada tahap yang munasabah mesti berlaku sekiranya
gaya kepimpinan pemimpin adalah berasaskan teori ini. (A.B Aziz Yusuf: 2004)Teori Y juga,
mempunyai andaian yang berlawanan dengan Teori X, antara andaian Teori Y ialah manusia
sukakan tanggungjawab, malahan selalu cuba mencarinya kerana ia memberikan mereka
peluang untuk menggunakan kemahiran imaginasi serta kreativiti mereka. Manusia juga
mempunyai kemampuan daya usaha kerja dari segi mental dan fizikal untuk membentuk dan
membuat sesuatu kerja berguna. Kawalan dan hukuman bukanlah satu cara yang baik untuk
mencapai matlamat organisasi. (Jaafar: 1999)

Input-input dari teori X dan teori Y dikatakan mempengaruhi secara langsung gaya
kepimpinan seorang pengurus dan secara tidak langsungnya kelakuan subordinat.
Kesimpulannya, teori Y lebih optimistik, realistik, berperikemanusiaan dan praktikal.
Walaubagaimanapun kedua-dua teori ini mempunyai kelemahan masing-masing
menggambarkan dua keadaan yang ekstrim dalam mengandaikan kelakuan manusia. Struktur
organisasi, kaedah motivasi, proses membuat keputusan, jalinan komunikasi dan sistem
kawalan yang digunakan oleh pemimpin adalah berbeza mengikut gaya kepimpinan yang
diamalkannya, sama ada Teori X atau Teori Y. (Jaafar: 1999)

Teori Kontinjensi

Teori ini merupakan teori yang mengambil kira faktor-faktor situasi yang akan
mempengaruhi keberkesanan kepimpinan. Mengikut Robbins (2001) di antara faktor-faktor
situasi yang dimaksudkan adalah tahap struktur tugas yang dijalankan, kualiti perhubungan di
antara kepimpinan dengan ahli, kedudukan kuasa, kejelasan pesanan subordinat, norma
kumpulan, kesediaan maklumat, penerimaan pengikut terhadap keputusan pemimpin dan
kematangan pengikut. (Jaafar: 1999)

You might also like