You are on page 1of 5

BAHAGIAN B

Secara individu sediakan esei pendek bagaimana pengetahuan pelbagai budaya


yang anda pelajari dapat membantu mewujudkan satu bilik darjah yang mesra
budaya.

Bilik darjah adalah satu tempat di mana murid-murid dan guru berinteraksi
secara formal dan berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran dalam interaksi
tersebut. Proses pengajaran dan pembelajaran tersebut dilaksanakan dengan
berbantukan peralatan dan persekitaran fizikal tempat berlangsungnya proses
pengajaran dan pembelajaran tersebut.

Mesra pula boleh didefinisikan sebagai satu perasaan yang menggambarkan


kegembiraan, keceriaan dan keselesaan yang wujud dalam interaksi sesama individu
dalam sesebuah masyarakat. Budaya pula boleh didefinisikan sebagai satu amalan
yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat. Jadi persekitaran bilik darjah yang mesra
budaya boleh difahamkan sebagai suatu persekitaran bilik darjah yang selesa, gembira
dan ceria yang telah diwujudkan oleh guru melalui amalan dan perlakuan yang telah
diterapkan dalam pengajaran guru tersebut dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.

Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya menjadi faktor keberkesanan


kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab itu seseorang guru haruslah
bijak dalam mewujudkan sebuah persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Salah
satu perkara yang harus diberi perhatian adalah pengurusan persekitaran fizikal. Guru
harus jelas bahawa bilik darjah adalah satu ekologi yang mempunyai sistemnya yang
tersendiri. Ia mempunyai perkaitan dan pertautan antara persekitaran fizikalnya dengan
benda-benda bernyawa yakni guru dan murid-murid. Dalam pengurusan persekitaran
fizikal, satu daripada aspek penting yang harus diberi perhatian adalah pelan lantai.
Guru perlu merancang susun atur ruang aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi
menghasilkan proses pembelajaran yang berkesan. Selain itu, ruang yang disediakan
juga harus mengambil kira juga unsur-unsur hubungan sosial dan pemupukan nilai-nilai
perpaduan dan persefahaman antara pelbagai kaum. Selain itu, aspek kebersihan
pencahayaan dan pengudaraan juga memainkan peranan yang penting dalam
menguruskan persekitaran fizikal bilik darjah. Ruang dan persekitaran yang bersih
menimbulkan kedamaian dan keselesaan di samping mendorong murid untuk menjalani
proses pembelajaran dengan ceria. Guru juga perlu memastikan sistem pencahayaan
dan pengudaraan sesuai bagi menyediakan suasana yang selesa kepda murid untuk
menjalani proses pengajaran dan pembelajaran. Perseitaran bilik darjah seharusya
dalam keadaan tidak terlalu terang atau suram serta mendapat bekalan udara yang
bersih dan segar. Selain itu juga, aspek yang harus ditumpukan adalah susunan kerusi
dan meja serta susunan perabot dan peralatan. Pastikan bahawa kerusi dan meja
disusun dalam susunan yang memudahkan guru memantau pergerakan murid.
Susunan perabot dan peralatan pengajaran dan pembelajaran pula perlu disesuaikan
dengan suasanan dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, guru juga
boleh memberi murid kebebasan untuk menghias bilik darjah dengan pandangan dan
nasihat dari guru. Bilik darjah juga sepatutnya menjadi tempat di mana berlakunya
galakan budaya membaca dalam kalangan murid. Oleh itu tindakan seperti menampal
nota dan tugasan, mewujudkan perpustakaan mini, menggantung kad-kad bacaan dan
sebagainya dapat menggalakan budaya membaca di kalangan murid.

Dalam mewujudkan sebuah bilik darjah yang mesra budaya, pengurusan


persekitaran sosioemosi juga harus diberi perhatian oleh guru. Perkataan sosioemosi
terdiri daripada dua perkataan iaitu sosial dan emosi. Bagi perkembangan sosial setiap
individu bermula daripada alam kanak-kanak dan ini mempengaruhi kehidupan pada
peringkat seterusnya. Perkembangan sosial merupakan proses kanak-kanak belajar
dan orang lain mengikut carayang dapat diterima oleh masyarakat dan budayanya.
Emosi pula ialah satu perasaan dan juga gerak hati yang dialami oleh seseorang
individu yang akan terpapar melalui tindak balas fisiologi sekiranya berlaku ransangan
terhadap emosi sesuatu keadaan. Oleh itu, perkembangan sosial yang positif
menyebabkan seseorang itu sentiasa mempertimbangkan emosinya dengan
mengekalkan emosi yang positif dan mengawal emosi yang negatif. Oleh itu adalah
penting bagi guru untuk membina sosioemosi yang positif dalam diri individu seawal
peringkat kanka-kanak lagi. Salah satunya adalah bagi membina persekitaran bilik
darjah yang mesra budaya, guru perlu menjadi model perlakuan yang baik, penyayang
terhadap murid, mengurus emosi dengan berkesan dan mempunyai kemahiran sosial
yang tinggi. Di samping itu, persekitaran dan pengalaman juga memainkan peranan
yang penting. Pengalaman melalui peraturan-peraturan yang ditetapkan dan guru perlu
membuat pengukuhan terhadap perlakuan murid sama ada perlakuan yang betul diberi
ganjaran atau perlakuan yang salah akan diberi dendaan. Selain itu, guru sepatutnya
mewujudkan sebuah komuniti pembelajaran melalui pembinaan persekitaran yang
prihatin dan penyayang di mana murid mempunyai rasa tanggungjawab untuk
mewujudkan suasana pembelajaran yang sempurna dan berkesan. Guru perlu
memupuk nilai-nilai kepercayaan saling bergantung sesama murid dalam memastikan
murid memiliki sikap penyayang dan prihatin. Aktiviti bermain juga memainkan peranan
yang penting dalam perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Seseorang guru
seharusnya menyediakan banyak aktiviti bermain kerana bermain mendorong
pemupukan budaya yang kolaboratif dan koperatif dalam pengajaran dan
pembelajaran. Aktiviti seperti ini akan meningkatkan kemahiran interpersonal dan
intrapersonal, kemahiran menyelesaikan masalah serta kemahiran berkomunikasi
antara kanak-kanak. Dalam menguruskan persekitaran sosioemosi minat dan
pencapaian pelajaran juga memainkan peranan dalam membentuk perkembangan
sosioemosi kanak-kanak. Hal ini kerana walaupun seseorang murid tidak begitu
cemerlang dalam pelajarannya, namun sekiranya terdapat suatu tarikan dalam bilik
darjah, murid tersebut akan bersemangat untuk berada dalam bilik darjah tersebut.
Sebagai contoh, guru boleh menyelitkan aktiviti menyanyikan lagu pelbagai kaum
dalam satu pembelajaran dan ini menjadikan murid gembira tanpa mengira lagu bangsa
apa dan bahasa siapa. Murid akan berasa teruja apabila mampu menyanyikan lagu kau
lain. Antara lain yang menjadi aspek dalam pengurusan persekitaran sosioemosi ini
adalah motivasi, budaya dan pembelajaran. Murid daripada pelbagai budaya
mempunyai cara yang berbeza-beza dalam memotivasikan diri untuk mencapai
kejayaan. Oleh yang demikian guru harus mengetahui keperluan murid dalam
memotivasikan mereka. Bagi memotivasikan murid, guru boleh memberi galakan
kepada murid, menggunakan persekitaran sosial untuk menggalakan pembelajaran,
menerangkan kemahiran baru yang perlu murid kuasai dan pelbagai lagi.
Dalam mewujudkan sebuah persekitaran bili darjah yang mesra budaya, antara
perkara penting yang lain yang harus seseorang guru titik beratkan adalah
perhubungan antara kelompok etnik. Bagi sesebuah negara seperti Malaysia yang
terdiri daripada pelbagai etnik, sekolah merupakan tempat perjumpaan dan pertemuan
kanak-kanak daripada pelbagai etnik. Di sekolah mereka akan bergaul dan belajar
mengenali antara satu sama lain serta menjalinkan nilai-nilai perpaduan. Oleh yang
demikian, guru sememangnya memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan
murid-murid daripada pelbagai latar belakang dapat menjalani kehidupan seharian
mereka dalam suasana yang harmoni. Dengan ini guru seharusnya dapat memupuk
nilai-nilai perpaduan dalam diri murid-murid yang terdiri daripada pelbagai latar
belakang dan kelompok etnik. Antaranya ialah merancang aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang membuka ruang dan peluang kepada semua murid untuk
berinteraksi bagi mewujudkan suasana yang mesra, membina semangat setiakawan
yang tinggi melalui aktiviti berkumpulan, menyediakan isi pelajaran yang menjurus
kepada pemupukan nilai-nilai harmoni, perpaduan dan saling menghormati,
menonjolkan keunikan dan keistimewaan ciri-ciri budaya elbagai etnik, dan membina
persekitaran pembelajaran yang membina dan menghargai perbezaan antara etnik.

Dalam pada itu, pengurusan pengajaran dan pembelajaran juga adalah penting
dalam mewujudkan sebuah persekitaran yang mesra budaya. Pengurusan dan
pembelajaran yang berkesan akan mencapai matlamat pembelajaran seperti yang telah
dihasratkan. Oleh yang demikian seseorang guru harus merancang pelbagai aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan perbezaan budaya murid. Sebagai
contoh, guru boleh memilih murid daripada pelbagai etnik ntuk aktiviti berkumpulan dan
tindakan ini dapat menggalakan perkongsian idea dan pendapat di samping dapat
mengenali budaya masing-masing secara lebih dekat lagi. Hal ini mendorong kepada
murid akan menghormati etnik dan budaya lain dengan lebih baik lagi. Di samping itu,
guru harus melayan karenah murid dengan adil tanpa membeza-bezaan etnik
keturunan murid. Hal ini dapat memupuk nilai menghargai budaya etnik lain dengan
menonjolkan melalui aktiviti pembelajaran.
Selain itu juga, satu perkara yang paling senang untuk dilihat sebagai faktor
untuk mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya adalah peranan bahasa dalam
masyarakat yang pelbagai budaya. Memandangkan Malaysia terdiri daripada
masyarakat yang berbilang etnik, guru perlu memahami latar belakang pelajar yang
diajar terutamanya faktor budaya yang mempengaruhi perlakuan muridnya sama ada
perlakuan berbahasa ataupun perlakuan bukan bahasa. Antara peranan yang boleh
dimainkan oleh seorang guru dalam aspek sosiolinguistik ini adalah seperti
mengadakan pelbagai jenis aktiviti berbahasa, sastera, dan budaya dalam kalangan
muridnya. Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan
kepelbagaian unsur budaya bukan sahaja dapat memupuk kesefahaman antara murid
yang terdiri daripada pelbagai etnik malahan ruang tersebut akan mendorong
memahami dan menguasai kosa kata bahasa etnik rakan-rakan mereka.

Kesimpulannya, jika seseorang guru tersebut berjaya mewujudkan sebuah bilik


darjah yang mesra budaya, maka guru tersebut secara tidak langsung berjaya
membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menjunjung masa hadapan yang
dikongsi bersama.

You might also like