You are on page 1of 6

UCAPAN PERASMIAN

MAJLIS KONVOKESYEN PRASEKOLAH DAERAH PASIR GUDANG 2010


OLEH
PEGAWAI PELAJARAN DAERAH PASIR GUDANG
DI DEWAN KOMPLEKS PUSAT BANDAR PASIR GUDANG
PADA
8 NOVEMBER 2010

Yang dihormati (Pengerusi Prasekolah Daerah Pasir Gudang)


Yang berusaha, guru besar-guru besar sekolah-sekolah daerah Pasir
Gudang,
Guru-guru prasekolah,
Pembantu-pembantu Pengurusan Murid,
Murid-murid yang diraikan pada hari ini,
Ibu bapa,
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati dan dikasihi sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Salam sejahtera,
Salam 1Malaysia.

Pertama sekali, mari kita sama-sama memanjatkan sepenuh kesyukuran


kerana dengan izin-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul di dalam
dewan yang indah ini untuk satu tujuan yang murni, iaitu bagi meraikan
murid-murid prasekolah sesi persekolahan 2010 yang telah berjaya
menamatkan persekolahan prasekolah mereka.
Jika tuan-tuan dan puan-puan dapat lihat sendiri, dewan ini dipenuhi
dengan guru-guru dan pembantu pengurusan murid. Mereka ini telah
berganding bahu dan berusaha keras bagi memastikan majlis yang mulia ini
dapat berlangsung dengan sempurna demi menjadikan ia satu hari yang
penuh kenangan kepada murid-murid ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Untuk pengetahuan kita bersama, Majlis Konvokesyen ini merupakan
program tahunan yang kita adakan dengan penuh gilang-gemilang. Ia salah
satu acara penting yang mewarnai takwim aktiviti prasekolah selain aktiviti-
aktiviti kejohanan sukan dan olahraga, kebudayaan, bahasa dan
sebagainya. Majlis ini juga sebagai penutup tirai kepada semua aktiviti
prasekolah.

Maka, molek benarlah majlis ini turut menjadi tanda penghargaan


terhadap jasa dan pengorbanan guru-guru, PPM dan tidak lupa juga semua
ibu, bapa dan penjaga yang sama-sama mengasuh dan mendidik anak-anak
kecil ini sebagai persediaan mereka untuk menghadapi alam persekolahan
yang lebih mencabar pada tahun hadapan.

Jika sebelum ini, mungkin ada di antara anak-anak ini yang bersifat
introvert dan kurang keyakinan diri, kini, setelah setahun berlalu, tuan-tuan
dan puan-puan sendiri dapat melihat perubahan sikap yang sangat ketara
dan positif. Murid-murid ini telah menyertai pelbagai jenis pertandingan
seperti olahraga, tarian, nyanyian, bercerita dan sebagainya. Ada yang
bakal kita saksikan bakatnya untuk menghiburkan kita pada pagi ini. Semua
pertandingan dan aktiviti ini bukan sahaja bertujuan untuk mencari
pemenangnya semata-mata, tetapi lebih berorientasikan pembinaan self-
esteem atau keyakinan diri sewaktu berhadapan dengan situasi yang
mendebarkan atau terpaksa berhadapan di hadapan khalayak. Di kalangan
kita sendiri pun ada yang masih terketar-ketar untuk bercakap di hadapan
umum, tetapi murid-murid ini berjaya menampilkan persembahan yang
menarik dan bersahaja walaupun bertubuh kecil molek. Pelbagai
pencapaian telah digapai dan dicipta, sama ada pada peringkat sekolah,
zon, daerah, negeri, hatta ada di antara mereka yang telah mengharumkan
nama negeri Johor di peringkat kebangsaan. Namun, itu semua tidak
datang bergolek.

Hadirin yang dihormati,

Semangat kerjasama di kalangan mereka turut dipupuk semenjak mereka


melangkah ke dalam kelas-kelas prasekolah. Pelbagai teknik pengajaran
dan pembelajaran dirancang bagi memastikan mereka menyelesaikan
sesuatu tugasan itu bersama-sama. Tidak kiralah di dalam aktiviti
membaca, mengira, beriadah dan sebagainya.

Adalah amat penting agar anak-anak ini belajar untuk bekerja dalam
satu pasukan tanpa mengira warna kulit dan agama sewaktu mereka masih
mentah lagi. Ini supaya amalan ini menjadi kebiasaan sehinggalah mereka
dewasa kelak. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Interaksi interpersonal yang diterapkan sewaktu mereka belajar,
bukan sahaja di antara murid dengan guru, atau murid dengan bahan
pembelajaran, tetapi yang lebih penting, interaksi sesama mereka sendiri.
Adab dan tatacara sewaktu berinteraksi dan berkomunikasi turut sama
diutamakan dan mereka dididik agar dapat berhubung sesama manusia
dalam suasana yang aman, beradab dan berkemanusiaan.

Semua ini adalah sejajar dengan semangat 1Malaysia yang menjadi


tunggak kepada keamanan dan setiakawan antara masyarakat pelbagai
kaum dan agama. Kita mahu anak-anak ini berkawan dengan sesiapa
sahaja, dan menghapuskan syak wasangka yang sentiasa bermain di benak
orang-orang dewasa seperti kita.

Kita sama-sama berharap agar semua ini tidak terkandas di tengah


jalan. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tugas dan tanggung jawab tuan-
tuan dan puan-puan semua agar apa yang telah disemai di dalam jiwa anak-
anak ini terus dibaja, disiram dan dijaga, agar ia terus subur sehinggalah
mereka cukup matang. Janganlah kita menjadi racun, yang membunuh
benih-benih ini, atau pun menjadi sabit, yang ‘menebas’ dedaun yang
menghijau apabila ia cukup subur. Jika tidak, sia-sialah apa sahaja usaha
mereka sepanjang berada di bangku prasekolah ini.
Kuning emas masaknya padi,
Mawar merah dalam jambangan,
Terima kasih setulus hati,
Budimu tuan jadi sanjungan

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan setinggi-tinggi


penghargaan dan syabas kepada semua guru dan PPM yang tanpa
mengenal lelah dan penat, mendidik murid-murid ini dengan penuh kasih
sayang. Bayangkan kesusahan dan cabaran yang dihadapi oleh mereka
dalam melayan karenah anak-anak ini yang masih kecil. Tanpa kesabaran
dan tekad, tidak mungkin kita dapat berjumpa pada pagi ini untuk melihat
kejayaan murid-murid ini. Kita kadangkala tidak sedar dan mengambil
ringan akan usaha yang ditunjukkan guru-guru dan PPM, dan mereka pun
bukanlah golongan yang suka mendabik dada terhadap jasa yang telah
dicurahkan. Mereka tidak pernah mengeluh di hadapan kita, apatah lagi
berputus harap. Terima kasih cikgu, kerana cikgu mendidik anak kami.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua murid prasekolah


daerah Pasir Gudang kerana anda semua telah berjaya mengharungi alam
pendidikan selama setahun. Diharapkan murid-murid semua dapat
menggunakan dan mengamalkan apa sahaja yang telah dipelajari sebagai
bekalan untuk ke Tahun 1 pada tahun hadapan. Marilah sama-sama berdoa
agar anda semua mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada tahun
hadapan. Tunjukkan keyakinan diri ada yang tinggi ketika menerima sijil di
atas pentas ini nanti. Kami bangga dengan anda semua.

Tidak lupa juga kepada semua pihak, sama ada terlibat secara
langsung atau tidak langsung, daripada jawatankuasa penyediaan makanan,
sehinggalah jawatankuasa teknikal, bagi memastikan majlis yang penuh
bermakna ini menjadi lebih bermakna. Jasa tuan-tuan dan puan-puan
semua hanya Allah yang dapat membalasnya.

Hadirin sekalian,
Dengan kata-kata akhir itu tadi, saya dengan sukacitanya dan dengan lafaz
yang mulia Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Majlis Konvokesyen
Prasekolah Daerah Pasir Gudang Tahun 2010.

Sekian,
Wabillahitaufiq wal hidayah,
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

You might also like