You are on page 1of 3

NOTA LISAN

GAYA HIDUP SIHAT

Gaya Hidup Sihat Perlu Keseimbangan Rohani dan Jasmani Jun 4, 2007


Posted by MOHD IDZANEY ZAKARIA in Cara Hidup.

Masyarakat negara kita sering terdedah dengan pelbagai masalah kesihatan


yang kronik dan akhirnya mengundang kepada kematian. Ia adalah kesan
daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat dan ketidakseimbangan
kesihatan rohani dan jasmani dalam kitaran hidup seharian. Kementerian
Kesihatan kerap kali mengadakan kempen kesihatan untuk memberi kesedaran
kepada awam tentang penjagaan kesihatan yang perlu dipupuk dalam budaya
hidup kita malah perlu disemai sejak awal lagi agar kita tidak tergolong dalam
kalangan yang mempunyai masalah kesihatan. Namun, adakah kempen gaya hidup
sihat, “Tak Nak Merokok”, makanan berkhasiat dan kempen kecerdasan mampu
mengubah pandangan masyarakat kita tentang peri pentingnya menjaga
kesihatan sekaligus mengamalkan gaya hidup yang sihat? Mungkin ada
sesetengah golongan menyedari akan hakikat ini dan ada juga segelintirnya yang
menganggap kesihatan hanya perlu dijaga apabila sudah berusia ataupun ada
sesetengah golongan merasakan usia muda menjadi tiket untuk mereka terus kekal
sihat. Bagi golongan ini, apakah jaminan mereka? Usahkan menunggu sehingga
umur tua, sedangkan yang masih kecil lagipun sudah menghidap pelbagai penyakit.
Usia bukan jaminan untuk kita terus kekal sihat, tetapi usia boleh dijadikan satu
pemangkin untuk kita menjaga kesihatan agar boleh menjalani hidup yang bermakna
pada masa hadapan.

Kesihatan merupakan suatu kekayaan. Walau sehebat manapun seseorang


individu, sihat masih lagi menjadi agenda utama yang perlu dikekalkan. Secara
umumnya, umur 40 tahun adalah tempoh yang paling ketara pelbagai penyakit
dikesan tetapi jika kita menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan sejak dari
awal lagi, pelbagai langkah pencegahan boleh diambil dan merupakan satu cara
yang terbaik daripada kita mengubatinya. Peningkatan utama masalah kesihatan
masyarakat di negara kita adalah kerana gaya hidup yang tidak sihat dan seimbang
termasuklah kurangnya kesedaran dalam menjaga keseimbangan dan
kesederhanaan dalam hidup. Gaya hidup yang berlebihan ini akan mengakibatkan
tekanan dan akhirnya memberi kesan timbulnya pelbagai penyakit. Ruang lingkup
keseimbangan rohani, jasmani, akli, dan sosial perlu dirangkumkan agar ia dapat
diterjemahkan sebagai gaya hidup yang sihat. Oleh itu, penjagaan kesihatan
secara menyeluruh perlu dilaksanakan bagi setiap individu agar dapat
meneruskan amanah dan tanggungjawab masing- masing secara harmoni.
Kesihatan jasmani boleh dikekalkan melalui pengambilan makanan yang sihat
dan seimbang serta melakukan aktiviti fizikal seperti senaman. Kita juga perlu
menjauhkan diri daripada tabiat merokok yang boleh merosakkan kesihatan.
Kesihatan jasmani yang baik juga akan memberi kesan kepada kesihatan
rohani yang mantap. Makanan yang halal dan baik mampu melahirkan insan yang
berkualiti dari aspek rohani dan jasmani.

Kesihatan mental yang baik pula mempamerkan bahawa seseorang itu mampu
mengawal tekanan hidup yang dihadapi secara bijaksana dan bebas daripada
gangguan mental yang boleh mengubah keupayaan seseorang individu. Manakala
kesihatan sosial ialah, individu mampu menambah atau mengekalkan jaringan
hubungan antara masyarakat yang akhirnya dapat mengekalkan kesihatan diri
sendiri mahupun masyarakat umumnya. Gabungjalin antara kesemua unsur itu
perlu diamalkan bagi setiap individu dalam suasana hari ini agar tidak
mengundang pelbagai penyakit moden yang kini kian menular dalam
masyarakat kita.

Hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan tahun 2006 mendapati
bahawa amalan gaya hidup masyarakat di negara ini menyebabkan banyak masalah
kesihatan yang kronik. Apabila masyarakat terdedah dengan faktor risiko yang lebih
menjurus kepada amalan gaya hidup akan mengundang kepada penyakit berbahaya
seperti jantung, kencing manis, angin ahmar, kanser, darah tinggi, kegagalan
buah pinggang, kerosakan paru- paru dan penyakit tulang. Antara ciri yang
boleh mendatangkan risiko penyakit berbahaya yang tidak berjangkit adalah gaya
pemakanan yang tidak sihat di mana didapati seramai 8.7 juta (7.8 peratus)
daripada masyarakat kita tidak memakan sayur- sayuran dan buah- buahan.
Manakala sebanyak 7.2 juta (60.1 peratus) rakyat tidak menjalankan aktiviti
fizikal yang sepatutnya. Dan juga ciri gaya hidup yang lain seperti merokok, minum
arak, kegemukan, buncit juga mendatangkan risiko kesihatan. Jika diteliti hasil
kajian ini, menunjukkan bahawa pemakanan secara seimbang dan aktiviti fizikal
tidak dititikberatkan dalam gaya hidup masyarakat Malaysia. Sebab itulah
pesakit kanser, jantung, diabetes dan darah tinggi adalah antara golongan yang
paling banyak menerima rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun 2006
(Kementerian Kesihatan) di mana penyakit tersebut adalah penyakit yang
disebabkan oleh faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Oleh itu, kita seharusnya melihat bahawa arus penyakit pada hari ini lebih menjurus
kepada unsur pemakanan dan gaya hidup walaupun mungkin terdapat juga faktor
persekitaran dan lahiriah yang menyumbang kepada masalah penyakit tersebut.
Sepatutnya, kita perlu ada kesedaran di dalam diri untuk menggiatkan lagi
penjagaan kesihatan walaupun di usia muda kerana pengabaian kesihatan
menyebabkan kita seolah- olah menyimpan bom yang akan meletup bila- bila
masa sahaja apabila sampai kepada tahap kronik. Oleh itu, seharusnya kita
berwaspada.

Masalah kesihatan di dunia kini mengalami revolusi di mana jika dahulu


kebanyakan masyarakat mengalami masalah kekurangan zat galian dan
vitamin tetapi hakikat hari ini telah berubah di mana masyarakat mengalami
masalah kesihatan disebabkan terlebih makan dan seterusnya berlanjutan kepada
masalah lebihan kolesterol, lebihan gula dan kegemukan. Penyakit yang wujud
dalam masyarakat sekarang adalah kerana manusia tidak mengikut peraturan yang
telah disusun oleh Allah SWT dan mengikut Sunnah yang telah diajarkan oleh
Rasulullah SAW. Ia berlaku akibat kelalaian dan kealpaan manusia itu sendiri kerana
tidak menjaga keseimbangan dalam hidup. Keseimbangan adalah penting untuk
kita mengekalkan kesihatan yang optimum. Namun, disebabkan kegagalan inilah
menyebabkan mereka mendapat pelbagai penyakit. Sepertimana yang termaktub
dalam surah ar- Ruum ayat 41 di mana Allah mengingatkan kita bahawa kerosakan
di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri dan mereka
perlu bertanggungjawab dan merasakan akibat daripada perbuatan tersebut.

Nyata hari ini, masyarakat kurang menyayangi diri mereka dengan tidak
mengamalkan pemakanan halal dan sihat, gaya hidup yang tidak sihat,
terdedah kepada tekanan yang juga menjadi akar umbi kepada masalah
kesihatan dan juga tidak menitikberatkan soal kesihatan rohani. Agama Islam
melarang manusia mementingkan diri sendiri tetapi kita bertanggungjawab untuk
menjaga diri dan seharusnya ia dijadikan penggerak untuk memperbaiki mutu
kesihatan diri kita. Oleh itu, sudah sampai masanya masyarakat muhasabah
kembali kesilapan dan memperbetulkannya serta perlu menjadikan kesihatan
sebagai satu amalan penting dalam hidup tidak kira semua lapisan umur. Gaya
hidup yang sihat memerlukan kita menjaga keseimbangan antara rohani dan
jasmani bagi mengelakkan pelbagai serangan penyakit moden kini dan seterusnya
kita boleh meneruskan kehidupan ini dengan kekal sihat dan teratur.

You might also like