You are on page 1of 10

PEMBINAAN PERSEKITARAN BILIK DARJAH YANG MESRA BUDAYA.

1.0 Pengenalan

Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh rakyat berbilang


kaum daripada pelbagai latar belakang budaya yang hidup aman dan damai
bersama. Integrasi antara kaum ini seterusnya membentuk budaya Malaysia.
Budaya ini menjadi sebahagian daripada budaya pendidikan di sekolah
yang turut meliputi budaya dari segi lokasi, pekerjaan ibu bapa, pendidikan yang
diterima, status ekonomi, sosial, keturunan, kuasa politik, bangsa, bahasa, adat
resam, kepercayaan dan jantina. Justeru itu, bagi mewujudkan suasana
pembelajaran yang kondusif, adalah penting bagi guru dan pihak sekolah untuk
membina persekitaran bilik darjah yang mesra budaya.
Guru perlulah kreatif dan bijak dalam menyediakan pelan bilik darjah yang
mesra budaya. Umur, tahap persekolahan, minat dan keperluan murid-murid
dalam kelas tersebut perlulah diambil kira dalam penyediaan pelan bilik darjah
ini.
Hasil daripada pembelajaran dalam persekitaran bilik darjah yang mesra
budaya ini, kita dapat melahirkan murid-murid tanpa mengira latar belakang
sosio budaya yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, intelektual
dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Murid-murid ini
seterusnya akan membentuk masyarakat yang harmonis dan aman serta
berjaya.

2.0 Konsep budaya dan kepelbagaian kelompok di Malaysia


Konsep kebudayaan sangat meluas, merangkumi pelbagai komponen dan
boleh dianalisis melalui pelbagai cara (Berry, 2000). Perkataan budaya adalah
berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit, “budhi” dan perkataan Melayu
iaitu “daya”. Perkataan “budhi” membawa maksud kecergasan fizikal dan akal,
manakala perkataan “daya” bererti kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh.
Cantuman perkataan-perkataan ini, budaya boleh memberi maksud
gabungan kecergasan pemikiran, kuasa, tenaga serta pengaruh seseorang
individu boleh mencetuskan buah fikiran yang mampu memahami seterusnya
menyelesaikan sesuatu permasalahan. Penyelesaian ini seterusnya menjadi
amalan sekelompok masyarakat yang kemudiaannya dijadikan sebagai
sebahagian daripada budaya setempat yang diwarisi daripada satu generasi ke
generasi seterusnya.
John W.Santrock (2007) mendefinisikan budaya sebagai “the behaviour,
patterns, beliefs, and all other products of a particular group of people that are
passed on from generation to generation”. Takrifan lain bagi budaya adalah hasil
interaksi antara beberapa kumpulan masyarakat dengan persekitaran melewati
satu tempoh masa yang lama iaitu banyak tahun. Budaya itu sendiri boleh
mempengaruhi identiti, cara pembelajaran, dan tingkah laku sosial ahlinya
(Bornstein, M.H., 1999; Goodnow, 1995).
Keseluruhannya, budaya merupakan cara hidup yang diamalkan dalam
sesebuah masyarakat merangkumi cara pemikiran, tingkah laku, kepercayaan,
adat resam, sistem sosial, ekonomi, politik dan pendidikan. Kebudayaan turut
diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya dan dalam masa yang
sama budaya itu boleh mengalami pengubahsuaian mengikut persekitaran
semasa.
Di sekolah, kepelbagaian budaya antara kelompok murid adalah daripada
sudut lokasi, pekerjaan ibu bapa, pendidikan yang diterima, status ekonomi,
sosial, keturunan, kuasa politik, bangsa, bahasa, adat resam, kepercayaan dan
jantina. Di samping itu, budaya turut meliputi peralatan dan kelengkapan, sistem
ekonomi, sistem kemasyarakatan, bahasa, kesenian, sistem pengetahuan,
kepercayaan dan kerajaan (Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Maskon,
2010).
3.0 Kepelbagaian sosio-budaya dan implikasinya dalam pengajaran dan
pembelajaran

Bagi skop pendidikan masa kini, budaya di sekolah adalah cermin kepada
budaya masyarakat. Pendidikan di sekolah adalah mengikut acuan budaya
masyarakat. Ini menunjukkan budaya masyarakat memberi pengaruh yang agak
besar kepada suasana dan cara didikan murid-murid di sekolah.
Sudah menjadi tanggungjawab guru di negara ini untuk mendidik murid-
murid mengikut acuan budaya Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang
berbudaya Malaysia. Ini adalah penting untuk interaksi dan penyesuaian diri
murid-murid itu dalam suasana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
dengan pelbagai latar belakang budaya. Seterusnya melalui pendidikan sebegini,
hasrat melahirkan masyarakat 1 Malaysia akan tercapai.
Masyarakat di Malaysia mempunyai pelbagai sosio budaya yang boleh
diklasifikan berdasarkan perbezaan bangsa, struktur masyarakat atau kelas
sosial, kepercayaan, bahasa, adat resam dan jantina. Murid-murid di sekolah
wajar didedahkan dengan kepelbagaian sosio budaya dalam masyarakat bagi
mewujudkan pembelajaran yang kondusif dalam persekitaran yang mengandungi
pelbagai sosio budaya.

4.0 Pembinaan pengajaran dan pembelajaran serta persekitaran bilik darjah yang
mesra budaya

Pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang mesra budaya akan


menggalakkan interaksi dan integrasi di kalangan murid dalam situasi yang
kondusif. Marzano (2003) berpendapat tindakan guru dalam bilik darjah
mempunyai impak dua kali ganda dalam pencapaian murid berbanding dengan
polisi sekolah berkenaan kurikulum, penilaian kerjasama antara guru dan
penglibatan masyarakat. Disebabkan itu, guru memainkan peranan besar dalam
menyediakan persekitaran efektif yang mampu merangsang perkembangan
murid dalam pembelajaran.
Dua aspek penting yang perlu diambill kira semasa membina persekitaran
ini ialah aspek fizikal dan sosio-emosi. Dari segi fizikal, guru perlu merancang
susunan kedudukan dan susunan kerusi meja yang bersesuaian, penggunaan
ruang dalam bilik darjah, peralatan asas yang mencukupi, bahan bantu mengajar
dalam keadaan baik, serta pengudaraan dan pencahayaan yang cukup.
Penyediaan persekitaran fizikal yang baik boleh mengubah suasana
belajar yang membosankan, kurang selesa dan tidak ceria, kepada
pembelajaran yang menyeronokkan, selesa, segar, ceria. Secara tidak langsung,
tumpuan murid terhadap pengajaran serta rangsangan belajar di kalangan murid
meningkat.
Keadaan fizikal yang baik sahaja tidak mencukupi untuk mewujudkan
persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran, pengurusan sosio-emosi yang
berkesan juga perlu diseimbangkan. Motivasi atau kuasa dalaman akan
membangkit, mengarah dan mengawal minat dan tingkah laku murid (Woolfolk,
1990). Justeru itu, emosi murid perlu diurus dengan baik bagi mewujudkan
pembelajaran yang berkesan melalui teknik mengajar yang bersesuaian,
motivasi, ganjaran dan peneguhan serta menitikberatkan kebajikan serta
keperluan murid.
Selain daripada itu, murid perlu didedahkan dengan pengetahuan
mengenai kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia dan menerimanya
dengan hati yang terbuka. Ini boleh diterapkan melalui teknik pengajaran yang
lebih berorientasikan murid bagi mewujudkan lebih interaksi dan kerjasama
antara murid-murid daripada pelbagai latar belakang budaya.
Disamping itu, pemilihan tajuk pembelajaran dan contoh yang berkaitan
kepelbagaian budaya perlu digunakan. Guru juga seharusnya tidak bersikap pilih
kasih dan lebih sensitif dengan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif bagi
mana-mana murid. Nilai-nilai murni seperti kerjasama, kasih sayang, setiakawan
juga perlu disuburkan dalam diri murid-murid tanpa mengira bangsa dan agama.
Elemen-elemen ini sekiranya diaplikasikan dalam bilik darjah dapat mewujudkan
persekitaran mesra budaya dan dapat merangsang pembelajaran murid-murid.
5.0 Pelan lantai bilik darjah mesra budaya

Sebelum melakar pelan ini, saya terlebih dahulu mengenalpasti


kedudukan pintu, tingkap sebagai sumber cahaya dan udara, plug elektrik dan
papan putih dalam bilik darjah. Ini dapat membantu saya untuk merancang
susun atur bilik darjah. Dalam pelan lantai bilik darjah yang saya bina, terdapat
beberapa elemen yang boleh membawa kepada persekitaran mesra budaya di
dalam bilik darjah.
(1) Meja guru
Meja guru diletakkan di hadapan kelas, menghadap meja murid
bagi membantu berlakunya kontek visual antara murid dan guru
sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan meja guru
adalah di bahagian tepi kelas bukan di tengah supaya penglihatan murid
pada papan putih tidak terhalang. Meja ini tidak diletakkan di sebelah
pintu supaya laluan keluar masuk tidak terhalang, sebaliknya diletakkan di
sebelah tingkap bagi memberi pencahayaan dan pengudaraan yang
cukup untuk keselesaan guru. Keselesaan guru dapat merangsang
semangat untuk guru mengajar dalam emosi yang positif.
(2) Rak guru
Rak guru diletakkan di sebelah meja guru bagi kemudahan guru
untuk menyimpan bahan bantu belajar termasuk CD untuk kegunaan
murid.
(3) Meja murid
Meja murid disusun mengikut kumpulan berempat berbentuk V
supaya memudahkan berlakunya komunikasi antara ahli dalam kumpulan.
Susunan ini turut menggalakkan pembelajaran berorientasikan murid yang
membolehkan murid terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Di samping
itu, susun atur sebegini memudahkan murid menjalankan aktiviti
berkumpulan. Dengan susunan berbentuk V, pergerakan murid
menghadap papan putih turut diminimumkan bagi memberi keselesaan
kepada murid-murid, di samping mengekalkan kontek visual antara guru
dengan murid. Meja murid juga tidak diletakkan di depan pintu.
(4) Sudut multi-media
Di sudut ini, disediakan sebuah komputer dengan jaringan internet
untuk penggunaan murid yang disambungkan ke plug elektrik yang di
dinding bahagian tersebut. Sudut ini diletakkan berhampiran meja guru
bagi memudahkan murid mendapat bimbingan guru semasa
penggunaannya. Ini juga dapat memberi kelebihan kepada guru untuk
memantau murid-murid agar menggunakan multi-media secara bijak dan
bermanfaat. Guru juga perlu menyediakan peraturan penggunaan multi-
media ini. Rasionalnya adalah supaya semua murid dapat menikmati
kemudahan ini, pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar dan
mengelakkan berlakunya kerosakan atau kemalangan.
(5) Sudut bacaan
Di satu sudut di bahagian belakang kelas dikhaskan sebagai sudut
bacaan. Di sudut ini, dihamparkan permaidani dan diletakkan beberapa
bantal untuk keselesaan murid-murid. Ruang ini lebih bersifat mesra
kepada murid-murid dan memberi suasana seolah-olah mereka berada di
rumah.
Beberapa rak yang memuatkan buku, kamus, peta, surat khabar,
majalah turut disusun di sudut ini untuk bacaan umum dan rujukan murid.
Bahan-bahan bacaan ini diperolehi daripada sumbangan murid dan guru.
Oleh itu, murid-murid akan berasa lebih bertanggungjawab untuk
menjaganya kerana merasakan mereka turut memberi sumbangan bahan
bacaan.
Peraturan penggunaan ruangan ini turut dibina seperti bahan
bacaan tidak boleh dikeluarkan daripada kelas, bahan bacaan perlu
disusun kembali di atas rak selepas digunakan dan sebagainya. Peraturan
sebegini boleh mengelakkan berlakunya kerosakan dan kehilangan bahan
bacaan ini.
(6) Meja bulat
Meja bulat diletakkan di tengah bahagian belakang kelas bagi
membolehkan murid berehat atau berbincang. Oleh itu, kedudukannya
adalah berhampiran dengan bekas air minuman.
(7) Bekas air minuman
Satu bekas air minuman yang besar diletakkan di antara sudut
bacaan dan tempat simpanan bekal makanan. Ini dapat menggalakkan
murid-murid untuk minum banyak air untuk kesihatan. Satu jadual
disediakan untuk menyelenggara bekas air minuman ini.
(8) Tempat simpanan bekal makanan
Semua murid dikehendaki menyimpan bekal makanan masing-masing di
sini. Sekiranya bekal makanan diletakkan di meja murid, andainya
makanan itu tertumpah, ruang meja murid akan kotor dan mungkin juga
akan mengotorkan buku-buku murid. Selain daripada itu, bekal makanan
itu juga boleh menarik perhatian murid sehingga mengganggu tumpuan
murid semasa belajar.
(9) Tempat simpanan barang murid
Di sini, murid-murid boleh menyimpan beg sekolah dan barang-
barang mereka yang lain. Ini dapat memberi keselesaan kepada murid-
murid agar dapat belajar tanpa gangguan.

(10) Papan kenyataan

Dimuatkan jadual tugasan murid, hasil kerja murid, dan gambar


aktiviti murid pada papan kenyataan untuk rujukan dan hiburan. Dalam
jadual tugasan ini, murid-murid dibahagikan mengikut turutan hari dan
tugas membersihkan kelas. Murid-murid turut merasa bangga melihat
hasil kerja mereka dipamerkan dan secara tidak langsung mencetuskan
minat mereka untuk belajar. Dalam hasil kerja murid turut terdapat input
yang bermanfaat kepada semua murid.
(11) Akuarium dan pokok berpasu

Ini dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran murid melalui


penjagaan ikan dan pokok. Disamping itu, sifat tanggungjawab dapat
dipupuk ke dalam diri murid-murid apabila mereka perlu menjaga ikan,
membersihkan akuarium, dan menyiram pokok.

(12) Bakul sampah

Dengan adanya bakul sampah, kebersihan bilik darjah dapat dijaga


kerana murid-murid perlu membuang sampah ke dalam bakul sampah.

(13) Peti pertolongan cemas

Peti pertolongan cemas ini diletakkan di hadapan kelas dan


berhampiran dengan meja guru. Penggunaan peti pertolongan cemas ini
perlu mendapat keizinan guru. Setiap kelas perlu mempunyai peti
pertolongan cemas kerana kita tidak dapat menjangka bila berlakunya
kemalangan. Dengan adanya peti ini, rawatan kecemasan dapat diberikan
dengan segera apabila berlakunya kemalangan.

(14) Pemadam api

Pemadam api amatlah penting sekiranya berlaku kebakaran.


Dengan adanya pemadam api dalam bilik darjah, kebakaran kecil dapat
dipadamkan dengan segera serta dapat dielakkan daripada merebak.
Guru perlu menjemput pegawai bomba ke sekolah untuk menerangkan
kepada tindakan yang perlu mereka ambil sekiranya berlaku kebakaran
dan bagaimana cara untuk menggunakan pemadam api.

(15) Jam dan kalendar

Jam perlu diletakkan di hadapan kelas untuk melatih murid


menghargai masa. Kalendar pula digunakan untuk rujukan tarikh. Dalam
kalendar turut dicatatkan beberapa hari dan peristiwa penting seperti Hari
Kebangsaan. Ini dapat melatih murid supaya peka dengan peristiwa-
peristiwa penting sebegini.

(16) Pengasah pensel

Pengasah pensel diletakkan berhampiran bakul sampah untuk


kemudahan murid di samping menjaga kebersihan kelas. Ini juga dapat
mengelakkan murid daripada menggunakan pisau untuk mengasah
pensel bagi keselamatan murid.

(17) Pencahayaan dan pengudaraan

Pencahayaan dan pengudaraan yang cukup amatlah penting untuk


keselesaan murid dan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran
dijalankan. Tingkap dan lampu yang mencukupi boleh memberi
pencahayaan dan pengudaraan yang mencukupi. Susun atur perabot
dalam bilik darjah juga disusun tidak menghalang tingkap untuk
mengelakkan berlakunya halangan pencahayaan dan pengudaraan.

6.0 Rumusan

Kesimpulannya, Kemahiran guru menggunakan kreativiti serta


mengaplikasikan pengetahuan dan teknik yang bersesuaian amatlah penting
dalam mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Gabungan
elemen-elemen fizikal dan sosio-emosi dapat mewujudkan suasana yang lebih
harmoni yang membantu ke arah pencapaian objektif pembelajaran.

Bilik darjah ini adalah kondusif untuk semua murid tanpa mengira
perbezaan sosio-budaya sama ada dari segi bangsa, struktur masyarakat atau
kelas sosial, kepercayaan, bahasa, adat resam mahupun jantina. Murid yang
belajar dalam kelas ini mendapat motivasi yang baik yang mendorong semangat
mereka untuk belajar.
7.0 Penutup

Diharapkan bilik darjah mesra budaya dapat diwujudkan di setiap sekolah bagi
memberi peluang yang sama rata kepada semua murid untuk menikmati pembelajaran
yang kondusif.

You might also like