You are on page 1of 7

JXEA 1104

PANTUN KASIH SAYANG


( KARYA TRADISIONAL )

NAMA: DEVINA SHARONICA BINTI SISIH LINSAPU

NO. MATRIX : JEA080012

NAMA PENSYARAH : DR. AMRAN MUHAMMAD

SEMESTER SATU SESI 2008/2009

AKADEMI PENGAJIAN MELAYU


UNIVERSITI MALAYA
PANTUN KASIH SAYANG

1.Menyatakan Kasih Sayang

1) Layang-layang terbang melayang,


Jatuh ke laut disambar jerung,
Siapa kata abang tak sayang,
Jikalau bunga rasa nak gendong.

2) Ada satu anak gelanggang,


Sehari-hari turun ke pantai,
Jika sehari tak ku pandang,
Sebagai bunga layu di tangkai.

3) Bunga melur di atas titi,


Mari dibungkus di dalam kertas,
Dalam telur lagi dinanti,
Inikan pula sudah menetas.

4) Anak beruk di kayu rendang,


Turun mandi di dalam paya,
Hodoh buruk di mata orang,
Cantik manis di mata saya.

5) Lama sudah tidak ke ladang,


Padi sudah dililit kangkung,
Selama tuan tidak kupandang,
Putus hati pengarang jantung.
Pantun merupakan hasil Sastera Melayu yang tertua. Pantun Melayu ialah pengucapan

kemelayuan dan berbentuk non-naratif. Karya-karya pantun yang dicipta mempamerkan

nilai-nilai jati diri dan corak pemikiran masyarakat lama. Dalam pantun turut terkandung

pelbagai unsur keindahan antaranya ialah pantun mempunyai dua bahagian utama iaitu

pembayang dan maksud. Rima akhirnya pula ialah a , b , a , b atau a , a , a , a dan dari

segi suku katanya pula ialah antara lapan hingga 12 suku kata. Gaya bahasa yang

digunakan juga adalah gramatis atau indah-indah belaka dan mereka menggunakan unsur

alam dalam mencipta pantun seperti pokok, daun, bunga dan sebagainya. Selain itu,

pantun juga mempunyai daya ciptaan masyarakat melayu lama yang tinggi nilainya,

bernilai seni dan asli. Pantun ini digunakan oleh masyarakat zaman dahulu bagi

menyatakan hasrat mereka. Masyarakat zaman dahulu mahir dalam mencipta pantun dan

turut dilakukan secara spontan.

Berdasarkan keseluruhan pantun kasih sayang di atas , ajaran yang cuba

disampaikan oleh pengkarya ialah mengenai kasih sayang. Kasih sayang merupakan satu

perasaan cinta, kasih dan sayang kepada seseorang. Dalam kasih sayang boleh

dibahagikan kepada tiga cabang iaitu cinta antara manusia dengan manusia, manusia

dengan Tuhan dan manusia dengan alam. Perasaan sayang selalunya akan disampaikan

melalui pantun oleh masyarakat lama dalam menyampaikan hasrat mereka, hal ini telah

memperlihatkan bahawa masyarakat lama sangat mementingkan sopan santun

terutamanya dalam berkasih sayang. Perasaan kasih sayang merupakan hukum alam

yang tidak dapat dihalang oleh manusia daripada terus belaku kerana ianya sudah

ditakdirkan oleh Ilahi.


Ajaran yang ingin disampaikan dalam rangkap yang pertama ialah tentang

kejujuran dan kesabaran dalam berhubungan. Rangkap ini menjelaskan mengenai

kejujuran seorang jejaka yang terlalu mencintai kekasihnya. Si jejaka juga mempunyai

keinginan yang tinggi untuk berjumpa dengan kekasihnya. Kejujuran dan kesabaran

yang ditunjukkan perlu ada dalam setiap perhubungan supaya perhubungan dapat

berjalan dengan lancar dan dapat mengelakkan berlakunya perkara ynag tidak diingini.

Sekiranya nilai ini diamalkan oleh pasangan yang bercinta maka dapat mengelakkan diri

daripada berlakunya maksiat dalam kalangan muda-mudi seterusnya dapat menjalinkan

ikatan yang kukuh dan suci. Masyarakat lama sering mengaitkan kesucian dalam sesuatu

perhubungan. Oleh itu, masyarakat yang bercinta terutamanya perlu menanamkan sikap

jujur dan sabar dalam melakukan perhubungan supaya hubungan yang terjalin dapat

berterusan.

Rangkap kedua pula mengetengahkan ajaran mengenai kerinduan. Perasaan rindu

merupakan satu anugerah Tuhan yang amat berharga. Rangkap ini cuba menerangkan

tentang perasaan rindu seorang jejaka terhadap kekasihnya dan keinginan untuk bertemu

dengan kekasihnya adalah sangat tinggi. Perasaan rindu ini sukar ditepis dan sudah

semestinya akan wujud dalam sesuatu perhubungan terutamanya dalam kalangan anak

muda. Ajaran ini sudah sebati dalam kehidupan masyarakat kini malah sudah terjadi

sejak dahulu lagi kerana perasaan rindu sudah menjadi lumrah dan kebiasaan dalam

kehidupan. Masyarakat kini perlulah mengetengahkan ajaran ini agar dapat membina

sebuah perhubungan yang berkekalan hingga ke akhir hayat. Di samping itu, dapat

melahirkan generasi yang berpengetahuan dan bersopan santun.


Seterusnya dalam rangkap ketiga pula mempamerkan mengenai ajaran tentang

kesetiaan iaitu kepatuhan dan ketaatan seseorang dalam melakukan sesebuah

perhubungan seperti dalam persahabatan, percintaan, dan sebagainya. Kesetiaan dalam

perhubungan perlulah berpegang teguh kepada janji bagi memastikan perhubungan dapat

berjalan dengan penuh keikhlasan. Rangkap ketiga cuba mempamerkan mengenai

kesetiaan seorang jejaka menunggu kekasihnya tanpa mengira waktu. Dalam

perhubungan kesetiaan perlu wujud bagi memupuk nilai kasih sayang antara insan justeru

itu dapat mendisplinkan serta mematangkan seseorang dalam melakukan perhubungan.

Seandainya ajaran ini tidak diamalkan nescaya sesebuah hubungan itu tidak akan dapat

bertahan lama malah masyarakat juga akan turut berpecah belah keran konsep kesetiaan

dan ketaatan tidak dilaksanakan dalam perhubungan.

Keikhlasan pula terkandung dalam rangkap keempat. Keikhlasan ialah ketulusan

dan kejujuran seseorang yang lahir dari hati yang tulus. Masyarakat lama percaya

bahawa dalam perhubungan keikhlasan perlu ada supaya dapat membentuk perhubungan

yang baik dan harmoni. Sekiranya keikhlasan tidak diamalkan maka keraguan akan

wujud dan menyebabkan perhubungan itu menghadapi kesulitan. Ajaran ini juga turut

terpapar dalam rangkap keempat iaitu si jejaka itu tidak memandang rupa semata-mata

tetapi dia memandang kekasihnya itu dari sifat dalamannya. Sifat yang baik

menyebabkan seseorang itu berwatakan cantik. Kecantikan seseorang pula tidak

seharusnya diukur dari paras rupa semata-mata namun perlulah dilihat dari sudut

keikhlasan dan ketulusan seseorang itu ketika dalam berhubungan. Ajaran mengenai

keikhlasan ini perlu dipraktikkan dalam diri masyarakat terutama bagi mereka yang

sedang bercinta bagi memastikan perhubungan yang terjalin tidak sia-sia. Di samping
itu, masyarakat juga dapat menilai diri dan keadaan dengan cara lebih mendalam lagi

seandainya berpegang pada ajaran ini.

Rangkap terakhir pula mengutarakan ajaran mengenai keprihatinan iaitu

masyarakat mestilah mempunyai sifat timbang rasa dalam perhubungan. Sifat ini hanya

boleh dimiliki oleh mereka yang meletakkan dirinya di tempat orang yang hendak

diambil perhatian. Ajaran ini sangat sesuai bagi mereka yang sedang bercinta. Di

samping itu dapat menguntungkan seseorang dan mengukuhkan lagi perhubngan agar

aman dan harmoni. Sikap keprihatinan ini ama jelas pada rangkap terakhir ketika si gadis

tidak memandang lelaki lain selain daripada kekasihnya. Keprihatianannya ini wajar

diikuti oleh masyarakat agar dapat mewujudkan satu perhubungan yang kukuh seterusnya

dapat memupuk sikap keprihatinan terhadap keluaraga, kekasih mahupun masyarakat.

Sekiranya sikap keprihatinan tidak diamalkan dalam perhubungan maka ianya tidak akan

bertahan dengan lama kerana wujud sikap pentingkan diri sendiri. Oleh kerana itu, sikap

ini sangat penting dalam perhubungan dan seharusnya dilaksanakan oleh masyarakat

setempat.

Kesimpulannya, pantun ini menggambarkan identiti kehidupan masyarakat

melayu. Pantun juga amat memainkan peranan dalam mempengaruhi gaya hidup

masyarakat baik dari peringkat kanak-kanak mahupun dewasa. Pengaruh pantun

merangkumi aspek daya fikir, beradat, berbahasa dan juga menggambarkan kehidupan

masyarakat melayu. Oleh itu, masyarakat kini perlu sedar itu mereka mesti

mempertahankan pantun agar boleh bertahan hingga ke generasi akan datang dan tidak

ditelan perubahan zaman.


BILBIOGRAFI:

1)Prof. Mohd. Taib osman. 1979. Warisan puisi Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka

2)Yaacob Harun. 2001. Kosmologi Melayu. Kuala Lumpur: Akademi


Pengajian Melayu.

3)http://www.brunet.bn/news/pelita/18okt/sasbuday.htm

You might also like