You are on page 1of 9

Pendidikan di Sabah

Kertas kerja ini di bentangkan oleh Saudara Azrul Ibrahim, Presiden MPP UMS sesi
2008/2009 dihadapan Y.A.B Timbalan Perdana Menteri merangkap menteri pelajaran pada
Jun 2009. Turut hadir beberapa menteri kabinet, Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Polis
Negara, beberapa CEO Syarikat, NGO dan para pimpinan mahasiswa kebangsaan

PEMERKASAAN MUTU DAN KUALITI PENDIDIKAN SEKOLAH-SEKOLAH


LUAR BANDAR, NEGERI SABAH

ABSTRAK

Kertas kerja ini bertujuan membincangkan cabaran yang dihadapi dan langkah-langkah ke
arah pemerkasaan mutu dan kualiti pendidikan sekolah-sekolah luar bandar di negeri Sabah.
Penentuan kategori luar bandar dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan kawasan
pembangunan atau perbandaran Negeri Sabah yang mana ia terbahagi kepada empat kategori
iaitu Pulau, Pesisir laut dan sungai, Pergunungan dan Pedalaman Dalam. Dapatan kajian
menunjukkan, sehingga Januari 2008 terdapat 1,271 buah sekolah di negeri Sabah. Daripada
jumlah tersebut, sebanyak 1,002 buah daripadanya merupakan sekolah luar bandar masing-
masing 882 sekolah rendah dan 120 sekolah menengah. Sejumlah 497 buah sekolah
dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Berdasarkan penyelidikan dan tinjauan
Pusat Kajian Pendidikan Luar Bandar (PKPLB), terdapat beberapa cabaran yang dihadapi
oleh sekolah-sekolah luar Bandar yang merangkumi aspek profesionalisme guru dan
pengurusan sekolah, penempatan guru terlatih, infrastruktur dan kemudahan asas sekolah, dan
tahap literasi dan kemiskinan dalam kalangan murid luar bandar juga dilihat sebagai faktor
penyumbang permasalahan pendidikan di luar bandar. Diharapkan perbincangan yang
dijalankan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak dalam usaha memperkasakan
mutu dan kualiti pendidikan sekolah-sekolah luar bandar, Negeri Sabah.

1.0 PENDAHULUAN
Falsafah Pendidikan Negara telah menggariskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah satu
usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, dan rohani
berlandaskan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia
yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian
dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sistem pendidikan yang berkualiti dilihat mampu
meningkatkan taraf hidup dan kualiti masyarakat serta membentuk modal insan minda kelas
pertama yang boleh bersaing di persada antarabangsa.

Berdasarkan strategi perlaksanaan yang ke tujuh dalam Dasar Pendidikan Negara, kerajaan
berhasrat untuk mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan
mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang
kurang bernasib baik, kawasan luar bandar atau pedalaman. Sehubungan dengan itu, kertas
kerja ini akan membincangkan tiga kata kunci utama iaitu realiti, cabaran dan langkah
pemerkasaan dengan memberi fokus kepada pendidikan sekolah luar bandar di Sabah.
Kawasan- kawasan luar Bandar di Sabah dibahagikan kepada empat ketegori iaitu Pulau,
Pesisir laut dan sungai, Pergunungan, Pedalaman Dalam. Penentuan kategori luar bandar
dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan kawasan pembangunan atau perbandaran negeri
Sabah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS)
bagi tahun 2007.

Sehingga Januari 2008 terdapat sebanyak 1,271 buah sekolah di negeri Sabah. Daripada
jumlah tersebut, sebanyak 1,002 buah daripadanya merupakan sekolah luar bandar masing-
masing 882 sekolah rendah dan 120 sekolah menengah. Sejumlah 497 buah sekolah
dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Diperingkat sekolah rendah, terdapat
11,274 kelas beroperasi menampung seramai 290,927 orang murid manakala, diperingkat
menengah seramai 193,539 orang pelajar ditempatkan di 5,837 buah kelas. Seramai 21,864
orang guru dan 2,970 orang kakitangan sokongan bertugas di sekolah rendah seluruh Sabah.
Di peringkat sekolah menengah, operasinya dijayakan oleh seramai 12,869 guru dan 2,190
kakitangan bukan akademik. Berdasarkan perangkaan tersebut, dapat disimpulkan bahawa
nisbah guru kepada murid di Sabah ialah 1:13 diperingkat sekolah rendah dan 1:15 di
peringkat sekolah menengah (KPM, 2008).
2.0 ISU DAN PERMASALAHAN

2.1. PROFESIONALISME GURU DAN PENGURUSAN SEKOLAH

Berdasarkan maklumat daripada Pusat Kajian Pendidikan Luar Bandar (PKPLB) terhadap 12
sekolah rendah luar bandar (2 buah sekolah di kawasan pulau, sebuah di kawasan pesisir,
sebuah di kawasan pergunungan, 7 buah sekolah di kawasan pedalaman dalam dan sebuah
sekolah terpinggir) 100% guru besar sekolah terbabit hanya memiliki kelulusan akademik
peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan majoritinya dilantik berdasarkan pengalaman
mengajar antara 5 hingga 24 tahun dengan pengalaman pentadbiran antara 2 hingga 17 tahun.
Bilangan guru yang berkhidmat di sekolah tersebut ialah antara 4 hingga 28 orang guru.
Jumlah tersebut dianggap sudah mencukupi bagi menampung beban tugas pengajaran guru di
sekolah terbabit. Walau bagaimanapun, aspek kompetensi guru di sekolah luar bandar masih
menjadi isu pokok memandangkan daripada seramai 183 orang guru yang bertugas di 12
sekolah terabit, hanya 17% guru memiliki ijazah sarjana muda, 30% guru lulusan diploma dan
13% orang guru lulusan STPM manakala selebihnya iaitu 40% orang guru hanya memiliki
kelulusan SPM atau lebih rendah. Selain itu, peratusan guru yang mengajar di luar bidang
atau kemampuan juga masih tinggi iaitu antara 32% hingga 91%.
Dari segi kakitangan sokongan, 66.6% sekolah memiliki seorang kerani manakala selebihnya
memiliki dua orang kerani. Lokasi sekolah yang jauh, berisiko tinggi, ketiadaan alat
perhubungan seperti telefon dan faks serta ketidaksampaian penghantaran surat terus ke
sekolah menyebabkan sebilangan besar kerani sekolah terpaksa bertugas di pejabat pelajaran
daerah atau gabungan terdekat bagi memudahkan pengurusan berkaitan penyampaian
maklumat dan pentadbiran termasuk gaji kakitangan. Kaedah tersebut merupakan langkah
penyelesaian terbaik bagi mengelakkan sekolah di kawasan luar bandar terpinggir dari
sebarang maklumat seperti pekeliling, aktiviti dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan.
Pada masa sama, langkah tersebut juga menimbulkan pelbagai masalah termasuk aduan
beberapa guru besar tentang kelewatan maklumat dan kegagalan kerani untuk melaporkan diri
apabila diperlukan contohnya semasa mesyuarat dan aktiviti yang dilaksanakan di premis
sekolah luar bandar.

2.2 INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS SEKOLAH

Secara keseluruhan, Sabah masih ketinggalan dalam aspek pendidikan khususnya di kawasan
luar bandar. Daripada sejumlah 1,064 sekolah rendah di negeri Sabah, 497 buah masing-
masing 465 Sekolah Kebangsaan, 30 Sekolah Jenis Kebangsaan dan 2 Sekolah Kebangsaan
khas merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM). Usaha membangunkan pendidikan Sabah
khususnya di kawasan luar bandar memerlukan peruntukan sebanyak RM83 bilion. Walau
bagaimanapun, di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan, hanya RM3.43 bilion telah
diluluskan bagi Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melaksanakan 3,904 projek. Walaupun
perkembangan semasa di sekolah luar bandar amat menggalakkan, keperluan semasa sistem
pendidikan kebangsaan menyebabkan masih terdapat jurang ketara di antara sekolah bandar
dan luar bandar. Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) masih banyak
cabaran yang perlu diatasi. Tinjauan awal di sekolah berkenaan jelas membuktikan keperluan
mendesak dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas sekolah.

Dapatan kajian menunjukkan masih terdapat sekolah yang tidak dilengkapi kemudahan asas
seperti bekalan elektrik dan air bersih. Sejumlah 91.7% sekolah tidak dilengkapi bekalan
elektrik 24 jam dan tiada asrama pelajar. Sebanyak 6 buah sekolah menggunakan generator
manakala, 4 buah sekolah menggunakan solar hibrid manakala sebuah sekolah tidak memiliki
bekalan elektrik. Bekalan air bersih di sekolah terlibat agak memuaskan dari segi
peratusannya, tetapi sumber bekalan masih diragui memandangkan masih terdapat 3 buah
sekolah yang bergantung sepenuhnya kepada tadahan tangki manakala 2 buah sekolah
memperoleh bekalan air graviti yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Masalah penyampaian maklumat masih sukar diatasi kerana 83.3% sekolah tidak mempunyai
mesin faksimili 75 % tiada telefon. Isu rumah guru meskipun agak rendah masih dipersoal
dari segi penyelenggaraan dan kualiti bahan binaan dengan rumah guru di 4 buah sekolah
memerlukan penyelenggaraan segera. Penyediaan kemudahan kantin sekolah juga masih di
tahap sederhana. Hanya 6 buah sekolah memiliki kantin sekolah tetapi empat darinya dalam
keadaan uzur atau diusahakan secara tidak sah. Masalah ketiadaan pondok keselamatan
(41.7%) masih perlu tindakan segera bagi meningkatkan tahap keselamatan sekolah sekali gus
mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.

Pembinaan lebih banyak blok kelas juga agak mendesak. Pengenalan pelbagai mata pelajaran
baru bagi memperluas literasi komputer, pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer dan
memupuk insan celik IT dan komputer, masih sukar untuk direalisasikan oleh sekolah luar
bandar. Daripada 12 buah sekolah yang dilawati PKPLB, 66.7% sekolah tidak memiliki
makmal komputer dan makmal sains malah, struktur dan kelengkapan bilik sains di 2 buah
sekolah amat uzur dan tidak boleh digunakan. Pemantauan terhadap penggunaan alat bantu
mengajar (ABM) khususnya peralatan elektrik perlu dipergiat. Tinjauan mendapati ada
sekolah yang tidak menggunakan ABM tersebut walaupun telah dibekalkan dua tahun
sebelum tinjauan atas alasan ketiadaan guru mahir ICT dan sebagainya. Kebanyakkan
peralatan tersebut hanya disimpan distor peralatan sekolah. Senario ini jelas menjadi satu
pembaziran besar wang negara dan merupakan salah satu penyebab keciciran murid luar
bandar dari segi pendidikan Sains dan ICT.

2.3 PENEMPATAN GURU TERLATIH

Mengikut laporan perangkaan dalam EMIS sehingga 31 Oktober 2007 negeri Sabah
mempunyai seramai 21499 guru yang sedang bertugas di 1064 buah sekolah rendah,
manakala seramai 12311 guru sedang bertugas di 205 buah sekolah menengah negeri Sabah.
Daripada kedua-dua jumlah tersebut seramai 1165 guru adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih
(GSTT) yang mana sebahagian besarnya tertumpu di sekolah rendah.
Daripada jumlah 1165 tersebut 33.13% adalah GSTT bukan siswazah dan keadaan ini juga
banyak tertumpu di sekolah rendah. Selain keadaan di atas, pihak JPN Sabah masih
menghadapi kesukaran untuk menempatkan guru-guru terlatih dan berpengalaman
terutamanya bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris di kawasan luar bandar dan
pedalaman. Faktor utama penyebab kepada permasalahan ini ialah ketiadaan rumah guru atau
rumah guru yang daif selain daripada keadaan infrastruktur lain seperti jalan raya, bekalan air
dan elektrik yang juga agak daif atau tiada langsung.
Beberapa isu utama dikenal pasti selain yang telah dilaporkan di atas adalah seperti berikut :
i) Isu berkaitan agihan nisbah guru kepada pelajar.
Bilangan pelajar negeri Sabah keseluruhannya adalah seramai 484437 orang dengan
sebahagian besarnya tertumpu di sekolah rendah iaitu seramai 289822 orang murid (sumber
EMIS seperti 31 Oktober 2007); berbanding dengan penempatan guru di sekolah ini hanya
seramai 21499 orang sahaja.
ii) Bekalan guru setempat tidak mencukupi.
Keadaan ini berlaku disebabkan setiap tahun sekurang-kurangnya 1200 permohonan
pertukaran guru antara negeri dari Sabah ke semenanjung berlaku. Impak daripada keadaan
ini ialah wujudnya masalah dimana JPN Sabah akan sentiasa kekurangan guru yang layak
untuk mengisi jawatan naik pangkat, sebagai contoh ke DG44. Turnover rates yang tinggi ini
juga menyebabkan JPN Sabah akan sentiasa kekurangan guru-guru yang berpengalaman.
iii). Penempatan guru baru terlatih (GSST) dan memenuhi opsyen
Bilangan guru baru terlatih (GSST) yang ditempatkan ke negeri Sabah oleh KPM kurang
memenuhi keperluan JPN dari segi opsyen. Wujud ketidakselarasan (mismatch) antara
bilangan opsyen yang diperlukan dengan yang dibekalkan oleh pihak KPM.
iv) Kekurangan guru terlatih di SJKC Cina
Keadaan penempatan guru terlatih berbahasa Cina di SJKC Sabah agak kekurangan
menyebabkan pihak sekolah ini meletakkan sehingga 50 murid dalam sesetengah kelas. Ini
pula membawa kepada persekitaran bilik darjah yang sesak dan tidak selesa. Keadaan yang
sama berlaku di sekolah menengah di mana setakat ini terdapat 24 kekurangan guru Bahasa
Cina. Keadaan menjadi bertambah kritikal dengan ketiadaan pengambilan baru guru Bahasa
Cina oleh pihak kementerian.

2.4 KADAR LITERASI DAN KEMISKINAN MURID

The World Education Report (1993) menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu negara yang
rendah kadar celik huruf dalam kalangan rakyatnya (78.4%) berbanding negara Asia
Tenggara lain seperti Singapura (100%), Indonesia (81.6%), Thailand (93%) dan Filipina
(89.7%). Pada tahun 1996, UNESCO melaporkan rakyat Malaysia yang berumur 10 tahun ke
atas adalah celik huruf namun, secara purata setiap individu hanya membaca 2 buah buku
dalam setahun. Kadar celik huruf pada tahun sama dalam kalangan penduduk luar bandar di
Sabah dan Sarawak dilaporkan masih rendah pada kadar 79%. Celik huruf penting untuk
membasmi kemiskinan, mengurangkan kematian kanak-kanak, menghalang pertumbuhan
populasi, mencapai kesaksamaan jantina dan memastikan pembangunan lestari, keamanan dan
keharmonian. Tumpuan kepada penambahbaikan pendidikan daripada segi capaian, ekuiti dan
kualiti, khasnya bagi golongan kanak-kanak yang terpinggir di Malaysia perlu terus diperkasa.
Wakil UNICEF ke Malaysia, Youssouf Oomar semasa berucap sempena Hari Literasi
Antarabangsa 2007 berkata "Kanak-kanak yang boleh membaca dan menulis boleh diajar.
Kanak-kanak yang boleh diajar boleh diperkasa untuk menuntut hak mereka, mengubah
kehidupan mereka, memajukan masyarakat mereka dan mempengaruhi takdir mereka
(Halimah Badioze Zaman, 1995)”.

Sabah masih kekal negeri termiskin di Malaysia dan majoriti penduduk miskinnya tinggal di
kawasan luar bandar. Justeru, pendidikan dilihat mampu menjadi “senjata” dalam usaha
kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010. Di seluruh negara, akibat
kemiskinan, kekurangan infrastruktur dan sikap masyarakat yang tidak mementingkan
pendidikan khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar, secara purata 83,000 orang
murid di seluruh negara dikhuatiri tercicir dari sistem pendidikan. Antara usaha untuk
mengurangkan jumlah keciciran tersebut, RM185.47 juta di bawah Tabung Amanah
Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) telah diluluskan di bawah RMK-9 untuk
negeri Sabah (RMK-9, 2006). Di bawah skim KWAMP, setiap murid yang layak diberikan
bantuan berjumlah antara RM150 hingga RM350. Ini bermakna, dianggarkan masih terdapat
600 ribu murid miskin di negeri Sabah.

3.0 CADANGAN PENYELESAIAN

Harapan dan masa depan pendidikan murid sekolah luar bandar adalah bergantung kepada
banyak perkara yang sukar diselesaikan sekiranya tidak dipantau oleh pihak yang
bertanggungjawab secara sistematik dan komprehensif. Sebagai langkah ke arah pemerkasaan
mutu dan kualiti pendidikan luar bandar terdapat beberapa saranan dan syor kepada
kementerian dan pihak yang terbabit. Antara cadangan pemerkasaan adalah seperti berikut:

3.1 INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS

Peruntukan RMK-9 yang melibatkan berbilion ringgit untuk keperluan pendidikan luar bandar
perlu diagihkan secara adil dan dapat dilihat kesan pembangunan infrastruktur sekolah luar
bandar secara menyeluruh. Begitu juga dengan Koridor Pembangunan Sabah adalah
diharapkan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan di luar bandar negeri Sabah,
bukan hanya memfokus kepada aspek ekonomi. Masalah kemudahan asas ini dilihat sebagai
masalah utama yang perlu diselesaikan bagi merapatkan jurang pendidikan di kawasan bandar
dan luar bandar. Ini kerana, masih terdapat ramai guru yang komited cenderung untuk
berkhidmat di kawasan bandar kerana mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan selesa.
Di Sabah masih terdapat sekolah yang guru dan pelajarnya terpaksa berjalan kaki lebih dari
dua jam untuk sampai ke kawasan sekolah kerana di kawasan terbabit para pelajar dan guru
kerana kemudahan jalan yang daif.

3.2 PROFESIONALISME GURU DAN PENGURUSAN SEKOLAH


Bagi tujuan merealisasikan teras kelima PIPP iaitu usaha memartabatkan profession keguruan
pihak kementerian perlu menyusun langkah yang komprehensif dan sistematik. Guru perlu
mempunyai sikap dan penampilan diri seorang pendidik yang berwibawa. Pemantauan dan
bimbingan berterusan perlu dilaksanakan secara sistematik dan berterusan dari pihak yang
bertanggungjawab, sama ada oleh pihak kementerian, kerajaan negeri serta badan
bertanggungjawab di peringkat daerah. Pihak KPM harus menyelaraskan pengambilan bakal
guru antara JPN dengan BPG serta dengan IPTA/IPTS, agar dapat memenuhi keperluan
sebenar JPN dari segi keperluan opsyen. Pengurusan penghantaran Surat Tawaran Perlantikan
guru baru perlu lebih selaras dan cekap. Dicadangkan agar surat tersebut diedarkan kepada
guru-guru baru semasa taklimat penempatan di sekolah baru. Penganjuran bengkel dan kursus
dalam perkhidmatan serta bayaran insentif yang bertujuan untuk meningkatkan minat guru
berkhidmat di kawasan luar bandar tidak akan membawa sebarang impak positif tanpa
pemantauan, bimbingan dan penilaian komprehensif. Jika ini berlanjutan, misi untuk
melahirkan modal insan kelas pertama menerusi pendidikan sekolah bakal menjadi sia-sia.

3.3. PROGRAM INTEGRASI ANTARA PIMPINAN PELAJAR

Program integrasi antara pimpinan-pimpinan pelajar Intitutusi Pengajian Tinggi Awam dan
Swasta dilihat sebagi salah satu program yang dapat membantu merapatkan jurang pendidikan
di kawasan bandar dan luar bandar. Para pimpinan pelajar perlu bekerjasama mengadakan
program bakti siswa, khidmat masyarakat dan seumpamanya dan lebih menekankan aspek
akademik dan motivasi di kawasan luar bandar. Program berbentuk pengajaran dari pelajar
IPTA/S mungkin akan memberikan impak yang lebih berkesan memandangkan pelajar IPTA
sebagai abang dan kakak dapat memberikan motivasi kepada adik-adik di sekolah tersebut.
Namun usaha ini perlulah dilakukan secara berterusan dan konsisten supaya lebih berkesan.

3.4 PERKEMBANGAN KOGNITIF, LITERASI DAN STATUS PEMAKANAN

Isu pendididkan seperti keciciran, kemiskinan, buta huruf, dan keperluan makanan berkhasiat
serta seimbang dalam kalangan murid sekolah perlu diberi perhatian serius seperti masalah
sosial yang lain. Guru perlu memainkan peranan dalam membantu masalah buta huruf, dan
keperluan makanan seimbang untuk membantu perkembangan kognitif dan fizikal yang sihat.
Program KIA2M dan Rancangan Makanan Tambahan tidak akan berjaya sekiranya guru dan
pentadbir tidak memberi kerjasama, perhatian dan pemantauan dalam melaksanakan program
tersebut. Usaha membangunkan pendidikan luar bandar merupakan tanggungjawab bersama
bermula dari latihan perguruan. Pihak IPG atau IPTA seharusnya menyediakan guru yang
berkompetensi dan berdedikasi dengan komitmen yang tinggi untuk melayakkan mereka
bertugas di sekolah luar bandar dan mendapat insentif bulanan yang telah ditentukan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia.

4.0 PENUTUP

Secara umumnya, walaupun pelbagai pihak telah berusaha bersungguh-sungguh


melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pendidikan, namun masih banyak yang perlu
diperbaiki dan dimantapkan supaya sistem dan institusi pendidikan khususnya pendidikan di
luar bandar dapat membangunkan modal insan yang memiliki daya saing yang tinggi dan
berwibawa. Pendidikan di sekolah luar bandar Sabah secara umumnya telah mengorak
langkah ke arah pembangunan. Namun, secara realitinya sekolah di pedalaman, pulau, pesisir
dan pergunungan masih ketinggalan sama ada dari segi akademik, infrastruktur, kuantiti,
kualiti guru serta kualiti pendidikan guru. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu demi
memastikan masalah jurang pendidikan pelajar kawasan bandar dan luar bandar dapat diatasi
dengan langkah-langkah yang efisyen dan berkesan.

You might also like