You are on page 1of 10

PERUBAHAN MAKNA DALAM BAHASA MELAYU : SATU DISKUSI

SEMANTIK LEKSIKAL
Oleh Noralia Binti Roslan

Bidang perkamusan merupakan elemen yang amat penting dalam bahasa kerana kamus
merupakan perakam bahasa, pada satu-satu masa. Menurut S. Nathesan (2001:65), bahasa
yang digunakan oleh masyarakat pada satu-satu ketika, terutamanya kosa kata, dirakam di
dalam kamus. Untuk tujuan tersebut, sejak zaman dahulu lagi, bermacam-macam kamus telah
disusun dan diterbitkan. Antara kamus terawal yang disusun dalam Bahasa Melayu adalah
kamus Swettenham yang diusahakan pada abad ke-19. Beberapa kata yang terdapat dalam
kamus Swettenham ini telah mengalami perubahan makna, kerana mengalami penyempitan
makna, perluasan makna atau pertambahan makna. Perubahan makna merupakan salah satu
fenomena bahasa yang selalu berlaku dalam mana-mana bahasa di dunia. Oleh kerana sifat
kedinamikannya, evolusinya dan akibat terdedah kepada pelbagai fenomena seperti
pertembungan dengan bahasa-bahasa lain serta faktor-faktor sosial seperti tabu iaitu unsur-
unsur larangan, kemasukan idea-idea baru dan perkembangan ilmu-ilmu baharu seperti sains
dan teknologi, maka bahasa sentiasa menampilkan perubahan makna yang sekali gus
merupakan topik utama perbincangan makalah ini.

Pada umumnya, bahasa merupakan sistem komunikasi yang amat penting bagi
manusia. Sebagai suatu unsur yang dinamik, bahasa sentiasa dianalisis dan didekati dengan
menggunakan perbagai pendekatan untuk mengkajinya. Antara pendekatan yang dapat
digunakan untuk mengkaji bahasa ialah pendekatan makna. Bidang kajian makna ini menurut
Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Ra’in Shaari (2009:31), turut melibatkan salah satu
cabang leksikal iaitu istilah leksikon yang merujuk kepada kamus atau perbendaharaan kata
sesuatu bahasa atau sesuatu bidang. Bidang makna atau semantik, yang sebenarnya menjadi
sebahagian daripada ilmu linguistik ini, menjadi suatu hal yang amat penting memandangkan
hal kajian bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsur makna. Bahasa, menurut R. H.
Robbins (1952) menegaskan bahawa kajian makna merupakan salah satu bahagian yang
penting dalam linguistik am. Sementara itu, Firth (1944) menegaskan bahawa makna menjadi
inti dalam kajian bahasa. Lazimnya, kata ‘makna’ memberi erti ‘maksud’ atau ‘erti’. Walau
bagaimanapun, kata makna boleh diberi bermacam-macam pergertian lagi. Misalnya,
menurut Ogden dan Richard dalam buku The Meaning of Meaning (1956) pernah memberi
16 pengertian dan erti bagi makna, antaranya makna adalah suatu yang intrinsik, pokok,
kemahuan, dan suata peristiwa yang diharapkan. Dengan demikian, kita dapat
membayangkan betapa rumitnya maksud bagi perkataan ‘makna’.

Sepintas lalu, terdapat banyak faktor yang boleh mendorong kearah perubahan makna
dalam bahasa. Ullman (1957), telah menyenaraikan enam sebab bagi perubahan makna
antaranya termasuk sebab-sebab linguistik (bahasa), sejarah, sosial, psikologi, pengaruh luar
dan keperluan untuk kata baharu. Manakala Bloomfield (1992), pula telah menyenaraikan
sembilan jenis perubahan yang berlaku dalam bahasa. Menurut beliau, perubahan makna
dalam bahasa berlaku akibat daripada perluasan makna, penyempitan makna, metafora,
metonimi, sinekdoksi, hiperbola, litotes, pejorasi dan ameliorasi.

Sehubungan dengan itu menurut S. Nathesan lagi, didapati sejak zaman dahulu lagi
bahasa Melayu sebagai bahasa dinamik telah mengalami perubahan dari segi struktur dan
kosa katanya. Dalam kajian semantik leksikal ini, kosa kata bahasa melayu ini ditinjau dari
segi diakronik, iaitu perkembangan leksikal dan makna kata tersebut dalam Bahasa melayu.
Untuk tujuan tersebut, dua buah kamus dikenalpasti iaitu pertama, Kamus Swettenham (KS)
yang mewakili zaman dahulu dan keduanya ialah kamus Inggeris-Melayu Dewan Edisi
Ringkas (KD) yang mewakili zaman sekarang. Selain itu, kajian semantik leksikal menurut
Ullman (1957:34), merupakan domain kajian makna perkataan akan meneliti makna
perkataan, kesignifikan imbuhan, perbezaan antara makna kata majmuk dengan
komponennya dan lain-lain. Kajian ini berusaha untuk meneliti perubahan dalam semantik
yang dialami oleh Bahasa Melayu. Justeru, untuk tujuan ini, kosa kata Bahasa Melayu dan
Bahasa Inggeris disusun oleh Frank Swettenham pada tahun 1881 dijadikan asas kosa kata
Bahasa Melayu untuk melihat perubahan makna pada kosa kata tersebut, diteliti pula Kamus
Inggeris-Melayu Dewan Edisi Ringkas yang diterbitkan pada tahun 1995.

Definisi dan konteks

Terdapat beberapa takrif konsep asas dalam analisis yang dilakukan ini. Antaranya adalah
definisi perubahan makna, perluasan makna dan penyempitan makna. Menurut Stern
(1965:163), perubahan makna bagi sesuatu kata ialah “apabila sesuatu kata digunakan untuk
menyatakan suatu makna yang belum pernah dinyatakan lagi”. Seterusnya, definisi perluasan
makna menurut Mohd Ra’in Shaari dan Abdullah Yusof (2008:240), diertikan sebagai proses
meluaskan atau memperbesar komponen makna suatu perkataan, manakala proses
penyempitan pula adalah proses mengecilkan atau mengurangkan komponen makna suatu
perkataan. Misalnya, contoh bagi perluasan makna kata taman, pada suatu masa dahulu hanya
digunakan untuk merujuk kepada ‘kebun bunga’ atau ‘taman bunga’ sahaja, tetapi maknanya
sekarang telah diperluaskan untuk mencakupi makna tambahan seperti ‘kawasan perumahan’,
kawasan perindustrian’ dan ‘kawasan alam semula jadi seperti Taman Kinabalu’. Demikian
juga kata datuk kini, bukan sahaja digunakan untuk merujuk bapa kepada ayah atau ibu
seseorang, malah sebagai gelaran kehormat oleh raja bagi orang - orang tertentu kerana jasa -
jasa yang telah mereka taburkan. Begitu juga dalam Bahasa Melayu, bagi kata yang
mengalami penyempitan makna, misalnya kata daging digunakan merujuk kepada ‘daging
lembu’ sahaja, tetapi bagi daging lain pula, disebut daging kambing, daging ayam, atau
daging arnab. Sedangkan, makna sebenar dalam kamus bagi istilah daging adalah ‘isi pada
manusia atau binatang antara kulit dan tulang’ (Kamus Dewan, 1994). Hal ini menunjukkan
wujudnya penyempitan makna pada istilah daging dalam komunikasi sehari-harian
masyarakat Melayu.

Sehubungan dengan itu, konteks memainkan peranan untuk menghilangkan


kekaburan dan ketidakjelasan makna. Konteks juga berfungsi untuk menetapkan makna bagi
perkataan dalam satu – satu ujaran atau tulisan. Misalnya, untuk membezakan golongan kata
untuk menentukan makna, seperti dalam kata ‘bilas (basuh / cuci)’ sebagai kata kerja dan
‘bilas (kabur)’ sebagai kata adjektif, konteks amat perlu. Konteks juga menjadi amat
mustahak dalam hal homonim. Umpamanya, untuk membezakan antara haus sebagai rasa
dahaga atau berkurangannya besar kerana tergosok, kita perlu lihat pada konteks penggunaan
ayat atau ujaran tersebut. Mungkin, dalam ayat ini ‘Kami semua rasa haus, selepas berjalan
kaki ke rumah’ maknanya ialah rasa dahaga. Dalam hal ini, Wittgenstein dalam bukunya
Philosophical Investigations (1953), yang juga seorang ahli falsafah yang terkenal, pernah
dengan tegas menyatakan bahawa makna kata tidak dapat diketahui kecuali dilihat dalam
penggunaannya, atau dalam konteks penggunaannya. Demikian juga, Ullmann telah
berhujah bahawa, makna perkataan hanya dapat ditentukan berdasarkan penelitian terhadap
penggunaannya sahaja.

Analisis makna dalam kamus Swettenham


Dalam perbincangan ini, kesemua leksikon yang disenaraikan dalam kamus Swettenham
diteliti satu persatu dan sebanyak 100 patah perkataan yang telah dikenalpasti, sudah
mengalami perubahan makna iaitu sama ada yang berubah secara keseluruhan, yang
mendapat tambahan makna atau yang mengalami penyempitan atau pengkhususan makna,
disenaraikan di dalam satu jadual. Kata-kata daripada Bahasa Inggeris yang dipadankan
dalam kamus Swettenham juga dicari padanannya dalam Kamus Dewan untuk melihat
perubahan makna yang berlaku.
Selain itu, sebanyak 12 kata yang mengekalkan makna turut disenaraikan untuk
melihat bilangan yang masih kekal maknanya hingga sekarang. Semua kata yang didapati
mengalami perubahan makna diteliti maknanya berdasarkan Kamus Dewan Edisi Baharu
(1995) untuk memastikan perubahan makna tersebut. Seterusnya, analisis makna leksikal
berdasarkan Kamus Swettenham ini dilakukan mengikut beberapa pembahagian subtajuk
yang telah dikenalpasti seperti berikut :

i. Kata-kata yang mengekalkan bentuk dan makna yang sama


Didapati, kata-kata yang diperhatikan mengekalkan bentuk dan makna yang sama walaupun
jaraknya hampir 115 tahun, antara waktu susunan Kamus Swettenham (KS) dengan Kamus
Dewan Inggeris – Melayu Edisi Ringkas (KD)(1995). Jadual 1 di bawah menunjukkan kata-
kata yang mengekalkan bentuk dan makna yang sama.

Jadual 1: kata-kata yang mengekalkan bentuk dan makna yang sama

Entri kata Bahasa Inggeris Entri dalam kamus Entri dalam Kamus Dewan
Swettenham
Admiral Laksamana Laksamana
Beef Daging lembu Daging lembu
Blade Mata Mata
Chalk Kapur Kapur
Hen Ayam betina Ayam betina
Hoof Kuku Kuku
Ink Dakwat tinta Dakwat tinta
Silk worm Ulat sutera Ulat sutera
Summer Musim panas Musim panas
Urine Air kencing Air kencing
Yeast Ragi Ragi
zebra Kuda belang Kuda belang

Seperti yang tertera dalam jadual 1 diatas, jelaslah bahwa sebilangan kata Bahasa
Melayu mengekalkan bentuk dan maknanya walaupun sudah berlalu hampir 115 tahun sejak
kamus itu disusun. Namun, hanya sebilangan kecil kata sahaja yang terdapat dalam kamus
Swettenham mengekalkan bentuk dan maknanya. Hal ini adalah berikutan sebarang
perubahan tidak berlaku pada perkataan-perkataan tersebut serta tidak mengalami pengaruh
daripada luar mahupun perubahan budaya. Selain itu, kita juga sedia maklum, tidak terdapat
istilah-istilah lain yang boleh digunakan bagi merujuk perkatan-perkataan diatas.
ii. Kata-kata yang mengalami perubahan bentuk dan makna

Terdapat kata yang telah berubah bentuk dan maknanya sekali gus daripada bentuk dan
makna yang digunakan pada masa dahulu dalam kamus Swettenham. Sebenarnya, senarai
kata inilah yang paling menarik untuk diteliti kerana sebab-sebab yang akan dihuraikan
kemudiannya. Berdasarkan jadual 2 dibawah ini menunjukkan sebilangan kata yang telah
berubah bentuk dari makna pada masa sekarang berbanding dengan bentuk dan makna kata
seperti di yang telah dientrikan dalam kamus Swettenham.

Jadual 2 : contoh kata yang mengalami perubahan bentuk dan makna

Entri kata Bahasa Inggeris Entri dalam kamus Entri dalam Kamus Dewan
Swettenham
Accident Bencana Kemalangan, secara kebetulan
Accountant Tukang mengira Akauntan
Bag Karong, saku Beg, kampit
Belch Blahak Sendawa/sedawa
Bruise Pipis Lebam/lemar
Certificate Surat keterangan Sijil/surat
Cholera Penyakit hawar Kolera/taun
Cunning Cerdik, berakal Licik
Dawn Dinihari Subuh
Desert Padang belantara Gurun/padang pasir
Engine Jentera, pesawat Enjin
Grandfather Nenek Datuk
Forbidden Haram Dilarang
Government Perintahan Kerajaan
Left-handed Kerja kiri Kidal
Music Bunyi-bunyian Muzik
Nurse Pengasuh Jururawat
Office Gedung Bilik pejabat
Pirate Perompak Lanun
Sailor Anak perahu Kelasi/pelaut
Treasurer Bendahara Bendahari
Writer Jurutulis Penulis/pengarang
Yam Ubi aceh, ubi gadong Ubi keladi
Zig-zag Siku kluang Bengkang-bengkuk

Berdasarkan jadual diatas, sebilangan kata yang terdapat di dalam kamus Swettenham
kini sudah berubah bentuk dan maknanya. Untuk makluman, sebenarnya kata di dalam jadual
diatas dapat diklasifikasikan kepada beberapa kumpulan tertentu berdasarkan perubahan yang
dialaminya. Sebagai contoh, kata accident diberi makna ‘bencana’ dalam kamus Swettenham,
manakala dalam Kamus Dewan maknanya ialah ‘kemalangan’ dan ‘secara kebetulan’. Disini,
kata padanan dalam Kamus Dewan telah berubah bentuk dan maknanya kepada bentuk
‘kemalangan’ dan ‘secara kebetulan’. Pada masa ini kata ‘bencana’ tidak mendukung
komponen makna seperti dalam kata accident. Ternyata bahawa entri makna diatas tidak
mendukung makna ‘kemalangan’ atau ‘secara kebetulan’ seperti yang diberi padanan kata
bagi kata accident kerana jikalau diteliti kamus Dewan Edisi Baharu (1995), didapati
‘bencana’ sekarang memberi entri makna seperti yang berikut :

a) (mara) bahaya, kecelakaan


b) Kesukaran, pengkhianatan, penipuan
Seterusnya, satu lagi contoh adalah bagi kata ‘orang dagang’ sebagai padanan bagi
kata foreigner. Sememangnya, pada masa dahulu perantau dari negara lain yang datang ke
negeri Melayu hanyalah bertujuan untuk berdagang. Oleh yang demikian, mereka digelar
‘orang dagang’. Tetapi kini, orang yang masuk ke negara Malaysia tidak hanya untuk
berdagang tapi untuk tujuan-tujuan lain seperti bekerja, belajar, melancong dan sebagainya.
Oleh itu, kata ‘orang asing’ atau ‘orang luar’ memang tepat dari segi makna berbanding
dengan ‘orang dagang’. Berdasarkan analisis, didapati kelompok ini mempunyai bilangan
kata yang terbesar iaitu mewakili sebanyak 75 peratus berbanding kata dalam kelompok lain.

iii. Kata-kata yang mengalami perluasan makna

Untuk meneliti kata-kata yang mengalami perluasan makna selain mengekalkan makna
asalnya, perhatikan jadual 3 dibawah yang menyenaraikan kata-kata tersebut :

Jadual 3 : kata-kata yang mengalami perluasan makna

Entri kata Bahasa Inggeris Entri dalam kamus Entri dalam Kamus Dewan
Swettenham
Affair Hal Hal, urusan, peristiwa dan asmara
Ankle Mata kaki Mata kaki, buku lali
Book Kitab Kitab, buku
Cage Sangkar Sangkar, kurungan
Flood Air bah Bah, banjir
Invade Langgar Melanggar, menyerang
Mist Kabut Kabut, kabus
Ocean Laut besar Laut, samudera, lautan
plough Tenggala Tenggala, bajak, luku
Servant Orang gaji Orang gaji, pembantu rumah
soul jiwa Jiwa, roh
Seperti rajah diatas, cuma sebilangan kata yang mengalami perluasan makna iaitu
kira-kira sebanyak 13 peratus. Misalnya, kata bagi affair, entri makna yang diberikan dalam
kamus Swettenham ialah ‘hal’ sahaja, manakala sebaliknya, dalam Kamus Dewan pula ia
diberikan empat entri iaitu ‘hal, urusan’,urusan’,peristiwa’, dan ‘hubungan, cinta, asmara’.
Kini perkataan affair telah diberikan tiga makna tambahan selain kata ‘hal’ seperti yang telah
dientrikan dalam Kamus Swettenham.

Demikian juga bagi kata invade, terdapat dua entri makna dalam Kamus Dewan iaitu
yang bermaksud ‘melanggar’ dan ‘menyerang’ manakala dalam Kamus Swettenham hanya
entri makna ‘langgar’ diberikan. Justeru, perluasan makna bagi kata-kata yang terdapat dalam
Bahasa Melayu memang suatu perkara biasa, terutamanya dengan perubahan status bahasa
Melayu daripada bahasa yang terpencil kepada bahasa bagi pelbagai bidang ilmu. Hal ini
amat penting bagi membolehkan Bahasa Melayu mengungkapkan berbagai-bagai perkara
yang baharu dan abstrak (Mohd Ra’in Shaari dan Abdullah Yusof, 2008:240).

iv. Kata-kata yang mengalami penyempitan makna

Akhir sekali, perhatikan jenis kata yang keempat, iaitu yang mengalami penyempitan makna.
Seperti jenis kata yang ketiga, hanya sebilangan kata sahaja yang mengalami penyempitan
makna dalam kamus Dewan berbanding kamus Swettenham.

Jadual 4 : kata yang mengalami penyempitan makna

Entri kata Bahasa Inggeris Entri dalam kamus Entri dalam Kamus Dewan
Swettenham

Bottle Kaca, baling, botol Botol


Bridge Jambatan, titi, gertak Jambatan, titian
Chalk Kapur, blanda Kapur
Corpse Mayat, bangkai Mayat
Dictionary Lohrat, kamus Kamus
Ferry boat Sampan, tambang Feri
Hat Kupiah, tudung kepala, topi Topi
Kettle Kendi, cerek Cerek
Market Pasar, pekan Pasar
Parents Ibu bapa, ayah bonda Ibu bapa
River Sungai, batang air Sungai
Thief Pencuri, kawar Pencuri
Salah satu kata yang mengalami penyempitan makna adalah bottle. Dalam Kamus
Swettenham, tiga entri makna dalam Bahasa Melayu yang telah diberikan iaitu ‘kaca’,
‘balang’ dan ‘botol’, manakala dalam Kamus Dewan cuma entri makna ‘botol’ sahaja yang
diberikan. Sebenarnya, kata ‘kaca’ dan ‘balang’ mendukung makna yang lebih khusus pada
hari ini. Hal ini akan lebih jelas jika diteliti entri makna dalam Kamus Dewan.

Seterusnya, dalam Kamus Dewan, ‘kaca’ diberi makna ‘bahan yang lutsinar atau
lutcahaya yang biasanya keras dan rapuh, dibentuk dengan melakur pasir silica, oksida logam
dan bahan-bahan lain’. Sementara itu pula, kata ‘balang’ diberi makna ‘bekas seperti botol,
besar dan agak luas mulutnya, tempat menyimpan air, barang makanan dan lain-lain’.
Seterusnya, kata ‘botol’ pula merujuk pada Kamus Dewan bermaksud ‘bekas daripada kaca
dan lain-lain tempat yang menyimpan cecair seperti minyak, minuman dan lain-lain. Seperti
yang dinyatakan diatas, kata ‘kaca’ dan ‘balang’ tidak boleh menjadi sinonim bagi kata
‘botol’ kerana ketiga-tiga kata ini mendukung makna yang berbeza-beza.

Suatu perkara yang nyata disini adalah, kata-kata yang diberi padanan bagi kata-kata
Inggeris dalam Kamus Swettenham,kebanyakannya kini sudah berubah makna iaitu menjadi
lebih khusus seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Perkara ini akan menjadi lebih
jelas jika dibandingkan antara entri yang terdapat di dalam Kamus Swettenham dengan entri
dalam kamus-kamus Bahasa Melayu yang lain pada hari ini. Justeru itu, dapatlah dirumuskan
bahawa kata-kata dalam Kamus Swettenham tidak disempitkan dalam Kamus Dewan malah
telah mengalami pertambahan makna khusus dengan perkembangan Bahasa Melayu
kebelakangan ini.

Kesimpulan

Berdasarkan analisis makna terhadap 112 patah perkataan dalam Kamus Swettenham dan
padanan maknanya dalam kamus Inggeris-Melayu Edisi Ringkas, terdapat beberapa perkara
yang dapat dikenalpasti. Antaranya adalah didapati bilangan kata yang berubah bentuk dan
makna adalah lebih banyak berbanding dengan kata-kata yang mengekalkan bentuk dan
makna serta mengalami perluasan makna atau penyempitan makna.

Menurut S. Nathesan (2001:65), kajian semantik diakronik seperti ini, walaupun


ringkas namun dapat memberikan sedikit tumpuan terhadap sejarah kata dan tentang
perubahan dalam komponen semantik bahasa. Dalam kajian ini juga, secara tidak langsung
kita dapat melihat sejarah pemikiran dan pencapaian intelek pada masa dahulu melalui
Bahasa Melayu. Oleh itu, seperti yang telah diperkatakan oleh hashim Musa (1994),
perbendaharaan kata yang terakan dalam Kamus Swettenham sesungguhnya membayangkan
budaya, pemikiran, cita-cita dan aspirasi masyarakat Melayu pada zaman dahulu iaitu seabad
yang lalu. Justeru itu, kajian seperti ini dapat memperkaya bidang-bidang seperti semantik
dan etimologi serta leksikologi Bahasa Melayu.
Rujukan

Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Ra’in Shaari. (2009). Semantik dan pragmatik

Bahasa Melayu. Kuala Lumpur :Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Firth, J, R. (1957). Papers in linguistics 1934-1951. London : Oxford University Press.

Kamus Inggeris- Melayu Edisi Ringkas. (1995). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Ra’in Shaari dan Abdullah Yusof. (2008). Penyelidikan Bahasa dan Linguistik. Kuala

Lumpur : Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Ogden dan Richards. (1956). The Meaning of Meanings. London : Routledge and Kegan Paul

Ltd.

S. Nathesan. (2001). Makna dalam Bahasa Melayu. Ulu Klang : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Stern, G. (1965). Meaning and Change of Meaning : With Special References to the English

Languange. Bloomington : Indiana University Press.

Swettenhem, F. (1881). Vocabulary of English and Malay. Singapore : Kelly and Walsh ltd.

Ullman, S. (1957). The Prinsiples of Semantics. Oxford : Basil Blackwell.

Majalah
S.Nathesan. (2001). Semantik dalam Bahasa Melayu: Satu Pandangan Komprehensif. dalam

Dewan Bahasa, 1(9), 21-28

Internet
“Semantik”, http://www.tutor.com.my/tutor/stpm/semantik/semantik.htm

You might also like