You are on page 1of 6

December 2004

Perkataan tourism datang daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu
tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan.
Bab 1

Pengenalan kepada Pelancongan

Pengenalan

Bab ini mendedahkan definisi pelancongan daripada pelbagai perspektif. Berdasarkan


definisi-definisi yang diketengahkan, maksud pelancongan dibincangkan secara
menyeluruh serta mendalam supaya pengertiannya dapat difahami dengan jelas. Hasil
perbincangan berkenaan definisi pelancongan, bab ini seterusnya membincangkan
jenis-jenis pelancong yang wujud dalam industri itu. Jenis-jenis pelancong penting
kerana mereka adalah pihak utama yang berperanan dalam menentukan kejayaan
sesebuah industri pelancongan.

Akhir sekali bab ini membincangkan sektor-sektor serta aktiviti-aktiviti yang terlibat
dalam industri pelancongan. Perlu ditekankan industri pelancongan terdiri daripada
pelbagai sektor yang mempunyai aktiviti tersendiri. Oleh itu, sebagai satu pengenalan
kepada pelancongan, adalah perlu sektor-sektor dan aktiviti-aktiviti yang terlibat
didedahkan kepada semua pihak yang ingin memahami maksud pelancongan.

Apa Itu Pelancongan?

Pelancongan mempunyai pelbagai maksud mengikut perspektif dan pandangan pihak-


pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri
pelancongan. Ini termasuklah pelancong itu sendiri, organisasi penginapan dan
pengangkutan, organisasi pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya lagi.

Perkataan tourism datang daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu
tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Pada awalnya, Jafari
(1977) mendefinisikan pelancongan sebagai, “Suatu kajian manusia yang
bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang
bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan
industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran.” Pengertian yang
meluas ini sukar difahami kerana ia tidak menjelaskan secara mendalam apa yang
dimaksudkan sebagai pelancongan dan apakah faktor-faktor yang terlibat dalam
membangunkan industri ini.

Oleh itu, wujud definisi lain yang cuba memberi penjelasan secara mendalam
mengenai pelancongan. Sebagai contoh, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan
sebagai, “Suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang
luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan
persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri
pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara
bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari.”
Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian
yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri
pelancongan secara khususnya. Kelima-lima elemen itu adalah persekitaran, manusia,
kawasan, ekonomi dan dinamik.

Memandangkan pelancongan itu sendiri ditafsirkan berbeza-beza mengikut perspektif


atau school of thought masing-masing, sehingga kini masih wujud pelbagai definisi
pelancongan. Istilah pelancongan menurut WTO atau World Tourism Organization
merujuk kepada, “Aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar
daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi
tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya.” Definisi WTO ini secara langsung
membawa kepada pengertian apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan
antarabangsa, pelancongan dalaman, pelancongan domestik dan pelancongan
kebangsaan (lihat Rajah 1.1). Pelancongan antarabangsa melibatkan dua aspek
pelancongan iaitu:

1. Melancong dalam negara: Merujuk kepada lawatan atau pengembaraan ke destinasi


tuan rumah yang dibuat oleh individu yang berasal dari destinasi lain. Sebagai contoh,
Malaysia sebagai tuan rumah menerima kunjungan daripada pelancong Eropah.
Pelancong Eropah yang datang ke Malaysia dikenali sebagai pelancong dalam negara.

2. Melancong luar negara: Merujuk kepada lawatan atau pengembaraan seseorang


individu ke destinasi selain dari tempat asal mereka. Contohnya, pelancong Malaysia
yang melancong ke Australia dan New Zealand adalah pelancong luar negara.

Pelancongan dalaman pula merujuk kepada lawatan atau pengembaraan seseorang


individu ke destinasi yang sama dalam kawasan destinasi asal mereka. Contohnya,
rakyat negeri Kedah yang berasal dari Alor Setar membuat lawatan ke Pulau
Langkawi, juga terletak dalam negeri Kedah. Pelancongan domestik merujuk kepada
pelancongan dalaman dan dalam negara. Contohnya, sebagai rakyat negeri Perak, kita
menerima kunjungan dan lawatan rakyat negeri Melaka. Pelancong Melaka itu
dikenali sebagai pelancong domestik.

Oleh itu, pemasaran pelancongan yang perlu ditekan di sini adalah kemudahan
penginapan dan tempat tarikan di negeri Perak. Manakala pelancongan kebangsaan
pula merujuk kepada pelancongan dalaman dan luar negara. Sebagai contoh,
kunjungan kita sebagai rakyat negeri Perak ke negeri Melaka. Pemasaran pelancongan
yang perlu ditekan di sini adalah kemudahan pengangkutan dan agensi pengembaraan.

Wujudnya pelbagai pemahaman dan pengertian pelancongan akhirnya membawa


kepada kekaburan definisi pelancongan itu sendiri. Malah, sehingga kini, masih ramai
yang cuba mengetengahkan definisi mengikut pandangan masing-masing.
Suatu definisi lengkap yang sudah dan masih diguna pakai dalam memahami erti
pelancongan sebenar dibariskan oleh McIntosh dan rakan-rakan (1995). Menurut
mereka, “Pelancongan adalah suatu fenomena dan hubungan yang wujud akibat
daripada interaksi di antara pelancong, ahli perniagaan, kerajaan dan komuniti selaku
tuan rumah dalam proses menarik pelancong dan pelawat asing.” Secara tidak
langsung, definisi ini menjelaskan pelancongan adalah lawatan atau pengembaraan ke
suatu tempat lain dalam tempoh semalam, bertujuan berhibur, berehat, berniaga dan
sebagainya. Malah, definisi ini juga menekankan wujudnya empat elemen utama
dalam pengertian pelancongan iaitu:

1. Pelancong: Mereka yang keluar ke suatu destinasi lain bagi beberapa tujuan.
2. Perniagaan: Mereka yang terlibat dengan membekalkan barangan ataupun
perkhidmatan dalam industri pelancongan di samping memenuhi permintaan
pelancong.

3. Kerajaan: Mereka yang terlibat dalam memenuhi ekonomi sama ada berbentuk
pendapatan tuan rumah ataupun pendapatan hasil daripada kedatangan pelancong.

4. Tuan rumah: Mereka yang terlibat secara langsung dengan destinasi terpilih di
samping menjaga budaya masyarakat destinasi itu.

Jelas di sini apabila memperkatakan pelancongan, aspek yang perlu diberi penekanan
adalah kewujudan pelancong, pembekal barangan ataupun perkhidmatan
pelancongan, kerajaan dan juga tuan rumah destinasi yang terpilih. Dalam erti kata
lain, keempat-empat elemen itu perlu terlibat dalam mewujudkan sebuah industri
pelancongan. Apabila seseorang individu itu melancong, bermakna mereka adalah
pelancong yang memerlukan perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan.
Melancong ke destinasi yang ekonominya dikawal oleh kerajaan secara tidak
langsung pelancong juga mewujudkan hubungan dengan tuan rumah selaku komuniti
destinasi itu.

Jenis-jenis Pelancong

Jenis-jenis pelancong wujud akibat daripada pengertian yang luas mengenai


pelancongan itu sendiri. Secara khususnya, jenis-jenis pelancong atau dikenali sebagai
tipologi pelancong dibincangkan secara mendalam dalam bab seterusnya. Walau
bagaimanapun, bab ini membincangkan tipologi pelancong secara amnya di mana
pelancong itu dilihat lebih sebagai pelawat atau pengembara (lihat Rajah 1.2).

Dalam pelancongan, individu yang terlibat dikategorikan kepada dua iaitu penduduk
setempat dan pelawat. Apabila kedua-duanya mengembara, wujudlah istilah
pengembara. Pengembara pula dapat dilihat dalam dua aspek iaitu mereka yang
mengembara dalam skop pelancongan dan mereka yang mengembara bertujuan
memenuhi aktiviti lain. Mengikut perspektif pelancongan, mereka yang mengembara
dalam skop pelancongan dikenali sebagai pelancong.

Dalam masa yang sama sekiranya mereka mengembara dan kembali semula ke tempat
asal mereka tanpa menginap atau dengan kata lain pergi-balik pada hari yang sama,
mereka ini dikenali sebagai pelawat harian atau excursionists. Biasanya mereka ini
melibatkan pelancongan dalaman dan bukannya pelancongan antarabangsa. Bagi
mereka yang mengembara bertujuan memenuhi aktiviti lain, pelancong-pelancong ini
mungkin terdiri daripada pelajar, pekerja sementara dan juga pendatang bergantung
kepada tujuan lawatan itu.

Pelancong biasanya melancong ke suatu destinasi bertujuan memenuhi beberapa


aktiviti antaranya tujuan perniagaan, melawat kawan dan keluarga atau serta berhibur.
Tujuan mereka melancong ini seterusnya mewujudkan kategori dan jenis pelancong
dalam industri pelancongan. WTO dan Travel and Tourism Research Organization
juga mempunyai tipologi pelancong masing-masing (lihat Rajah 1.3). Jenis-jenis
pelancong lain di mana kategori mereka ditentukan oleh faktor motivasi akan
dibincangkan secara mendalam di bab yang seterusnya.

Produk ataupun Perkhidmatan dan Aktiviti Pelancongan

Bagi melengkapkan industri pelancongan, pembekal perlu membekal serta


menawarkan produk ataupun perkhidmatan pelancongan kepada pelancong. Aktiviti
pelancongan pula sebenarnya merujuk kepada sektor-sektor atau organisasi yang
membekalkan produk ataupun pelancongan itu. Terdapat tiga sektor utama yang
menawarkan pelbagai produk ataupun perkhidmatan serta aktiviti pelancongan dalam
industri pelancongan. Sektor-sektor ini adalah sektor penginapan, sektor
pengangkutan dan sektor membeli-belah dan rekreasi.

Sektor penginapan

Oleh kerana pelancong itu sendiri membawa maksud ke luar dari tempat tinggal asal,
maka ia juga membawa maksud pelancong menginap di tempat itu. Di sini jelas
sektor penginapan penting bagi memenuhi keperluan pelancong. Sektor penginapan
juga menawarkan pelbagai bentuk penginapan dan makanan kepada pelancong.
Antara jenis penginapan yang ditawarkan kepada pelancong adalah yang berbentuk
tidak perlu dibayar ataupun perlu bayaran yang murah seperti hostel atau asrama
sekolah.

Selain itu, ada juga yang menawarkan perkhidmatan sepenuhnya contohnya yang
ditawarkan oleh kebanyakan hotel atau resort. Jenis penginapan juga ada yang
berbentuk sewaan seperti banglo dan apartmen di A Famosa Resort, Melaka. Malah,
di Eropah, sektor penginapan berbentuk bergerak juga ada ditawarkan seperti caravan.
Selain itu, sektor penginapan juga menawarkan penginapan di mana bergantung pada
tujuan penginapan itu antaranya perkhemahan bagi mereka yang ingin merasakan
percutian lasak di dalam hutan dan sebagainya.

Sektor pengangkutan

Sektor pengangkutan memainkan peranan penting bagi memastikan pelancong sampai


ke destinasi yang hendak dituju. Malah, sektor pengangkutan masa kini adalah salah
satu produk yang ditawarkan dalam industri pelancongan. Terdapat pelbagai mod
pengangkutan antaranya jalan raya, air, udara dan landasan. Pengangkutan yang
berdasarkan mod jalan raya lebih mudah ditawarkan kerana ia banyak digunakan
masa kini memandangkan kos penggunaannya juga lebih murah. Malah, bagi tujuan
pelancongan masa kini, penggunaan bas ekspres sering kali digunakan terutamanya
oleh mereka yang melancong secara berkumpulan.

Mod pengangkutan udara walaupun mahal tetapi penting kerana ia dapat


menghubungkan destinasi yang tidak mempunyai mod pengangkutan jalan raya dan
air. Penggunaan pengangkutan udara juga dapat menjimatkan masa terutamanya
perjalanan antarabangsa. Mod pengangkutan air pada masa kini lebih kerap digunakan
dalam pelancongan bagi tujuan berehat dan berhibur. Ini terbukti dengan wujudnya
kapal pelayaran.

Pemilihan pelancong dalam memilih mod pengangkutan dipengaruhi oleh beberapa


aspek. Antaranya, pelancong lebih cenderung memilih pengangkutan mengikut jarak
destinasi yang hendak mereka kunjungi. Pelancong juga lebih cenderung memilih
mod pengangkutan yang dapat menawarkan keselesaan dan mempunyai status yang
tinggi. Selain itu, pelancong lebih menitik beratkan aspek keselamatan dan harga
dalam memilih mod pengangkutan. Ini memandangkan industri pelancongan masa
kini sering kali tergugat oleh faktor-faktor di luar jangkaan seperti pengganas dan
bencana alam.

Sektor membeli-belah dan rekreasi

Selain daripada dua sektor yang dibincangkan di atas, sektor membeli-belah dan
rekreasi juga adalah sektor yang menawarkan pelbagai produk ataupun perkhidmatan
pelancongan kepada pelancong. Antaranya kedai menjual cenderamata, kedai menjual
hasil kraf tangan, pesta pelancongan, acara tarikan pelancongan serta aktiviti rekreasi
dan bersukan. Biasanya penawaran dan pemasaran produk ataupun perkhidmatan ini
memerlukan khidmat agensi pengembaraan dan juga pemandu pelancong. Malah,
peranan pemandu pelancong adalah penting bagi menjayakan sesuatu tempat tarikan
atau tempat rekreasi terutamanya yang melibatkan pelancong luar destinasi itu.

Sektor membeli-belah dan rekreasi juga memberi impak yang besar ke atas
kewujudan produk-produk pelancongan baru seperti pelancongan kesihatan,
pelancongan budaya, pe-lancongan etika, pelancongan sukan, pelancongan angkasa
dan sebagainya. Produk-produk ini bukan sahaja dapat menambah penawaran dalam
pasaran pelancongan tetapi juga dapat meningkatkan ekonomi sesebuah destinasi di
samping dapat memperkenalkan destinasi itu di mata dunia.

Kesimpulan

Bab ini secara amnya membincangkan pengertian pelancongan dan mereka yang
bergelar pelancong. Pelancongan adalah industri yang terdiri daripada pelancong,
sektor-sektor dan aktiviti-aktiviti yang terlibat secara langsung dalam membentuk
sebuah industri. Pelancongan tidak wujud tanpa adanya pelancong dan sektor-sektor
itu. Malah, pelancong adalah ejen penting yang menentukan sama ada industri
pelancongan terus berkembang ataupun sebaliknya.

Oleh itu, definisi pelancongan perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terlibat
kerana kekaburan pengertiannya boleh memberi impak yang negatif ke atas
persekitaran, sosiobudaya dan komuniti. Sektor-sektor yang terlibat dalam
menawarkan produk ataupun perkhidmatan pelancongan juga perlu dititikberatkan
kerana merekalah yang berperanan dalam mewujudkan suatu persekitaran pemasaran
yang global.

Latihan

1. Apakah yang saudara faham dengan pelancongan? Berikan tiga definisi yang
berbeza berkenaan pelancongan.

2. Huraikan dengan ringkas sektor-sektor yang terlibat dalam penawaran produk


ataupun perkhidmatan serta aktiviti pelancongan.

3. Berikan dua kepentingan sektor pengangkutan dalam industri pelancongan.


4. Huraikan dua produk pelancongan baru yang wujud dalam industri pelancongan
masa kini.

You might also like