You are on page 1of 5

Sinopsis Bab Demi Bab

Bab 1

Fuad ke hutan mencari kayu api. Dia pulang lewat hingga merisaukan pak ciknya. Selepas
mandi dan solat, Fuad ke surau untuk belajar mengaji. Selepas solat isyak, Fuad ke rumah Borhan. Dia
menyewa kereta untuk membawa anak Borhan yang sakit ke klinik. Fuad sempat menyemak baki
akaun banknya. Dia mendapati bahawa di dalam akaunnya terdapat lebih 200 ribu ringgit. Fuad pasti
bahawa ayahnyalah yang memasukkan sejumlah wang tersebut ke dalam akaunnya. Cuma dia berasa
hairan kerana baru sekarang ayahnya mengingatinya.

Bab 2

Fuad terkenang ketika dia baru sampai di Danau Seberang tanpa Sofia, Mak Salmah
tidak menyukainya. Orang kampung juga turut tidak menyukainya. Namun begitu, Pak Ismail
mempertahankannya. Pak Ismail membawanya mendekatkan diri kepada Allah. Lama-
kelamaan Fuad diterima oleh penduduk kampung termasuk Mak Salmah. Fuad berasa kesal
kerana sepanjang hayatnya, Sofia tidak tahu bahawa mereka bersaudara. Pada waktu malam,
Fuad menyuarakan keinginannya kepada Pak Ismail bahawa dia ingin membeli tanah Awang
Sojar untuk bercucuk tanam.

Bab 3

Mak Salmah, Pak Ismail, dan Fuad mengerjakan tanah seluas setengah ekar yang dibeli
Fuad dengan harga sepuluh ribu ringgit. Tanah itu ditukar milik kepada Pak Ismail walaupun
Pak Ismail membantah. Fuad ingin membalas jasa orang tua itu yang mengambilnya sebagai
anak angkat. Fuad juga membelikan motosikal untuk Pak Ismail. Begitupun, Mak Salmah masih
dingin terhadap Fuad. Mak Salmah masih ingat akan peristiwa Sofia dilarikan oleh Fuad untuk
dipulangkan kepada orang tua kandungnya dan akhirnya Sofia meninggal dunia. Cikgu Abas
dari sekolah tempat Sofia belajar meminta jasa baik Fuad menjadi guru sandaran atau guru
kelas bimbingan.

Bab 4

Pagi itu merupakan hari pertama Fuad mendaftar sebagai guru sandaran di Sekolah
Menengah Seri Setia. Dia diberi kepercayaan mengajar Tingkatan Tiga dan Lima yang akan
mengambil peperiksaan. Walaupun dia agak keberatan, namun Cikgu Abas menyatakan
bahawa Fuad mampu mengajar di kelas tersebut kerana guru lain tidak mempunyai latar
belakang pendidikan Inggeris. Dia akan dibantu oleh Cikgu Farhana, iaitu ketua panitia Bahasa
Inggeris di sekolah itu.

Bab 5
Telah hampir dua bulan Fuad mengajar. Dia mula mengenali dan menyelami lebih dekat
perwatakan Cikgu Farhana yang menjadi pembimbingnya di sekolah itu. Fuad membuat
cadangan untuk mengadakan program peningkatan bahasa Inggeris yang dinamakan Personal
Guidance. Secara tidak langsung, kerjasama ini memberi peluang kepada Farhana mengenali
Fuad secara lebih dekat.

Bab 6

Cikgu Zamani menyarankan Fuad agar berpindah rumah yang berdekatan dengan
sekolah bagi tujuan mempelajari agama dan membuat usrah. Suatu hari, Fuad didatangi oleh
seorang lelaki yang bernama Chin. Chin disuruh uncle (ayah Fuad) untuk bertanyakan khabar
dan memastikan wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya telah diterima oleh Fuad. Fuad
sedar dia telah menggunakan hampir suku wang tersebut, namun dia belum menghubungi
ayahnya walaupun untuk mengucapkan terima kasih. Dia telah berpatah arang dengan
keluarga bapanya. Chin yang pernah menjadi teman sepermainan Fuad menyedari Fuad sudah
jauh berbeza. Chin menyatakan bahawa perniagaan bapanya (Robert Lim) mula merosot dan
meminta Fuad supaya menghubungi bapanya. Apabila pulang ke rumah, Pak Ismail
menyarankan agar Fuad menziarahi bapanya walaupun berlainan agama. Fuad masih belum
berminat untuk berjumpa dengan bapanya, namun dia bercadang untuk menziarahi kubur
ibunya.

Bab 7

Pada awal cuti persekolahan penggal pertama, Fuad memulakan perjalanan bagi misi
mencari kubur arwah ibunya. Apabila sampai di Kuala Terengganu, dia singgah untuk membeli
buah tangan buat keluarga pak ciknya. Dia ternampak Farhana yang sedang berbaris untuk
membeli tiket untuk pulang ke kampungnya. Fuad mempelawa Farhana menaiki keretanya.
Dalam perjalanan, Farhana dan Fuad banyak berbincang tentang hal peribadi. Fuad
menyatakan bahawa ayahnya ialah Robert Lim yang juga ayah Sofia. Tetapi ibu mereka
berlainan. Ibu Fuad orang Melayu yang dikahwini bapanya secara Islam. Selepas itu, bapanya
berkahwin pula dengan Susan dan mendapat Sofia. Ibunya meninggal selepas melahirkannya.
Fuad dibesarkan oleh pak ciknya. Itulah sebabnya Fuad tidak mahu berjumpa dengan bapanya.

Bab 8
Kepulangan Fuad mengejutkan keluarganya. Fuad juga terkejut melihat keadaan Peter
Lim yang sangat uzur. Kepulangan Fuad menceriakan Peter Lim dan keluarganya. Anak-anak
Peter Lim gembira mendapat buah tangan daripada Fuad. Fuad membayar yuran peperiksaan
Ah Soh anak Peter Lim yang akan mengambil peperiksaan STPM. Fuad berjanji akan
membantu persekolahan anak-anak Peter Lim. Fuad menyatakan bahawa tujuan dia pulang
adalah untuk mengetahui susur galur keturunan sebelah ibunya. Pencarian itu dibantu oleh Pak
Said.

Bab 9

Farhana menghubungi Fuad tetapi tidak dapat berbual panjang kerana Fuad ada hal
penting yang perlu diuruskannya. Farhana teringat akan keperitan hidupnya semasa menuntut
di London. Dia pulang untuk menyuntik semangat kenegaraan kepada anak bangsanya. Namun
begitu, semangatnya luntur setelah melihat anak-anak nelayan dan petani sukar untuk
menerima bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, semangatnya timbul kembali dengan
kedatangan Fuad.

Bab 10

Fuad mencari kubur ibunya dengan ditemani Pak Said. Mereka sampai di rumah Pak
Ngah Lias di Lembah Klau. Setelah membuat pengenalan diri, Pak Ngah Lias menyatakan
bahawa dia ialah cucu saudaranya dan nama Fuad asalnya ialah Abdul Halim dan bapanya
ialah Roslan, iaitu nama Islam Robert Lim. Pak Ngah Lias bersama Fuad dan Pak Said pergi ke
Kampung Sedili mencari Mariah, iaitu kakak angkat Mariana. Tetapi Mariah sudah berpindah.
Apabila mereka bertanya kepada orang kampung di situ, tiada seorang yang tahu mengenai
kematian Mariana. Mereka diberitahu Mariana mungkin tidak mati. Dia gila meroyan selepas
bersalin kerana tertekan tanpa suami di sisi. Selepas seminggu bersalin dia berpindah. Fuad
mempunyai harapan baharu. Dia mungkin akan menemui ibunya dan bukan kuburnya. Hal ini
menyebabkan dia mahu menghubungi ayahnya bagi meminta gambar ibunya.

Bab 11

Cikgu Abas marah apabila mendapati tiada guru sewaktu kelas lanjutan diadakan. Sifat
negatif Cikgu Zamani terserlah apabila dibandingkan dengan Fuad. Walaupun dia hanya guru
sandaran, tetapi komitmennya tinggi. Dalam mesyuarat guru, Cikgu Abas menghamburkan
kemarahannya. Ketegasan dan ketegangan Cikgu Abas menyebabkan Fuad rasa terganggu.
Dia juga risau kerana kemarahan Cikgu Abas bersifat umum tanpa menyebut nama orang yang
dimarahinya.

Bab 12
Fuad memberikan Farhana kad ucapan sempena hari jadinya. Farhana bersetuju untuk
keluar dengan Fuad. Selepas makan, Fuad membawa Farhana ke rumah untuk diperkenalkan
kepada Mak Salmah dan Pak Ismail. Fuad mengajak Farhana ke kenduri di rumah Cikgu
Zamani, tetapi ditolak memandangkan sikap negatif Cikgu Zamani kepadanya selama ini.

Bab 13

Fuad pergi ke rumah Cikgu Zamani. Fuad terkejut kerana yang ada di situ hanyalah
Armin, Azli, dan Rosli, iaitu kawan-kawan guru sekolahnya. Cikgu Zamani mempelawa Fuad
mengikuti jemaah mereka. Kelebihan Fuad boleh digunakan bagi memantapkan jemaah
mereka. Namun begitu, Fuad menolak secara baik. Dia belum bersedia.

Bab 14

Robert Lim menghadapi masalah perniagaan. Dia juga bermasalah dengan Susan.
Penyusutan nilai ringgit meningkatkan kos pengeluaran. Beberapa kepentingan di syarikat lain
terpaksa dijual. Dia bertambah runsing apabila mendapat tahu bahawa kemungkinan Mariana
masih hidup. Dia mengajak Chin mencari Fuad di Kuala Terengganu. Kedatangan mereka
menimbulkan nostalgia Mak Salmah terhadap Sofia. Mereka meneruskan perjalanan ke
Kuantan kerana Pak Ismail memberitahu Fuad ke Kuantan untuk menziarahi ibu temannya
yang sakit di hospital.

Bab 15

Peristiwa pertengkaran antara Cikgu Farhana dengan Cikgu Zamani benar-benar


mengganggu perasaan Fuad. Fuad mendapat khabar daripada rakan serumah Farhana yang
menyatakan bahawa Farhana balik ke kampung kerana ibunya sakit. Fuad mengambil
keputusan drastik menyusul Farhana ke Kuantan.

Bab 16

Di hospital, Fuad menyatakan kekesalan kerana Farhana tidak memberitahunya.


Farhana pula tidak mahu menyusahkan Fuad. Setelah menjenguk ibu Farhana, Fuad pergi ke
rumah Farhana menjenguk adik-adik Farhana. Sewaktu melawat ibu Farhana sekali lagi, dia
terbaca nama ibu Farhana, iaitu Mariana binti Osman. Fuad menyelidiki latar belakang ibu
Farhana. Dia mendapat bayangan bahawa ibu Farhana juga adalah ibunya. Robert Lim sampai
di hospital. Setelah dilihatnya ibu Farhana, Robert Lim mengesahkan bahawa Mariana ialah
isterinya yang telah ditinggalkan dahulu.

Bab 17
Fuad dan Farhana menyambung cuti mereka. Sewaktu ibunya keluar dari hospital,
Fuadlah yang menguruskannya. Fuad menganggap semua yang berlaku sebagai dugaan. Dia
terpaksa menerima hakikat bahawa gadis yang bertakhta di hatinya selama ini adiknya sendiri.
Sampai di sekolah, mereka memberitahu hal mereka kepada Cikgu Abas. Mereka meminta
Cikgu Abas membuat pengumuman kepada cikgu-cikgu lain. Farhana diberitahu bahawa Cikgu
Zamani akan bertukar sekolah. Fuad pula mendapat tawaran untuk mengikuti KPLI.

Bab 18

Kisah Mariana sewaktu awal kelahiran Fuad dinyatakan oleh pengarang. Mariana
mengikut kakak angkatnya Mariah ke Bentong. Mereka menoreh getah. Apabila kesihatan
Mariana pulih, dia mula bertanyakan hal anaknya. Ketika Mariana sakit dan mahu membunuh
anaknya akibat benci akan suaminya, anaknya diberikan kepada ayah Mariah. Tiga hari
kemudian anaknya dilarikan Robert Lim. Kematian mengejut Seman menyebabkan usaha
menjejaki anaknya terbantut. Mariana kemudiannya berkahwin dengan seorang anggota polis
bernama Fakhrudin. Tugasnya sebagai anggota polis menyebabkannya berpindah-randah.
Mereka tinggal di Kuantan hingga Fakhrudin bersara. Mereka dikurniakan empat orang anak,
iaitu Farhana, Muhammad Fadli, Muhammad Syukri, dan Muhammad Fikri. Namun begitu,
ingatannya kepada anaknya, Abdul Halim (Fuad) tetap sukar dikikis.

Bab 19

Fuad membawa ibu serta ibu dan bapa angkatnya menunaikan umrah. Sewaktu
hendak berangkat, Robert Lim datang untuk mengucapkan selamat jalan.

You might also like