You are on page 1of 19

TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN


PENILAIAN

PENGENALAN
Dalam menempuh kehidupan seharian, kita seringkali berhadapan dengan apa yang dikatakan
sebagai pengujian, pengukuran dan penilaian dalam semua keadaan yang memerlukan kita
membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan. Anda sebagai guru perlu membuat
pertimbangan dan keputusan berhubung dengan pengajaran dan pembelajaran yang
berlangsung untuk menentukan sama ada objektif pembelajaran sudah dicapai pelajar atau
memerlukan ulangan semula dan sebagainya.

Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah antara beberapa konsep penting dalam dunia
pendidikan. Sering kali istilah ini digunakan secara bertukar ganti. Misalnya, sesetengah guru
apabila mengedarkan kertas ujian, mereka mengatakan mereka ingin mengukur atau menilai
prestasi pelajar dalam sesebuah bilik darjah, tanpa menghirau maksud khusus yang
mendukung istilah-istilah berkenaan. Secara khususnya, ketiga-tiga istilah berkenaan
mempunyai makna yang spesifik dan ketiga-tiganya mempunyai perbezaan.

Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik, dengan mengambil kira semua faktor
yang boleh mempengaruhi maklumat atau dapatan yang diperoleh, akan membantu guru
dalam membuat sesuatu keputusan dengan tepat.

OBJEKTIF
Pada akhir bab ini, anda seharusnya dapat:

1. menjelaskan maksud pengujian, pengukuran dan penilaian;


2. membezakan konsep pengujian, pengukuran dan penilaian; dan
3. mengenalpasti tujuan penilaian dijalankan.

PETA MINDA TAJUK

OUM 1
PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 1

1.1 KONSEP PENILAIAN, PENGUKURAN DAN PENGUJIAN

Sekiranya anda diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian


tinggi, apakah penilaian-penilaian yang anda lakukan terlebih dahulu sebelum
menerima tawaran tersebut. Apakah kayu ukur yang akan anda gunakan sebelum
membuat keputusan dan bagaimanakah anda menguji keputusan yang
dilakukan tersebut sama ada akan membawa kesan baik atau sebaliknya untuk
anda?

Sebagai insan yang hidup di muka bumi ini, kita tidak lari daripada membuat keputusan.
Dalam membuat sebarang keputusan, sama ada mudah atau sukar, penilaian wajar dilakukan
terlebih dahulu. Dalam konteks ini, penilaian akan melibatkan penentuan objektif, mendapatkan
maklumat, memproses maklumat, membuat kesimpulan dan membuat keputusan. Apabila
proses yang dijalankan itu dibuat secara sistematik dan saintifik, maka keputusan yang
diperoleh menjadi lebih tepat dan seterusnya tindakan yang diambil adalah benar-benar
bersesuaian.

Sebenarnya, aktiviti penilaian dalam bidang sains perlakuan dan juga sains kemasyarakatan
bermula dengan kajian yang dijalankan oleh Galton dan Binet untuk mengukur kebolehan
individu. Bermula dengan kajian tersebut, konsep penilaian telah berkembang sehingga muncul
beberapa istilah yang berkaitan seperti pengukuran (measurement), penilaian (evaluation)
dan pentaksiran (assessment). Dalam pengukuran, individu didedahkan kepada
pembolehubah yang sama dalam keadaan terkawal. Sebagai contoh, pengukuran yang
dijalankan bagi menguji kecerdasan kanak-kanak melalui ujian oleh Stanford-Binet, Raven-
Matrices, Weschler dan A.C.E.R.

Apabila sesuatu penilaian ingin dijalankan, sekurang-kurangnya dua keputusan yang utama
perlu diambil.

(a) Pertama, berkaitan dengan tujuan penilaian dijalankan. Misalnya, pihak sekolah ingin
meningkatkan taraf bacaan murid-murid di sekolah rendah dan selepas membuat
penilaian, mendapati taraf bacaan tidak memuaskan, maka

(b) Kedua, satu tindakan baru perlu diambil.

1.1.1 Penilaian

Pernahkah anda berada dalam satu-satu acara lelongan awam seperti


melelong barang-barang antik. Cuba anda bayangkan bagaimanakah
seseorang tersebut membuat penilaian sebelum membuat keputusan untuk
membeli. Apakah sebenarnya maksud penilaian?

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan
kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan
kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau
sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang
tepat tentang sesuatu perkara. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan

2 OUM
TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

sesuatu masalah. Misalnya, dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah


tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran membaca,
menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah.

Dalam membuat penilaian, anda mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah.
Misalnya, tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang dianggapkan
mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan
maklumat dan sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian,
anda akan dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi
mendapatkan maklumat yang tepat. Banyak definisi telah diberikan kepada istilah “penilaian”.

Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan


dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara.
Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai “proses delineating, mencari
dan memberikan maklumat yang berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif
keputusan”.

Definisi ini melepasi maksud pengujian dan pengukuran.

Gay (1985) berpendapat bahawa “penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa
mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah
ditetapkan itu telah tercapai”. Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau
keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penilaian berbeza
dengan pengukuran yang melibatkan hanya pemberian ukuran dalam bentuk nombor tertentu
yang lebih bersifat kuantitatif. Sebelumnya, Popham (1975) menyatakan penilaian yang
sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan


pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam bilik
darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar
atau menilai pencapaian pelajar? Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan guru sebenarnya
mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai
ukuran pencapaian tersebut dengan menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat
lain yang berkaitan. Selain menggunakan data kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat dengan
menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada pemerhatian atau
temubual.

Anda boleh mendapat maklumat lanjut dengan download fail PDF dari laman
web berikut: http://www.gao.gov/special.pubs/pe1014.pdf

Justeru, penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang berbentuk
kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan maklumat kuantitatif,
penilaian boleh dinyatakan dalam bentuk gred (seperti A, B, C, D atau E) bersama penjelasan
nilainya (seperti cemerlang, kepujian, baik, lulus atau gagal). Sementara itu, penilaian yang
menggunakan data kualitatif boleh dinyatakan dalam bentuk kualitatif juga, misalnya, Ali dapat
melukis gambar kawannya dengan cepat, tepat dan bersih. Secara ringkasnya, penilaian
meliputi tiga proses utama, iaitu menentukan ukuran, menganalisis ukuran dan menyatakan
nilai/interpretasi ukuran.

OUM 3
PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 1

Prosedur penilaian boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti dalam Rajah 1.1 di bawah.

Rajah 1.1: Prosedur penilaian

Kini istilah “pentaksiran” mula digunakan dalam penilaian pencapaian. Popham (2000)
menyatakan istilah-istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan secara silih
berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan
berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran, yang merupakan sebahagian
daripada proses pembelajaran, merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod,
memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi
sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan
dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada
pelajar dan juga untuk mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

1.1.2 Pengukuran

Kita sering melihat bahawa ahli-ahli atlit sukan yang ingin mewakili negara akan
diberi syarat-syarat tertentu untuk membolehkan mereka diterima secara
automatik untuk mewakili negara. Apakah sebenarnya yang diukur, pencapaian
peribadi mereka atau jumlah penyertaan yang mereka sertai. Apakah maksud
dan tujuan pengukuran?

Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding pengujian. Pengukuran


membawa definisi sebagai “suatu proses untuk mendapatkan penjelasan secara numerik

4 OUM
TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

(melalui angka) tentang sebanyak mana individu/pelajar mempunyai sesuatu ciri yang diukur
dengan menggunakan alat tertentu”. Dalam erti kata lain pengukuran ialah proses menentukan
sejauh mana seseorang individu memiliki ciri-ciri tertentu.

Biasanya, kita mewakilkan sesuatu pengukuran berbentuk angka kepada prestasi seseorang
individu untuk menggambarkan keupayaan individu tersebut. Contohnya, Ramli mendapat
60 peratus dalam ujian Matematik. Kita tidak menyatakan prestasi Ramli sama ada baik atau
sebaliknya. Dalam hal ini, kita hanya mengukur pencapaian matematik tanpa memberikan
nilai kepada ukuran yang diperoleh. Justeru, pengukuran hanya menentukan tahap prestasi/
ciri tertentu seseorang individu/pelajar mengikut alat yang digunakan.

Pengukuran boleh juga dibuat tanpa menggunakan pengujian. Sebagai contoh, kemahiran
melukis seseorang pelajar boleh diukur melalui pemerhatian/pencerapan, sementara
pengetahuan dan sikapnya boleh diukur melalui temubual. Justeru, kita boleh menganggapkan
pengukuran sebagai proses untuk mendapatkan sesuatu ukuran dengan menggunakan kaedah
tertentu, manakala pengujian pula merupakan salah satu daripada kaedah tersebut.

Pengukuran tidak bersifat mutlak, misalnya, pengukuran keupayaan mental seseorang sudah
tentu lebih sukar diukur secara tepat berbanding ketinggian fizikalnya. Ketinggian fizikal
seseorang boleh diukur secara tepat dengan menggunakan alat ukur yang tepat seperti
penggunaan pembaris. Seterusnya, seseorang pelajar yang mendapat skor 90 tidak boleh
dianggap mengetahui dua kali ganda daripada pelajar yang mendapat skor 45, walaupun
skor 90 itu dua kali ganda 45. Seseorang pelajar yang mendapat skor sifar pula tidak juga
boleh dianggap sebagai tidak mempelajari/ mengetahui tentang sesuatu pelajaran yang diajar
guru. Ini jelas menunjukkan ukuran aspek-aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat
sebagaimana ukuran ketinggian fizikal pelajar menggunakan pembaris.

Justeru, seseorang guru perlu menggunakan alat yang tepat bagi menghasilkan ukuran yang
tepat. Jika alat yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah ukuran yang
diperoleh juga tidak tepat.

1.1.3 Pengujian

Kita sering mendengar di stesyen TV atau di akhbar-akhbar bahawa kerajaan


menggalakkan agar kenderaan pengangkutan awam dan swasta agar
membawa kenderaaan mereka ke Puspakom untuk tujuan pemeriksaan. Pada
pendapat anda apakah tujuan sebenar pengujian dilakukan?

Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang
lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan
yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang
sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.

Menurut Cronbach (1970),

“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah
laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau
satu sistem yang berkategori”.

OUM 5
PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 1

Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian
kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti
Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian
personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan.

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan
di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan
bahawa:

“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan
oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh
daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”. (Raminah
1991:2).

Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah”
akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi
pelajar yang diuji.

Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/


pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah
seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan,
kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.

Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui


pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah.
Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya
dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran.

Anda boleh mendapat maklumat lanjut berherhubung dengan konsep Pengujian


ini di laman web berikut : http://www.measurementexperts.org/

Latihan 1.1

Jelaskan perbezaan antara pengujian, pengukuran dan penilaian.

1.2 ARAS UKURAN


Secara umumnya, terdapat pelbagai bentuk pengukuran yang berbeza, misalnya, pengukuran
yang digunakan untuk mengukur pencapaian akademik pelajar adalah berbeza daripada
pengukuran yang digunakan untuk menentukan tahap apresiasi agama pelajar. Begitu juga
membuat pengkelasan darjah motivasi sebagai bermotivasi rendah, sederhana atau tinggi
tidaklah setepat ukuran yang menggunakan skor sebenar motivasi pelajar. Penyataan dan
pengkelasan pembolehubah dalam bentuk kuantitatif melibatkan pengukuran yang
menggunakan skala tertentu. Pada umumnya terdapat dua jenis pembolehubah asas dalam
pengukuran, iaitu: (i) jenis kuantitatif (seperti 20%, 50%, 80%) dan (ii) jenis kategori (seperti
motivasi rendah, motivasi sederhana, motivasi tinggi). Kedua-dua jenis pembolehubah ini

6 OUM
TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

boleh diukur dengan menggunakan empat jenis skala, iaitu skala nominal, ordinal, sela dan
nisbah. Secara ringkasnya, skala boleh ditakrifkan sebagai angka yang digunakan untuk
mengkelas atau menunjukkan tahap/nilai sesuatu ukuran.

Rajah 1.2 Aras ukuran

1.2.1 Skala Nominal

Skala nominal ialah skala yang dianggap paling mudah dan mempunyai ketepatan
yang paling rendah. Skala ini mengkategorikan pembolehubah berdasarkan persamaan
dan seterusnya memberikan nama kepada pembolehubah berkenaan.

Misalnya, guru ingin mengkelaskan pelajar-pelajar mengikut etnik atau jantina. Guru berkenaan
perlu meletakkan nilai tertentu kepada pembolehubah tersebut bagi mewakili etnik berkenaan.
Misalnya, etnik Melayu diwakili nombor 1, etnik Cina diwakili nombor 2, etnik India diwakili
nombor 3 dan etnik-etnik lain diwakili nombor 4. Nombor I dalam sistem ini tidaklah menunjukkan
bilangan yang kecil berbanding nombor 2, 3 atau 4. Dalam skala nominal ini, kita boleh
menukar ganti nombor berkenaan untuk mewakili kategori etnik tertentu, misalnya, nombor 4
untuk etnik Melayu, nombor 3 untuk etnik Cina, nombor 2 untuk etnik India dan nombor 1
untuk lain-lain etnik.

Nombor yang digunakan di sini hanyalah mewakili atau melambangkan kategori pembolehubah
yang dinyatakan, iaitu etnik. Nombor ini tidak mempunyai sebarang nilai dan skala yang
menggunakan nombor untuk mengkategori pembolehubah ini disebut sebagai skala nominal.

Ciri-ciri utama skala nominal adalah seperti berikut:

i. Setiap ahli hanya dimiliki oleh satu kategori sahaja, misalnya, individu yang dikelaskan
ke dalam kategori Melayu tidak boleh menjadi ahli kategori etnik lain.

ii. Nombor yang mewakili setiap kategori tidak mempunyai nilai pemeringkatan, tetapi
dianggap sebagai nama kategori sahaja.

iii. Pengkelasan data asal kepada data nominal bersifat satu kepada satu.

OUM 7
PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 1

1.2.2 Skala Ordinal

Ukuran bersifat ordinal pula memberikan nilai pemeringkatan. Data boleh disusun sama
ada daripada yang terrendah kepada yang tertinggi atau daripada yang lemah kepada
yang cemerlang. Nombor atau kategori yang diguna menggambarkan ukuran asal
pembolehubah mengikut susunan daripada kecil kepada yang besar atau daripada
kategori yang baik kepada kategori yang lebih baik.

Misalnya, nombor 1, 2, 3, 4 yang menunjukkan kedudukan pelajar dalam darjah dari segi
pencapaian akademik adalah contoh skala ordinal. Pelajar yang mendapat markat keseluruhan
yang tinggi diberikan nombor 1, diikuti nombor 2, 3, 4 dan seterusnya. Ini menunjukkan nombor
1 adalah lebih baik daripada nombor 2, 3 4 dan berikutnya. Umumnya, skala ordinal mampu
(a) membezakan kategori dan (b) membezakan nilai pemeringkatan. Contoh lain skala ordinal
ialah skala Likert (misalnya, (1) Sangat Tidak Setuju, (2) Kurang Setuju, (3) Sederhana Setuju,
(4) Setuju, (5) Sangat Setuju).

Ciri-ciri utama skala ordinal adalah seperti berikut:

i. Kategori yang digunakan bagi mengkelaskan data ordinal adalah saling eksklusif.

ii. Ukuran yang diguna menunjukkan pemeringkatan secara logik.

iii. Ukuran mempunyai pemberat, iatu setiap kategori mempunyai pemberat yang kurang
atau lebih berbanding kategori lain.

Rajah 1.3 menunjukkan contoh Borang Soal Selidik yang dilakukan oleh pihak OUM yang
menggunakan konsep Skala Ordinal untuk tujuan penambahbaikan terhadap modul-modul
OUM.

8 OUM
TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

1 2 3 4 5 6

Rajah 1.3 Contoh borang soal selidik

OUM 9
PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 1

1.2.3 Skala Sela

Skala ketiga ialah skala jenis sela. Data jenis ini mempunyai ciri pemeringkatan dan
juga mempunyai perbezaan bagi setiap unit sela yang sama nilai. Skala ini berupaya
menunjukkan perbezaan antara beberapa kategori dan ia boleh menunjukkan
kesamaan dalam unit ukuran yang digunakan. Contoh ukuran berskala sela ialah ukuran
suhu. Dalam hal ini, perbezaan suhu antara 25ÚC dengan 35ÚC adalah sama dengan
perbezaan suhu antara 15ÚC dengan 5ÚC, iaitu perbezaan 10 darjah.

Skala sela memberikan sela yang sama daripada titik origin. Ini bermaksud skala sela
mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal, terutamanya ciri-ciri aspek pemeringkatan. Jarak
numerik yang sama dalam skala sela menggambarkan jarak yang sama pada ciri-ciri yang
diukur.

Contoh lain, andaikan terdapat empat orang pelajar yang diukur pencapaiannya dalam skala
sela, maka perbezaan pencapaian antara pelajar A yang mendapat 95% dengan Pelajar B
yang mendapat 70% adalah sama dengan perbezaan pencapaian pelajar C yang mendapat
50% dengan pelajar D yang mendapat 25%. Bagaimanapun kita tidak boleh mengatakan
pencapaian pelajar C adalah dua kali lebih baik daripada D, kerana skala sela tidak mempunyai
nilai mutlak, tetapi hanya berdasarkan jarak. Dalam skala sela, nilai sifar (0) merupakan
suatu nilai yang arbitrari, yang tidak menggambarkan nilai kuantiti kosong, iaitu skala sela
tidak mempunyai nilai mutlak. Misalnya, suhu 0ÚC merupakan nilai permulaan sistem
pengukuran suhu dalam ÚC. Suhu 0ÚC di sini bukan bermakna tidak ada kepanasan.

Ciri-ciri skala sela adalah seperti berikut:

i. Kategori yang digunakan bagi mengkelaskan data sela adalah saling eksklusif.
ii. Ukuran yang diguna menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik.
iii. Ukuran yang diguna mempunyai pemberat, iaitu sesuatu ukuran sama ada lebih kecil
atau lebih besar daripada yang lain.
iv. Ukuran dalam skala sela bernilai arbitrari (tidak mutlak). Nilai sifar (0) juga adalah arbitrari.
v. Perbezaan satu unit ukuran mempunyai nilai yang sama bagi semua perbezaan ukuran.

Kita sering melihat dan mendengar berlakunya gempa bumi, khususnya yang
berlaku di negara jiran seperti Indonesia. Tahukah anda bagaimanakah gempa
bumi ini diukur dan apakah jenis skala yang digunakan?

1.2.4 Skala Nisbah

Skala keempat ialah skala nisbah, iaitu skala yang mempunyai semua ciri skala sela
dan juga nilai mutlak. Dalam skala nisbah nilai sifar (0) adalah kosong.

Misalnya, perbezaan antara 30 hingga 60 adalah sama dengan perbezaan 60 hingga 90.
Malah kita boleh mengatakan 90 adalah dua kali ganda 45 (2 X 45 = 90). Contoh ukuran
berskala nisbah ialah wang, jarak dan tinggi. Jadual di bawah menunjukkan ciri-ciri keempat-
empat skala ukuran yang telah dibincangkan.

10 OUM
TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

Jadual 1.1: Skala Ukuran

Skala Ciri-ciri
Nominal Mempunyai nilai pengkelasan sahaja.
Ordinal Mempunyai nilai pengkelasan dan pemeringkatan.
Sela Mempunyai nilai pemeringkatan dan perbezaan ukuran.
Nisbah Mempunyai nilai pemeringkatan, perbezaan ukuran dan mutlak.

Pengukuran tingkah laku dalam bidang psikologi kadang kala agak sukar dibezakan antara
skala ordinal dan sela. Misalnya, dalam ukuran yang menggunakan skala Likert, andaian
yang logik ialah ukuran ini adalah berskala ordinal. Bagaimanapun, dalam penganalisisan
data, ukuran ini dianggap sebagai berskala sela.

Nyatakan perbezaan antara keempat-empat skala pengukuran. Gunakan peta minda


untuk melakarkan jawapan anda.

Kesimpulannya, setiap jenis skala ukuran memberi maklumat yang berbeza. Skala nisbah
memberikan lebih banyak maklumat daripada skala sela. Skala sela pula dapat memberikan
lebih banyak maklumat daripada skala ordinal. Begitu juga, skala ordinal memberikan lebih
banyak maklumat daripada skala nominal. Hierarki keempat-empat skala ukuran ini ditunjukkan
dalam Rajah 1.3.

Latihan 1.2

Nyatakan jenis skala untuk ukuran berikut:

(a) Jawatan (Pengetua, Penolong Kanan, Guru Kanan, Guru).


(b) Gred pencapaian (Gred A, B, C, D, F).
(c) Skor ujian Sejarah (45, 50, 60, 75, 87).
(d) Respon terhadap soal selidik (Ya, Tidak, Tidak Pasti).

1.3 TUJUAN PENILAIAN DI BILIK DARJAH

Pada pandangan anda, mengapakah aktiviti pengujian dan penilaian penting


kepada guru? Apakah implikasinya kepada pelajar dan sekolah?

Pengujian dan penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya dengan
proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri. Matlamat utama penilaian ialah untuk
memperbaiki pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya ditinjau dari aspek yang lebih luas,
penilaian yang dijalankan memberi manfaat besar kepada guru, pelajar dan ibu bapa, malah
kepada pihak sekolah serta Kementerian Pelajaran sendiri.

OUM 11
PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 1

Rajah 1.3 : Hierarki skala ukuran

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil penilaian yang dijalankan dapat dijadikan asas
kepada guru untuk membuat keputusan berhubung dengan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah. Sepanjang guru mengajar, beliau akan menggunakan
maklumat yang diperoleh bagi membuat keputusan untuk meningkatkan keberkesanan
pengajaran guru dan pembelajaran pelajar.

Bagi memudahkan pemahaman anda, tujuan atau kepentingan penilaian dalam pendidikan
khususnya dalam bilik darjah, dijelas berasakan beberapa tujuan seperti membuat diagnosis,
melihat pencapaian, membuat pemilihan dan menempatkan serta memberikan bimbingan
dan kaunseling kepada pelajar.

12 OUM
TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

Rajah 1.4: Tujuan penilaian

1.3.1 Diagnosis

Penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat memberikan maklum balas
kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap pengetahuan dan kemahiran yang
telah diajar. Selain itu, penilaian ini juga dapat memberi maklum balas tentang masalah yang
dihadapi pelajar dalam pembelajaran. Dengan itu, guru dapat mengenal pasti kemajuan
seseorang pelajar, sama ada pada tahap yang sangat memuaskan, memuaskan, sederhana,
lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung. Daripada penilaian yang dijalankan juga,
guru dapat mengenal pasti pelajar yang cepat/cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan
dan pelajar yang lemah yang memerlukan aktiviti pemulihan. Guru juga perlu membuat
keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran, supaya ia lebih bersesuaian dengan
keperluan pelajar atau mengulang pelajaran dengan menggunakan strategi yang sama dan
sebagainya.

Penilaian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran akan


memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan kemajuan pelajar
secara berterusan ini akan memberi maklum balas kepada guru tentang masalah yang
dihadapi pelajar. Adakah pelajar mempunyai masalah dalam mempelajari dan menguasai
pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar? Sekiranya pelajar menghadapi masalah, guru
akan menyelidik punca masalah tersebut. Maklumat berkenaan akan digunakan guru untuk
mengubah pendekatan pengajaran atau menyediakan latihan yang khusus supaya masalah
yang dihadapi pelajar dapat diatasi. Tanpa bantuan khas ini, pelajar-pelajar akan terus
menghadapi masalah dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dalam pembelajaran.

1.3.2 Pencapaian

Penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan
maklumat tentang tahap penguasaan para pelajar terhadap pengetahuan, kemahiran dan
sikap yang ingin disampaikan guru. Selain itu, penilaian yang dijalankan pada akhir tempoh
pengajian; misalnya pada akhir Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM);
adalah bertujuan untuk menentukan gred pencapaian para pelajar secara keseluruhan.
Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal dengan tujuan akhirnya untuk memberi sijil
kepada pelajar.

Hasil penilaian ini akan menunjukkan pencapaian akademik pelajar mengikut gred yang
diberikan, seperti cemerlang, sederhana atau gagal. Pihak sekolah akan dapat menentukan
keupayaan keseluruhan seseorang pelajar berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam
peperiksaan yang diduduki untuk tindakan selanjutnya, seperti pemilihan dan penempatan.

OUM 13
PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 1

1.3.3 Pemilihan dan Penempatan

Penilaian adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula kerana guru perlu
meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai pengetahuan dan kemahiran asas
kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan
mengajar pelajar bukan penutur asli bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan
dan kemahiran manakah yang telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan
kata dan sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam menentukan
peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.

Selain itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam sesuatu kumpulan
berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan mereka berbeza, guru perlu
menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan masing-masing dan seterusnya
merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut keperluan mereka yang berbeza-beza
itu. Dalam keadaan ini, tujuan penilaian ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut
penguasaan pengetahuan dan kemahiran mereka.

Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang
dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut
kecenderungan seseorang murid berkenaan.

1.3.4 Bimbingan dan kaunseling

Penilaian juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang
memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai motivasi untuk belajar dan ia mungkin
bersifat intrinsik/dalaman, iaitu motivasi daripada dalam diri pelajar itu sendiri. Contohnya,
mereka yang belajar disebabkan ingin mengetahui sesuatu dengan mendalam, akan
memperoleh pencapaian yang baik dan seterusnya akan dapat melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi. Selain motivasi yang bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi
yang bersifat ekstrinsik/luaran, iaitu motivasi daripada luar, seperti dorongan daripada ibu
bapa/rakan sebaya atau nasihat daripada guru/guru besar.

Rajah 1.5 : Bimbingan dan kaunseling

14 OUM
TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

Penilaian ini yang dijalankan dari masa ke masa dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk
belajar dengan lebih gigih supaya memperoleh pencapaian akademik yang lebih baik. Pelajar
yang mendapat keputusan cemerlang akan terus berusaha untuk mengekalkan pencapaian
mereka dengan semangat yang tinggi. Sebaliknya, pelajar-pelajar yang lemah akan dapat
mengenal pasti kelemahan mereka dan seterusnya dapat memperbaiki kelemahan tersebut.
Malah, maklumat tentang kelemahan pelajar dapat membantu guru untuk memberi bimbingan,
tunjuk ajar atau kaunseling untuk menangani masalah mereka dengan cara yang lebih
berkesan.

1.3.5 Tujuan Lain Penilaian

Selain tujuan yang dinyatakan di atas, penilaian juga penting dalam menentukan kesediaan
pelajar untuk mempelajari sesuatu kemahiran baru. Penilaian ini dijalankan guru sebelum
memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, yang dibuat melalui pemerhatian ke atas
keadaan fizikal pelajar, seperti tangan, mata, jari-jemari dan penumpuan pelajar kepada guru.
Daripada maklumat yang diperoleh, guru boleh menelah tahap kesediaan pelajar untuk
menerima pengajaran atau sebaliknya. Memulakan pengajaran mengikut kesediaan pelajar
adalah amat penting untuk memastikan pelajar mempunyai keyakinan dan keupayaan asas
untuk mengikuti sesi pengajaran dan seterusnya memudahkan mereka menguasai kemahiran
yang hendak diajar.

Hasil penilaian juga dapat memberikan input kepada guru tentang keberkesanan
pengajarannya. Melalui maklum balas yang ditunjukkan oleh pelajar, guru dapat menilai sama
ada pengajarannya berkesan atau sebaliknya. Sekiranya, rata-rata pelajar tidak dapat
menguasai sesuatu yang diajar; maka jelas menunjukkan strategi pengajarannya kurang
berkesan, yang memerlukan pengubahsuaian segera bagi memperbetulkan keadaan. Kepada
pelajar pula, maklumat penilaian ini dapat menunjukkan tahap penguasaan mereka terhadap
sesuatu tajuk pelajaran. Seandainya mereka lemah dalam sesuatu tajuk, mereka akan
mengetahuinya dan dengan sendiri mereka akan memberi tumpuan kepada perkara yang
mereka kurang kuasai.

Seterusnya, kepada ibu bapa, penilaian guru dapat memberikan maklum balas tentang
kemajuan dan pencapaian anak-anak mereka dalam semua mata pelajaran dan juga dalam
aspek sahsiah. Ibu bapa dapat mengambil tindakan sewajarnya, seperti memberikan tumpuan
yang lebih atau menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dengan harapan pencapaian
anak-anak mereka akan meningkat.

Selain itu, penilaian juga dapat memberikan maklumat yang jelas kepada pihak penggubal
dasar, khususnya penggubal kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia, tentang kurikulum
yang digunakan di sekolah-sekolah. Pihak Kementerian mendapat maklum balas yang tepat
tentang pencapaian objektif sukatan pelajaran, sama ada telah dapat dicapai dengan jaya
atau sebaliknya. Sekiranya maklum balas yang diperoleh tersebut menunjukkan terdapat
kekurangan yang ketara dalam mencapai objektif tertentu, maka pengubahsuaian sukatan
pelajaran serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan.

Secara umumnya, pengukuran yang dijalankan di bilk darjah dapat dibuat melalui tiga bentuk,
iaitu : (i) pemerhatian, (ii) lisan dan (iii) penulisan. Ketiga-tiga bentuk pengukuran ini bertujuan
mengesan penguasaan secara serta-merta, mengesan kemajuan dan mengesan pencapaian
pelajar. Secara mudah, jadual di bawah menunjukkan bentuk-bentuk pengukuran berkenaan.

OUM 15
PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 1

Jadual 1.3 : Pengukuran Secara Pemerhatian

Mengesan Serta-merta
Pengukuran dan penilaian ini dijalankan dengan tujuan mengesan penguasaan hasil pembelajaran
dengan serta-merta. Pengukuran dijalankan dengan cara memerhati sikap dan perlakuan murid
dalam memperlakukan aktiviti yang dijalankan dalam bilik darjah.Guru boleh merancang sama ada
untuk mengadakan aktiviti secara individu atau secara kumpulan. Jika perlu guru boleh merekodkan
segala perlakuan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajarnya. Seterusnya, guru akan memberikan
bimbingan, teguran dan nasihat sekiranya pelajar melakukan kesilapan semasa latihan. Sebaliknya,
pujian harus diberikan kepada pelajar yang telah melakukan latihan dengan betul.
Mengesan Kemajuan
Pengukuran dan penilaian ini dibuat untuk mengesan kekuatan dan kelemahan pelajar selepas
beberapa sesi pembelajaran. Misalnya, menilai kemahiran pergerakan fizikal dalam mata pelajaran
Pendidikan Jasmani atau amali dalam Pendidikan Islam.Penilaian dapat dijalankan dengan teliti
sama ada menilai secara individu atau dalam kumpulan melalui alat tertentu, seperti senarai semak,
skala kadar atau rekod anekdot. Guru akan merekodkan maklumat jika perlu dan seterusnya
mengambil tindakan susulan mengikut keperluan setiap pelajar.
Mengesan Pencapaian
Pengukuran dan penilaian ini bertujuan untuk mengesan pencapaian pelajar selepas beberapa sesi
pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, menilai pergerakan fizikal dalam mata pelajaran Pendidikan
Jasmani atau amali dalam Pendidikan Islam.Seperti juga mengesan kemajuan, untuk mengesan
pencapaian, guru perlu merancang dengan teliti untuk mengadakan ujian secara individu dengan
menggunakan alat seperti senarai semak atau skala kadar. Guru perlu merekod dan melaporkan
pencapaian pelajar, dan juga memberi tindakan susulan jika perlu.

Jadual 1.4 : Pengukuran Secara Lisan

Mengesan Serta-merta
Pengukuran dan penilaian ini bertujuan untuk mengesan penguasaan objektif pengajaran dengan
serta-merta dalam bilik darjah. Pengukuran dijalankan secara lisan, seperti menilai kebolehan pelajar
bertutur melalui soal-jawab lisan, perbincangan atau kuiz secara lisan.Guru perlu merancang sama
ada mengadakan aktiviti-aktiviti ini secara individu atau secara kumpulan. Jika perlu guru hendaklah
merekodkan segala perlakuan yang ditunjukkan oleh pelajar. Seterusnya, jika perlu, guru akan
memberikan bimbingan, teguran dan nasihat kepada pelajar. Begitu juga, sebaliknya, pujian harus
diberikan kepada pelajar yang dapat menjawab atau berbincang dengan baik.
Mengesan Kemajuan
Pengukuran dan penilaian ini bertujuan untuk mengesan kekuatan dan kelemahan pelajar selepas
beberapa sesi pembelajaran. Misalnya, menilai kemahiran bertutur melalui aktiviti syarahan, lakonan
dan bercerita. Menilai kefasihan menghafal melalui aktiviti bacaan kuat, kuiz dan hafazan.Pengukuran
dapat dijalankan dengan guru merancang dengan teliti sama ada pengukuran dan penilaian dibuat
secara individu atau secara kumpulan dan menggunakan alat tertentu seperti senarai semak atau
skala kadar. Guru perlu merekodkan pencapaian pelajar dan seterusnya mengambil tindakan susulan
yang mengikut keperluan pelajar.
Mengesan Pencapaian
Pengukuran dan penilaian ini bertujuan mengesan pencapaian selepas beberapa sesi pembelajaran.
Misalnya, menilai bacaan murid dalam Bahasa Melayu dan menghafaz dalam mata pelajaran
Pendidikan Islam. Seperti juga mengesan kemajuan, mengesan pencapaian memerlukan guru
merancang dengan teliti untuk mengadakan ujian secara individu. Ujian dijalankan dengan bantuan
alat ujian lisan yang sesuai, seperti senarai semak atau skala kadar. Guru perlu merekod dan
melaporkan pencapaian pelajar dan memberikan tindakan susulan jika perlu.

16 OUM
TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

Jadual 1.5 : Pengukuran Secara Pemerhatian

Mengesan Serta-merta
Pengukuran dan penilaian ini bertujuan mengesan pembelajaran secara serta-merta, misalnya, guru
menilai pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran berbahasa pelajar melalui kerja yang dihasilkan
pelajar.Guru perlu merancang sama ada untuk mengadakan aktiviti secara individu atau secara
kumpulan. Guru perlu merekodkan segala perlakuan yang ditunjukkan oleh pelajar. Seterusnya,
guru akan memberikan bimbingan, teguran atau nasihat, sekiranya pelajar melakukan kesilapan.
Mengesan Kemajuan
Pengukuran dan penilaian ini bertujuan untuk mengesan kekuatan dan kelemahan pelajar selepas
beberapa sesi pembelajaran, misalnya, menilai proses penulisan pelajar.Guru perlu merancang dengan
teliti sama ada pengukuran dibuat secara individu atau secara kumpulan, dengan menggunakan alat
tertentu seperti senarai semak. Guru perlu merekodkan perlakuan pelajar dan mengambil tindakan
susulan mengikut keperluan pelajar.
Mengesan Pencapaian
Pengukuran dan penilaian ini bertujuan untuk mengesan pencapaian selepas beberapa sesi pengajaran
dan pembelajaran. Pengukuran dibuat melalui pemerhatian seperti juga untuk tujuan mengesan
kemajuan.Guru perlu merancang dengan teliti sama ada pengukuran perlu dibuat secara individu
atau secara kumpulan. Guru perlu merekod dan melaporkan pencapaian pelajar dan memberikan
tindakan susulan jika perlu.

Latihan 1.3

1. Bagaimanakah penilaian dapat membantu memperbaiki pengajaran dan


pembelajaran?

2. Nyatakan ciri-ciri:

(a) Pengujian
(b) Pengukuran
(c) Penilaian

RUMUSAN
Dalam bab ini anda telah didedahkan dengan konsep pengujian, pengukuran dan penilaian.
Di samping itu juga, perbincangan turut menyentuh aspek aras ukuran serta kepentingan
penilaian dalam bilik darjah. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa guru berperanan penting
dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian para pelajar dalam
bilik darjah. Guru menentukan hasil pembelajaran bagi pelajar-pelajarnya serta merancang
dan melaksanakan penilaian dan juga merekod segala maklumat yang diperoleh, dan akhirnya
melakukan tindakan susulan. Melalui aktiviti penilaian, guru dapat memastikan perkembangan
potensi individu secara menyeluruh agar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK).

OUM 17
PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 1

GLOSARI
Pengujian Proses/prosedur yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang
biasanya dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan
pencapaian pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.

Pengukuran Proses/prosedur yang sistematik bagi mengukur perubahan tingkah laku


pelajar yang boleh dibuat secara pemerhatian, lisan atau secara bertulis.
Tujuan pengujian ialah untuk menentukan perubahan tingkah laku pelajar,
termasuk pencapaian akademik, penguasaan kemahiran dan sikap pelajar.

Penilaian Proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam


menafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang
pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.

Pentaksiran Proses/posedur yang sistematik bagi mendapatkan maklumat dan membuat


pertimbangan tentang hasil pembelajaran.

UJIAN 1
1. Bagaimanakah penilaian dapat membantu memperbaiki pengajaran dan pembelajaran?

2. Nyatakan skala-skala pengukuran yang boleh digunakan dalam pengukuran dan pengujian
dalam pendidikan.

3. Mengapakah proses penilaian dijalankan dalam bilik darjah?

UJIAN 2
Skala nisbah mempunyai nilai pemeringkatan, perbezaan ukuran dan mutalak.

1. Jelaskan hubungan antara pengukuran dan skala.

2. Jelaskan maksud “nilai pemeringkatan” dan “nilai mutlak”.

3. Berikan contoh ukuran yang menggunakan skala nisbah dan jelaskan nilai pemeringkatan,
nilai perbezaan ukuran dan nilai mutlak bagi ukuran ini.

18 OUM
TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

RUJUKAN
Cronbach, L.J. (1970). Essential of psychological testing (3rd ed.) New York: Harper & Row.

Gay, L.R. (1985). Educational and evaluation and measurement. Competencies for analysis
and application. 2nd ed. Charles E. Merril.

Mokhtar Ismail (1995). Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Penilaian kendalian sekolah. (2002). Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan


Malaysia.

Popham, W.J. (1975). Educational evaluation. New Jersey: Printice-Hall Inc.

Popham, W.J. (2000). Testing : What every parent should know about school tests. London:
Allyn & Bacon.

Raminah Hj Sabran. (1991). Penilaian dan pengujian Bahasa Malaysia: Penerapannya pada
peringkat sekolah rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Linn, R.L. & Gronlund, N.E. (2000). Measurement and assessment in teaching. (8th. Ed.)
New Jersey: Printice Hall.

Stufflebeam, D.L. (1971). “Evaluation s enlightment for decision making” in Beatty, W.H (Ed.)
improving educational assessment and an inventory of measures of affective
behaviour. Washington D.C: ASCD.

OUM 19

You might also like