You are on page 1of 7

FAKTOR GERAKAN NASIONALISME DI TANAH MELAYU

 
Pengenalan

Secara umum, dalam konteks Tanah Melayu, nasionalisme bermaksud


perasaan cinta dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air
dan ingin membebaskan negara dan bangsa daripada penguasaan dan
cengkaman kuasa asing.

Nasionalisme juga ada kaitan dengan “negara” dan “bangsa”. Nasionalisme


pada umumnya bertujuan mewujudkan kebebasan individu dan negara daripada
cengkaman dan kongkongan pemerintah dan kuasa asing. Intipati utama
nasionalisme ialah mewujudkan kebebasan dan maruah seseorang serta
membentuk nasib dan masa depan sesebuah negara dan bangsa.

Perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu melalui tiga tahap perkembangan


iaitu tertegaknya kuasa penjajah, kebangkitan kegiatan anti-British dan
permulaan gerakan nasionalisme yang lazim.
 
FAKTOR YANG MENDORONG KEPADA NASIONALISME

1. Gerakbalas Terhadap Pentadbiran Inggeris Menjelang akhir abad ke


19.

Pihak Inggeris telah berpuas hati dengan kaedah pengukuhan kuasa, pengaruh
dan kedudukan ekonomi mereka di tanah Melayu. Pihak Inggeris kemudian
telah memulakan proses menginstitusikan berbagai bidang kerajaan yang
merangkumi hampir semua aspek kehidupan politik, ekonomi dan sosial.
Usaha mencapai tujuan ini paling pesat dilakukan di negeri-negeri Melayu
bersekutu. Akibat daripada keadaan ini, institusi Melayu tradisional dan elit
Melayu tradisional mendapati diri mereka terpaksa mengambil peranan yang
semakin kecil dan hal ehwal kerajaan dan pentadbiran.

Langkah-langkah yang di ambil oleh pihak Inggeris ini telah


menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu, kerana mereka
sedar hak mereka sebagai rakyat peribumi sedikit demi sedikit diambil alih oleh
pihak pendatang dan kaum penjajah.

2. Perkembangan Ekonomi

 Perhubungan

1
Sistem perhubungan yang telah dimajukan oleh pihak Inggeris adalah demi
kepentingan ekonomi mereka. Walau bagaimanapun ianya telah membantu
menyelesaikan halangan geografi di kalangan masyarakat Melayu.
Umpamanya, pada tahun 1910, terdapat lebih daripada 2400km jalanraya
terturap. Sistem perhubungan ini dapat membantu merentasi sikap
kekampungan, kedaerahan dan kenegerian. Masyarakat Melayu tidak kira
dari daerah atau negeri yang berlainan dapat berhubung di antara satu sama
lain.

 Kemajuan Ekonomi

Orang Melayu berupaya untuk meningkatkan tahap pendidikan dan


memiliki keupayaan untuk menerbitkan akhbar dan majalah untuk
penyebaran kesedaran politik orang Melayu.

 Pembukaan bandar-bandar baru.

Ia menyebabkan batas-batas geografi didekatkan dan seterusnya


membolehkan maklumat serta perhubungan menjadi lebih mudah.

3.         Agama

Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, masyarakat Melayu
terutamanya yang tinggal di bandar-bandar berasa tidak puas hati dengan
keadaan ekonomi, sosial dan politik mereka. Kesedaran ini melahirkan 3
golongan di bandar-bandar untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat
Melayu pada awal abad ke-20.

Golongan ini menerima pelajaran dan inspirasi dari gerakan pemulihan


Islam moden dan gerakan Pan-Islamisme yang diasaskan pada penghujung
abad ke-19 dan awal abad ke-20 oleh Imam Syeikh Muhammad Abduh dan
Sayid Jamaluddin al-Afghani. Di antara penuntut-penuntut Melayu yang
membawa pengaruh dari Timur Tengah ialah Syeikh Muhammad Tahir bin
Jalaluddin, Syed Syeikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbass Muhammad Taha
dan Syeikh Mohammad Salim al-Kalali.

4.         Bahasa dan kesusasteraan

Akhbar-akhbar tempatan telah memuatkan puisi, cerpen dan novel untuk


membangkitkan semangat kebangsaan.

2
Puisi Omar Mustaffa yang tersiar dalam Utusan Melayu keluaran 18
Januari 1913 menggesa orang Melayu supaya rajin bekerja dan jangan
membiarkan kekayaan diambil oleh bangsa lain.

5.         Akhbar dan Kewartawanan

Akhbar dan majalah memainkan peranan penting menyedarkan penduduk di


Tanah Melayu. Akhbar berperanan menyalurkan pendapat tokoh-tokoh
perjuangan kepada masyarakat. Tulisan dalam akhbar dan majalah
memberikan kesedaran kepada penduduk Tanah Melayu mengenai
kemajuan. Pengaruh dari akhbar dan majalah dapat menyebarkan semangat
kebangsaan di kalangan pembacanya.

a.    Al-Imam diterbitkan pada 23 Julai 1906 di Singapura. Akhbar ini


diterbitkan oleh golongan kaum muda yang dipimpin oleh Syed
Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Muhammad Salim
al-Kalali dan Haji Abbass Mohammad Taha.

Walaupun al-Imam telah membangkitkan kesedaran masyarakat Melayu


tentang pentingnya kemajuan sosial dan ekonomi tetapi ia tidak dapat
mencapai kemajuan yang cemerlang. Hal ini adalah disebabkan kegiatan
mereka mendapat tentangan hebat daripada majalah keluaran kaum tua
seperti Pengasoh (1918-1937). Hasilnya, al-Imam telah menamatkan
penerbitannya pada bulan Disember 1908 selepas diterbitkan sebanyak
31 keluaran. Perjuangan al-Imam diteruskan oleh Neracha (1910),
Tunas Melayu (1913), al-Islam (1914), al-Ikhwan (1926) dan Saudara
(1928).

e.     Utusan Melayu diterbitkan pada tahun 1939. Pengarangnya yang


pertama ialah Rahim Kajai.

6.         Sistem pendidikan

Sistem pendidikan pada zaman ini juga mendorong kepada perkembangan


gerakan nasionalisme. Sekolah-sekolah agama telah didirikan di
Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Di Negeri-negeri Melayu, sekolah
agama didirikan di Teluk Intan (Perak), Kuala Terengganu dan Muar
(Johor). Sekolah agama yang penting di Singapura ialah Madrasah al-Iqbal
al-Islamiyah, di Melaka ialah Madrasah al-Hadi dan di Pulau Pinang ialah
Madrasah al-Masyor. Sistem persekolahan sekolah ini mengikut sistem yang
terdapat di Mesir dan di Barat seperti yang dijalankan di Madrasah al-Iqbal

3
al-Islamiyah di Singapura. Di samping itu, Maktab Perguruan Sultan Idris
(MPSI) dan Maktab Melayu Kuala Kangsar juga bertanggungjawab
membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan penuntut-penuntut.
MPSI ditubuhkan pada tahun 1922. Ia merupakan institusi latihan guru-
guru Melayu bagi sekolah-sekolah Melayu. MPSI telah menerbitkan
majalah-majalah seperti Cendera Mata (1923) dan majalah Guru (1924)
untuk menyalurkan pendapat penuntut maktab ini.

7.         Golongan intelektual

Perkembangan pendidikan di Tanah Melayu telah melahirkan satu golongan


intelektual terpelajar. Golongan terpelajar ini telah terpengaruh dengan idea-
idea dan falsafah-falsafah politik seperti demokrasi, liberalisme, sistem
parlimen dan perlembagaan serta nasionalisme. Golongan terpelajar yang
dimaksudkan ialah Raja Chulan, Eunos bin Abdullah dan Dato’ Onn bin
Jaafar. Mereka diberi peluang berkhidmat dengan kerajaan. Raja Chulan
(Raja Dihilir Perak) yang menjadi ahli Majlis Pusat memperjuangkan hak
dan keistimewaan orang Melayu. Dato’ Onn bin Jaafar dari Johor
menerbitkan akhbar Warta Malaya dan Lembaga Melayu. Akhbar-akhbar
ini menyalurkan bidasan dan kritikan yang pedas terhadap pentadbiran
Inggeris. Beliau mengadakan rapat umum untuk menyelar pentadbiran
Inggeris. Selain itu, graduan-graduan dari MPSI telah menubuhkan
Persatuan Sastera Melayu (1923) untuk menggalakkan pertumbuhan sastera
Melayu. Karya-karya yang diterbitkan oleh ahli-ahli persatuan ini telah
membangkitkan perasaan nasionalisme di kalangan masyarakat Melayu.

8.         Pengaruh luar

a.         Gerakan Pemulihan Islam di Mesir

Gerakan Pemulihan Islam bermula di Mesir sejak tahun 1850. Gerakan


ini dipimpin oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad
Abduh. Syeikh Muhammad Abduh dilahirkan di Mesir pada tahun 1829
dan mendapat ijazah dari Universiti al-Azhar. Beliau menjadi Mufti
Besar dari tahun 1899 hingga beliau meninggal dunia pada tahun 1905.
Matlamat-matlamat Gerakan Pemulihan Islam ialah:
o         Memperjuangkan konsep Pan-Islamisme, iaitu penyatuan
umat Islam di seluruh dunia.
o         Membebaskan agama Islam daripada kepercayaan kolot dan
ortodoks yang tiada kaitannya dengan ajaran Islam yang sebenar.

4
o         Memulihkan agama Islam mengikut ajaran Islam yang
terkandung dalam al-Quran dan Hadith.
o         Mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan sosial
mengikut al-Quran dan Hadith.
o         Membebaskan negara Islam dari pengaruh penjajahan Barat.

Konsep Gerakan Pemulihan Islam telah memberi ilham kepada pelajar-


pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir untuk
berjuang di negara sendiri. Pelajar-pelajar yang berpendidikan Arab dari
Mesir pulang ke Tanah Melayu dan menjadi pelopor Gerakan Islah-
Islam. Tokoh-tokoh terkenal ialah Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Syeikh
Tahir Jalaluddin, Syeikh Mohammad Salim al-Kalali dan Haji Abbass
bin Mohammad Taha. Mereka menyebarkan idea-idea Islam-Islamiah
atau pemulihan agama Islam serta konsep Pan-Islamisme di kalangan
kaum Melayu menerusi majalah al-Imam.

b.         Gerakan di Turki

1.        Gerakan Pan-Islam

Perkembangan di Turki mempengaruhi umat Islam di Tanah


Melayu. Sultan Turki dianggap sebagai Khalifah (pemimpin Islam).
Gerakan Pan-Islam ialah gerakan untuk menyatukan umat Islam di
dunia di bawah Empayar Turki atau Empayar Uthmaniyah.
Mehemet Kiamil Bey cuba mengembangkan pengaruh Pan-Islam di
Johor tetapi gagal.

2.        Gerakan Khilafat

Pakatan di antara Jerman-Turki tewas dalam Perang Dunia Pertama.


Inggeris cuba menguasai Turki. Orang Islam di India membentuk
Gerakan Khilafat untuk mengekalkan kuasa Turki dan sistem
Khilafat. Gerakan Khilafat yang ditubuhkan di Singapura dikawal
rapi oleh Inggeris.

3.      Gerakan Turki Muda

Golongan Turki Muda yang dipimpin oleh Mustapha Kamal


Attaturk bergerak untuk memodenkan Turki. Golongan Turki Muda
menyebarkan semangat kebangsaan di Turki. Golongan Turki Muda
dikatakan tidak mementingkan agama dan undang-undang Islam
dalam perkembangannya. Abdul Kadir Adabi atau Abdul Kadir bin
Ahmad adalah seorang penulis dari Kelantan. Akhbar Pengasoh, al-
5
Ikhwan dan Saudara turut menyiarkan tentangan terhadap Turki
Muda. Namun demikian, terdapat pandangan yang baik mengenai
Turki Muda, iaitu mereka membangkitkan semangat kebangsaan di
Turki.

c.         Pengaruh dari Jepun

Sejak tahun 1868, Jepun muncul sebagai negara yang moden dan kuat.
Pemimpin-pemimpin Meiji seperti Maharaja Mutsushito telah
memodenkan negara Jepun. Jepun mengubahsuai teknologi Barat untuk
kegunaannya. Jepun berjaya menewaskan negara China dalam Perang
China-Jepun pada 1894-1895. Pada tahun 1905, Jepun menewaskan
Rusia dalam Perang Rusia-Jepun. Kejayaan Jepun menjadikannya kuasa
baru yang kuat di dunia. Kejayaan tersebut membuktikan bahawa orang
Barat dapat ditewaskan oleh orang Asia. Kejayaan Jepun menjadi
pendorong kepada penduduk Tanah Melayu untuk menentang
penjajahan.

d.         Pengaruh di Indonesia

        Sarekat Islam

Sarekat Dagang Islam diasaskan oleh Raden Mas Tirtoadisoeryo


pada tahun 1909. Nama Sarekat Dagang Islam ditukar kepada
Sarekat Islam pada tahun 1912. Sarekat Islam ialah parti politik
yang pertama di Indonesia. Pemimpin Sarekat Islam yang terkenal
ialah Omar Said Tjokroaminoto dan Agus Salim.

        Parti Komunis Indonesia (PKI)

PKI diasaskan oleh Semaun, Tan Malaka dan Darsono pada tahun
1920. Kebanyakan orang Melayu tidak menyertai PKI kerana ajaran
komunis yang bertentangan dengan agama Islam. Ahli-ahli PKI
termasuk Tan Malaka cuba menyebarkan fahaman komunis di
Singapura tetapi tidak berhasil. Tan Malaka berpendapat bahawa
orang Melayu sukar dipengaruhi kerana mereka berfahaman
konservatif. Sutan Jenin dari Sumatera dapat mengembangkan
pengaruh Komunis di Tanah Melayu pada tahun 1930-an.

        Parti Nasional Indonesia (PNI)

PNI diasaskan oleh Sukarno dan Sartono pada tahun 1927. Pemuda-
pemuda Indonesia memperjuangkan kebebasan mereka melalui

6
tulisan, pergerakan sosial dan kebudayaan. Pelajar MPSI
dipengaruhi oleh perjuangan PNI yang mengamalkan dasar tidak
bekerjasama dengan penjajah. Dasar tidak bekerjasama ini telah
diamalkan oleh pejuang nasionalis di India yang diketuai oleh
Mahatma Gandhi. PNI mengamalkan ideologi yang menganjurkan
revolusi untuk menggulingkan kerajaan Belanda. Pengaruh dari luar
yang tersebar melalui majalah dan akhbar dapat membangkitkan
semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu. Mereka berjuang
untuk memajukan bidang sosial, ekonomi dan politik orang Melayu.
Penduduk Tanah Melayu menguatkan semangat dan bersatu padu
untuk melepaskan diri daripada kuasa penjajah.

9. Perkembangan Teknologi Percetakan

Penggunaan mesin cetak memudahkan percetakan risalah dan akhbar untuk


diedarkan kepada orang ramai.

RUMUSAN

Penjajahan British ke atas Tanah Melayu telah mencetus semangat nasionalisme


di kalangan orang Melayu dengan tekad untuk membebaskan Tanah Melayu
daripada penjajahan tersebut. Walau pun gerakan nasionalisme orang Melayu
bermula dengan agak perlahan, faktor-faktor pendidikan, ekonomi dan
nasionalisme serantau telah membuatkan orang Melayu semakin sedar dengan
kedudukan mereka di tanah air mereka sendiri.

Kesedaran nasionalisme orang Melayu jika bermula dengan lebih awal mungkin
akan membolehkan Malaya memperolehi kemerdekaan dengan lebih cepat
sebagaimana Indonesia, sebaik sahaja pengunduran tentera Jepun dalam Perang
Dunia Kedua.

You might also like