You are on page 1of 12

Assalamualaikum wbt,

Bismillahirrahmanirrahim

Dengan Nama Allah (SWT) Yang Maha Pemurah, Penyayang Lagi Maha Agung. Sesungguhnya segala puji,
kemulian dan sanjungan itu hanya pada Mu sahaja. Selawat dan salam untuk junjungan besar kita Nabi
Muhammad (SAW).

Syukur ke hadrat Allah (SWT) kerana dengan taufik dan hidayahnya saya berkemampuan untuk
menyiapkan website ini. Saya berharap amalan perubatan melalui ayat-ayat Al-Quran (Quranic
Medicine), iaitu perubatan yang saya namakan Perubatan Syifa’ Al-Hidayah ini dapat diperkembangkan
dan dipraktikkan di kalangan umat Islam.

Al-Quran adalah setinggi-tinggi martabat penawar dan kesembuhan. Setiap huruf yang terkandung di
dalamnya adalah penawar untuk penyakit spiritual dan fizikal. Tiap-tiap surah dan ayat dalam Al-Quran
adalah penawar kepada sesuatu penyakit, dengan syarat seseorang itu beriman dan yakin kepadanya.

PENGASAS- Pengasas perubatan ini adalah Saidina Abu Bakar (ra). Perubatan dengan menggunakan
ayat-ayat Quran sebagai penawar ini sangat mashyur semasa di zaman kegemilangan Islam selepas
wafatnya Nabi Muhammad (SAW). Tetapi setelah sekian lama, ramai umat Islam kurang yakin akan
hikmah dan mujizat Al Quran sebagai penawar kepada segala penyakit. Saya sangat berharap agar kita
dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan perubatan melalui Al-Quran seperti semasa zaman
permulaan Islam dahulu.

AL-QURAN SEBAGAI PENAWAR- Di dalam Surah Al-Israa’ Ayat 82 Allah (SWT) berfirman “Dan kami
turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat
bagi orang yang beriman kepadanya.” Di dalam Surah Fussilat ayat 44 Allah (SWT) berfirman “Katakan,
Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman”. Ini jelas terbukti bahawa semua
penyakit yang datang dari Allah, penawarnya ada di dalam Al-Quran, terpulanglah kepada individu untuk
mencari dan mengamal ayat-ayat tersebut dan yakin sepenuhnya akan mukjizat Al-Quran.

CONTOH SURAH DAN AYAT PENAWAR- Semua penyakit yang Allah jadikan di dunia ini ada penawar nya
didalam Al-Quran, contohnya.

- Surah Qaaf ayat 16 hingga 45, Surah Ah-Qaaf ayat 21 hingga 28 dan Surah Sod ayat 34 hingga 61
selalunya untuk penyakit yang ada kaitan dengan tulang (seperti sakit rheumatism, arthritis, sakit sendi,
tulang patah atau fractured, slip disc, sakit tulang belakang)

- Surah Al-Buruuj ayat 1 higga 22 selalunya di baca untuk penawar sakit-sakit yang berkaitan dengan
perut (seperti gastric, stomach ulcer) atau penyakit yang berkaitan dengan usus besar atau usus kechil.

- Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55 untuk pesakit yang mengalami sakit jantung, saluran darah tersumbat
(blockage) dan jantung berlubang.
- Ayat-ayat dalam Surah Al-Anfaal untuk sakit jangkitan kuman/virus atau "infections". Ayat ayat dari
Surah Al-Anfaal ini berfungsi sama seperti ubat-ubat antibiotiks.

- Ayat-ayat dalam Surah An-Nahli untuk memberi kekuatan atau tenaga kepada pesakit. Kekuatan dari
segi fizikal dan kekuatan dari segi dalaman atau rohani. Ayat-ayat ini berfungsi untuk meningkatkan
kekuatan fizikal atau immuniti (sistem daya pertahanan sesaorang). Peningkatan kekuatan rohaniah dari
segi semangat dan keazaman pesakit.

- Ayat-ayat dari Surah Al-Anbiyaa', Surah Al-Qasas, Surah Al-Ma'idah, Surah An-Naml khusus untuk
penyakit kencing manis (diabetes), darah tinggi (hyper-tension), sakit angin ahmar (stroke) dan lain-lain
lagi.

- Ayat-ayat dari Surah Yusuf dan Surah An-Nahli untuk penyakit lemah tenaga batin untuk kaum lelaki.

- Ayat-ayat dalam Surah Maryam, Ambiyaa' dan Imran untuk sakit fibroid, ovarian cysts dan lain-lain
sakit perempuan.

- Ayat-ayat dari Surah Fatah, Yunus, Hud, Az-Zumar, Ma'idah, Al-A'raff, Ash-Syura, Al-Qasas dan lain-lain
surah untuk berbagai jenis penyakit kanser, sakit buah pinggang (kidney failure), hepatitis dan lain lain
penyakit.

- Ayat-ayat dari Surah Al-Baqarah, Fussilat, Ash-Syu'aara, Al-Furqaan, Ar-Ra'd, Toha, Al-Mu'minum,
Muhammad, dan lain-lain surah untuk penyakit gangguan sihir, santau, rasuk jin atau iblis, ilmu
pangasih, ilmu pelalau, ilmu pemisah dan lain-lain penyakit gangguan atau "spiritual illness".

Selain dari penyakit yang disebut di atas, saya dapati penyakit seperti SLE, sejenis penyakit buah
pinggang (nephronic syndrome, penyakit kulit (psiorasis), sakit sawan (epilepsi) dan sakit tekanan jiwa
(depression) boleh diubati melalui ayat-ayat Al-Quran.

Di kalangan anak-anak, penyakit yang selalu saya mengubati termasuklah anak-anak yang mengalami
penyakit down-syndrome, penyakit "learning disability", penyakit "dyslexic" dan penyakit kronik yang
lain.

CARA PERUBATAN- Perubatan Shifa' Al-Hidayah ini tidak menggunakan hikmat makhluk halus (samada
jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan tidak juga menggunakan sebarang perantaraan.

Ianya berdasarkan kepada 3 amalan utama iaitu:

1. Amalan Bacaan Al-Quran,


2. Berdoa memohon kepada Allah (SWT)
3. Memperbanyakkan Zikir (Laila hail’lallah)
Selain dari 3 amalan ini, perubatan ini menggunakan air mineral dan madu asli. Madu asli adalah
digunakan untuk mengubati penyakit yang ada kaitan dengan paru-paru (seperti sakit lelah), perut (sakit
ulcer, gastric, dll), usus, sakit sendi, lemah tenaga batin dan pasangan yang sukar mendapat anak. Setiap
pesakit dinasihatkan berwuduk sebelum perubatan dan kaum muslimat dikehendaki menutup aurat
dengan memakai pakaian solat (telekong) semasa perubatan.

Kadang-kadang saya perlu menyentuh pesakit ketika berubat dan tempat yang selalu disentuh adalah di
tulang belakang (spinal cord) atau di kepala pesakit. Sebab itu kaum muslimat di mestikan memakai
pakaian solat ketika berubat. Untuk kaum muslimat selalu sentuhan dilakukan secara batin and bukan
melalui fizikal. Untuk kaum lelaki, kadang kala perlu diurut untuk penyakit yang melibatkan urat saraf,
otot-otot dan sakit lemah tenaga batin.

DIAGNOSIS DAN SCANNING UNUK KENAL PASTI PENYAKIT- Mengikut prosedur perubatan yang saya
amalkan, pesakit perlu berjumpa dengan saya dahulu, dan saya akan menbuat diagnosis (kenal pasti)
penyakit yang dialami oleh pesakit. Diagnosis (kenal pasti) penyakit adalah dengan kaedah “scanning”.
Keupayaan “scanning” ini adalah suatu keupayaan atau kebolehan yang diberi oleh Allah (SWT).
Berdasarkan penyakit yang dikenal pasti, dengan izin dan hidayah Allah (SWT), saya akan memberitahu
pesakit itu samada sakit yang dialami itu adalah -

1. sakit jasmani / fizikal (sakit badan atau physical illness - sakit jantong, cancer, darah tinggi, kencing
manis, dll. ) atau

2. sakit rohani (spiritual illness - sihir, saka, gangguan jin, santau. dll.) atau

3. sakit akhlak (behavioural or attitude problem - mencuri, melawan ibu bapa, menipu dan suka cakap
bohong, ketagih dadah, zina, etc).

Setelah dikenal pasti akan penyakit yang dihadapi oleh pesakit itu, ini kemudian disusuli dengan
pemberian ayat-ayat Al-Quran yang tertentu untuk sakit yang dialami. Bacaan ayat-ayat Al-Quran ini
perlu disertakan dengan doa kepada Allah (SWT) dan memohon kepadaNya agar disembuhkan penyakit
itu.

AYAT AL-QURAN SEBAGAI GANTIAN KEPADA UBAT- Setiap ayat-ayat Al-Quran yang diberikan kepada
pesakit untuk mereka amalkan diibaratkan sebagai ubat, dan air yang diminum adalah untuk
menyerapkan ayat itu ke dalam badan dan jiwa pesakit itu. Sebagai perumpamaan, tatkala kita sakit
demam, kita ambil pil panadol. Pil panadol tersebut adalah ubat dan air yg diminum sewaktu
memakannya adalah untuk menyerapkan ubat panadol itu ke dalam badan atau darah kita agar kita
beransur sihat. Sama dengan ayat Al-Quran yang dibaca, ia adalah gantian kepada ubat, dan air yg
diminum ialah untuk menyerapkan ayat Al-Quran itu ke dalam badan dan jiwa kita.

KEHEBATAN DAN MUKJIZAT AL-QURAN- Memang benar, perubatan sebegini kadang-kadang tidak ada
logiknya dan adakalanya susah untuk diterima oleh akal fikiran manusia. Apatah lagi, bila dianalisakan
kaitan sesuatu surah dan ayat-ayat Al-Quran dengan sesuatu jenis penyakit. Apabila dibaca
terjemahannya pula, ayat-ayat Al-Quran tersebut tiada menggambarkan kaitan secara langsung dengan
penyakit yang dialami. Tapi, inilah kehebatan dan mukjizat Al-Quran!

Sebaliknya, perubatan moden berasaskan kepada logik dan “reasoning”, dan dengan ini lebih mudah
diterimapakai oleh para pesakit (seperti macam mana antibiotics dapat menandingi virus atau bakteria
yang menjadi punca kepada sesuatu penyakit, atau pain-killer seperti ubat panadol atau ponstan dapat
mengurangkan kesakitan seseorang).

Sebagai contoh di dalam Perubatan Syifa' Al-Hidayah ini:

- Surah Kahfi ayat 32 hingga 50 adalah digunakan sebagai ubat tahan sakit atau pain killer. Tetapi bila
kita membaca terjemahan ayat tersebut, ia tiada kaitan dengan ubat tahan sakit, ini adalah kehebatan Al
Quran.

- Ayat-ayat di dalam surah Al-Anfaal mengandungi banyak hikmah yang menyamai fungsi antibiotik-
antibiotik kepada pelbagai penyakit.

- Surah Ah-Qaaf ayat 21 hingga 28 untuk penyakit yang ada kaitan dengan urat saraf (nerve). Kalau
dibaca terjemahan ayat tersebut tidak ada kaitan langsung dengan urat saraf.

- Surah An-Nahli - banyak ayat-ayat dalam surah ini yang ada kaitan dengan kekuatan dalaman atau
kekuatan sistem daya pertahanan diri (immune system.

- Surah Yassin ayat 72 hingga 83 dan Surah Ar-Rahman ayat 21 hingga 60 adalah ayat penerang hati dan
sesuai untuk diamalkan oleh pelajar-pelajar atau anak-anak yang bersekolah.

- Surah Al-Waqiah ayat 36 hingga 74 untuk murah rezeki dari segi kesihatan, kewangan dan harta
kekayaan.

PENYAKIT KRITIKAL (Kanser)- Ramai juga pesakit saya yang mengidap sakit kanser yang telah sembuh
(dengan keizinan dan keberkatan dari Allah SWT) dengan mengamalkan ayat-ayat ini. Ada seorang
pesakit yang telah confirm sakit fibroid dalam rahim oleh doktor perubatan dan dapat dilihat fibroidnya
melalui x-ray/scan machine tetapi setelah mengamal bacaan ayat-ayat ini, fibroidnya tak ada lagi di
dalam rahim dan ini disahkan oleh doktor perubatan melalui x-ray/scan. Ini bukanlah satu 'magic' tetapi
ayat-ayat ini dengan sendirinya menghancurkan fibroid itu dan fibroid ini keluar melalui darah haid.

Saya percaya dan amat yakin bahawa penyakit seperti kanser boleh diubati melalui ayat-ayat Al-Quran.
Ini telah terbukti di dalam pengalaman saya mengubati pesakit-pesakit kanser selama lebih kurang 10
tahun, terutama sekali yang menghadapi sakit kanser tahap 1 dan 2 (stage 1 dan stage 2). Dalam
perubatan ini, saya juga menggalakkan pesakit kanser berubat secara moden seperti chemotherapy atau
radiotherapy, dan disamping itu juga, pesakit membaca ayat-ayat Al-Quran yang saya berikan. Saya
sudah kenal pasti ayat-ayat Al-Quran khusus untuk sakit kanser. Pesakit mesti yakin dan perlu berusaha
mengamalkan ayat-ayat Al-Quran ini dan juga berdoa agar Allah rahmati dan berkati perubatan ini.

Ayat-ayat dalam surah-surah di dalam Al-Quran yang boleh menjadi penawar kepada penyakit kanser -
Surah Ambiyaa, Maidah, Imran, A'raaf, Hud, Yusuf, An-Nahli, Toha, Al-Mukminum, Asy-Syauaraa, Qasas,
Al-Fatah, Az-Zumar, Ghafir dan Al-Qamar. Di sebalik ayat-ayat ini ada penawar kepada penyakit kanser.

PEMBEDAHAN CARA BATIN– Ada jenis-jenis penyakit yang perlu diubati melalui pembedahan cara
batin. Pembedahan cara batin ini dilakukan bukan menggunakan pisau dan sebagainya, tetapi dilakukan
secara simbolik. Contohnya ialah pembedahan untuk penyakit saluran darah yang tersumbat (blockage).
Pembedahan ini dilakukan secara simbolik dan apabila pesakit itu mengamalkan ayat-ayat seperti di
dalam Surah Al Israa', saluran darah yang tersumbat itu dengan sendirinya (dengan keizinan Allah SWT)
sembuh seperti sediakala dan pesakit tak perlu membuat “by-pass operation”.

PENYAKIT ROHANI (SPRITUAL ILLNESS)- Surah dan ayat-ayat Al-Quran ini bukan sahaja dapat mengubati
sakit-sakit fizikal (seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kidney failure, saluran darah
tersumbat) malahan ianya lebih berkesan mengubati penyakit-penyakit rohani yang disebabkan oleh jin,
syaitan dan iblis (seperti ilmu sihir, saka dan racun santau).

Sebagai contoh:

- Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 25, ayat 44 hingga 55, ayat 85 hingga 95, ayat 103 hingga 203, ayat 165
hingga 186 dan ayat 244 hingga 255 adalah ayat penawar kepada sakit-sakit gangguan yang disebabkan
oleh sihir manusia melalui jin, iblis dan syaitan.

- Surah Asy Syuaraa' ayat 95 hingga 118, Surah Arrad ayat 30 hingga 34, Surah Fussilat ayat 25 hingga 44,
Surah Furqaan ayat 61 hingga 77, Al-Mukminun ayat 105 hingga 118, dan ayat-ayat di dalam Surah Taha,
A'raaf, Hud, Surah Al-Hasyr, Surah Al-Ghaasyiyah dan Surah Asy Syura sungguh berkesan dibaca untuk
mengeluarkan jin, benda-benda halus atau racun-racun perbuatan ilmu sihir atau santau dari badan
manusia.

- Surah Muhammad ayat 21 hingga 32 dan Surah Taha ayat 120 hingga 135 adalah ayat "penyejuk" iaitu
penawar kepada orang yang panas baran dan untuk mententeramkan jiwa, fikiran dan hati. Sekiranya
hati rasa resah dan gelisah atau "moody" tanpa sebab, dengan mengamalkan ayat-ayat ini dapat
mententeramkan jiwa dan hati

GANGGUAN SAKA- Gangguan saka adalah gangguan jin atau benda-benda halus yang datang daripada
keturunan keluarga. Ramai pesakit-pesakit yang mengalami gangguan saka tidak mengetahui ada nya jin
dalam badan mereka yang mereka miliki melalui keturunan keluarga.

Sekiranya ada ahli keluarga terdahulu seperti ayah atau emak, nenek atau datok yang menuntut ilmu-
ilmu silat atau ilmu-ilmu batin yang berasaskan jin, bila mereka meninggal dunia dan mereka tidak
sempat membuang ilmu-ilmu tersebut atau memerdekakan jin-jin mereka, besar kemungkinan jin jin ini
akan mendampingi waris-waris dalam keluarga tersebut. Bukan semua dalam keluarga itu akan
didampingi oleh jin-jin saka ini. Selalunya anak anak lelaki dalam keluarga atau anak perempuan yang
lemah semangat.

Ramai pesakit yang membawa ke klinik saya bayi-bayi yang baru lahir yang menangis dan meragam, dan
selalunya bayi-bayi ini diganggu oleh jin-jin saka dari keturunan mak dan ayah bayi tersebut. Selepas
saya mengeluarkan jin-jin saka dari dalam bayi-bayi ini, selalunya mereka akan pulih dan akan kembali
normal.

Ada beberapa kes anak-anak yang tidak mahu pergi sekolah tanpa sebab yang munasabah. Mereka
memang tidak mahu dan takut untuk ke sekolah. Dalam kes macam ini selalu anak-anak ini ada jin-jin
saka dalam badan mereka dan jin-jin saka ini mempengaruhi minda dan hati anak-anak ini supaya tidak
mahu ke sekolah. Mengapa mereka mempengaruhi anak ini ialah kerana di sekolah anak ini ada
terdapat benda-benda halus di mana jin-jin dalam badan anak ini mungkin tidak selasa atau takut untuk
memasuki ke kawasan sekolah. Mungkin perkara yang saya nyatakan ini tidak masuk akal tapi ia kerap
kali berlaku. Setelah saya mengeluarkan jin-jin saka dari anak anak ini, mereka tidak ada masalah untuk
ke sekolah selepas itu.

PENYAKIT GANGGUAN MAKHLUK HALUS- Penyakit-penyakit gangguan selalunya disebabkan oleh


kemasukan jin, syaitan atau iblis ke dalam tubuh badan manusia. Apabila jin memasuki ke dalam badan
manusa, ia selalu nya berada di dalam otak dan di tulang belakang (spinal cord) berdekatan dengan urat
saraf kita. Melalui otak dan urat saraf, jin akan dapat mempengaruhi pemikiran dan emosi pesakit itu.
Sebab itu kalau seseorang itu ada sakit ganguan sihir atau ganguan jin, fikiran dan emosinya mereka
terganggu, dan kadang-kadang “anxiety level” mereka sangat tinggi. Selalunya mereka rasa sakit di
bahagian pinggang, tengkuk, bahu dan sendi-sendi. Bila fikiran mereka terganggu, ia akan
mengakibatkan seseorang itu mendapat sakit tekanan jiwa atau “depression”.

Apabila seseorang itu telah dimasuki jin atau makhluk halus, ia perlu terlebih dahulu dikeluarkan atau
dimusnahkan (dengan izin Allah SWT). Keupayaan mengeluarkan atau memusnahkan jin, makhlus halus,
racun sihir dan santau ini perlu dipelajari dan ia suatu keupayaan yang diberikan oleh Allah SWT. Apabila
makhluk halus itu telah dikeluarkan atau dimusnahkan, ia disusuli dengan doa oleh pesakit dan amalan
bacaan ayat-ayat Al-Quran seperti ayat-ayat dari Surah Al-Baqarah, Surah Asy Syu'araa, Surah Arrad,
Surah Taha, Surah Fussilat, dll.

GANGUAN SIHIR– Ada banyak jenis ganguan sihir. Sebagai contoh - ilmu hitam ialah sihir yang boleh
melemahkan tenaga batin seseorang. Ramai pesangan suami isteri yang dikenakan sihir atas tujuan
untuk meruntuhkan rumah-tangga mereka. Ramai ahli sihir menggunakan jin untuk mengawal
pemikiran dan nafsu syahwat seseorang. Di sini jin itu akan merosakkan urat saraf di tulang belakang
seseorang itu melemahkan tenaga batinnya dan juga mempengaruhi pemikiran dan emosi suami dan
isteri supaya mereka tidak sehaluan. Santau adalah sejenis racun sihir dan boleh dimasokkan ke dalam
badan sesaorang itu melalui jin atau melalui makanan.

Santau adalah sejenis sihir yang sangat popular dalam masyarakat Melayu, India dan Cina. Terdapat
bermacam jenis santau dari perbagai bahan semula jadi seperti racun santau dari racun akar-akar kayu,
buluh nyilu, racun binatang seperti ular, cengkerik, lipan, dll. atau dari bahan kaca, pasir dan besi. Terkini
yang saya dapati ialah santau yang diperbuat dari bangkai binatang dan tuala wanita yang telah dipakai.
Perubatan mengeluarkan racun santau ini dilakukan melalui batin dan dengan membaca ayat-ayat Al-
Quran yang tertentu.

Sihir yang sangat popular di kalangan masyarakat melayu adalah ilmu pengasih dan ilmu pemisah. Ilmu
pengasih apabila ada orang yang ingin mempengaruhi emosi dan perasaan sesaorang dengan
menggunakan jin dan sihir. Ilmu pemisah pula apabila ada orang ketiga yang ingin memisahkan
pasangan suami isteri untuk mengawini suami atau isteri pasangan tersebut.

MEMBUAT KAJIAN- Saya memang berharap agar ada pelajar-pelajar atau tenaga pengajar pusat
pengajian tinggi dapat membuat research tentang Perubatan Syifa' Al-Hidayah ini sebab banyak lagi
rahsia-rahsia di dalam Al-Quran yang saya sendiri belum dapat mendalami dan memahaminya.
Hakikatnya, ramai kalangan umat Islam yang sakit telah sembuh dengan mengamalkan ayat-ayat Al-
Quran (dengan keizinan Allah SWT), ini adalah bukti bahawa Al-Quran adalah penawar kepada segala
penyakit kepada orang yang yakin dengannya dan dengan keizinan Allah SWT.

KEYAKINAN DAN USAHA SERTA DOA- Saya telah mempraktikkan Perubatan Syifa' Al-Hidayah atau
(Koranic Medicine)ini sudah lebih daripada 10 tahun. Hakikatnya, dengan keizinan Allah (SWT) ramai
kalangan pesakit yang telah sembuh dengan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang diberikan.
Pokoknya, kita perlu yakin sepenuhnya dengan mukjizat ayat-ayat Al-Quran ini dan berusaha membaca
ayat-ayat Al-Quran dan berdoa kepada Allah (SWT) untuk sembuh dari penyakit yang dihadapi.

INTERNET WEBSITE- Saya berharap melalui website ini, ilmu Allah (SWT) ini dapat di perkembangkan.
Al-Quran ini adalah dari Allah (SWT) dan perubatan ini adalah dari Allah (SWT), jadi tidak ada rahsia
didalam perubatan ini. Tujuan saya mengadakan website ini adalah untuk berkongsi bersama
pengetahuan perubatan ini dan seterusnya untuk menyebarkan perubatan ini kepada sesiapa yang yakin
akan hikmah ayat-ayat Al-Quran. Kebanyakkan ayat-ayat yang digunakan untuk perubatan ada di dalam
website ini. Dengan adanya website ini, ia juga dapat membantu orang ramai atau pesakit-pesakit yang
kurang fasih membaca ayat-ayat Al-Quran. Dalam website ini, setiap ayat yang dipamirkan terdapat
kemudahan “audio” untuk pesakit-pesakit mendengar dan menyemak semula bacaaan Al-Quran yang
diamalkan. Selain dari itu, setiap ayat disertakan dengan terjemahannya supaya mudah orang ramai dan
pesakit-pesakit memahami maksud ayat-ayat tersebut.

PEMBINAAN PUSAT ANAK YATIM, SURAU & PUSAT RAWATAN- Saya bersyukur kepada Allah (SWT)
kerana dengan keizinan dan rahmat nya, Klinik atau Pusat Perubatan saya di Villa Bestari, Sungai Pusu,
Gombak, telah siap dibina dan beroperasi sejak 18 September 2006 yang lalu. Ini adalah rahmat dan
pemberian Allah (SWT) kepada saya dan juga kepada semua pesakit pesakit yang telah bersama-sama
berdoa untuk mendirikan dan merealisasikan impian saya untuk mendirikan Klinik Pusat Perubatan Syifa'
Al-Hidayah. Dengan adanya Pusat Perubatan ini, agar dapat memberi kemudahan perubatan yang lebih
selesa dan lengkap kepada semua pesakit-pesakit. Terima kasih Ya Allah Ya Tuhan atas pemberian Mu
ini.
Ingin saya memberitahu bahawa Perubatan Syifa' Al-Hidayah ini telah pun didaftarkan dengan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan nombor pendaftaran 00163401-P pada 28 Ogos 2006.

Setelah terdirinya Pusat Perubatan Syifa' Al-Hidayah di Sg. Pusu ini, fokus saya sekarang ialah membina
asrama anak-anak yatim, rumah warga emas dan kanser klinik di Kampong Ceringgin, di Janda Baik,
Bentung, Pahang. Tanah seluas 4 ekar di Janda Baik ini dimana 2 ekar yang dibeli hasil kutipan
dermawan sebanyak RM230,000 dari pesakit-pesakit dan orang ramai and 2 ekar lagi diwakafkan oleh
seorang hamba Allah. Pembinaan asrama anak yatim, rumah warga emas dan kanser klinik ini akan
memerlukan banyak bantuan dari segi tenaga, idea dan dermawan. Sesiapa yang ingin menyumbang
dermawan atau sumbangan tenaga, bolehlah datang berjumpa saya untuk membincang sumbangan
yang sedia diberi. Anggaplah ini sebagai projek istimewa untuk Allah dan kebaikan anak-anak yatim dan
kaum warga emas.

Di samping itu, saya dan jiran-jiran saya di Villa Bestari, dengan keizinan Allah SWT telah membina
sebuah surau di kawasan kediaman kami Villa Bestari, Gombak. Kos pembinaan surau ini adalah
sebanyak RM400,000. Surau ini siap dibina pada bulan January 2010. Ia terletak di kawasan Villa Bestari
dan tanah tapak pembinaan yang luasnya 10,000 kaki pesegi telah di sediakan oleh pemaju kawasan ini.
Untuk pembinaan surau ini, kami telah dapat mengumpulkan dana sebanyak RM360,000 dari kutipan
derma dari pesakit-pesakit yang datang ke klinik saya dan kutipan dari orang ramai.

Selain dari ini, wang derma ini juga disalurkan kepada 30 orang anak-anak yatim setiap bulan sebagai
wang saku bulanan dan pembelanjaan persekolahan mereka. Sekiranya ada hamba-hamba Allah atau
mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada pembinaan pusat anak yatim atau menderma
kapada anak-anak yatim yang tersebut diatas, bolehlah berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan
Nasional, Al-Wadiah nombor akaun : 1010041000017318.

Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah memberi kerjasama,
idea, masa dan tenaga untuk bersama-sama membina website ini terutama Encik Shahrul Mohd Saleh
dan Encik Nik Nashron bin Abdul Aziz. Mereka telah banyak meluangkan masa dalam pembinaan
website dan saya amat menghargai kesabaran dan ketekunan anda semua. Syukur ke hadrat Allah
kerana memberi keupayaan dan keyakinan diri kita bersama, membolehkan website ini sempurna
dilaksanakan.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Astro Oasis yang telah sudi untuk
menjemput saya melibatkan diri di dalam Program Dokumentari - SYIFA (PENAWAR) di Siaran Astro
Oasis, Channel 106. Program ini menayangkan dokumentari berkenaan Perubatan Syifa' Al-Hidayah.
Rancangan 13 episod ini bermula pada 26 December 2009 dan berakhir pada 20 March 2010.

Program Dokumentari - SYIFA (PENAWAR)ini fokus untuk penyakit-penyakit seperti kanser, jantung
berlubang, sakit urat saraf, masalah kesuburan, sakit buah pinggang, sakit tulang belakang, sakit angin
ahmar atau stroke dan lain-lain penyakit fizikal. Program ini menunjukan kaedah rawatan perubatan
islam dan temubual pesakit-pesakit yang telah sembuh melalui cara perubatan Syifa' Al-Hidayah.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat karib saya yang telah bersama-
sama menyebarkan Perubatan Syifa’ Al-Hidayah ini dan membantu secara sukarela didalam
mencurahkan tenaga dan masa setiap kali saya melakukan rawatan di luar kawasan Kuala Lumpur
seperti di Kuala Terengganu, Melaka, Pulau Pinang, Kuching, Sibu, Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.
Satu kali dalam sebulan atau dua bulan, saya dan adik angkat saya Ashraf Muslim akan pergi ke tempat-
tempat ini untuk melakukan rawatan.

Dengan adanya cawangan-cawangan ini di seluruh Malaysia, dari Utara Semenanjung hingga ke
Sandakan, Sabah, ia memberi kemudahan kapada pesakit di luar kawasan Lembah Klang untuk
mendapat rawatan Syifa' Al-Hidayah. Setiap kali saya dan Ashraf Muslim mengunjung ketempat
cawangan-cawangan ini, seramai 200 hingga 400 pesakit akan kami temui dan merawat. Syukur
Alhamdulilah pada Allah SWT, ramai orang Malaysia telah memilih cara berubat melalui AL-Quran dan
saya harap ramai lagi tempat-tempat yang dapat kami menubuhkan cawangan-cawangan Perubatan
Syifa' Al-Hidayah.

Saya akui tahun lalu 2010 adalah tahun yang penuh cabaran bagi saya dan adik angkat saya Ashraf
Muslim setelah Program Dokumentari Syifa' Al-Hidayah ditayangkan di Astro Oasis. Saya sungguh
terharu diatas sambutan yang diberi oleh orang ramai dari seluruh Malaysia termasuk dari Brunei dan
Singapura.

Saya bersyukur kepada Allah (SAW) yang telah memberi kami kekuatan dan kesabaran melakukan
rawatan pada setiap malam dan hujung minggu untuk menyebarkan mukjizat Al-Quran ini sebagai
penawar kepada segala menyakit. Selain dari memberi rawatan, ini adalah cara kami berdakwah sambil
memberi rawatan kepada umat Islam supaya mereka mendekatkan lagi diri mereka kepada Al-Quran,
dan membetulkan pesakit-pesakit yang selama ini menggunakan kaedah-kaedah yang bercanggah
dengan ajaran-ajaran Islam dalam menjalani rawatan. Dalam pada itu, kami juga memberi khidmat
kaunselling dan nasihat kepada pesakit-pesakit.

Diantara sahabat-sahabat karib yang telah banyak membantu saya adalah yang seperti berikut:

1. Cikgu Syed Othman dan Cikgu Sharifah serta sekeluarga dari Kuala Terengganu yang menolong
menguruskan cawangan di Kuala Ibai dam menyediakan tempat rawatan dan penginapan semasa kami
membuat rawatan di Kuala Ibai, KT. Terima kasih kerana membina sebuah bilek khas untuk kami
berubat. Sudah lebih 5 tahun Syifa' Al-Hidayah bertapak di Terengganu dan banyak pengalaman telah
kami berdia melalui semasa membuat rawatan disana.

2. Pak Lim serta anak-anak (Ayu, Mujib, Muis, Amir, Ipa dan Amin) yang telah menolong menguruskan
cawangan di Melaka dan menyediakan tempat rawatan dan penginapan semasa kami membuat rawatan
di Telok Mas, Melaka. Anak-anak Pak Lim ini lah yang sibuk menguruskan nombor-nombor giliran,
mengawasi giliran pesakit dan menolong menulis surah-surah untuk pesakit.
3. Dato' Zamzuri dan isteri serta anak mereka Amirul yang telah menolong menguruskan cawangan di
Bayan Lepas, Pulau Pinang dan menyediakan tempat rawatan disana. Dato Zamzuri ini lah yang banyak
memberi pertolongan dari segi mengedar nombor-nombor giliran, mengawasi giliran pesakit dan
membantu menyediakan logistic semasa kami berubat disana.

4. Puan Juita Abang dan Dr. Wan Ali serta keluarga yang telah menolong kami menguruskan cawangan
di Kuching, Sarawak dan menyediakan tempat rawatan dan penginapan semasa kami datang di Sarawak.
Tanpa mereka berdua ini tidak bertapak lah Perubatan Syifa' Al-Hidayah di Bumi Kenyalang.

5. Tuan Syed Hamzah dan sekeluarga serta kakitangan Hotel Zuhrah yang telah menolong menguruskan
cawangan di Sibu. Terima kasih atas semua layanan yang diberi dan masakan "ummai" Chef Sharifah is
still the best we tasted .

6. Hj Ibrahim serta keluarga yang telah membantu menguruskan pembukaan cawangan di Kota
Kinabalu, Sabah. Dengan pertolongan beliau, Syifa' Al-Hidayah telah bertapak di Kota Kinabalu.

7. Hj. Roslan dan Hajjah Hasiah yang telah memberikan kami kemudahan menggunakan kediaman
mereka di Kota Kinabalu untuk kami membuat perubatan di sana.

8. Puan Salmah Sheikh Hassan dan sekeluarga yang telah membantu kami menumbuhkan cawangan di
Tawau, Sabah.

9. Encik Fairul dan En. Hafidz dari Sandakan yang telah menjemput kami menubuhkan cawangan di
Sandakan. Tidak terlintas dalam fikiran kami sebelum ini untuk kami membuka cawangan Syifa' Al-
Hidayah di Sandakan, Sabah tanpa undangan dari Encik Fairul.

10. Sahabat saya Sheikh Tariq dan Sheikh Fareed Al-Maimani, terima kasih tidak terhingga kerana
dengan pertolongan berdua ini, Perubatan Syifa' Al-Hidayah telah bertapak di Madinah Al-Munawarrah.

11. Ustadz Hj. Mohd Shukri bn Ali, Tuan Haji Yassin dan En. Yeop dari Istana Terengganu yang telah
menolong menyediakan logistik semasa kami kami berubat di Terengganu.

12. Sheikh Majeed Al-Baadbad dan sekeluarga dari Jeddah.

13. Semua yang terlibat dalam pembikinan Program bersiri Syifa' Penawar di Astro Oasis termasuk
Erland, Big, Encik Izelan Basar, Puan Nurjana dan ramai lagi.

14. Sahabat-sahabat yang lain seperti Cikgu Din dan Ustadz Hashim dari Langkawi, Mohd Azmi dan Dr.
Wan Balqis dari Perlis. Mereka yang menolong saya semasa saya buka cawangan membuat rawatan di
Kangar, Perlis dan Langkawi seketika dahulu.
15. Sahabat saya Zulhaidi Ahmad yang kekadang bersengkang mata sampai 2 atau 3 pagi meneman dan
menolong saya menguruskan klinik saya di Klinik Gombak.

16. Adik angkat saya - Mohd Ashraf Muslim yang banyak membantu dan memahami saya dalam
perubatan ini.

Saya amat menghargai jasa-jasa dan sokongan anda semua dan semoga Allah (SWT) memberi ganjaran
kebahagiaan di dunia dan akhirat di atas pertolongan yang diberi oleh anda semua.

Kepada adik angkat saya Mohd Ashraf Muslim yang juga menjadi partner saya dalam organisasi baru
kami, syukur kepada Allah sebab telah memberi pedoman dan hidayah untuk mempelajari ilmu Allah ini
dan bersabar kerana syaitan dan iblis akan sentiasa menghalang adik daripada mempelajari ilmu ini.

Cekalkan hati adik dan kuatkan iman adik dan selalu ingat akan keikhlasan hati apabila hendak menolong
orang. Banyak bersabar menempuh dugaan didalam melakukan kerja fisabilillah ini. Abang berterima
kasih kepada adik kerana banyak melapangkan masa datang ke klinik abang membantu abang mengubat
pesakit sampai jam 3 atau 4 pagi. Adik adalah satu-satu nya pelapis untuk menyebarkan ilmu tuhan ini
dan abang sangat bersyukur kepada Allah yang telah memilih adik untuk membantu abang.

We have shared many difficult moments together dan abang mahu adik bersabar, dan abang rasa adik
sudah banyak mempelajari dan mendapat pengalaman dalam mengubati pesakit-pesakit. Abang admire
your "coolness" dan sikap kesabaran adik which I need to learn from you. Abang tidak akan dapat
lupakan masa kita buat unmrah bersama in the last Ramadhan 2009 and that is one umrah that abang
will always cherish.

Untuk makluman pada 1 Januari 2011, klinik Perubatan Syifa' Al-Hidayah akan bertukar operasi dibawah
organisasi baru iaitu

PUSAT RAWATAN ISLAM AL-HIDAYAH

Memandangkan permintaan dan temujanji pesakit yang sangat ramai, kami perlu menjalankan
perubatan sepenuh masa. Dengan ini kami akan mengenakan bayaran untuk perkhidmatan yang diberi
bagi menampung kos pengendalian klinik dan sara hidup keluarga kami, memandangkan kami tidak lagi
bekerja sepenuh masa seperti dahulu. Sebanyak 20% dari bayaran yuran perkhidmatan ini akan
disalurkan kepada tabung dana pembinaan rumah anak yatim Nur Hidayah di Janda Baik.

Akhir sekali, kepada isteri saya Norma Muhammad dan putera puteri saya - Noor Alia, Noor Dayana, Adi
Ikmal, Dani Aizat dan yang kecil dan manja sekali Dhiya Aiman, yang telah banyak berkorban, memberi
sokongan dan memahami saya, mudah-mudahan apa yang kita sekeluarga lakukan ini memberi
manafaat dan diperkira sebagai ibadah jua yang diberi ganjaran oleh Allah (SWT).
Ya Allah, Ya Tuhanku, KemuliaanMu lebih daripada mencukupi untuk memenuhi pelbagai ratapan.
KeagunganMu dan ihsanMu lebih daripada memadai untuk mengampunkan dosa-dosa.
Sempurnakanlah dakapan hidayahMu ya Allah. Berikan lah kami kesejahteraan, kekayaan, pemeliharaan
dan kasih sayang Mu Ya Allah. Anugerahkanlah daku Ya Allah, Ya Tuhanku, kedua ibu bapa, keluargaku,
sahabat-sahabatku dengan rahmat dan keberkatan, keampunan, kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sekian. Wabillahi Taufiq Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hj. Lokman Abdul Hamid


1, Jalan Bestari Indah,
Villa Bestari, Sg. Pusu,
Gombak
Tel: 019 315 9377

2 Januari 2011

You might also like