You are on page 1of 11

http://mujahid.tripod.com/strategi.

html

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Matematik:


Satu Kerangka Umum
 

Oleh:

Tengku Zawawi bin Tengku Zainal

Unit Matematik MPKTBR

Pengenalan

Pengajaran dan pembelajaran dalam matematik berbeza dengan mata pelajaran lain. Di samping
kemahiran mengira yang melibatkan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi, ianya juga
memerlukan kefahaman sesuatu konsep dengan tepat dan menyeluruh (NCTM, 1980; Cockroft,
1986; Nik Azis, 1992; Tg. Zawawi, 1997a). Setiap pendidik matematik mestilah
bertanggungjawab untuk memiliki dan mengekalkan ketrampilan (competence) dalam
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil kira keperluan dan tahap
pencapaian para pelajar (NCTM, 1980).

 Teacher must be sensitive to the needs of their students and dedicated themselves to the
improvement of student learning as their primary professional objective

(NCTM, 1980: 25)

Pengajaran matematik yang berkesan akan melibatkan beberapa kemahiran, antaranya:

 Perancangan mengajar
 Pelaksanaan pengajaran
 Penyediaan latihan yang berterusan dan pelbagai
 Pengayaan dan pemulihan
 Menilai kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran
 Pengurusan bilik darjah
 Penilaian terhadap bahan dan kurikulum matematik

Perancangan pengajaran dalam matematik


http://mujahid.tripod.com/strategi.html

Setiap pendidik matematik amat memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam menyampaikan
sesuatu isi pelajaran kepada anak didiknya. Amat jarang kedapatan di kalangan guru-guru yang
dapat mengajar secara berkesan, jelas, tanpa sebarang gangguan dengan hanya berbekalkan
kebolehan semula jadi (D' Augustine, 1973 ). Pengajaran matematik yang berkesan perlu
memenuhi beberapa langkah penting seperti berikut :

 Penelitian terhadap konsep-konsep asas yang terlibat dalam sesuatu topik


 Mengenalpasti serta menyenaraikan objektif pengajaran dan pembelajaran secara
eksplisit
 Mengenalpasti kemahiran prasyarat yang diperlukan bagi sesuatu topik dan skim
matematik yang sedia ada dalam minda pelajar.
 Memilih kaedah dan alat bantu mengajar yang sesuai untuk mengembangkan sesuatu
konsep
 Mempertimbang dan menyediakan aktiviti latihan untuk menguasai sesuatu kemahiran
khususnya dalam penyelesaian masalah.
 Mempertimbangkan kaedah serta instrumen untuk menilai keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran.
 Melatih dan meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan
pelajar.
 Menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti
luar kelas.

Selepas kita mengetahui topik serta konsep-konsep yang berkaitan untuk di ajar, kita perlu
menyenaraikan objektif tingkah laku yang bakal dipamirkan oleh setiap murid apabila mereka
benar-benar memahami atau menguasai isi pelajaran yang telah disampaikan. Tingkah laku yang
dipamirkan ini juga akan menunjukkan tahap kefahaman pelajar. Sebagai contoh, katakan kita
ingin mengetahui sama ada pelajar memahami konsep segitiga. Kita boleh melibatkan beberapa
objektif tingkahlaku yang boleh menjadi bukti bahawa pelajar telah memahami konsep segitiga,
antaranya :

 Melukis segitiga : Pelajar sepatutnya dapat melukis sebuah segitiga di atas se keping
kertas dengan menggunakan pensel dan pembaris.
 Memilih bentuk : Pelajar sepatutnya dapat memilih bentuk segitiga daripada set pelbagai
bentuk yang dipamirkan kepada mereka.
 Menyatakan definisi : Pelajar dapat menyatakan definisi segitiga dengan tepat sama ada
secara lisan atau bertulis.

Sesuatu objektif biasanya ditentukan bagi sesuatu tempoh pengajaran, sama ada untuk satu masa
atau dua masa, bergantung kepada isi pelajaran dan peruntukan masa mengajar. Pemilihan
objektif tidak hanya menentukan tahap kefahaman seseorang pelajar, malah ia juga akan
menentukan kaedah dan alatan yang sesuai digunakan. Sebagai contoh, katakan objektif yang
dipilih berbunyi : " murid dapat menambah dua nombor satu digit dengan satu digit ". Jika tajuk
berkenaan baru mula diajar, guru perlu menyediakan aktiviti untuk membimbing murid
memahami konsep ' pengumpulan ' atau ' penyatuan ' antara dua set benda. Pengajaran bermula
dengan aktiviti konkrit di mana para pelajar akan terlibat secara aktif, memanupulasi bahan-
bahan maujud dan berakhir dengan proses pengabstrakan. Setelah murid memahami konsep
http://mujahid.tripod.com/strategi.html

penambahan, mereka seterusnya akan dibimbing untuk menguasai fakta asas tambah. Aktiviti
untuk penguasaan kemahiran tidak banyak melibatkan manipulasi bahan maujud berbanding
dengan aktiviti semasa penguasaan konsep.

Setelah mengenalpasti objektif pengajaran dan pembelajaran, para guru perlu menyenaraikan
pengetahuan dan kemahiran sedia ada yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Pengajaran
sebaiknya bermula dengan mengingat semula pengetahuan sedia ada membuat pengukuhan jika
perlu. Kemahiran dalam matematik bersifat heirarki dan berkesinambungan (Ngean, 1984).
Kegagalan menguasai konsep dan kemahiran awal, akan menyebabkan kesukaran dalam
pembelajaran kemahiran berikutnya.

Perancangan seterusnya ialah menentukan teknik atau kaedah yang paling sesuai untuk
digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Semua teknik atau kaedah adalah baik
dan sesuai selagi mana ianya dapat membantu pelajar mencapai objektif yang digariskan
( Shaharir, 1984).

Pelaksanaan pengajaran dalam matematik

Pendidik matematik yang berjaya mestilah mampu untuk :

 mengurus bilik darjah dengan berkesan tanpa gangguan yang boleh mencacatkan proses
pengajaran dan pembelajaran
 menggalakkan penglibatan aktif di kalangan pelajar sama ada semasa pengembangan
konsep atau dalam aktiviti penyelesaian masalah.
 mengatasi kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar ( masalah pembelajaran,
emosi, fizikal, disiplin dan sebagainya )
 menggunakan konsep matematik dengan tepat, sesuai dengan tahap pencapaian pelajar
 mengubahsuai gaya serta teknik pengajaran kepada kumpulan pelajar yang berbeza dari
segi tahap pencapaian dan minat terhadap matematik
 menjadikan kesalahan dan kesilapan pelajar sebagai sebahagian daripada proses
pengajaran dan pembelajaran agar pelajar merasa bebas, tidak tertekan serta berani
menjawab dan mengemukakan sebarang pandangan dan kemusykilan
 memberi motivasi kepada pelajar agar mereka mempunyai minat dan semangat untuk
mempelajari matematik
 mengembang sikap positif pelajar terhadap matematik serta menghayatinya dalam
kehidupan seharian
 mengenalpasti teknik pengajaran terbaik yang mampu mencapai objektif yang digariskan.
 menjadikan pembelajaran matematik lebih mudah dan menyeronokkan.

Setiap guru mempunyai gaya , teknik serta kebolehan yang berbeza-beza bergantung kepada
personaliti, pengalaman, dan latihan yang diterima (Shaharir, 1984). Walaupun terdapat
perbezaan dari segi cara penyampaian dan pengendalian aktiviti pengajaran dan pembelajaran,
http://mujahid.tripod.com/strategi.html

namun begitu, kaedah umum yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, masih
sama. Beberapa kaedah umum yang perlu difahami dan dikuasai oleh pendidik matematik ialah :

1. Penglibatan aktif ( active involvement )

Satu teknik pengajaran yang melibatkan para pelajar secara aktif dalam aktiviti seperti menulis,
perbincangan secara lisan serta pergerakan yang melibatkan anggota badan (D' Augustine,
1973 ). Setiap pelajar terlibat di dalam mengembangkan sesuatu konsep yang diajar. Melalui
penglibatan secara aktif, penekanan pembelajaran dapat diberikan kepada pemikiran konstruktif
oleh semua pelajar, dengan aktiviti biasanya tertumpu kepada pembinaan konsep baru atau
penguasaan kemahiran baru (Nik Azis, 1992). Penglibatan pelajar secara aktif adalah merupakan
asas penting kepada pembentukan struktur secara retroaktif dan proses asimilasi yang
menyeluruh. Pemindahan dan penerimaan maklumat hanya akan berlaku melalui penglibatan
pelajar secara aktif. Pelajar perlu membina sendiri maklumat dalam minda mereka, dan ianya
tidak akan berlaku secara pasif (Ibrahim, 1994; Nik Azis, 1992; Aida Suraya, 1997).

2. Perbincangan dan penemuan ( Discussion and discovery )

Perbincangan adalah satu kaedah yang akan dapat meningkatkan interaksi harmoni di kalangan
pelajar di samping dapat menyedia serta mengukuhkan input dalam sesuatu proses pembelajaran.
Perbincangan yang bermakna akan dapat memupuk semangat setia kawan dan saling bantu
membantu antara satu sama lain. Banyak nilai-nilai murni dapat diterapkan melalui kaedah ini di
samping dapat mengasah bakat dan kreativiti. Pelbagai idea dan situasi dapat dikait dan
dikembangkan sesuai dengan dunia matematik yang luas (Forsten, 1992).

Manakala penemuan adalah satu teknik pengajaran di mana para pelajar akan mengkaji sesuatu
situasi yang berstruktur atau tidak berstruktur sehingga mereka memperolehi satu kesimpulan
yang baru (D' Augustine, 1973; Husen & Postlethwaite, 1970). Kaedah penemuan merangkumi
semua aktiviti merancang, menyiasat, menganalisa dan menemui. Pembelajaran melalui kaedah
ini memerlukan kemahiran-kemahiran seperti membuat perbandingan dan mencari ciri-ciri yang
sama untuk membuat generalisasi. Kaedah penemuan boleh dilakukan dalam dua bentuk iaitu,
penemuan kreatif (creative discovery) atau penemuan terpimpin (guided discovery) (Sobel &
Maletsky, 1972). Dalam matematik banyak konsep, rumus dan hukum boleh dipelajari dengan
menggunakan kaedah penemuan. Contohnya , murid-murid boleh menemui teorem Pythagoras,
rumus luas segitiga, pemfaktoran ungkapan kuadratik dan sebagainya.

3. Analogi ( Analogy )

Satu teknik pengajaran di mana cerita atau 'perumpamaan' dibuat untuk mewakili seuatu konsep
yang hendak diajar (D' Augustine, 1973). Contoh analogi untuk konsep pembundaran:

 
http://mujahid.tripod.com/strategi.html

Kemana harus saya lompat ?

Mengapa ?

 4 Analisis

Satu teknik pengajaran , di mana sesuatu konsep dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil
mengikut langkah-langkah penerangan. Kaedah ini menghendaki pelajar perlu mengetahui
'kenapa' sesuatu langkah atau algorithma iu dilakukan. Teknik ini dapat menyediakan proses
kefahaman yang lebih mendalam terhadap sesuatu konsep. Pelajar tidak hanya mengetahui
'bagaimana' jawapan diperolehi , bahkan mereka dapat menjelaskan 'kenapa' sesuatu prosedur itu
dilakukan. Kefahaman jenis ini sering kali disebut sebagai 'relational understanding' ( Skemp,
1987), atau 'conceptual understanding' (Resnick & Ford, 1981; Hiebert, 1992; Desforges &
Cockburn, 1987), atau 'perceptual interpretation' (Cooney, 1992). Berikut adalah satu contoh
penggunaan teknik analisis dalam soalan bentuk mekanis:

24 x 36

 = (20 + 4) x 36 cerakinan

 = (20 x 36) + (4 x 36) Hukum taburan

 = [20 x (30 + 6)] + [4 x (30 + 6)] cerakinan

= [(20 x 30) + (20 x 6)] + [(4 x 30) + (4 x 6)]hukum taburan

= 600 + 120 + 120 + 24 kemahiran pendaraban

= 600 + 100 + 20 + 100 + 20 + 20 + 4 cerakinan

= 800 + 60 + 4 kemahiran menambah

= 864
http://mujahid.tripod.com/strategi.html

5. Kaedah eksperimen / kerja praktik

Kaedah eksperimen atau kerja praktik boleh ditakrifkan sebagai suatu aktiviti yang mempunyai
tujuan untuk mendapatkan hasil daripada kerjanya. Dalam pengajaran matematik, kaedah
eksperimen ialah suatu kaedah di mana pelajar dilatih menggunakan alat bantu mengajar untuk
memahami konsep dan menguasai sesuatu kemahiran. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk
menguasai kemahiran dalam penyelesaian masalah matematik. Dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik, kaedah eksperimen telah digunakan secara meluas. Berikut adalah
contoh aktiviti yang menggunakan kaedah eksperimen:

 Menyukat air dengan menggunakan bekas dan selinder penyukat untuk mempelajari
isipadu cecair
 Membimbing murid melipat dan melorek bahagian kertas untuk mengenali pecahan.
 Menyusun jubin dalam bentuk segiempat yang berbagai saiz untuk menemui luas
segiempat tepat.
 Mengagihkan sebilangan biji gulu ke dalam beberapa bekas yang disediakan untuk
memahami konsep bahagi atau purata.

6. Eksposisi atau ' Direct Instruction '

Satu kaedah di mana guru banyak menerangkan isi pelajaran secara lisan atau dengan
menggunakan alat bantu seperti audio visual. Murid akan mendengar dan merekod maklumat
penting yang diterangkan oleh guru sebelum melakukan sesuatu aktiviti. Kaedah ini juga sering
disamaertikan dengan 'systematic teaching', 'explicit instruction', 'explicit teaching', and ' active
teaching' (Husen & Postlethwaite, 1970). Penyampaian dengan menggunakan kaedah eksposisi
melibatkan:

 penerangan dan penghuraian idea dan konsep matematik yang akan dipelajari sama ada
dengan atau tanpa alat bantu mengajar.
 demonstrasi cara melukis atau membuat sesuatu pembinaan geometri.
 penerangan langkah-langkah penyelesaian sesuatu masalah matematik.

Kaedah eksposisi amat sesuai digunakan untuk mengajar konsep dan kemahiran dalam peringkat
perkembangan atau membuat penerangan tentang sesuatu peraturan sebelum melakukan aktiviti
permainan. Masa pengajaran dapat dijimatkan dan pengendalian aktiviti akan lebih kemas dan
teratur. Walau bagaimanapun ianya perlu dirancang dengan teliti supaya pelaksanaannya tidak
menimbulkan rasa bosan dan mengalih perhatian pelajar daripada bahan dan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran yang telah disediakan. Penggunaannya perlu tepat dengan masa dan keadaan.

7. Persembahan kreatif dan inovatif pelajar

Dalam kaedah ini, para pelajar didedah dan digalakkan mengguna bahan-bahan terancang,
projektor, komputer, filem komersil dan bahan audio visual yang tidak melibatkan kos yang
tinggi. Guru akan bertindak sebagai pembimbing, pemerhati di samping menyelia suasana kelas
http://mujahid.tripod.com/strategi.html

dan pembelajaran. Aktiviti dilakukan dalam bentuk individu atau kumpulan, bergantung kepada
masa, peralatan, kos perbelanjaan dan sebagainya. Penilaian boleh dibuat untuk menentukan
kekuatan dan kelemahan persembahan serta bahan yang disediakan. Sumbangan dan hasil kerja
yang kreatif dan inovatif menjadi objektif utama. Penglibatan dan sokongan ibu bapa adalah
digalakkan.

8. Persembahan dengan audio dan / atau visual

Kaedah ini melibatkan alat pandang dengar seperti overhead projecter, komputer dan sebagainya.
Guru-guru akan mempamirkan bahan-bahan yang telah disediakan untuk menerangkan sesuatu
konsep atau contoh bagi setiap kemahiran. Pada hari ini, penggunaan komputer dengan
kemudahan multimedia dan internet banyak membantu proses pengajaran dan pembelajaran (Tg.
Zawawi, 1997b).

9. Permainan dan simulasi

Permainan adalah satu kaedah pengajaran yang akan dapat mengembangkan daya kreativiti dan
memupuk minat terhadap matematik (D' Augustine, 1973; Sobel &Maletsky, 1972). Ianya juga
akan dapat mengurangkan rasa bosan dan jemu, khusus semasa menyelesaikan pelbagai masalah
matematik. Penggunaan aktiviti permainan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam
dan luar bilik darjah adalah berlandaskan prinsip ' bermain sambil belajar '. Penyelesaian bagi
beberapa masalah dalam matematik boleh ditunjukkan melalui aktiviti permainan dan simulasi,
khususnya masalah yang melibatkan aplikasi kehidupan seharian. Simulasi juga sering
digunakan untuk menerangkan jawapan atau penyelesaian dalam rekreasi matematik.

Math is more than rote memorization and practice. Math is a creative activity, like drawing or
writing or playing basketball. In fact, one of the best definations of creativity that I have heard
says that " creativity is play"

( Flansburg, 1994: 17)

Latihan yang berterusan dan pelbagai

Pengajaran dan pembelajaran matematik melibatkan kefahaman konsep dan penguasaan


kemahiran (NCTM, 1989; Cockroft, 1982; Skemp, 1987; Souviney, 1990; Nik Azis, 1992). Oleh
yang demikian, penguasaan pelajar terhadap matematik tidak hanya bergantung kepada
kefahaman konsep semata-mata. Latihan yang mencukupi perlu dilakukan dari masa ke semasa
sehingga semua kemahiran dalam sesuatu tajuk benar-benar telah dikuasai sepenuhnya (D'
Augustine, 1973).

Apabila bercakap tentang latihan dalam matematik, ramai yang beranggapan bahawa latihan
tersebut hanyalah latihan bertulis sahaja. Sedangkan latihan untuk tujuan penguasaan kemahiran
http://mujahid.tripod.com/strategi.html

boleh dalam berbagai bentuk, sama ada secara tulisan, lisan , permainan dan simulasi atau dalam
bentuk projek. Walau bagaimanapun latihan tersebut seharusnya:

 Jelas dan jitu


 Merangkumi semua kemahiran atau isi pelajaran dalam sesuatu topik.
 Menguji kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran
 Pelbagai bentuk atau variasi
 Berkesinambungan dan saling lengkap melengkapi
 Pelbagai aras kesukaran
 Termasuk aktiviti pengukuhan dan pengayaan
 Pengabungjalinan dengan topik dan subjek lain
 Sama ada 'self-scoring' atau 'easily scored'

Latihan dalam matematik tidak hanya diperolehi dari buku teks atau buku kerja , malah ia boleh
didapati di mana-mana sahaja dalam aktiviti kehidupan seharian (Flansburg, 1994). Oleh yang
demikian, perancangan dan penyediaan soalan latihan hendaklah melibatkan pelbagai situasi dan
merangkumi segala aktiviti kehidupan seharian. Tentu sekali , bentuk soalannya lebih tertumpu
kepada aktiviti penyelesaian masalah. Terdapat sekurang-kurangnya tiga faktor utama yang
mempengaruhi penguasaan matematik seseorang pelajar (Flansburg, 1994) :

 Strategi am dalam operasi tambah, tolak, darab dan bahagi.


 Ingatan (memory)
 Latihan dan amalan yang berterusan

Pengayaan dan pemulihan

Ramai yang beranggapan bahawa aktiviti pengayaan untuk kumpulan pelajar yang cerdas
manakala aktiviti pemulihan untuk kumpulan pelajar yang lemah. Sedangkan kedua-dua jenis
aktiviti tersebut adalah sesuai dan boleh dirancang untuk kedua-dua jenis kumpulan pelajar,
sama ada yang cerdas atau lemah (D'Augustine, 1973; Nik Azis, 1996)). Aktiviti pengayaan dan
pemulihan merupakan kompenon yang penting dalam kurikulum pendidikan matematik KBSR
dan KBSM (PPK, 1989). Aktiviti pemulihan merupakan aktiviti pengajaran yang berusaha
menolong murid-murid untuk mengatasi masalah pembelajaran. Manakala aktiviti pengayaan
ialah sejenis aktiviti tambahan yang lebih kompleks tetapi menarik dan mencabar (PPK, 1982).
Aktiviti pengayaan juga sering digunakan untuk mengesan pelajar pintar di samping dapat
mengasah bakat dan kreativiti. Kedua-dua aktiviti tersebut perlu dirancang dan dilaksanakan
dengan teliti supaya ianya tidak membeban dan membazirkan masa pelajar. Aktiviti-aktiviti
tersebut haruslah memenuhi kriteria-kriteria yang tertentu.

Aktiviti pengayaan mestilah dapat:

 Melatih pelajar meningkatkan kebolehan dalam penyelesaian masalah


 Menggalakkan pelajar memahami sifat dan skop matematik yang luas lagi menyeluruh
http://mujahid.tripod.com/strategi.html

 Mengembangkan daya kreativiti pelajar


 Menggalakkan pelajar menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam
kehidupan seharian.

Aktiviti pemulihan pula adalah perlu dilakukan apabila pelajar :

 Tidak menghadiri kelas beberapa waktu / hari


 Tidak dapat memberi tumpuan kepada isi pelajaran yang sedang diajar atau yang
sebelumnya
 Sering melakukan kesilapan ( khususnya dalam proses mengira )
 Kurang menguasai konsep dan kemahiran asas yang diperlukan bagi sesuatu topik /
konsep
 Mempunyai masalah tidak tahu membaca atau kemahiran bahasa yang lain.
 Menghadapi masalah lain yang agak serius seperti masalah peribadi, masalah mental (IQ
yang rendah), masalah fizikal dan masalah gangguan emosi (psikologi).

Walau bagaimanapun masalah yang kronik dan kritikal seperti terencat akal, hilang upaya
penglihatan dan pendengaran perlu kepada kelas pemulihan khas.

Penilaian kefahaman konsep, dan penguasaan kemahiran

Penilaian terhadap kefahaman sesuatu konsep dalam pembelajaran matematik perlu dilakukan
untuk:

 Meramal dan mengenalpasti tahap penguasaan konsep terdahulu


 Menentukan kesediaan murid untuk mempelajari konsep dan kemahiran baru

Penentuan tahap penguasaan konsep dan kemahiran dalam sesuatu topik amat penting dalam
pendidikan matematik. Selain daripada kemahiran matematik yang bersifat heirarki ( Ngean,
1984 ), penguasaan konsep yang mantap akan memudahkan aktiviti penyelesaian masalah (Nik
Azis, 1996; Travers, et. al., 1977). Melaksanakan proses pengajaran kepada kumpulan murid
yang belum bersedia dari segi mental dan fizikal,, akan menyebabkan kesukaran dan pembaziran
masa (D'Augustine, 1973). Penilaian tahap penguasaan konsep dan kemahiran dalam matematik
akan melibatkan beberapa instrumen seperti senarai semak, ujian pra, ujian diagnostik, ujian
pencapaian, dan rekod anekdot.

Menilai tahap kefahaman konsep yang dimiliki oleh seseorang murid lebih sukar berbanding
dengan penilaian prestasi yang berasaskan penguasaan kemahiran (Skemp, 1987; Md. Nor,
1995). Walau bagaimanapun temubual klinikal akan membantu para guru mendapat maklumat
yang sewajarnya (Nik Azis, 1996; Rees & Barr, 1984; Johansson, 1993). Kaedah 'Newman Error
Analysis' juga boleh dimanfaatkan untuk mengenalpasti punca kesilapan dan kesalahan pelajar
khususnya dalam penyelesaian masalah (Newman; 1977). Ujian rujukan kriteria hendaklah
diberi keutamaan dan dilakukan secara formatif.
http://mujahid.tripod.com/strategi.html

Pengurusan bilik darjah

Sifat seorang pengurus yang mahir dan berkesan adalah penting bagi seseorang pendidik.
Pengajaran yang berkesan amat bergantung kepada pengurusan bilik darjah yang cekap dan
terpimpin. Pengurusan bilik darjah yang berkesan bergantung kepada beberapa faktor :

 Teknik kawalan kelas


 Penjagaan dan penyusunan rekod
 Komunikasi yang baik antara guru dan ibubapa
 Etika dan perhubungan yang profesional
 Aktiviti kumpulan yang berkesan
 Situasi pembelajaran dalam bilik darjah
 Masalah khusus berhubung dengan kemanusiaan

Bilik darjah yang sempurna akan mementingkan demokrasi dan disiplin sebagai amalan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran (BPG, 1998). Amalan ini berlaku menerusi beberapa
kemahiran yang perlu dikuasai oleh para guru sebagai pengurus bilik darjah yang baik:

Pengurusan pengajaran

 Bahasa pengajaran
 Perancangan strategi
 Pengendalian aktiviti
 Penggunaan teknologi

Membina iklim pembelajaran yang kondusif

 Persekitaran bilik darjah


 Suasana interaktif

Orientasi pelajar

 Terhadap persekitaran
 Terhadap keperluan sekolah dan bilik darjah
 Terhadap kurikulum

(BPG,
1998)

Penelitian terhadap kurikulum dan bahan matematik


http://mujahid.tripod.com/strategi.html

Penelitian terhadap kurikulum pendidikan matematik sesebuah sekolah, bukanlah tugas dan
tanggungjawab utama seseorang pendidik matematik. Walau bagaimanapun pada masa-masa
tertentu, seorang pendidik matematik mungkin dikehendaki memilih bahan pengajaran dan
pembelajaran untuk kelas matematik. Untuk pemilihan yang rasional, setiap pendidik matematik
seharusnya dapat mengenalpasti dan mempertimbangkan:

 Objektif kurikulum matematik


 Skop dan aliran carta
 Kriteria penilaian untuk memilih bahan
 Trenda dan penyelidikan dalam sistem pendidikan yang sedia ada.

Kurikulum meliputi kandungan dan aktiviti, yang sekali gus berkait rapat dengan kaedah dan
teknik pengajaran dan pembelajaran (Collis, 1986; Blane; 1986; Haris, 1991). Meneliti dan
memahami kurikulum bermakna meningkatkan penguasaan dalam strategi pengajaran dan
kepekaannya terhadap keperluan pelajar dan pembelajaran. Selain daripada perancangan dan
pelaksanaan pengajaran, penelitian terhadap kurikulum juga diperlukan semasa penyediaan
bahan dan aktiviti penilaian, sama ada penilaian berpusat atau pun penilaian berasaskan sekolah
(PKBS).

Penutup

Dalam pendidikan matematik, guru perlu arif dalam strategi pengajaran dan pembelajaran yang
dapat memupuk pelajar membina konsep dan menguasai kemahiran di samping menghayatinya
dalam kehidupan seharian. Guru matematik perlu memaparkan sifat-sifat yang matang,
berfikiran terbuka, kreatif, inovatif, konstruktif, rasional dan bijaksana (Nik Azis, 1996).
Pengajaran matematik yang berkesan akan menghasilkan pembelajaran matematik yang mudah
dan menyeronokan. Oleh yang demikian, pengetahuan tentang isi kandungan, kaedah mengajar
(pedagogi), dan gaya pembelajaran murid (psikologi) mestilah dikuasai sepenuhnya oleh para
pendidik matematik.

" Stuff them artistically, creatively and critically "

You might also like