You are on page 1of 16

Pengenalan Pembangunan Sahsiah |1

UNIT 1
PENGENALAN PEMBANGUNAN SAHSIAH

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir unit ini, anda diharap dapat:


1. Menyatakan definisi am pembangunan sahsiah.
2. Membincangkan pengertian pembangunan sahsiah daripada pelbagai perspektif.
3. Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pembangunan sahsiah guru.
4. Membincangkan ciri-ciri sahsiah guru.

1.1 PENGENALAN

A
pakah yang anda fikirkan apabila mendengar perkataan pembangunan sahsiah? Anda mungkin
terbayang cara seseorang berpakaian dan menghias diri atau tergambar tingkah laku seseorang
atau sekelompok manusia. Ramai orang melihat sahsiah dari aspek luaran tanpa meninjau
secara terperinci aspek dalaman individu yang juga menggambarkan sahsiah dirinya.

Rajah 1.1 Guru sebagai cermin keperibadian murid


Pengenalan Pembangunan Sahsiah |2

Mari kita fikirkan bagaimana guru sebagai cermin keperibadian murid dalam konteks
pembangunan sahsiah seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.1. Pada pendapat anda,
apakah perkara penting yang mampu diubah dan dibangunkan oleh guru terhadap sahsiah murid-murid
di sekolah?

Pembangunan sahsiah merangkumi penampilan fizikal, sikap, tingkah laku, pemikiran, perasaan,
sosial dan rohani individu. Berdasarkan kesemua aspek tersebut, seseorang individu boleh dinilai
sahsiahnya. Selalunya individu yang mempunyai sahsiah yang baik menunjukkan penampilan fizikal
yang kemas, sikap yang beramah mesra, tingkah laku yang boleh diterima oleh norma dan nilai
masyarakat, dapat mengawal perasaan diri, boleh bergaul mesra dengan orang lain serta memegang
kepada nilai agama sendiri. Manakala, individu yang dikatakan mempunyai sahsiah yang bermasalah
lebih cenderung kepada masalah disiplin, tingkah laku devian, penyalahgunaan dadah dan memegang
nilai-nilai atau budaya yang bercanggah dengan norma masyarakat.

Pembangunan sahsiah merupakan satu fokus yang begitu penting terutamanya dalam konteks
pendidikan yang melibatkan para pendidik. Menurut Abdul Jalil (1998), pembangunan sahsiah yang
sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran agama dan nilai-nilai budaya dalam masyarakat
dengan pembangunan intelektual merupakan kejayaan kepada masyarakat dan negara. Ia merupakan
satu wadah pengisian dalam kehidupan individu yang melibatkan aspek rohani, jasmani, intelek dan
emosi iaitu selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Guru merupakan penggerak utama dalam membangunkan sahsiah murid-murid serta menjadi
role model dalam membangunkan modal insan yang bersahsiah dan berakhlak mulia. Konsep
pembangunan sahsiah harus disemai dan diamalkan dalam diri setiap pendidik sebagai satu misi yang
penting demi membangunkan keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Sebelum membentuk
sahsiah murid-murid, pendidik terlebih dahulu perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi oleh
murid-murid.

1.2 PENGENALAN PEMBANGUNAN SAHSIAH

S
elepas mendapat satu gambaran menyeluruh berkaitan dengan pembangunan sahsiah, mari
kita fahami dan dalami maksud sebenar pembangunan sahsiah secara am dan juga
berdasarkan beberapa perspektif yang berbeza.

Sahsiah adalah perkataan Bahasa Arab yang


membawa maksud keperibadian atau peribadi (Kamus
Dewan, 2011). Maksud peribadi pula ialah manusia sebagai
diri sendiri, sifat-sifat (kelakuan, sikap) seseorang yang
sudah sebati dengan diri sendiri untuk membentuk watak
dirinya. Ia juga menggambarkan sifat personaliti unik
individu yang membezakan dirinya dengan individu yang
lain (Cloninger, 2008). Menurut Siti Fatimah (1993), sahsiah
Pengenalan Pembangunan Sahsiah |3

merujuk kepada sistem tingkah laku individu. Ini bererti setiap individu ada cara bertindak yang
tersendiri dan cara bertindak itu adalah lebih kurang sama dari sehari ke sehari. Namun, Abdul Majid
dan Rahil (1995) mendefinisikan sahsiah sebagai perkaitan antara penilaian, perasaan, emosi dan
perlakuan manusia.

Sahsiah atau personaliti adalah corak keseluruhan seseorang individu yang merangkumi cara
seseorang berfikir, berasa, bertingkah laku dan berhubung dengan alam sekitarnya (Ee Ah Meng,
1999). Selain itu, sahsiah juga merujuk kepada pembentukan psikologi seseorang individu secara
keseluruhan. Ini merangkumi perangai, kecerdasan, sentimen, sikap, minat, kepercayaan, cita-cita dan
nilai-nilai. Allport (dalam Cloninger, 2008) menyatakan sahsiah adalah organisasi dinamik sistem
psikofizikal pada seseorang individu yang menentukan tingkah laku dan fikirannya yang khusus.
Sahsiah manusia boleh diperhati, dikenalpasti dan diperihalkan (Asmah dan Herman, 1995).
Pembangunan sahsiah merujuk kepada aspek perubahan pada diri manusia itu sendiri sama ada
perubahan itu ke arah positif atau negatif (Wan Azmi, 1992). Perubahan yang positif akan membentuk
individu yang berdikari dengan segala nilai positif yang murni. Pembangunan sahsiah juga membawa
makna membina akhlak, peribadi dan tingkah laku dengan matlamat menjadikan seseorang itu
bertamadun, intelek, murni dan berdaya maju (Mohd Nasir et al. 2006). Maka, fokus pembangunan
tersebut merangkumi tingkah laku secara keseluruhan sama ada dalaman atau luaran.

Maka, dapat dirumuskan bahawa sahsiah ialah ciri-ciri keseluruhan tingkah laku yang tetap pada
seseorang individu, tetapi berlainan dengan orang lain. Ia mewakili perwatakan seseorang individu
yang dapat diperhatikan dan dinilai melalui tingkah laku yang ditunjukkannya.

Berdasarkan pembacaan anda, jelaskan maksud sahsiah mengikut pemahaman yang


anda perolehi.
__________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________

1.3 PEMBANGUNAN SAHSIAH MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM

P
embangunan sahsiah yang unggul adalah suatu konsep yang berkaitan dengan kualiti insan.
Setiap insan harus faham cara menguruskan hidup secara profesional daripada perspektif
Islam agar tidak bertentangan dengan tuntutan al-Quran. Jika ditinjau dan dihalusi sirat
terdahulu, umat Islam berjaya kerana mereka mampu memaksimumkan segala kekuatan
yang dianugerahkan Allah dalam hidup mereka. Dalam perspektif Islam, pembangunan sahsiah bukan
sahaja dilihat dari aspek jasmani, tetapi juga merangkumi seluruh aspek rohani, naluri dan akal
individu.
Terdapat beberapa pendapat yang berbeza berkaitan dengan pembangunan sahsiah mengikut
perspektif Islam. Menurut Shahabuddin dan Rohizan (2007), sahsiah juga bermaksud akhlak. Akhlak
terbahagi kepada dua bahagian iaitu akhlak terpuji dan akhlak tercela. Islam memberi penekanan
penting kepada kedua-dua akhlak tersebut. Menurut Habibah dan Noran Fauziah (1997), sahsiah
Pengenalan Pembangunan Sahsiah |4

bermakna personaliti atau secara umumnya akhlak. Mereka berpendapat bahawa faktor-faktor lain
yang dianggap penting dalam pembangunan sahsiah ialah hubungan manusia dengan Allah s.w.t,
interaksi roh dan jasmani serta peranan akal. Pendapat ini adalah selaras dengan Mohd Ismail (1999)
yang menyatakan bahawa proses pembangunan sahsiah pada insan cemerlang terdiri daripada proses
pembangunan insan yang cemerlang, diikuti dengan proses pembangunan anak cemerlang serta
proses pembangunan individu cemerlang.

Selain itu, Abdullah Nashih (1994) mendefinisikan pembangunan sahsiah berdasarkan empat
unsur dasar iaitu pembinaan akidah (kepercayaan), ibadah (ritual), akhlak (etika dan moral) dan
penampilan (mazhar). Keempat-empat unsur dasar ini telah mengaitkan sahsiah dengan aspek
kerohanian atau dalaman manusia. Namun, aspek dalaman boleh dilihat menerusi Mazahir atau
tingkah laku luaran. Mazahir inilah yang dinamakan akhlak iaitu terjemahan dari akidah dan amalan
atau ibadah seseorang. Tingkah laku luaran individu adalah berasaskan kepercayaan atau akidah yang
dikenali sebagai akhlak. Maka, menerusi pembinaan akhlak inilah hakikat manusia itu hendak dibina.

Menurut Iman Al Ghazali (1989), pembangunan sahsiah merangkumi keseluruhan aspek diri
individu iaitu melibatkan pengetahuan agama, akidah, penghayatan Al-Quran, adab kehidupan
berkeluarga, mencari rezeki, perhubungan sesama manusia, akhlak, budi pekerti dan pembangunan
jiwa serta hati. Namun begitu, Ibn Miskawah mempunyai takrifan yang berbeza terhadap pembangunan
sahsiah iaitu suatu keadaan (sikap) diri yang mendorong seseorang bertindak melakukan perbuatan
serasi dengannya tanpa merenung atau berfikir panjang. Dengan kata lain, sifat yang tertanam dalam
diri individu yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa melibatkan
pemikiran, penelitian serta paksaan.

Secara ringkasnya, pembangunan sahsiah dari perspektif Islam boleh diertikan sebagai
membina akhlak, peribadi dan tingkah laku dengan matlamat menjadikan seseorang itu bertamadun,
berintelek, mempunyai nilai murni dan berdaya maju.

1.4 PEMBANGUNAN SAHSIAH MENGIKUT PERSPEKTIF BARAT

Dari perspektif Barat, pembangunan sahsiah lebih diperjuangkan untuk memenuhi keperluan jasmani
manusia sendiri. Berdasarkan pandangan para pemikir seperti Mark (1818 - 1883), Weber (1864 -
1920) dan Maslow (1908 - 1970), antara keperluan jasmani yang ditekankan mengikut perspektif Barat
ialah keperluan fizikal dan keperluan psikologi manusia, meningkatkan status kuasa dan agama serta
meningkatkan kelas sosial ekonomi yang dianggap sebagai tunjang dalam menentukan pembentukan
dan perkembangan struktur sosial masyarakat manusia (Kamarul Azmi, 2002).
Pengenalan Pembangunan Sahsiah |5

Berdasarkan definisi-definisi sahsiah yang dikemukakan oleh pelbagai tokoh, sila isikan
A dalam jadual di bawah intipati atau perkara asas yang mendefinisikan sahsiah secara
keseluruhan.

Penilaian Perasaan

Akal Naluri

Minat Sikap

Penampilan Ibadah

Perhubungan Sesama Manusia Mencari Rezeki


Pengenalan Pembangunan Sahsiah |6

Bina satu peta minda untuk merumuskan definisi-definisi pembangunan sahsiah


berdasarkan pelbagai pendapat dan perspektif Islam.

Kemudian, bincangkan dengan rakan-rakan sekumpulan berkaitan dengan pembangunan


sahsiah daripada perspektif agama Islam, Buddha, Kristian dan sebagainya dalam
MyGuru.
Pengenalan Pembangunan Sahsiah |7

1.5 CIRI-CIRI SAHSIAH

Sejauh mana anda mengenali diri anda? Pernahkah anda memahami ciri-ciri sahsiah
yang ada dalam diri anda? Secara umumnya, ciri-ciri sahsiah termasuk keunikan dengan
maksud tersendiri, kesesuaian atau keupayaan untuk berubah hasil pembelajaran dan organisasi.
Dengan perkataan lain, ia bukan sekadar himpunan tingkah laku, tetapi melibatkan corak tingkah laku
dan operasi yang bersifat konsisten.

Sahsiah merangkumi empat aspek berikut iaitu;

a. Berfikir secara positif


b. Menangani stress
c. Mengurus keperluan kerjaya
d. Mengurus diri dan kehidupan
a. Hubungan dengan tuhan
b. Kejiwaan yang kental
c. Konsep kendiri yang mantap

a. Mempamerkan tingkah laku


b. Penampilan kendiri
c. Pengurusan kendiri

a. Kebolehan berinteraksi dan berkomunikasi


b. Penerimaan terhadap orang lain
c. Persediaan untuk memberi dan menerima pendapat

Rajah 1.2 Empat aspek dalam sahsiah

Di samping itu, ciri-ciri sahsiah mengikut perspektif Islam adalah digariskan berpandukan Al-
Quran. Islam menggariskan panduan lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia
Pengenalan Pembangunan Sahsiah |8

tidak tersasar daripada matlamat mencari keredhaan Allah serta ibadat kepada Pencipta. Terdapat
lapan ciri yang digariskan mengikut perspektif Islam seperti dalam Rajah 1.3.

Rajah 1.3 Ciri-ciri sahsiah mengikut perspektif Islam


Pengenalan Pembangunan Sahsiah |9

1.6 FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI PEMBANGUNAN SAHSIAH

P
embangunan sahsiah seseorang individu adalah dipengaruhi oleh baka dan persekitaran.
Menurut Mohd Ismail et al. (2004), faktor baka termasuk saiz badan, penyakit, kecerdasan
dan temperamen. Faktor persekitaran pula merangkumi aspek keluarga seperti didikan ibu
bapa dan taraf sosioekonomi keluarga, pengalaman awal kanak-kanak, kebudayaan,
pengaruh sekolah, rakan sebaya, media massa, dan masyarakat (rujuk Rajah 1.4).

Rajah 1.4 Faktor baka dan faktor persekitaran mempengaruhi pembangunan sahsiah
Pengenalan Pembangunan Sahsiah | 10

Faktor Baka

Berikut adalah empat elemen penting dalam faktor baka yang mempengaruhi pembangunan sahsiah
individu (Mohd Ismail et al. 2004);

a) Saiz Badan
Saiz badan akan menentukan kesesuaian seseorang dalam melakukan aktiviti. Kebolehan
melakukan sesuatu aktiviti akan meningkatkan keyakinan diri individu serta menjadi tumpuan
orang. Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan penghargaan kendiri individu dan
seterusnya membentuk sahsiah diri yang sihat.

b) Penyakit
Terdapat beberapa jenis penyakit yang mungkin diwarisi melalui baka seperti asma, kencing
manis, sakit jantung dan sebagainya. Individu yang menghidapi penyakit ini pada usia yang
muda akan menyekat aktiviti sosialnya dan kemungkinan menjejaskan hubungan dirinya dengan
rakan-rakan. Hal ini secara tidak langsung boleh mempengaruhi pembangunan sahsiah individu
ke arah yang tidak sihat disebabkan perkembangan sosial dan emosi terganggu.

c) Kecerdasan
Setiap orang mempunyai kecerdasan yang berbeza untuk membantu individu menyelesaikan
masalah seharian mereka. Kemampuan individu dapat diukur berdasarkan prestasi akademik
atau pekerjaan. Menurut Azizi et al. (2007), kecerdasan mempunyai hubungan yang signifikan
dengan prestasi akademik. Individu akan membentuk sahsiah yang positif sekiranya mempunyai
tahap kecerdasan tinggi dan sebaliknya.

d) Temperamen
Temperamen merupakan sifat semula jadi individu yang boleh mempengaruhi interaksi antara
individu dengan individu yang lain. Individu yang stabil emosinya lebih mudah bergaul mesra
dengan orang lain serta tenang dalam menghadapi sebarang cabaran yang dihadapi.

Faktor Persekitaran

Persekitaran memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah individu. Antara faktor
persekitaran termasuk keluarga, pengalaman awal, kebudayaan, pengaruh sekolah, rakan sebaya,
media massa dan masyarakat (Mohd Ismail et al. 2004).

a) Keluarga
Faktor keluarga merangkumi didikan daripada ibu bapa dan taraf sosioekonomi keluarga.
Didikan daripada ibu bapa sejak kecil banyak mempengaruhi perkembangan sahsiah atau
personaliti individu. Cara komunikasi ibu bapa, berpakaian, pemakanan serta perhubungan
dengan ahli keluarga secara tidak langsung telah diterapkan dalam diri kanak-kanak. Keluarga
yang mesra dan harmoni lebih menggalakkan pembentukan sahsiah yang sihat. Corak didikan
Pengenalan Pembangunan Sahsiah | 11

ibu bapa yang bersifat demokratik akan membantu kanak-kanak dalam proses membuat
keputusan.

Selain itu, kedudukan kewangan keluarga juga menentukan jenis-jenis kemudahan yang
boleh disediakan untuk anak-anaknya seperti bahan pengajaran tambahan. Ibu bapa yang
mampu membeli buku rujukan tambahan, komputer, alat permainan atau alat muzik lebih banyak
menyediakan peluang kepada anak-anak untuk mempelajari sesuatu yang baru dan sebaliknya.
Dalam erti kata yang lain, terdapat proses sosialisasi yang berlainan di antara dua kelas iaitu
kelas bawahan tidak menggalakkan anak berfungsi dengan lebih sempurna berbanding dengan
anak-anak kelas pertengahan atau atasan yang lebih bersedia untuk masuk ke sekolah,
disebabkan persekitaran yang berlainan.

b) Pengalaman Awal
Pengalaman awal kanak-kanak memberi kesan yang besar terhadap kehidupan di kemudian hari
semasa kanak-kanak tersebut melangkah ke peringkat dewasa. Kanak-kanak yang selalu
dihukum kerana melakukan kesilapan akan menyebabkan kanak-kanak tersebut sentiasa
merasa bimbang dan bersalah. Hal ini juga menyebabkan terbentuknya perasaan rendah diri
dan terancam sehingga menjejaskan harga diri atau konsep kendiri kanak-kanak tersebut. Impak
tersebut secara tidak langsung telah menjejaskan perkembangan sahsiah individu serta
cenderung membentuk sahsiah kendiri yang negatif.

c) Kebudayaan
Kebudayaan yang berbeza mempunyai norma dan nilai yang berbeza. Budaya sama ada
daripada keluarga atau masyarakat telah dipupuk dalam diri individu sejak kecil lagi. Penekanan
kepada satu-satu nilai dalam satu-satu kebudayaan tertentu akan mempengaruhi pembangunan
sahsiah kanak-kanak. Contohnya, sesebuah keluarga yang menekankan kekayaan dan
kebendaan sebagai nilai yang penting dalam hidup, maka kanak-kanak yang membesar akan
bersifat materialistik.

d) Pengaruh Sekolah
Sekolah adalah agen sosialisasi yang berfungsi secara formal. Tindakan atau tingkah laku yang
ditunjukkan oleh pengetua dan guru akan menjadi teladan kepada murid-murid di sekolah.
Pengetua yang tidak tegas akan melahirkan pelajar yang pasif, kurang inovatif serta takut
membuat perubahan. Hal ini akan menyebabkan sifat kepimpinan murid-murid terbantut. Selain
itu, guru merupakan agen sosialisasi yang berpengaruh. Guru yang penyayang akan membentuk
emosi murid-murid yang stabil. Sifat-sifat baik ini akan menjamin sahsiah yang sihat. Sebaliknya,
guru yang tidak adil, pilih kasih atau suka memarahi murid-murid lebih cenderung melahirkan
sahsiah murid-murid yang tidak baik. Maka, persekitaran sekolah merupakan situasi yang
menggalakkan pembangunan sahsiah berlaku. Suasana sekolah yang baik dapat membantu
pembangunan sahsiah yang sempurna disebabkan terdapat bimbingan guru dan persekitaran
yang menyenangkan.
Pengenalan Pembangunan Sahsiah | 12

e) Pengaruh Rakan Sebaya


Menurut Glidewell (dalam Mohd Ismail et al. 2004: 27), terdapat tiga cara utama bagaimana
individu dapat dipengaruhi oleh rakan mereka. Pertama, anak-anak muda dipengaruhi oleh
rakan sebaya apabila mereka ingin diterima atau disukai oleh kumpulan rakan mereka; kedua,
mereka terpengaruh dengan kepimpinan dan kemampuan rakan mereka. Ketiga, mereka ingin
membuktikan kebolehan diri dan memperolehi pengakuan dan penghargaan rakan.

f) Media Massa
Media massa memberi pengaruh yang kuat terhadap pembangunan sahsiah individu.
Pendedahan kepada media massa yang sihat adalah penting seperti program-program bercorak
keagamaan, sains, national geography dan sebagainya akan membantu perkembangan intelek
seseoran individu. Secara langsung melalui program-program ini lebih menggalakkan individu
untuk berfikir, membangkitkan motivasi dan minat untuk belajar.

g) Masyarakat
Masyarakat yang mempunyai nilai-nilai dan norma-norma yang sihat akan melahirkan
anggotanya yang bertanggungjawab, berdedikasi, rajin dan sedia berkorban untuk menolong
orang lain. Tetapi, masyarakat yang mementingkan kekayaan dan harta benda dengan
mengenepikan nilai-nilai murni akan melahirkan lebih banyak insan yang mengejar harta benda
dan kemewahan. Mereka sanggup melakukan tingkah laku yang melanggar undang-undang
demi memperolehi kekayaan. Hal ini jelas menggambarkan bahawa bagaimana nilai masyarakat
boleh menghasilkan sahsiah individu yang tidak diingini.

Oleh itu, adalah penting untuk melihat kepada dua faktor utama tersebut iaitu faktor baka dan
faktor persekitaran dalam usaha untuk membangunkan sahsiah murid-murid di sekolah nanti. Dengan
kata lain, guru bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi
bertanggungjawab juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai hidup yang dipegang dan
budaya yang diterima olehnya.
Pengenalan Pembangunan Sahsiah | 13

Berdasarkan pengalaman hidup anda, kaitkan dengan dua faktor utama yang paling
mempengaruhi diri anda dalam konteks pembangunan sahsiah.

__________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________
_________________________________________________________________________________

Statistik telah menunjukkan bahawa keruntuhan sahsiah di kalangan remaja semakin


serius berlaku. Terdapat pihak yang menuding jari untuk menafikan tanggungjawab
terhadap pembentukan sahsiah remaja kini. Apakah pendapat anda berkaitan dengan isu tersebut?

RUMUSAN

Pembangunan sahsiah merupakan penampilan kendiri seseorang secara keseluruhan iaitu dari aspek
fizikal, emosi, spiritual, cara berfikir dan berinteraksi. Ia juga tidak dapat dipisahkan dengan
kepercayaan agama. Oleh itu ia memberi kesan yang amat besar dalam kehidupan individu dan
masyarakat. Bagi membangunkan sahsiah individu faktor persekitaran dan faktor keluarga adalah
penting selain faktor kendiri individu itu sendiri.

KATA KUNCI

1. Sahsiah 4. Baka
2. Akhlak 5. Persekitaran
3. Penampilan
Pengenalan Pembangunan Sahsiah | 14

PENILAIAN KENDIRI

1. Dengan menggunakan perkataan sendiri, huraikan apa yang dimaksudkan dengan pembangunan
sahsiah.
2. Senaraikan ciri utama dari perspektif Islam yang menunjukkan seseorang itu mempunyai sahsiah
yang tinggi.
3. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan sahsiah? Bagaimanakah ia mempengaruhi
pembentukan tersebut?

JAWAPAN SERTA MAKLUM BALAS

A Keperibadian Personaliti
Penilaian Perasaan
Jasmani Perlakuan
Rohani Akhlak
Akal Naluri
Perangai Kognitif
Sentimen Kecerdasan
Minat Sikap
Cita-cita Kepercayaan
Pembinaan Akidah Nilai-nilai
Penampilan Ibadah
Penghayatan Al-Quran Pengetahuan Agama
Berkeluarga Adab Kehidupan
Perhubungan Sesama Manusia Mencari rezeki
Pembangunan Jiwa / Hati Budi Pekerti
Pengenalan Pembangunan Sahsiah | 15

RUJUKAN
Abdul Jalil Borham (1998). Program pembangunan sahsiah pelajar dan pelaksanaannya di IPT di
Malaysia. Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Pengurusan Asrama Peringkat
Kebangsaan. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Abd Majid Mohd Isa & Rahil Mahyuddin (1995). Psikologi pendidikan 1: Pertumbuhan dan
perkembangan. Petaling Jaya: Longman.

Abdullah Nashih Ulwan (1994). Pesanan kepada pemuda Islam. Kuala Lumpur, Penerbitan Al-
Ramadhan.

Al-Ghazali (1989). Bimbingan mukmin pada mencari ridha al-A’lamin. (Terjemahan oleh Sayyid Ahmad
Semait). Singapura: Pustaka Nasional Ptd. Ltd.

Asmah Bee Mohd Noor & Iran Herman (1995). Membina kesejahteraan remaja. Bangi: Tekno Edar:

Azizi Yahaya, Shahrin Hasim, Nordiana Mohd Nor & Noordin Yahaya (2007). Hubungan kecerdasan
emosi dengan prestasi pencapaian akademik. Unpublished Article. Pp1-17.

Cloninger, S. (2008). Theories of personality: Understanding persons (5th Ed.). New Jersey: Pearson
Education Inc.

Ee Ah Meng (1996). Psikologi pendidikan 1: Psikologi perkembangan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Habibah Elias & Noran Fauziah Yaakub (1997). Psikologi personaliti. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Kamarul Azmi Jasmi (2002). Paradigma Imam al-Nawawi Dalam Pembinaan Insan: Kajian Teks
Terhadap Kitab Riyad al-Salihin. Tesis Sarjana. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Kamus Dewan (2011). Dipetik pada 6 Mac 2011 daripada


http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=sahsiah&id=+Cari.

Mohd Ismail Mustari (1999). Belia sebagai insan cemerlang dari perspektif Islam: Kajian status belia-
belia Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor : Unplished Thesis. Universiti Kebangsaan Islam.

Mohd Ismail Mustari, Selamat Hashim, Azmi Shah Surathman, Abd Basit Abd Samat, Abdul Rahman
Hamzah, & Abdul Hafiz Abdullah (2004). Kajian sahsiah pelajar-pelajar Sekolah Menengah
Agama Kerajaan Johor Kluang, Kluang, Johor. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Mohd Nasir Ripin, Azmishah Suratman, Ramli Awang, Sayed Mahussain Sayed Ahmad, dan Zulkiflee
Haron, (2006). Kajian Program Bina Sahsiah Staf di IPTA: Kajian kes di UTM & USM. Laporan
Kajian. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Pengenalan Pembangunan Sahsiah | 16

Shahabuddin Hashim & Rohizan Yaacob (2007). Teori personaliti dari perspektif Islam, Timur, dan
Barat. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Siti Fatimah Abdul Rahman (1993). Asas-asas masyarakat cemerlang. Kuala Lumpur: Institut
Kefahaman Islam Malaysia.

Wan Azmi Ramli (1992). Pembangunan masyarakat dari perspektif kebajikan. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributors Sdn Bhd.

You might also like