You are on page 1of 2

PERPADUAN TERAS KEJAYAAN NEGARA

Bismilahirahmanirahim.

Hadirin sekalian,

Dalam kesibukan kita berkira-kira siapakah yang akan menjuarai Mentor Musim ke-5 dan ada yang dilanda
demam Akademi Fantasia musim terakhir, saya ingin mengajak anda semua mendengar pidato saya, tentang
perkara yang akan menentukan nasib Negara di hari muka-Perpaduan Teras Kejayaan Negara.

Terima kasih saudara/saudari peneraju acara, kombinasi kehakiman yang berwibawa, dif-dif jemputan yang
mulia, tidak dilupakan warga dewan yang berbahagia. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Adat kelaziman
bicara, pendefinisian tajuk pidato sebagai pembuka.

Perpaduan saya fahamkan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya
melalui ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identity, nilai bersama dan
satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Teras kejayaan Negara merujuk kepada asas
kemakmuran ekonomi, politik dan sosial sesebuah Negara. Dalam 5 minit pidato saya ini, saya ingin mengajak
hadirin sekalian menilai kepentingan perpaduan sebagai teras kejayaan Negara berdasarkan 3 cerita.

Sidang pendengar sekalian,

Pertama; kisah mereka yang sudah terhantuk baru terngadah. Kata orang, setelah terkena, baru kita sedar akan
sakitnya dan peritnya akibat mengabaikan sesuatu perkara. Begitulah sifatnya dengan pepraduan. Ayuh kita
terbang ke Sudan. Apa yang berlaku di sana? Pembersihan etnik yang berlaku oleh tentera Militan Arab
Janjaweed akibat perebutan kuasa dan perbezaan keturunan antara kaum Arab dan Afrika walaupun seagama
telah menyebabkan 1.2 juta menjadi pelarian dan lebih 50,000 orang telah menjadi korban berdasarkan laporan
pada November 2004. Kesannya-Sudan kekal sebagai Negara yang miskin walaupun mempunyai hasil bumi
yang cukup dikagumi. Lihatlah-kerana gilakan kuasa, nyawa sudah tidak lagi berharga. Kerana perbezaan
keturunan, nyawa yang tidak berdosa yang menjadi korban. Adakah kita ingin menjadi seperti mereka?

Warga dewan sekalian,

Kedua-kisah mereka yang menyediakan payung sebelum hujan. Menyedari hakikat akan kepentingan
perpaduan, banyak Negara yang sudah mula mengangkat nilai perpaduan dan kebersamaan supaya Negara
memperoleh kejayaan. Malaysia misalnya-selepas berlakunya tragedy dan peristiwa berdarah 13 Mei 1969,
sudah mula menitikberatkan pembinaan Negara bangsa melalui instrumen pendidikan. Penyata Razak
diluluskan, Penyata Rahman dijalankan, Laporan Kabinet dilaksanakan-kesemuanya mencapai kesepakatan-
sekolah sebagai medium perpaduan-bahasa sebagai jambatan perhubungan. Maka, tidak hairanlah slogan
Bahasa Jiwa Bangsa mula diperkenalkan, Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah, pada masa yang
sama, bahasa-bahasa lain masih dibenarkan untuk dituturkan. Kesannya-3 kaum bisa duduk semeja bersama,
bergurau senda sambil berkongsi rasa yang sama-jiwa 1Malaysia. Jangan terkejut beruk jika saya sudah pandai
meniru gaya Kenchana Dewi di dalam drama bersiri Puteri, Ah Mei pula sudah pandai menyanyi lagu Dato’ Siti
dan Letchumy pula sudah pandai meniru aksi Dato’ Michelle Yeoh. Inilah impak hasil perkongsian nilai
bersama untuk membentuk perpaduan yang menjadi teras kejayaan.

Saudara dan saudari,

Ketiga-kisah mereka yang menggenggam baru abu sehingga jadinya arang. Banyak yang telah diusahakan oleh
Negara-negara di seluruh dunia untuk membentuk perpaduan dalam kalangan rakyatnya untuk memperoleh
kejayaan. Amerika Syarikat misalnya, meskipun bermula dengansentimen perbezaan warna kulit yang amat
dahsyat, akhirnya perbezaan warna kulit ditolak ke tepi, sehingga Barrack Obama diangkat menjadi Presiden
yang ke-44 negara republic itu. Hasil perpaduan-krisis sub prima yang membelenggu Amerika semakin diatasi
dan rakyat tidak perlu susah hati lagi. Di Malaysia tidak kurang hebatnya. Formula perkongsian kuasa yang
dibina sekian lama menjadikan Malaysia sebagai antara Negara termaju dalam kalangan Negara G77 dengan
pertumbuhan eknonomi yang diunjurkan oleh Bank Dunia sehingga 7.4% dalam usaha kita menuju status
Negara maju menjelang tahun 2020 dan kea rah Negara berpendapatan tinggi. Syabas buat Malaysia!!

Kesimpulannya-ini bukanlah pertandingan bercerita, walaupun kalian dihidangkan dengan 3 cerita yang
berbeza. Kisah mereka yang sudah merana akibat mengabaikan perpaduan, kisah mereka yang berusaha untuk
mewujudkan dan mengekalkan perpaduan serta kisah mereka yang sudah menempa kejayaan kerana
menghargai perpaduan. Kalau kalian pernah menonton filem Merong Mahawangsa, pasti kalian ingat bahawa
kejayaan menumpaskan puak lanun Geruda adalah hasil kerjasama antara rakyat pimpinan Merong
Mahawangsa, tentera Rom pimpinan Putera Marcus dan tentera China pimpinan Laksamana Liu Yun. Benarlah
kata pepatah-bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, sepakat air kerana pembentung, sepakat manusia kerana
muafakat. Perpaduan Teras Kejayaan Negara!!

Sekian, Srikandi St Mary mohon mengundur diri.

PREPARED BY: MUHAMMAD IZZAT BIN MD JONID

You might also like