You are on page 1of 16

Aktiviti prabacaan

a. Mengenal gambar yang berlainan seperti membulatkan gambar yang berlainan


b. Mengenal bentuk yang berlainan.
PRABACAAN
2.1 Pendahuluan
Di akhir tahun-tahun 1970-an, terdapat laporan-laporan yang menyatakan ramai
murid sekolah rendah (terutama yang tinggal di luar bandar) yang tidak boleh
membaca atau tidak cekap membaca bahasa mereka sendiri (bahasa Melayu).
Tentu banyak sebabnya perkara ‘tidak boleh membaca’ ini berlaku. Tetapi bagi
mencari penyelesaian, elok dikaji semula antara lain, kaedah mengajar Bahasa
Melayu di peringkat awal (Darjah 1 atau 2), dan menggubal cara yang lebih sesuai,
mudah dan berkesan.
Seharusnya sebahagian besar (90%) daripada murid-murid kita dapat membaca
bahan-bahan bacaan yang ‘senang’ pada akhir Darjah 1 persekolahan mereka, jika
pengajaran membaca dibuat secara sistematik dengan mengambil kira hal-hal
berikut:
a) Sistem ejaan Bahasa Melayu adalah ‘alphabetic’ dan fonemik – ertinya ada
hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya. (Ini berbeza sekali
dengan sistem ejaan bahasa Inggeris yang amat rumit itu).
b) Suku kata perkataan-perkataan bahasa Melayu adalah mudah dan jelas (jika
dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain –dengan bahasa Inggeris misalnya).
Kedua-dua ciri dalam bahasa Melayu di atas sahaja seharusnya sudah dapat
meyakinkan kita bahawa kita tidak boleh meniru dan mengambil terus kaedah
mengajar membaca bahasa Inggeris untuk mengajar membaca di peringkat awal.
c) Murid-murid Melayu (termasuk sebahagian besar murid-murid Bukan Melayu)
yang melangkah masuk ke Darjah 1 rata-rata telah pun mengetahui bahasa Melayu
dan mempunyai perbendaharaan kata bahasa Melayu yang mencukupi untuk
mereka terus belajar membaca bahasa Melayu. Ertinya mereka belajar bahasa
Melayu sebagai bahasa pertama, bukan sebagai bahasa kedua (misalnya bahasa
Inggeris). Jika kita meniru kaedah mengajar membaca bahasa Inggeris (sebagai
bahasa kedua) untuk mengajar mambaca bahasa Melayu sudah tentu ini akan
membawa kepayahan dan kelambatan untuk murid-murid kita belajar membaca
bahasa kita.
Terdapat pelbagai kaedah mengajar membaca yang pernah digunakan oleh guru-
guru kita – ‘kaedah abjad’ , ‘kaedah fonik’, ‘kaedah pandang dan sebut’, ‘kaedah
eklektik’ dan sebagainya.
Bahan-bahan untuk murid berlatih membaca sendiri adalah penting, ini kerana jika
murid-murid tidak mempunyai bahan-bahan atau buku yang boleh mereka membaca
di masa lapang atau di rumah, pembinaan kemahiran membaca akan terencat. Ini
terutamanya akan berlaku di kalangan murid-murid di luar bandar atau daripada
keluarga miskin di mana bahan-bahan bacaan di rumah sangat kekurangan. Agak
munasabah kenyataan bahawa murid-murid akan menambah kecekapan membaca
dengan terus diberi kemudahan untuk mereka membaca. Dalam rancangan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (3M) nanti, kejayaannya – dari segi matlamat
supaya semua murid dapat membaca, menulis dan mengira – bergantung besar
atas faktor adanya bahan-bahan dan buku-buku yang sesuai, beragam dan
mencukupi untuk murid-murid membaca. Bahan-bahan itu haruslah menarik dan
berisi : berbagai ‘ilmu pengetahuan’, mesej moral, dan sebagainya.

2.2 Kaedah Mengajar Murid-murid Membaca di Peringkat Awal


Masalah murid-murid sekolah tidak dapat membaca, atau tidak dapat membaca
dengan cekap, sebenarnya telah lama dirasakan oleh guru-guru. Hanya sejak
beberapa tahun kebelakangan ini saja hal tersebut diberi perhatian yang lain, dan
daripada beberapa kajian yang dibuat nampaknya masalah ini masih agak serius.
Sudah wajarlah masalah pembelajaran membaca (termasuk menulis dan mengira)
diberi perhatian oleh semua pihak : Kementerian Pelajaran, guru-guru, dan ibu bapa,
kerana di dalam sistem pelajaran formal, ketiga-tiga kemahiran itu menjadi alat yang
asas untuk kanak-kanak mempelajari Ilmu Sains, Ilmu Alam, Sejarah,
Kesusasteraan, Sivik, Muzik, Perdagangan, Pertanian, Seni Perusahaan, mata
pelajaran Teknikal, Agama serta pengetahuan dan kemahiran lain.
Kemahiran 3M adalah ‘alat’ asas untuk seseorang meneroka ilmu, mencipta, dan
membuat komunikasi. Dalam konteks dunia hari ini, kecekapan dalam menguasai
3M amat diperlukan, lebih-lebih lagi untuk urusan kehidupan sehari-hari.
Maksudnya, definisi had minimum dalam kemahiran membaca setakat ‘mengenal
huruf’ sudah tidak memadai lagi. Taraf minimum yang harus dianggap sebagai
‘functionally literate’ di Malaysia hari ini harus didasarkan pada keupayaan
seseorang itu membaca dan memahami tulisan di dalam suratkhabar, dan menulis
surat-surat urusan harian sendiri. Taraf pencapaian minimum inilah yang harus
dapat dicapai oleh 90% daripada murid-murid sekolah apabila mereka sampai ke
Tingkatan 3.
Untuk mencapai taraf kemahiran ini, asas-asas yang kukuh perlu dibina secara
progresif dari awal. Barangkali bagi 90% daripada kanak-kanak dalam negara kita,
mula mengenal huruf hanya apabila mereka menjejakkan kaki di bangku sekolah.
Kebanyakan kita juga mula belajar membaca apabila kita bersekolah. Hal ini sengaja
ditekankan kerana sudah diterima sebagai ‘biasa’ bahawa di antara tugas utama
guru-guru di sekolah dasar ialah mengajar kanak-kanak supaya dapat membaca dan
menulis. Jika ini belum dicapai, apa pun sebab-sebab yang mungkin diberikan, tugas
guru belum dikira sempurna. Masyarakat kita sentiasa mengharapkan sistem
persekolahan kita memberikan kecekapan membaca, menulis dan mengira kepada
anak-anak, dan jika ramai yang tidak mendapat kemahiran tersebut, maka sistem
persekolahan itu dianggap gagal, dan harus dikaji semula serta dipulihkan.
Walau bagaimanapun tidaklah dicadangkan apa-apa pemulihan yang besar di dalam
sistem pelajaran kita, hanya sekadar untuk meninjau beberapa kaedah mengajar di
peringkat awal : (beberapa definisi dan andaian asas)
a) Peringkat permulaan membaca di sini ditafsirkan sebagai peringkat permulaan
membaca yang dihadapi oleh sebahagian besar murid-murid Darjah 1, di sekolah-
sekolah dasar kita;
b) Kebanyakan daripada murid-murid ini adalah ‘normal’ dari segi keupayaan atau
kebolehan mereka belajar;
c) Murid-murid ini telah pun mempunyai kemahiran bahasa Melayu lisan (walaupun
mungkin dalam bentuk dialek), menguasai perbendaharaan kata yang ‘mencukupi’
akibat daripada lahir di dalam keluarga Melayu, atau bercampur-gaul dengan orang-
orang Melayu. Dengan kata lain mereka belajar membaca bahasa Melayu sebagai
bahasa pertama.

2.3 Kaedah Pengajaran yang Biasa Dibuat.


2.3.1 Kaedah abjad
Kaedah Abjad bolehlah dianggap sebagai kaedah mengenal nama-nama huruf yang
digunakan dalam tulisan Melayu; a,b,c…hingga z. Murid-murid diajar menghafal
nama-nama huruf ini mengikut aturannya a,b,c,…z. kadang-kadang ada nyanyian
yang menggunakan huruf-huruf sebagai liriknya.
Setelah beberapa minggu barulah disebutkan huruf-huruf vokal: a,e,i,o,u. Selepas itu
dibina suku-suku kata “ba – tu”, “ka – ki” dan sebagainya, dan diikuti pula dengan
mengeja perkataan-perkataan. Kemudian barulah diberi latihan membaca ayat-ayat
yang pendek.
Murid-murid hanya mengambil masa tiga hingga empat bulan, atau lebih untuk
mengetahui nama-nama huruf hingga tahu membaca ayat-ayat .
Kaedah abjad yang begini hanyalah menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang
bermakna bagi kanak-kanak. Memulakan pengajaran membaca dengan
menegaskan pengenalan dan hafalan nama-nama huruf, sebenarnya menegaskan
sesuatu yang boleh membosankan murid-murid. Saya kira kaedah ini mengambil
masa yang agak panjang sebelum murid-murid itu dapat merasa gembira atau puas.

2.3.2 Kaedah ‘Pandang dan Sebut’ (look and say)


Kaedah Pandang dan Sebut ini atau juga pernah disebut dengan nama Kaedah
Seluruh Perkataan (whole word) ini bolehlah dianggap sebagai reaksi kepada
kelemahan-kelemahan yang terdapat pada Kaedah Abjad. Kaedah itu lebih
bermakna daripada Kaedah Menghafal ‘nama setiap huruf itu’. Misalnya batu,
rumah, sekolah, budak, pokok, meja, pensel dan sebagainya. Perkataan-perkataan
yang ditulis penuh adalah difikirkan lebih bermakna daripada pecahan tiap-tiap
hurufnya. Jadi Kaedah Pandang dan Sebut (atau Kaedah Seluruh Ayat) ini dijadikan
asas untuk mengajar murid-murid membaca. Kerap kali ditunjukkan seluruh
perkataan-perkataan seiring dengan gambar-gambar yang dilambangkannya.
Perkataan rumah ditulis di tepi atau di bawah gambar rumah, perkataan pensel, dan
sebagainya. Kadang-kadang digunakan kad-kad imbasan yang menunjukkan
gambar dan perkataan.
Jadi dalam kaedah ini murid-murid cuba ‘mengenal’ keseluruhan lambang-lambang
itu untuk mendapat membaca. Mereka harus mengenal beberapa puluh ‘lambang
perkataan’ sebelum boleh membaca ayat-ayat. Kemudian baru diajar mengeja tiap-
tiap perkataan, dan mengenal nama huruf-huruf yang mewakilinya.

Pada ketika dahulu (bahkan bagi setengah-setengah ahli pendidik sekarang pun)
kaedah Pandang dan Sebut ini sangat ditegaskan. Mereka kuat dipengaruhi oleh
ahli-ahli pendidik mengajar membaca bahasa Inggeris. Di sebalik menggunakan
kaedah ini untuk mengajar, bahasa Inggeris ialah bahasa yang tidak mempunyai
sistem ejaan fonemik yang sempurna, bercelaru dari segi symbol-sound relationship.
Kecelaruan ini menyebabkan ahli-ahli pendidik bahasa menganggap kaedah
Pandang dan Sebut itu lebih sesuai dan bermakna untuk mengajar permulaan
membaca. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kaedah ini dikritik semula,
sebab didapati ramai murid biasa (terutama di Amerika Syarikat) yang tidak boleh
membaca. Kemahiran murid-murid ‘mengenal’ perkataan-perkataan tidak dapat
menjelma dengan cepat. Bahkan ramai yang menghafal ‘perkataan-perkataan’
berdasarkan gambar daripada ‘mengenal’ perkataan-perkataan, dan murid-murid ini
sukar mengenal perkataan-perkataan yang ‘baru’. Jadi, baru-baru ini timbul semula
hujah-hujah dan kajian-kajian yang membuktikan bahawa kaedah fonik mungkin
lebih sesuai dan berkesan daripada kaedah Pandang dan Sebut untuk mengajar
permulaan membaca bahasa Inggaris.
Kaedah Pandang dan Sebut ini lebih sesuai digunakan untuk mengajar bahasa-
bahasa yang memakai sistem tulisan ideografik (atau lebih tepat lagi logografik)
seperti sistem ejaan bahasa Cina, yang melambangkan sesuatu benda, idea, dan
sebagainya (satu morfem) dengan satu perkataan.
Oleh sebab sistem ejaan bahasa Melayu rata-rata adalah fonemik (satu huruf boleh
dikatakan melambang satu ‘bunyi’ – lebih fonemik daripada misalnya sistem ejaan
bahasa Inggeris) maka agak tidak begitu munasabah bagi Kaedah Pandang dan
Sebut ini digunakan untuk mengajar permulaan membaca bahasa Melayu, terutama
mengajar murid-murid Melayu. Kaedah ini akan menyusahkan dan melambatkan lagi
murid-murid mencapai kemahiran membaca bahasa Melayu.

2.3.3 Kaedah Fonik


Pada asasnya kaedah ini adalah untuk mengajar murid-murid melihat hubungan di
antara simbol (huruf) dan ‘bunyi’ (grapheme phoneme relationship) supaya
kemudian mereka dapat membaca (membunyikan) perkataan-perkataan baru yang
mereka hadapi.
Murid-murid tidak diajar nama-nama huruf, diajar ‘bunyi-bunyi’ huruf. Ertinya lambing
huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Misalnya ‘a’ dibunyikan ‘aa…’, ‘t’ – ‘tah’, ‘s’
–‘ss’. ‘u’ – ‘uu…’, ‘z’ – ‘zz…’, dan sebagainya. Setelah mereka tahu hubungan tiap-
tiap huruf dengan bunyinya, suku kata pula dibina. Misalnya, ‘ba’, ‘da’, ‘tu’, ‘ka’, ‘lu’,
‘mi’ dan sebagainya. Kemudian baru digabungkan suku-suku kata ini menjadi
perkataan-perkataan – ‘dada’, ‘batu’, ‘kata’, ‘lalu’, dan sebagainya. Seterusnya
murid-murid diberi latihan membaca ayat-ayat yang menggunakan perkataan-
perkataan ini.
Nyata sekali, oleh sebab sistem ejaan bahasa Melayu kita adalah fonemik, (iaitu ada
hubungan yang agak teratur di antara ‘huruf’ dan ‘bunyinya’), dan oleh sebab suku
kata kebanyakan perkataan Melayu agak jelas, maka kaedah fonik ini sesuai sekali
digunakan untuk mengajar permulaan membaca perkataan-perkataan Melayu.
Sekurang-kurangnya kaedah ini adalah lebih munasabah dan mungkin lebih
berkesan dibandingkan dengan Kaedah Abjad dan Kaedah Pandang dan Sebut.
Kelemahannya ialah kaedah ini masih memerlukan murid-murid menghafal bunyi
huruf yang kurang bermakna pada permulaannya. Dan biasanya masa yang agak
panjang diambil untuk mereka mengenal semua bunyi huruf dan suku kata sebelum
mereka membaca perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang bermakna.
2.3.4 Kaedah Eklektik

Kaedah ini adalah kaedah Campuran – campuran kaedah-kaedah mengikut


kesesuaian murid, situasi bilik darjah dan bahan-bahan bacaan yang digunakan.
Ada yang menggunakan penujuan sintetik, ada penujuan analitik dan ada pula
penujuan sintetik-analitik.
‘’The analytic-synthetic method… entails selection of carefully graded words,
sentences and simple passage which children analyse, compare and synthesize
more or less simultaneously right from the beginning, and in doing so become
acquainted with the elements of language, in the desired order, while learning the
mechanics of reading.’’ 1
1 Twelfh International Conference on Public Education, Gena, 1949.
The Teaching of Reading. Geneva : International Bureau of Education 1949, m.s. 24.

Terdapat pelbagai lagi jenis Kaedah Eklektik ini. Bagi bahasa Melayu, kesan yang
didapati apabila seseorang menyebutkan Kaedah Eklektik ini, ialah seolah-olah
mereka memikirkan Kaedah ini adalah yang paling sesuai untuk mengajar membaca
bagi kanak-kanak Melayu kita. Kemudian jika diperhatikan betul-betul cara Kaedah
ini diterapkan, agak banyak yang mengajar kurang sistematik. Jadi kerap kali
Kaedah ini menjadi akedah cacamurba, kerana asas gabungan itu kurang
diperhatikan.
Apa yang harus difikirkan dan diciptakan ialah kaedah mengajar ‘eklektik’ tetapi
sistematik, yang mengambil perhatian keistimewaan sifat-sifat ejaan bahasa Melayu,
struktur suku-katanya, dan tatabahasanya di suatu pihak, dan keadaan
pembelajaran murid-murid Melayu di pihak lain. Maksudnya kita harus menciptakan
Kaedah Eklektik yang sesuai untuk mengajar membaca bahasa Melayu sebagai
bahasa pertama; tetapi Kaedah itu haruslah sistematik.
2.4 Kaedah Gabungan yang dicadangkan
Kaedah gabungan untuk mengajar membaca bahasa Melayu kepada murid-murid
peringkat awal (prabacaan) yang dicadangkan di sini berasaskan hal-hal berikut:
a) Sistem ejaan bahasa Melayu adalah mengikut abjad dan fonemik – ertinya ada
hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya.
b) Suku kata perkataan-perkataan Melayu adalah jelas (jika dibandingkan dengan
bahasa-bahasa lain – dengan bahasa Inggeris misalnya).
c) Ciri-ciri yang baik daripada ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ boleh
digabungkan.
d) Murid-murid Melayu yang baru melangkah masuk ke Darjah 1 rata-rata telah pun
mempunyai perbendaharaan bahasa Melayu yang mencukupi untuk terus belajar
membaca.
Kaedah yang dicadangkan ini menegaskan yang kita boleh menggabungkan terus
‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ dalam satu pelajaran membaca,
pada peringkat awal. Kita tidak perlu menunggu murid-murid mengetahui semua
nama huruf, bunyi huruf dan suku kata sebelum mereka disuruh membaca
perkataan-perkataan atau ayat. Malahan kita tidak begitu perlu memperkenalkan
dan mengajar abjad dan bunyi huruf dari a, b, c… sampai z secara tertib biasa.
Kaedah gabungan ini mencadangkan biar murid-murid diperkenalkan kepada bunyi
beberapa huruf vokal dan konsonan, dan kemudian terus membunyikan suku kata
dan perkataan-perkataan yang bermakna, dalam satu dua pelajaran. Dengan cara
begini dalam dua, tiga pelajaran saja mereka akan terus dapat membaca beberapa
perkataan dan ayat, dan merasa bangga yang mereka boleh membaca serta faham
akan yang dibaca.
Untuk menjelaskan kaedah ini secara konkrit, terdapat beberapa contoh:
a) Mulakan dengan perkenalkan bunyi dua atau tiga huruf vokal:
aou
dengan menggunakan kad imbasan (flash card). Buat latihan membunyikan huruf ini
beberapa kali, selang-seli.
b) Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan, misalnya:
dkm
dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih-tubi beberapa kali supaya semua
murid dapat melafazkan bunyi tiap-tiap lambang itu dengan jelas.
c) Gabungan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal supaya menjadi
suku kata:
da di du
ka ki k u
sa si su
Seterusnya bentukkan beberapa perkataan yang bermakna, misalnya:
ba ba baba
bu bu bubu
da da dada
ku ku kuku
Ulangkan ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan menjadi ayat dan
latihan murid-murid membacanya:
baba bubu
dada kuku
d) Perkenalkan gabungan lain:
a ku aku
a da ada
i ni ini
i tu itu
bu ku buku
ba ba baba
bu ka buka
ba ju baju
Seluruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa perkataan di
atas:
aku ada buku
aku buka baju
ini buku aku
itu baju aku
Kemudian gantikan ‘aku’ dengan ‘baba’ dan ulang membacanya.
Seterusnya baca ayat-ayat ini pula:
buku dia
buku baba
buku aku/ku
Gantikan ‘buku’ dengan ‘baju’, ‘baju’, dan ‘kuku’ dan ulang bertubi-tubi dengan kad
imbasan.
e) Perkenalkan gabungan bunyi lain pula seterusnya.
i bu ibu
bu di budi
u da uda
budi ibu
budi ibuku
budi uda
di a dia
ka ki kaki
kaki dia
kaki ibu
kaki kuda
Suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunakan berbagai-bagai perkataan
yang dicipta:
ibu buku
baba uda bubu
udaku ada kuda
dia kaki kuda
buku uda
Begitulah beberapa contoh kaedah gabungan yang boleh diajar di dalam tiga, empat
hari, sejam sehari. Dalam seminggu sahaja murid-murid boleh mengenal huruf-huruf
a, e, i, o : b, d, k dan membaca suku kata, perkataan-perkataan dan ayat yang
dibentuk daripadanya.

2.5 Kesediaan Membaca


Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang untuk menerima
pengajaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Secara luas, kesediaan membaca
melibatkan sebarang aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan, sama
ada di peringkat mendirikan asas, mengukuhkan asas mahupun peringkat-peringkat
lain yang lebih tinggi.
Secara khusus, iaitu untuk kanak-kanak yang belum didedahkan dengan sebarang
aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan
mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas. Dari segi fizikal kemampuan
kanak-kanak dapat dilihat dari sudut keupayaan alat-alat sebutannya menghasilkan
bunyi-bunyi yang akan diajarkan, keupayaan matanya mengecam bentuk, dan
keupayaan pendengarannya mengecam bunyi-bunyi. Dari segi emosi, kemampuan
kanak-kanak dapat dilihat dari segi mintanya terhadap bahan-bahan bacaan (seperti
bermain dengan bahan bacaan, membelek-belek bahan bacaan, melihat bahan
bacaan, dan berminat melihat orang di sekitarnya membaca) dan minatnya untuk
mendengar bacaan, khususnya yang berupa cerita. Dari segi mental, kemampuan
kanak-kanak dapat dilihat dari segi keupayaannya mengingat apa-apa yang
diberitahu dan kebolehannya menyatakan semula apa-apa yang telah diketahuinya.
Dari segi umur, ada kanak-kanak bersedia membaca seawall umur empat tahun dan
ada pula kanak-kanak yang hanya bersedia membaca setelah berumur enam tahun.
Selain faktor fizikal, emosi dan mental, factor persekitaran amat mempengaruhi
kesediaan kanak-kanak membaca. Sebagai contoh, kanak-kanak yang terdedah
dengan pelbagai jenis bahan bacaan sejak lahir, sentiasa melihat orang di sekeliling
membaca dan ada pula orang yang membacakan buku cerita untuknya akan lebih
cepat bersedia membaca berbanding dengan kanak-kanak sebaya yang tidak
mendapat peluang yang sama.
Syed Abu Bakar (1994) menyatakan bahawa peringkat kesediaan membaca sangat
penting. Menurutnya, “Jika tahap ini tidak dapat dicapai terlebih dahulu, usaha untuk
mengajarkan kemahiran membaca bukan sahaja sia-sia, malah boleh menimbulkan
kesan yang amat buruk kepada kanak-kanak, ibubapa dan guru.” Beliau
berpendapat, konsep kesediaan membaca ini samalah dengan keadaan semula jadi
yang dialami oleh kanak-kanak dalam perkembangan otot-otot tubuh mereka.
Umpamanya sebelum mereka boleh berjalan, mereka perlu meniarap, merangkak
dan berdiri terlebih dahulu. Kebolehan menggerakkan otot-otot tertentu mengikut
urutan sebelum berjalan dapat dianggap sebagai pecahan kemahiran berjalan.
Keadaan yang sama berlaku untuk kemahiran membaca, Cuma bentuknya berbeza.
Berdasarkan pandangan Syed Abu Bakar ini dapat kita rumusan perbandingan
perkembangan kanak-kanak dengan peringkat-peringkat bacaan seperti yang di
bawah.

Meniarap (aktiviti kesediaan membaca)  merangkak ( aktiviti mendirikan kemahiran


asas membaca)  berdiri (aktiviti pengukuhan kemahiran asas membaca  berjalan (
mahir membaca peringkat rendah)  berlari ( mahir membaca peringkat tinggi)

2.6 Aktiviti Kesediaan Membaca


Syed Abu Bakar (1994) mengkategorikan aktiviti kesediaan membaca kepada dua,
iaitu peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi
kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti
koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan dan latihan bahasa
pertuturan. Peringkat bacaan meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca
ayat.
Menurut Ismail Zakaria, Salmah Othman dan Elly Chong (1992) pula, tahap
prabacaan merupakan satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan
kata lain, makna istilah tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama.
Pada tahap ini murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang mendorong mereka
mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan juga perlu
diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk kelaziman
membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah : Untuk mencapai tujuan ini,
aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam Buku Sumber Bahasa Malaysia Tahun 1 (1983)
dapat dimanfaatkan oleh para guru. Tiga kategori aktiviti disediakan, iaitu
pengamatan penglihatan, pengamatan pendengaran, dan pergerakan tangan dan
mata.

AKTIVITI PENGAMATAN PENGLIHATAN


Aktiviti Pengamatan Penglihatan 1
Menghimpun gambar benda maujud yang sama jenis, warna dan saiz.
Bahan:
Pelbagai gambar kereta, baju, lain-lain.
Aktiviti Murid:
Murid melaksanakan gambar yang telah dicampuradukkan oleh guru. Aktiviti ini
dilaksanakan secara individu, kelas dan kumpulan.
Aktiviti Pengamatan Penglihatan 2
Menggunting dan menampal berbagai-bagai gambar mengikut tajuk di papan
kenyataan atau di buku skrap kelas.
Bahan:
Gambar benda hidup, benda bukan hidup, benda yang boleh dimakan, benda yang
tidak boleh dimakan, pakaian, dan alat tulis-menulis.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru berbincang dengan murid tentang benda hidup dan benda bukan hidup.
2. Murid menyebut “benda hidup” atau “benda bukan hidup” sebagai respons
terhadap kad benda yang diimbaskan oleh guru.
3. Guru member murid kad gambar dan murid melekatkan kad itu di papan
kenyataan mengikut tajuknya seperti benda hidup, pakaian, alat tulis-menulis dan
lain-lain.
4. Murid menggunting gambar dan menampalkannya dalam buku skrap mengikut
tajuk tertentu.

AKTIVITI PENGAMATAN PENDENGARAN


Aktiviti Pengamatan Pendengaran 1
Mengetuk benda satu persatu untuk mendapatkan pelbagai bunyi dan mengecam
perbezaan bunyinya.
Bahan:
Paku, tin, batang kayu, meja, tempurung, batu.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperkenalkan benda-benda yang menghasilkan bunyi seperti tin, paku,
tempurung, batang kayu, meja dan batu.
2. Guru mengetuk benda itu satu persatu beberapa kali dan murid mendengarnya.
3. Guru mengetuk dua benda yang berlainan. Murid menyatakan sama ada bunyi
benda itu sama atau tidak.
4. Murid menyanyi lagu “Mari Bergembira” dengan meniru nyanyian daripada pita
rakaman atau nyanyian atau nyanyian guru sendiri.
Aktiviti Pengamatan Pendengaran 2
Mendengar rakaman dan menyatakan bunyi-bunyi alam seperti bunyi air mengalir,
air menitik, angin kencang, angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak.
Bahan:
Pita rakaman yang mengandungi bunyi air mengalir, air menitik, angin kencang,
angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak. Beberapa gambar carta yang dapat
disesuaikan dengan bunyi-bunyi yang diperdengarkan.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperdengarkan bunyi-bunyi daripada pita rakaman.
2. Rakaman bunyi-bunyi itu diperdengarkan sekali lagi dan murid menyatakan jenis
bunyi itu.
3. Murid-murid lain memilih gambar yang sesuai dengan bunyi yang dinyatakan.

AKTIVITI PERGERAKAN TANGAN DAN MATA


Aktiviti pergerakan Tangan dan Mata 1
Membentuk benda daripada plastisin, tanah liat atau bubur kertas dan lain-lain.
Bahan:
Plastisin, tanah liat, dan bubur kertas.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Buat satu atau dua benda daripada bahan yang diberi sebagai contoh.
2. Berikan bahan kepada murid dan minta mereka membentuk benda atau model
yang disukainya.
3. Minta murid menceritakan hasil kerja mereka.
Aktiviti Pergerakan Tangan dan Mata 2
Melakar bentuk yang sesuai dari kiri ke kanan, dari kanan ke kiri dan dari atas ke
bawah untuk membolehkan membentuk huruf.
Bahan:
Lembaran kerja, benda maujud (dulang berpasir, model pokok, model tiang bendera,
bola, manik, cawan, air), kertas pendua yang mengandungi perjalanan atau arah
yang dibuat dengan garisan putus-putus.
Aktiviti Murid:
1. Menggolekkan bola di atas dulang berpasir dengan jari dari kiri ke kanan dan
sebagainya.
2. Murid memegang cawan plastic yang penuh dengan air dengan tangan kanan dan
menggerak-gerakkan tangan kanan mereka ke kiri ke kanan dan sebaliknya. Teknik
memegang cawan dipelbagaikan.
3. Murid melakar garis pada dulang pasir dari model pokok ke tiang bendera.

3.1.2 Peringkat Prabacaan


• Kanak-kanak perlu dibekalkan pelbagai kemahiran lain supaya peringkat prabacaan
mereka dapat dilalui dengan sempurna. Berikut ialah kemahiran yang perlu diberi
perhatian;

1. kemahiran menyesuaikan bentuk-bentuk yang sama


2. memilih bentuk-bentuk yang sama dan berbeza
3. mengecam dan membiasakan diri dengan bentuk-bentuk huruf
4. mengelaskan benda atau gambar mengikut kumpulan
5. menyusun benda atau gambar mengikut urutan
6. mengecam bentuk-bentuk huruf kecil dan besar
7. memadankan huruf mengikut urutan.

• Pada peringkat ini, anda sebagai guru harus pandai merancang aktiviti yang menarik
supaya murid-murid anda dapat menguasai pelbagai kemahiran yang berkaitan dengan
berkesan. Anda boleh mengisi aktiviti prabacaan murid-murid anda dengan permainan
huruf, suku kata dan perkataan.

• Selain itu, aktiviti-aktiviti melukis dan menulis hendaklah berkait rapat dengan huruf
atau simbol yang diperkenalkan kepada murid-murid.

• Anda mesti ingat bahawa membaca tidak mungkin berlaku sekiranya murid-murid tidak
dapat mengenal pasti simbol atau perkataan serta memahami maknanya. Oleh itu,
apabila anda melaksanakan pengajaran peringkat prabacaan, anda perlu memberi
penekanan terhadap simbol dan maknanya.
• Untuk melaksanakan tujuan di atas, anda harus bijaksana memilih kaedah serta
pendekatan yang sesuai dan berkesan supaya apa-apa yang anda lakukan benar-benar
dapat menolong murid-murid anda. Antara kaedah dan pendekatan yang boleh anda
pilih adalah seperti yang berikut:

1. Kaedah Abjad
2. Kaedah Fonik
3. Kaedah Suku Kata
4. Kaedah Perkataan
5. Kaedah Ayat dan Cerita
6. Pendekatan Cerakinan
7. Pendekatan PEBAS
8. Pendekatan Gabungan Bunyi Kata
9. Pendekatan Abjad-Suku Kata

• Bagaimana anda melaksanakan pengajaran membaca peringkat prabacaan? Berikut


ialah sedikit penerangan untuk panduan anda:

1. Pastikan murid-murid mengenali huruf dan membunyikannya dengan


betul
2. Bimbing mereka menggabungkan huruf konsonan dengan huruf
vokal supaya menjadi suku kata
3. Murid-murid dilatih tubi mengeja suku kata
4. Kukuhkan daya penglihatan dan pengamatan murid-murid dengan latihan melukis
bentuk-bentuk yang menyerupai huruf dan seterusnya latihan menulis huruf.

• Setelah meneliti keterangan di atas, anda jangan lupa bahawa ada perkara yang perlu
anda ambil perhatian. Berikut ialah perkara-perkara tersebut:

1. Penguasaan bahasa lisan:


Anda mesti memastikan murid-murid menguasai bahasa lisan dengan baik supaya
mereka mampu menterjemah huruf atau lambang tulisan kepada bunyi-bunyi tertentu.
Oleh itu, bahan bacaan yang dipilih haruslah mengandungi perkataan-perkataan yang
sudah ada dalam pengalaman murid-murid.

2. Penglihatan:
Paparkan bentuk huruf secara visual dengan jelas. Cara ini akan membantu murid-murid
mengenal huruf, suku kata dan perkataan dengan cepat dalam latihan mengeja.
Seterusnya, murid-murid akan mengenal huruf dan bentuknya serta mampu mengenal
pasti persamaan dan perbezaan huruf-huruf tersebut.

3. Pendengaran:
Latih tubi mengeja suku kata perlu dilakukan untuk menajamkan
pendengaran kanak-kanak. Melalui latihan ini murid-murid dapat
mengenali bunyi-bunyi yang sama dan berbeza dalam perkataan.

4. Hubungan huruf dengan bunyinya:


Latihan mengeja hendaklah dijalankan secara sistematik supaya
murid-murid dapat menghubungkan huruf dengan bunyinya. Anda
patut mengenal pasti strategi yang menarik untuk mengelakkan rasa
jemu murid-murid apabila melakukan latihan ini.

5. Peraturan membaca dari kiri ke kanan:


Dalam tulisan Rumi, susunan dan peraturan membacanya ialah dari kiri ke kanan.

6. Gabung jalin semua aspek bahasa:


Anda perlu ingat bahawa untuk mengukuhkan kemahiran membaca di kalangan murid-
murid, anda mesti memulakannya dengan kemahiran mendengar, bertutur dan menulis
terlebih dahulu. Untuk merangsang minat murid-murid, anda boleh menjalankan aktiviti
bercerita atau menyanyi untuk mengenal perkataan-perkataan dalam pelajaran
membaca.

7. Merangsang dan menghidupkan minat murid:


Sebagai guru, anda patut mengetahui apa yang diminati oleh murid-murid anda.
Biasanya kanak-kanak amat gemar akan gambar atau kad-kad yang berwarna-warni.
Oleh itu, latihan membaca melalui aktiviti bercerita atau menyanyi perlu digandingkan
dengan alat-alat bantu mengajar yang menarik. Anda boleh memilih mana-mana alat
atau bahan yang berikut;

i. kad-kad huruf
ii. kad-kad suku kata
iii. kad-kad perkataan
iv. carta bergambar
v. pita rakaman
vi. carta huruf-huruf vokal dan konsonan
vii. carta huruf-huruf kecil dan besar dan lain-lain yang sesuai.

3.1.3 Membaca secara mekanis

• Untuk membolehkan murid-murid anda membaca secara mekanis, anda harus


mengajarkan kemahiran-kemahiran yang berikut kepada mereka;

1. membunyikan huruf dalam perkataan


2. membunyikan huruf yang ditunjukkan
3. membaca perkataan bergambar
4. mengumpulkan perkataan-perkataan yang mempunyai persamaan huruf awal
5. membaca perkataan yang sama rimanya sacara nyaring
6. memadankan perkataan yang sama sebutannya
7. mengecam dan menyebut perkataan berdasarkan bunyi huruf, suku kata atau
perkataan lain yang terkandung di dalamnya
8. membaca ayat yang mengandungi perkataan-perkataan yang telah dipelajari
9. membaca bahan-bahan bacaan secara nyaring dengan intonasi dan sebutan yang
betul

• Kemahiran-kemahiran di atas harus diajar melalui latihan atau aktiviti yang dibantu
dengan alat atau bahan pengajaran yang menarik supaya murid-murid tidak jemu.

3.1.4 Membaca dan memahami

• Pada peringkat ini, kemahiran yang diperlukan ialah kemahiran belajar dan berfikir.
Antara kemahiran tersebut adalah seperti yang berikut;

1. menyesuaikan ayat dengan gambar yang diberi


2. menggambarkan isi bahan bacaan yang dibaca dalam bentuk rajah
3. memahami peta, graf, carta, rajah, jadual dan data
4. menyatakan erti perkataan baru yang sesuai mengikut konteks
5. menggunakan perkataan yang sesuai untuk menjelaskan pendapat sendiri
berdasarkan fakta-fakta yang terdapat dalam bahan bacaan
6. menyatakan pokok persoalan dalam sesuatu ayat
7. menceritakan semula cerita yang pernah dibaca
8. memberi keterangan untuk menyokong atau menolak sesuatu penyataan
9. menyatakan satu maklumat yang menarik perhatian dalam bahan yang dibaca
10. memahami bahan-bahan berbentuk teknikal yang berkaitan dengan sesuatu ilmu
pengetahuan.

• Setelah meneliti kemahiran-kemahiran di atas, cuba anda bayangkan betapa besarnya


peranan anda sebagai guru dalam melaksanakan amanah membimbing murid-murid
supaya menguasai pelbagai kemahiran dari peringkat rendah hingga ke peringkat yang
tertinggi. Oleh itu, mulakan bimbingan anda terhadap kemahiran membaca dan
memaham dari peringkat awal lagi.

• Walau bagaimanapun anda jangan lupa pada tujuh perkara yang telah disebutkan di
atas tadi kerana tujuh perkara itu dapat dijadikan panduan untuk merancang pengajaran
peringkat-peringkat membaca yang berkesan.

3.1.5 Bacaan intensif

• Bacaan intensif ialah bacaan yang dilakukan secara teliti dengan bimbingan guru.
Penelitian akan mengambil kira aspek isi dan bahasa. Oleh itu, anda sebagai guru,
harus memberi penerangan tentang struktur perkataan yang sukar supaya murid-murid
dibantu mengembangkan perbendaharaan kata mereka.

• Proses bacaan yang meneliti aspek isi ini melibatkan kemahiran membaca kritis,
kemahiran memaham dan kemahiran mengesan idea dalam bahan bacaan yang dibaca.

• Aspek bahasa yang diteliti sewaktu membaca, mendedahkan murid-murid pada aspek
tatabahasa yang meliputi komponen morfologi dan sintaksis. Oleh yang demikian, anda
sebagai guru bahasa Melayu mesti menguasai ilmu tatabahasa supaya murid-murid
anda mendapat bimbingan semaksimum mungkin.

• Jika anda dapat membimbing murid-murid pada peringkat bacaan intensif dengan
menggunakan kaedah, pendekatan dan teknik yang berkesan, anda akan berjaya
melahirkan murid-murid yang;

1. boleh membaca dengan baik dan betul dari segi sebutan dan intonasi.
2. dapat membaca dengan lancar dan tahu menggunakan tanda bacaan yang betul
3. cekap merujuk kamus untuk mencari makna perkataan dalam ayat dan seterusnya
mengayakan mereka dengan perbendaharaan kata
4. boleh menilai dan mengulas isi atau idea yang tersurat serta tersirat dalam bahan
yang dibaca
5. dapat mengesan dan menikmati unsur estetik dalam bahan yang dibaca
6. dapat mengenal pasti pelbagai laras bahasa
7. boleh membuat rumusan atau kesimpulan daripada bahan yang dibaca

3.1.6 Bacaan ekstensif

• Bacaan ini dilakukan di luar kelas secara kendiri tanpa bimbingan guru. Murid-murid
boleh membaca bahan bacaan sebanyak mungkin dalam tempoh yang tidak terhad.

• Proses bacaan akan melibatkan penelitian indeks, daftar kata, judul, bab, kandungan
dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat umum.

• Bahan bacaan harus daripada pelbagai laras dan bidang ilmu kerana murid-murid
sepatutnya merasa puas, seronok, dan terhibur selepas aktiviti membaca tersebut.

• Walaupun bacaan ini merupakan aktiviti kendiri, anda sebagai guru perlu menggerak
dan meragsang murid-murid anda supaya menguasai kemahiran ini kerana melalui
bacaan ektensif anda dapat melahirkan murid-murid yang;

1. boleh membaca sendiri tanpa disuruh


2. lancar membaca
3. kaya dengan pengetahuan
4. minat membaca
5. tinggi daya pemikiran kreatif dan kritisnya
6. boleh menguasai dan menggunakan gaya bahasa prosa serta puisi dengan baik
7. mahir merujuk kamus dalam usaha mencari makna perkataan sukar yang ditemui
8. mempunyai kepantasan membaca dan memaham yang berkualiti.
• Anda harus memainkan peranan sebagai fasilitator. Bimbing murid-murid anda
membuat senarai semak atau catatan tentang faedah dan peningkatan yang mereka
peroleh hasil bacaan ekstensif yang telah dilakukan

You might also like