You are on page 1of 15

KAEDAH PENGAJARAN GURU MEMPENGARUHI

MOTIVASI PEMBELAJARAN PELAJAR

CHE MOHAMED PADALI BIN CHE MAT


NAZLE BINTI MOKHTAR
HABSAH BINTI MOHAMED
ASIFA BINTI ISHAK

ABSTRAK

Kertas konseptual ini membincangkan kajian literatur mengenai kaedah pengajaran guru
dan hubungannya dengan motivasi pembelajaran pelajar. Analisis ini memberi fokus
kepada kajian-kajian berkenaan keberkesanan kaedah pengajaran guru dan
kepentingannya dalam meningkatkan motivasi pembelajaran pelajar dalam satu-satu mata
pelajaran. Kepelbagaian kaedah pengajaran yang dipilih oleh guru menghasilkan
beberapa tahap motivasi yang berbeza kepada pelajar. Kesimpulan daripada dapatan
kajian menunjukkan guru yang menggunakan pelbagai kaedah pengajaran serta
mengambilkira aspek gaya pembelajaran pelajar dapat menggembirakan pelajar di dalam
kelas. Kaedah pengajaran yang berbeza menghasilkan pendekatan yang menyeronokkan
dan dapat merangsang minat pelajar untuk terus belajar. Ia juga dapat memberi semangat
dan tahap motivasi yang positif dalam kalangan pelajar. Implikasi daripada dapatan kajian
tersebut dapat digunakan untuk menyediakan garis panduan kepada guru di sekolah untuk
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efektif. Guru-guru di
sekolah juga perlu diberi latihan dan kemahiran tambahan bagi meningkatkan kualiti
pengajaran guru di dalam kelas.

ABSTRACT

This conceptual paper addresses literature review on the relationship between teachers’
teaching styles and students’ learning motivation. This analysis focuses on findings from

1
previous studies on the effectiveness of teachers’ teaching styles and their importance in
enhancing students’ learning motivation in each subject. Various teaching styles that are
chosen by teachers create different levels of students’ motivation in learning. Conclusion
from previous findings shows that teachers who implement various teaching styles by
taking into consideration students’ learning aspects create joy of learning in class.
Different teaching styles boost joyous approaches therefore develop students’ interests to
keep on study. These also inspire courageous and positive level of motivation among
students. Implication from the findings can be used to provide guidelines for teachers in
schools to incorporate teaching and learning processes more effectively. Teachers in
schools also need to be trained continuously and given added skills in order to increase
the qualities of teachers’ teaching styles in class.

PENGENALAN

Secara umumnya kaedah pengajaran bermaksud tindakan-tindakan yang guru lakukan


dalam mengendalikan proses pengajaran-pembelajaran. Dalam kaedah pengajaran
menurut ( Mok 1992 ) pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran. Iaitu cara
bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Jadi ia merupakan satu
set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan
mencapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah pengajaran ialah cara
mendekati objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun. Menurut
( Sharifah Alwiah Alsagoff, 1986 ), kaedah pengajaran ialah peredaran ke arah satu
tujuan pengajaran yang telah dirancang dengan teratur. Dalam kaedah pengajaran
menurut ( Abu Saleh, 1988 ) mengatakan bahawa kaedah ialah satu aktiviti pengajaran
yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam setiap langkah itu pula
mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Dalam kaedah pengajaran menurut
( Hassan Langgulung, 1981 ) pula mengatakan bahawa kaedah sebenarnya bermaksud
jalan untuk mencapai tujuan. Pemilihan sesuatu kaedah atau strategi haruslah berasaskan
kepada kriteria tertentu seperti gaya pembelajaran pelajar, tajuk pengajaran, jenis

2
pengetahuan atau kemahiran yang hendak disampaikan, tahap pencapaian pelajar,
persekitaran pembelajaran, nilai dan sikap yang ingin dipupuk.
Motivasi ialah proses intervensi atau keadaan dalaman seseorang yang
mendorongnya untuk bertindak.Woolfolk ( 1995 ) dalam ( Azizi, Yusof dan Kamaliah
2007 ) menyatakan bahawa motivasi bukan hanya dorongan untuk bertindak tetapi juga
mengarah dan meneruskan sesuatu tingkah laku. Terdapat dua jenis motivasi iaitu
motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Motivasi intrinsik merupakan kecenderungan
untuk mencapai atau mengatasi cabaran-cabaran kerana minat atau menggunakan
keupayaan yang ada. Seseorang yang bermotivasi intrinsik tidak memerlukan insentif
luaran, sama ada dalam bentuk ganjaran atau dendaan, untuk bekerja. Kerja berkenaan
sudah merupakan ganjaran kerana kepuasan yang dirasai. Motivasi ekstrinsik pula ialah
kecenderungan untuk melakukan sesuatu kerana inginkan ganjaran luaran seperti markah
dan gred, ataupun mengelak daripada dendaan. Ringkasnya, perbezaan asas antara kedua-
dua jenis motivasi ini ialah sebab-sebab sesuatu tingkah laku itu dilaksanakan, sama ada
berpunca dari dalam atau luar. Kertas konseptual ini memfokuskan mengenai kaedah
pengajaran guru mempengaruhi motivasi pembelajaran pelajar.

LATAR BELAKANG

Dalam merancang aktiviti pengajaran yang berkesan dan bermakna kepada para pelajar,
guru haruslah memikirkan terlebih dahulu tentang kaedah yang akan digunakan.
Pemilihan strategi secara bijaksana mampu menjamin kelicinan serta keberkesanan
penyampaian sesuatu subjek atau modul. Di antara kaedah yang boleh digunakan oleh
guru ialah :
 Kaedah sumbang saran
 Kaedah tunjuk cara ( demonstrasi )
 Simulasi atau kaedah pengajaran kumpulan
 Kaedah perbincangan atau kaedah penyelesaian masalah
 Kaedah projek

3
Kaedah projek yang diasaskan oleh John Deney misalnya, menggalakkan pelajar
mempelajari sesuatu melalui pengalaman, pemerhatian dan percubaan. Pelajar merasa
seronok menjalankan ujikaji aktiviti lain yang dilakukan dalam situasi sebenar dan
bermakna. Biasanya kaedah ini memberi peluang kepada pelajar menggunakan
kemudahan alat deria mereka untuk membuat pengamatan dan penanggapan secara
berkesan. Penggunaan contoh-contoh adalah asas dalam pengajaran dan pembelajaran
kerana ia dapat melahirkan pemikiran yang jelas dan berkesan. Biasanya seorang guru
menerangkan idea-idea yang komplek kepada sekumpulan pelajar, guru itu dikehendaki
memberi contoh-contoh dan ilustrasi. Idea yang abstrak, konsep-konsep yang baru dan
susah, lebih mudah difahami apabila guru menggunakan contoh-contoh dengan ilustrasi
yang mudah dan konkrit. Misalnya, dalam bentuk lisan iaitu dengan mengemukakan
analogi, bercerita, mengemukakan metafora dan sebagainya. Contoh-contoh boleh juga
boleh ditunjukkan dalam bentuk visual, lakaran, ilustrasi dan lain-lain.
Model awal tentang amalan pengajaran guru yang berkesan telah dikemukakan
oleh Carroll. Menurut Carroll ( 1963 ) dalam ( Shahril 2002 ), pengajaran yang berkesan
dipengaruhi oleh lima faktor, iaitu sikap, kebolehan untuk memahami pengajaran,
ketekunan, peluang dan pengajaran yang berkualiti. Jika sikap pelajar terhadap pelajaran
adalah tinggi, ia mudah untuk memahami pengajaran maka pelajar akan tekun belajar dan
akhirnya mudah untuk memahami sesuatu konsep dan kemahiran. Jika pengajaran guru
itu baik maka pelajar akan belajar dengan mudah.
Walau bagaimanapun, model Carroll mempunyai kelemahan, faktor kualiti
pengajaran dan cukup peluang masa untuk pembelajaran dianggap di bawah kawalan
guru. Sikap, kebolehan untuk memahami pengajaran dan ketekunan untuk belajar pula
dianggap di bawah kawalan pelajar. Oleh itu, kedua-dua aspek di bawah kawalan guru
dan pelajar mesti seiring untuk menghasilkan keberkesanan dalam pengajaran. Slavin
( 1994 ) dalam ( Shahril, 2002 ) telah membina model pengajaran berkesan yang baru
yang memberi penekanan hanya kepada faktor pengajaran guru sahaja. Terdapat empat
faktor yang mempengaruhi pengajaran berkesan, iaitu kualiti pengajaran, kesesuaian aras
pengajaran, insentif dan masa.

4
Kualiti pengajaran bermaksud keupayaan guru untuk menyampaikan pengajaran
atau konsep atau kemahiran yang mudah difahami dan diingat serta menyeronokkan
pelajar. Dalam kajian mengenai amalan pengajaran guru yang berkesan Shahril ( 2002 )
menyatakan guru perlu menyampaikan isi pengajaran secara tersusun dan sistematik.
Shahril juga menjelaskan guru perlu menggunakan bahasa dan penerangan yang jelas,
memberi contoh-contoh yang berkaitan , penekanan kepada isi-isi penting dan pelajaran
yang perlu dikaitkan dengan pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar serta
memberi perhatian terhadap penggunaan alat bantu mengajar bagi menerangkan sesuatu
konsep. Selain itu, objektif pelajaran hendaklah jelas dan khusus, isi kandungan adalah
mencukupi dan akhir pada sesuatu pelajaran, guru perlu mengadakan penilaian atau
peperiksaan.
Aras pengajaran yang sesuai bermaksud pengajaran mestilah sesuai dengan
kebolehan dan keupayaan pelajar. Jika aras pengajaran guru tinggi, pelajar yang lemah
tidak dapat mengikutnya, akhirnya mereka akan ketinggalan dalam pelajaran. Apabila
aras pengajaran itu rendah, pelajar-pelajar yang cerdik tidak akan memberikan tumpuan
terhadap pengajaran guru. Ini akan merugikan pelajar yang cerdik, kerana guru terpaksa
menumpukan lebih banyak masa kepada pelajar yang lemah. Salah satu cara untuk
mengatasinya ialah guru perlu mengumpulkan pelajar yang cerdik ke dalam satu
kumpulan dan pelajar yang lemah dalam satu kumpulan yang lain berdasarkan kebolehan
dan penguasaan sesuatu kemahiran. Guru juga boleh mengadakan pengajaran secara
individu.
Namun menurut Hartley ( 1977 ) dan Horak ( 1981 ) dalam ( Shahril, 2002 )
pengajaran secara individu tidak dapat menunjukkan kesan yang positif terhadap
pencapaian pelajar. Satu cara pengajaran-pembelajaran yang berkesan ialah melalui
pembelajaran secara koperatif yang mengumpulkan pelajar yang lemah dengan pelajar
yang pandai, dan pelajar yang cerdik akan membimbing pelajar yang lemah dalam
kumpulannya. Dengan itu, guru akan dapat mengajar dan memberi tumpuan sepenuhnya
kepada pengajaran. Kajian oleh Beginning Teacher Evaluation Study dalam ( Shahril,
2002 ) menunjukkan masa yang diperuntukkan kepada sesuatu mata pelajaran tidak
memberi kesan kepada pencapaian pelajar apabila masa itu diukur pada peringkat kelas.

5
Kajian oleh Kavweit ( 1989 ) dalam ( Shahril, 2002 ) tentang ‘engaged time’ atau ‘time-
on-task’ menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di dalam pencapaian pelajar
dalam bidang akademik.
Insentif bermaksud keupayaan guru untuk memberi motivasi kepada pelajar untuk
terus belajar dan menyiapkan kerja-kerja yang diberi oleh guru. Terdapat dua cara untuk
guru memberikan motivasi kepada pelajar supaya terus belajar. Pertama, guru perlu
menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat dan menyeronokkan pelajar dengan
mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pelbagai alat Bantu Mengajar (ABM). Kedua,
guru boleh memberi insentif kepada pelajar dengan cara memberikan ganjaran atau pujian
kepada pelajar yang dapat menguasai sesuatu kemahiran atau memberi dendaan kepada
pelajar yang tidak dapat menguasai sesuatu kemahiran.
Masa pengajaran-pembelajaran bermaksud masa yang mencukupi untuk pelajar
mempelajari sesuatu konsep atau kemahiran. Pada kebiasaannya, pengajaran guru
dipengaruhi oleh dua faktor masa yang diperuntukkan oleh pihak sekolah kepada guru-
guru untuk mengajar sesuatu mata pelajaran, masa tugasan atau ‘engaged time’ yang
bermaksud masa yang guru gunakan untuk mengajar dan masa yang pelajar gunakan
untuk belajar bagi mendapatkan ilmu pengetahuan atau kemahiran.
Dunn, R. dan Dunn, K. dalam bukunya yang berjudul Teaching Students Through
Their Individual Learning Styles dalam ( Naina, 2000 ) menyatakan kekaguman mereka
apabila mendapati adanya begitu banyak penulisan pada tahun 1970an yang menyokong
pendapat bahawa setiap murid belajar mengikut cara-caranya yang tersendiri, berbeza
dengan rakan sebayanya.
Berdasarkan data yang diperolehi hasil daripada kajian mereka mengenai cara-
cara bagaimana kanak-kanak dan orang dewasa belajar, Dunn dan Dunn mengkategori
gaya pembelajaran kepada 18 kategori berdasarkan unsur-unsur asas yang kemudiannya
diklasifikasikan kepada empat perkara sahaja berdasarkan rangsangan. Motivasi adalah
salah satu unsur dalam rangsangan emosional.

6
ISU, MASALAH DAN CABARAN

Abd Rahim bin Abd.Rashid, seorang tokoh pendidikan dalam ( Abdullah, 1998 )
merumuskan kaedah pengajaran guru dan pembelajaran pelajar dalam mata pelajaran
yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri seperti berikut iaitu guru perlu menyesuaikan
kaedah pengajaran dengan gaya pembelajaran pelajar dengan lebih menekankan soal
minat, intelektual, kreativiti, sikap, penghayatan dan apresiasi sesuatu mata pelajaran
dalam kehidupan pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran dalam sesuatu mata
pelajaran yang melibatkan guru dan pelajar perlu kepada cara pembelajaran dengan
menggunakan alat bantuan terkini seperti penggunaan komputer, software atau internet.
Guru perlu berkemahiran dalam membuat kajian tindakan atau pemerhatian
saintifik. Kajian saintifik perlu dibuat untuk menilai kekuatan dan kelemahan kaedah
yang digunakan. Pembelajaran akan berjalan dengan lancar, menarik dan berkesan
sekiranya guru bijak menggunakan gaya tingkahlaku dan intonasi suara, bercerita, memek
muka humor, akan menarik minat pelajar untuk mengikuti pengajaran guru secara efektif
( Mohamad Johdi, 2007).
Pelajar-pelajar perlu didedahkan atau diberi bimbingan melalui gaya pembelajaran
dengan cara pengumpulan data atau maklumat dan cara bahan itu disusun atau dianalisis.
Pelajar perlu mengaplikasikan isi pelajaran dalam situasi baru bagi menguatkan ingatan
dan mengekalkan isi pelajaran tersebut.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam sesuatu mata pelajaran perlu menarik
minat dan mencabar kebolehan pelajar. Kriteria ini amat penting menjadikan pengajaran
dan pembelajaran lebih bersifat inovatif dan kreatif untuk mengembangkan minda kritis
dan kreatif pelajar. Manakala kaedah dan metodologi pengajaran yang bersifat ‘spoon
feed’, induktif dan khutbah yang hanya mementingkan supaya murid menerima apa
sahaja yang disogok oleh guru tidak lagi sesuai dengan pembaharuan kurikulum dan
perubahan budaya belajar dan budaya mengajar pada era perkembangan informasi
makmumat yang berlaku dalam masyarakat moden.

7
Maimun dan Roslan ( 2005 ), menyatakan bahawa terdapat rungutan tentang guru
yang bersifat kurang kreatif, penggunaan bahan bantu mengajar yang membosankan dan
kaedah pengajaran yang kurang berkesan. Perkara-perkara tersebut mengakibatkan minat
pelajar terhadap sesuatu subjek berkurangan. Cara pengajaran tradisional tidak boleh
membantu pelajar dalam mempraktikkan gaya pembelajaran berkesan. Oleh itu, guru
perlu mahir memilih kaedah pengajaran yang dapat disesuaikan dengan gaya
pembelajaran muridnya seperti kaedah pengajaran inkuiri yang boleh memantapkan gaya
pembelajaran dan seterusnya meningkatkan motivasi murid untuk belajar. Gaya
pembelajaran berkesan di kalangan pelajar juga banyak bergantung kepada motivasi,
minat dan cara pengajaran yang diperkenalkan guru.
Dalam pengajaran dan pembelajaran, satu persoalan penting yang wajar diberi
perhatian , adakah guru memahami gaya pembelajaran pelajar-pelajar mereka yang
berbeza? Guru disarankan melakukan perubahan dalam gaya pengajaran mereka di bilik
darjah supaya disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar tetapi amalan para pendidik
masih lagi tidak berubah. Guru perlu mendorong inisiatif pelajar dan memberinya
peluang untuk menyumbang dalam pembelajaran diri. Guru sering meluahkan
kekecewaan atas sikap pasif pelajar menerima pengajaran mereka tanpa memikirkan
bahawa pelajar juga mungkin kecewa dengan gaya pengajaran guru. Raiff ( 1992 ) dalam
( Abdullah, 1998 ), menyatakan bahawa memahami gaya pembelajaran seseorang pelajar
dengan cara yang terbaik akan membantu guru mengurangkan kekecewaannya dan
kekecewaan pelajar tersebut.
Dalam konteks memahami sifat pelajar, gaya pembelajaran menjadi indikator
bagaimana seseorang pelajar belajar dan cara belajar yang digemarinya. Gaya
pembelajaran juga dianggap sebagai strategi pengajaran kerana pemahaman mengenai
gaya pembelajaran seseorang pelajar memberikan maklumat tentang kognisi konteks dan
kandungan pembelajaran.
Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru
Sekolah Menengah (KBSM) memberi penekanan kepada perubahan pendekatan
tradisional kepada pendekatan baru dalam proses pembelajaran di sekolah. Kurikulum

8
baru menekankan pembelajaran berpusatkan pelajar berbanding pembelajaran
berpusatkan guru.
Dalam pembelajaran individu, para guru perlu memahami gaya pembelajaran
pelajar dan menganggap perbezaan yang ada pada diri seseorang pelajar itu merupakan
keistimewaan dan mereka dapat menggunakan keistimewaan itu secara berkesan dalam
pembelajaran mereka. Satu perancangan yang teliti dan sistematis amat diperlukan
memandangkan gaya belajar individu merupakan aspek yang begitu penting dalam
pendidikan masa kini dan akan datang. Apabila kaedah, sumber dan program
disuaipadankan dengan gaya belajar pelajar, maka pencapaian akademik dan sikap pelajar
akan meningkat. Gaya belajar seseorang adalah berbeza antara satu dengan yang lain
tanpa mengambilkira umur, status sosioekonomi atau kecerdasan. Oleh itu, pengajaran
dan pembelajaran sewajarnya disesuaikan dengan gaya pembelajaran individu agar
motivasi pembelajaran meningkat.
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Tuan Haji Ahmad Mohd Said dalam Berita
Harian bertarikh 3 September 1998 dalam ( Abdullah 1998 ) , menyatakan guru bukan
sahaja mesti memiliki ilmu pengetahuan terkini tetapi perlu memahami dan menyelami
kehendak pelajar termasuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar.
Cabarannya, mampukah seorang guru memahami dan menyelami kehendak semua pelajar
yang ramai dalam sesebuah kelas.
Walaupun latihan perguruan telah melengkapkan para guru dengan pelbagai ilmu
pedagogi, namun apabila guru berdepan dengan situasi sebenar kelas mendidik 35 hingga
45 murid pada satu-satu waktu dan dalam situasi saiz bilik darjah yang kurang kondusif,
sesak dan sempit, para guru berkemungkinan besar kurang dapat memberi pertimbangan
terhadap perbezaan individu dan segala strategi yang disarankan semasa di maktab
perguruan dahulu. Kesannya, guru akan menampilkan kaedah pengajarannya yang
mungkin berbalik kepada penggunaan kaedah pengajaran terus secara kelas daripada
strategi pengajaran berpusatkan murid.
Tindakan sedemikian lebih merupakan jalan penyelesaian mudah dengan
menganggap tumpuan pengajaran harus menyeluruh yang meliputi keperluan kebanyakan
murid yang berada di bilik darjah itu. Ada banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini

9
berlaku. Alasan utama yang barangkali sering diberikan ialah matlamat belajar di sekolah
adalah untuk berjaya dalam peperiksaaan.
Laporan Penilaian ( KBSM ) yang dibuat oleh para pensyarah maktab-maktab
perguruan di Malaysia mendapati sebilangan besar guru tetap dan kekal mengamalkan
gaya pengajaran sehala “chalk and talk”. Kenyataan ini disokong oleh Jemaah Nazir yang
menjelaskan bahawa guru masih terikat dengan peranan lama mereka sebagai pengajar.
Menurut Mohd Majid Konteng ( 1997 ) dalam ( Abdullah 1998 ) guru-guru masih
membahaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ke arah peperiksaan semata-mata.
Memberi fokus kepada peperiksaan semata-mata dan kurang menumpukan kepada
pengajaran yang disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar akan menyebabkan mata
pelajaran itu kurang diminati dan pelajar hilang motivasi untuk belajar.
Pembelajaran merupakan satu proses interaksi yang melibatkan pelajar, pengajar
dan persekitaran. Interaksi individu dengan persekitaran adalah penting bagi mewujudkan
pengalaman yang pelbagai untuk terjadinya pembelajaran.
Secara keseluruhannya, Maznah dan Yoong Suan ( 1995 ) dalam ( Abdullah, 1998
) mengulas bahawa kajian tentang gaya pembelajaran amat bermakna bagi pelajar dalam
usaha memperbaiki cara belajar. Dalam kajian mereka dinyatakan berkenaan gaya-gaya
pembelajaran yang diperkenalkan oleh Watkins dan Hattie ( 1990 ) dalam ( Abdullah,
1998) iaitu dua kategori berbeza gaya pembelajaran, pendekatan mendalam dan
pendekatan permukaaan. Bagi yang menggunakan pendekatan mendalam, fokus diberikan
kepada isi kandungan dan kaitannya antara satu dengan lain dalam memantapkan
kefahaman. Manakala dalam pendekatan permukaan, penumpuan sekadar pada unsur-
unsur isi kandungan dengan teknik hafalan mekanikal yang tiada penekanan pada makna
spesifik. Menurut Biggs ( 1989 ) dalam ( Abdullah, 1998 ) pula, gaya pembelajaran ketiga
yang dikenalpasti ialah pendekatan pencapaian yang terdiri dari strategi-strategi yang
dipercayai dapat memanfaatkan diri pelajar sendiri dalam proses pembelajarannya ,
sebagai contoh peningkatan motivasi dalaman pembelajaran pelajar.
Rita Dunn dalam jurnal Educational Leadership yang bertajuk “Survey of
Research on Learning Styles” dalam ( Naina, 2000 ) telah membuktikan bahawa murid-
murid belajar dengan lebih berkesan serta berupaya pula mengekalkan apa yang dipelajari

10
dalam ingatan mereka dengan lebih lama lagi apabila murid-murid diajar berlandaskan
kekuatan pengamatan dan persekitaran pengajaran yang mengambil kira cara-cara atau
gaya murid-murid belajar.
Satu lagi perkara yang mencabar guru ialah teori kecerdasan pelbagai oleh
Howard Gardner yang berkaitan dengan verbal-linguistik, kinestatik, muzikal, logik-
matematik , visual-ruang, intrapersonal, interpersonal dan naturalistik . Guru-guru
diminta merancang pengajarannya dengan mengambilkira kecenderungan murid-murid
berdasarkan kecerdasan pelbagai.
Oleh itu amalan pengajaran-pembelajaran guru yang berkesan bermakna
pengajaran guru itu dianggap baik jika guru tersebut berupaya mempelbagaikan kaedah
pengajaran, menyediakan alat bantu mengajar (ABM), mendalami isi kandungan yang
hendak diajar. Selain itu,guru juga perlu mengetahui akan kebolehan pelajar menerima
pelajaran, memberi motivasi kepada pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, dapat
mengawal kelakuan pelajar, mengumpulkan pelajar mengikut kumpulan dan memberi
penilaian atau ujian yang kerap kepada pelajar. Dengan kata lain pengajaran-
pembelajaran yang berkesan merupakan kebolehan guru itu sendiri untuk mengajar
dengan baik dan berkesan dan dapat memotivasikan pelajar untuk terus belajar bagi
mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

RUMUSAN DAN CADANGAN

Secara keseluruhannya, kaedah pengajaran yang pelbagai melalui penggabungjalinan


beberapa kaedah dapat menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran yang diajar oleh
guru. Terdapat beberapa kaedah pengajaran yang popular dan memberi kesan yang baik
kepada pelajar seperti bercerita, lakonan dan demonstrasi. Kaedah pengajaran yang
kurang memberangsangkan akan menyebabkan pelajar bosan dan kurang melibatkan diri
dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Satu pendekatan sistematik perlu dilakukan oleh guru dalam proses perkembangan
ilmu pengetahuan melalui perkaedahan yang sesuai bagi mewujudkan pembelajaran yang
berkesan dalam bilik darjah. Guru perlu bijak merekacipta pengalaman pembelajaran

11
yang mencabar, tugasan dan teknik penilaian yang mempunyai pelbagai tahap kesukaran
serta memberi latihan secara tetap dan berterusan. Guru juga perlu mahir memadankan
kaedah mengajar dengan objektif dan gaya pembelajaran pelajar bagi menghasilkan satu
sesi pengajaran yang baik.
Guru disarankan agar meningkatkan kemahiran dalam proses pembelajaran pelajar
dengan memfokus kepada aspek-aspek humanistik dalam pengajaran seperti hubungan
dan cara berinteraksi dengan pelajar, agar mereka sentiasa bermotivasi dan melahirkan
perasaan seronok dalam diri pelajar untuk belajar.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai oleh guru dapat
meningkatkan motivasi dan minat pelajar untuk belajar. Guru perlu prihatin terhadap
pelbagai kecerdasan dalam kalangan pelajar masing-masing. Kaedah dan aktiviti yang
berbeza perlu dirancang untuk murid-murid yang berbeza kecerdasan. Contoh kecerdasan
ini perhubungan antara individu, perhubungan dengan diri sendiri, perhubungan antara
insan dan pemahaman tentang alam sekitar.
Guru perlu sentiasa mengubahsuai strategi mengikut jangkaan keberkesanan
penggunaan sesuatu kaedah. Mereka mestilah mempunyai kemahiran mengajar yang
tinggi, berpengetahuan luas dalam subjek yang diajar, mempelbagaikan kaedah mengajar
serta mahir dalam teknologi untuk menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan.
Amalan pengajaran guru yang berkesan bermakna guru tersebut merancang
pengajaran terlebih dahulu sebelum mengajar ( Shahril, 2002 ). Ini bererti guru akan
menyediakan dan menyiapkan buku rekod, berupaya mempelbagaikan kaedah
pengajaran, menyediakan alat bantu mengajar (ABM), membuat rujukan bagi mendalami
isi kandungan yang hendak diajar supaya pengajaran guru itu menyeronokkan, dan dapat
menarik minat pelajar untuk terus belajar. Selain itu, guru juga perlu mengetahui akan
kebolehan pelajar menerima pelajaran atau aras pelajaran, memberi motivasi kepada
pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, dapat mengawal kelakuan pelajar dan dapat
memberi penilaian atau ujian yang kerap kepada pelajar.

12
Kaedah pengajaran guru menjadi milik personal guru ( Naina, 2000 ). Setiap guru
ada cara mengajar yang tersendiri. Namun begitu, kaedah pengajaran guru harus ada
hubungkait yang rapat dengan gaya pembelajaran pelajar.
Dapatan kajian ini menunjukkan cara pengajaran guru mestilah sesuai dan
berpadanan antara kaedah pengajaran dan stail belajar pelajar. Dengan itu, proses
pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan bagi
meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan dalam menghadapi cabaran zaman sains dan
teknologi. Pelajar juga dapat memahami kecenderungan, kekuatan dan kelemahan sendiri
dalam gaya pembelajaran yang diamalkan oleh mereka.

PENUTUP

Guru memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan objektif pengajarannya
di dalam kelas dapat dicapai. Penggunaan kaedah pengajaran yang berkesan merupakan
suatu cara supaya pelajar dapat memahami pengajaran guru. Guru perlu menggunakan
kaedah pengajaran yang pelbagai kerana setiap pelajarnya mempunyai minat dan
kebolehan yang berbeza. Perbezaan minat dan kebolehan pelajar tersebut perlu
digerakkan dengan menimbulkan motivasi dalam diri pelajar tersebut terhadap
pelajarannya. Motivasi dapat menjadi tenaga penggerak kepada pelajar di samping dapat
menjadi pencetus minat pelajar untuk belajar. Kepelbagaian kaedah pengajaran akan
dapat merangsang motivasi untuk bersaing dengan pelajar lain.

13
RUJUKAN
Abdullah Mohd Noor.1998. Pengajaran dan Pembelajaran: Isu, Strategi dan Pendekatan
dalam Pendidikan. Kertas kerja dibentangkan di Maktab Perguruan Perempuan
Melayu, Melaka. 26 September.
Abu Saleh & Muhibuddin Ahmad. 1988. Asasiyat fi turuq al-tadris al-‘ammah.
Kaedah Pengajaran.
http://pendislami.tripod.com/kaedah-pengajaran.htm ( 8 Oktober 2010 ).
Anuar, A., Siti Haishah, A.R. & Nur Atiqah, A. 2009. Tahap Keupayaan Pengajaran
Guru Sejarah dan Hubungannya dengan Pencapaian Murid di Sekolah Berprestasi
Rendah. Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1) : 53 - 66
Azizi Yahaya dan Syazwani binti Abdul Razak. 2008. Hubungan Antara Gaya
Pembelajaran dan Kaedah Pengajaran dengan Pencapaian Mata Pelajaran
Pengajian Kejuruteraan Awam di Sekolah Awam di Sekolah Menengah Teknik **
Azizi Yahaya, Yusof Boon & Kamaliah Noordin.2007. Hubungan antara Konsep
Kendiri, Motivasi dan Gaya Keibubapaan dengan Pencapaian Pelajar.
Jurnal Pendidikan ** : 1-17.
Hassan Langgulung. 1981. Beberapa Tinjauan dalam Pendidikan Islam.
Kaedah Pengajaran.
http://pendislami.tripod.com/kaedah-pengajaran.htm ( 8 Oktober 2010 ).
Maimun, A.L. & Roslan, A. 2005. Kaedah Pengajaran Pengetahuan Agama Islam di
Brunei Darussalam, Jurnal Pendidikan 30: 141 – 150.
Mok Song Sang. 1992. Pedagogi 2: Strategi Pengajaran Pembelajaran Mikro.
Kaedah Pengajaran.
http://pendislami.tripod.com/kaedah-pengajaran.htm ( 8 Oktober 2010 ).
Mohamad Johdi Salleh.2007. Guru Efektif dan Peranan Guru dalam Mencapai Objektif
Persekolahan Sekolah Rendah: Perspektif Guru Besar. **
Mohd Aderi, C.N. & Rohani A.T. 2009. Persepsi Pelajar Terhadap Amalan Pengajaran
Tilawah Al-Quran. Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1) : 93 -109.

14
Naina Mohd b. Md.Noor. 2000. Stail Pengajaran Guru dan Gaya Pembelajaran Murid.
Jurnal Pendidikan TigaENF 2(3) :**
Nor Aishah Buang & Yap Poh Moi. 2002. Kesediaan Guru-Guru Perdagangan di
Wilayah Persekutuan dari Aspek Pengetahuan Kaedah Pengajaran dan Sikap
Terhadap Pengajaran Subjek Pengajian Keusahawanan. Jurnal Teknologi 37(E): 1-
16.
Norlia Abd.Aziz, T.Subahan M.Meerah, Lilia Halim & Kamisah Osman. 2006.
Hubungan Antara Motivasi, Gaya Pembelajaran dengan Pencapaian Matematik
Tambahan Pelajar Tingkatan 4. Jurnal Pendidikan 31: 123-141.
Shahril @ Charil bin Marzuki.2002. Amalan Pengajaran Guru yang Berkesan:
Kajian di Beberapa Sekolah di Malaysia. **
Sharifah Alwiah Alsagoff. 1986. Ilmu Pendidikan : Pedagogi. Kaedah Pengajaran.
http://pendislami.tripod.com/kaedah-pengajaran.htm ( 8 Oktober 2010 ).
Teori Pembelajaran dan Pengajaran.Wikipedia Bahasa Melayu, Ensiklopedia Bebas.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Teori-pembelajaran-dan-pengajaran ( 9 Oktober 2010 ).

15

You might also like