You are on page 1of 16

1.

PERBICANGAN KARANGAN BAHAGIAN  B


(LANGKAH-LANGKAH MENERAPKAN SEMANGAT SATU MALAYSIA DALAM KALANGAN MASYARAKAT)

PENERAPAN FORMAT WAWANCARA


Anda telah ditugaskan untuk mewawancara Perdana Menteri Yang Amat Berhomat Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak tentang " Satu
Malaysia" yang diutarakan oleh beliau. 
sediakan teks wawancara tersebut.

SATU MALAYSIA’
Disediakan Oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara

PENGENALAN SATU MALASYIA


Rakyat Malaysia  terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan
bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuh bagi
mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd  Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, ialah langkah yang  bertepatan
dengan suasana dan cita rasa rakyat.  Konsep ini selari dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-
Prinsip Rukun Negara
 
Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan ialah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling
mempercayai antara kaum. ‘

Slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati,
penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti. 

. NILAI-NILAI 1  MALAYSIA
Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap
dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara.  Lapan nilai-
nilai tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

.1. BUDAYA KECEMERLANGAN


Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian
masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau
kemajuan.
.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan
kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.
.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam
sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

.2. KETABAHAN
Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan
kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.
.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.
.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik
mencapai sesuatu matlamat.
.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-
perkara yang terdahulu.
.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji  kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.
.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya
2.6 Dalam   menangani kegagalan,  pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu  diambil bagi menghasilkan perubahan  yang lebih besar dan
menakjubkan
2.7Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

3 RENDAH HATI
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat
digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.
.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.
.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat 
Malaysia.
.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang
teguh terhadap sesuatu prinsip.
.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.
.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan
kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

.4. PENERIMAAN
Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan
memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa.
Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak
tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.
.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.
.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang
terbaik daripada kaum Melayu,  Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan
tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.
.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1
Malaysia’.
.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat
seseorang.
.5 KESETIAAN
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib
dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi.  Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada
negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan,
kecemerlangan dan.
.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan
ketua akan mengalami kehancuran.
.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.
.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan
kawan, keluarga atau pemimpin.
5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara
betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.
.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan
kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.
.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.
.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap
perhubungan.
.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang  kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan
kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

6.0  MERITOKRASI
Meritokrasi merupakan satu hala tuju  yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi
kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.
.6.1  Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
   atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan  pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru  adalah menjadi 
tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..
.6.2 Meritokrasi menekankan  persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi 
kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.
.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi
Malaysia  dalam semua bidang.
.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya
hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.
.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang
menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran
terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.
.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

 .7  PENDIDIKAN
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan  adalah
berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.
7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai  minda yang sentiasa terbuka.
7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.
7.7.4 Semua aliran, sama ada  sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi 
dengan mengadakan aktiviti bersama.
7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran  hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk
satu Malaysia.

.8 INTEGRITI
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan  diperoleh  melalui
nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak  daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.
8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.
.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.
.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang
sempurna.
.8.4 Menepati janji  dan masa  adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan
kesetiaan.
.8.5 Menerima kritikan dan teguran  dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan 
dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan
.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.
.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan.  Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala
kepentingan lain.  Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

8. KESIMPULAN
Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin
perpaduan yang lebih erat  sebagaimana kehendak  prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan
adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa
segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia
adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati  pembangunan dan pembelaan
daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu
untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat
adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang
membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan
kepercayaan dari pelbagai negara.  Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi
dan kesetiaan.

Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan
(sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

Sumber:

1.  www.1Malaysia.com.my
2. Akhbar-akhbar tempatan
3. Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
PANDUAN PENULISAN TEKS WAWANCARA

Saya wartawan Syarikat akhbar______________telah ditugaskan untuk (menemuramah/ menemu ramah) Perdana Menteri Yang Amat
Berhormat Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak tentang Satu Malaysia. Temu ramah tersebut telah dijalankan di
_______________________. Berikut merupakan hasil temu ramah antara Perdana Menteri dengan saya.

Wartawan:    Apa khabar Yang Amat Berhormat?

Perdana Menteri: Khabar baik. Jemputlah duduk.

Wartawan:     Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada _______________kerana sudi ____________________untuk
_____________isu tentang Satu Malasyia. Mengapakah konsep Satu Malaysia perlu disuntik dalam kalangan masyarakat negara kita?

Perdana Menteri: Ya, memang tidak dapat dinafikan Satu Malaysia membawa __________kepada bangsa dan negara. Kini, peredaran masa
amat menuntut rakyat bersatu padu dan pemimpin yang berwibawa. Oleh itu, slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' mesti
dijiwai oleh rakyat dan pemimpin untuk membangunkan negara dan sejurusnya membawa kesejahteraan sejagat.

Wartawan:   Apakah kayu pengukur yang digunakan untuk menjayakan Satu Malaysia?

Perdana Menteri:  Sebenarnya, lapan nilai murni telah dijadikan_________untuk (menyatupadukan/ menyatu padukan) rakyat Malaysia
dengan fikiran dan tindakan yang menjurus satu matlamat, iaitu untuk negara. Antara lapan nilaitersebut
ialah_______________________________________________________.

Wartawan:     Bagaimanakah rakyat Malaysia dapat membawa budaya kecemerlangan dalam kehidupan mereka?

Perdana Menteri:  Masyarakat negara kita amat bergantung pada budaya yang diamalkan oleh rakyatnya. Budaya cemerlang mementingkan
_________________. Oleh itu, ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat penting untuk negara kita. Misalnya, negara luar
akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan________________.

Wartawan: Nilai penerimaan berbeza dengan konsep bertolak ansur, mengapa?

Perdana Menteri:   Konsep penerimaan amat berbeza dengan konsep toleransi. Penerimaan menunjukkan sikap atau perlakuan yang positif
menerima sesuatu _______________________________. oleh itu, nilai penerimaan amat penting dan diperlukan untuk
membina________________.

Wartawan: Bolehkah Yang Amat Berhormat menerangkan nilai penerimaan dengan lebih lanjut? ( menerangkan dengan lebih lanjut)

Perdana Menteri:  Sudah tentu boleh. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai _____________ sudah tentu mewarisi adat resam tersendiri.
Misalnya, kaum Melayu atau bangsa lain tidak akan memakai baju hitam bertandang ke rumah kaum Cina semasa perayaan Tahun Baru
Cina. Hal ini disebabkan warna hitam petanda___________. Dalam situasi ini, kaum Melayu menerima ada resam kaum cina dengan hati
yang ikhlas.

Wartawan: Nilai kesetiaan terhadap raja dan negara merupakan ramuan untuk merealisasikan (mencapai) Satu Malaysia. Apakah komentar
Yang Amat Berhormat terhadap pernyataan ini?

Perdana Menteri: Prinsip kesetiaap terhadap raja dan negara ialah prinsip kedua dalam Rukun Negara yang wajib dipegang erat oleh setiap
rakyat. Oleh itu, rakyat perlu membina kepercayaan dan menjalinkan perhubungan yang kukuh dengan pemimpin.  Rakyat tidak akan
_________________negara sehingga menjejaskan kesejahteraan bangsa. Sejarah hitam negara, peristiwa 13 Mei 1969 tidak akan berulang
pada zaman ini sekiranya rakyat tidak membangkitkan sentimen perkauman.

Wartawan: Rasa setakat ini sahaja yang ingin saya persoalkan untuk sesi ini. Sebelum mengakhiri wawancara  pada hari ini, apakah
cadangan dan harapan Yang Amat Berhormat terhadap Satu Malaysia?

Perdana Menteri: Saya amat memerlukan _________________semua pihak untuk ________________. tanpa sokongan padu daripada
semua pihak, Satu Malaysia hanya tinggal sebagai usul yang dibentangkan dalam Parlimen sahaja
Soalan esei:

Seorang ibu yang baru sahaja hamil dua bulan telah menimpa maut akibat diancam oleh peragut. Isu peragut telah berlaku sejak dahulu tetapi
dipandang remeh oleh masyarakat. Kini, kes ragut bukan sahaja melibatkan wang dan harta malahan nyawa yang tidak berdosa. Anda
merupakan pegawai Kementerian Pembangunan Wanita telah ditugas untuk menyediakan laporan tentang punca-punca kes peragut dan
langkah-langkah yang wajar diambil.
Sediakan laporan tersebut dengan selengkapnya.

5/24/09

   Laporan tentang Punca-punca Kes Ragut dan Langkah-langkah Membendungnya

1.0 Pendahuluan
( Dalam bahagian ini anda huraikan kes-kes ragut yang berlaku baru-baru ini.
-nyatakan kes ragut semakin serius jika dibanding dahulu
-nyatakan gelagat peragut semakin berani dan bermaharajalela untuk melakukannya
-nyatakan kehendak soalan, " Saya diberi tugas menyediakan suatu laporan tentang faktor-faktor kes ragut dan langkah-langkah
membendunya.

2.0 Faktor-faktor
2.1 Peragut terdiri daripada penagih dadah
-anda perlu huraikan peragut menagih dadah sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mendapat dadah
-peragut hilang kewarasan dalam pertimbangan
-tindakan mungkin memudaratkan mangsa, nyawa terancam
2.2 Mangsa leka akan keselamatan diri dan tidak peka akan penjenayan di sekeliling mereka
-nyatakan mangsa terutama wanita meletakkan diri dalam keadaan bahaya.
-terutama pejalan kaki
-memakai barang kemas yang menarik perhatian suspek
2.3 Kawasan tumpuan orang ramai yang amat strategik
- nyatakan kawasan tumpuan orang ramai, mangsa sukar mengecam peragut
- berlaku dengan pantas kerana mereka sudah mahir dengan kedudukan tempat tersebut
- masyarakat yang bersikap individualistik, tanpa mengambil tahu kejadian yang berlaku di sekeliling mereka
- sikap tidak menjaga tepi kain orang lain

3.0 Langkah-langkah membendungnya


3.1 Hukuman terhadap peragut perlu dikaji semula
-nyatakan peragut memandang remeh terhadap hukuman yang bakal dikenakan kerana tidak cukup untuk menggerunkan mereka
-peragut yang bukan sahaja meragut harta benda malahan mengancam nyawa yang diakhiri dengan maut perlu dikenakan hukuman yang berat
agar setimpal dengan perbuatan mereka
-hukuman dan undang-undang yang dikuatkuasakan perlu diproklamirkan melalui media massa agar diketahui umum
3.2 Masyarakat perlu peka terhadap jenayah
-masyarakat perlu menjaga tepi kain orang lain
-masyarakat perlu bertindak sebagai "Rakan Cops" ---melaporkan kejadian dengan segera
-atau melakukan sesuatu yang boleh menakutkan peragut yang cuba meragut mangsa
-mengamalkan ciri-ciri keselamatan

4.0 Kesimpulan
-kes ragut perlu dipandang serius
-kes ragut merupakan penyakit sosial yang mudah merebak sekiranya vaksin menghalang masalah ini tidak disuntik dalam kalangan
masyarakat
-semua pihak menggembleng kudrat ---membendung masalah ini…

Laporan disediakan oleh,                    x Mei 2009.

______________________
(NAMA HURUF BESAR)

Nyatakan Jawatan anda.


MAKLUMAT AM UNTUK BACAAN ANDA!

ARTIKEL TENTANG KES RAGUT: SUMBER E-BERITA

ARKIB : 07/05/2009

Ajar peragut dengan hukuman berat

SUNGGUH sedih dan malang menimpa dua buah keluarga masing-masing di Johor dan Kelantan apabila dua wanita yang mengandung maut
di tangan peragut. Begitu juga nasib warga emas di Pulau Pinang yang menjadi korban peragut.

Dalam hal ini, pihak berkuasa yang menjaga keselamatan dan ketenteraman rakyat perlu bertindak segera.

Untuk itu juga kerajaan kena mengambil pendekatan di luar daripada kebiasaan. Kita tidak mahu lagi mendengar apabila berlakunya kes-kes
baru yang didedahkan oleh media massa, maka kita dibentangkan dengan pelbagai kaedah penyelesaian untuk menangani isu berkenaan.

Sebenarnya isu ragut hingga membawa maut sudah lama diperkatakan. Perbincangan ini bagaikan sekejap panas, sekejap sejuk.

Sehingga kini, kita masih belum berjaya menangani kedua-dua masalah ini.

Ke mana semua cadangan tentang penyediaan pendidikan agama, pusat-pusat didikan dan kaunseling dan pelaksanaan undang-undang yang
lebih ketat yang heboh dibincangkan suatu masa dulu apabila masalah ini timbul.

Untuk menangani masalah ini dalam jangka pendek, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang
berkaitan perlu diteruskan dalam mengatasi  jenayah ragut di negara kita.

Untuk pelan jangka panjang, kerajaan perlu memikirkan undang-undang lebih ketat sebagai langkah-langkah untuk membendung punca yang
membawa kepada masalah ragut.

Kita menggesa kerajaan bertegas dan pastikan undang-undang yang ingin digubal atau dipinda meletakkan nilai denda atau hukumannya amat
menggerunkan penjenayah atau pesalah.

ARKIB : 20/05/2009

Polis yakin selesai kes ragut wanita hamil


JOHOR BAHRU 19 Mei - Polis yakin dapat menyelesaikan kes ragut yang mengakibatkan kematian seorang wanita hamil dua bulan, Jamilah
Selamat (gambar), 31, di Taman Ayer Hitam, Batu Pahat, 3 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, keyakinan itu berikutan pihaknya telah mengenal pasti suspek dan seorang lagi
rakannya yang membeli barang curi milik mangsa.
"Suspek berusia 26 tahun ditahan di Behrang Jaya, Batu Pahat, empat hari selepas kejadian.
"Ketika ditahan, suspek dalam keadaan khayal kerana mengambil dadah jenis Eramin 5 dan bersamanya turut ditemui sebuah motosikal curi,"
katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, suspek merupakan bekas banduan dan memiliki enam rekod jenayah berkaitan curi serta ragut sejak 2003 dan satu
kes ceroboh rumah pada 2006.

**********************************************************************
ARKIB : 22/06/2004

Elak jenayah - Wanita perlu memperkasakan(menguatkan) diri

Oleh Normala Hamzah

SEJAK dahulu masyarakat tidak ambil kisah tentangn kes ragut biarpun ada kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai
dan barang kemas.
Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut
sebagai satu jenayah serius yang akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia.
Kematian dua wanita, Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut beg tangannya
di Brickfields dan seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau Chong See Cheng, 37, pada 14 Jun 2004 menyedarkan masyarakat bahawa
jenayah ragut bukan lagi isu remeh sebaliknya jenayah yang harus diberi perhatian serius khususnya oleh kaum wanita.

Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian.

Banyak pihak apabila memperkatakan tentang jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana leka dan tidak peka kepada
jenayah yang akan dihadapi oleh mereka.

Menurut mereka peragut terpanggil melakukan jenayah kerana didorong oleh penampilan mangsa yang membawa beg tangan dengan penuh
gaya tanpa memikirkan keselamatan atau memakai barang kemas yang tidak sepatutnya semasa berada di tempat awam.

``Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya. Contohnya apabila hendak ke tempat
meletak kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan sesuatu apabila diserang,'' ujarnya.

Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan keliling serta mengawasi orang-orang yang mencurigakan di samping berusaha
mendapatkan maklumat tentang cara-cara mengendong beg yang betul, cara berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak
perlu.

``Contohnya apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg tangan yang dipegang atau dikendong berada pada sebelah kiri. Ini bagi
menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk merentap beg tangan yang sedang disandang atau dipegang itu,'' nasihatnya.

Sehubungan itu, beliau turut bersetuju wanita mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan dengan peragut sekiranya mengalaminya.
Mahmood turut menasihati wanita supaya tidak membawa dokumen penting dan wang tunai yang banyak di dalam beg tangan kerana peragut
lebih gemar meragut beg tangan berbanding barang kemas.

``Sekiranya ternampak seakan-akan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan anda berada, segeralah bertindak dan berusaha untuk
menghalangnya. Jangan hanya menjadi pemerhati.

``Saya juga berharap undang-undang untuk pesalah kes ragut ini ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka yang mungkin akan
melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum melakukannya,'' jelas Mahmood.
peragut adalah mereka yang yang suka mencuri.
Seperkara yang perlu diingati oleh wanita adalah bertindak bijak semasa diserang tetapi jangan melawan untuk keselamatan diri.

``Apabila diragut, elak diri daripada bergelut dan sebaik-baiknya lepaskan beg yang disentap kerana menjadi resam peragut akan berusaha
mendapatkan apa-apa yang mereka ingini. Jika terus melawan, kemungkinan mangsa akan tercampak atau berpusing-pusing, langkah terbaik
adalah sentiasa berhati-hati.

Berpeganglah kepada pepatah, berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.

Utusan Malaysia
 01 Jun 2004
**********************************************************************

Rencana kes ragut


Oleh Najibah Hassan (Wartawan Utusan)
 Membanteras jenayah ragut bukan satu perkara mudah. Ini kerana, modus operandinya berlaku terlalu pantas, hanya dalam beberapa saat
saja si peragut `berjaya' melepaskan diri.

Jenayah ragut juga dikenali sebagai `jenayah oportunis' kerana mereka biasanya menyamun atau meragut mangsanya di tepi-tepi jalan.

``Peragut yang sinonim sebagai perompak di tepi-tepi jalan ini mempunyai identiti profil yang tersendiri.

``Ini kerana sebahagian besar daripada mereka ialah pengguna dadah (drug user),'' kata Pensyarah Kriminologi, Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan, Pusat Pengajian Sains, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. P. Sundramoorthy.

Menurut beliau, pengguna dadah berbeza dengan penagih. Pengguna dadah, ingin mendapatkan duit yang cepat, biasanya adalah golongan
yang `terdesak'. Jadi, apabila seseorang dalam keadaan terdesak, mereka sanggup melakukan apa-apa saja, sekalipun hasil yang diperoleh
tidak lumayan.

``Meragut bukanlah satu jenayah yang menghasilkan pendapatan lumayan, kerana adakalanya mereka memperoleh RM30 saja. Tetapi, jumlah
tersebut sudah cukup untuk membeli apa-apa yang dihayati oleh mereka`'' jelasnya.

Biasanya, kata Sundramoorthy, dalam sebahagian besar kes-kes jenayah, mereka yang terlibat adalah lelaki yang berusia dalam lingkungan
antara 20 hingga 40 tahun.

Mengulas berhubung kes-kes ragut lebih kerap berlaku di bandar-bandar, Sundramoorthy ketika dihubungi memberitahu, populasi di luar
bandar yang lebih kecil dan si pelaku mudah dicam, tidak merangsang jenayah ini.

Berbeza dengan situasi di bandar, selain populasi yang ramai dan persekitaran kelam kabut, peragut berpeluang melakukan jenayah ini dengan
mengelirukan mangsa. Malah, orang ramai yang menyaksikan insiden seperti ini sukar membantu mengecam si peragut.

Tambah beliau, di Kuala Lumpur juga banyak jalan dan simpang yang memudahkan peragut melarikan diri.

Dalam menangani jenayah ragut, setiap orang mungkin perlu mengamalkan budaya `menjaga tepi kain orang'.

Menangani jenayah, ialah urusan dan tanggungjawab semua orang. Hanya dengan meletakkan `beban' kepada pihak polis untuk
menyelesaikannya, bukan cara yang berkesan. Ini kerana, jenayah ragut saling berkait antara si peragut, orang yang diragut, orang ramai yang
melihat kejadian dan pihak polis.

Beliau percaya, gabungan kesedaran orang ramai, pelaksanaan undang-undang yang proaktif dan konsep bandar selamat antara jalan keluar
yang membantu berdepan dengan dilema ini.

Dengan meletakkan papan tanda di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi, sekurang-kurangnya dapat membantu orang ramai lebih berjaga-
jaga dengan jenayah ini.

Memang mendukacitakan, apabila mereka yang pernah `menyaksikan' kes-kes ragut hanya mendiamkan diri dan enggan tampil memberi
maklumat.

Sundramoorthy tidak menafikan, `sikap enggan ambil tahu' atau `bukan urusan aku' dalam kalangan masyarakat hari ini semakin
membimbangkan.

Menurutnya, sekalipun mangsa menjerit meminta tolong, orang ramai yang berhampiran hanya melihat saja apa-apa yang berlaku, tanpa
sebarang inisiatif.

``Semakin membangun sesebuah negara itu, semakin ketara perubahan sosialnya kerana masyarakat akan menjadi lebih individualistik.

************************************************************************

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengkaji pelbagai cadangan bagi mencegah jenayah
ragut di kota raya, termasuk rancangan membanyakkan jejambat pejalan kaki, membangunkan banyak pokok renek untuk laluan motosikal, di
samping menghadkan laluan buat motosikal.

 Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata beliau sudah mengarahkan pegawai DBKL membuat kajian dengan sebuah
institusi berkaitan perkara itu.

 Katanya bagi usaha penanaman pokok sebagai penghadang buat laluan motosikal, usaha ini sudah dilaksanakan di beberapa laluan di pusat
bandar, dan langkah itu akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain jika ia didapati berkesan.

 "Penanaman pokok renek dapat menghadang motosikal daripada masuk ke laluan pejalan kaki, dan secara tidak langsung ia dapat mengelak
jenayah ragut daripada berlaku," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini Rabu.

n BERNAMA

APAKAH LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN DARIPADA KENA RAGUT ?


   •    Selalu gunakan jalan dan lorong yang ramai orang lalui.  Jangan berjalan atau bersiar-siar di tempat gelap.
   •    Jika terpaksa keluar di waktu malam cuba bawa teman.
   •    
Jangan memakai barang-barang kemas dengan  banyak. Elakkan daripada meletak beg duit anda di dalam raga membeli-belah atau di atas 
kaunter.
   •    
Silangkan beg tangan anda di bahu dan  berjalan di sebelah kanan jalan bertentangan dengan  laluan laulintas.
   •    Hendaklah berwaspada selalu, andainya anda merasai seseorang  yang mencurigakan mengekori anda, hendaklah dengan segera
menuju ke tempat lain.
   •    Semasa membeli-belah di tempat yang sibuk gengam beg duit  dengan kuat atau sembunyi beg itu di tempat yang tidak terdedah.
   •    Berjalan di atas kaki lima kedai supaya dapat mengelakkan  diri dari diragut oleh pembonceng motosikal.
   •    Jikalau membawa anak-anak kecil ke bandar, tanggalkan  barang-barang kemas yang di pakai olehnya.
   •    Jangan berasak-asak apabila menaiki / turun bas, keretapi,  panggung wayang atau tempat sesak supaya dapat mengelak daripada kena
ragut.
   •    Bila menggunakan lif, pastikan ada orang bersama anda atau  cari orang yang anda biasa. Jika ada orang mengekori anda dan anda
mencurigai orang itu,  keluar dari lif dengan segera.

Statistik jenayah ragut dalam enam bulan pertama tahun ini secara puratanya 26.33 kes sehari amat mengejutkan dan membimbangkan. Data
ini diperolehi dari sejumlah 4,766 kes dalam tempoh yang sama. Jumlah ini direkodkan adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh
mangsa jenayah ragut. Yang tidak melaporkan kepada polis tidak dinafikan banyak juga. Kesimpulannya jenayah ini meningkat saban tahun.
 
Lebih menyedihkan jenayah ragut kini melibatkan pula jenayah kekerasan dan kematian. Sungguh sedih mendengar berita apabila mangsa
ragut terbunuh akibat mempertahankan barangan miliknya dari diragut oleh penjenayah. Peragut kini seolah-olah sudah dirasuk hantu apabila
sanggup membunuh walaupun diketahui barangan yang diragut tidak setimpal dengan "kerja" yang dilakukan. Mereka seolah-olah sudah
terdesak sehinggakan sanggup membunuh kerana sebuah telefon bimbit dan wang seratus ringgit. Inilah yang terjadi kepada pelajar Kolej
Tunku Abdul Rahman yang terbunuh selepas ditetak dengan parang.
Soalan : Aktiviti anak muda yang suka berlumba motosikal haram kian menjadi-jadi. Bincangkan usaha-usaha untuk mengatasinya.

Pendahuluan
-   Apabila kita berkereta bersama keluarga pada malam minggu, sudah pasti kita akan terserempak dengan kegilaan anak muda berlumba
motosikal.
-   Di tepi-tepi jalan pula terlihat sekumpulan penonton memberi sokongan kepada anak muda yang kehilangan arah ini agar berterusan
menempuh maut.
-   Pada hari persekolahan pula, apabila loceng terakhir berbunyi sahaja, pelajar yang sesetengahnya tidak berlesen akan memecut motosikal
yang dipandu melepasi pintu pagar alma mater.
-   Di media akhbar pula, kita sudah lali dengan berita penunggang motosikal yang maut gara-gara mahu menjadi juara.
-   Antara keseronokan dan maut yang menanti, anak muda lebih suka memilih maut yang tersedia di garisan penamat
-   Mereka bersikap keras kepala dan nasihat yang diberi seperti mencurahkan air ke daun keladi atau masuk telinga kanan ,keluar telinga kiri.
-   Menurut kata Nicolas Amelot De La Houssave ‘Nasihat yang terbaik diberikan oleh pengalaman tetapi biasanya nasihat itu datangnya
terlalu lambat’.
-   Oleh sebab jumlah kematian semakin meningkat akibat kegilaan anak muda yang berlumba motosikal secara haram maka kajian
mendalam harus dijalankan untuk meninjau langkah-langkah drastik yang perlu diambil untuk mengatasi kemelut ini?

1.   Pengaruh media massa


-   Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini,iaitu membiarkan insiden lumba haram yang semakin berleluasa.
-   Kita seharusnya mengorak langkah untuk membendung masalah lumba haram daripada terus berlaku.
-   Sesunggahnya, pengaruh media massa memainkan peranan yang  penting dalam hal ini.
-   Ini adalah sebab, pengaruh media massa di negara ini, khususnya dan seluruh dunia amnya begitu kuat sekali ibarat tarikan magnet ke
atas besi dan kenyataan ini sememangnya tidak dapat disangkal.
-   Pihak media massa perlulah menyiarkan setiap kemala¬ngan yang berlaku tanpa menyelin¬dungkan kebenaran yang terdetik.
-   Ini penting bagi mewujudkan keinsafan dalam diri golongan remaja supaya mematuhi undang-undang jalan raya, bukannya berpaksikan
nafsu dan "darah muda" mereka sahaja apabila berada di jalan raya.
-   Contohnya, kemalangan-kemalangan tragis yang melibatkan kematian-kematian yang ngeri perlu disiarkan untuk me¬nimbulkan perasaan
takut dalam diri golongan remaja.
-   Hal sedemikian boleh menyedarkan remaja bahawa tindakan ini boleh memudaratkan diri sendiri atau pengguna jalan raya yang lain.
-   Dengan itu, negara kita akn bersih daripada kemelut sosial yang tidak sihat ini.
-   Bak kata peribahasa, ‘Hati hendak semua jadi.”

2.   peranan pihak polis dan JPJ


-   Ketua polis telah mengarahkan semua anggota polis iaitu selain daripada anggota trafik turun padang untuk menyaman pesalah trafik.
-   Pihak polis membuat serbuan mengejut pada waktu malam untuk mengheret pelumba haram dan penonton ke balai polis melalui Operasi
Rhino.
-   Selain itu, sesetengah mereka yang diberkas kerana kesalahan tidak memiliki lesen memandu, kenderaan tanpa cukai jalan, dan
mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan pengangkutan Jalan.
-   Mekanisme kawalan seperti  hukuman penjara atau denda telah dikena terhadap penunggang dan pembonceng supaya mereka tidak
bersikap sudah terantuk baru tengadah .
-   Di samping itu, mereka juga akan dibawa ke rumah mayat dan hospital untuk melahirkan keinsafan diri mereka.untuk mengelakan kemelut
ini menjadi semakin serius.Bak kata pepatah “kecil api menjadi kawan ,besar menjadi lawan”
-   Pada masa yang sama pihak penguatkuasa harus menggunakan peralatan yang canggih termasuk kamera digital, video dengan gambar
kaku selain catatan siasatan kakitangan yang bertugas.
-   Tindakan ini dapat mendapat hasil yang lumayan dan mengurangkan kemelut ini dengan lebih berkesan.
3.   Kempen-kempen dan ceramah perlu dijalankan
-   Di Asia Tenggara, kedudukan Malaysia adalah di bawah negara Singapura.
-   Penyumbang utama ialah kemalangan akibat ketika berlumba haram.
-   Sehubungan itu, pihak kerajaan terus berusaha mempergiat aktiviti pendidikan melalui kempen keselamatan jalan raya bagi mendidik,
mendisiplin serta menyedarkan pelumba haram mengenai aspek keselamatan ketika berada di jalan raya.
-   Dengan itu pemandu dapat menanamkan sikap bersopan santun di jalan raya
-   Selain itu, pihak penganjur juga boleh membawa mangsa lumba haram tampil ke hadapan untuk membangkitkan perasaan insaf dalam
kalangan pelajar semasa sesuatu kempen atau ceramah dijalankan.
-   Dengan adanya alpukah ini dapat membentuk pemandu berhemah sejak dari kecil lagi.
-   Mengikut kata orang-orang tua, “sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.”
-   Jika nilai murni ini dapat disemai dalam diri para pelajar, akan melahirkan warga yang berwawasan yan sayang akan negara,agama, diri
sendiri dan keluarga.

4.   Peranan ibu bapa


-   Anak-anak yang kecil dan meningkat remaja perlu diberi perhatian.
-   Menurut edisi siasat yang disiarkan oleh oleh ntv7, dikatakan ramai ibu bapa hanya beranak dan tidak melaksanakan tanggungjawab
mereka sehingga anak-anak mereka mati katak di jalan raya.
-   Pepatah Melayu ada menyatakan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” iaitu ibu bapa harus membentuk akhlak remaja biarlah dari awal
atau semasa kecil.
-   Jangan berjanji kepada anak-anak dengan janji-janji manis untuk meningkatkan prestasi akademik seperti jika anak-anak lulus PMR akan
dibelikan motosikal kerana anak-anak yang baru mendapat Lesen L akan menjadi jaguh di jalan raya.
-   Pada masa yang sama menjadi diri mereka sebagai suri teladan serta memberikan kasih sayang yang secukupnya bagai menatang
minyak yang penuh.
-   Selain itu, ibu bapa juga seharusnya sentiasa memberikan perhatian, pengawasan dan mengawal kebebasan
-   Dengan itu , mereka akan menghargai diri sendiri dan kedua-dua orang tuanya.

5.   pegangan didikan agama


-   Pendidikan agama dan moral hendaklah disemai sebelum anak-anak meningkat remaja.
-   Tapak semaian atau moral tidak akan menghasilkan benih yang subur jika penyemai itu sendiri ketandusan  ilmu tentangnya.
-   Ibu bapa sendiri mestilah melengkapkan mereka dengan ilmu agama dan moral supaya didikan, bimbangan, nasihat dan teguran daripada
ibu bapa kepada anak-anak menjadi lebih mudah.
-   memastikan anak-anak tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma budaya, undang-undang dan ajaran agama masing-
masing.
-   Pendidikan yang bertunjangkan kekuatan agama akan membolehkan seseorang membuat pertimbangan seawajarnya antara yang baik
dan buruk.
-   Agama memang bersifat menggalakkan penganutnya melakukan kebaikan.
-   Ibu bapa yang mengejar kemewahan hidup tidak wajar mengabaikan anak-anak dan seharusnya mengajar anak-anak ke jalan yang betul.
-   Menurut At-Tarmizi, “Tiada satu anugerah yang lebih mulia yang diberikan oleh seseorang ayah kepada anaknya selain daripada tunjuk
ajar dan budi perkerti yang baik.”

6.    Penguatkuasaan undang-undang
-   Susulan itu, Kementerian Pengangkutan telah mewujudkan sub seksyen baru di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada penonton
lumba haram selain meningkatkan jumlah denda dan hukuman penjara kepada mereka yangmenaja lumba haram.
-   Menurut mantan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, pihaknya akan meminda Seksyen 81 APJ berkenaan mereka yang
menaja lumba haram memandangkan hukuman yang sedia ada iaitu denda sehingga RM2000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan
adalah terlalu ringan dan tidak berkesan untuk mencegah kegiatan itu.
-   Bagi pelumba haram atau popularnya ‘mat rempit’, mereka boleh disabitkan di bawah Seksyen 42 APJ iaitu membawa kepada hukuman
penjara tidak lebih lima tahun dan denda kurang daripada RM15000 atau kedua-duanya sekali bagi sabitan pertama.
-   Denda serta hukuman penjara akan bertambah kepada tidak lebih RM20000 dan penjara kurang daripada 10 tahun bagi sabitan kedua.
-   Selain itu, orang yang terlibat dalam lumba haram motosikal harus disenaraihitamkan dan lesen memandunya harus digantung agar situasi
seperti sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna tidak akan berlaku.
-   Menurut pepatah Latin “Undang-undang yang baik datangnya daripada perangai yang baik.”

Penutup
-   Justifikasinya, Malaysia telah pun meletakkan matlamat tahun 2020 sebagai tarikh penanda aras untuk merealisikan impian untuk menjadi
negara maju.
-   Satu persoalan yang besar perlu dijawab ialah sama ada atau tidak mencapai matlamat tersebut dengan senario remaja yang terlibat
gejala lumba haram.
-   Oleh itu, sebagai generasi yang akan menyambut tampuk kepimpinan pada masa akan datang wajar menoleh semula ke belakang dan
melihat semula fenomena yang berlaku.
-   Gejala lumba haram ini sebenarnya menjejaskan banyak pihak sama ada ibu bapa, masyarakat mahupun negara.
-   Justeru, semua pihak wajarlah berganding bahu dan mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha untuk
membanteras gejala ini terus berleluasa demi masa depan negara.
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha memartabatkan industri batik dan faedah-faedahnya.
Panjangnya rumusan hendak tidak melebihi 120 patah perkataan.

Seni batik merupakan satu akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia dan bidang kraf tangan yang unggul di Malaysia. Batik mula
diperkenalkan di negara kita khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit
daripada perkataan Jawa “tik” yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik.  “Ambatik” pula bermaksud  melukis, menulis, mewarna atau
menitik.

Namun begitu, persaingan dalam industri fabrik yang menawarkan pelbagai corak menarik telah menyebabkan pemakaian batik kurang
diminati. Fabrik batik juga memerlukan penjagaan yang rapi bagi mengekalkan kecantikannya. Apabila menyedari bahawa batik merupakan
warisan budaya yang perlu dipertahankan, pelbagai langkah telah diambil termasuklah (1) menetapkan kakitangan awam dan anggota
pentadbiran negara, kecuali anggota badan beruniform seperti polis memakai baju batik pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan mulai
pertengahan Julai 2005. Secara implisit, ushaa ini mampu memartabatkan seni batik kembali yang sebelum ini bagaikan hidup segan mati tak
mahu.
Selain itu, batik juga telah mendapat penghargaan sebagai seni budaya yang begitu tinggi nilainya apabila (2) badan bukan kerajaan (NGO)
seperi Yayasan Budi Penyayang Malaysia mengadakan Minggu Batik Malaysia untuk memartabatkan industri batik di persada antarabangsa.
(3) Kerjaan turut membelanjakan wang berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri ini. Perdana Menteri turut memberikan jaminan
bahawa  (4) kerajaan akan terus memberikan komitmen dalam menggerakkan industri batik di negara ini melalui agensi-agensi kerajaan yang
sedia ada. Semasa berucap di Majlis Konvensyen dan Pameran Batik Antarabangsa Kuala Lumpur pada Disember 2005, (5) penggerak industri
batik telah diseru oleh Perdana Menteri agar sentiasa menjalankan penyelidikan pemasaran secara menyeluruh demi memastikan industri
warisan itu terus berkembang.

Perusahaan batik di Malaysia sebenarnya mampu berkembang sekiranya penghasilan produk ini disertai dengan (6) meningkatkan usaha
penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri batik. Program R & D yang dimaksudkan merangkumi penggunaan kain baharu, penggunaan
warna asli, ketahanan warna basuhan, reka corak, dan sebagainya. Hal ini demikian kerana satu sebab batik kurang digemari disebabkan
kualiti kain yang digunakan. Di samping itu, (7)program pemasaran dan promosi turut dilakukan oleh Kraftangan Malaysia untuk memajukan
industri  ini di peringkat domestik. (8)Para pengusaha batik pula diseru agar menghasilkan batik yang lebih menarik dan bermutu tinggi bagi
memastikan batik tempatan dapat bersaing dengan batik dari negara-negara luar.

Realitinya, sebagai warisan tradisi khazanah bangsa, seni batik perlulah dipelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus
dilupakan oleh generasi akan datang.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Memartabatkan Batik Malaysia”, Dewan Siswa, April 2006)

Soalan 2 (a)-Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Apakah maksud rangkai kata hidup segan mati tak mahu dalam petikan? [2 markah]

(ii) Mengapakah batik kurang mendapat tempat di hati orang ramai? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, wajarkah  kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk memajukan industri batik? Berikan alasan anda. 
[4 markah]
JAWABAN
(i) Apakah maksud rangkai kata hidup segan mati tak mahu dalam petikan? [2 markah]
Jawapan lengkap:  Rangkai kata hidup segan mati tak mahu bermaksud sesuatu yang wujud tetapi tidak sempurna.

(ii) Mengapakah batik kurang mendapat tempat di hati orang ramai? [3 markah]
Jawapan lengkap: (anda perlu mengambil isi yang terdapat dalam petikan dan jawab secara lengkap)
Batik kurang mendapat tempat di hati orang ramai kerana persaingan dalam industri fabrik yang menawarkan pelbagai corak yang menarik.
Fabrik batik memerlukan penjagaan yang rapi bagi mengekalkan kecantikannya.  Selain itu, kualti kain yang digunakan juga sering
dipertikaikan.

(iii) Pada pendapat anda, wajarkah  kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk memajukan industri batik? Berikan alasan anda.      [4
markah]

Pada pendapat saya, kerajaan wajar membelanjakan wang yang banyak memajukan industri ini. Hal ini disebabkan usaha ini dapat membantu
pengusaha batik melakukan penyelidikan dan pembangunan industri batik. Selain itu, pengusaha batik  juga dapat memperoleh kemudahan
pinjaman kewangan daripada kerajaan untuk menghasilkan batik yang lebih berkualiti. Selain itu, fabrik batik dapat diperkenalkan ke luar
negara dan hal ini amat baik untuk perkembangan industri pelancongan. Warisan seni batik dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan
datang.

GLOSARI:
1. identiti bangsa Malaysia
2. industri fabrik
3. memartabatkan
4. komitmen
5. mempromosikan
6. domestik
7. secara implisit

contoh rumusan yang dihasilkan.


   Petikan membincangkan langkah-langkah memartabatkan batik di Malaysia.  (bahagian ini tulis seperti yang dilatih)
   Antara usahanya ialah kerajaan menetapkan kakitangan awam dan anggota pentadbiran negara memakai baju batik pada 1 dan 15 hari bulan
setiap bulan. Badan bukan kerajaan seperti Yayasan Budi Penyayang Malaysia mengadakan Minggu Batik Malaysia. Kerajaan membelanjakan
wang berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri batik. Kerajaan akan terus memberikan komitmen dalam usaha menggerakkan industri
batik di negara ini  melalui agensi-agensi kerajaan yang sedia ada. Perdana Menteri menyeru penggerak industri batik agar sentiasa
menjalankan penyelidikan pemasaran secara menyeluruh. Usaha penyelidikan dan pembangunan (R &D)  industri batik perlu ditingkatkan.
(bahagian ini memerlukan anda mencari isi tersurat yang terdapat dalam petikan. Anda perlu pastikan ayat yang dipetik berada dalam keadaan
lengkap).
   Antara faedahnya ialah batik yang lebih berkualiti dapat dihasilkan. Selain itu, batik mampu bersaing dengan fabrik lain. (bahagian ini tidak
terdapat dalam petikan dan anda perlu mencari idea sendiri dan berkaitan dengan konteks petikan)
   Kesimpulannya, khazanah seni yang amat bernilai ini perlu dimartabatkan dan dikekalkan agar tidak luput ditelan zaman.(perhatikan ayat ini,
terdapat cadangan dan hasil)      
                            (115 patah perkataan)

You might also like