You are on page 1of 3

HIKAYAT MALAM DEMAN

Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri Tuan Puteri Lindungan Bulan
memerintah negeri Bandar Muar. Mereka mempunyai seorang putera, Tuanku Malim
Deman. Pada suatu malam, Tuanku Malim Deman bermimpi didatangi seorang wali
Allah menyuruh baginda pergi ke hulu negeri berjumpa dengan Nenek Kebayan
untuk beristerikan Puteri Bongsu daripada tujuh beradik dari kayangan yang akan
turun ke dalam taman nenek memetik bunga mengarang kuntum pada setiap malam
purnama.
 
Sedar dari beradu, Tuanku Malim Deman berubah menjadi seorang yang gila
bayang. Seisi istananya kehairanan terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina.
Baginda memohon pekenan ayah dan bondanya untuk pergi berburu ke hulu negeri.
Pada mulanya Tuanku Malim Deman diiringi sekalian ramai hulubalang dan rakyat
jelata. Namun mereka tewas; akibat kebuluran, penyakit, sesat dan berpatah balik.
Akhirnya tinggallah Tuanku Malim Deman, Awang Selamat dan anjingnya Si
Kumbang. Awang Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia dalam perjalanan, Si
Kumbang pula mati lemas. Tinggallah Tuanku Malim Deman sendirian menempuhi
berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan sehingga menemui sebiji batil emas
hanyut berisi sebentuk cincin dan sehelai rambut. Semua ini milik Puteri Bongsu dari
kayangan yang berkata barang sesiapa yang menemui batil tersebut ialah jodohnya.
Sebenarnya puteri ini telah ditunangkan dengan Medan Si Tangkal Ali tetapi tidak
disukainya.
 
Tuanku Malim Deman menemui Nenek Kebayan dan dengan helah mereka
baju layang Puteri Bongsu diambil oleh Tuanku Malim Deman. Akhirnya Tuanku
Malim Deman membuka rahsia batil emas dan apa tujuan sebenar kedatangannya.
Mereka dikahwinkan oleh Betara Guru di rumah Nenek Kebayan. Kepulangan
Tuanku Malim Deman membawa isteri disambut penuh meriah dan kebesaran oleh
kedua orang tuanya, lalu diadakan kenduri kahwin besar-besaran. Rakyat negeri
Bandar Muar mengadakan pesta selama tiga bulan sebagai tanda kesyukuran dan
Tuanku Gombang Malim Dewa sendiri berkenduri membayar nazarnya.
 
Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri mangkat selang seminggu,
taktha kerajaan diserahkan kepada Tuanku Malim Deman. Malangnya, Tuanku
Malim Deman tidak cekap memerintah negeri. Baginda asyik dengan persabungan
dan berfoya-foya dengan wanita sehingga melupakan urusan negeri dan
permaisurinya. Sehinggalah Puteri Bongsu berputerakan Tuanku Malim Dewana
pun, baginda tidak sudi pulang menjenguk bayinya itu. Setelah Tuanku Malim
Dewana boleh berjalan, jatuh bangun, Puteri Bongsu terpandang baju layangnya
dahulu. Lantas diambil, sambil mendukung putera kecilnya, ia terbang melayang
pulang ke kayangan. Disambut oleh kedua-dua orang tuanya dengan rasa curiga.
Setelah diketahui kedudukan sebenar, Puteri Bongsu ditunangkan dengan
Mambang Molek seorang raja kayangan juga.

Setelah kehilangan isteri dan anak barulah Tuanku Malim Deman insaf dan
menyesal akan perbuatannya selama ini. Baginda mengembara semula sehingga
sampai semula ke rumah Nenek Kebayan. Baginda meminta bantuan nenek itu
untuk berjumpa dengan keluarganya kembali. Nenek memberitahu baginda bahawa
hanya burung borak sahaja yang mampu membawa baginda ke kayangan. Akan
tetapi Nenek Kebayan tidak ketahui di mana burung tersebut berada untuk
meminjamkan kepada baginda.

Tuanku Malim Deman meneruskan perjalanan dan pada suatu malam,


sewaktu terlena di banir pokok, baginda bermimpikan kemunculan seorang wali
Allah menyuruh baginda mengikut hulu sungai sehinggalah bertemu dengan Puteri
Terus Mata anak Raja Jin Islam. Baginda sempat bertaubat di hadapan wali
tersebut. Terjaga atau beradu, baginda menuruti pesanan wali Allah dalam
mimpinya. Tuanku Malim Deman meminjam burung borak milik Puteri Terus Mata,
untuk berlepas ke kayangan setelah menerima syarat daripada ayahanda Puteri
Terus Mata, iaitu Raja Jin Islam supaya mengahwini puteri apabila pulang ke dunia
semula. Baginda juga sempat berguru kepada Raja Jin Islam tentang segala ilmu
dan hikmat bekalan cabaran di kayangan kelak. Puteri Terus Mata turut memberi
tujuh kapur sirih hikmat kepada baginda untuk disantap juga mengatasi tujuh lautan
halangan, lautan gelap, api, sejuk, kuning, hijau, masin dan bisa. Kemenyan
mandung jati turut dibekalkan untuk menyeru kehadiran burung borak apabila
baginda hendak pulang ke dunia semula.
Baginda tiba di rumah Nenek Kebayan di kayangan dan dilayan dengan
penuh mesra. Baginda perkenalkan diri sebagai Malim Permainan kerana
berkebolehan luar biasa bermain muzik. Malim Permainan hadir ke balai
perkarangan istana lalu bermain muzik untuk menghiburkan puteranya Malim
Dewana. Walaupun putera itu tidak mengenalinya, namun naluri hubungan ‘anak-
bapa’ menyebabkan putera sering berada di atas ribaan sambil berhibur dengan
permainan muzik oleh baginda. Dari bau minyak silompat pagar yang melekat pada
tubuh puteranya, tahulah Puteri Bongsu bahawa Malim Permainan itu suaminya
kerana minyak itu ditinggalkan sewaktu ke kayangan. Malim Permainan (Tengku
Malim Deman) menyuruh Nenek Kebayan jualkan cincinnya kepada Puteri Bongsu
kerana ‘kesuntukan belanja’. Puteri Bongsu membuka rahsia kepada Nenek
Kebayan dan meminta Malim Permainan(Tengku Malim Deman) merebutnya semula
daripada tangan Mambang Molek.
 
Tengku Malim Deman akhirnya dapat membunuh Mambang Molek di
gelanggang sabung ayam. Dua orang saudaranya yang cuba menuntut bela juga
terbunuh dan negeri menjadi huru-hara kerana rakyat Mambang Molek bertempur
sesama sendiri kerana hikmat wali Allah. Tengku Malim Deman dikahwinkan sekali
lagi dengan Puteri Bongsu di atas kayangan.
 
Setahun kemudian Tengku Malim Deman membawa Puteri Bongsu dan
puteranya pulang ke Bandar Muar. Berkahwin dengan Puteri Terus Mata, puteri Raja
Jin Islam sebagai menunaikan janji dan Tengku Malim Deman menjadi raja yang arif
bijaksana serta pula gagah berani yang terlalu saktinya tiadalah berbanding zaman
itu.

 (Dipadankan daripada Hikayat Malim Deman, Pawang Ana/Raja Haji Yahya, Fajar
Bakti 1998)

You might also like