You are on page 1of 3

Perbezaan Penggunaan “ialah” dengan “adalah”

Dalam bahasa Malaysia, terdapat satu golongan perkataan yang agak unik kerana ia hanya
terdiri daripada dua perkataan. Golongan perkataan yang dimaksudkan ialah kata pemeri.
Dua kata pemeri ialah ialah dan adalah. Fungsi kata pemeri adalah sebagai pemisah antara
subjek dengan predikat ayat. Dengan kata lain, frasa yang hadir sebelum kata pemeri ialah
subjek ayat sementara frasa yang hadir selepas kata pemeri ialah predikat ayat. Sebagai
contoh, perhatikan ayat (1) yang berikut:

(1) Putra Jaya ialah pusat pentadbiran baru Malaysia.

Dalam ayat (1), frasa “Putra Jaya” ialah subjek ayat manakala frasa “pusat pentadbiran
baru Malaysia” ialah predikat ayat. Kedua-duanya (subjek dan predikat) dipisahkan oleh
kata pemeri ialah. Sebenarnya, kehadiran kata pemeri dalam ayat seperti (1) hanya bersifat
pilihan. Dengan kata lain, tanpa kehadiran ialah ayat (1’) yang dijana tetap gramatis.

(1’) Putra Jaya pusat pentadbiran Malaysia.

Bagaimanapun, bagi ayat yang lebih panjang, kehadiran kata pemeri dapat membantu
meningkatkan kefahaman kerana pemisahan antara subjek dengan predikat ayat adalah
lebih jelas.

(2) Putra Jaya yang terletak di tengah-tengah Malaysia ialah pusat pentadbiran
baru negara ini.

(2’) Putra Jaya yang terletak di tengah-tengah Malaysia pusat pentadbiran baru
negara ini.

Maksud ayat (2) lebih jelas berbanding ayat (2’) kerana kehadiran kata pemeri ialah
menyebabkan pemisahan yang nyata antara subjek ayat (Putra Jaya yang terletak di
tengah-tengah Malaysia) dengan predikat ayat (pusat pentadbiran baru negara ini).
Ketiadaan kata pemeri ialah dalam (2’) menyebabkan pemisahan tersebut menjadi agak
kabur.

Kesalahan yang sering dilakukan dalam penggunaan kata pemeri ini dapat dibahagikan
kepada dua jenis. Pertama, menggunakan kata pemeri adalah dalam struktur ayat yang
sepatutnya menggunakan kata pemeri ialah, atau sebaliknya. Dengan kata lain, kesalahan
menukar ganti penggunaan kata pemeri tersebut dengan sewenang-wenangnya. Kedua,
menggunakan kata pemeri adalah dalam struktur ayat yang tidak sepatutnya menggunakan
sebarang kata pemeri.

Contoh kesalahan jenis pertama terlihat dalam ayat (3) sementara contoh kesalahan jenis
kedua terlihat dalam ayat (4).
(3) *Putra Jaya adalah pusat pentadbiran baru Malaysia.
(4) *Tuan-tuan adalah dijemput menghadiri majlis ini.

Ayat (3) dan (4) tidak gramatis kerana penggunaan kata pemeri adalah. Ayat pertama
berstruktur FN + FN (subjek ayat “Putra Jaya” ialah FN (frasa nama) dan predikat ayat
“pusat pentadbiran Malaysia” juga FN). Dalam ayat yang berstruktur sebegini, penggunaan
kata pemeri yang gramatis ialah ialah. Ayat kedua pula berstruktur FN + FK (subjek ayat
“tuan-tuan” ialah FN dan predikat ayat “dijemput menghadiri majlis ini” ialah FK (frasa
kerja)). Dalam ayat yang berstruktur sebegini, kata pemeri tidak boleh digunakan.

Kata pemeri adalah digunakan dalam dua keadaan, iaitu di dalam ayat yang berstruktur FN
+ FA (frasa adjektif) dan FN + FSN (frasa sendi nama). Contoh penggunaannya adalah
seperti ayat (5) dan (6) yang berikut:

(5) Penubuhan Putra Jaya sebagai pusat pentadbiran baru negara ini adalah amat
dialu-alukan.

(6) Kediaman rasmi Perdana Menteri adalah antara bangunan utama di Putra Jaya.

Ayat (5) berstruktur FN + FA (subjek ayat “penubuhan Putra jaya” ialah FN dan predikat
ayat “amat dialu-alukan” ialah FA). Ayat (6) pula berstruktur FN + FSN (subjek ayat
“kediaman rasmi Perdana Menteri” ialah FN dan predikat ayat “antara bangunan utama di
Putra Jaya” ialah FSN). Oleh itu, penggunaan kata pemeri adalah adalah gramatis.

Perlu juga dijelaskan bahawa sekiranya sesuatu ayat disongsangkan, penggunaan kata
pemeri tidak berubah walaupun struktur zahir ayat telah berubah. Sebagai contoh,
sekiranya ayat (6) disongsangkan, ayat yang terjana adalah seperti (6’) yang berikut:

(6’) Antara bangunan utama di Putra Jaya adalah kediaman rasmi Perdana Menteri.

Perhatikan bahawa penyongsangan ayat seperti ini tidak mengubah penggunaan kata
pemeri adalah walaupun struktur zahir ayat (6’) ini ialah FSN + FN.

Seterusnya, dalam ayat berstruktur FN + FK yang kata kerja dalam FKnya digugurkan,
penggunaan kata pemeri adalah tetap dianggap melanggar rumus walaupun pada zahirnya
ayat itu berstruktur FN + FSN. Sebagai contoh, ayat (7) yang dijana adalah tidak gramatis.

(7) *Encik Hassan adalah di pejabatnya.

Walaupun ayat (7) pada zahirnya berstruktur FN + FSN (subjek ayat “encik Hassan” ialah
FN dan predikat ayat “di pejabatnya” ialah FSN), penggunaan kata pemeri adalah
menyebabkan ia tidak gramatis kerana struktur sebenarnya (sebelum pengguguran kata
kerja “berada”) ialah FN + FK.

(7’) *Encik Hassan adalah berada di pejabatnya.


Ayat (7’) berstruktur FN + FK (subjek ayat “encik Hassan” ialah FN dan predikat ayat
“berada di pejabatnya” ialah FK).

Begitu juga, dalam ayat berstruktur FN + FN yang predikatnya terdiri daripada FK yang
berfungsi sebagai FN, penggunaan kata pemeri ialah dianggap tidak melanggar rumus.
Sebagai contoh, ayat (8) yang dijana adalah gramatis.

(8) Kegemaran Sarah ialah berjoging.

Walaupun ayat (8) pada zahirnya berstruktur FN + FK (subjek ayat “kegemaran Sarah”
ialah FN dan predikat ayat “berjoging” ialah FK), penggunaan kata pemeri ialah tidak
menyebabkan ia tidak gramatis kerana struktur sebenarnya (sebelum pengguguran kata
nama “aktiviti”) ialah FN + FN.

(8’) Kegemaran Sarah ialah aktiviti berjoging.

Ayat (8’) berstruktur FN + FN (subjek ayat “kegemaran Sarah” ialah FN dan predikat ayat
“aktiviti berjoging” ialah FN).

Bukti bahawa “berjoging” bukan FK ialah kata bantu aspek, misalnya “sedang”, tidak boleh
hadir di hadapannya.

(8’’) *Kegemaran Sarah sedang berjoging.

Rumusannya ialah penggunaan kata pemeri ialah adalah gramatis dalam ayat berstruktur
FN + FN. Penggunaan kata pemeri adalah pula gramatis dalam ayat berstruktur FN + FA
dan FN + FSN. Penggunaan mana-mana kata pemeri adalah tidak gramatis dalam ayat
berstruktur FN + FK.

You might also like