You are on page 1of 3

CONTOH: MENULIS SURAT KIRIMAN RASMI

Soalan :
Di kawasan tempat tinggal anda terdapat pelbagai masalah keselamatan yang timbul
berpunca daripada pendatang asing yang terlalu ramai di kawasan itu. Sebagai wakil
penduduk di tempat anda. tulis sepucuk surat kepada pihak yang berkuasa bagi
mengadukan hal tersebut agar masalah ini dapat diselesaikan.

Contoh jawapan surat rasmi.

Lin Cheng Heng,


No.6, Jalan Limau Purut 3,
Taman Cheras Perdana,
52400 Kuala Lumpur.

____________________________________________________________________
Ketua Balai,
Balai Polis Cheras,
Jalan Ikan Emas 2,
53000 Cheras,
Kuala Lumpur…… ……………………………………………………………16 JULAI 2008

Tuan,

Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Cheras Perdana

Merujuk perkara di atas, saya Lin Cheng Heng selaku setiausaha penduduk Taman
Perdana, ingin membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begitu ramai
bilangannya di kawasan tempat tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlalu ramai,
pelbagai masalah sosial telah timbul sehingga mengganggu ketenteraman hidup penduduk
di kawasan ini.

2.……………Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang


tanpa izin kerana banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini menyebabkan
ramai pekerja tanpa izin bertumpu di kawasan ini untuk bekerja sebagai pekerja
bangunan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Kebanyakan daripada pendatang
tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4 dan Jalan Tembikai 3. Mereka tinggal di
dalam pondok-pondok sementara yang disediakan oleh pemaju dan didirikan daripada
kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah sebahagian daripada pendatang tanpa
izin tersebut melakukan pelbagai jenayah dan mengancam keselamatan penduduk
tempatan di kawasan ini.

3.………….Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat aman dan
makmur. Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu telah mengubah
segala-galanya. Kejadian kecurian dan rompakan sering kali berlaku di kawasan tempat
tinggal kami. Sehingga kini terdapat enam kejadian pecah rumah dan rompakan yang
telah diadukan kepada pihak polis. Kebanyakan rompakan tersebut melibatkan senjata
tajam seperti parang dan senjata tajam yang lain. Hal ini menyebabkan kami berasa takut
sekiranya kejadian seperti itu berulang semula. Kami juga percaya bahawa kejadian
jenayah tersebut melibatkan pendatang tanpa izin melalui pertuturan mereka semasa
kejadian jenayah itu berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan penduduk di kawasan
ini.

4.………….Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut berkelakuan
tidak sopan terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang gadis yang pulang lewat
daripada bekerja telah diganggu dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Mereka
juga sering mengeluarkan kata-kata berbau lucah kepada penduduk di kawasan ini
sehingga pernah menyebabkan pergaduhan di antara pendatang tanpa izin dengan
penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di kawasan ini, kami berasa bimbang jika
berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas keluarga kami. Justeru, kami
berharap agar pihak tuan mengambil tindakan awal seperti kata pepatah, sediakan
payung sebelum hujan. Kami tidak mahu ada di antara penduduk di kawasan ini yang
akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita mengambil tindakan kerana nasi sudah
menjadi bubur.

5.………….Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut juga
melakukan pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan dadah. Hal ini telah
kami maklumi melalui beberapa orang penduduk yang pernah terserempak dengan
mereka ketika melakukan jenayah tersebut. Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah
berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Keadaan ini juga amat membimbangkan
penduduk di kawasan ini kerana kami takut sekiranya ada di antara anak-anak kami yang
akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat tersebut. Justeru kami meminta agar
pihak tuan mengambil tindakan awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

6.………….Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat


mengambil tindakan dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah
meminta pihak tuan membuat serbuan dan menangkap pendatang tanpa izin di kawasan
kediaman kami. Kami juga mencadangkan agar pihak tuan dapat membuat rondaan
dengan lebih kerap supaya kejadian jenayah yang membimbangkan kami tidak berlaku di
sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan bantuan dan kerjasama daripada penduduk di
kawasan ini, kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan.

7.………….Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang
sewajarnya dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini.
Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima
kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Linchengheng
...................
(LIN CHENG HENG)
Setiausaha,
Persatuan Penduduk Taman Cheras Perdana.

You might also like