You are on page 1of 9

JXEA 1104

KUPASAN KARYA KLASIK MELAYU DARI SUDUT


FALSAFAH

NAMA:HAFFIDAH BINTI ABDULLAH


NO.MATRIK:JEA080020
NAMA PENSYARAH:DR.AMRAN MUHAMAD

SESI 2008/2009 SEMESTER 1


AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
UNIVERSITI MALAYA
PENGENALAN

Secara umumnya hikayat adalah suatu bentuk sastera yang berdasarkan khayalan dan

imaginasi. Binaan strukturnya dibina di atas rentetan pelbagai peristiwa. Kesusasteraan

hikayat merupakan genre yang terbesar bilangannya di dalam perbendaharaan

kesusasteraan tradisional. Perkataan hikayat berasal daripada bahasa arab yang

bermaksud “pelbagai sejarah”. Struktur cerita hikayat ini agak kompleks dan seringkali

diselitkan dengan unsur-unsur agama dalam karya tanpa mengambil kira kesesuaiannya.

SINOPSIS

Hikayat Bayan Budiman mengisahkan tentang seorang saudagar di negeri bernama Ajam

yang bernama Khojah Mubarak. Beliau mempunyai seorang anak bernama Khojah

Maimun. Khojah Maimun telah dikahwinkan dengan Bibi Zainab apabila telah cukup

umurnya. Khojah Maimun bercadang untuk pergi berlayar dan berniaga. Sebelum

berlayar, Khojah Maimun telah membeli dua ekor burung sebagai peneman isterinya

semasa beliau pergi berlayar. Seekor Burung Bayan dan seekor lagi Burung Tiung.

Semasa hendak pergi berlayar Khojah Maimun berpesan kepada isterinya supaya sentiasa

bermuafakat dengan burung-burung itu sebelum melakukan sesuatu perkara.

Sepeninggalan Khojah Maimun, Bibi Zainab berasa kesunyian. Semasa duduk

termenung di tingkap, seorang putera raja lalu di hadapan rumahnya dan mereka saling
berbalas senyuman. Semenjak hari itu Bibi Zainab dan putera raja saling jatuh berahi.

Dengan perantaraan seorang tua pertemuan antara mereka telah dapat diatur. Sebelum

meninggalkan rumah Bibi Zainab telah menyatakan hasratnya kepada Burung Tiung.

Bibi Zainab berasa marah kepada Burung Tiung lalu menghempaskan Burung Tiung ke

lantai sehingga matilah Burung Tiung.

Bibi Zainab kemudiannya meminta nasihat daripada Burung Bayan. Burung Bayan

tidak melarang Bibi Zainab untuk bertemu dengan putera raja tersebut, namun begitu

Burung Bayan telah berjaya menarik perhatian serta melalaikan Bibi Zainab dengan

cerita-ceritanya. Bibi Zainab terpaksa menangguhkan hasratnya dari satu malam ke satu

malam untuk bertemu putera raja. Sehinggalah Khojah Maimun pulang dari berlayar.

Burung Bayan yang bijak telah dapat menyelamatkan nyawanya dan menyekat Bibi

Zainab daripada curang serta dapat menjaga nama baik tuannya.


Hikayat Bayan Budiman mempunyai rentetan pelbagai cerita yang terdapat

didalamnya. Dalam Hikayat Bayan Budiman ini, saya memilih Bab 23 iaitu cerita Sultan

Adam sebagai teks kupasan saya. Dalam teks cerita Sultan Adam ini, terdapat banyak

nilai-nilai yang disampaikan oleh pengarang. Antara nilai-nilai tersebut adalah nilai

kepercayaan kepada agama, ketaatan dan kasih sayang.

Cerita Sultan Adam ini, menceritakan mengenai seorang Sultan yang memerintah

sebuah kerajaan. Kerajaan yang diperintah oleh Sultan Adam terletak di dalam negeri

Baghdad. Ketika zaman pemerintahan Sultan Adam, kebanyakan raja-raja memandang

tinggi dan menghormati Sultan Adam. Hal ini dapat dibuktikan apabila raja-raja dan

negeri-negeri lain menghantar ufti dan memberi pelbagai jenis hadiah. Sultan Adam turut

mempunyai seorang putera yang bernama Raja Nasruddin Alim Syah. Putera tersebut

merupakan pewaris yang akan menggantikan takhta Sultan Adam. Dalam cerita ini,

pengarang telah memasukkan nilai-nilai agama. Agama merupakan kepercayaan dan

pegangan setiap individu. Namun terdapat juga sesetengah masyarakat yang tidak

mempercayai akan adanya agama. Dalam Hikayat Bayan Budiman ini , pengarang

memaparkan bahawa Sultan Adam dan para pembesarnya menganuti ajaran agama Islam.

Selain itu, rakyat dinegeri tersebut turut menganuti agama Islam. Ini jelas menunjukkan

bahawa setiap masyarakat dinegeri tersebut mempunyai pegangan agama masing-masing.

Sultan Adam juga merupakan individu yang percaya akan keesaan Allah s.w.t.

Hal ini dapat dijelaskan apabila Sultan Adam memberi nasihat kepada anaknya bahawa

segala yang terdapat didunia ini adalah ciptaan Allah semata-mata untuk semua

makhluknya. Apa yang diberi kepada kita didunia ini adalah sekadar pinjaman sahaja.

Allah juga boleh mengambil dan memberi segala yang diberikan itu pada bila-bila masa
sahaja. Setiap individu haruslah menerima dengan hati yang terbuka sekiranya Allah

memberi sesuatu dugaan dan bersyukur sekiranya mendapat rahmat daripada Allah.

Dalam ajaran agama islam ilmu merupakan sesuatu yang sangat penting. Oleh sebab itu

Sultan Adam telah pergi mengembara bagi mencari ilmu yang berguna di dalam

kehidupan. Dalam pengembaraan itu Sultan Adam telah menjadi seperti seorang rakyat

biasa. Beliau telah menanggalkan pakaian karajaan yang sentiasa dipakainya dan

digantikan dengan pakaian yang memperlihatkan beliau seperti seorang yang miskin.

Sehinggakan tiada seorang pun mengenali Sultan Adam. Hal ini menunjukkan Sultan

Adam benar-benar ingin mencari ilmu sehingga sanggup melepaskan segala kemewahan

yang beliau miliki.

Sultan Adam turut menunaikan kewajipannya sebagai seorang islam yang

berkemampun iaitu dengan menunaikan fardu haji. Beliau telah pergi menunaikan haji

bersama-sama dua puluh orang fakir. Setelah selesai menunaikan haji beliau telah tinggal

disebuah kampung iaitu Kampung Ulama. Tujuan Sultan Adam tinggal di kampung

tersebut adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t Di sana beliau hanya mengaji

dan melakukan amal ibadah. Hal ini menunjukkan Sultan Adam adalah seorang yang

berilmu dan mementingkan ilmu pengetahuan. Ini kerana untuk mengerjakan ibadat haji

seseorang itu haruslah mempunyai ilmu tentang fardu haji dan sebagainya. Selain itu

Sultan Adam juga seorang yang mempunyai akhlak mulia dan berbudi pekerti. Ini dapat

dibuktikan apabila Sultan Adam memberi nasihat kapada anaknya supaya memerintah

negeri dengan adil dan saksama, bersifat sabar serta tidak mengikut hawa nafsu. Nasihat

ini memperlihatkan beliau adalah seorang yang berakhlak.


Terdapat juga nilai kasih sayang yang dipaparkan oleh pengarang di dalam cerita

ini. Nilai ini dapat dilihat diantara Sultan Adam dan anaknya iaitu Raja Nasruddin Alim

Syah. Apabila Sultan Adam menghilangkan diri Raja Nasruddin segera memberikan

perintah kepada menterinya supaya pergi mencari ayahandanya. Beliau jaga turut berasa

sedih sehingga menangis di dalam bilik. Setelah Sultan Adam ditemukan barulah Raja

Nasruddin berasa gembira sehinggakan beliau memeluk ayahandanya. Sultan Adam turut

kasih kapada puteranya dengan memberikan pelbagai ilmu yang berguna kepada

puteranya itu. Selain itu, Sultan Adam juga turut memberikan nasiha-nasihat yang

berguna kepada puteranya.Sultan Adam turut membekalkan puteranya dengan ilmu

agama yang secukupnya untuk menjalani kehidupan seharian dan untuk memimpin

kerajaan yang diketuainya.

Nilai kasih sayang ini juga dapat dilihat diantara Burung Bayan Budiman dengan

Bibi Zainab. Bibi Zainab sayang akan Burung Bayan kerana Burung Bayan memahami

akan isi hatinya dan turut suka menghiburkan hatinya. Ini dapat dibuktikan apabila Bibi

Zainab tidak membunuh Burung Bayan Budiman seperti mana Burung Tiung Kencana.

Walaupun Burung Bayan seekor burung namun ia juga turut mempunyai perasaan sayang

terhadap tuannya itu. Hal ini dapat dilihat apabila Burung Bayan Budiman berusaha

melalaikan Bibi Zainab dengan menceritakan pelbagai cerita yang menarik untuk

perhatian Bibi Zainab. Burung Bayan turut dapat menjaga maruah dan nama baik

tuannya itu.
KESIMPULAN

Pada pandangan saya, Hikayat Bayan Budiman memberikan banyak pengajaran

yang berguna kapada para pembaca. Nilai-nilai murni yang terdapat di dalam Hikayat

Bayan Budiman ini boleh di jadikan sebagai panduan kita di dalam kehidupan seharian.

Di dalam Hikayat Bayan Budiman ini, kita boleh mencontohi dan menteladani sifat-sifat

baik yang ditunjukkan oleh Sultan Adam seperti memerintah negeri dengan adil, tidak

mengikut hawa nafsu, mempunyai pegangan agama dan sebagainya.

Pegangan agama yang dimiliki oleh seseorang boleh menjadikan seseorang itu

insan yang berjaya di dunia mahupun di akhirat ini kerana pengangan agama dapat

membimbing dan menjadi panduan untuk malakukan sesuatu dengan betul. Sekiranya

seseorang itu mempunyai pegangan agama mereka akan dapat mengelakkan diri daripada

perkara-perkara yana dilarang oleh Allah dan hanya melakukan perkara-perkara yang

diperintah sahaja. Nilai-nilai baik yang terdapat di dalam kehidupan kita ini akan

menjadikan kehidupan kita dirahmati dan mendapat keberkatan daripada Allah.


Sebermula, maka kedengaranlah kepada Sultan Nasruddin akan ayahanda baginda
datang itu. Maka baginda pun segeralah keluar mengalu-alu kan ayahanda baginda
dengan sukacitanya; setelah bertemulah, lalu sujudlah dikaki ayahanda baginda. Maka
dipeluk dicium baginda akan anakanda baginda lau masuk ke negeri lalu naik ke istana.
Maka Sulatan Nasruddin hendak memulangkan kerajaan kepada paduka ayahanda
baginda, maka baginda pun tiada mahu. Maka ia duduk kepada suatu madrasah berfakir
dirinya serta ibadat nya malam dan siang.
Hatta, beberapa lamanya maka baginda pun minta izin hendak pergi haji kepada
anakanda baginda kepada segala wazir menteri. Maka beberapa baginda mengajari
paduka anakanda, demikian katanya, “hai anakku, bahawasanya Allah subhanahuwata'ala
itu telah menjadikan kebesaran diatas hambanya itu pinjman sahaja. Maka engkau
memegang kerajaan, janganlah menurutkan hawa nafsu dan hendaklah engkau berbuat
adil dan bersikap sabar, kerana sebagaimana pun kebesaran didunia ini akan fana juga,
adanya, hai anakku! Kerana dunia ini tempat persinggahan juga dan tiada akan kekal.”
Maka pelbagai-bagailah pengajaran baginda kepada anakanda baginda. Setelah
sudah, maka Sulatan Adam pun memohonlah kepada anakanda baginda itu dan kepada
semua wazir dan pegawai-pegawai baginda maka baginda pun berjalanlah ke negeri
Makkatul Musyarrafat yang maha mulia itu serta dengan 20 orang fakir bersama-sama
dengan baginda.
Hatta, maka beberapa lamanya maka baginda pun sampailah ke Mekah kepada
sepuluh haribulan Zulhijjah, pada ketika segala isi Mekah pun keluarlah tawaf. Maka
sultan Adam pun masuklah tawaf. Setelah sudah, maka duduklah baginda kepada
kampung ulama, di sana baginda mengaji dan berbuat ibadat. Maka kata pula setengah,
lalu baginda kembali ke rahmatullah dalam negeri Mekah itu; kalu inna lillahi wainna
ilaihi rajiun.
Maka kata bayan,”Demikianlah kisah Raja Adam.”
Maka kata isteri khojah Maimun,”Hai bayan,sungguh engkau anakku;seperti anak
yang aku jadikan rasanya boleh engkau melipurkan hatiku,hai anakku!”
Maka kata bayan,”Ya Tuanku,bukannya mudah orang yang beranak angkat
itu!Jikalau anaknya tiada berbuat bakti kepada ibunya,jadai sia-sailah anak itu;jikalau ada
anak seperti anak Raja Ghair Malik itu,sempurnalah orang menjadi anak orang!”
Maka kata Bibi Zainab ,”Hai bayan,ceritakanlah agar supaya ku dengar;mudah-
mudahan dapat dihayat,dari sebab itu lipur hatiku.”
Maka Bayan pun berceritalah:
BIBLIOGRAFI

Adnan Abdul Majid. 2005. Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Awang Sarian. 2007. Falsafah Dan Logika Melayu. Selangor:synergate Sdn. Bhd.

Hashim Musa. 1998. Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu. Kuala Lumpur:
Akademi Pengajian Melayu.

Winstedt, Richard Olof, Sir. 1985. Hikayat Bayan Budiman. Petaling Jaya
Selangor: Fajar Bakti.

Http://ms wikipedia. Org./wiki/Hikayat_Bayan_Budiman

You might also like