You are on page 1of 16

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

JXEA 1104

KARYA MELAYU KLASIK (HIKAYAT KHOJA MAIMUN)

NAMA : JESSICA ANAK MINGGU

NO. MATRIK : JEA080027

NAMA PENSYARAH : DR. AMRAN MUHAMAD

SEMESTER 1 SESI 2008/2009

AKADEMI PENGAJIAN MELAYU

Maksud falsafah
Falsafah boleh ditakrifkan sebagai satu penyelidikan atau pengajian yang berasaskan

renungan dan pentaakulan untuk merumuskan sifat, hakikat dan kandungan alam wujud

wujud atau alam semesta dilihat secara keseluruhan sebagai satu kesatuan. Ianya diambil
berdasarkan penelitian dan pengkajian terhadap data dan fakta yang daripada semua

aspek alam wujud.

Petikan yang hendak dikupas


Alkisah inilah suatu ceritera orang dahulu kala, amatlah indah bunyinya, supaya

memberi asyik hati perempuan yang hendak berbuat bakti kepada suaminya, dari dunia

datang ke akhirat.

Syahadan adalah kononnya seorang saudagar di dalam negeri Ajam terlalu amat

kayanya. Adapun namanya itu Khoja Maimun. Isterinya bernama Bibi Zainab, terlalu

sangat baik parasnya, zaman itu sukar bandingannya. Maka duduklah ia berkasihan laki

isteri itu. Ada kepada suatu hari, Khoja Maimun laki isteri pergi bermain ke pekan. Maka

ada orang datang membawa seekor burung Bayan jantan terlalu amat indah-indah

rupanya seraya katanya, “Berapa harganya?” Maka kata orang itu, “Seribu dinar Bayan

hamba ini harganya.” Maka tersenyum Khoja Maimun, katanya “Adakah orang yang

mahu membeli burung yang segenggam ini seribu dinar? Layaknya unggas ini makanan

kucing juga.”

Setelah Bayan itu mendengar kata Khoja Maimun, maka katanya “ Hai Khoja

Maimun! Sungguhlah hamba ini sekepal, tetapi hati hamba ini di mana tuan tahu? Akan

sekalian alam ini di bawah tilik hamba dan hamba ini bukannya seperti unggas yang lain:

tetapi bukan hamba ini daripada unggas syurga dan daripada bangsa malaikat, dan bukan

hamba daripada jin, tetapi hamba Allah Taala, senantiasa memuji-muji Allah azzawajalla:

dan akan hati hamba ini, yang akan datang sepuluh hari sudah hamba ketahui sebarang

halnya. Adapun akan sekarang ini tiga hari lagi datanglah kafilah dari negeri Babil
hendak membeli dagangan yang bernama sanbal. Jikalau tuan hamba hendak membeli

hamba, bertangguhlah dahulu kepada orang yang mejual hamba ini, dan tuan hamba

kampungkanlah sanbal dalam negeri ini; apabila datang kafilah itu, tuan hamba itu

juallah; insya-Allah daripada laba sanbal itulah tuan hamba beli hamba.”

Setelah Khoja Maimun mendengar kata Bayan itu, terlalulah sangat sukacitanya

seraya katanya kepada orang itu, “Tuan hamba berikanlah hamba burung ini, darihal

harganya hamba minta bertangguh dahulu.”

Maka jawab orang yang menjual bayan itu, “Baiklah, hamba beri bertangguh, apa

salahnya.”

Maka bayan pun diambil oleh BibiZainab lalu dibawanya pulang ke rumahnya

serta diperbuatkan sangkarnya terlalu indah-indah perbuatannya.

Sebermulanya adapun akan Khoja Maimun laki isteri itu, mana segala sanbal dalam

negeri Ajam itu habislah dibelinya. Setelah genap tiga hari datanglah kafilah dari negeri

Babil hendak membeli dagangn sanbal itu, maka tiadalah yang diperolehinya kepada

tempat yang lain lagi melainkan kepada Khoja Maimun juga yang ada menaruh sanbal

itu. Maka Khoja Maimun pun terlalu amat sukacitanya daripada banyak beroleh laba

berganda-ganda itu. Maka Khija Maimun membayarlah harga Bayan itu. Setelah

keesokan hari, Khoja Maimun berjalan pula ke pekan. Maka ia pun bertemu dengan

orang berjual Tiung betina, lalu dibelinya dan dibawanya pulang ke rumahnya lalu

ditaruhnya di dalam sangkaran Bayan itu juga.

Sebermula diceterakan orang yang empunya cetera itu, adapun Khoja Maimun

laki isteri selama ia beroleh unggas dua ekor itu, sehari-hari ia mendengar hikayat oleh

unggas kedua ekor itu. Sekali peristiwa pada suatu hari Khoja Maimun berkata-kata
kepada unggas kedua akan perihalehwa manfaat perniagaan di laut itu. Maka Khoja

Maimun pun terlalu sangat berahinya hendak pergi berlayar. Maka ia pun pergilah

mendapatkan isterinya seraya berkata, “Hai kekasihku! Ketahuilah olehmu bahawa segala

manusia ini tiada dapat tiada akan berpindah juga dan tiada dicarikan manfaatnya pun

kuranglah, kerana dirham itu menanggung segala pekerjaan. Akan sekarang hamba

dengar perniagaan laut itu terlalu sangat besar labanya daripada perniagaan yang di darat

ini. Akan sekarang berilah izin aku olehmu supaya aku pergi belayar.” Maka sahut

isterinya, “Sebenarnyalah kata tuan hamba itu, tetapi sungguhpun perniagaan itu sangat

besar labanya, dan balanya pun amat besarnya dan banyak dugaan dalam dunia ini.

Sehari berapa upahnya tuan pergi dari kerana harta dunia ini banyak yang mahal dan

cemar di imannya dan ia seumpama air yang manis, makin diminum mungkin bertambah

dahaga. Syahadan warnanya pun kuning seperti orang murka durjana. Jikalau tuan hamba

hendak pergi belayar, akan sebaik-baiknya tuan hamba bawa juga hamba kerana hamba

perempuan dan kita adalah seperti gusi dan gigi adanya. Jikalau tiada gusi, gigi pun

binasalah, demikianlah adanya.”

Maka kata Khoja Maimun, “Hai nyawaku! Buah hatiku! Cahaya mataku! Benar

kata tuan hamba itu,tetapi akan hal kita hidup di dalam dunia ini jikalau tiada emas,

barang satu pekerjaan pun tiada hasil dan kerana emas itu berkuasa maka ia dapat

menghasilkan segala kehendak yang dimaksudkan. Maka sebaik-baik harta dunia ini

emaslah kita carikan. Adapun hamba dan tuan hamba itu adalah seperti mangga dengan

pintu, demikianlah apabila mangga itu ditinggalkan pintu pun nescaya binasalah dia dan

rumah pun tiadalah ada kebajikannya, diperbanyak-banyak doa tuan hamba kepada Allah

s.w.t dan tuan hamba pun telah hamba serahkan kepada Tuhan serwa sekalian alam, tetapi
amanat hamba kepada tuan hamba, muafakatlah dengan unggas kedua itu, hubaya-hubaya

jangan tiada hai kasihku, kerana dunia ini amat besar dugaannya lagi terlebih bahaya

tajamnya daripada senjata!”

Setelah sudah maka Khoja Maimun pun bermohonlah kepada isterinya lalu

dipeluk diciumnya akan isterinya yang cantik molek itu, muda molek dengan

kelakuannya yang baik dan tiada yang tidak baiknya itulah adanya, antara keduanya itu

bertangisan dengan air matanya serta menaruh akan dua ekor burung itu. Maka Khoja

Maimun pun pergilah belayar.

Hatta berapa lamanya Khoja Maimun belayar itu, maka datanglah cubaan Allah

Taala atas hambanya, dengan demikian dicetera akan orang empunya cetera ini. Selama

peninggalan Khoja Maimun belayar itu, sebermula ada kepada suatu hari maka Bibi

Zainab pun bercintalah akan suaminya. Maka ia pun pergilah duduk di tingkap

mahligainya berangan-angan serta memandang kepada jalan seraya itu maka pada ketika

itu terpandanglah kepada kepada anak raja di dalam negeri itu lalu berkuda hamper

dengan mahligai isteri Khoja Maimun. Pada tatkala Bibi Zainab pun memandang ke

bawah maka terpandanglah kepada muka anak raja itu, pemandangan Bibi Zainab terlalu

elok rupanya anak raja itu. Seermula anak raja pun memandang kepada isteri Khoja

Maimun, terlalu baik parasnya sama berjumpa matanya lalu dibawanya tersenyum oleh

anak raja itu. Denga takdir Allah Taala maka anak raja itu pun berahilah akan Bibi Zainab

itu. Adapun akan Bibi Zainab itu pun tersangkutlah hatinya akan anak raja itu.

Setelah sudah maka anak raja itu pun menyimpang ke rumah seorang perempuan.

Setelah sampai anak raja itu pun berkata kepada perempuan itu, “Hai ibuku! Pergilah

sampaikan kepada perempuan itu, katakana aku suruh kepada orang itu, katakana aku
berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku

ini.” Setelah didengar oleh orang tua itu, segeralah ia pergi kepada isterinya Khoja

Maimun itu. Setelah ia sampai, maka segala pesan anak raja itu pun habis sekaliannya

dikatakannya oleh perempuan tua itu, serta dengan manis mulutnya berkata-kata, berapa

peluk cumbu-cumbuan akan yang memberi berahi dikatakannya.

Setelah isteri Khoja Maimun mendengar kata orang tua itu, maka hatinya pun

terikatlah akan anak raja itu dan api yang berahi itu pun nyalalah di dalam dadanya itu.

Maka Bibi Zainab pun berkehendaklah akan anak raja itu seraya katanya, “Hai ibuku!

Baiklah katakan kepada anak raja itu hamba punya sembah maka ampun banyak-banyak

kepada anak raja itu. Sekarang malam hamba mendapatkan anak raja itu, tetapi jangan

ibuku katakana seorang jua pun rahsia ini. Bukan sekarang ini, mati sehaya, anak raja

tiada akan mati, sahaya juga yang mati!” Setelah orang tua itu mendengar kata isteri

Khoja Maimun demikian itu, maka ia pun segeralah kembali serta menyampaikan segala

pesan Bibi Zainab kepada anak raja itu.

Sebermula maka tersebutlah perkataan isteri Khoja Maimun. Setalah hari malam,

maka ia pun memakai pakaian yang amat indah-indah dan memakai bau-bauan yang amat

harum baunya, hendak pergi mendapatkan anak raja itu. Setelah sudah maka ia pun

keluar hendak berjalan. Sebermula isteri Khoja Maimun pun teringat akan pesan

suaminya itu. Maka lalu ia pergi mendapatkan burung Tiung itu seraya katanya, “Hai

Tiung! Apakah bicaramu bahawa aku sangatlah berahi akan anak raja itu, kerana aku

hendak mendapatkan dianya kepada malam ini?” Maka diceterakannya perihalnya ia

berahi itu. Setelah Tiung itu mendengar kata Bibi Zainab, maka ia pun menampar-nampar

dadanya seraya katanya, “Ayuhai Tuan Siti yang baik rupa! Pekerjaan apakah yang tuan
hamba kerjakan ini? Tidakkah takut akan Allah dan malu akan Nabi s.a.w . Maka tuan

hendak mengerjakan yang maksiat lagi larangan Allah Taala, ditegahkan Rasululah

istemewa pula sangat kejahatannya itu, tiada wajib atas segala perempuan yang mulia

mengerjakan pekerjaan yang demikian itu. Tiadakah tuan mendengar hadis? Barang siapa

perempuan menduakan suaminya bahawa sesungguhnya dimasukkan malaikat ke dalam

neraka jahanam seribu tahun lamanya, dan lagi tiadakah tuan malu samanya makhluk di

dalam dunia ini? Sabarlah tuan hamba dahulu, insya-Allah Taala tuan yang laki-laki pun

bangat cepat juga akan datang. Jikalau diketahuinya kelak tiadakah tuan hamba malu dan

mati dibunuhnya? Alangkah aib nama tuan tersebut pada sekalian alam ini.”

Sebermula setelah isteri Khojah Maimun mendengar kata Tiung itu maka ia pun

terlalu marahnya, serta disentapnya dari sangkarnya lalu dihempaskannya seraya berkata,

“tak kusangka engkau tiada menaruh kasihan rupanya sama perempuan!” Maka tiung pun

matilah. Setelah dilihat oleh Bayan kelakuan Bibi Zainab membunuh Tiung itu tiada

dengan semena-mena, maka ia pun mendiamkan dirinya berbuat tidur. Maka isteri Khoja

Maimun pun pergilah mendapatkan Bayan itu serta dibangunkannya. Maka Bayan pun

pura-pura terkejut seraya berkata, “Apakah pekerjaan tuan hamba membangunkan hamba

ini dan hendak ke mana tuanmaka datang malam-malam buta ini?” Maka ujar Bibi

Zainab, “Hai Bayan! Berilah aku izin supaya aku pergi mendapatkan anak raja itu, kerana

aku sangat berahi akan dia. Betapa bicaramu?

Setelah Bayan mendengar kata isteri Khoja Maimun itu lalu ia pun fikir seketika

di dalam hatinya. “Jikalau tida kuturutkan kehendak kalau-kalau aku diperbuatnya seperti

Tiung itu! Jikalau demikian, baiklah kusuruhkan ia pergi tetapi insya-Allah Taala

perempuan ini kuperlalaikan juga akan dikau!” Setelah sudah ia pun berfikir bahawa itu
maka ujarnya, “Hai Siti yang mulia yang amat elok paras! Jikalau demikian baiklah tuan

segera pergi mendapatkan anak raja itu, kerana tuan sudah berjanji dengan dia, supaya

jangan kedapatan kata kepada anak raja itu kelaknya. Tuan pun sangat bebal oleh

bertanya kepada Tiung itu daripada sebab dia pun ingin juga, bagaimanapun adalah

dengkinya juga akan tuannya, baiknya belum terlanjur fikirnya pekerjaan tuan. Jikalau

sudah, ialah esok yang memberitahu kepada tuan yang laki-laki! Adapun akan bahagian

hamba ini haraplah tuan jikalau kejahatan sekalipun pekerjaan tuan, insya-Allah Taala di

atas hamba membaikkan dia. Jikalau datang pun tuan yang laki-laki tiada mengapa.

Baiklah tuan segera pergi! Kalau-kalau sudah tiba anak raja itu menanti tuan daripada

hamba pun sangat hendak berbual, murkalah ia dengan tuan kelaknya. Apakah yang

dicari oleh manusia di dalam dunia ini melainkan martabat, kekayaan, harta dan

kejayaan? Tiada adalah yang lebih baik kepada martabat raja atau anak raja itu tetapi

dengan ikhtiar juga sempurna adanya. Baiklah tuan segera pergi mendapatkan anak raja

itu tetapi dengan ikhtiar juga. Akan hamba ini adalah seperti hikayat cetera seekor Bayan

yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Demikianlah adanya!”

Maka kata isteri Khoja Maimun, “Hai Bayan! Bagaimanakah hikayatnya? Kamu

ceterakanlah kisah Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar itu?” Maka kata

Bayan, “Mengapa maka tuan hendak mendengar hikayat Bayan itu? Tidak sabar anak

anak raja itu menanti tuan? Baiklah tuan segera pergi dahulu. Insya-Allah Taala, esok

harilah hamba bercetera.” Maka kata Bibi Zainab , “Jikalau ada kasihmu akan aku,

berceteralah engkau dahulu kepada aku sekarang sebelum aku pergi ini.” Kepada hati

Bayan, “Jika demikian insya-Allah dapatlah pertemuan ini aku perlalaikan dia.”
Sinopsis petikan
Khoja Maimun dan isterinya Bibi Zainab tinggal di negeri Ajam. Bibi sangat

cantik orangnya. Khoja Maimun seorang saudagar yang kaya. Suatu hari Khoja Maimun

dan isterinya membeli burung Bayan. Khoja Maimun memperlekehkan harga Bayan yang

seribu dinar dengan mengatakan bahawa Bayan itu tidak setimpal dengan harganya.

Burung Bayan pula mengatakan bahawa ia pandai menilik nasib. Bayan mengatakan

sesuatu yang bakal terjadi dan jika perkara itu benar-benar terjadi, Khoja Maimun akan

membelinya. Peristiwa tersebut betul-betul berlaku dan Khoja Maimun pun membayarlah

harga Bayan seribu dinar yang telah dia minta pertangguhkan daripada penjual Bayan itu.

Khoja Maimun dan isterinya juga membeli burung Tiung betina selepas itu. Khoja

Maimun sangat ingin berniaga di laut. Setelah mendapat keizinan daripada isterinya,

Khoja Maimun pun pergilah berlayar. Ekoran ditinggalkan oleh suaminya, Bibi Zainab

berasa kesunyian dan sering berangan-angan. Suatu hari, Bibi Zainab terpandang akan

anak raja lalu terpikat kepada anak raja itu. Anak raja itu juga terpikat kepada Bibi

Zainab. Anak raja itu menghantar seorang perempuan tua untuk menyampaikan hajatnya

yang ingin memiliki Bibi Zainab. Bibi Zainab bersetuju. Sebelum pergi berjumpa dengan

anak raja itu, Bibi Zainab berjumpa dengan burung Tiung untuk menyatakan hasratnya

yang hendak bertemu dengan anak raja itu. Burung Tiung membantah keras kehendak

Bibi Zainab dan menyatakan bahawa maksiat itu satu dosa yang besar. Oleh kerana

geram, Bibi Zainab pun membunuh burung Tiung. Kemudian Bibi Zainab menyatakan

pula keinginannya kepada Bayan. Bayan ddengan bijak menyatakan bahawa ia

mengizinkan Bibi Zainab berjumpa dengan anak raja itu tetapi cuba menarik perhatian

Bibi Zainab denagan cerita. Akhirnya Bibi Zainab tersangat ingin mendengar cerita
tersebut daripada Bayan dan dia tidak jadi pergi berjumpa dengan anak raja itu kerana

leka mendengar cerita yang disampaikan oleh Bayan.

Kupasan falsafah petikan


Setelah saya mengkaji “Hikayat Khoja Maimun” bermula dari muka surat tiga

hingga lima, saya mendapati ada unsur falsafah yang hendak disampaikan. Antaranya

ialah kita tidak boleh memandang rendah terhadap apa yang dilihat. Luaran yang

kita lihat tidak mencerminkan segala-galanya. Kadangkala perkara yang kita lihat dengan

mata kasar, kita menilainya dengan memberi markah yang terlalu tinggi dan ada kalanya

juga memberi markah yang agak rendah daripada nilai yang sebenarnya wujud pada

objek tersebut. Di sebalik sesuatu yang kita lihat yang kita anggap hina, buruk, dan

rendah tahapnya, selalunya mempunyai kegunaan, manfaat, dan kelebihannya yang

kadangkala di luar dugaan kita. Sebagai bukti dalam “Hikayat Khoja Maimun” ini ialah

Khoja Maimun pada mulanya memandang rendah kepada Bayan dengan mengatakan

harga Bayan tidak setimpal diri Bayan yang berbadan kecil itu. Khoja Maimun turut

mengeluarkan kata-kata “layaknya unggas ini makanan kucing juga” untuk menunjukkan

bahawa dia tidak bersetuju dengan harga Bayan terbabit yang berjumlah seribu dinar.

Akan tetapi Bayan tersebut telah membuktikan kelebihannya yang mampu menilik

perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Kelebihan Bayan itu telah menambat

hati Khoja Maimun untuk mmembelinya. Malah Bayan juga pandai berkata-kata dan

bijak mengatur bicara serta tahu bercerita. Daripada bahagian ini, terbukti bahawa kita

tidak boleh membuat kesimpulan atau konklusi dengan terburu-buru kerana tanggapan

awal yang sedemikian kebiasaannya tidak tepat.


Falsafah seterusnya yang saya perolehi daripada petikan tersebut ialah

kepentingan akal. Kebijaksanaan seseorang berupaya menentukan hidup matinya. Setiap

perbuatan atau keputusan harus disandarkan kepada akal dan bukannya bertuankan hati.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa merupakan pepatah yang sinonim dengan konteks ini. Kita

mengambil burung Bayan dan Tiung sebagai contoh melalui petikan ini. Tiung akhirnya

mati dibunuh oleh Bibi Zainab ekoran mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati

Bibi Zainab. Tujuan Tiung sebenarnya murni dengan mengatakan bahawa niat yang

hendak dilaksanakan Bibi Zainab merupakan dosa yang mampu mendatangkan murka

kepada Tuhan. Bukan itu sahaja, Tiung juga menyatakan akibatnya di dunia jika Bibi

Zainab betul-betul melakukan maksiat, yakni akan mendapat malu dan dibunuh oleh

suaminya. Akan tetapi tindakan Tiung memakan dirinya sendiri yakni dibunuh oleh Bibi

Zainab. Berbeza pula dengan Bayan yang juga menghalang pemergian Bibi Zainab untuk

berjumpa dengan anak raja itu. Bayan berpura-pura mengizinkan Bibi Zainab

meneruskan niatnya, tetapi menggunakan tipu helah dengan cuba menarik minat Bibi

Zainab dengan ceritanya. Akhirnya Bibi Zainab tergoda untuk mendengar cerita dari

Bayan tanpa disedarinya bahawa Bayan cuba melalaikan dirinya daripada melakukan

maksiat. Di sini kita dapat melihat Bayan menggunakan akalnya untuk menghalang Bibi

Zainab melakukan sesuatu yang salah di sisi agama. Meskipun niat Bayan adalah sama

seperti Tiung yang mahu membantutkan keinginan Bibi Zainab, tetapi ia mampu

mempraktikkan cara yang lain yang lebih berkesan untuk mencapai objektifnya.

Tegasnya di sini ialah kita seharusnya perlu berfikir secara rasional untuk menghasilkan

sesuatu tindakan yang wajar dan bersesuaian dengan apa yang hendak kita capai.
Selain itu, saya juga mendapati falsafah Tuhan sememangnya menguji

keimanan hambanya. Tuhan senantiasa memberi dugaan kepada manusia. Cubaan dan

rintangan tersebutlah yang menentukan kedudukan hamba-Nya di dunia akhirat. Hidup

ini umpama suatu pertandingan, siapa yang kalah akan disingkirkan dan siapa yang

menang akan mendapat ganjaran. Pengadilnya adalah Tuhan meskipun kita tidak dapat

melihat-Nya. Isteri Khoja Maimun, Bibi Zainab contohnya telah diberi dugaan oleh

Tuhan. Di saat Bibi Zainab kesunyian ekoran ditinggalkan oleh suaminya yang pergi

berlayar untuk berniaga, Bibi Zainab dipertemukan dengan seorang anak raja. Anak raja

itu tampan orangnya sehingga menyebabkan Bibi Zainab terpikat. Dengan ketentuan

Allah, anak raja itu juga menginginkan Bibi Zainab. Di sinilah ketaatan isteri terhadap

suaminya diuji. Pada permulaannya, Bibi Zainab sememangnya kalah pada ujian itu

kerana Bibi Zainab mempunyai keinginan untuk melakukan maksiat dengan anak raja itu.

Akan tetapi, Bayan telah berjaya melalaikan Bibi Zainab daripada meneruskan

rancangannya itu. Jalan cerita ini memberi gambaran kepada kita bahawa sesuatu yang

bakal terjadi sesungguhnya dirancang dan dimulakan oleh Tuhan, tetapi diteruskan oleh

manusia itu sendiri bergantung kepada bagaimana manusia itu memanipulasikan apa

yang sedang dihadapi olehnya.

Bukan itu sahaja, saya juga mendapati terdapat falsafah bahawa kepuasan dan

kehendak manusia sememangnya tiada batasnya. Manusia tidak pernah berpuas hati

terhadap apa yang telah dimiliki atau dicapainya. Manusia sentisa mahukan sesuatu yang

lebih baik daripada sedia ada. Khoja Maimun boleh dijadikan sebagai contoh. Khoja

Maimun merupakan seorang saudagar yang di negeri Ajam dan mempunya isteri yang

cantik. Khoja Maimun memperoleh keuntungan yang besar hasil daripada perniagaannya.
Meskipun demikian, Khoja Maimun inginkan sesuatu yang lebih iaitu berniaga di laut

kerana keuntungannya lebih besar daripada keuntungan hasil pernigaan di darat. Saya

tidak memandang aspek ini dengan beranggapan manusia tidak bersyukur terhadap apa

yang telah dimiliki, sebaliknya lebih menjurus ke arah pendapat bahawa nafsu manusia

untuk mencari kesenangan sememangnya tiada batasnya. Manusia berusaha memenuhi

kehendaknya, dan jika kehendak tersebut telah tercapai, akan timbul pula kehendak

seterusnya untuk mendorong mereka untuk terus berusaha untuk mencapainya.

Falsafah seterusnya yang dapat saya kesan ialah makhluk Tuhan selalunya

tunduk pada nafsu dan emosi. Nafsu dijadikan tuan manakala emosi dianggap sebagai

sultan. Nafsu dan emosilah yang mempengaruhi manusia untuk mengambil suatu

tindakan yang tidak berlandaskan fikiran yang wajar dan rasional. Tindakan sedemikian

selalunya membawa padah kepada diri sendiri atau pun tidak memberi apa-apa manfaat

kepada diri dan kadangkala pula memberi kesan buruk kepada pihak lain. Apabila nafsu

dan emosi tidak dikawal, maka tindakan yang melampaui batas akan diambil. Kita boleh

jadikan Bibi Zainab dan burung Tiung sebagai contoh. Bibi Zainab merupakan seorang

isteri yang tidak setia. Buktinya ialah dia jatuh hati kepada anak raja walaupun sudah

berkahwin. Malah, Bibi Zainab berniat untuk melakukan maksiat dengan anak raja itu

setelah mengetahui anak raja itu juga menginginkannya. Di sini jelas menunjukkan

bahawa Bibi Zainab tunduk pada nafsunya tanpa memikirkan akibat atas perbuatan yang

bakal diambil asalkan nafsunya dituruti. Bibi Zainab juga terlalu mengikut emosinya

dengan membunuh Tiung kerana marah dengan kata-kata Tiung. Tiung juga bertindak

mengikut emosi. Hal ini terbukti apabila Tiung terus memarahi Bibi Zainab setelah Bibi

Zainab meyatakan hasratnya untuk bertemu dengan anak raja. Malah Tiung menampar-
nampar dadanya untuk menujukkan betapa ia tidak menyetujui tindakan yang bakal

diambil oleh Bibi Zainab.

KESIMPULAN

Setelah saya mengkaji petikan Hikayat Khoja Maimun ini, saya sedar bahawa kita

tidak boleh memandang rendah terhadap orang lain. Hal ini demikian kerana setiap orang

mempunyai kelebihan masing-masing anugerah daripada Tuhan. Kita tidak boleh menilai

sesuatu daripada luaran sahaja kerana pandangan yang menggunakan mata kasar sahaja

tidak mencerminkan nilai sebenar yang dimiliki olehnya. Seperti Khoja Maimun yang

memandang rendah kepada Bayan akhirnya terpaksa mengakui kelebihan Bayan yang

mampu menilik perkara yang bakal berlaku. Malah bayan juga pandai bercerita.

Selain itu, kita harus bijak melakukan sesuatu untuk mencapai matlamat. Di sini

akal amat penting. Kita harus mampu berfikir secara rasional agar mampu menghasilkan

tindakan yang wajar. Kita tidak boleh terlalu mengikut emosi dalam segala hal kerana

kita boleh tersungkur jika menurutinya. Tiung dalam hikayat ini mati dibunuh oleh Bibi

Zainab kerana menyakiti hati Bibi Zainab. Walaupun tujuan Tiung bukanlah untuk

menyakiti hati hati Bibi Zainab tetapi untuk menghalang tuannya itu melakukan dosa,

cara yang diambil oleh Tiung itu menimbulkan kemarahan Bibi Zainab.

Di samping itu kita hendaklah tabah menghadapi cubaan dan dugaan daripada Tuhan dan

pastikan kita berjaya melaluinya. Tuhan sememangnya memberi ujian kepada hambanya

dan penilaian diberi berdasarkan tindakan yang diambil oleh hamba-Nya itu. Saya
mendapat pengajaran ini melalui watak Bibi Zainab. Ketika Bibi Zainab kesunyian

kerana suaminya pergi belayar untuk berniaga, dia dipertemukan dengan anak raja yang

juga terpikat kepadanya. Di sini bermakna Tuhan mahu menguji keimanan Bibi Zainab

yang memikul tanggungjawab sebagai hamba-Nya dan sebagai seorang isteri.

Bibliografi

Abdul Rahman Kaeh, 2000, Hikayat Khoja Maimun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka

You might also like