You are on page 1of 9

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

JXEA 1104

PANTUN BUDI

NAMA : LONEY ANAK PATRICK JUMAN

NO. MATRIK : JEA080032

NAMA PENSYARAH : DR. AMRAN MUHAMAD

SEMESTER 1 SESI 2008/2009


AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
UNIVERSITI MALAYA
Budi

Anak itik matinya lemas,


Makan lenggudi Bukit Askin,
Hilanglah bahasa kerana emas,
Tak tampak budi kerana miskin.

Saya tidak menanam nenas,


Tanam kepaya di dalam padi,
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari.

Perigi dikatakan telaga,


Tempat budak berulang mandi,
Emas merah ada berharga,
Budi bahasa bernilai abadi.

Pucuk nipah kelibatan,


Terletak mari di tepi pantai,
Biarlah rosak dalam lipatan,
Jangan rosak kena pakai.

Perahu lancang dari Patani,


Naik ke darat membeli kain,
Buah macang serupa kuini,
Rupanya sama rasanya lain.

Pantun melayu merupakan sebuah hasil sastera rakyat yang tertua yang disebar-luaskan

secara lisan. Pantun adalah bahasa berangkap yang mengandungi unsur-unsur

keindahan seperti banyak baris tiap rangkap, banyak suku kata, rima akhir, pembayang

maksud, asonasi-aliterasi, kata-kata yang indah, ringkas dan padat. Pantun digunakan

secara puitis di dalam satu corak komunikasi berseni di tempat yang tertentu, di upacara

tertentu atau untuk menyampaikan kiasan atau sindiran yang tertentu untuk membela

kehalusan budi bahasa, kelembutan jiwa melayu secara tidak terus terang agar orang
yang disindir atau dinasihati tidak berkecil hati, tetapi sebaliknya berazam untuk

memperbaiki perbuatan yang tidak disukai.

Pantun yang ingin saya kupas ialah pantun budi yang biasa di mana dua rangkap

pertama adalah pembayang dan dua rangkap akhir adalah maksudnya. Pantun budi

tersebut dihasilkan oleh masyarakat melayu dahulu dengan tujuan untuk mendidik,

menasihat atau membentuk moral yang lebih baik di kalangan orang muda mahupun

kanak-kanak. Pantun ini seringkali menggambarkan akibat sesuatu perkara buruk yang

jika dilakukan akan mendatangkan impak terhadap seseorang. Pantun ini dijalankan

atau disampaikan dalam situasi tidak formal tanpa mengambil kira masa dan tempat.

Secara keseluruhannya, pantun budi yang ingin saya kupas amat mementingkan

nilai budi. Budi merupakan satu nilai sosiobudaya yang amat penting dalam

masyarakat melayu sehingga setiap anggota masyarakat diterapkan dengan nilai

tersebut semenjak kecil lagi. Budi yang dimaksudkan adalah merangkumi budi bahasa,

budi pekerti, dan berbudi. Budi juga dapat dibahagikan kepada dua jenis budi iaitu budi

kepada manusia dan budi kepada alam. Bagi menyemai nilai budi bahasa agar tidak

pupus ditelan zaman, masyarakat melayu dahulu cenderung untuk menghasilkan

pelbagai jenis pantun budi yang berunsurkan nasihat dan teladan untuk disampaikan

kepada pelbagai peringkat golongan khususnya golongan muda. Pengajaran melalui

pantun adalah lebih elok dan dapat membuat kita berfikir dengan lebih mendalam lagi

dan hasilnya tidaklah sekadar mencurah air ke daun keladi.

Rangkap pertama pantun ini mengupas tentang falsafah mengenai nilai

ketamakan. Sifat ketamakan merupakan sifat yang telah sebati dengan manusia dan
wujud sejak zaman adam dan hawa lagi. Menyentuh tentang pantun tersebut, dalam

masyarakat melayu zaman dahulu, emas dilambangkan sebagai kekayaan yang hanya

dimiliki oleh sesetengah golongan masyarakat sahaja. Masyarakat yang memiliki

pangkat dan kekayaan sentiasa disanjung tinggi dan dipandang mulia. Pandangan dan

penilaian masyarakat terhadap kekayaan yang mana harus dibanggakan masih lagi

berkekalan sehingga sekarang. Implikasinya, manusia alpa dengan segalanya

disebabkan terlalu taksub mengejar darjat dan harta.

“Hilanglah bahasa kerana emas” memberi makna yang mendalam kepada kita di

mana sesetengah orang sanggup melakukan hal-hal yang di luar batasan agama seperti

mendurhaka kepada ibu bapa setelah berada dalam kemewahan. Budi bahasa bukan

lagi menjadi kayu ukur terhadap seseorang kerana telah diganti oleh sifat tamak yang

akhirnya merugikan diri. “Tak tampak budi kerana miskin” pula membawa makna

golongan yang rendah darjatnya dan tidak berharta selalunya akan dipandang rendah

biarpun memiliki nilai budi pekerti yang tinggi. Nilai budi hanya akan tampak

sekiranya ada kekayaan. Kekayaan merupakan asas dalam kehidupan yang mencukupi

untuk menonjolkan seseorang itu sempurna walaupun sebaliknya yang dimiliki oleh

insan tersebut. Oleh itu, kita haruslah menjauhi sifat tamak.

Seterusnya rangkap kedua pula cuba mengupas falsafah mengenai sikap

materialistik. Sikap materialistik merupakan sikap yang sering wujud dalam kalangan

masyarakat yakni mementingkan kebendaan. Walau bagaiamanapun, tidak semua insan

yang sebegitu. “Saya tidak memandang emas” jelas menunjukkan masih ada lagi benda

yang lebih dihargai selain kekayaan. Misalnya dalam masyarakat melayu dahulu lebih
mementingkan budi bahasa pihak sebelah sebelum hal lain dalam menentukan jodoh.

Hal ini jelas menunjukkan betapa tingginya pandangan masyarakat dulu terhadap nilai

budi bahasa.

“Budi bahasa yang saya cari” pula secara terang-terangan memberitahu kita apa

yang diinginkan adalah budi bahasa dan bukannya kebendaan.. Bagi mereka, kekayaan

hanyalah melambang identiti seseorang dan boleh dicari namun untuk mencari insan

yang berbudi bahasa amatlah sukar. Kekayaan hanyalah bersifat sementara sahaja.

Oleh itu, jauhilah sikap materialistik dan semaikan nilai budi bahasa dalam diri

Rangkap ketiga pula dikaitkan dengan falsafah keluhuran budi. Masyarakat

Melayu dahulu sememangnya kaya dengan budi bahasa dan memiliki nilai kesantunan

yang tinggi. Hal ini dapat dibuktikan melalui amalan tunduk semasa berjalan di

hadapan orang tua dan perlakuan ini masih lagi berkekalan hingga sekarang. Seperti

yang kita ketahui, masyarakat dahulu menjalankan pelbagai aktiviti seperti melombong

emas untuk mengubah status kehidupan. Melakukan kerja tersebut adalah rumit namun

demi meningkatkan taraf kehidupan, mereka sanggup bertungkus lumus

mengerjakannya. Jelaslahlah bahawa kemewahan hidup adalah penting.

Berbeza pula dengan insan yang memiliki budi bahasa yang tinggi di samping

kemewahan hidup, mereka bukan sahaja akan dipandang mulia di dunia malah di

akhirat nanti mereka juga akan dikenang. Budi bahasa adalah bernilai abadi sehingga

menjadi kenangan masyarakat turun temurun. Memag serasilah dengan pepatah

‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’.


Seterusnya, rangkap keempat pula dikaitkan dengan falsafah kepercayaan.

Kepercayaan adalah amat penting dalam masyarakat melayu di mana ianya terbahagi

kepada kepercayaan kepada Tuhan, kepercayaan antara keluarga, kepercayaan antara

sahabat dan kepercayaan antara masyarakat. Memberi kepercayaan kepada seseorang

bukanlah mudah dan sekali kepercayaan tersebut dikhianati, insan tersebut akan

dipandang serong dan segala kepercayaan terhadapnya akan luntur.

Kepercayaan merupakan sesuatu yang amat bernilai sehingga ‘biarlah rosak

dalam lipatan, jangan rosak kena pakai’ amat serasi dengan pepatah ‘biar pecah di perut,

jangan pecah di mulut’. Sesebuah rahsia yang dipegang haruslah disimpan dengan

cermat dan amanah. Dengan itu, kita akan dipercayai dan disenangi oleh orang ramai.

Oleh yang demikian, tanamlah sikap memberi dan menerima kepercayaan dalam diri.

Rangkap yang terakhir iaitu rangkap kelima pula mengaitkan falsafah dengan

nilai kejujuran. Masyarakat melayu dahulu amat menitikberatkan nilai kejujuran.

Kejujuran adalah aset yang penting dalam menentukan teguh dan kukuhnya sesebuah

perhubungan. Tanpa nilai kejujuran dalam diri, sesebuah hubungan akan menjadi

goyah. Manusia memiliki bentuk fizikal yang serupa namun yang membezakan antara

seorang insan dengan insan yang lain adalah hati ataupun sikapnya. Setiap insan

mempunyai sikap yang berbeza-beza dan sukar ditafsir. Terdapat pelbagai jenis sikap

manusia yang samaada wujud secara lahiriah atau azali seperti sikap jahat, hipokrit,

jujur dan sebagainya. Sikap-sikap tersebut sudah sebati dengan jiwa masyarakat sejak

dahulu lagi.
Masyarakat melayu dahulu menganggap nilai kejujuran sebagai sesuatu yang

amat penting. Kejujuran dalam sesebuah ikatan atau hubungan dan melambangkan

kemampuan seseorang memberi komitmen yang tinggi dalam perhubungan. Perkara

sebaliknya pula akan berlaku sekiranya insan tersebut tidak memiliki kejujuran dalam

diri. Masyarakat melayu bukan sahaja menitikberatkan nilai kejujuran dalam

perhubungan malah juga dalam menjalankan aktiviti perniagaan, aktiviti

kemasyarakatan dan sebagainya. Oleh yang demikian, berusahalah untuk mengekalkan

sikap yang baik ini sehingga ke akhir hayat.

Kesimpulannya, berdasarkan pantun budi yang telah saya kupas, memang tidak

dapat disangkal lagi bahawa setiap individu seharusnya menerapkan nilai-nilai budi

bahasa dalam diri. Berbudi bahasa kepada orang lain bukan bermaksud kita inginkan

balasan daripada mereka namun sebagai bukti kita mensyukuri kelebihan yang telah

dianugerahkan Tuhan kepada kita yang mana hidup di dunia haruslah berbuat baik

sesama sendiri. Dengan itu, kita akan dipandang sebagai insan yang mulia sama ada di

dunia dan akhirat nanti.


BIBLIOGRAFI:

Prof. Mohd.Taib Osman. 1979. Warisan Puisi Melayu.


Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

http://www.brunet.bn/news/pelita/18Okt/Sasbuday.htm

You might also like