You are on page 1of 8

4.

0 TEORI PUNCA SALAH LAKU DAN MASALAH SOSIAL PELAJAR


Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme
menganggap devian sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik
mengatakan devian merupakan tindakan golongan tertindas terhadap pihak
minoriti yang menindas. Teori subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat
devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat
besar. Deprivasi selalu berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan
emosi. Remaja terutamanya daripada latar belakang kelas sosial rendah yang tidak
berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu bertindak
melakukan devian.
Teori interaksionisme melihat devian sebagai sesuatu yang subjektif dan
merupakan suatu proses sosial. Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu
mengikut kemahuan mereka yang sesuai dengan cara mereka menginterpretasi sesuatu
. Kajian Tattum (1986) mendapati bahawa pelajar sengaja melakukan devian sebagai
teknik neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938) terdapat empat
jenis devian iaitu inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang
salah), ritual (tindakan mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi
berminat dengan matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan )
dan menentang (menolak matlamat persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat
lain).
5.0 MASALAH SOSIAL PELAJAR
5.1 Seks Bebas Dan Jenayah Seksual
Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular
dan membimbangkan kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota . Apa yang
menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun
ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di
sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan
dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut.
Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu
lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.
Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau
pernah membuat tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan
merasa sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan
meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan
terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam pengedaran pil
ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat , pihak
sekolah mendapati pelajar itu adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah
seksual di kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin
meningkat sejak kebelakangan ini. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan
seperti mencabul kehormatan , merogol dan juga pelacuran . Mangsa yang dicabul
oleh mereka bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain
jenayah seksual, beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar
nikah dan pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi
(IPT).Menurutnya, sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur
berjaya diselamatkan daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram di
seluruh negara dan sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang
terlibat berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral dibawah meja di bilik
darjah oleh empat orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil
siasatan guru-guru, didapati bahawa seorang daripada murid itu mengulangi apa
yang yang dilihatnya dalam sebuah filem lucah , bersama-sama ibu bapanya pada
malam sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab sifat ingin tahu, dia meminta rakanrakannya
untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik
darjah. Namun apa yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri yang
sanggup mendedahkan anaknya kearah gejala sosial dengan menonton video lucah
bersama-samanya. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari
ini ? Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya semua ini? Adakah anak yang
perlu dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang perlu dipersalahkan?
Ibu bapa hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-anak
kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat dan lambakan bahan-bahan
lucah seperti majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anakanak
dan para pelajar.
Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus
wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan
kepada pembangunan sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih
terbuka dan bebas. Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah
masalah penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan
remaja. Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan
keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang
semakin menular di kalangan remaja. Justeru itu, satu bentuk langkah pembendungan
dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan citarasa mereka ini perlu
dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri mereka dan
memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.
5.2 Samseng Dan Gengsterisme
Gejala samseng atau gengsterime di sekolah menengah di seluruh negara juga
semakin membimbangkan. Mereka ternyata semakin berani mencabar undang-undang
dan tidak takut melakukan kesalahan jenayah termasuk menggunakan senjata
merbahaya. Berita Harian, 12 Julai 2001 lalu melaporkan dalam tempoh 10 tahun
antara 1989 hingga 1998 kadar jenayah membabitkan remaja lelaki dan pelajar
meningkat sebanyak 35 peratus dan 25 peratus bagi remaja perempuan. Kementerian
Pendidikan dengan kerjasama polis telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah
menengah di seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan
sedikit dan menunjukkan gejala ini ini berada pada tahap membimbangkan .
Kalau kita menyorot kembali gejala ini, kita akan diperlihatkan kepada
pembabitan pelajar dalam kes jenayah berat seperti membunuh, merogol,
menyamun, mengugut dan kes pukul. Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan
dadah, mabuk, memiliki senjata api menceroboh , judi dan membuli. Peristiwa
terbaru ialah kejadian membakar sekolah dan rumah guru yang dilakukan oleh
pelajar sekolah. Seawal belasan tahun pelajar sudah terjebak dengan jenayah
ekstrem seperti membunuh , merogol dan menyamun. Mereka yang sudah menjinakkan
diri dengan kes seperti mencuri motosikal, pecah rumah dan memukul orang ,
tidak mustahil akan terbabit dengan jenayah berat seperti membunuh, sindiket
senjata api , pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api. Mengikut laporan
Menteri Pendidikan semasa persidangan di Parlimen, statistik kesalahan
membunuh, merompak, merogol dan dadah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah
menengah di seluruh mengikut negeri-negeri dari tahun 1999 hingga tahun 2000
dan pertengahan tahun 2001 ialah 12 kes bunuh, 123 kes rogol dan 51 kes samun dan
rompakan.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut
seperti faktor rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri
pelajar itu sendiri . Ramai pelajar dan remaja mudah terpengaruh dengan media
yang memberikan ganjaran keseronokan dan mula tersesat dengan meniru apa yang
dilihat dan dibaca. Kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada
pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan pemikiran mereka. Selain itu
rumah tangga yang porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang
kearah kelakuan tidak baik di kalangan remaja . Sekiranya ini berlaku pelajar
atau remaja akan mengambil jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat
sebagai jalan keluar kepada permasalahan mereka.
5.3 Ponteng Sekolah
Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial yang baru di kalangan
pelajar sekolah di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pendidikan menunjukkan pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan
iaitu 32 092 orang pada tahun 1993, 154305 (1995) dan 80 937 pada 1997.
Pelajar sekolah menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun
dikenal pasti sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng.
Daripada keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah
ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari kalangan pelajar lelaki dan baki 3
peratus adalah pelajar perempuan. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian
Pendidikan , Datuk Mahadzir Mohd Khir , masalah ponteng lebih ketara berlaku di
kalangan pelajar peringkat menengah iaitu tingkatan dua dan tiga terutama mereka
yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah di pinggir bandar.
Di antara faktor-faktor yang menyumbang ke arah berlakunya gejala ponteng
di kalangan pelajar sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah,
tiada kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan , pengaruh persekitaran seperti
melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah, melayari internet di kafe siber
dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya. Sesungguhnya gejala
ponteng sekolah adalah masalah serius yang perlu diberi perhatian.dengan
mengambil pendekatan bersepadu dengan mengesan punca pelajar terbabit dengan
gejala itu dan kaedah yang berkesan untuk menanganinya.
5.4 Black Metal
Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial kian meningkat. Yang
lebih menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang
menjangkiti remaja melayu babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang
terakhir dan masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Pink Metal.
Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana
kelekaan sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah masyarakat yang
telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu kekosongan
atau vacum yang kaku dan bisu. Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang
mempunyai unsur pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka yang
sudah meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka. Hasil
daripada siasatan, polis mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah di
Parit Buntar mula terbabit dengan kumpulan Black Metal sejak 1999. Ada diantara
pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara membakar ayat Al Quran dan mengikuti
upacara yang diketuai `tok guru` yang berselubung hitam.
Akibat dari ketandusan aqidah , pelajar Islam mula terpengaruh dengan agenda
Yahudi dengan menafikan tauhid Uluhiyyah. Adalah menjadi perkara yang sangat
menyedihkan dan mengecewakan apabila terdapat golongan pelajar Islam di negara
ini yang terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat ini. Ilmu dan pengajaran
daripada simpulan bahasa dan perumpamaan melayu misalnya, tidak langsung mendapat
tempat sebagai pegangan hidup kita. Membenteras gejala negatif ini merupakan
tanggungjawab sosial semua pihak dari seluruh anggota masyarakat. Usaha ini
memerlukan kerjasama yang padu di kalangan anggota masyarakat. Dengan komitmen,
kesungguhan dan keikhlasan semua pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan
sebaiknya, tanpa kita membebankan mana-mana pihak.
5.5 Penyalahgunaan Dadah
Dadah bukanlah satu perkara baru dalam konteks kehidupan pada hari ini. Di
Malaysia sahaja bilangan penagih dadah semakin bertambah saban tahun. Apa yang
lebih membimbangkan ialah golongan remaja terutamanya pelajar sekolah terlibat
dengan aktiviti yang tidak sihat ini. Menurut laporan Agensi Antidadah
Kebangsaan pada tahun 2005 sahaja lebih 5% daripada 32 808 penagih dadah yang
dikesan terdiri daripada mereka yang berusia 13-20 tahun. Manakala berdasarkan
laporan Dadah Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2007, dianggarkan 200 juta
atau 5 peratus daripada penduduk dunia (1 daripada 200 orang) mengambil dadah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan bagi setiap penagih yang
dikesan ada empat lagi yang tidak dilaporkan. Jikalah ini benar, ini bermakna
jumlah sebenar penagih dadah di Malaysia boleh menjadi sejuta orang berbanding
hanya 250,000 yang dilaporkan. Kajian Yayasan Perlindungan Jenayah Malaysia pula
mendapati, kebanyakkan penagih dadah di negara ini mula mengenali dadah dalam
lingkungan usia 13-15 tahun dan 71 peratus daripada penagih baru terdiri daripada
golongan muda antara 19-39 tahun.
Menurut Agensi Dadah Kebangsaan, dadah merupakan satu istilah khas kepada sejenis
bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani
(fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkah-laku pengguna apabila
digunakan. Akibat daripada kesan ini seseorang yang menggunakan dadah akan terus
bergantung hidup kepada dadah tersebut dan menyebabkan ketagihan. Seseorang
penagih sanggup menggadai maruah serta memperhambakan diri kepada sesiapa saja
walau dalam apa jua keadaan asalkan bekalan dadahnya terjamin. Akibatnya ramai
yang sanggup mengemis dan melacurkan diri. Walaupun dadah yang dikenali umum
terdiri daripada heroin, morfin, dan ganja, pada hakikatnya ia merangkumi juga
semua bahan yang boleh memberi kesan seperti yang dinyatakan di atas. Ini termasuk
tembakau dan arak. Malah, sesetengah ubat-ubatan jika tidak digunakan mengikut
peraturan dan sukatan yang betul boleh memberi kesan negatif yang sama seperti
dadah. Contohnya morfin dan sebatian terbitan daripadanya yang banyak digunakan
sebagai ubat penghilang kesakitan semasa merawat kecederaan yang serius. Dengan
perkataan lain dadah membawa risio yang amat tinggi sehingga boleh mengakibatkan
maut. Semua jenis dadah yang telah disebutkan pada dasarnya menunjukkan kesan
ketagihan dalam bentuk pergantungan fizikal, mental dan emosi yang sama.
6.0 FAKTOR- FAKTOR MASALAH SOSIAL DI KALANGAN PELAJAR
6.1 Peranan Ibubapa
Terdapat pelbagai perkara yang boleh menyebabkan remaja terlibat dengan masalah
sosial ini. Faktor yang paling utama ialah kurangnya peranan ibubapa, masalah
keluarga, faktor diri sendiri dan pengaruh rakan sebaya. Faktor-faktor lain pula
seperti sekolah dan masyarakat. Sering kali dinyatakan ibu bapa mempengaruhi
kejayaan remaja khasnya pelajar di dalam pelajaran. Ini kerana ibu bapa yang
sentiasa memberi galakan dan perangsang sehingga mereka timbul minat, semangat
ketekunan dan keyakinan diri dalam menghadapi pelajaran (Jamal Darus, 1989). Ibu
bapa juga yang menentukan pola-pola tingkah laku remaja. Faktor-faktor seperti
dorongan dan galakkan, disiplin di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa dan anak
serta keluarga yang utuh memberi kesan ke atas pembentukkan personaliti, motivasi
dan pencapaian akademik remaja yang masih bergelar pelajar. Ibu bapa yang sentiasa
memberi dorongan dan bantuan dikaitkan dengan kejayaan yang tinggi (T. Marimuthu,
1990). Disiplin yang berterusan dan hubungan baik antara ibu bapa dengan remaja
meningkatkan motivasi kejayaan di dalam pelajaran. Dalam kajian ke atas 408 orang
kanak-kanak, pengkaji mendapati keadaan di rumah adalah lebih cepat dikaitkan
dengan kemajuan sekolah daripada kecerdasan.
Keutuhan institusi kekeluargaan dapat menjamin kecemerlangan remaja khususnya
dalam alam pendidikan dan perkembangan personaliti. Ibu bapa khususnya, adalah
salah satu faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi pembentukan dan
perkembangan personaliti atau sahsiah remaja. Ini kerana, ibu bapa menjadi sumber
utama dan pertama proses pembelajaran dan pembentukan keperibadian remaja. Hakikat
ini jelas dinyatakan oleh bapa psikologi moden, Freud (1983). Oleh itu, ibu bapa
yang tidak memainkan peranan dalam pembentukkan tingkahlaku remaja menyebabkan
berlakunya kemunduran pembentukan dan perkembangan personaliti atau sahsiah remaja
tersebut. Cara gaya keibubapaan atau cara asuhan dipercayai banyak mempengaruhi
personaliti remaja khususnya pelajar sama ada di dalam kelas mahupun di luar
kelas. Contohnya, ibu bapa yang mengamalkan cara gaya asuhan yang bersifat
autokratik dipercayai menyebabkan lahirnya personaliti yang terlalu agresif,
memberontak ataupun sebaliknya iaitu melahirkan individu pesimis. Remaja yang
bersifat agresif dan memberontak kebiasaannya lebih gemar menghabiskan masanya di
luar rumah kerana berasa terkongkong berada di dalam rumah. Maka, dari sini
bermulalah pengaruh-pengaruh luar yang negatif seperti pengaruh kawan-kawan yang
devian, rasa ingin kebebasan seterusnya menyebabkan punca berjinak-jinak dengan
najis dadah.
6.2 Masalah Keluarga
Faktor kedua penglibatan remaja dalam gejala sosial ini adalah kerana mempunyai
masalah keluarga. Remaja daripada keluarga yang berpecah belah atau yang
ketiadaan ibu bapa atau kedua-duanya mengalami kehilangan tempat bergantung,
tempat menumpahkan kasih sayang serta tempat menerima contoh dan teladan untuk
menjadi bekal penghidupan di hari dewasa sebagai ahli masyarakat yang lebih aktif
dan dinamis. Keadaan seperti ini boleh menjejaskan perkembangan remaja terutamanya
dalam pencapaian akademik serta proses pembentukan personaliti. Ini bersesuaian
dengan salah satu keperluan iaitu keperluan termilik dan kasih sayang (Maslow,
1954). Menurut Maslow, kekurangan perhubungan kasih sayang menjadi punca
kecelaruan personaliti yang mungkin melibatkan tingkah laku agresif dan anti
sosial. Sebagai contohnya, remaja daripada keluarga yang ibubapanya bercerai
mempunyai IQ yang lebih rendah di samping melahirkan ciri-ciri tingkah laku yang
negatif seperti permusuhan, zalim dan tiada kasih sayang (Goldfarb: Petikan Wan
Azmi, 1987).
Krisis keluarga seperti penceraian dan pertengkaran ibu bapa juga boleh
menyebabkan remaja kehilangan obor panduan hidup. Maka, lahirlah personaliti
remaja yang tidak sihat dan lemah pencapaian akademiknya. Seterusnya menyumbang
kepada pelbagai gejala negatif termasuklah penagihan dadah, ponteng sekolah, buli
dan lain-lain. Kedudukan kewangan sesebuah keluarga menentukan jenis-jenis
kemudahan yang dapat disediakan untuk anak-anak. Keluarga yang berada mampu
menyediakan bahan-bahan pengajaran tambahan seperti komputer, tutor bimbingan,
alat permainan (raket, tenis, skuasy, alat muzik seperti piano, organ elektrik)
dan sebagainya. Dengan kemudahan ini anak-anak mendapat pendedahan yang begitu
luas. Seseorang remaja yang memperoleh pencapaian akademik yang baik serta dapat
bermain pelbagai permainan dan alat muzik, memang mempunyai aras keyakinan diri
yang tinggi. Sebaliknya, remaja daripada keluarga yang miskin mengalami pelbagai
jenis masalah seperti ketiadaan tempat khas hendak belajar ataupun ketiadaan tutor
ataupun buku panduan tambahan. Walaupun remaja itu mungkin hendak menyertai
permainan tenis ataupun skuasy, mereka menghadapi masalah hendak membeli raket
berkenaan. Perkembangan personaliti remaja berkenaan turut terjejas dan
mempengaruhi proses pembelajarannya. Hal ini, jika tidak dibimbing dengan baik
akan membawa kepada hilangnya minat belajar, ponteng kelas atau sekolah seterusnya
membawa kepada masalah yang lebih serius seperti menghidu gam, mencuri, dan
menagih dadah.
6.3 Pengaruh Sekolah
Faktor ketiga pula ialah pengaruh sekolah kerana remaja menghabiskan hampir
seluruh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah adalah kedua pentingnya berbanding
dengan pengaruh keluarga. Organisasi dan struktur belajar di sekolah seperti
pengagihan pelajar mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan
peperiksaan, bentuk, struktur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru,
kesemuanya menggalakkan masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar yang lemah
daripada segi akademik (T. Marimuthu, 1980). Jenis kepimpinan dan suasana sekolah
mempengaruhi perkembangan personaliti remaja. Contohnya pengetua yang tegas
melaksanakan disiplin pasti menegaskan kepada remaja, keadaan disiplin adalah
penting bagi menjamin kejayaan pelaksanaan satu-satu tugasan Sebaliknya pengetua
yang tidak tegas boleh mendatangkan kesan yang negatif pula. Ini boleh menyebabkan
remaja menjadi pasif, menarik diri, takut mengambil risiko, kurang inovatif dan
takut mendatangkan perubahan. Sifat-sifat kepimpinan juga terbantut
perkembangannya.
Disamping itu terdapat juga guru yang melabelkan pelajar sebagai cerdik dan bodoh,
pelajar yang pada mulanya berminat dan bermotivasi pasti menunjukkan minat yang
bertentangan setelah dilabelkan oleh guru sebagai pemalas atau bodoh, ini boleh
menjejas pencapaian pelajar dalam pelajaran (Lacey, 1970). Hal ini seterusnya
menyebabkan keinginan untuk ponteng dari kelas atau sekolah, kerana semangat untuk
belajar kian luntur dari diri remaja terbabit. Apabila gejala ponteng telah
menyerap masuk ke dalam diri remaja, maka, pelbagai pengaruh negatif akan melanda
remaja tersebut antaranya ialah penyalahgunaan dadah.
6.4 Rakan Sebaya
Faktor seterusnya adalah rakan sebaya. Pada diri remaja, pengaruh lingkungan
dalam menentukan perilaku diakui cukup kuat. Walaupun remaja telah mencapai tahap
perkembangan kognitif yang memadai untuk menentukan tindakannya sendiri, namun
penentuan diri remaja dalam berperilaku banyak dipengaruhi oleh tekanan dari
kelompok teman sebaya (Conger, 1991). Kelompok teman sebaya diakui dapat
mempengaruhi pertimbangan dan keputusan seorang remaja tentang perilakunya. Rakan
sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri dan mempunyai pengaruh yang ketara. Rakan
sebaya di sekolah dapat mempengaruhi disiplin seseorang remaja. Sekiranya nilainilai
rakan sebaya tidak mementingkan ketekunan, tanggungjawab, kerjasama,
menepati masa, menghormati guru dan mematuhi peraturan, begitulah sikap pelajar
berkenaan. Sebaliknya sifat-sifat sosial positif rakan sebaya akan menghasilkan
seseorang individu yang amat menekankan nilai moral dalam satu-satu masyarakat
seperti sifat-sifat kepimpinan, bertimbang rasa dan bekerjasama.
Rakan sebaya juga memainkan peranan yang penting bagi membentuk konsep diri, sikap
dan pandangan seseorang pada dirinya sendiri sama ada dirinya dihargai ataupun
tidak di mata kumpulan masyarakat sekelilingnya. Contohnya, cara berpakaian, hobi,
aktiviti-aktiviti sosial, jenis permainan, kumpulan belajar dan sebagainya.
Sekiranya kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat baik, maka remaja ini
terpengaruh hendak menjalankan aktiviti yang sihat. Tetapi sekiranya kumpulan
sebaya yang dipilih cenderung berbuat jahat, maka remaja ini akan cenderung
melakukan aktiviti-aktivit yang negatif.Ini kerana remaja ingin dirinya diterima
oleh rakan-rakan. Dengan itu, mereka sentiasa sanggup melakukan apa sahaja supaya
diterima oleh ahli kumpulannya. Remaja yang berasal daripada keluarga bermasalah
lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan
membentuk kumpulan sendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir
jahat. Apabila rakan sebaya membentuk kumpulan yang bersifat negatif, remaja turut
melakukan perkara yang sama supaya diterima oleh kumpulannya seperti meniru dalam
peperiksaan, merokok dan lain-lain yang boleh menjejaskan pelajaran. Paling teruk
lagi ialah pengaruh rakan sebaya ini akan mengaruh remaja terlibat dengan najis
dadah, merogol, merompak, dan membunuh.
6.5 Masyarakat
Aspirasi, harapan dan nilai satu-satu masyarakat dapat mempengaruhi pembentukan
personaliti remaja. Apabila nilai-nilai dan norma-norma masyarakat adalah sihat,
remaja yang membesar dalam situasi itu turut menjadi anggota masyarakat yang
bertanggungjawab, berdedikasi, rajin berusaha dalam pelajaran dan sedia berkorban
untuk menolong orang lain. Sebaliknya, masyarakat kebendaan menegaskan betapa
pentingnya kekayaan dan harta benda. Dengan itu, remaja membesar dengan menjadi
individu dan remaja yang sentiasa mengejar kekayaan dan harta benda. Nilai-nilai
murni ini mungkin ditinggalkan menyebabkan remaja sanggup menipu dalam
peperiksaan, bergaduh, mencuri, mencederakan guru, minum arak dan tidak
mustahillah sama sekali untuk terlibat dengan penagihan dadah. Keadaan ini
menunjukkan dengan jelas bagaimana nilai masyarakat dapat mempengaruhi
perkembangan dan personaliti remaja sehingga boleh membawa kepada masalah sosial
ini.
6.6 Diri Sendiri (Rasa Ingin Tahu)
Faktor lain yang membawa kepada berlakunya masalah sosial ini adalah sikap remaja
yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin tahu
memang wujud dalam diri remaja. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru.
Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diteroka oleh mereka. Sebagai
contohnya fenomena lumba haram, di mana mereka ingin menunjukkan belang mengecap
keseronokan bersama rakan sebaya. Selain itu juga, remaja sekarang lebih suka
kepada cabaran dan mudah terikut dengan gaya, cara hidup lain daripada orang
lain. Jika tidak kena pada caranya, masalah seperti hamil luar nikah mudah
terjadi. Ini dapat dibuktikan daripada kenyataan akhbar Utusan Malaysia (30
September 2002) menyatakan, sikap terpedaya dan sukar mengawal nafsu dikenal pasti
sebagai antara punca utama berlakunya gejala kehamilan luar nikah di kalangan
remaja. Ini membuktikan, sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu tanpa mengetahui
baik dan buruknya serta akibat yang bakal diterima. Perkara sedemikian hanya
mengundang pada keruntuhan akhlaknya sendiri.
Masalah jenayah seperti penyalahgunaan dadah juga adalah daripada sikap ingin tahu
yang tidak kena pada tempatnya. Menurut Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ”
Masalah dadah yang merupakan masalah utama, masih merupakan ancaman besar negara”
(Utusan Malaysia, 2004). Ini membuktikan, betapa seriusnya masalah dadah yang
kebanyakan penagihnya terdiri daripada golongan remaja. Selain itu, remaja sering
dilabelkan sebagai moodiness kerana sekiranya remaja gagal menangani gangguan
emosi yang melanda, maka ia membawa pada masalah remaja seperti penyalahgunaan
dadah, delinkuensi dan kecenderungan hendak membunuh diri. Menurut penterjemah
buku berjudul Psikologi Pendidikan iaitu Noran Fauziah Yaakub (1991), beliau
menyatakan sebab utama berlakunya delinkuensi adalah perasaan kekecewaan. Keadaan
ini menunjukkan remaja yang mengalami tekanan dalam diri cenderung melakukan
masalah. Mereka tidak dapat mengawal emosi dan kematangan fikiran lantas
mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam pelbagai perkara negatif
seperti mengambil dadah, merogol, dan membunuh. Menurut Dr Syed Hasan Ahmad
(2004) menyatakan, ”Apabila remaja membuat andaian bahawa ibubapa cuai dalam
tanggungjawab mereka dan berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam keluarga
terbabit, remaja itu akan berasa marah, kecewa dan memendam perasaan.” Keadaan ini
membawa pada perilaku yang tidak baik seperti vandalisme, lepak dan penyalahgunaan
dadah kerana mereka ingin mengelak daripada berada di rumah. Andaian yang dibuat
oleh remaja ini menjejaskan hubungan antara ahli keluarga dan sekiranya tidak
diatasi pasti semakin seriuslah masalah remaja. Begitu juga dengan apa yang
diperkatakan oleh pakar motivasi iaitu Rubiah Hamzah (Utusan Malaysia, 1999)
iaitu sikap marah dan tidak puas hati dapat memberi kesan negatif dan positif.
Kesan negatif adalah apabila seorang itu mengambil sikap berdiam diri serta
memendam rasa tanpa mahu meluahkan atau menceritakan masalah yang membelenggu diri
kepada orang lain.
Cara Mengatasi Masalah
Perbincangan  mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru,
strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja  ini. Berikut beberapa
saranan:
1. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap
anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan
anak-anak mereka. Ibu bapa   hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah
yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai
masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan
sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang
mempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan
sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan
keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan.
Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi,
melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan,
menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta
meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
2. Pendekatan akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan
akademik dan separa akademik  seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga
dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer,
video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.
3. Mewujudkan sistem perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat
sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan  pelajar sekolah, di samping
mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa  dalam
pengawasan disiplin.
4. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang
sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-
pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah
pelajar ini kepada pihak polis.
5. Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di
peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu
remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-
kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan
pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.
6. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan
yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-
pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan
sikap terbuka dan positif. PIBG jangan lah jadi umpama “KUCING TAK BERGIGI,
TIKUS LOMPAT TINGGI-TINGGI”

Kesimpulan

Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah
memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja.
Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada
ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.

You might also like